Monday, April 5, 2021

Pintu Ajal Belum Terbuka (Pengenalan).

Akhir tahun 2015 saya disahkan oleh doktor Onkologi mengidap kanser limfoma tahap II yang menyebabkan saya terpaksa menjalani rawatan kemoterapi. Saya menjalani rawatan kemoterapi sebanyak enam kali atau enam pusingan.

 Alhamdulilah kanser yang saya hidapi itu dapat diatasi. Kini sudah masuk tahun keenam menjadi "warga kanser" atau "alien man" dan sudah diisytiharkan sebagai "merdeka".

Sejak awal-awal lagi saya bercadang untuk menulis buku menceritakan perihal kanser dan pengalaman menghadapinya. Ia penting untuk menjernih dan memberi pencerahan terhadap beberapa mitos dan tanggapan negatif yang menakutkan mengenai kanser; kanser dianggap pembunuh. Tetapi itu bagi saya ia bukan penawar melainkan cabaran menyeksakan jiwa bagi seseorang penghidap kanser. 

Buku ini dikira penting untuk berkongsi apa-apa maklumat, temuan dan juga kaedah yang saya pakai untuk melawannya. Sebenarnya sewaktu dalam ward lagi saya sudah mula menyusun dan menulis rangka buku ini. Bahkan beberapa siri awalnya juga sudah saya muatkan dalam blog atau media sosial. 

Malangnya penulis itu selalu terhenti-henti dan tersangkut-sangkut serta diganggu oleh penulisan lain yang seperti tidak mahu memberi laluan. Penulisan politik dan hal ehwal semasa yang tidak pernah kunjung padam dan membosankan itu menganggu penulisan dan penyudahan buku ini.

Sebahagian besar daripada buku ini sudah pun siap ditulis. Kesemuanya saya anggarkan mempunyai 15 bab. Mana-mana bahagian yang sudah siap akan saya siarkan dalam blog ini secara bersiri, diharap menjadi penggenap masa lapang selepas mengambil rehat untuk tidak menulis perihal politik yang merewelkan itu.

 Insya-Allah saya akan siarkan secara bersiri buku PINTU AJAL BELUM TERBUKA - Biografi Kesakitan ini dalam blog ini. Selamat membaca. [wm.kl.10:24 05/04/2021]

No comments: