Saturday, September 1, 2018

Tugas KSN sama berat dengan tugas PM

SUSUPAN SUBUH

BESAR harapan yang rakyat letakkan ke atas bahu Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang baharu Dr Ismail Bakar (foto). Peralihan jawatan itu daripada Ali Hamsa sebelum ini dilihat peralihan yang tepat dan sangat kena pada masanya serta sesuai dengan aspirasi kerajaan Harapan.

Beberapa kelemahan dan kecacatan dalam perkhidmatan awam yang berlaku di era Ali Hamsa hendaknya dapat ditangani dengan sempurna dan profesional oleh Ismail. Ismail perlu mengembalikan kredibiliti pegawai awam sepenuhnya.

Mengambil kira kenapa Ali Hamsa tidak disambungkan kontraknya sehingga tahun 2020 walaupun PM sebelum ini sudah mengeluarkan surat persetujuan dan mendapat perkenan Agong, tentulah kerana ada kesalahan dan kecacatan besar dilakukan oleh mantan KSN itu. Tentu ada sesuatu yang dihidu oleh PM baharu Dr Mahathir Mohamad akan kegagalan Ali Hamsa.

Kalau tidak masakan Dr Mahathir tergamak  atau suka-suka melanggar "keputusan" itu untuk menunjukkan kekuasaannya sebagai PM. Tentu ada sebab yang kuat. Dan menjadi hak Dr Mahathir sebagai PM mahukan seorang yang boleh bekerja baik dengannya di apa-apa sektor jua. Dalam hubungan ini Dr Mahathir tidak mengambil kira pelantikan seseorang itu atas kapasiti hubungan dengan dirinya tetapi mengambil kira kepentingan negara dan demi rakyat.

Umum tahu tugas para pegawai kerajaan adalah menjadi nadi dan penggerak kepada kerajaan. Segala polisi dan dasar kerajaan akan digerakan oleh mereka. Jaya atau tidak sesuatu dasar dan polisi itu akan ditentukan oleh pegawai kerajaan sebagai pelaksana. Sebaik mana dasar kerajaaan dan berkobarnya semangat rakyat untuk melihat perubahan serta melaksanakan aspirasi kerajaan ia tidak akan tercapai kalau agen pelaksanaannya tidak cekap atau kompeten.

Selalunya dasar dan agenda besar sesebuah kerajaan itu gagal disebabkan antaranya kerana tidak ada kerjasama dan diberi sokongan padu oleh pegawai kerajaan. Dalam erti kata lain ada sabotaj.

Mungkin kerana menyedari ada dosa besar dilakukan Ali Hamsa serta beberapa kerat kakitangan dibawahnya, maka beliau terpaksa melanggar surat keputusan penyambungan kontrak itu dan melantik Ismail sebagai penggantinya.

Dan kepada Ismail seperti mana disebut tadi, besar harapan rakyat dipanggung ke atasnya. Kepercayaan Perdana Menteri terhadapnya satu cabaran. Perkara paling penting yang bagi Ismail ialah memperbetulkan ketidaksempurnaan berlaku sebelum ini. Ini  bukan tugas mudah untuk dilaksanakan. Di sinilah ia menguji kewibawaan beliau sebagai KSN ke 14. Keadaan Ismail hari ini sama "mencabar" dengan situasi dihadapi Dr Mahathir. Justeru mereka memerlukan kepaduan yang utuh.

Tidak perlu disebut apakah kelemahan dan kecacatan jelas dalam perkhidmatan awam di era Ali Hamsa khasnya di peringkat tertinggi. Begitu juga dengan kesalahan-kesalahan atau pelanggaran prinsip oleh pegawai kerajaan di era Ali Hamsa. Ismail mungkin sudah dapat menghidu dan dirasai sendiri olehnya kerana beliau berada tidak jauh dari Ali Hamsa.

Dengan apa yang berlaku dan diketahui itu Ismail dapat membaikinya atau menggunakan maklumat itu untuk meletakkan pegawai awam ditempat sepatutnya dan memainkan peranan sebaik mungkin. Dalam kata lain mengembalikan keyakinan rakyat sepenuhnya kepada kakitangan awam khasnya diperingkat tertinggi, KSN, Ketua Pengarah Jabatan, Agensi dan lain-lain. Ini tugas bukan mudah.

Telah menjadi sejarah era Ali Hamsa tercetus beberapa insiden di mana ada pegawai kerajaan yang terlibat dengan penyalahgunaan kuasa termasuk rasuah. Ia bukan sahaja berlaku di kalangan pegawai bawahan, pertengahan, tetapi ada yang sampai peringkat tertinggi sebagai Ketua Setiausaha (KSU). Noda yang tercalar dalam perkhidmatan awam ini perlu disucikan.

Selain itu aspek turut mencabarkan Ismail ialah untuk mengembalikan hak dan meletakkan sempadan putih, di antara pegawai kerajaan dengan orang politik khasnya menteri. Bukan sedikit para pegawai kerajaan, KSU, Pengarah Jabatan, Agensi dan lain-lain menghadapi tekanan politik, bukan saja Menteri tetapi ketua bahagian parti juga. Orang politik berkuasa mahu menjadikan pegawai kerajaan sebagai "hamba" mereka bukan hamba negara.

Arahan-arahan dan perintah menteri ditujukan kepada mereka yang ada kala sangat sulit untuk diterima kerana ia bertentangan dengan piagam perkhidmatan. Lebih malang lagi kerana takut atau terdesak atas arahan orang politik akhirnya mereka menjadi mangsa sampai ada yang ke penjara atau kena naik turun mahkmah.

Hal-hal atau keadaan ini tidak perlu wujud lagi semua pihak perlu bersikap profesional dan saling hormat menghormati kedudukan masing-masing.

Ini adalah di antara masalah sangat menguji Ismail untuk menanganinya. Pegawai kerajaan perlu diberikan kebebasan mengikut piagam perkhidmatan dan dalam masa sama pegawai kerajaan hendaklah tahu dan sedar peranan mereka untuk melaksanakan kehendak kerajaan secara berhemah mengikut peraturan yang jelas dari masa ke semasa atas arahan KSN.

Untuk menggambarkan "dilema" ini, kita pernah dengar macam mana KSU kementerian dipaksa melakukan sesuatu untuk kepentingan politik kepada menteri. Seolah-olah KSU berada dibawah arahan menteri secara langsung bukan KSN. Dan kita juga dengar macam mana KSU menggunakan kuasa dan kedudukan yang ada kepadanya untuk kepentingan dirinya. Ada yang memberi projek kepada anak beranak atau "sain sobat". Situasi ini menjadi cabaran utama kepada KSN baharu ini.

Apa pun tugas awal Ismail ialah menyakinkan pegawai kerajaan dengan kerajaan baharu. Beliau perlu serasikan jiwa dan sikap pegawai kerajaan dengan kerajaan baharu. Kerana sudah lama larut dalam sistem kerajaan lama, apabila kerajaan bertukar tentu mereka merasa kekok dan asing. Mindset para pegawai perlu ditukar mengikut rentak dan kehendak semasa.

Ini juga bukan perkara mudah. Tetapi kita yakin dengan kewibawaan, pengalaman luas dalam perkhidmatan awam yang ada kepada Ismail beliau dapat menguruskan pegawai awam dengan baik. Kecemerlangan kerajaan terletak kepada kecemerlangan kakitannya. Dan kejayaan ini akhirnya akan mengalir dan tertunggak di atas bahunya sebagai ketua.

Akhirnya tahniah kepada Datuk Seri Dr Ismail Bakar atas pelantikan sebagai KSN ke-14. Seperti tagline kerajaan PH, berbunyi Harapan, maka Harapan besar juga disangkutkan kepada bahu Ismail [wm.kl.8:23 am 01/09/18]

No comments: