Monday, May 23, 2016

"Lorong Sunyi, Media Bebas" gambarkan kekuatan Lutfi..:

CATATAN

Seorang kawan penulis veteran, bermadah seloka tentang diri, semangat dan komitmennya dalam dunia pesuratan dengan berkata; "Saya akan terus menulis selagi jasad saya tidak dikafan dan batu nisan dicacak atas kuburan saya." Wah hebat, madah berupa ikrar itu menunjukkan betapa penuhazamnya beliau dengan penulisan, dan dunia itu tidak dapat dipisahkan dari hidupnya. Mendarah daging.

Dalam keuzuran Lutfi bawa buku baru
untuk saya. Buku ini menjadi penawar.
Saya mengambil teladan dengan madah ikrar itu. Saya tidaklah pula menjanjikan iltizam sedemikian rupa tinggi dan hebat, tetapi sekadar memberi isyarat dengan mengatakan; "Saya akan terus menulis selagi dakwat masih ada dan tangan tidak keletihan. Dan apabila tulisan saya tidak lagi terlihat, itu bermakna saya sudah sangat letih."

Baru-baru ini setelah 12 hari "disendur" dalam ward di HUKM saya kehilangan kudarat sehingga untuk mengangkat jari jemari pun tidak bisa. Untuk beberapa ketika keyboard latop dan bunyi bit I-pad saya terhenti dan diam. Tuhan menghadiahkan "keinsafan" demikian mungkin juga bagi merihatkan segala macam gadget saya yang tidak pernah istirehat dikerjakan.

Saya kehilangan tenaga dan energi apabila kondisi tubuh tidak stabil dan memburuk akibat kesan penyakit yang ditanggungi dan kesan pengobatan (kemotrapi) yang masih dalam proses. Keparahan sampai saya terpaksa melalui fisioterapi beberapa hari selepas itu dan juga membeli tongkat "berpagar" untuk berlatih berjalan dan bergerak semula di rumah. Kini Alhamdulilah semakin pulih dan sihat. Keyboard laptop dan I-pad sudah mula menyanyi dan berbunyi.

Saya tidak terkaget dengan keadaan itu dan nasib yang dialami, kerana saya telah membuka segala kemungkinan kepada diri saya, bukan kini tetapi sejak lama, sejak mengenali diri, memahami putaran kehidupan, tetapi sedikit terkilan apabila tidak bisa menulis, berasa bersalah dan berdosa pula kerana membiarkan penjengok blog atau pembaca status-satus saya di Fb, twiter dan lain ternanti-nanti dengan penuh tanda tanya tanpa berita.

Menghampakan harapan orang bukankah satu kesalahan dan dosa?

Buku terbaru Lutfi.
12 hari terbaring dengan mata terbuka, fikiran menerawan menjaring apa-apa sahaja isu dan bahan untuk ditulis sedangkan tangan dan jari jemari tidak mengizinkan, sesuatu yang menyedih dan mengilankan.

Pun begitu di hujung rasa, setelah tersandar di tembok keinsafan wujud rasa terima kasih, syukur penuh takzim dan pengertian bahawa Tuhan memberikan saya ruang untuk berihat sambil membuat berbagai-bagai semakan "mahasabah" diri dan kehidupan seluruhnya. Sebelum ini saya laju dan asyik dengan mudik sehingga terlupa hulu pengkalan asal detik bertolak.

Di sudut lain keuzuran memberi pengertian tersendiri, mengenal dan memberikan jawaban kepada saya bahawa saya disayangi segenap orang; kawan, saudara dan waris warah jauh dan dekat apabila tiada putus salam diterima dan rumah pula tidak sunyi dikunjungi siang dan malam untuk ziarah dan memberi semangat untuk saya. Tidak kurang juga yang membawa berbagai penawar penyembuhan.

Saya mencitera dan melakar senario ini bukan apa, cuma nak bercerita begitulah harapan dan iltizam bagi seseorang penulis yang mungkin ada tidak mudah memahaminya, sebaliknya mudah pula termakan dengan persepsi buruk yang sengaja dilontarkan. Ianya sangat tinggi, besar dan unik. Apa lagi mereka yang menjadikan penulisan sebagai alat perjuangan, menegak kebenaran dan mencegah kemungkaran, -  disamping wadah untuk mencari rezeki bagi kebutuhan hidup, anak dan isteri, apabila ditimpa musibah dan ujian sedemikian, ia sangat menekan perasaan. Seolah perjuangan terhenti dan sudah terhalang sedangkan kemenangan diharapkan masih jauh, tanggungjawab pula kian menggunung.

Dan perasaan itulah juga yang tersendak dalam diri sahabat saya Ahmad Lutfi Othman yang kini keuzuran sudah bertahun dan keuzuran itu menganggu kembara perjuagannya. Kesenyapan atau pun kehilangan karya (buku) seseorang penulis memberi tanda berlaku sesuatu yang malang kepadanya. Sudah lama pencandu buku-buku Lutfi tidak menemui karyanya di pasaran. Dan ketiadaan itu adalah kerana kemalangan yang tertakdir kepada dirinya. Keuzuran seakan melemahkan Lutfi untuk terus menulis.

Justeru itu saya sering berkata dan memberi dorongan kepada sahabat ini, agar terus bersikeras untuk menulis dalam keadaan apa sekali pun. Kalau boleh saya katakan kita jangan bermanja-manjaan dengan sakit. Setiap kali beliau merungut bahawa dia ketiadaan tenaga dan sukar untuk menulis serta mencurahkan rindu kepada buku-buku, saya memberi dorongan kepadanya, menulislah walaupun dalam keadaan payah. Sebab penulisan (berkarya) bagi orang seni sebahagian daripada penawarnya. Muzik menjadi lebih ampuh daripada butiran pil dan ubat atau vaksin kepada penyanyi. Muzik boleh menghidup jiwa meskipun fizikal la'ih.

Dan petang kelmarin dahulu Lutfi datang dengan membawa buku terbaharunya berjudul LORONG SEPI MEDIA BABAS sebagai hadiah kepada saya. Beliau ditemani salah seorang putra warisannya. Menjadi kebiasaan kalau kami ada buku baharu, buku itu menjadi ole-ole dan penyatakan bahawa kami masih sihat bersemangat atau masih bebas dibawah kawalan akta dan masih bisa menulis.

Betapa melihat beliau dan buku itu saya berasa kembang diri dan puas kerana kawan saya ini masih mampu melahirkan buku. Sebak berarak dalam diri, mencelah relong dan lorong sunyi dalam diri saya. Tanpa beliau dan anaknya menyedari saya mengunci kejap jendela mata daripada tertumpah air jernih.

Sungguh saya bangga dan seronok melihat Lutfi itu dan dengan apa yang dicapai Lutfi. Saya juga percaya beliau sendiri merasakan hidup lebih bermakna atau masih ada makna dengan kelahiran buku itu. Lorong Sunyi, Media Bebas, insyaAllah akan jadi jalan gegak gempita selepas ini apabila akan lahir buku demi buku Lutfi selepas ini.

Saya percaya realiti itu bukan kerana ketebalan buku itu yang mencecah lebih 800 muka surat, tetapi beliau harus berasa puas dan bertuah kerana dalam kesukaran namun dapat dihadapi dengan jaya.

Lutfi sebelum ini pernah menulis dan menerbikan buku setebal demikian. Bahkan buku-bukunya mencapai ketebalan paling rendah 300 muka surat. Jadi apabila dalam kesukaran, serba payah dan bergelut dengan rutin hemodislis tiga kali seminggu, namun beliau masih mampu menulis buku setebal itu ia sesuatu yang luar biasa. Apa lagi hasil kerja Lutfi masih tidak terjejas dari segi kecermatan dan kualitinya. Masih utuh. Ini menjelaskan bahawa penulis yang satu ini masih berenergi, penanya masih berair dan racunnya tetap menyerap melumpuhkan urat saraf kemungkaran.

Dengan lahirnya buku itu ia dikira menamatkan musim kemarau Lutfi dalam dunia penulisan hampir sedekad. Selepas ini akan ada lagi buku buku lain yang akan bertindak menjadi penawar dan penguat semangat. Ingat, perjuangan masih belum berhujung dan titik nikhtah masih kabur. Selagi kebebasan bersuara dan kepincangan sistem pentadbiran (politik) kita masih belum tercapai dakwat pena kita wajib tetap mengalir garang.

Syabas saya ucapan kepada sahabat Lutfi atas kelahiran buku baharu. Tahniah juga kepada anakandanya yang sudah memberatkan membantu si ayah dan saya tampak sudah ada zuirat bakal mewarisi ketrampilan Lutfi suatu hari nanti.

Ohnya, ingin saya uar-uarkan di sini buku itu dapat diperolehi menusi jualan online. Sesiapa berminat boleh menyuarakan keinginan kepada saya menerusi e-mail, atau pun whatsaap langsung kepada anak Lutfi (Ahmad Lukman Hakim 019-2903291). Wassalam. [wm.kl.10:53 am 23/05/16]

No comments: