Monday, September 10, 2018

Mesej KSN ke arah Malaysia baharu

ULAS PANDANG

KENYATAAN sulung KSN baharu Ismail Bakar perlu diambil perhatian serius dan terbuka oleh semua pihak khasnya penjawat awam untuk memastikan institusi itu berada di garis tepat dalam membawa aspirasi kerajaan Harapan untuk membangun negara.

Seruan Ismail itu bukan sahaja tertuju dan perlu dihadam oleh kakitangan awam kerajaan sahaja, sebaliknya semua entiti baik langsung atau tidak yang bertanggungjawab membangun negara ini. Ini termasuk juga kepada pemimpin atau pentadbir, organisasi sokongan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), badan-badan parti politik dan sebagainya.

Ismail memberi peringatan bahawa zaman penjawat awam perlu menurut membuta tuli telah berlalu dan tidak lagi perlu terbuai dengan mimpi masa lampau. Apa yang perlu dilakukan penjawat awam concern bagi mendepani cabaran dunia tanpa sempadan, yang mana setiap penjawat awam perlu menjadi pemimpin yang mampu berfikir secara kritis dan kreatif, bukan hanya menjadi seorang pengikut.
Peringatan dan amaran itu mustahak dalam keadaan hari ini, peralihan kerajaan. Kerajaan hari ini tidak mudah untuk digerakkan sekiranya tidak ada semangat dan kepekaaan seperti disarankan Ismail itu di kalangan pegawai kerajaan.

“Segala pendekatan baharu ini tidak mungkin dapat dilaksana sekiranya kita semua masih dibuai mimpi lama. Pada masa terhad ini, penjawat awam perlu bertindak pantas dalam tugasan berlandaskan kepada prinsip bersih, cekap dan amanah,” ujarnya.

Penegasan itu memberi konotasi yang sedikit membimbangkan apakah sikap kakitangan kerajaan sebelum ini tidak menghormati etika dan profesional mereka? Apa lagi beliau juga menyebut perkhimdatan awam sebelum ini tercemar akibat terkait dengan isu integriti dan tadbir urus dalam kalangan penjawat awam.

Noda itu perlu dipadamkam kerana penjawat awam merupakan tulang belakang yang harus berani bertindak untuk terus mempertingkatkan kecekapan, akauntabiliti, integriti, tadbir urus, ketelusan dan etika dalam pelaksanaan tugas seperti mana katanya. Cemar dan rosak imej pegawai kerajaan maka rosak dan cemarlah imej kerajaan.

Apabila beliau menyebut jangan menjadi pengikut secara buta tuli, kepada siapakah yang dituju dan dimaksudkan itu? Apakah ia bermaksud pengikut kepada mereka yang mempunyai kuasa ke atas kerajaan, maksudnya orang politik?

Kalau itulah, boleh dianggap sebelum ini pegawai kerajaan akur dengan menggadaikan maruah dan tanggungjawab mereka tanpa memikirkan kuasa mereka kepada orang politik. Semacam apa yang hendak disampaikan seolah-oleh penjawat awam dipaksa mengikut naluri dan nafsu orang politik? Begitukah?

Begitu juga perlu difahami apabila beliau melarang daripada mengimbau masa lalu. Apakah maksudnya pegawai kerajaan tidak perlu bernostalgia kepada kerajaan masa lalu sehingga sayang untuk bertindak melakukan apa-apa arahan berupa polisi dan dasar kerajaan baharu?

Peringatan dan pandangan dilontarkan Ismail itu perlu difahami sebaik mungkin agar ia tidak tersalah faham yang akhirnya meletakkan pegawai kerajaan dalam dilema. Mereka yang sangsi dan keliru perlu meminta pencerahan daripadanya.

Sesuai dengan kedudukan sebagai KSN Ismail wajar memberi peringatan dan pandangan itu. Bukan itu sahaja beliau perlu mempunyai mekanisme sendiri melakukan pemantauan untuk menjamin pegawai kerajaan di bawah bidang kuasanya dapat melaksanakan tugas yang dipikul mereka secara berkesan.

Kita menyokong saranan dan pendirian KSN itu dalam membina kerajaan baharu sekaligus menjadi pegawai kerajaan sebagai entiti yang dihormati dan bermaruah.

Bagaimana pun ada hal-hal yang tidak boleh dilupakan Ismail, bukan sahaja melihat macam mana penguasa politik menekan pegawai dan kakitangan kerajaan, sebaliknya beliau juga kena melihat sikap sesetengah pegawai kerajaan sendiri yang bergerak bertentangan dengan semangat dan aspirasi kerajaan baharu.

Tidak dinafikan kerana sesetengah mereka lama tenggelam dalam pengaruh dan aura kerajaan lama ada pegawai kerajaan termasuk KSU sendiri, Pengarah Jabatan, Agensi dan badan-badan tertentu masih liat untuk menjadi kritis atau pun peka dengan perubahan kerajaan. Mereka masih bernostalgia dengan kerajaan lampau.

Mereka ini juga perlu dipantau dan perhatikan serta jika perlu diberi motivasi baharu. Jangan kerana kerajaan yang ada kini ia dibentuk oleh parti yang mereka tidak suka atau bertentangan dengan naluri politik mereka, maka tidak disokong. Perbuatan mereka itu adalah sabotaj.

Untuk meletakkan hubungan pegawai dengan pembuat dasar berjalan seajalur beliau perlu memantau. Sikap pilih kasih atau pun unsur kronisme dalam perkhidmatan awam tidak perlu wujud. Sebelum ini kita tahu kalangan pegawai mewujudkan kumpulan sesama sendiri, sehingga ada disebut kumpulan KSN dan kumpulan anti KSN. Siatusi itu tidak perlu berlaku kerana ia merugikan negara dan mencacatkan pegawai kerajaan sendiri.

Dalam pada itu pendedahan dibuat Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ada sabotaj di kalangan pegawai kerajaan perlu diberi perhatian. KSN perlu mengunci perkara ini dalam jiwa besar perkhidmatan. Dr Mahathir dalam menyatakan rasa tidak puas kepada menterinya gagal melaksanakan janji 100 hari ada mengaitkan kelemahan itu disebabkan  mereka tidak mendapat kerjasama daripada pegawai kerajaan sepenuhnya. Salah satu isu disebut ialah macam mana pegawai kerajaan tidak segera meluluskan pelantikan pegawai menteri.

Kita berharap KSN yang baharu akan bergerak sederap secara penuh profesional dengan kerajaan baharu Harapan. [wm.kl. 8:13 am 10/09/18]

No comments: