Thursday, August 30, 2018

Sebelum tegur perlu selidik

SUSUPAN SUBUH

SALAH satu senjata untuk membunuh kerjaya seseorang ahli politik dan gerakannya sekaligus ialah, menimbulkan persepsi buruk kepadanya. Dengan berbuat demikian si penuduh itu biasanya orang yang cemburu yang mahu individu itu ditolak oleh orang ramai. Kadang-kadang tuduhan atau singgungan kepada mereka dibuat  kononnya atas tugas dakwah, atau untuk menegur semata-mata.

Tetapi cara teguran yang dibuat dengan mengait isu-isu sensitif tidak memberi keuntungan kepada individu berkenaan. Kadang-kadang ia seperti sengaja dibuat untuk menyusahkan orang yang ditegur. Isu yang sering dikaitkan ialah maksiat, wanita, jenayah dan juga akidah atau khilaf aliran agama. Inilah isu yang mudah dimakan dan ditelan oleh orang Melayu apalagi kalau ia disungutkan oleh orang berkelayakan misalnya digelar ustaz, atau lagi berdarjat Doktor Falsafah.

Saya suka merujuk kepada apa yang dilakukan ke atas Presiden Amanah, Mohamad Sabu. Nampaknya Menteri Pertahanan ini tidak habis-habis berhadapan dengan cubaan menghina dan merendahkan moralnya. Sebelum ini di viralkan gambar beliau berselfie dengan pramugari. Selepas itu dikaitkan pula beliau dengan Syiah.

Seorang ustaz yang ikut mengaitkan Mohamad Sabu dengan Syiah hanya kerana presiden Amnah itu bergambar berlatar belakangkan rak buku yang ada kitab Syiah. Itu sahaja. Dangkal sekali kebimbangan disuarakan oleh individu berkenaan yang lantas Mohamad terpaksa membuat penjelasan berkaitan hal itu.

Walaupun tujuan orang berkenaan ikhlas kononnya untuk menjaga reputasi Mohamad Sabu tetapi apabila ia mengaitkan itu itu dan dibuat dalam media massa ia menimbulkan persepsi buruk kepada Mohamad Sabu. Orang yang mempercayai terang-terang kepada keilmuan orang yang menegur itu akan menganggap Mohamad Sabu sebagai penganut fahaman Syiah. Menegur tanpa fatonah membahayakan lebih baik tidak berbuat demikian daripada melakukannya.

Inilah saya kata tidak ada sikap fatonah kepada mereka yang menegur Mohamad secara terbuka yang membabitkan isu-isu sensitif. Sepatutnya orang yang mahu menyelamatkan maruah Mohamad Sabu beliau menghubungi Mohamad Sabu secara personal dan menyatakan kebimbangan itu. Bukan mendesak Mohamad membuat penjelasan di khalayak yang berbauk skeptikal.

Macam mana anda sebagai pendakwah yang perlu mempunyai sifat toleransi, berhemah boleh berbuat begitu. Anda sepatutnya tidak mencetuskan tanggapan buruk kepada seseorang yang ditegur kerana kesannya berat. Bagi saya penegur bersikap begini, kurang bijak dan tidak ada perasaan ukhwah kepada orang yang ditegur.

Justeru penyokong atau ahli politik tidak mudah menerima teguran dibuat oleh para ilmuan agama di luar parti mereka. Mereka perlu mempercayai kepada pemimpin masing-masing berkaitan apa-apa isu agama dan moral yang timbul. Misalnya tentang Mohamad Sabu dikaitkan dengan Syiah itu, pendokong parti itu perlu mendengar apa ulasan dan teguran pemimpin agama dalam parti Amanah dahulu. Parti itu ada tokoh berkelayakan untuk membuat ulasan mengenai apa-apa yang ditimbulkan atau berlaku itu.

Dalam Amanah, ada Ahmad Awang, Abdul Ghani Shamsuddin yang ilmu agamanya tidak kurang hebatnya. Orang-orang ini perlu menegur jika ada sesuatu yang sumbang dan cacat. Selagi orang ini tidak tegur bermakna apa yang timbul itu masih belum kes berat. Masakan Ahmad dan Abdul Ghani bersubahat melindungi kecatatan dan kesumbangan.

Begitu juga dengan isu-isu agama yang timbul dikalangan pemimpin Pas, atau pun apa-apa ijtihad yang dibuat oleh parti itu, ia perlu mendapat dan diulas oleh para ulamanya. Majlis Syura Ulama (MSU) misalnya badan berautoriti dalam membuat apa-apa ulasan berkaitan agama. Maka mereka hendaklah dipercayai dan diyakini.

Individu diluar walaupun setinggi mana ilmu agamanya, bukan tidak ada hak tetapi sumbang apabila mereka bercakap untuk menegur apa-apa isu berkaitan agama seseorang pemimpin parti. Apa lagi kalau tuduhan dan teguran itu dibuat tanpa menyelidik sebaik mungkin dan ada niat tidak baik. Tuduhan secara rubbish begitu walaupun baik ia boleh menjadi buruk. Cara begitu menghilangkan hikmah dakwah yang dibawa itu. [wm.kl.6:45 am 30/08/18]

No comments: