Tuesday, September 11, 2018

Majlis Maal Hijrah 1440 PH Kelantan meriah

LAPORAN KEJAUHAN

Husam sedang menyampaikan ucapan.
MAJLIS sambutan sempena kedatangan tahun baharu Hijri 1440 anjuran Pakatan Harapan (PH) Kelantan hari ini meriah bila mana lebih 2,000 hadir.

Majlis itu berlangsung di Kubang Kerian, Kelantan. Empat ekor lembu dan seekor kerbau ditumbangkan untuk kenduri majlis berkenaan. Semua pemimpin PH Kelantan turut sama hadir.

Majlis itu juga sebagai simbolik kepada peraian daripada rakyat Kelantan khasnya para penyokong dan PH kepada pelantikan beberapa pimpinan PH Kelantan memegang beberapa jawatan dalam kerajaan baharu Harapan serta pelantikan sebagai anggota Dewan Negara (Senator). Antara mereka ialah Pengerusi PH Kelantan Husam Musa dilantik sebagai senator. Husam mengangkat sumpah sebagai Senator 3 September lalu.

Pelantikan Husam dinanti-nantikan rakyat Kelantan atas kapasitinya sebagai pemimpin utama yang dilihat tercicir dari arus kerajaan Harapan. Pelantikan Husam itu sangat bererti dan memberi signifikan kepada rakyat Kelantan yang ingin perubahan politik di Kelantan.

Eddin dan para pemimpin PH Kel.
Selain Husam, turut sama dirai ialah pelantikan Ketua PPBM Ketereh Dr Radzi Jidin yang dilantik sebagai Senator kemudian diangkat menjadi timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Cikgu Wan Abdul Rahim Wan Abdullah sebagai Pengerusi Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara, Abdul Rashid Abdul Rahman mempengerusi sebuah badan berkaitan pilihan raya dan lain-lain.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multi Media, Eddin Syazlee Shith ikut sama hadir sebagai tetamu jemputan khas. Kesemua pimpinan PH Kelantan, Pengerusi PKR, Abd Aziz Kadir, Pengerusi PPBM Kamaruddin Md Noor, Pengerusi Amanah Kelantan Wan Abdul Rahim, Pengerusi DAP Kelantan Chua, Ketua Sekretariat PH Kelantan Mohd Sobree Shafei dan lain-lain hadir. Dr Radzi yang diraikan bagaimana pun tidak hadir.

Majlis sempena kedatangan tahun baru Islam itu merupakan majlis seumpama itu pertama diadakan di Kelantan yang dihadiri semua pemimpin Pakatan Harapan Kelantan. Sebelum ini walaupun majlis melibatkan pimpinan semua gabungan pernah diadakan tetapi ada yang "sakit" dan tidak hadir atau sengaja mengadakan majlis lain berasingan.

Sebelum itu sebelah pagi, pimpinan PH Kelantan mengadakan mesyuarat PH bertempat di pejabat Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara, di Kota Bharu. Beberapa perkara ke arah pengukuhan PH Kelantan turut sama dibincang.

Sebahagian tetamu yang hadir.
Kehangatan dan kemeriah majlis pagi ini dengan dihadiri semua pimpinan PH Kelantan membuktikan para pemimpin PH Kelantan sehati dan sejiwa menanamkan azam baharu untuk menggerakkan PH Kelantan selari dengan pencapaian PH di negeri-negeri lain. Dalam pilihan raya umum lalu PH Kelantan tidak memenangi sebarang kerusi dan hampir semua calonnya hilang deposit.

Husam semasa berucap menyatakan kesyukuran sambil menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong atas pelantikan beliau sebagai ahli Dewan Negara. Pelantikan beliau itu menolak tanggapan dan cerita-cerita yang direka  mahu memburukkan dirinya sebelum ini.

Sementara Eddin pula dalam ucapannya memberi jaminan yang kementeriannya bersedia untuk menghulurkan apa jua bantuan untuk PH dan rakyat Kelantan.

Jaminan Eddin itu merupakan timbalan menteri pertama memberi komitmen sepenuhnya kepada PH Kelantan. Komitmen demikian sudah tentu akan memberi suntikan semangat kepada ahli dan penyokong PH khasnya dan rakyat Kelantan amnya. [wm.kl.3:12 pm 11/09/18]

No comments: