Tuesday, May 17, 2016

Surat politik Anwar dari Sungai Buloh

ULASAN 

Hari ini kepala pemerhati politik belum habis berputar dan pening-pening memikirkan gelagat parti pembangkang untuk menghadapi dua pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala  Kangsar yang masih belum muktamad dan tuntas untuk sepakat, tiba tiba mereka disua atau tersua pula dengan surat Anwar Ibrahim yang memberi peringatan kepada gerakan Deklarasi Rakyat yang digerakkan oleh Dr Mahathir Mohamad.

Di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, pembangkang masih "berkekah" sesama sendiri. Kemunafikan politik jelas berlaku di situ dalam kalangan parti pembangkang. Satu masa mereka sikeras untuk menumbangkan BN dan Najib Razak yang kononnya cemar dengan pelbagai skandal dan membawa najis kepada negara, tetapi di masa lain mereka bergerak seakan untuk menyelamatkan kerusi BN itu.

Semacam ada sandiwara di situ? Kerana kalau mereka tulus dan ikhlas pasti pilihan raya itu akan dihadapi secara maufakat dan semua lubang dan retak untuk membolehkan BN lolos ditutup rapat. Apabila berlaku pertandingan, tiga atau empat penjuru menjadi banyak lubang dan lompong ini memberi kelebihan kepada BN.

Itu yang dikatakan politik pembangkang bukan ada kelas dan standard tersendiri, tetapi jelas penuh hipokrasi dan oportunis. Ia membingungkan kemudian meloyakan orang awam memikirkan cara pembangkang berpolitik.

Apa yang berlaku itu juga menebalkan keraguan orang ramai kepada pembangkang untuk mara dan diharap mengambil alih Putrajaya. Benarlah gelaran atau tuduhan pihak BN selama ini yang pembangkang tidur sebantal tetapi punyai mimpi berlainan. Apa yang terjadi dalam pembangkang bukan satu dakyah tetapi realiti. Mereka tidak dapat duduk sebakul melainkan jadi seperti ketam yang saling ingin "merukas" belakang antara satu sama lain untuk memerdekakan nafsu masing-masing.

Di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, sekiranya pembangkang gagal mencari jalan damai akhirnya menyebabakn BN menang besar, ini memberi kesan buruk kepada parti pembangkang di masa akan datang. Kepayahan pembangkang untuk bersatu dan maufakat akan dijadikan alasan kenapa parti pembangkang tidak boleh diharap mengganti BN dan orang akan muak kepadanya.

Keadaan yang memberi kesan buruk kepada pembangkang di dua pilihan raya itu, jadi semakin mencelarukan fikiran lagi apabila tersebar pula surat daripada Anwar Ibrahim yang memberi peringatan kepada rakan-rakannya supaya berhati-hati dengan agenda Dr Mahathir Mohamad menggerakkan Deklarasi Rakyat. Dalam surat itu Anwar cuba menjustifikasikan pandangan dan penerimaannya terhadap gerakan itu, tetapi mesej utamanya agar menolak gerakan Dr Mahathir itu.

Anwar tetap dengan agenda asalnya, reformasi menjatuhkan BN, menukar kerajaan yang ada kini. Walaupun deklarasi rakyat itu membantu proses berkenaan, tetapi bagi Anwar ia bukan putih kerana Dr Mahathir menyelit malahan menjadikan intipati untuk kepentingan politiknya. Saya tidak pasti apakah surat Anwar itu ditulis sebelum Dr Mahathir mengatakan Anwar tidak layak jadi PM kerana sudah tua dan tidak bermoral atau sebelumnya?

Tidak dapat ditusuk selindung Dr Mahathir mahu mencapai cita-cita politiknya. Bagi Dr Mahathir dia tidak mahu menumbangkan BN, sebaliknya yang perlu digugurkan Najib. Dr Mahathir masih mahu menggunakan BN sebagai wadah atau tangganya untuk menaikkan anaknya. Itu sahaja dan agenda itu jelas. Manakala bagi Anwar pula yang perlu digugurkan bukan Najib, tetapi BN sekaligus.

Saya rasa semua orang tahu dan dapat baca politik Dr Mahathir. Makanya ia perlu bijak. Dalam konteks usaha Dr Mahathir untuk menjatuhkan Najib itu seharusnya diambil kesempatan bijak oleh pembangkang dan juga pendokong Anwar. Dalam hal ini saya membuat ibarat Dr Mahathir sebagai sang buaya yang boleh digunakan untuk menyeberang sungai. Naiklah ke atas belakang buaya itu asalkan kita boleh seberang ke sana. Dalam pada itu harus waspada dan tahu menjinakkannya kerana ia haiwan yang ganas dan merbahaya.

Dengan apa yang berlaku kini, perkembangan politik kini membentuk tiga keadaan. Mahathir mahu Najib turun dan Umno terus hidup. Anwar pula mahu Najib turun, dan kerajaan BN juga diganti dengan kerajaan baharu. Di samping itu beliau dikeluarkan daripada penjara. Bagi peribadi Anwar dan orang-orang yang kasih dengannya jika ditawarkan tiga perkara itu, mereka tentu akan memilih pembebasan Anwar dahulu daripada yang lain.

Kerana kedua-dua (Mahathir dan Anwar) ada kepentingan maka tidak mungkin akan berlaku penyatuan dan kerjasama erat yang ikhlas. Masing-masing ada agenda tersendiri. Dalam usaha mencapai hajat masing-masing, masing-masing ada melakukan kesilapan. Tanpa disedari dengan perkembangan terkini kedua mereka masih berperang dan menyerang.

Misalnya surat Anwar itu keadaanya sama dengan Deklarasi Rakyat yang dianggap memecah-mecilkan Harapan Rakyat. Surat Anwar juga menimbulkan kekeliruan baharu mengenai penerimaan Anwar. Saya sendiri baharu memahami kenapa gerakan itu tidak disertai oleh orang-orang tertentu, keran ia sudah ada mesej awal dari Anwar. Paling menyedihkan sampai dianjurkan debat mengenai deklarasi itu kononnya mencari kebenaran.

Surat Anwar itu menjadi persoalan dan diterjemahkan mengikut rasa masing-masing walaupun ia membawa mesej tersendiri. Sebab ia berrsifat subjektif. Yang boleh dipertikaikan kenapa mesej itu tidak disampaikan serentak. Kenapa harus berselindung. Jelas bukan semua pemimpin PKR menerima mesej daripada Anwar itu. Penjelasan dan penafian Shamsul Iskandar Md Akin mengatakan surat itu sebagai palsu, manakala Rafizi Ramli pula mengesahkan ia sebagai benar menjelaskan bahawa surat itu tidak disampaikan secara adil. Kenapa? Maklumat atau mesej diberikan "beratahan" dalam PKR sendiri.

Apabila dilihat kedua-dua mereka mewakili kumpulan tertentu dalam PKR, seolah-olah surat itu disembunyikan dan ia tidak terbuka. Adakah tujuan dan maksud Anwar dalam hal ini. Adakah beliau tidak mempercayai atau meragui kesetiaan mereka yang bersama Dr Mahathir dan sebaliknya? Situasi sebgini seharusnya tidak berlaku.

Dalam pada itu saya ada maklum lain yang mungkn ada kaitan dengan surat Anwar atau sikap Anwar itu. Apabila membaca surat itu ia memberi gambaran, seolah-olah Anwar tidak mahu Najib diturunkan. Di sini ada hubungkait atau berita yang saya dengar. Anwar ditawarkan pembebasan awal daripada sepatutnya? Apakah bagi merealisasikan itu maka Najib tidak perlu diturunkan dahulu.

Apakah janji "luhur" yang dibuat kepada Anwar yang saya dengar ini menyebabkan Anwar menulis surat demikian yang membawa dua mesej berbeza. Tampak surat itu sangat berwaspada, tetapi ia kurang bijak dalam usaha merapatkan saf perjuangan. Surat sedemikian kalau cara edarannya tidak sekata dan menyeluruh, ia satu yang tidak baik bahkan boleh menimbulkan kekeliruan. Sebab itu saya namakan surat itu sebagai surat politik.

Apakah Anwar mengambil sikap begitu, bimbang dan prejudis dengan Dr Mahathir kerana mempercayai apa yang dijanjikan kepadanya. Benar atau tidak apa yang terlatas ke telinga saya kononnya Anwar akan diberi pengampunan bagi memboleh beliau dialam penjara hanya dua tahun sahaja. Apa yang berlaku kepada Khir Toyo menjadi precedent. Ertinya tahun hadapan beliau akan dibebaskan?

Apakah Anwar berharap dan percaya kepada janji berkenaan? Kalau inilah sebabnya maka surat sedemikian beredar, kononnya ia suatu justifikasi kepada Deklarasi Rakyat, maka ia sesuatu yang malang. Bukan sahaja orang diluar tidak konsisten dan keliru dengan pegangan politik, tetapi Anwar sendiri juga tidak pasti dan seakan menjadi salah fikir dan salah tafsir.

Surat Anwar itu sebagai amanat kepada pemimpin PKR itulah intipati dan iktibar boleh diambil, tetapi dari sudut lain ia juga ada elemen-elemen politik yang Anwar sendiri tidak dapat bersikap tegas dan beliau juga samar dengan apa yang hendak dilakukan. Surat itu kini sudah beredar dan mesejnya sudah dibaca dengan berbagai tafsiran dan makna. Apa yang boleh dilakukan, tidak dinafikan ada pihak yang terkilan dengan surat berkenaan. Surat itu akan meluaskan tuduh menuduh antara satu sama lain, natijahnya meretakkan hubungan sesama sendiri.

Apapun yang kita harap dan doakan semoga imbuhan yang diharapkan dengan sikap dan pendirian Anwar ambil itu menjadi kenyataan dan bukan hanya omong kosong sahaja. Janji itu janganlah palsu seperti beberapa kejadian sebelum ini. Diharap ia tidak seperti menyuapkan buah epal plastik kepada orang sedang kemaruk makan selepas demam panjang. Kesian... [wm.kl.1:14 t/hari 17/05/16]

No comments: