RENCANA
SATU lagi penantian politik sudah bertitik noktah semalam apabila PAS secara rasmi memutuskan hubungan politik dengan Bersatu. Keputusan itu dibuat oleh PAS dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerjanya. Keputusan tersebut diambil setelah Dewan Ulama membentangkan pandangan dan juga nasihat dari segi hukum serta fiqh siasah Islam.
PAS menyandarkan keputusan memutuskan kerjasama politik itu dengan mengambil nasihat Dewan Ulama, iaitu dewan tertinggi dalam PAS, begitulah yang disebut dalam kenyataan ringkas yang dikeluarkan selepas mesyuarat berkenaan.Bagi kita, itu adalah alasan semata-mata untuk memperlihatkan sikap terbuka dan memberikan justifikasi terhadap tindakan PAS, sedangkan hakikatnya keputusan itu adalah hak eksekutif, khususnya presidennya, Abdul Hadi Awang, kerana PAS mengamalkan kepimpinan ala mullah, di mana presiden mempunyai kuasa yang sangat besar. Siapa yang berani melawan cakap Tok Dor?