Monday, August 23, 2021

Tiada kabinet perpaduan, Ismail Sabri terjepit

SUSUPAN PETANG

Perdana Menteri ke-9 mesyuarat
dalam jet?
PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob akan mengumumkan barisan kabinetnya dalam minggu ini tanpa penyertaan pihak pembangkang. Pengumuman dibuat sebaik senarai anggota kabinet telah diperkenankan oleh Yang diPertuan Agong. Paling awal dijangka Khamis ini. 

Beliau menjelaskan demikian ketika bercakap kepada wartawan di Kedah hari ini, selepas beliau mengadakan lawatan ke kawasan tragedi petaka banjir di Yan dan Kuala Muda. Enam orang maut dalam malapetaka itu. 


Kenyataan itu menunjukkan Ismail Sabri tidak sedia untuk menjemput sama pembangkang menguruskan negara. Pembangkang hanya dipelawa untuk menyertai Majlis Pemulihan Ekonomi dan Jawatankuasa Menangani Covid-19 dimana pelawaan itu dilihat sebagai ajak-ajak ayam semata-mata bukan ikhlas dan serius.

Kenyataan itu tentu mengecewakan sebahagian rakyat yang ingin melihat kerajaan perpaduan dibentuk bagi menenangkan kemelut politik negara seperti mana yang dititah oleh Yang di-Pertuan Agong, yang mahu para wakil rakyat atau orang politik menghentikan perbalahan politik dan menumpukan kepada menyelesaikan masalah negara yang diancam pandemik kini. 

Sayangnya, konsensus antara kerajaan dan pembangkang tidak berlaku. Kegagalan ini jelas menunjukkan orang politik bukan mudah untuk menghulur tangan persahabatan demi negara walaupun dalam keadaan apa sekalipun. 

Sikap ini memberi gambaran bahawa kemelut atau kekecohan politik akan tetap berlaku, dan pandemik sama sekali tidak menginsafkan mereka. Langkah diambil Ismail Sabri kurang bijak atau beliau tidak berani untuk melakukan perubahan apa lagi mengorak ke arah politik baru. Pastinya kerajaan beliau yang dibentuk dengan majoriti tipis kelebihan tiga atau empat suara berada dalam situasi tidak stabil mewarisi kerajaan PN sebelum ini boleh mengalami keruntuhan bila-bila masa.

Apa lagi dalam masa sama pembangkang (PH) pula telah membuat pendirian mereka akan menumpukan pilihan raya akan datang, dan akan bertindak menjadi pembangkang berkesan, mengkritik dan membuat teguran kepada kerajaan. 

PH khasnya tidak begitu melayan rasa duka dan kecewa kerana tidak dapat mengembalikan kerajaan rakyat apabila Anwar Ibrahim tidak diangkat jadi perdana menteri, sebaliknya terus mengatur langkah membina kekuatan sesama mereka untuk berhadapan dengan kerajaan dalam pilihan raya akan datang. 

Dalam satu kenyataan dikeluarkan oleh majlis presiden hari ini, PH akan menumpukan kepada persiapan menghadapi Piraum, dengan mengadakan perundingan membabitkan semua pihak melalui apa dinamakan penyatuan dalam satu "khemah besar". 

Persiapan itu termasuk menyediakan manifesto, pelan untuk menghadapi pilihan raya, pemilihan calon dan pemimpin, mengembelingkan tenaga tanpa menghiraukan kepada percaturan kuasa oleh pihak tertentu yang merugikan negara.

Sekiranya pembangkang dapat menyatukan diri dan bergerak serentak  ia memberi petanda buruk kepada kerajaan Ismail Sabri. Pembangkang mempunyai potensi baik dalam pilihan raya akan datang ekoran dua peristiwa yang tidak disenangi rakyat. Salah satu ialah apabila kerajaan PH dicuri dan kegagalan kerajaan PN untuk membendung Covid-19. 

Sikap ego atau tidak gentleman Sabri Ismail untuk mewujudkan kerajaan perpaduan seperti mana diharapkan umum bakal mengundang masalah kepadanya. Apakah keengganan beliau itu atas arahan orang lain atau pun kehendaknya sendiri sukar ditentukan? 

Pendirian dan sikap diambil ahli Parlimen Bera itu akan dapat diketahui apabila beliau bentuk kabinetnya nanti. Rupa bentuk dan pengisian kabinet itu kelak dapat difahami apakah beliau bertindak atas kapasiti dan kuasanya sebagai perdana menteri ataupun melaksanakan impian politik, baik daripada partinya ataupun sekutunya.

Ismail Sabri kini dilihat terjepit di antara dua keadaan sama untuk akur dengan tuntutan partinya Umno ataupun taat kepada sumpah dan janjinya kepada Mahiaddin untuk mempertahankan kerajaan PN. 

Hari ini telah terdengar wujud berbagai pendapat yang membayangkan ada peteliangkahan antara Umno dengan PN khasnya Bersatu yang sebelum ini mengetuai kerajaan. Pihak Bersatu mahu Ismail Sabri meneruskan semangat dan kekalkan identiti kerajaan hari ini sebagai kerajaan PN, sebalik ianya ditolak oleh Umno yang mahu dikenali sebagai kerajaan BN.

Bunga-bunga perselehengan sudah mula berputik dan bakal menghasilkan buah tidak lama lagi. Sekiranya Ismail Sabri gagal menangani hal ini beliau berada dalam keadaan tidak selesa dan bakal menolaknya ke lembah bahaya dan mencatat rekod sebagai PM yang terpendek. 

Kita tunggu pembentukan kabinet Ismail Sabri untuk membuat penilaian dan andaian lebih mendalam lagi. [wm.kl.7:59 pm 23/08/2021]

No comments: