Friday, April 9, 2021

Pintu Ajal Belum Terbuka

Bab Kedua

TAHU SAKIT

JIKA kita seorang “pencerap” yang baik kepada keadaan diri kita, baik dari dalam atau dari luar, kita akan tahu setiap perubahan yang berlaku ke atas diri kita. Kita akan maklum apa-apa perubahan yang kita alami.

Mustahil kita tidak tahu tentang apa-apa berlaku ke atas diri kita. Sebab semua perkembangan; rasa, perasaan, naluri dan sebagainya kita dapat mengalaminya. 

Setiap anggota yang menjadi komponen kita ada fungsi dan peranan tersendiri yang sangat unik dan istimewa. Kita seharusnya menyadari evolusi diri baik external dan internal, jasmani dan rohani. Tujuh pancaindera utama kita adalah radar atau nalar sumber (signal) kepada diri kita; mata, hidung, lidah, telinga, dan lima yang lain yang tidak berbentuk fizikal. 

Kulit kita pedih bila tersentuh sesuatu benda keras, mata berpinar atau silau kerana termasuk habuk atau ditikam cahaya, kaki berdenyut kerana tersadung duri atau sembilu dan sebagainya, kita dapat merasai dan mengesannya apakah sebab musababnya. Kecualilah kita sudah hilang segala deria rasa, semua saraf kita rosak, pancaindera kita sudah tidak berfungsi lagi, maka ia mungkin tidak dapat dikesan. 

Tetapi selagi saraf kita hidup, pancaindera kita berfungsi ia dapat dirasakan dan menjadi petunjuk kepada kita untuk bertindak dan mengawal diri.

Cuma mungkin natijah (tindak balas) daripada apa yang kita ketahui itu kita tidak memahaminya disebabkan kejahilan kita. Sebenarnya perubahan itu adalah petunjuk atau isyarat. Petunjuk atau isyarat itu penting untuk kita menyediakan persiapan awal membendung dan mengatasinya, seperti kata pepatah; siapkan payung sebelum hujan atau membina kapal sebelum bah tiba. Apabila kita responsif kepada perubahan dan tanda-tanda itu, maka kita dapat menghindarinya. Kalaupun tidak terlepas langsung namun dapat melambatkan kesannya ke atas kita. Kita tidak akan jadi terantuk dahulu baru hendak mengadah di mana ketika itu ia sudah terlambat.

Tuhan menjadikan semua benda dan alam ini penuh dengan tanda-tanda. Terpulang ke atas diri kita mahu mempelajari atau pun sedia dan bijak mengambil iktibar atau pun tidak. Hakikatnya Tuhan menyediakan apa yang kita perlukan, tunggu kita memilihnya sahaja. Dia menyediakan kita menentukan. Sebab itu Tuhan berfirman, nasib seseorang itu tidak akan berubah kecuali dia sendiri mengubahnya. Tidak salah ibu mengandung?

 “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum (diri manusia) kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang pada diri mereka.” QS 13:11

Sesuatu kejadian itu, contohnya kelahiran dan kematian ada tanda-tanda dan alamatnya. Hanya mereka yang prihatin dan peka sahaja mengetahuinya. Bagi seorang “pengecam" yang baik dapat menghindari apa-apa keburukan daripada menimpa dirinya. Mereka akan tahu sesuatu perkara itu. Sesuatu itu boleh diketahui dengan apa dinamakan “ilmu”. Skrip hidup ini boleh diedit atau disunting. Dan ilmu itu pula terlahir menerusi pengalaman dirasai sendiri atau dengan menuntutnya. Menuntut, maksud mendengar, melihat dan merasa yang diajarpandukan pula oleh Guru Mursyid. Semua kerja buat itu berpandukan kepada Iqrak. 

Bila menyentuh bab ilmu ini, cara atau kaedah ilmu menyerap ke dalam diri kita ada berbagai-bagai cara. Cara paling popular ialah menerusi Ilmu Kalam. Ilmu ini diperolehi secara zahir, diajar secara berhadapan dengan berkata-kata lisan. Alam persekolahan adalah contoh medan penimbaan ilmu ini yang paling praktikal dan lisan. Pengajaran Malaikat Jibrail kepada Muhammad dalam selibas Iraq adalah asas pembelajaran dalam ilmu lisan dan nyata. 

Kedua menerusi Laduni, yakni secara ghaib. Ilmu ini bukan semua diperolehi manusia, hanya mereka terpilih atau pun menggalinya dan beramal dengannya sahaja dapat manfaatnya. Ilmu yang diperolehi secara Laduni ini akan masuk atau sampai kepada kita dengan pelbagai cara, salah satu ialah menerusi mimpi dan ilham. Biarlah bab ini kita bincangkan dalam kesempatan lain yang lebih khusus di lain masa dan tempat.

***

Contoh mudah mengenai tanda sesuatu kelahiran itu; apabila seorang wanita itu mengalami perubahan dalam dirinya; selera makan, sifat dan tabiat bertukar. Dalam ilmu kedoktoran disebut sebagai peralihan hormon. Paling dominan perubahan ini ialah pada fizikal, itu tandanya ia bakal melahirkan. Tatkala tersemai benih (sperma dalam ovari), maka wanita akan mengalami perubahan sifat dan selera makan. Biasanya loya, mual dan muntah itu tanda-tanda ia berbadan dua, bakal melahirkan anak.

Apabila benihnya berkembang menjadi janin, maka perubahan fizikal bermula, perutnya membusung. Selepas 9 bulan 10 hari ia akan melahir seorang insan. Nah, tanda-tanda itu semua adalah tanda dan isyarat kelahiran bagi seorang manusia di atas muka bumi ini. Perpindahan dari alam ghaib ke alam nyata, daripada alam Ibu kepada alam maya.

Demikian juga dengan kematian. Ia ada tanda-tanda dan isyaratnya tersendiri. Manakala bagi sesetengah orang yang rajin “berta'aruf” dengan Allah, para “Ahlillah" bukan sahaja setakat alamat dan tanda-tanda kesakitan bakal menimpanya, bahkan saat pintu ajal hendak terbuka diketahuinya dengan terang dan nyata. Bagi orang mengenali dirinya, dia tahu kapan hadirnya Malaikat Maut bagi menyampaikan salam Tuhan meminta dia pulang ke sisi-Nya. Tahu dengan bulan, minggu, hari dan jamnya sekali. 

Justeru dia tidak merasa gentar dan bergementar apabila bercerita perihal kematian. Bagi mereka sebegini kematian sesuatu yang dinanti-nantikan. Justeru kata seorang wali dia suka kepada sakit kerana akan menghampirnnya kepada kematian, sementara kematian pula menemukan dia dengan penciptanya. 

Kita sering mendengar kisah para ilmuan, Ahlilah memberi pesan dan amanat sebelum ia meninggal. Inilah contoh bahawa tarikh, masa dan hari kematian itu dapat diramal atau diketahui. Semua itu berada dalam genggam seseorang seperti mana urat jari dan urat telapak tangan tetapi masalahnya ia tidak mengetahui rahsia dan sirnya, maka ia sia-sia sahaja.  

Demikian luas tidak bertepinya lautan ilmu itu mencakupi semua aspek dan sudut kehidupan, nyata dan ghaib.

Semua itu diketahui kalau kita seorang pemerhati dan pencerap yang baik. Yang makrifat dengan Allah. Namun kalau kita jauh dari pengetahuan itu kita tidak akan mengetahuinya. Keadaan inilah menjadikan kita tersempit bila berhadapan dengan situasi ini dan berasa takut dengan cerita dan kisah-kisah kematian. Kita melarikan daripadanya seperti cuba melindungi panahan cekerawal matahari yang berada di atas menguasai kita.

***

Apa yang berlaku ke atas diriku berhadapan dengan “anugerah sakit”, sudah ada tanda-tanda dan isyarat itu. Dua bentuk isyarat, pertama secara fizikal dan kedua secara kerohanian. Lantaran ada atau diketahui tanda-tanda itu menyebabkan saat aku diberi tahu tentang penyakit itu oleh doktor ia tidak mengejutkan. Aku pasrah mendengarnya dengan tenang.

Isyarat fizikal

Ketika sedang makan suatu pagi aku 
disapa oleh seorang rakan: kenapa
nampak kurus sangat? Sapaan itu adalah
isyarat awal bahawa aku sakit.
Sejak satu setengah tahun lepas (2013 – 2015) aku menyedari ada perubahan fizikal kepada aku. Berat badan aku turun 2kg hingga 4kg. Ini terkesan apabila tali pinggang longgar, seluar longgar dan tali jam juga selalu kena diketatkan. 

Dalam masa sama, rakan-rakan menyedari akan perubahan fizikal aku. Mereka yang lama tidak berjumpa terkesan perubahan fizikal aku dan akan menyapa aku; “nampak slim sedikit daripada dahulu.” Seorang kawan yang melihat gambar aku bersama isteri yang aku poskan dalam Facebook, merungut kepada Naimah, katanya, “MSO nampak susut sikit.”

Bagaimana pun isteri dan mereka yang hampir dengan kita seperti anak-anak dan keluarga tidak menyedari perubahan fizikal kita. Mungkin ia sudah tidak perasan. Mereka kalis dengan keadaan dan perubahan fizikal aku. Bila sesuatu objek terlalu hampir dengan kanta mata ia kabur. Dan aku sendiri pula mengira, perubahan itu disebabkan kerana aktiviti jongging dan senaman yang aku lakukan secara berkala hampir setiap tiga kali seminggu sepanjang tahun. 

Atau pun kerana bahana kencing manis, gout dan darah tinggi yang ku hidapi. Makanya perubahan itu tidak dipedulikan olehku. Ia diyakinkan lagi dengan rawatan kesihatan yang aku perolehi dari Pusat Kesihatan Kerajaan dan klinik swasta yang tidak memberi apa-apa khabar atau pesan buruk buat aku.

Dalam tempoh itu aku menjalani atau mendapat pemeriksaan doktor setiap enam bulan sekali. Pemeriksaan darah juga dilakukan.Sepanjang pemeriksaan itu tidak menemui sesuatu petanda atau siptom yang membimbangkan. Meletakkan kepercayaan kepada doktor seratus peratus satu kesilapan? 

Di sini satu pengalaman yang boleh dikongsikan, sesuatu yang “halus” dan kronik dalam diri kita tidak dapat dikesani dengan rawatan biasa, melainkan dengan menggunakan peralatan moden yang canggih dan ditangani oleh doktor pakar. Mata zahir tidak dapat menyaksi semua benda, ada setengahnya ia dapat ditengok oleh mata bathin. 

Sebenarnya selain daripada tanda-tanda itu, ada isyarat “saintifik” lain lagi. Ini baharu disedari selepas aku disahkan menghidapi penyakit itu. Waktu malam bila tidur ada kalanya tubuh berpeluh walaupun dalam bilik berhawa dingin. Kadang-kadang penghawa dingin dipasang serentak dengan kipas syiling untuk menambah hawa sejuk. Namun badan tetap berpeluh dan belengah. 

Demikian juga dengan selera makan, tiba-tiba sahaja hilang. Selalu makan menambah, tetapi tidak lagi sejak dihinggapi penyakit itu. Tetapi kerana kejahilan dan cetek ilmu perubatan, ia dibiarkan sahaja tanpa menangani sebaik mungkin. Perubahan itu dianggap perkara biasa yang berlaku mengikut putaran usia hidup.

Isyarat kerohanian

Isyarat atau alamat ini sukar untuk diceritakan kerana ia bersifat kerohanian atau spiritual. Tetapi seperti ku nyatakan tadi, apabila dicam dan diambil iktibar, maka ia dapat diketahui. Ada beberapa isyarat dari bentuk ini hadir kepadaku. 

Sewaktu aku menunaikan Haji kali ke tiga akhir Disember tahun 2014, berlaku sesuatu yang agak ganjil kepada aku. Aku kehilangan suara di Makkah selama dua hari. Sebelum ini tidak pernah terjadi demikian. Bahkan walaupun sudah berkali-kali aku ke Makkah tetapi belum pernah mengalami keadaan seperti itu.

Aku tidak batuk atau selesema pun. Tetapi untuk kali itu dengan tiba-tiba sahaja suara hilang dan terpaksa bercakap menggunakan isyarat tangan atau menerusi SMS dan WhatsApp sahaja dengan jemaah sebilik. Barang kali tidak perlu aku mencatat semua isyarat-isyarat secara ghaib itu kerana jika silap penerimaan ia boleh menimbulkan fitnah. Sesuatu yang zeni itu sukar untuk dipercayai oleh mata zahir. Jauhari juga mengenali maknikam.

Perkara yang paling pelik dan aneh ialah mengenai gout. Dalam perhatianku dalam tempoh satu setengah tahun itu aku “kalih” dari diserang gout. Ia menghairankan, tetapi kehairanan itu aku letakkan kepada rahmat dan hikmah doaku. Sepanjang masa aku berdoa agar penyakit berat yang tertanggung diringankan. Sebelum itu boleh dikatakan sebulan sekali aku diserang gout. Rekod pemeriksaanku di sebuah klinik swasta sejak tahun 1986 boleh disemak betapa kerapnya aku diserang penyakit ini yang aku tanggung sejak lebih 18 tahun lampau.

Anih kerana dalam tempoh satu tahun setengah itu, penyakit itu hilang. Aku seakan bebas merdeka dari gout yang selama ini menyerang aku, ada kalanya setiap bulan dan ia sangat menggembirakan. Apabila sakit yang ditanggung berdekad hilang, tentulah kita rasa gembira dan merdeka. Merasakan kita sihat walafiat. Tetapi apa yang berlaku di sebaliknya, penyakit kronik itu diganti dengan penyakit yang lebih kronik? 

Jika kita tidak dapat mentafsir atas apa yang berlaku akan menganggap ianya sesuatu yang tidak adil buat kita. Namun kalau kita insaf dan mengetahui sirrNya kita akan menerima ia sebagai satu anugerah bukan hukuman.

Apabila dapat menerima hakikat begitu, maka sakit itu akan menjadi sebuah nikmat bukan lagi satu penyeksaan. Natijahnya daripada hakikat itu menjadikan kita tidak akan berperang dengan diri kita sendiri dimana peperangan itu pula menggembirakan musuh-musuh kita, penyakit yang sedang cuba menakluki kita ketika itu. 

Wangsa Melawati – HUKM, 19 Julai 2016.

[wm.kl. 8:06 am 09/04/2021].

No comments: