Thursday, September 13, 2018

Pas perlu memuktamadkan kerjasama dengan Umno

PANDANGAN

Kemesraan pemimpin Umno dan Pas di Pirake.
PARTI agama (Pas) akan mengadakan muktamar tahunan bermula esok 14 September bertempat di Terengganu. Seperti selalunya muktamar Pas akan menjadi perhatian. Muktamar ini adalah pertama kali selepas Pas yang membentuk Gagasan Sejahtera yang tidak kesampaian untuk menguasai Malaysia dalam pilihan raya umum lalu.

Kapal GS karam sebelum diturunkan ke air lagi, apabila sebuah parti gabungannya menarik diri saat pilihan raya berlangsung.

Pencapaian Pas dalam Piraum lalu jauh meleset apabila hanya menang di Terengganu dan berjaya mengekalkan kerajaan peninggalan Nik Aziz di Kelantan sahaja. Keparahan besar Pas ialah di Selangor apabila 15 kerusi Adun miliknya hampir lupus apabila hanya menang satu sahaja di Sijangkang.

Isu atau post-mortem kekalahan itu nanti pasti akan ditunggu-tunggu.

Selain itu, isu yang bakal menjadi tumpuan di muktamar itu ialah berkenaan kerjasama di antara parti itu dengan Umno. Kerjasama yang dahulunya dikenali dengan ta'awun untuk kebaikan bersama, Islam dan Melayu sudah mulai terheret ke dalam kerjasama menyerang kerajaan lebih serius dan berusaha menjatuhkannya. Dalam kata lain kerjasama untuk membentuk kerajaan bersama.

Beberapa kelakuan yang dipamerkan Pas dengan Umno kini menunjukkan kerjasama itu sedang berjalan dan digerakkan dengan baik dan serius. Ahli dan penyokong bawahan diberi semangat dan keyakinan secukupnya. Cara bersosial orang Pas dengan Umno juga dirapat dan diperluaskan lagi. Mereka kini sudah boleh duduk bersama, saling menjulang panji dan melaungkan takbir yang senada.

Misalnya apa berlaku dalam Pirake Sungai Kandis dan Seri Setia yang lalu, kedua parti saling bertukar sokongan dan menyokong di antara satu sama lain. Pemimpin Pas dan Umno sudah berganding bahu berarak mengiringi calon. Tidak cukup itu mereka juga sudah duduk sepentas dan berpelukkan. Doa-doa pemimpin yang sebelum ini mendoakan agar Umno dilaknat Allah sudah pun diamin oleh orang Umno.

Meskipun kerjasama di dua pilihan raya itu tidak begitu membanggakan tetapi ia menunjukkan tanda-tanda positif. Umno dan Pas benar-benar sudah membuang yang keruh menceduk yang jernih.

Terbaharu pula Presiden Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man bersama Setiausaha Agung Takyuddin Hassan telah mengadakan kunjungan mahabbah ke atas Timbalan Presiden Umno Mohamad Hassan. Kunjungan segera sebaik diketahui kerusi Port Dickson dikosongkan itu menunjuk betapa akrabnya Pas dengan Umno. Perancangan awal yang menyeluruh sudah disusun aturkan.

Lantaran itu mana-mana pihak dalam Pas maupun Umno tidak boleh menafikan kerjasama ini. Menafikan perkara yang sudah nyata satu hal tidak bijak. Orang sudah hamil sembilan bulan tidak boleh diselindungi dengan baju labuh lagi. Perut tetap membonjol. Ia sama dengan orang menafikan dia tidak berak sedang tahi berbau di sekelilinginya. Sebenarnya baik Umno dan khasnya Pas tidak perlu segan dan takut untuk bekerjasama secara nyata dan menerusi satu prikatan. Kenapa harus takur kepada kebenaran yang diyakini?

Keadaan dan senario politik hari ini sangat memerlukan paduan Pas dengan Umno, menjadi wadah pembela dan pejuang bangsa dan agama. Jika Umno dan Pas yakin kerajaan Harapan hari ini memburukkan keadaan nasib Melayu dan Islam, nah mereka harus bangkit terus dengan penuh yakin. Melainkan isu itu hanya ciptaan untuk mengabui mata rakyat agar membencikan Kerajaan,  kerjasama itu tidak perlu.

Justeru, dalam muktamar ini satu sikap perlu diambil khasnya oleh Pas. Muktamar di Terengganu itu elok dijadikan pemuktamadan hubungan Pas dengan Umno secara absah. Jadikan muktamar itu sebagai pemeteraian kerjasama yang komprehensif dan ideal. Pas jangan peduli lagi kepada kecaman dan ejekan dengan kerjasama ini. Pas perlu memikirkan survival perjuangannya untuk mencapai apa yang lama dicita-citakan.

Bagi pihak Umno tampaknya sudah tidak ada masalah. Umno kini berharap nyawa dengan Pas. Bagi Umno Paslah satu-satu titian ampuh buatnya menyeberang sungai. Apakah titian itu kuat, kukuh atau sebaliknya tetapi itu sahaja pilihannya. Begitu juga bagi Pas.

Kita faham ada juga kalangan dalam Pas bimbang dengan rancangan ini. Masih ada ahli dibawahan yang tidak dapat menerima Umno kerana kesan sejarah lama. Ini ditakuti pemimpin Pas, protes ahli yang tidak dapat terima Umno.

Tetapi perkara itu boleh diatasi. Didikan dan doktrin ke atas ahli dan penyokong Pas supaya taat dan wala' kepada pemimpin, menjadi modal utama untuk Pas bertindak melaksanakan cita-cita itu. Ahli dan penyokong Pas akan taat apa sahaja yang pucuk pimpinan diputuskan. Mereka akan berpegang kepada kata-kata dan juga keputusan dibuat pemimpin kerana mereka sudah menyerah diri sepenuhnya kepada jihad sabililah Pas.

Siapa yang tidak mahu memasuki syurga? Syurga menjadi umpan besar kepada Pas untuk memberkas hati dan jiwa ahli dan penyokongnya.

Sebaik-baiknya dalam muktamar ini Dewan Ulama sendiri yang membawa usul kerjasama Pas dengan Umno. Dewan ini diyakini akan kesucian nawaitu itu. Apabila Dewan Ulama membawanya pasti tidak ada siapa yang akan berani membantah dan menentangnya. Sesiapa yang membantah mereka adalah orang yang tidak taat, dan tempat orang ingkar dari sisi perjuangan Pas ialah neraka Wail.

Dan mana-mana penentang kerjasama itu nanti bolehlah digolongkan kumpulan pengkhianat yang perlu berada di luar Pas atau dikeluarkan Pas. Proses apa dinamakan penyaringan ahli-ahli beriman dan bertakwa demi mencapai keredhaan Allah boleh dilakukan dalam agenda untuk memeteraikan kerjasama itu. Ahli Dewan Ulama tentu mempunyai banyak kitab-kitab Hadith dan reti mengeksploitasikan ayat-ayat Quran untuk menghalalkan sesuatu yang dulunya diharamkan.

Pemuktamadan kerjasama itu sangat mendesak kini. Masa terbaik ialah dalam muktamar di Terengganu itu nanti. Apa lagi saat hendak berlangsungnya pilihan raya kecil Port Dickson mebabitkan Anwar Ibrahim. Dalam pilihan itu nanti Pas perlu memastikan Anwar tewas, kerana kemenangan Anwar bermakna memanjangkan ranjau perjuangan Pas. Atau sebaliknya, jika Pas mengira saat Anwar jadi PM akan membuka semula seleranya untuk bersama kerajaan, walahu'alam.

Ada juga di kalangan pemimpin Pas berteori peluang Pas untuk menjadi peneraju politik negara lebih terbuka dan cerah tatkala Anwar mengambil alih kepimpinan negara daripada Dr Mahathir Mohamad kelak. Alasannya mereka menyimpan dan mengetahui banyak rahsia Anwar berbanding rahsia Dr Mahathir. Mereka akan guna itu untuk mengepong Anwar. Begitu juga jalinan Umno yang kini diketuai Zahid Hamidi memudahkan mereka untuk bersama Pas. Zahid selamanya menjadi khadam penarik tali unta kepada Anwar.

Kedudukan dan kapasiti Zahid itu boleh ditumpangi Pas dan Zahid sendiri tentu seronok apabila beliau berjaya memperalatkan Pas bagi mendapat kekuatan untuk menyakinkan Anwar kepadanya.

Apapun hendaknya muktamar di Terengganu nanti akan membekas sesuatu yang berimpak tinggi demi bangsa dan negara. [wm.kl.11:39 am 13/09/18] 

No comments: