Showing posts with label Gangguan siaran - Radio. Show all posts
Showing posts with label Gangguan siaran - Radio. Show all posts

Wednesday, February 17, 2010

Yang Terdengar

Ceramah Mohd Amar Disiar Di Radio
Apa Sudah Jadi Dengan RTM?

UNTUK menghalau rasa bosan dan panas hati kerana keadaan jalan raya jam teruk saya menekan punat stesen (turning) radio di kereta. Carian automatik itu berjalan sendiri. Tiba-tiba terkeluar dari corong radio itu ceramah politik. Sekali dengar suaranya yang terik dan nyaring saya sudah cam, penceramah itu ialah Mohd Amar Nik Abdullah, Exco Kelantan.

Harain saya. Berkali-kali saya bertanyakan isteri yang berada di sebelah apakah suara itu dari radio atau CD ceramah. "Apa awak masukkan CD cermaah ke," tanya saya. Kata isteri saya suara itu dari radio, mana ada CD ceramah atas kereta. Memang pun saya tidak pernah memiliki atau menyimpan mana-mana CD ceramah politik, apa lagi pasang atas kereta seperti kebanyakan penjual pasar malam atau penyokong parti politik.

Menyampah saya mendengar ceramah politik! Asyik caci maki orang saja tak ada kerja lain. Bercakap penuh khayal dan tidak berpijak di bumi nyata. Kadang-kadang ada penceramah yang baca ayat-ayat Quran dan Hadith memberi nasihat agar rakyat perkuatkan iman dan perjuangan tetapi diri sendiri bercepuah dengan noda dan dosa.

Sesekali saya silau ke skin stesen radio melihat frekuansinya. Stesen itu menunjukan frekuansi FM 87.7. Sahih ia bukan dari CD tetapi dari corong radio itu. Frekuansi itu diperolehi ketika berada di atas bukit untuk turun ke bandar Bentong. Jam waktu itu sekitar pukul 5:15 hingga 6:35 minit petang.

Panjang ceramahnya kira-kira 25 minit. Saya dengar sampai habis untuk mengetahui apakah rancangan yang menyiarkan ceramah berkenaan. Mulanya saya ingat ia disengajakan untuk menempelak atau memburukkan pembangkang khasnya Pas kerana dalam ceramah itu ada perkataan atau ayat-ayat yang kurang sedap didengar diucapkan oleh Mohd Amar.

Menerut penjelasan Mohd Amar ceramah itu diadakan di Bachok. Antara isi kandungan ialah mengenai pendirian kerajaan Kelantan yang tidak mahu buat pembangunan tergesa-gesa kerana takut rakyat Kelantan hilang tempat tinggal. Katanya itulah makanya Kelantan agak slow dari segi pembangunan kerana kerajaan lebih memikirkan tempat kediaman rakyat.

Mohd Amar juga memberi tahu ada syarikat antarabangsa hendak buat pelabuhan di Pengkalan Datu berhampiran rumahnya di Panchor hingga ke Semerak, Pasir Puteh. Kalau jadi projek itu akan sama hebat dengan pelabuhan di Sydeny, Australia. Bagaimana pun katanya atas nasihat dan peringatan projek itu dibatalkan oleh Tok Guru Nik Aziz kerana ia boleh menyebabkan penduduk di situ akan menghadapi masalah tempat tinggal. Kampung-kampung terlibat juga akan lenyap.

Isi lain ceramah itu ialah mengenai perangai atau sifat orang Umno macam kerbau yang digesek rebak di telinga. "Kalau kita gesek rebak di telinga kerbau, ia itu tidak tahu apa benda kecuali mengibas telinganya saja. Begitulah orang Umno kita kata apa pun dia tak tahu. Baca ayat Quran tetapi tidak faham apa benda. Jadi orang Umno ni lebih kurang kerbau saja," begitulah antara lain kata Mohd Amar. Tambah beliau lagi ada orang Umno di kampung sejak sebelum merdeka sampai kini sokong Umno tetapi dia dok heret beruk saja (pelihara beruk untuk panjat kelapa).

Sikir dan pedih teliga saya mendengarnya. Tidak pantas bahasa demikian lahir dari seorang profesional dan cendekiawan seperti beliau yang pula tu disebut-sebut bakal menjadi M Kelantan. Ceramah yang berunsur humour itu benar-benar menyenakkan telinga orang Umno mendengarnya. Saya tidak pelik dengan ceramah Mohd Amar atau mana-mana penceramah Pas itu, tetapi yang bingungnya kenapa ceramah itu disiarkan atau boleh didengar menerusi corong radio?

Apa juga yang sempat didengar Mohd Amar juga meramalkan Najib Razak adalah perdana menteri terakhir. Katanya jika berpandukan teori Rahman, N adalah Najib dan selepas ini tidak ada huruf lagi. Kalau pun ada huruf katanya ialah I yang dimaksudkan kepada inalilahiwainailahirajieum.

Saya tidak fikir RTM sengaja menyiarkan kerana isinya boleh menjejaskan parti berkenaan. Apakah ada program khas yang disediakan oleh pihak tertentu untuk sebotaj rancangan radio kerajaan?

Saya tunggu hinggalah ceramah itu selesai. Mohd Amar mengakhiri ceramahnya dengan apolegetik dengan berkata kalau ada terkasar bahasa dan salah silap dia pohon maaf. Habis sahaja beliau memohon ampun itu, siaran itu putus terdengarlah sebuah lagu Melayu. Lagu itu bukan tiba-tiba saja muncul, tetapi ia muncul sebaik ceramah itu habis.

Selepas lagu itu habis juruhebah memberi tahu radio itu ialah Klasik FM. Rancangan yang keudara waktu itu ialah "Aku dan Lagu", yang merupakan rancangan pilihan pendengar lagu-lagu yang ada kenangan. Saya tidak fikir ceramah yang keudara tadi disiarkan oleh penerbitan Radio Klasik FM tetapi apa yang saya fikir mungkin ada stesen atau pemancar haram yang telah menerobos siaran radio kerajaan.

Saya pecaya dalam ratusan pengguna jalan raya yang terperangkap hampir satu jam setengah itu ada yang turut mendengarnya. Mungkin mereka juga rasa pelik kenapa ceramah politik Pas boleh masuk radio kerajaan. Ia bukan petikan dengan tujuan hendak menjatuhkan imej Pas tetapi di siar sepenuhnya dan cara penyiarannya boleh mempengaruhi pendengar agar membenci Umno.

Mungkin RTM boleh siasat perkara ini. Dan jika ia adalah pemancar haram yang dibangunkan oleh mana-mana pihak, baik statik terletak atas bukit atau atas kereta bergerak ia boleh dipuji kerana berjaya menganggu radio Malaysia yang selama ini menjadi alat propaganda kepada kerajaan Umno-Barisan Nasional. Manakala apa yang saya dengar itu benar-benar mencabar menterinya Rais Yatim yang asyik berpantun di radio menjual kehebatan bahasanya siang malam. Syabas kepada mereka yang membangunkan pemancar haram atau berjaya memintas siaran radio kerajaan! [wm.kl.22:45 pm 07/02/10]