Showing posts with label Annuar Musa. Show all posts
Showing posts with label Annuar Musa. Show all posts

Wednesday, January 6, 2021

Annuar beli insurance untuk selamat diri

ULASAN

Sidang akhbar Annuar seperti
melempar bom ke diri sendiri.
 
HARI ini kolam politik negara berkocak dengan sidang akhbar yang diadakan oleh Ketua Umno Bahagian Ketereh Annuar Musa. Sidang media itu memberi bahan panas kepada media massa apabila beliau mendedahkan apa yang berlaku dalam kelambu rumahnya, Umno.

Sidang media itu dibuat sebagai tindakan balas Umno yang memecatnya sebagai Setiausaha Agung BN, semalam dan diganti dengan Ahmad Maslan.  

Sidang media itu itu juga seperti mahu menghantar masej kepada MKT Umno yang akan mengadakan mesyuarat bagi membincang usul daripada bahagian Umno yang menolak untuk terus berkerja sama dengan PPBM yang dianggap ular Lidi nak jadi Naga.

Tuesday, November 17, 2020

Mengenali kelicitan Annuar Musa

CERMIN HIKMAT 

Annuar jangan
perkecilkan politiknya.

WALAUPUN sudah lebih lapan bulan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dibentuk tetapi ia masih belum menunjukkan kestabilan dan menenangkan semua orang. 

Pergolakan dan "soksek-soksek" yang kedengaran menjadikan ramai orang gundah gulana. Salah seorang yang begitu jelas keresahannya dengan kerajaan PN ialah seorang anggota jemaah kabinetnya yang juga ahli Parlimen Ketereh Annuar Musa. 

Thursday, March 21, 2019

Umno tidak perlu buang masa dan wang saman wakil rakyatnya

ULASAN

UMNO akan menyaman kesemua wakil rakyatnya Adun dan ahli Parlimen yang bertindak keluar meninggalkan parti itu untuk menyertai parti lain. Perkara ini diumumkan oleh Setiausaha Agungnya Annuar Musa (foto).

Memetik sebuah laporan menyebut, Annuar memberi tahu semua bekas ahli parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno yang meninggalkan parti itu selepas Piraum lalu akan menerima notis saman berkenaan.

Beliau telah pun mengarahkan penal peguam dilantik berbuat demikian.
Sebelum ini Pemangku Presiden Umno Mohamad Hassan memberi tahu Umno tidak akan meneruskan tindakan saman ke atas wakil rakyatnya yang lari kerana masalah kewangan.

Wednesday, October 4, 2017

Menafsir kenyataan Annuar Musa

SUSUPAN MALAM

Annuar Musa meramalkan akan ada titik pertemuan membawa kerjasama di antara Umno dengan Pas. Bagi mereka yang celit politik faham benar dengan kenyataan Annuar itu. Kenyataan itu memberi isyarat awal untuk tidak memeranjatkan penyokong bawahan Pas apabila kerjasama kedua parti itu terjalin nanti.

Kenyataan Annuar itu mengesahkan segala ramalan sebelum ini berlandaskan kepada pendekatan politik terkini dan cara Pas bermain mata dengan Umno, bahawa kedua parti itu ada niat untuk bersama, ijab kabul.

Justeru dengan penjelasan Annuar itu semua pihak kena faham. Ia bukan pandangan peribadi tetapi pandangan Ketua Penerangan Umno, di mana ia membawa pandangan parti. Ertinya Annuar sudah mendapat penjelasan terang daripada presiden parti Najib Razak mengenai kedudukan parti itu dengan Pas. Tugas Annuar membuat ranalan itu kepada umum agar ia tidak mengejutkan ahli bawahan Pas.

Tuesday, January 31, 2017

Ahli Majlis Mara perlu lapor kes Annuar ke SPRM

ULASAN ISU

Annuar Musa
Ismail Sabri Yaakub menteri yang bertanggungjawab terhadap Mara kata dia tidak dimaklumkan mengenai penggantungan tugas Annuar Musa sebagai Pengerusi Mara dan juga Pengerusi Pelaburan Mara.

Tambah beliau lagi dipetik, beliau tahu ada mesyuarat ahli majlis Mara hari ini tetapi tidak mengetahui apakah agendanya. Apakah kedudukan ahli majlis Mara tidak dibawah penyeliaan Ismail Sabri selaku menteri?

Dalam pada itu Ismail Sabri juga tidak tahu apakah ahli majlis ada kuasa menggantung atau memecat Annuar kerana setahunya pelantikan pengerusi atau pemecatannya dibawah bidang kuasanya selaku menteri dan diketahui oloh perdana menteri.

Friday, January 13, 2017

Duhai Annuar mana satu betul ni?

POJOK PETANG

Guana War?
Hari ini menteri bertanggungjawab ke atas Mara, Ismail Sabri Yaakob dipetik sebagai membuat arahan supaya sebarang bentuk penajaan menggunakan wang Mara untuk tahun ini ditangguhkan melainkan untuk pendidikan.

Mana-mana bentuk penajaan selain pendidikan ditangguhkan dan memerlukan perhatian daripada beliau, begitu tegasnya. Kenapa?

Penangguhan itu dipercayai ekoran timbul dakwaan kononnya wang Mara disalah gunakan untuk menaja pasukan bola sepak The Red Warriors. Sebelum ini ada dakwaan daripada seorang pemilik pasukan bola sepak menyatakan rasa terkilan kerana Unit Pelaburan Mara (UniKL) ada memasang iklan untuk pasukan bola sepak negeri Kelantan itu.

Sunday, July 17, 2016

Pujian dan sanjungan Annuar kepada Tengku Razaleigh lewat 30 tahun

ULASAN

Annuar Musa sekonyang-konyang memuji cara Tengku Razaleigh Hamzah berpolitik dengan menganggap ahli parlimen Gua Musang itu sebagai tokoh politik yang memberi hasil kerja terbaik dan berhemah tinggi yang perlu diteladani.



Tengku Razaleigh berucap pada majlis perjumpaan raya.
Kenyataan indah itu semuanya dibuat bertitik tolak daripada kenyataan Tengku Razaleigh yang berhasrat untuk tidak mengegakalkan kerusi parlimen Gua Musang dalam Peraum (pilihan raya umum) akan datang.

Lanjutan itu Ketua Penerangan Umno itu memuji Tengku Razaleigh sebagai seorang negarawan yang perlu dihormati dan diteladani. 

Sunday, March 20, 2016

Kalau badan kita gatal jangan hampiri penjual ubat

CELOTEH AHAD

Annuar: kisahnya masih ingati.   
Ketua Penerangan Umno Annuar Musa menasihati Dr Mahathir Mohamd jangan bercakap mengenai Umno lagi selepas bekas presiden Umno itu "bercerai" dengan parti itu. Katanya Dr Mahathir patut duduk diam dan tidak mencampuri urusan Umno.

Annuar membuat saranan itu apabila melihat Dr Mahathir terus-terusan bercakap fasal Umno, terbaharu beliau memgesaan ahli parti itu agar membuat usul tidak percaya kepada Najib Razak sebagai perdana menteri .

Wednesday, June 24, 2015

Annuar Musa, Mara dan hartanah di Melbourne

SUSUPAN PETANG                                                                                       

Annuar Musa
Tiba-tiba sahaja isu pembelian hartanah berupa bangunan untuk dijadikan asrama pelajar Malaysia di Melbourne oleh Mara meletup. Menurut laporan berita "scop" yang dikeluarkan oleh The Age Australia, harta itu berupa blok apartment International House bernilai USD17.8 juta  (RM51.5 juta) sahaja tetapi dibayar dengan harga USD 22.5 juta  (RM65) juta.

Pembelian itu tidak menjadi masalah kerana untuk kemudahan pembelajaran, tetapi apa yang menjadi pertikaikan kenapa pembelian itu dengan harga yang diatas harga sepatutnya dan inilah menyebabkan timbul keraguan mungkin ada berlaku rasuah dalam urus niaga berkenaan.

Pembelian hartanah itu seragam dengan pembelian tanah milik 1MDB oleh Tabung Haji yang nilai harganya beribu kali ganda dengan harta yang dijualkan kepada syarikat pelaboran strategi yang dinaungi Najib Razak itu.

Thursday, March 13, 2014

Cuba hidu aroma dimulut Annuar bila dia sokong Hudud

PANDANGAN                                                                                   

Begitu bersungguh nampaknya Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Annuar Musa menggesa kerajaan Kelantan agar melaksanakan hukum Hudud di negeri itu. Katanya dalam satu sidang akhbar di parlimen hari ini, inilah masanya untuk dilaksanakan hukum yang menjadi impian rakyat Kelantan itu.

Annuar boleh bantu percepat Hudud.
Tidak ada pihak yang menghalang pelaksanaan hukum berkenaan termasuk perdana menteri. Menurutnya, perdana menteri tidak ada kuasa menghalangnya sambil mendakwa dia sudah membaca peraturan PM tidak boleh menghalang sesiapa hendak melaksanakan huduh.

Justeru Annuar menyeru agar semua pihak menyokong pelaksanaannya. Bagaimana mengenai Umno ia tidak berbangkit sebab hukum Hudud yang diluluskan di DUN Kelantan tahun 2003 itu masih belum digezet?

Manakala semasa membahas titah ucapan di raja, Annuar dipetik sebagai berkata untuk melaksanakan undang-undang berkenaan telah pun melepasi tiga tahap utama eksekutif, legislatif dan judiciary?

Thursday, April 11, 2013

Annuar Musa Disingkir Menjadi Calon?

RISIK MAKLUMAT                                                                                                               

Di antara tokoh-tokoh veteran Umno yang digugurkan sebagai calon dalam pilihan raya ke-13 ini khabarnya termasuklah bekas Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan Annuar Musa. Dari maklumat dalaman Annuar tidak dicalonkan bertanding di mana-mana kerusi, sama ada DUN atau parlimen.

Alwi: Hanya berdoa.
Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) itu sebelum ini bertungkus lumus untuk memastikan dirinya akan dicalonkan. Beliau dikatakan menggunakan berbagai kaedah untuk menawan hati pucuk pimpinan Umno terutamanya Najib Razak agar memberinya sekali peluang sebagai calon.

Kejayaan pasukan bolasepak Kelantan, The Red Warriors telah diguanakan untuk menaikan darjatnya dalam politik. Annuar sangat berharap kejayaan triple pasukan boleh sepak itu akan membantu memulihkan imejnya dalam politik.

Sunday, June 17, 2012

Ulasan Tengah Malam

Tindakan Saman FAM 
Mimpi Annuar Mungkin Terganggu

Khabarnya Presiden KAFA Annuar Musa telah menperolehi saman permulaan ke atas FAM dan setiausaha persatuan bolasepak itu Azzauddin Ahmad kelmarin. Annuar bertindak menyaman kedua pihak itu selepas segala pintu rundingan untuk melepaskan beliau dari tali penggantungan selama dua tahun setengah gagal. Keputusan Annuar itu dilihat jalan terakhir bagi membebaskan diri dari 'kezaliman' bola sepak.

Adalah wajar bagi Annuar mengambil tindakan mahkamah untuk membela apa yang berlaku ke atas dirinya yang dianggap satu penganiayaan dan kezaliman. Orang yang berani seperti Annuar tidak akan membiarkan kezaliman meratah dirinya begitu saja. 

Penyokong dan pemain pasukan 'gedebe merah' juga tentu bersetuju dengan tindakan itu. Mereka yang merasakan tindakan penggantungan ke atas Annuar selama dua tahun itu oleh lembaga disiplin FAM dianggap sebagai tidak adil dan kejam. Memang kalau ditilik kepada fakta kes dan sebab musabab tindakan diambil ke bekas menteri itu ia zalim. Semacam satu sebotaj kepada Annuar yang berjaya membawa bola sepak Kelantan ke mercu kejayaan seperti hari ini.

Tetapi apakah Annuar sudah menghalusi kesan dan implikasi dari tindakan itu? Apakah beliau telah merujuk kepada kawan-kawan politiknya atau pun rakan-rakannya dalam FAM? Atau tindakan itu merupakan aksi Annuar secara peribadi yang tidak perlu dirujuk kepada sesiapa. Atau Annuar merasakan dia bijak dan berani melakukan apa saja tanpa memikirkan risikonya. Atau apakah dia sudah mengadakan solat istikharah?

Mengenai tindakan Annuar ini walaupun ia tidak perlu sampai ke situ, tetapi perlu difahami akan risikonya. Bahawa orang yang menjadi Presiden FAM itu ialah seorang sultan, Sultan Ahmad Shah, Sultan Pahang. Kedudukan Ahmad Shah sebagai sultan dan sebagai presiden FAM ia berbeza. Status dan kuasa itu tidak sama. Tetapi apakah tidak ada mana-mana pihak yang menghubungkaitkan di antara sultan dengan presiden kerana ia orang sama?

Annuar tentu tahu penghormatan dan rasa gerun dan takut orang kepada sultan sangat kuat. Lebih dari takut kepada rimau atau gajah. Apakah tidaknya kalau zaman dulu jika ada rakyat membuat salah atau dianggap menghina sultan boleh dipancung tanpa perbicaraan.

Saya bimbang kalau ini berlaku menyebabkan tindakan Annuar menyaman FAM yang diterajui Ahmad Shah itu sebagai satu tindakan kurang manis dan kurang tepat dan menjerumus kepada penderhakaan. Betul Annuar ingin mencari keadilan dan mahukan kepastian apakah tindakan ke atasnya betul atau sebaliknya. Annuar mahu membaiki persepsi yang salah.  Tetapi sejauh mana orang-orang dalam FAM dan juga rakyat negara ini faham dan mengerti situasi ini. Kalau hanya tegur mengenai pembelian plat kereta pun sudah dianggap menderhaka sampai ada yang bangkit dan bangun membela sultan dengan lembing, tombok dan obor, apa lagi dengan tindakan Annuar itu.

Tindakan menyaman FAM itu boleh dianggap sebagai menderhaka. Annuar dianggap sebagai tidak mendengar kata dan akur kepada undang-undang atau peraturan FAM yang dikawal oleh FIFA. Annuar juga akan dianggap keras kepala kerana tidak menjadikan kes yang berlaku sebelum ini. Sebelum ini sudah ada pegawai FAM yang digantung kerana melanggar undang-undang FAM tetapi tidak pun sampai ke mahkamah. Tiada yang berani membawa tindakan itu untuk pentafsiran mahkamah.

Tetapi nampaknya Annuar ingin membuat sesutau dan mencatat sejarah. Niat Annuar itu baik untuk mengetahui sejauh mana bidang kuasa dan juga kesahihan tindakan itu. Ia adalah untuk membetul sesuatu yang tidak lurus yang menjadi amalan. Tetapi apakah orang faham? Apakah orang dapat menerima kritikan ke atas sesuatu badan diketuai sultan boleh dilaku demi kebenaran?

Kalau berpandukan kepada apa yang berlaku sebelum ini membabitkan mana-mana sultan tindakan Annuar itu amat bahaya. Beliau boleh dianggap sebagai menderhaka. Natijah dari itu ia boleh menganggu kedudukan beliau sebagai ahli politik. Kalau Annuar mencari kecemerlangan untuk menggilapkan batu politiknya dengan bolasepak, apa yang beliau lakukan itu seakan membunuh diri. Annuar semacam memasukan dirinya ke dalam lubang berlumpur dengan tindakan itu.

Tidak syak kalau Annuar sudah dianggap derhaka kepada sultan ini menyebabkan kedududukannya dalam Umno terjejas. Umno waktu ini gila-gila membela sultan walaupun tidak tahu hujung pangkal dan mereka akan menghentam dan 'memalu' mereka yang dianggap (pada fikiran Umno) menderhaka kepada sultan. Apakah tidak nanti ada suara yang menarik Annuar ke arah itu - membuat tafsiran senyap Annuar melawan sultan?

Ini boleh saja berlaku kalau Ahmad Shah juga merasakan tindakan Annuar itu mencabar kedudukan secara peribadi. Tambahan kalau ada tukang cocok. Pasti ia menjadi masalah kepada Annuar. Umno akan membuat tafsir Annuar sudah derhaka kepada seorang sultan. Konotasi atau sejarah derhaka bagi Annuar terhadap sultan dan istana ini pula tidak asing lagi apabila sebelum ini beliau pernah 'menabalkan' sultan baru di Kelantan hampir tahun lalu. Kejadian itu yang menimbulkan kemarahan memudahkan orang akan menarik Annuar ke kancah peristiwa dan perbuatan itu.

Jika ini benar berlaku nampaknya harapan Annuar untuk dicalonkan dalam pilihan raya akan datang sukar dan gelap sedikit. Annuar kini sedang berkempen untuk bertanding di kerusi Parlimen Ketereh. Annuar sangat suka dan yakin pencapaian beliau dalam bola sepak akan memberi tuah kepadanya. Annuar cuba menjejaki semula cekrawala politik dengan bola sepak.

Namun sekiranya apa yang dilakukan sekarang ini, saman FAM... memberi impak dan masalah kepada Annuar kemungkinan impian dan angan-angan untuk merampas kembali kerusi Parlimen Ketereh hanya sebagai satu mimpi yang tidak siap saja.  Bagi saya tindakan Annuar itu adalah satu kebenaran yang tidak membawa keuntungan kepada siasah beliau. [wm.kl.12:30 t/malam 17/06/12]

Sunday, May 20, 2012

Susupan Malam

Sokong Royalti Minyak Untuk Kelantan Gimik Annuar

Macam seperti satu kejutan pula kepada orang Kelantan apabila Annuar Musa tiba-tiba menurun tanda tangan atas banner yang menuntut agar royalti minyak dikembali kepada rakyat Kelantan. Tindakan Annuar itu pun menjadi perhatian dan dilaporan sebagai berita yang menakjubkan. Maka orang-orang Kelantan yang dahaga royalti minyak dan sudah berjuang dengan sebahagian rakyat Kelantan menuntut royalti itu pun suka dan senyum sampai ke pipi.
Annuar menandatangani banner. Foto: Zamani.

Tanpa mengetahui apakah motif di sebalik tindakan Annuar itu ramai yang memuji Annuar. Ada yang nampak Annuar sebagai bersemangat Kelantan dan bersimpati dengan rakyat Kelantan. Itulah pandangan tanpa melihat menggunakan kanta mata politik. Tetapi bagi mereka yang matanya tidak disaluti selumbar atau selaput akan merasakan tindakan Annuar itu tidak lebih dari satu gimik murahan saja. Ia kerja orang yang tidak ada kerja sahaja atau pun frustasi.

Kenapa saya kata begitu, kempen untuk mendapatkan royalti minyak sudah lama dijalankan oleh rakyat Kelantan. Sampai Tengku Razaleigh Hamzah pun ikut sama menyokong tindak tanduk dan perjuangan rakyat Kelantan itu. Isu itu sudah pun sampai ke mahkamah. Husam Musa sudah pun membawanya ke mahkamah dan mungkin selepas ini ke mahkamah timbang taraf dunia pula kerana untuk mendapatkan royalti berkenaan yang jelas ianya hak dan kepunyaan rakyat Kelantan.

Tetapi apakah reaksi Annuar sebelum ini? Memang Annuar tidak membantah atau cuba mengalihkan cerita fasal royalti seperti Awang Adek Hussein, tetapi Annuar tidak pun berkata apa-apa mengenainya. Sokong pun tidak, tidak sokong pun tidak. Annura jadi macam lalat kena ridsect. 

Bagaimana pun orang kanannya yang juga timbalannya dan sahabat selubang dan sepermainan dengannya Mohammad Alwi Che Ahmad, ada komen fasal royalti. Alwi bersetuju kerajaan Kelantan membawa isu royalti ke mahkamah kerana dia menganggap keputusannya nanti akan berpihak kepada kerajaan Pusat. Cara Alwi menyokong itu bukan mengharap wang royalti itu diberikan kepada Kelantan tetapi biar mahkamah menghentikan polimek mengenai perkara itu.

Kalau Annuar Musa jujur dan benar-benar prihatin kepada rakyat Kelantan, beliau sepatutnya tidak menanda tangani mendesak royalti itu semalam, tetapi lama sebelum ini. Dia harus bangkit memperjuangkan bersama rakyat, Tengku Razaleigh dan rakyat Kelantan awal-awal lagi. Beliau patut minta laluan untuk naik ke pentas bersama Pas dan Tengku Razaleigh membuat desakan kepada kerajaan. Dan bial setiap kali Najib Razak mengadakan lawatan ke Kelantan Annuar perlu menyuarakan perkara itu. Tetapi kenapa tidak?

Makanya, saya ulangi makanya kesudian Annuar Musa mencemar tangan menanda tangani mendesak royalti itu sesudah beliau kini sudah tidak ada kuasa dalam Umno. Sesudah tidak menjadi menteri, sesudah tidak menjadi pengerusi perhubungan Umno Kelantan, sesudah tidak menjadi wakil rakyat dan juga sesudah digantung dua tahun setengah oleh FAM.

Sikap atau pun kersedaran terdesak itu biasa berlaku kepada orang Umno. Selepas mereka tua, habis modal dan bisa tidak dapat merancuni pemimpin Umno mula mereka berlegar ke halaman Pas. Menyertai Pas dengan membero seribu janji. Tetapi bila kehendak dan apa yang mereka idamkan tidak tercapai mulalah mereka akan 'mentok' - berona.

Berbalik kes Annuar kenapa masa beliau ada kuasa, beliau tidak mendesak semua itu. Saya malas hendak mengulas dan memberi jawaban, mungkin kita semua tahu apakah sebab musababnya. Jadi kemurahan hati Annnuar menanda tangani banner desakan itu bersama lebih 20,000 rakyat Kelantan di perkarangan stadium Bukit Jalil semalam untuk menarik perhatian dan simpati sahaja. Beliau hendak tunjuk beliau bersama rakyat demi Kelantan. Kelabaan yang diperolehinya beliau akan dianggap berjiwa rakyat dan bersama rakyat. Itu sahaja. Air mata yang ditumpahkan kini adalah air mata buaya selepas dirinya tiada apa-apa kuasa.

Oleh itu rakyat Kelantan janganlah mengharap apa-apa budi dan bakti dari Annuar untuk rakyat Kelantan. Rakyat Kelantan boleh terima dia adalah pengurus bola sepak yang baik tetapi bukan seorang ahli politik yang ikhlas.

Buktinya selama lebih 22 tahun beliau menjadi pemimpin nombor dua Umno Kelantan, beliau tidak pun berusaha tetapi menyekat dan menghalang apa-apa projek ke Kelantan. Sebenarnya amalan dan budaya yang dipraktikkan Annuar selama ini masih berterusan di Kelantan.

Sama sepertai Annuar memimpin bola sepak Kelantan begitu juga tanda tanganninya menuntut royalti minyak itu tidak ikhlas. Ia hanya umpan plastik uantuk mengait mulut ikan sahaja. Mana-mana ikan yang tiada pengalaman dan suka barang palsu akan bertepok tangan dan gembira atas tindakan Annuar. [wm.kl.6:14 pm 20/05/12]

Sunday, October 30, 2011

Kulasah Ahad

Betulkah Annuar Jadi Pengarah Pilihanraya UBN Kelantan?

TERDENGAR di dua tiga lokasi kononnya Annuar Musa akan dilantik menjadi Pengarah Pilihanraya UBN Kelantan. Semalam di sebuah majlis kenduri di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur ada orang memberi tahu yang MT telah bersetuju melantik Annuar sebagai pengarah. Kata si pemberi tahu itu hanya tunggu diumumkan sahaja.

Dari sumber ibu pejabat Umno Kelantan juga ada menyebut kemungkinan itu. Sumber rapat dengan Mustapa Mohamed juga ada terdengar desas desus demikian. Benarkah?

Annuar yang kini sudah terpelanting dalam arus politik Kelantan dan cuba bangun menerusi bola sepak tentu gembira dengan desas desus itu. Tidak mustahil juga beliau sedang berusaha mencetak namanya untuk memasuki semula inner cicrle politik Kelantan. Atau beliau sendiri telah menghantar pelobi menemui Najib untuk jawatan itu.

Annuar orang yang tidak mudah tewas dan mengaku kalah dalam politik. Dia licit macam belut dan anjal macam gamat laut, walaupun badan sudah putus tiga tetapi kalau dicampak ke laut ia boleh bercantum balik. Annuar mempunyai ilmu ampuh dan bijak mencari helah untuk keluar dari simpulan politik. Sudah acap kali dia terlepas... menjadikan orang lain yang terkena nagkal walaupun dia yang mencuri.

Bola sepak adalah ruang untuk beliau memulihkan imejnya. Membina semula reputasi dan menebus kemaluan demi kemaluan. Ternyata usaha itu berjaya. Kemenangan skuad gedebe merah Kelantan telah menaikkan namanya. Kemenangan itu memberi ruang Annuar untuk turun ke padang semula dengan mengarakkan piala Malaysia ke segenap kampung dan pelusuk di Kelantan.

Ada juga rakyat Kelantan yang belum tenguk dan jamah piala itu mengkagumi Annuar. Meletakkan kejayaan itu hasil usaha Annuar secara personal sehingga lupa kemenangan itu adalah hasil kerjasama dan persepakatan pemain dan juga rakyat Kelantan serta kerajaan negeri seluruhnya tanpa mengira ideologi politik.

Gelombang merah telah digunakan Annuar untuk menyakinkan orang Kuala Lumpur, bahawa dia mampu melalukan kejutan. Orang Kuala Lumpur juga ada yang menerimanya. Menerima secara pakej kejayaan Annuar itu silap, kerana mengurus bola sepak tidak sama dengan politik. Menjadi seorang pengurus mungkin Annuar ada bakat tetapi menjadi politician dia sudah banyak kali gagal.

Penglibatan beliau dalam bola sepak sehingga berjaya mencacakkan nama Kelantan jelas demi kepentingan peribadi dan wang. Kenapa dikatakan begitu, kerana Annuar tidak berjaya mengemilangkan nama di dalam Kada sehebat dalam bola. Sebabnya... Kada tidak memberi keuntungan banyak kepadanya. Annuar adalah pengerusi Lembaga Pertanian Kemubu (Kada).

Orang ramai mulai merasa seronok dengan apa yang dilakukan Annuar. Annuar sendiri katanya mendakwa dia ada penyokong gedebe merah seramai 200,000 yang kononnya akan mengubah landskap politik Kelantan. Para penyokong itu yang selalu dijinakkan menerusi program tertentu akan digunakan sebagai saldadu upahan untuk menyokong Umno.

Mulanya saya fikir begitu. Para penyokong bola sepak akan disihirkan oleh Annuar untuk menyokong Umno. Mereka akan digula-gulakan dengan kemenangan demi kemenangan. Tetapi apabila bercakap dengan kawan baik Annuar, Mohamad Alwi Hj Che Ahmad, (jangan panggil Hj Lu V, sebab dia marah) tanggapan saya itu salah. Kata Mohamad Alwi, itu adalah ilusi Annuar sahaja. "Demo tenguk dalam stadium, 10 yang membawa masuk bendera adalah bendera Pas, bendera Umno hanya satu sahaja...," begitu ujar Mohamad Alwi kepada saya suatu hari.

Juga hujah Alwi, penyokong bola sepak akan menyokong bola sahaja, mereka tidak akan menyokong Umno. "Kalau Pas tetap Pas sampai ke bila," kata Mohamad Alwi. Jadi kalau Annuar merasakan penyokong gedebe merah itu sebagai penyokongnya itu satu assement yang silap. Saya juga hairan apabila Mohammad Alwi berkata demikian, apakah dia juga merupakan seorang penyokong gedebe merah yang sudah mulai tidak sokong kawan baiknya itu?

Saya mulai percaya kata-kata Mohamad Alwi itu. Apabila saya bercakap dengan beberapa penyokong pasukan bola Kelantan mereka tidak mudah terpengaruh dengan bola sepak. Kata mereka bola sepak adalah sukan termasuk dalam bab hobi, manakala politik adalah perjuangan. "Saya tidak akan tukar perjuangan dengan hobi.." tegas mereka.

Dengan hakikat itu apakah kelebihan Annuar untuk dilantik menjadi Pengarah? UBN sengaja menepah maut kalau menerima perlantikan Annuar sebagai pengarah. Dan MT yang kononya sudah membuat keputusan itu juga, pasti salah dalam membuat penilaian atau salah menerima maklumat berhubung reputasi Annuar Musa.

Suka tidak suka, dan bagaimana Annuar cuba mengkosmetikkan dirinya dengan bola sepak, tetapi kebusukan aksi dn fiil politiknya di Kelantan sudah diketahui umum. Ke mana sahaja orang pergi orang akan terhidu akan kehamisan lagak politiknya. Orang Kelantan masih belum lupa dan ingat segala tindak tanduknya semasa dia menjadi menteri dulu. Selama lebih 10 tahun menjadi menteri tidak ada sebarang tanda jasa besar Annuar untuk Kelantan melainkan di Ketereh, kawasan diwakilinya.

Annuar semasa zaman gahnya lebih dilihat menteri Kuala Lumpur dari menteri asal Kelantan. Dia seakan tidak mempedulikan langsung kepada Kelantan melainkan memberi habuan dan menjaga bagaikan menatang minyak penuh rakyat di Ketereh sahaja. Al hasilnya aksi begitu tidak juga menjamin kemenangan abdi buatnya. Dalam tahun 2008 Annuar tertiarap makan dedah di tangan anak buahnya sendiri, Aziz Kadir yang dianggap sebagai ayam dogel.

Orang masih ingat bagaimana Annuarlah yang menyekat projek federal untuk Kelantan. Beliaulah yang mencegah kerajaan Pusat daripada memberi bantuan kewangan kepada Kelantan untuk mengatasi masalah air, pembesaran lapangan terbangan Sultan Islam Petra dan kemudahan lain. Begitu juga semasa menjadi pemimpin Umno Kelantan di era Mahathir dulu, Annuar tidak pernah pun ingat kepada Kelantan. Tidak ada kedengaran sekalipun dia membangkitkan isu royalti minyak untuk Kelantan. Kalau pun dibela dan dibela hanya beberapa orang wanita Kelantan saja termasuk janda.

Begitu juga dengan skandal dan isu peribadi yang dibelitkan ke atas dirinya, masih segar dalam ingatan. Penyelewengan wang PPRT bernilai puluhan juta yang dikaitkan dengan dirinya masih tersemen di dalam ingatan. Setengah orang bila terpandang Annuar Musa maka akan terpandanglah helaian ringgit itu melayang-layang jatu atas muka dan di hujung kakinya.

Sejarah dan hikayat itu semua menyebabkan Annuar Musa tidak akan dapat melepaskan dirinya dari sangkaan dan fitnah umum. Kejayaan membawa piala Malaysia ke Kelantan bukan penawar untuk menutup segala sangkaan buruk dan fitnah itu. Apa lagi dalam beberapa kes melibatkan dirinya ada kebenarannya. Keseronokan kerana melihat bola menggolek dan menerawang ke jaring gol tidak akan menyapu ingatan orang ke atas kejahatan dan kesadisan politik yang dilakukannya.

Jadi dari celah mana kalau MT atau Najib sendiri terbuka hati untuk melantik Annuar sebagai pengarah? Apalah Annuar telah membiayai separuh dari harga cincin sernailai RM24 juta? Annuar memang berkebolehan mengurus dan mencatur politik, tetapi perlu diingat politik bukan saja memerlukan seorang yang cemerlang dalam pengurusan dan kreatif dalam menangan isu tetapi politik memerlukan seorang yang mesra alam, bersih, mudah didampingi, bertanggungjawab, tidak membuat kerja kucing kambus tahi dan lebih penting mempunyai komitmen tinggi kepada negerinya sendiri.

Justeru kalau Umno melantik Annuar menjadi pengarah pilihan raya, Pas Kelantan akan mendapat bonus kemenangan awal. Sudah pastinya gambar dan banner majlis pertabalan Tengku Ibrahim Putra di bawah pokok ketapang di Ketereh yang berlaku kira-kira 20 tahun lalu akan muncul kembali. Sesungguhnya gambar itu cukup menikam hati rakyat Kelantan yang diterjemahkan sebagai penderhakaan Annuar kepada istana Kelantan.

Gambar piala Malaysia yang ada dalam simpanan Annuar itu tidak akan mampu untuk melawan gambar dia bersama Tengku Ibrahim Putra di Ketereh itu. Jadi ura-ura melantik Annuar sebagai pengarah pilihan raya tidak lain dan tidak bukan untuk melentangi semua kerja-kerja yang dijalankan oleh Mustapa Mohmed dewasa ini. [wm.kl.10:07 am 30/10/11]