Ramai yang tidak tahu Jumaat lepas Perdana Menteri Mohd Najib Razak terbang untuk menghadiri pengembumian Tokguru Nik Aziz bersama Tengku Razaleigh Hamzah. Jarang atau boleh dikatakan tidak ada kesempatan itu sama sekali untuk mereka berdua berada dalam satu pesawat. Walaupun atas kapal terbang itu ada beberapa menteri lain, tetapi ia bolehlah disifatkan penerbangan eksklusif mereka berdua.
Mungkin kejadian ini tidak mendapat perhatian dan sorotan meluas media massa kerana semua orang menumpukan kepada apa yang ada atau berlaku di Pulau Melaka. Media massa mungkin juga tidak sempat menghidu kerana peristiwa pengembumian Tokguru Nik Aziz itu lebih penting dan bermakna daripada apa-apa peristiwa lain pada hari itu.