Tuesday, June 11, 2019

Marilah kita buka mata seluas-luasnya

Suku Bateq di sebuah khemah sementara.
ULASAN KHAS

KEJADIAN yang menimpa Orang Asli suku Bateq di Kuala Koh Gua Musang boleh membuka mata kita semua dan kejadian itu perlu diambil sebagai iktibar berguna.

Walaupun punca kematian masih belum dipastikan, tetapi kematian dalam jumlah besar, 14 orang dalam tempoh singkat ia menggemparkan. Kematian itu bukan kematian biasa tetapi kematian luar biasa yang boleh dianggap suatu tragedi kepada suku itu.
Kita semua mula sedar dan mengetahui akan kewujudan Orang Asli suku Bateq itu dengan berlakunya kejadian itu. Selama ini kita tidak pernah tahu akan keberadaan mereka serta susur galur dan budaya hidup mereka serta susah dan senang mereka dalam bertarung meneruskan kehidupan.

Biarlah apakah punca kematian beramai-ramai itu kita semua perlu sedar, insaf dan membuat koreksi diri sebagai manusia.

Suku Bateq ini adalah sebahagian dari 18 suku Orang Asli yang terdapat di negara kita. Mereka masih kekal mengamalkan gaya hidup tradisi dengan cara berpindah randah dari satu tempat ke satu tempat. Kehidupan secara nomad ini masih diteruskan, walaupun tidak sepenuhnya. Suku-suku Orang Asli, lain Temiar dan Menderiq di Kelantan sudah lama mempunyai penempatan moden.

Realiti yang ada kepada mereka bolehlah dianggap suku ini masih terkebelakang, atau corak kehidupan mereka masih primitif dan tidak banyak berubah. Berbeza dengan suku-suku lain yang telah menempuh kehidupan cara moden betah untuk tinggal di kawasan penempatan dibangunkan kerajaan. Mereka juga berpendidikan bahkan ada yang memegang jawatan penting dalam kerajaan. Berbeza dengan suku Bateq mereka masih belum berpendidikan.

Secara jujur.

Sejujurnya saya sendiri mengetahui kewujudan suku ini apabila berlaku kejadian itu. Ekoran itu saya membuat carian di internet dan mendapat maklumat mengenai mereka. Mungkin kalau tidak berlaku peristiwa malang itu saya masih jahil mengenai mereka dan berada jauh dengan mereka.

Catatan seorang wartawan Azalinariah Abdullah (Astroawani) (ruj: http://www.astroawani.com/perspektif/mendampingi-orang-asli-batek-27926.) memberi maklumat awal kepada saya mengenai perihal suku Bateq ini. Pembacaan itu menarik saya untuk membuat carian seterusnya.

Menerusi google, menemukan saya banyak maklumat dan cerita mengenai mereka termasuk asal usul atau sejarah kedatangan mereka ke negara ini.

Sejarah suku Bateq.

Suku Bateq ini merupakan Orang Asli dari puak Negrito yang hanya terdapat di Kelantan dan Pahang. Dari satu bancian jumlah mereka hanya 1,561 orang sahaja? Tempat atau kawasan kediaman mereka ialah dalam hutan tropika terutamanya di Taman Negara.

Nama Bateq dirujuk kepada orang Asli Melayu. Mereka kumpulan Austronesia yang berpindah dari pulau ke pulau di Asia Tenggara dengan menaiki perahu dan berjalan kaki. Suku ini mula ditemui (didokumentasikan) oleh penulis Russia, Nicholai Miklukho-Maklai pada tahun 1878 kira-kira 138 tahun lampau. Begitu pun dipercayai kewujudan mereka lebih lama dari itu.

Suku ini bertutur atau berkomunikasi sesama mereka dengan menggunakan bahasa Mon-Khmer dari rumpun bahasa Austro-Asia. Manakala sebagai pendamping kehidupan mereka, mereka mempunyai dua alat sahaja sumpit dan sikat rambut.

Suku Bateq ini mempunyai kemahiran dan arif seluk beluk hutan. Cekap memburu haiwan untuk makanan mereka seperti tupai, monyet, burung dan lain-lain. Tahu memilih herba untuk dijadikan ubat-ubatan dan penawar. Juga menjadikan sumber hutan seperti madu, damai, gaharu, rotan dan herba ubat untuk sumber pendapatan.

Kehidupan mereka pula secara berkeluarga dalam kelompok 10 hingga 15 orang. Kediaman mereka merupakan bangsal yang dibina daripada buluh, daun rumbia, nipah dan sebagainya. Bangsal atau rumah kecil mereka dibina di tepi-tepi sungai untuk beberapa ketika sebelum berpindah ke kawasan baru. Mengenai kepercayaan, mereka penganut animisme dan mempercayai mereka adalah penjaga alam ini bukan pemiliknya.

Sementara menurut Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Prof Juli Edo tiga factor kenapa mereka hidup secara semi-nomad ialah kerana keperluan makanan, untuk bersama keluarga atau pun melari/melindungi diri daripada penyakit. Kebiasaanya apabila anggota keluarga mereka meninggal mereka akan berpindah ke lokasi baru.

Tersisih.

Dari bacaan dan penilaian saya secara umum, keadaan dan nasib mereka mengilankan. Suku ini masih terkebelakang dan tersisih dari pembangunan negara. Mereka seakan terbiar dan tidak dipedulikan berbanding dengan suku-suku lain.

Perbezaan ini bukan sahaja berbanding dengan suku-suku lain tetapi sesama mereka yang mendiami kawasan berlainan juga ada perbezaan. Misalnya suku Bateq yang tinggal di Kuala Tahan didapati lebih terbuka dengan dunia luar dan ada peracangan khusus kerajaan buat mereka. Ada di kalangan mereka bertindak menjadi pemandu pelancong dan anak-anak mereka dihantar ke sekolah. Pergaulan atau sosial mereka terbuka.

Hal ini berbeza dengan suku Bateq yang tinggal di Kuala Koh, dimana mereka seperti tidak diuruskan selari dengan pembangunan negara. Mereka melalui kesangsaraan hidup bersendirian secara tradisi. Apakah perbezaan ini disebabkan berbezanya tanggungjawab pihak penguasa kerajaan di antara satu negeri dengan negeri lain?

Atau apakah mungkin juga wujud perasaan “rasis” dikalangan masyarakat Orang Asli yang akan membeza-bezakan di antara satu suku dengan suku yang lain. Jika inilah antara punca kenapa pembangunan mereka tidak sekata di antara suku ia sesuatu mendukacitakan.

Ada pendapat mengatakan antara punca kenapa suku ini terkebelakang kerana bentuk institusi atau komuniti mereka. Mereka tidak ada ketua (Tok Batin) seperti mana suku lain. Mereka hanya menjadikan ketua kepada mereka yang lebih tua, tanpa mengambil kira kebolehannya.

Terkedu saya dan menyedihkan. Timbul pertanyaan penuh kehairanan kepada saya sejauh manakah peranan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA). JAKOA ini sudah lama diwujudkan sejak tahun 1954 untuk mengurus dan menjaga keperluan hal ehwal Orang Asli. Apabila suku ini masih terbiar, apakah JAKOA dan agensi kerajaan lain, gagal untuk mengubah nasib mereka?

Keadaan ini seharusnya tidak berlaku. Sekiranya ada hambatan dan halangan untuk memajukan masyarakat ini kerana sikap mereka berbeza dengan suku lain sepatutnya JAKOA ada strategi dan psikologis bagaimana untuk mempengaruhi mereka agar menerima perubahan sama dengan suku-suku lain.

Negara sudah merdeka sudah 62 tahun. Kita telah mencapai berbagai kemajuan dan pembangunan dalam semua aspek. Tidak sepatutnya pembangunan kemanusiaan untuk suku Bateq ini tidak terbiar dan tidak dipedulikan.

Berlakunya keadaan ini bukan sahaja boleh ditunding kepada JAKOA sahaja yang menjadi jabatan khusus untuk menguruskan Orang Asli. Tetapi jabatan dan agensi kerajaan lain juga patut memikul tanggungjawab sama. Jabatan Pendidikan, Majlis Agama Islam Negeri-negeri, Jabatan Kemajuan Masyarakat dan sebagainya semua kena memikul tanggungjawab secara bersama.

Perkara yang penting perlu ubah ialah sikap skeptikal kita kepada masyarakat Orang Asli ini. Masih ada di kalangan kita tidak menerima sepenuhnya mereka sebagai warga yang berhak mendapat semua keperluan sama dengan kaum-kaum lain. Bahkan ada di kalangan kita mempersenda-sendakan masyarakat ini yang menganggap mereka sebagai warga kelas bawah, lebih bawah daripada warga asing.

Lebih tidak patut lagi menerima mereka sebagai “toys”, untuk dipersenda-sendakan. Selagi sikap dan pemikiran bersarang dalam kepala kita, maka perubahan dan kemajuan yang diharapkan kepada mereka tidak akan tercapai.

Sikap ini perlu dibuang.

Menyedari apa yang dihuraikan itu, semua kita perlu membuat nekad baharu untuk membantu masyarakat Orang Asli khasnya suku Bateq ini. Kerajaan boleh menyediakan pelan pembangunan khas untuk mereka, menyediakan prasarana dan memberi pendidikan dan menjana sumber ekonomi sekali.

Kesedaran ini besar ertinya disamping kita merealisasikan peranan kita sesama manusia dan alam atas nama “habluminanas”, ia juga bagi mengelakkan negara kita akan dikecam dunia luar dengan apa yang berlaku itu. Mengenai kematian menggemparkan di Kuala Koh itu jika tidak diuruskan dengan baik, sudah pasti negara kita akan dilihat penuh curigai oleh dunia luar.

Para pejuang hak asasi manusia (Human Right) akan mempersoalkan kita dengan apa yang menimpa suku Bateq itu dan sekiranya kita gagal memberi jawaban tuntas kita akan dikecam sebagai negara yang tidak berperi kemanusiaan.

Kesimpulan apa yang berlaku itu ada hikmah dan rahmatnya. Hikmah bagi kita, kita menyedari akan nasib mereka, manakala rahmat diharap dari itu selepas ini nasib suku Bateq tidak lagi terbiar dan terpisah jauh daripada kita semua. [wm.kl.10:14 am 11/06/19]

No comments: