Saturday, August 21, 2021

Ismail Sabri naik meroket, turun biarlah macam peracut

ULASAN PETANG


Ismail Sabri sedang angkat sumpah.
AHLI Parlimen Bera Ismail Sabri Yaakob 61, telah mengangkat sumpah memegang jawatan Perdana Menteri ke-9. Apa yang berlaku tidak perlu ditakwil takwi lagi. Sudah muktamad, khalas, Ismail Sabri  adalah perdana menteri. 

Meneliti jejak perjuangan dan penglibatan Ismail Sabri dalam politik, boleh dikatakan pencapaiannya "meroket". Beliau tidak perlu mengambil masa panjang untuk duduk di kerusi nombor satu.

Jika diselak langkah pelaluan bekas-bekas PM sebelum ini, Ismail Sabri telah melangkaui rekod mereka, kecuali Tunku Abdul Rahman, Abdul Razak Hussein dan Hussein Onn. Bekas PM lain harus berjalan terlalu lama, membina denai dan jalan ke Putrajaya. Bahkan ada yang berjalan sejak tahun 80-an hingga kini masih belum sampai, sampai, sampai. Tidak kurang juga ada yang tersesat jalan. 
Ismail Sabri hanya menanti tidak sampai 100 hari (hanya 45 hari saja) selepas dilantik menjadi TPM, terus tercatuk di kerusi perdana menteri. Hebat dan menakjubkan! Bukan sahaja jawatan PM, jawatan TPM itu sendiri pun sangat mudah diperolehi beliau. Semacam dalam mimpi sahaja. Sim salabim ada brakadabra.   

Beliau tidak perlu berjalan dan mengambara jauh, menuruni lembah, memanjat bukit atau membina dan mencatur politik, apa lagi menggunakan banyak wang untuk menggapai makam itu, tuk tuk jawatan itu datang menggolek kepadanya. 

Keajaiban takdir.

Inilah dinamakan keajaiban dan takdir. Basa jenis anak bertuah, sejuk ibunya mengandungnya. Inilah rezeki yang tidak pernah diharap-harapkan oleh Ismail Sabri. Rezeki tersepak. Apa yang berlaku ini suatu anugerah yang tidak mungkin dapat oleh banyak orang.  Ia adalah sejarah buatnya. Cuma jangan sejarah akhir dibuatnya dengan jadi PM terpendek.

Ismail Sabri mula menceburkan diri dalam Umno tanpa dihulurkan tali atau hamparan permaidani. Beliau bergerak dengan kekuatan diri sendiri atas nawaitu untuk sama-sama berjuang demi bangsa. Mula memegang jawatan dalam parti apabila dipilih menjadi Ketua Pemuda Umno bahagian Temerloh. Selepas itu berganjak menjadi Ketua Penerangan bahagian kemudian menjadi Ketua Bahagian Umno Temerloh. Beliau meniti dan naik dari bawah secara harfiah.

Di peringkat nasional beliau hanya ahli biasa sahaja, dengan menjadi Exco Pemuda Umno Malaysia, dan mungkin menganggotai apa-apa biro sesuai dengan iktisad pendidikan selaku sebagai peguam.

Mula melibatkan diri dalam pilihan raya bertanding di kerusi Parlimen Bera 2004. Sudah menguasai kerusi berkenaan sebanyak empat penggal. Ismail Sabri hanya mengambil masa 17 tahun untuk sampai ke kemuncak. 

Bukan tokoh diandalkan. 

Beliau bukan tokoh yang diandalkan untuk menjadi perdana menteri. Tidak ada perancangan dan niat pun ke situ, walaupun matlamat seseorang yang menjadi wakil rakyat adalah untuk menjadi PM. Tidak pernah tertonjol, apa lagi tersebut dari mulutnya. Tidak pernah dibayangkan. Beliau tidak dikenali dan bukan merupakan seorang tokoh yang kontroversi atau hebat dalam pidato, penceramah, atau pun mengeluarkan gagasan dan idea besar. Ketrampilannya tidak nampak. Beliau berperwatakan tenang, bersahaja dan kelihatan humble. 
Latar belakangnya daripada keluarga biasa bukan dari kalangan bangsawan atau ningrat. Ismail Sabri adalah orang biasa, mungkin sebiasa presiden Indonesia Joko Widodo. Ayahnya sendiri bukan asal Pahang tetapi berhijrah membina kehidupan di Temerloh. Keluarga Ismail Sabri difahamkan berasal dari Salor, Kelantan. Kita fahamlah sangat dengan latar belakang itu, ramai orang Kelantan berhijrah ke Pahang sama ada menyertai tanah rancangan atau meneroka tanah hutan.
Dalam parti Umno, beliau pemimpin junior yang bakal menjadi pemimpin pelapis selepas pemimpin senior seperti Najib Razak,  Ahmad Zahid Hamidi, Mustapa Mohamed, Annuar Musa, Nazri Aziz dan lain-lain berundur suatu masa nanti. Dengan Tengku Razaleigh beliau boleh dianggap sebagai adik atau anak. Itulah yang nampak, apabila tiba waktunya nanti. 

Tetapi takdir tidak dapat dihidu, perancangan Allah juga sukar untuk ditebak. Rahsia Tuhan tersimpan kemas dalam tangan. Ismail Sabri sampai ke kemuncak tanpa menyediakan roadmap sedemikian rupa. Apa dicapainya boleh disifatkan sebagai bernasib baik. 

Bagaimana pun nasib baiknya itu saya melihat ditolak oleh keadaan dan suasana. Kemelut politik negara waktu ini telah memberi peluang itu kepadanya. Dari situ boleh dikatakan Ismail Sabri naik dicelah-celah krisis. Beliau menjadi ikan dari sungai menguak ke laut bersama air yang turun dari langit.

Rentetan pencapaian Ismail Sabri itu bermula dengan kejatuhan kerajaan UBN dalam Piraum ke-14 dan peletakan jawatan oleh Najib sebagai presiden parti dan ekoran tindakan beberapa pemimpin Umno lari meninggalkan parti kerana mengejar kebendaan. Kekosongan ditinggalkan mereka dipenuhi oleh Ismail Sabri dan dalam masa sama menunjukkan beliau seorang yang istiqamah dengan Umno. 

Pertandingan dalam Umno 2018, telah memberi ruang kepadanya. Beliau dipilih sebagai seorang Naib Presiden Umno bersama Khaled Nordin dan Mahdzir Khalid. Peluang diperolehi beliau itu apabila Hishammuddin Hussein tidak lagi berminat bertanding mengekalkan kedudukannya. Hishammudin mengambil sikap berdiam diri dan tidak aktif apabila Umno hilang kerajaan. Diam-diam membuat percaturan di luar untuk memenuhi naluri sendiri.  

Lebih awal dari itu, berlaku kekosongan dalam jawatan barisan ketiga parti itu apabila Shafie Apdal dipecat daripada Umno bersama Mahiaddin Yassin. Kekosongan ditinggalkan Shafie itu membuka jalan buatnya.  

Ismail terus mengutip hasil daripada krisis dan kemelut politik. Kejatuhan kerajaan PH angkara khianat terus membawa tuah kepadanya apabila dilantik sebagai menteri kanan dalam kabinet Mahiaddin, selaku Menteri Pertahanan dan bertanggungjawab kepada MKN berkenaan Covid. Kesempatan itulah digunakan sebaik mungkin menonjolkan dirinya kepada umum. Hampir setiap hari beliau muncul di televisyen menjadikan orang mengenalinya bukan sahaja ayah Dafi, tetapi sebagai menteri Covid dan SOP. 
Gerakan untuk menyingkir Mahiaddin oleh 15 ahli parlimen Umno yang diketuai Zahid Hamidi, turut memberi keuntungan kepadanya. Apabila ada gerakan itu setelah 15 ahli parlimen menarik sokongan kepada kerajaan PN dan Mahiaddin, beliau dilantik sebagai TPM. Mahiaddin yang cuba mencari kekuatan di atas pelantikan Ismail Sabri itu dengan harapan Umno akan berpecah, sebaliknya membawa untung kepada Ismail Sabri.
Beliau terus beruntung dan mendapat manfaatnya daripada gerakan berstrategi Umno yang memperalatkan pembangkang (PH) untuk menumbangkan Mahiaddin. Kesan daripada kolaborasi secara taktikal Umno dengan PH itu, menjadikan Mahiaddin goyah dan meletak jawatan. Peletakan inilah membuka ruang luas kepada Ismail Sabri untuk mengisinya.

Naik melalui krisis.

Apa yang boleh disimpulkan kejayaan demi kejayaan dan peningkatan kedudukan Ismail Sabri berlaku kerana adanya krisis dan kekacauan politik. Ini boleh disifatkan beliau naik menerusi krisis. Seperti disebut di atas beliau jadi seperti ikan di hulu turun ke laut, menumpang air deras ke hilir, akhirnya sampai ke kuala. 

Apa dicapai Ismail Sabri adalah balasan atas sifatnya setia dan ikhlasnya kepada parti. Ia balasan kepada orang yang tidak mudah kecewa dan berputus asa apabila parti kalah, seperti dilakukan oleh pemimpin Umno yang lain, yang munafik lari meninggalkan parti.

Ada beberapa hal lain lagi yang memberi kelabaan kepadanya, dan ini adalah takdir. Misalnya timbalan presiden Umno Mohamad Hassan kebetulan bukan ahli Parlimen untuk memungkinkan beliau dilantik menjadi perdana menteri. Walhal kalau ikut senioriti Mat Hassan sepatutnya berada pada jawatan itu. Begitu juga seorang lagi Naib Presiden Umno, Khaled Nordin bukan ahli parlimen, beliau tidak dapat menjadi pesaing untuk dilantik ke jawatan itu. 

Kebetulan itu menyebabkan Umno tidak ada pilihan lain lagi selain Ismail Sabri. Begitu juga walaupun presiden dan bekas presidennya cukup syarat untuk dilantik ke jawatan itu tetapi mereka ada halangan kerana didakwa di mahkamah. Keadaan inilah memberi peluang kepadanya. 

Apa juga perlu diketahui Ismail Sabri bukan seorang pengejar jawatan seperti setengah yang lain. Beliau juga tidak berkhayal untuk menjadi perdana menteri. Cuma semasa menjadi menteri kanan, setelah melihat Umno kehabisan pemimpin baru ada usaha untuk cuba menonjolnya. Itu dikira pantas sebagai seorang yang setia dengan perjuangan dia kenal mengambil tanggungjawab. 

Saya pernah bercakap dengan abangnya, Kamaruzaman Yaacob, mengenai politik dan potensi yang ada kepada adiknya Ismail Sabri. Kamaruzaman menyebut kepada saya secara tidak langsung, ada agenda untuk adiknya itu, dan meminta sama-sama membantunya. Maksudnya idea atau cetusan untuk meletakkan Ismail Sabri ketempat setinggi itu datang daripada luar diri Ismail Sabri. 

Kata Kamaruzzaman apabila bercakap fasal politik negara waktu ini yang kecamuk, Malaysia memerlukan seorang Tun Razak kedua? Kata-kata simbolik sekali yang tidak mudah untuk difahaminya. 

Tun Razak kedua.

Saya segera memahami apa, dan siapa "Tun Razak" kedua dimaksudkan itu? Ia adalah Ismail Sabri. Secara tanpa disebut dan war-warkan Kamaruzaman ada cita-cita untuk melonjakkan adiknya ke tempat itu dengan bersandarkan kepada suasana politik hari ini yang kalut. Memang wajar pun abang membantu adik setelah abang tidak berdaya. 
Justeru memahami maksud Kamaruzaman itu, Ismail harus menyiapkan diri untuk jadi Tun Razak kedua. Untuk itu Ismail Sabri kena ambil pendekatan, idealisme dan semangat Tun Razak. Apa dilakukan Tun Razak menyatupadukan Melayu, membangun rakyat miskin dan bersifat sederhana, dan itulah yang perlu dibuat oleh Ismail Sabri. 
Selebih daripada itu tidak terdengar bahawa ada gerakan khusus dan jelas daripada mana-mana kumpulan atau puak termasuk media bagi merancang masa depan Ismail Sabri. Ertinya kenaikan dan apa yang diperolehi Ismail Sabri itu masih secara nature, takdir. 

Apakah dalam keterkejutan tidak disangka ini beliau bersedia memikul tanggungjawab mahal berat itu? Suka atau tidak Ismail Sabri telah pun mengangkat sumpah menjadi Perdana Menteri. Beliau tidak boleh terus terkejut, tetapi kena meletakkan dirinya di alam nyata. Sedia berhadapan dengan tugas dan tanggung jawabnya bakal melanda. 

Menjadi PM dalam masa dan ketika suasana negara dilanda pendamik, pembangkang pula menggila, rakyat tidak berpuas dengan banyak perkara bukan mudah. Ia satu cabaran besar buat Ismail Sabri. Ismail Sabri kini baru melangkah ke dewan peperiksaan untuk mengesahkan apakah dia lulus atau tidak sebagai politician dan pemimpin. 

Sementara pembangkang kini seperti harimau terluka pasti akan menyerangnya dan tidak mudah untuk menerimanya.

Ismail akan berhadapan bukan sahaja dengan musuh untuk mempertahankan kedudukannya itu tetapi sesama sendiri. Ingat musuh atau pencemburu sebenar kepada kejayaannya itu dalam Umno lebih ramai daripada di luar sana.

Mohamed Azmin Ali, Annuar Musa, Hishammuddin Hussein, Mohamad Hassan, Khaled Nordin hatta Zahid Hamidi sendiri adalah "musuh-musuh" tersembunyi Ismail Sabri setelah beliau menjadi PM. 

Nasib dan diri Ismail Sabri kini umpama kapal yang baru siap dan baru diturunkan ke lautan. Kapal baru masih belum sempurna dan mahir dengan ocehan ombak dan olengan angin. Ia belum diuji dan sedang diuji. Terserah kepada Ismail Sabri dan awak-awaknya (jemaah menteri) nanti untuk mengendali kapal baru itu.

Jika Ismail Sabri dan awak-awaknya cekap dan bijaksana mengemudikan, kapal akan berlayar dengan selamat. Sebaliknya kalau tidak, tidak  mustahil pelayaran kapal itu akan tersekat dan terhalang dan tenggelam. Destinasi yang masih jauh tidak akan kesampaian.

Ismail Sabri naik macam roket, harap-harap turunnya nanti macam peracut. Smooth. [wm.kl.3:19 pm 21/08/2021]

No comments: