Wednesday, August 25, 2021

Langkah baik disukai rakyat

ULASAN 

Langkah baik yang disukai rakyat.
TANPA diduga hari ini berlaku pertemuan tiga pemimpin pembangkang dalam PH, Presiden Keadilan Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu (Amanah) dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob di Putrajaya.

Pertemuan itu berlangsung kira-kira satu jam, tanpa ada apa-apa desas desus dan spekulasi sebelumnya. Ini menjadikan pertemuan itu seperti eksklusif.

Pertemuan sebelum kabinet baru dilantik menimbulkan sedikit tanda tanya apakah pembangkang akan dibawa masuki ke dalam kabinet.
Satu kenyataan bersama yang ditanda tangani tiga pemimpin pembangkang dengan perdana menteri itu dikeluarkan. Antara lain kenyataan itu menyebut tiga mauduk yang dipersetujui untuk diatasi. Antaranya:

* Memberi tumpuan untuk jaga nyawa dan keselamatan diri daripada ancaman wabak dan membebaskan rakyat daripada cengkaman ekonomi.

* Mencari persetujuan bersama memperkasakan fungsi parlimen, sebagai institusi yang bertanggungjawab dan konstruktif, menyemak dan mengimbang tadbir urusan eksekutif supaya lebih telus dan memenuhi kehendak rakyat, dan

* Menjaga kepentingan kebebasan badan kehakiman, reformasi institusi dan tata kelola kerajaan yang baik bagi memastikan keadaan lebih kondusif untuk rakyat negara dalam konteks keluarga Malaysia.

Sesungguhnya pertemuan itu menyenangkan. Apabila gambar pertemuan itu tular, para netizen menyambutnya dengan berbagai reaksi. Banyak memuji langkah keempat-empat pemimpin itu sebagai membuka dimensi baru. Walaupun Ismail Sabri adalah naib presiden Umno tetapi ia dianggap sebagai pertemuan dengan presiden Umno.

Bolehlah dianggap Ismail Sabri mewakili partinya. Kebetulan pula ketika ini Presiden Umno, Zahid Hamidi sedang berihat dalam ward kerana keuzuran. Namun kita percaya pertemuan itu atas inisiatif Ismail Sabri sebagai perdana menteri.

Walaupun pertemuan itu tidak membincang tindakan lanjut, kerjasama dalam kabinet tetapi ia cukup membahagiakan mata memandang. Setelah kesekian lama pemimpin pembangkang menjarakkan diri dengan kerajaan khas PM, inilah pertama kali ketiga mereka jejak Putrajaya.

Terutama buat Ismail Sabri yang dilantik dengan majoriti tipis berasa lega apabila Anwar dalam kenyataanya kepada wartawan yang pihaknya tidak akan mempersulitkan untuk Ismail Sabri mendapat undi percaya di parlimen sekiranya perdana menteri itu mengambil langkah-langkah yang pro kepada rakyat.   

Kesediaan pemimpin PH berjumpa dengan perdana menteri baru itu seolah-olah meperli bekas PM ke 8 Mahiaddin Yassin yang sebelum ini menawarkan kerjasama tetapi ditolak. Mungkin timbul rasa kecil hati Mahiaddin apabila menyaksikan keadaan hari ini. Tetapi beliau tidak boleh salahkan sesiapa kalau ketiga mereka berbuat begitu kerana mengenang apa yang beliau (Mahiaddin) lakukan kepada mereka sebelum ini merampas kerajaan PH.

Bagi saya apa yang berlaku hari ini suatu perkembangan sihat dan dialu-alukan, dari konteks politik semasa negara dalam keadaan sangat memerlukan kerjasama semua pihak untuk membendung Covid, memulihkan ekonomi negara dan menstabilkan politik negara untuk disaksikan oleh pelabur luar.

Sesungguhnya apa yang berlaku hari ini, permulaan yang sangat baik sesuai sebagai menyahut titah Yang di-Pertuan Agong yang menyeru orang politik menghentikan perbalahan dan menumpukan kepada pemasalahan negara.

Saya yakin dan percaya, ramai yang suka melihat perkembangan positif ini melainkan mereka yang terhakis nilai kemurnian, semangat kebersamaan dan mahu bergasak sepanjang masa. Mereka yang cuak, cemburu dan sengaja menimbulkan persepsi buruk dengan pertemuan hari ini, tidak perlu diikuti. Jangan layan mereka. Mereka tidak ada setitik keinsafan pun melainkan mahu bergasak sepanjang masa.

Sudah tentu penganalisa politik yang tidak pernah bersangka baik dan tidak pernah sunyi daripada untuk melaga-laga antara satu puak dengan puak lain, membuat berbagai tafsiran dan analisa mengenai pertemuan itu. Mungkin mereka sedang mengira untung dan rugi kepada mana-mana pihak.

Sebenarnya dalam situasi hari ini tidak ada siapa yang untung dan rugi daripada langkah berani dan harmoni itu. Sebaliknya yang berasa gembira tentulah rakyat semuanya yang sudah letih kerana diheret kuda hitam politik sejak kebelakangan ini.

Semua mempercayai pertemuan hari ini bukan titik perdamaian, melainkan hanya sebagai cease fire sementara menunggu Piraum ke-15. Bila tiba pilihan raya nanti mereka bergasak balik seperti sedia kala.

Sekali lagi dikalungkan tahniah kepada keempat-empat pemimpin negara itu, setidak-tidak mereka berani memulakan langkah baharu dan sedia dikritik demi untuk mencapai sesuatu yang baik. [wm.kl.10:19 om 25/08/2021]

No comments: