Sunday, August 24, 2008

Permatang Pauh 3

Pas All Out Bantu Anwar


KESEDIAAN dan kesanggupan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang dan Timbalan Mursyidul Am, Dr Haron Din turun ke Permatang Pauh semalam menguncikan langkah BN. Isu kononnya Pas tidak memberi kerjasama dan membantu calon PKR dalam pilihan raya kecil itu tamat.

Malam tadi Abdul Hadi dan Haron Din berceramah bersama Anwar di Guar Perahu dalam DUN Pasir Panjang. Manakala dari maklumat dan sebaran pihak penerangan PKR, Musyidul Am Pas, Nik Aziz Nik Mat dan Husam Musa juga akan turun dan berada atas pentas bersama Anwar malam ini.
Nik Aziz juga akan turut menghadir munajat di masjid Perda. Dijangka ribuan jemaah akan turut bermunajat bersama Tok Guru berkenaan.

Kehadiran tiga pemimpin utama Pas itu menafikan sama sekali dakyah yang disebarkan oleh pihak BN kononya Pas tidak memberi kerjasama sepenuhnya dalam pilihan raya berkenaan. Tentunya penglibatan sama ketiga pemimpin tertinggi Pas itu mereka lakukan atas kepentingan politik dan perjuangan serta mengenepikan soal-soal peribadi lainnya.

Langkah BN kini terkunci dengan kehadiran itu! BN kena mencari hujah dan alasan lain pula bagi mempengaruhi rakyat kononnya Anwar tidak mendapat sokongan padu dari kalangan rakan Pakatan Rakyat terutamanya dari Pas.

Mungkin kehadiran Abdul Hadi, Haron Din dan Nik Aziz itu sebagai lambang saja atau lebih berkempen dengan mendoakan kemenangan rakyat menerusi Anwar. Namun apa yang dilakukan petugas-petugas Pas di Permatangan Pauh khasnya dari kalangan Pemuda sungguh memberangsangkan dan menyerlahkan semangat kerjasama yang kental.

Penglibatan Pemuda sesuatu yang boleh dibanggakan. Pemudalah yang menonjol membantu kempen, mengedar rialah, tunjuk jalan, ataupun menemani penceramah luar menjejaki ke kawasan pilihan raya. Walaupun ketua mereka Sallehudin Ayub tidak mendominasi kempen Pemuda dan sehingga semalam belum nampak batang hidung namun Pemuda seakan mendapat arahan secara ghaib memastikan kemenangan Pakatan Rakyat!











Apakah Sallehudin akan turun malam ini bersama Mursyidul Am Pas? Ataupun barang kali nama-nama tokoh Pemuda Pas tidak disenaraikan untuk menjadi penceramah utama kerana PKR ingin menunjukkan bahawa mereka mempunyai tenaga penceramah dan kempen yang mencukupi?

Selain daripada Anwar mendapat sokongan padu dari Pemuda Pas, beberapa ahli Jawatankuasa Agung juga turut bertumas di Permatang Pauh. Salah seorangnya ialah Dr lo' Lo' Ghazali yang juga ahli Parlimen Tititwangsa, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Nampaknya ahli Parlimen ini tidak kecukupan tangan untuk memastikan Anwar akan berada di Parlimen pada 27 Ogos nanti. Saya sempat melihat sendiri bagaimana Dr Lo' Lo' menjelajahi segenap penjuru dalam pasar yang Jalan Tengiri menemui orang ramai dan peniaga memohon agar memilih Anwar Ibrahim. Keseluruhan pasar berkenaan ditakuli jentera kempen Pas.

Dengan diiringi dengan beberapa orang petugas Pemuda yang bertindak menjadi pegawai keselamatannya, Lo' Lo' tanpa sengan dan penuh mengharap setiap orang yang didatangi supaya mengundi Anwar.

"Jangan lupa Anwar Ibrahim, ya... dia pemimpin kita... jangan lupa kita sokong dia.." begitulah pesan Dr Lo' Lo' pada setiap orang yang ditemuinya.

Bukan itu saja, ahli Jawatankuasa Agung Pas ini juga turut sama memasuki ke pejabat-pejabat atau peremis kerajaan untuk berkempen agar memilih Anwar. Walaupun cara itu dianggap sebagai sedikit menyalahi adat, namun beliau tetap mempertahankan tidak menjadi masalah kerana ada juga kalangan pegawai kerajaan, baik negeri dan persekutuan tidak mendapat maklumat jelas mengenai calon, tujuan bertanding dan sebagainya.

Beliau mendatangi pejabat kerajaan dengan rasa tanggungjawab bagi menjelaskan mengenai apa yang berlaku di luar (dalam politik), tegasnya.

Berdasarkan pengamatan Dr Lo' Lo' calon PKR, mempunyai harapan besar untuk memang berdasarkan sambutan orang ramai terhadap kempen-kempen dijalankan. Dr Lo' Lo' juga merasa bangga dengan sikap orang ramai yang terbuka dan sedia menerima pandangan dan penjelasan yang diberikan walaupun ada orang yang didatangi itu jelas tidak sukakan kepada Pakatan Rakyat. [wm.kl 10:45 am 24/08/08]

Sedih Subuh

Keletihan Dan Sebuah Kemalangan!
SEMALAM tidak ada apa-apa laporan dan catatan untuk blog ini. Bukan tidak ada bahan, banyak bahan yang tersimpan dalam kepala. Banyak kisah yang hendak dituliskan mengenai Permatang Pauh. Tetapi masa dan kelemahan diri sendirilah yang menghalanya.

Sejak jam 10:00 pagi hingga ke hampir Maghrib masih belum habis berputar dan singgah menyinggah untuk meninjau berbagai pandangan dan situasi berhubung peluang PKR dan BN, lusa. Tinjauan untuk membuat analisa akhir apakah Penasihat Umum PKR, Anwar Ibrahim akan berjaya ke Parlimen pada 27 Ogos ini ataupun bagaimana?

Badan sudah rasa letih, lengguh longlai. Itu pun nasib baik bersama sdr Md Radzi Mustafa, kawan yang bertindak menjadi driver setia. Kesian tengoknya yang keletihan, namun tetap keraskan semangat kerana ingin mendapat maklumat-maklumat sahih dan akulet.

Kerana keletihan dan ketiadaan masalah, maka catatan semalam tidak dimasukkan. Maaflah kepada penjenguk yang begitu dahagakan laporan terus dari Permatang Pauh menerusi blog ini. InsyaAllah seharian ini saya akan mengulas dan menulis mengenainya.
Lewat Isyak semalam saya dan Radzi mengambil keputusan untuk berihat saja, tidak bercadang lagi untuk memasuki ke Permatang Pauh. Walaupun ada beberapa ceramah besar, (malam tadi) khasnya di Guar Perahu dalam DUN Pasir Panji yang melibatkan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang, Timbalan Mursyidul Am, Dr Haron Din bersama Anwar, namun kami korbankan keistimewaan itu untuk membolehkan kami berihat sedikit.
Kehadiran Abdul Hadi dan Dr Haron Din malam tadi adalah kehadiran pertama yang sangat-sangat ditunggu. Tentu sambutannya malam tadi melebihi sambutan malam kelamarin di Mengkuang Titi.

Niat untuk berihat juga tidak jadi. Beberapa buah hotel di Penang penuh. Permintaan bilik penginapan melebihi secara mendadak dua tiga hari ini. Sebuah hotel bertaraf lima bintang di Bukit Jambul sudah dipenuhi dengan para wakil rakyat dan menteri. Puteri Umno juga nampak bergelewet dan bertepuk tampar di loby hotel berkenaan.

Jadi keputusannya.... balik, walaupun badan kedua kami lenggung longlai dan letih lesu.

Sebaik kena nasi kandar berhampiran Komtar kami meninggalkan Penang dan membiarkan Permatang Pauh terus bergelora dengan asakan, bidasan dan tangkisan kempen saat-saat akhir kedua pihak. Waktu melintasi Permatang Pauh hujan juga mulai turun rintik-rintik.
Sepanjang jalan pulang, keadaan tidak menyenangkan. Penyakit alam, hujan lebat turun menjadikan perjalanan pulang tidak seria semasa pergi. Saya tidak dapat berbuat apa-apa untuk membantu Radzi, kaki pegal dan paha sakit seakan kejang! Nak berjalan juga susah, terpaksa picit-picit dan hentak lulu baru boleh melangkah.

Untuk menghilangkan penat dan menghambat rasa mengantuk driver sesekali kami menlaung atau pun mendendangkan lagu-lagu yang tanpa seni kata. Huss...... hasss..... beberapa kali kalimah tidak ada makna dan erti itu kelaur dari mulut Radzi menunjukkan rasa cemuh dan bosan dengan suasana perjalanan itu serta bagi menghalau rasa katuk.

Selepas puas menyanyi lagu-lagu yang tidak bernota, saya terlelap, dan menurut Radzi sempat berdengkur. Tinggallah Radzi sendirian memandu dan tentunya menyanyi dan berfikir mengenai masa lepas dan masa akan datang. Menghimbau kenangan silam yang carit dan cuba dijahit kembali!

Tidur-tidur ayam saya terusik apabila sampai di km 240 Lebuh Raya Utara – Selatan, berhampiran Bukit Beruntung apabila tiba-tiba Radzi mengejut tergesa-gesa; Ti.... bas terbalik....? Saya menjenguk ke kanan dan sebuah bas tertungging dengan separuh badannya tersenggeng ke dalam parti, manakala di tepi jalan bersepah dengan serpihan badan dan kaca bas berkenaan. Jam ditangan menunjukkan pukul 4:40 pagi.
Beberapa buah bas eksperes lain berhenti, dan saya minta Radzi turut berhenti. Dengan langkah yang terhinjuk-hunjuk kerana kepegalan betis dan paha menuju ke tempat kejadian untuk meninjau apa yang berlaku. Rasa sakit yang melekat dibetis dan paha tadi juga hilang secara tiba-tiba apabil melihat kemalangan yang menggerikan itu.
Injin bas masih hidup dan berasap. Ini bermakna kejadian itu masih baru. Keadaanya teruk dan mengerikan. Bebeberapa penumpang masih lagi berada dalam bas dan penumpang lain berusaha untuk mengeluarkan. Ada yang cedera dan parah.
Masing-masing kepanikan dan tidak tahu apa hendak dilakukan. Yang bersama anak dan keluarga mengira-ngira anak masing-masing dan yang berteman mencari teman. Sementara yang lain pula saling bertanya dan mencari driver. Akhirnya orang yang dikatakan menjadi driver bas berkenaan terjumpa, badannya terdampar dalam parit sedalam tiga meter dengan kepalanya hancur sama sekali. Dia dipercayai maut ketika itu juga.

Melihat keadaan itu saya jadi lemah gemulai. Untuk beberpa minit tidak dapat bergerak dan kamera terkulai d itangan tanpa berfungsi. Selepas mengeraskan semangat dan beristighfar baru beberapa keping gambar dapat diambil.

Suasana malam menjadikan keadaan sedikit kelam kabut dan menyebabkan penumpang tidak tahu apa hendak dilakukan. Bantuan keselamatan "sesama sendiri" tidak dapat dilakukan, masing-masing menjaga dan mengawal diri sendiri. Sebahagian besar penumpang tidak berkasut atau berselipar.

Menurut penumpang bas berkenaan, bas itu bertolak dari Butterworth jam 12:30 malam. Ianya dipandu agak laju. Seorang penumpang memberi tahu sebelum bas itu terperosok ke dalam parit ia bergoyang beberapa kali dan merempuh pagar jalan sebelum terheret ke dalam parit sedalam lima tujuh atau lapan meter.

Menurut penumpang berkenaan juga, bas berkenaan tidak berhenti rihat cuma berhenti sekali saja itu pun setelah diminta oleh seorang penumpang kerana dia ingin membuang air kencing.

Bas malang itu merupakan bas persiaran dan yang diuruskan oleh sebuah syarikat bas untuk mengambil penumpangnya yang berlebihan. "Saya beli tikit bas lain tetapi sampai di kouter saya disuruh naik bas ini kerana bas itu sudah penuh," jelas seorang penumpang lain kesal.

Hampir satu jam juga saya berada di tempat kejadian melihat dan memantau sebuah kemalangan dan proses pengurusannya. Masih ada beberapa hal yang perlu dicatat dan dijadikan iktibar mengenai hal ini.

Pertama, bantuan kecemas, baik daril ambulas, bomba, dan polis lambat tiba. Disebabkan masalah ini menyebabkan kemungkinan penumpang yang cedera parah akan menjadi lebih parah dan mungkin maut. Kerana waktu itu ada seorang penumpang yang terlentang dengan lumuran darah dan tidak boleh dilakukan apa-apa kerana ambulan lambat tiba.
Tahap bantuan kecemasan di lebuh raya masih belum profesional, tidak setanding dengan kemudahan dan risiko yang mungkin berlaku di lebuh raya berkenaan. Semasa saya sudah mahu meninggalkan tempat berkenaan baru terdengar siren ambulan yang meluncur laju ke tempat kejadian itu.

Dan dalam perjalananan meningalkan tempat itu untuk pulang hati saya terus menyumpah kepada sikap manusia yang tidak tahu berwaspada dan menjaga nyawa orang lain. Misalnya syarikat bas ekspress berkenaan tidak seharusnya menyediakan bas persiarana lain untuk membawa penumpang yang sudah membeli tikitnya kerana selalunya bas persiaran bidan terjun begitu tidak berada dalam tahap kesempurna yang sepatutnya.
Jelas kemalangan menjelang Subuh itu sekitar Bukit Beruntung - Rawang itu, risikonya patut ditanggung oleh syarikat bas yang meyediakan bas persiaran berkenaan! Dan kepada penumpang sekiranya bas yang rasmi tidak ada, janganlah menaik bas yang tidak diketahui identitinya. [wk.kl 7:00 am 24/08/08

Saturday, August 23, 2008

Permatang Pauh 2

Atas Kertas Permatang Pauh Milik Anwar

TEPAT pukul 12:00 tengah malam tadi kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh telah masuk hari ke tujuh. Maknanya tempoh kempen sudah berlalu lebih separuh. Tinggal tiga hari saja lagi tempoh berkempen akan tamat. Penilaian awal sudah boleh dibuat siapakah yang mendahului dan popular untuk memenangi kerusi Permatang Pauh itu.

Sekiranya apa yang ada hari ini akan kekal sehingga Selasa depan, maka keputusan hari ini adalah membayangkan keputusan pada jam 6:00 petang 26 Ogos nanti.

Sepanjang malam tadi bermula jam 8:00 hingga jam 2:00 pagi saya berada di kawasan Permatang Pauh membuat tinjauan mata, dengan dan fikir. Melihat perang poster, sepanduk, banting dan juga suasana di pos-pos dan bilik gerakan kedua parti.

Memerhati suasana ceramah dan juga mendengar cakap-cakap kedai kopi oleh kedua penyokong belah pihak serta temutanya para rakan wartawan yang sejak hari penamaan calon hingga ke saat ini yang tidak lagi pulang atau meninggalkan Permatang Pauh.

Dari tinjau menerusi permarhatian pancaindra kepada perang poster dan suasana bilik gerakan dan pos, jelas kedudukan PKR mengatasi BN. Boleh dikatakan semua pos dan bilik gerakan PKR meriah dan dipenuhi orang ramai. Ini berbeza dengan pos dan bilik gerakan BN yang lenggang dan sunyi walaupun lengkap dengan segala fasalitas.

Poster pula khasnya dalam DUN Penanti, jelas poster PKR mendominasi suasana dan telah menawan seluruh kawasan DUN berkenaan. Di Kubang Semang kubu kuat Pas poster PKR memenuhi setiap ruang dan sepanjang jalan. Pekan sehari di situ dikelilingi bendera PKR dan gambar calon Anwar. Pemandangan ini menunjukkan Pas memberi kerjasama sepenuhnya dalam pilihan raya itu. Kiri kanan jalan pula tercacak poster gergasi Anwar yang menggunakan slogan Merdeka dan sebaris janji yang menyakinkan rakyat beliau akan melaksanakan jika diberi mandat.

Anih poster atau banting BN berkurang sekali. Apakah ianya strategi ataupun sebaliknya tidak dapat dipastikan. Yang nyata gambar Mohd Najib Razak dan Abdullah Badawi lebih banyak daripada gambar Ariff Shah, seolah-olah Najib dan Abdullah yang menetang Anwar. Di sesetengah trempat gambar itu dipacak di tepi parit atau longkang, yang nyatanya gambar Najib dan Abdullah berada rendah daripada poster Anwar.

Sepanjang malam tadi saya juga melewati tiga tempat ceramah PKR; di Permatang Rawa, Tanah Liat dan berakhir di Mengkuang Titi. Ketiga-tiga ceramah PKR penuh sesak. Kehadiran di Permatang Rawa dan Tanah Liart dianggarkan sekitar 2,500 hingga 3,000 manakala di Mengkuang Titi melebih 20,000.

Sepanjang perjalanan kira-kira 15 km itu tidak ketemui satu pun ceramah BN. Cuma bila sampai di hadapan rumah Umno di Pananti, kelihatan beberapa orang petugas BN menghulurkan VCD kepada setiap kereta yang lalu lalang.

Daripada 10 buah kereta yang lalu hanya satu yang sudi mengambil VCD berkenaan. Yang satu dari sepuluh itu termasulah saya yang mengambil untuk lihat apakah isinya. Sebelum buka saya sudah dapat nmengagak isi VCD berkenaan, ialah mengenai Mubahalah sepihak si pembacuh, Saiful Apek, eh... sorryy Saiful Bukhari Azlan. Apa yang saya ramalkan dalam posting sebelum ini, sumpah si pembacuh kopi itu akan dijadikan modal dan bahan kempen tepat dan benar, seperti ditetak dengan golok!

Anih juga kenapa ceramah BN tidak ada? Mungkin BN sudah tahu yang ceramah mereka tidak mendapat sambutan maka ia menukar strategi. BN tentu ada cara lain untuk mengunci pengundi! Kerana ceramah mereka tidak ada sambutan maka cara lain dilakukan bagi mengelak keaiban!

Tinjauan eksklusif malam tadi berakhir di Mengkuang Titi, di mana tempat terakhir PKR mengadakan ceramah dan merupakan stesen terakhir Anwar untuk malam tadi. Ceramah diadakan di atas padang bola. Sewaktu saya tiba Presiden PKR, Dr Wan Azizah Ismail sedang menyampaikan ceramahnya. Turut bersama berada atas pentas ialah ahli Parlimen Kulim - Bandar Baru Zulkifli Nordin, ahli Parlimen Indra Mahkota, Azan Ismail, ahli Parlimen Gombak Mohamad Azmin Ali dan seorang pemimpin Pas kawasan Permatang Pauh.

Padang bola berkenaan penuh sesak dan orang ramai melimpah hingga ke atas jalan raya sepanjang tiga kilo meter.

Mungkin melampau kalau dikatakan angkanya melebihi 30,000 namun ia tidak kurang daripada 20,000. Malang saya terlupa membawa flash jadi lautan manusia malam tadi tidak dapat dirakamkan sepenuhnya.

Sedang elok saya menghampiri pentas Anwar tiba untuk menyambung ceramah dan sekaligus menutup ceramah malam tadi. Menyaksikan penampilan malam tadi yang penuh bergaya, tutur bicaranya dan canda guraunya nampak Anwar begitu konfiden keadaan memihaknya kepada.

Malam ini beliau sungguh ceria dan bertenaga. Semacam ada kekuatan baru yang diperolehinya. Apakah beliau sudah menerima jaminan daripada 30 ahli MP dari BN akan menyertainya sebaik beliau berada di Parlimen? Dari apa yang dibisikan kepada saya dua daripada ahli Parlimen berkenaan ialah dari kalangan menteri?

Sejak beliau difitnah dengan kes liwat, malam inilah saya melihat Anwar seperti Anwar sebelum ini; cerita, bercanda dan konfiden dengan apa yang beliau perjuangkan. Sewaktu berjumpa dan bersalam dengannya ketika Muktamar Pas di Ipoh, Ahad lepas wajahnya masih lagi disapu duka dan kelihatan sebam.

Ceramah dan pidatonya juga masih konsisten berkualiti dan menghiburkan. Gurau sindirnya menghiriskan hati. Ketegasan dan jaminannya cukup menarik dan berjaya mengikat kaki dan menambat hati pendengar. Istimewanya bekas TPM dan bakal PM itu (InsyaAllah) sedikit pun tidak menampakkan kegentarannya untuk berhadapan dengan serangan dan tekanan BN. Ternyata slogannya Lawan Tetap Lawan terus dibarakan! [penang 3:55 am 23/08/08]

Friday, August 22, 2008

Sebuka Mata

Kagum Dengan Sikap Abdullah Badawi

BETAPA sebagai anggota rakyat marhaen saya merasa bangga apabila melihat Perdana Menteri sanggup berdiri bersama orang ramai atas komuter KTM dan sistem transit aliran ringan (LRT)ketika membuat tinjauan ke atas perkhidmatan awam itu. Sikap itu menunjukkan kerendahan diri seorang perdana menteri, walaupun kita tahu ia adalah satu tinjuan beliau ke atas kedua perkhidmatan awam berkenaan.

Abdullah boleh duduk selesa di kedua perkhidmatan itu. Hubungi saja pihak berkuasanya mereka akan aturkan tempat duduk selesa. Tatapi Abdullah tidak berbuat demikian kerana beliau ingin melihat sendiri kesusahan rakyat dan apa yang sebenarnya berlalu.

Terima kasih diucapkan kepada Abdullah. Sekiranya semua menteri kabinet dan pembesar negara termasuk raja-raja bersikap seperti Abdulah, nescaya mereka akan mendapat maklumat sebenarnya mengenai kesusahan nrakyat. Tidak hanya mendengar laporan daripada pegawai yang sudah tentu ada kerencungan dalam memberi maklumat.

Apabila Abdullah sendiri bergayutan dan berdiri atas komuter dan LRT maka beliau tahulah betapa susah dan perihnya rakyat awam. Para pegawai kerajaan yang berulang alik dari rumah ke pejabat, turun rumah selepas Subuh dan balik ke rumah menjelang Isyak.

Cara Abdullah itu juga beliau boleh berintrkasi langsung dengan orang ramai. Bertanya kesusahan mereka. Dalam kesempatan itu bukan saja soal fasal perkhimdatan itu sering kali tergendala dan tidak selesa tetapi masalah-masalah lain juga.

Selepas ini baik juga kalau Abdullah turun ke pasar-pasar awam di Chow Kit Road, Selayang, Keramat, Kajang, dan sebagainya untuk mengetahui masalah rakyat dalam menghadapi kenaikan harga barang dan sebagainya.

Beliau juga boleh menjenguk kounter-kounter pesakit luar di hospital Kuala Lumpur, peniaga pasar malam, setesen bas atau bertanyakan macam mana buruh kasar yang mempunyai tujuh orang anak dua darinya mengidap sakit kronik, isteri pula diserang angin ahmar menyara kehidupan mereka sejak kenaikan harga minyak yang diumumkan beliau beberapa bulan lalu.

Apabila beliau turun sendiri dan melihat dengan mata sendiri menjadi seperti Khalifah Umar Ibnu Aziz maka akan tahulah perdana menteri itu mengenai masalah rakyat sebenarnya.

Hendaknya apa yang dilakukan Abdullah itu jujur dn bertolak daripada rasa tanggungjawab sebagai pemimpin. Jangan pula tinjauan beliau itu ada udang di sebalik batu. Ia hanya sebagai komsteik untuk menjustifikasi apa yang hendak dilakukan Abdullah.

Atau pun beliau sudah pun meluluskan sekian banyak peruntukkan kepada syarikat tertentu agar membeli gerabak, rel dan menambah kemudahan lain. Tinjauan itu hanya sebagai alasan saja walhal persiapan dan kontrek projek itu sudah pun diberikan kepada kroni.

Kalau ini berlaku alangkah hipokritnya Abdullah sebagai Perdana Menteri. Cara itu bukan simpati kepada rakyat tetapi cuba mengambil kesempatan atas masalah rakyat untuk mengisi kantung pihak lain. Cara begitu juga boleh diibaratkan kerajaan menjadikan kesusahan rakyat marhean untuk memberi kesenangan kepada segelintir para berjois yang selamanya tidak akan puas mengaut kekayaan dan mengeksploitasikan keadaan untuk kesenangan sendiri.

Adalah diharap keraj dan nawaitu Abdullah itu ikhlas dan dibuat dengan penuh kejujuran dan rasa bertanggungjawab sebagai seorang khalifah. [wm.kl 9:30 am 22/08/08]

Thursday, August 21, 2008

Salam Dari KB

Tok Guru Nik Aziz Berihat Di Hospital

MAKLUMAT yang saya terima dari Kota Bharu, Mursyidul Am Pas, Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat kini sedang berihat di hospital pakar Perdana Jalan Bayam Kota Bharu. Beliau masuk ke hospital berkenaan sejak tiga hari lalu.

Sekejap tadi salah seorang Exco Kerajaan Negeri Kelantan menghubungi saya dan memberitahu keadaan Tok Guru sihat dan tidak ada apa yang membimbangkan. "Tok Guru masuk ke hospital berkenana hanya untuk berihat... saya baru lepas menziarahinya" begitu jelas anggota Exco berkenaan.

Minggu lalu Tok Guru bersama lebih 2,500 para pemimpin dan ahli Pas berhimpun di Ipoh Perak dalam muktamar tahun ke 54. Dalam keadaan bertongkat beliau hadir pada muktamar yang bersejarah itu.

Bukan itu saja beliau juga kali ini turut sama memberi ucapan penggulungan pada hari kedua mukatamar berkenaan di mana ini jarang berlaku. Biasanya Musryidul Am hadir sebagai penaung saja dan tidak mengambil bahagian apa lagi menggulung atau membahas usul.

Semacam ada sesuatu yang terdesak bagi Musrsyidul Am itu sehinggakan terpaksa menggunakan platform muktamar untuk membuat penjelasan mengenai isu yang timbul ke belakangan ini. Dalam beberapa isu yang berlaku dalam Pas kini Tok Guru bersemangat macam orang muda.

Beliau juga turut sama berada di Permatang Pauh pad hari penamaan calon pilihan raya kecil kawasan itu pada 16 Ogos lalu bagi memberi sokongan padu kepada calon PKR, Anwar Ibrahim. Beberapa blog melaporkan beliau turut sama mendoakan dan mengimani solat hajat untuk kemenangan Anwar.

Dalam ulasannya mengenai pilihan raya itu sebelum ini Tok Guru itu mahukan Anwar menang besar.

Mungkin kerana agak penat dengan muktamar dan suasana dihari penamaan calon itu menyebabkan beliau perlu berihat. Didoakan semoga Tok Guru cepat sihat dan bertenaga kembali untuk sama-sama turun ke Permatang Pauh bersama Husam Musa bagi melihat proses pengundian pada Selasa depan. [d' kota kl 2:45 pm 21/08/08].

Susupan Pagi

Ambil Iktibar Atas Panahan Dua Exco

MB Perak, Mohamad Nizar Jamaluddin dalam memberi reaksi awal terhadap penahanan dua orang Exco Kerajaan Negeri Perak oleh BPR berkata ia merupakan konspirasi Umno dan BN serta menyifatkan penahanan kedua mereka itu sebagai satu penganiayaan. Menurutnya beliau tidak yakin kedua Exco itu melakukan rasuah atas alasan projek yang disebutkan itu tidak wujud.

Dua Exco Perak ditahan oleh BPR semalam kerana dikatakan terlibat dengan sogokan wang sebanyak RM100,000 berhubung dengan kelulusan projek perumahan bernilai RM180,000 juta di Seri Iskandar. Mereka juga didakwa terlibat dalam rasuah seks.

BPR boleh menangkap dan menyiasat sesiapa sahaja yan disyaki melakukan rasuah setelah mendapat maklumat dari mana-mana pihak. Dengan kuasa yang ada kepadanya BPR boleh berbuat begitu dan tidak ada sesiapa boleh mempertikaikannya.

BPR boleh tahan dan menghebohkan kepada orang ramai mengenai kejayaaanya memberkas suspek. Tetapi BPR tidak boleh memberi tahu umum identiti orang yang ditangkapnya. Hanya mahkamah saja boleh mengistyharkan orang yang dituduh itu.

Dalam kes penahanan dua Exco dari PKR ini dilihat sebagai ada motif politik. Ia perlu disegerakan dengan tujuan tertentu. Mungkin ia ada kaitan dengan pilihan raya kecil Permatang Pauh yang akan mengumpul undi pada 26 Ogos depan. Pilihan raya berkenaan disertai Penasihat Umum PKR, Anwar Ibrahim.

Ada unsur-unsur penahanan itu dibuat bagi memberi impak kepada kempen Anwar. Kenapa dikatakan begitu kerana jarang pihak ibu pejabat BPR membuat pendedahan dalam kes-kes yang terlibat di luar Kuala Lumpur. Tetapi dalam kes dua Exco ini turut dihebahkan oleh ibu pejabat BPR dan ia mendapat perhatian istimewa!

Seperkara yang kena faham di sini, penahanan bukan bererti mereka yang disyaki sudah bersalah. Ia hanya untuk siasatan. Sekiranya terdapat prima facie baru orang yang ditahan itu akan dituduh setelah ianya ditentukan oleh pihak Pendakwa Raya.

Sekiranya ada kes melampau barulah mereka akan didakwa. Apa yang berlaku sekarang ini peringkat proses penyiasatan. Hal yang dialami dua Exco berkenaan pernah dilalui oleh banyak pemimpin politik termasuk bekas menteri.

Pun begitu penahanan dua Exco ini tidak boleh dianggap sebagai satu penganiayaan semata-mata oleh pihak kerajaan Perak. Penahahan itu perlu diambil perhatian berat oleh kerajaan Perak khasnya MB. Walaupun mereka tidak bersalah, namun dengan tindakan itu menyebabkan orang ramai mula membuat berbagai tanggapan negatif kepada kerajaan Perak.

Adalah elok kalau MB, Mohamad Nizar mula memberi penekanan dan peringatan ke atas anggota Exconya, ahli-ahli Dewan Rakyat dan juga penjawat-penjawat awam atas lantikan politik supaya menjaga diri dan menjauhkan diri dari bayangan rasuah demi menjaga integriti kerajaan Pakatan Rakyat.

Apa kena diingati antara sebab rakyat memilih Pakatan Rakyat dalam pilihan raya lalu ialah kerana mereka sudah benci dengan kes-kes rasuah dan penyelewengan dilakukan oleh pemimpin kerajaan terdahulu. Balada Exco Perak penah dihadap ke mahkamh atas rasuah mungkin menjadi pobia kepada rakyat negeri berkenaan. Dan sekiranya dua Exco yang ditahan itu dihadapkan ke mahkamah sedikit sebanyak ia akan mengecewakan rakyat Perak. [wm.kl 8:30 am 21/08/08]

Wednesday, August 20, 2008

Ilham Subuh

Mengenali Husam Dalam Politik!

NAIB Presiden Pas, Husam Musa adalah antara pemimpin Pas yang ‘diarah’ oleh muktamar Pas ke-54 di Ipoh beberapa hari lalu supaya turun ke Permatang Pauh mengiringi Anwar Ibrahim ke pusat penamaan calon. Selain daripda beliau, nama Dr Mariah Mahmood, Dr Lo’ Lo’ Ghazali, Mujahid Yusuf Rawa dan Muhammad Sabu juga diminta oleh muktamar agar mereka ke pusat penamaan calon.

Kepada ahli Pas yang anti Husam dan tidak berkenan Pas menyokong calon PKR di Permatang Pauh, (Anwar Ibrahim) tidak boleh salahkan mereka secara bulat-bulat atas kehadiran mereka itu. Sebab mereka diarah oleh muktamar bukan iseng-iseng mereka untuk pergi!. Maknanya itu adalah rasmi dan menandakan komitmen Pas pada pilihan raya kecil berkenaan.

Apakah muktamar Pas memilih nama-nama mereka kerana mereka sudah menjelaskan siripnya awal-awal mereka adalah orang yang menyokong kuat Anwar Ibrahim?

Husam misalnya orang yang tidak berenggang jauh daripada Anwar – bukan saja berceramah sekali dengan Penasihat Umum PKR itu tetapi turut hadir ke rumah Anwar untuk bertanya khabar dan memberi sokongan moral kepada Anwar dan keluarganya.

Bukan itu saja beliau juga dikatakan turut sama menyertai delegasi pelaburan ke Dubai bersama Anwar dan MB Selangor Khalid Ibrahim. Ini menandakan seakan Husam sudah berada jauh dalam kamar tidur politik Anwar.

Sikap Husam ini agak anih kalau diperhatikan kepada budaya dirinya yang tidak suka mendekati orang dan lebih suka bersendirian selama ini. Kelainan dan perbezaan ini menghairankan sedikit! Dalam kes Anwar kali ini beliau tiba-tiba mengubah gaya hidup dengan all out bersama Anwar tanpa sedikitpun mempersoalkan mengenai moral. Sikapnya ini juga kontra dengan pendiriannya terhadap kes pertama dialami Anwar dulu.

Dalam soal bekas TPM ini beliau seolah persis Hanuman Kera Putih yang turun dari langit untuk membela Siri Rama yang sedang diapit masalah dan diserang oleh kumpulan Gotha Kaca. (Gotha Kaca ialah merupakan ketua jin dalam hikayat Pandawalima).

Jadi atas perubahan gaya hidup – (pendekatan dan strategi politik Husam) itu maka beliau dilihat sebagai mewakili Pas. Walaupun Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat ikut sama pergi ke pusat penamaan calon walaupun bertongkat kayu cengkal merah namun kehadiran Husam lebih dilihat lebih afdal kesungguhan Pas membantu Anwar.

Kenapa Husam begitu bersungguh membantu Anwar dan mengharapkan kemenangan Pakatan Rakyat? Inilah yang orang tidak faham dan perlu melihat ke dalam dan ke luar politik Husam bin Musa. Jika diambil kira apa yang berlaku semasa pilihan raya kecil Pengkalan Pasir tahun 2006 dulu, Husam tidak sepatutnya memberi sokongan padu kepada Anwar. Beliau hanya perlu ada semasa hari penamaan calon dan bukan berjanji akan "bertumas" sehingga hari mengundi demi kemenangan Anwar.

Semasa Pas menghadapi pilihan raya kecil paling genting bagi Pas dalam sejarah demokrasi negara di Pengkalan Pasir (Kelantan) dulu, Anwar hanya datang berceramah sekali saja. Husam pernah bersunggut mengenai komitmen Anwar tidak seberapa ketika itu. Saya masih ingat apa yang Husam sunggutkan; kalau Anwar mengorbankan masanya untuk berada di Pengkalan Pasir sampai ke hari mengundi, pasti Pas akan menang,” begitulah ulasnya sedih selepas menerima kekalahan itu.

Anwar hanya pergi sekali saja. Beliau memberi alasan terpaksa ke luar negeri kerana ada urusan penting. Tindakan Anwar itu menampakan beliau lebih pentingkan dirinya daripada kemenangan Pas.

Tetapi nampaknya Husam tidak mengambil kira itu semua. Bagi Husam itu bukan perkara penting untuk dinilai dan ditenungi dalam kancah politik hari ini. Di sini saya lihat Husam lebih matang politiknya berbanding dengan Anwar. Karektor politik Husam dalam hal ini boleh diterima. Justeru Anwar pula perlu insaf dan sedar akan kebaikan budi Pas yang dilambangkan oleh Husam ini.

Rasanya Pas perlu memahami tindakan Husam yang tidak poplar itu, selepas agenda untuk bermuzakarah sehingga membentuk kerajaan bersama sudah pun menghadapi jalan buntu itu. Apa yang beliau mahukan di sini bukan kemenangan Anwar tetapi kemenangan rakyat. Naib Presiden Pas itu mahu momentum politik yang berpihak kepada pembangkang hari ini hendaklah dikekalkan dan secara diam Pas menjuarainya!

Saya nampak apa yang ada tersorot dalam kepala Husam. Beliau hanya mahu memperalatkan Anwar bagi menggerakkan gelombang yang ada hari ini. Apa yang berlaku hari ini ialah musim berkebun atau membuka tanah hutan. Husam mungkin sedar sebaik buah masak nanti Anwar tidak lagi sempat atau berpeluang untuk memakannya kerana dihalang oleh penyakit yang ada pada dirinya untuk memakan hasilan itu. Nah... ketika itulah kelak Pas akan mengaut keuntungannya.

Saya tidak fikir Husam bersetuju kalau Anwar menjadi PM. Apa yang beliau mahukan ialah menangguk di air keruh dengan aura yang ada kepada Anwar yang boleh mengelombangkan kebangkitan rakyat ketika ini. Adalah sesuatu yang bodoh kalau Pas yang kini sudah diterima (for all) bersedia menjadi dahan untuk Anwar menumpang tuah!

Inilah yang terpampang di mata Husam. Jika ada yang membuat andaian mudah langkah Husam itu silap apa lagi menjadi alat kepada Anwar, ia kurang tepat dan tidak bersifat politik. Kalau Husam yang saya sempat kenalinya selama 13 tahun dan pernah berbahas politik, makan bersama dengan beliau tidak semudah itu untuk menjadi hamba orang. Husam senantiasa berfikir ke hadapan dengan meletakkan kepentingan perjuangannya (Pas) di bahagian atas.

Saya tidak percaya kegilaan Husam kepada Anwar sehari dua ini kerana beliau dikatakan ditawarkan jawatan Menteri Kewangan? Bukan Husam kalau beliau sanggup turun hanya mahu mengejarkan pangkat dan kedudukan yang masih dalam buana khayalan! Dan kalau pangkat yang diingini Husam bukan menteri tetapi Timbalan Perdana Menteri. Tidak mustahil juga kalau jawatan ini sedang dikarai Husam dalam kepalanya. Tentu beliau ada teori bagaimana untuk mencapai ini. (Akan dicerita kemudian).

Harus difahamkan juga Husam selain daripada terkenal sebagai pemimpin yang tidak pedulikan orang, bergerak dan berfikir secara one man show dan kurang gemar kepada musyawarah beliau juga seorang eksperimental. Beliau suka bermain dengan teori dan suka berada dalam makmal politik mengkaji penemuan-penemuan dan dapatan baru untuk diadun menjadi teori baru. Kadang-kadang beliau bersifat teoritis daripada politik yang realis.

Sifat beginilah menyebabkan beliau tidak disenangi sesetengah orang. Beliau suka membuat keputusan sendiri kemudian memaksa orang mengendorsekannya. Saya yakin kemunculan Husam menjadi Hanuman Kera Putih untuk ‘menyelamatkan’ Anwar satu lagi teori yang beliau sedang bereksperimental dengannya.

Apapun segala-gala hidup ini seperti sebuah perjudian. Samada teori Husam menjadi atau tidak tunggu selepas pilihan raya dan spesifiknya pada 16 September iaini hari penubuhan kerajaan Malaysia yang baru. Sekiranya tarikh itu tidak memberi apa-apa perubahan maka Husam harus akur dan membuat kenyataan bahawa percubaannya kali ini tidak berhasil. Beliau harus meninggalkan teorinya dan bersedia untuk mempraktikkan keputusan yang telah dikonvensenkan.

Sebaliknya kalau percubaan itu berjaya dan membuahkan hasil, tidak ada sebab untuk Pas menolak gagasan dan teori Husam itu atas sebab Pas sendiri juga berada dalam sistem demokrasi yang menghalalkan cara untuk mencapai matlamat! [wm.kl 5:45 am 20/08/08]

Monday, August 18, 2008

Foto Sekitar Penamaan Calon

Pandang Dan Tafsirkan Sendiri: Dada Rakyat Semakin Panas!
SEPERTI mana dijanjikan saya hidangkan sebahagian gambar-gambar menarik di sekitar hari penamaan calon pilihan raya kecil Permatang Pauh pada 16 Ogos lalu. Gambar-gambar ini dirakam oleh sahabat Zurimi. Terima kasih diucapkan kepada Zurimi kerana bermurah hati untuk membenarkan gambar-gambar ini dikongsi dalam blog ini. Salam - MSO



[wm.kl 10:0m am 18/08/08]

Sunday, August 17, 2008

Ulasan Muktamar

Tahniah Kepada Barisan Kepimpian Pas

BARANG kali saya adalah antara jutaan rakyat Malaysia yang terharu dan sebak apabila menyaksi dan mendapat tahu muktamar Pas ke -54 yang di Ipoh Perak selama empat hari berakhir dengan selamat, jaya dan berlangsung dalam suasana penuh semangat keIslaman yang tinggi.

Tidak ada apa-apa kontroversi yang berlaku pada muktamar berkenaan.

Di sinilah unit dan istimewanya Pas sebagai jemaah Islamiyah. Dalam apa keadaan dan suana sekalipun Pas dapat mengekalkan rekodnya sebagai jemaah profesional yang berpegang pada prinsip ukhwah Islamiyah sejati dan tidak mudah diganggu gugat oleh anasir luar yang senantiasa mencemburui Pas.

Sebenarnya tahap politik dan ukhwahan Islamiyah para pemimpin dan seluruh ahli sangat tinggi!

Semua isu yang sebelum ini dikira boleh menghagatkan muktamar berkenaan dan dikatakan berpotensi untuk menimbulkan pergeseran sesama sendiri diselesai dengan baik dan jaya. Empat tunggak prinsip dan dasar Pas seperti mana termaktub dalam perlembagaan asal Pas benar-benar dihayati dan dilaksanakan oleh ahli Pas. Pas mencari penyelesaian kepada maslaah dan kekeliruan yang timbul seperti menarik rambut dalam tepong. Syabas.

Secara ikhlas saya nyatakan, saya begitu bimbang pada muktamar kali ini takut ada sesuatu insiden tidak elok akan berlaku. Desas desus yang kedengaran sebelum ini sangat mewalangkan hati. Kerana itulah sebelum bertolak ke Ipoh saya berdoa agar tidak akan tercetus apa-apa insiden pada muktamar itu. Saya tidak mahu melihat kuntuman bunga kejayaan dan kewangian yang mula merebak dalam Pas kini musanah di tengah jalan.

Justeru itu sebelum Muhammad Daund Iraqi membaca doa selamat untuk muktamnar, selepas ucapan perasmian oleh Presiden Abdul Hadi Awang, saya awal-awal lagi sebaik melangkah masuk ke dewan muktamar pada hari perasmian telah berdoa panjang. Mengharap biarlah muktamar itu dibimbing Allah s.w.t. dari awal hingga akhir. Allah menyejukkan hati dan mendamaikan semua yang hadir.

Betapa ketika berada dalam dewan muktamar hati saya begitu terharu bercampur bahagia apabila melihat kepada para perwakilan dan pemerhatian yang memenuhi dewan. Saya jadi terkutik dan diam! Mereka saya anggap sebagai bunga-bunga dan putik Islam yang sedang berkembang dan bertunas bakal mewangi ke seluruh alam. Di bahu merekalah tergantungnya harapan nusa, bangsa dan agama!

Di pentas pula saf kepimpinan Pas berada segak dengan pakaian tersendiri. Dari wajah mereka yang terpamer seolah terpancar cahaya keimanan dan ketakwaan yang tinggi. Saya yakin dan percaya hati-hati mereka yang berada di dalam dewan khasnya di pentas sudah ditapis oleh Allah. Kalau hati mereka tidak ditapis tidak mungkin mereka terbuka hati dan betah (kalis) untuk bersama Pas.
Kerana itu saya yakin barisan kepimpinan yang ada hari ini mampu untuk mengemudikan Pas sebagai wadah siasah yang progresif dan sesuai untuk rakyat dan negara ini. Mereka sedikit sebanyak telah diuji dengan pelbagai cabaran, kuasa, pangkat dan bujukkan namun akhirnya mereka tetap menggunakan akal dan formula yang menjadi amalan parti mereka sejak setengah abad lalu. Mereka tidak mudah terjuna dengan tawaran madiyyah itu.

Dalam barisan kepimpinan hari ini bermula dari Mursyidul Am, Presiden, Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden, Ketua Dewan Pemuda, Ketua Dewan Muslimat tidak ada siapa yang terkurang satu pun. Semuanya relevan dan unggul sebagai pemimpin Pas dan pemikul ad-den. Demikian juga dengan barisan Ahli jawatankuasa Agung serta pegawai-pegawai parti, Setiauaha Agung, Bendahari Agung adalah pemimpin terpilih yang ikhlas, jujur dan gigih berjuang untuk Islam menerusi Pas. Komitmen dan iltizam mereka tidak boleh dipertikaikan.

Kerana itu kalau muktamar yang berlangsung selama empat hari itu berjalan dengan baik adalah kerana kebijaksanaan saf kepimpinan Pas. Tidak ada sesiapa antara mereka yang cuba menonjolkan kepentingan diri atau pun mencari pangkat melainkan ikhlas dan jujur menggerak parti untuk mencapai mardthatilah. Setelah masing-masing berusaha akhirnya mereka bersedia menyerahkan kepada ketentuan jamak. Inilah baik dan bijaknya Pas.

Sekali lagi tahniah dan syabas kepada Pas. Semoga mereka akan terus mengekalkan rekod tanpa kalah - rekod tidak boleh diadu dombakan oleh musuh, rekod persefahaman yang tinggi dan rekod bersedia ditegur oleh sesiapa jua. Saya bersetuju dengan kata-kata Setiausah Agung, Kamarudin Jaaffar, muktamar adalah medan tempat berbalah mencari kebenaran dan kebaikan. Hendaknya Pas akan kekal dengan amalan dan prinsip ini.

Sesudah muktamar berakhir dan semuanya akan kembali bekerja semula mengikut peranan dan tugas masing-masing. Perjuangan jauh dari berakhir! Jabatan salam di hari perpisahan hendaknya tidak akan terlepas dan kehangatan telapak tangan kawan masing-masing akan terus kekal abadi di dalam jiwa. Dan persefahaman di Ipoh hendaklah dijadikan titik tolak kepada menjanakan semangat bukan saja menguatkan Pas tetapi menjadikan Pas sebagai peneraju politik negara Malaysia di masa akan datang. Yakinlah dan bersiap sedialah Islam akan menang akhirnya. [d'kota.kl 6:30 am 18/08/08]

Rencana Khas

Mahathir dan Ibrahim Jangan Masuk Ke Permatang Pauh!

ORANG politik sememangnya pantang melihat microphone air liuh mereka akan meleleh. Dan kalau diberikan microphone mereka akan bercakap tanpa hiraukan makan dan minum. Bercakap adalah habit bagi orang politik. Mereka boleh bercakap sampai pagi dan kadang-kadang sehingga luput waktu solat.

Jadi kita tidak marah kalau orang politik, baik yang masih ada kuasa dan pengaruh atau pun yang sudah tersudut kesepian dan macam kera sumbang, kalau mereka akan terus dan bernafsu untuk bercakap. Tidak mengapa mereka boleh bercakap selagi lidah mereka lembut tidak bertulang dan selagi ada sisa-sisa saraf akal yang masih berfungsi.

Tetapi kalau cakap-cakap mereka merapu, tidak ada nilai dan boleh menyebabkan orang hilang penghormatan kepada kita untuk apa? Ia tidak memberi sedikit guna pun. Kerana itu daripada merapu lebih baik diamkan diri.

Saya suka merujuk perkara ini kepada dua orang ahli politik yang kini kian dilupai oleh dunia dan khalayak ketika ini. Mereka ialah bekas PM, Mahathir Mohamad dan ahli Parlimen Bebas Pasir Mas, Ibrahim Ali. Kebetulan mereka ini pula terlalu rapat.

Ibrahim adalah seorang pentaksub nombor satu kepada Dr Mahathir Mohamad. Bagi Ibrahim Mahathir adalah bagaikan tunggul keramat bagi penganut ananisme. Jangan cakap sesuatu yang buruk mengenai Mahathir di depannya, dia akan bela habis-habisan. Bagi Ibrahim Mahathir adalah Mathama Ghandi bagi masyarakat India.

Mahathir dalam ulasannya mengenai sumpah bekas pembacuh kopi Anwar, Saiful Bukhari mencadangkan supaya Anwar membalas sumpah itu sambil menjunjung Quran. Cadangan Mahathir itu jelas menunjukkan beliau seorang jahil murakab.

Kata Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam Islam tidak ada perbuatan junjung Quran dan cukup setakat bersumpah menyebut Walahi, Wabilahi dan Watalahi saja. Dan tempat juga tidak semestinya di masjid, di mana-mana pun boleh. Tegas Nik Aziz kalau buat di masjid macamlah dengan Krsitian buat di gereja. Apakah taraf masjid dan gereja itu sama Tok Guru?

Mahathir tidak perlu masuk campur. Lagipu beliau kini tidak menjadi ahli parti mana-mana sama seperti Ibrahim Ali. Beliau tidak payah suruh Anwar bersumpah. Sudah cukup apa yang Mahathir lakukan kepada Anwar sebelum ini. Negara ini jadi jahanam ialah gara-gara tindak tanduk politik binatang Mahathir. Tidak baik kalau berdendam sampai mati, duhai Che Det!

Nampaknya Mahathir suka dengan isu liwat kedua yang menimpa Anwar ini yang dirasakan sebagai berpihak kepadanya. Isu itu sebagai mengiyakan tindakannya dalam menganiaya Anwar 10 tahun lalu.

Suka dijelaskan di sini, bagi saya bukan soal liwat kalau kita simpati dan mendokong Anwar, tetapi kerana kezaliman melampau Mahathir terhadap Penasihat Umum PKR itu. Kerana kerakusan dan sadisme politik binatang kepadanya.

Kita sokong Anwar bukan soal peribadi, rupa, wajah atau penampilannya, tetapi perjuangan, idealisme dan keazamannya untuk membela rakyat. Beliau harus diberikan peluang untuk membuktikan gagasan dan wawasannya. Tuhan tidak mengsia-siakan Anwar lahir ke dunia kalau bukan untuk dijadi dan menjadi khalifah.

Saya masih ingat kata Sanusi Junid ketika beliau jadi MB Kedah dulu, katanya; bila bercakap fasal Islam Anwar lebih baik daripada Najib Razak, setidak-tidaknya Anwar bercakap hendakkan Islam.

Mahathir harus malu kepada diri sendiri kalau beliau ingin komen hal Anwar lagi. Kalau beliau seorang yang ikhlas dan benar untuk menasihat Anwar, sebelum beliau berbuat begitu beliau harus junjung najisnya sendiri terlebih dahulu.

Orang kedua yang gatal mulut untuk bercakap ialah Ibrahim Ali. Kenapa Ibrahim harus bercakap hal yang tidak ada kena mengena dan relevan dengannya? Beliau tidak berhak untuk memberi komen ke atas Anwar. Ibrahim harus merenung ke dalam dirinya terlebih dahulu. Kena ukur setiap penjuru dan sudut dalam dirinya. Beliau kena ukur seadilnya siapakah lebih baik antara beliau berbanding Anwar? Mungkin tidak sampai kena kencing dalam tempurung!

Kalau tubuh kita ada panau dan kurap harap Ibrhaim tidak usahlah cuba-cuba hendak menjual ubat panau dan kurau dalam konteks pilihan raya di Permatang Pauh ini.

Saya horamt perjuangan Ibrahim Ali untuk membela Melayu dan Raja. Beliau konsisten dan vokal dalam isu ini. Dan sebilangan rakyat yang patriotik juga sukakannya. Namun kehebatan Ibrahim dalam memperjuangkan bangsa dan raja ini dirosakkan oleh moral politiknya sendiri yang sukar untuk difahami. Beliau bukan seorang ahli politik yang mapan.


Eloklah lalau Ibrahim juga jangan bercakap soal Anwar. Beliau akan dilihat lebih matang dan seorang ahli politik profesional kalau hanya menyentuh isu-isu di luar bingkai politik Anwar. Tidak usah beliau mengulas mengenai taktik dan stail politik Anwar. Apa lagi kalau hendak menuduh Anwar ada agenda peribadi. Sebab politik Ibrahim sejak dari bayi hingga sudah setengah abad usia juga sarat dengan soal peribadi.

Ibrahim kata 16 September ini adalah sebagai gimik politik Anwar sahaja untuk mengawal orangnya (ahli Parlimen PKR) agar tidak tinggalkan PKR. Beliau juga tidak yakin kerajaan akan ditumbangkan pada tarikh itu. Manakala mengenai Melayu pula Ibrahim kata beliau sanggup mengadaikan nyanwanya kalau Anwar menjualkan bangsa. Apakah sebahagian daripada kata-kata Ibrahim itu tidak berunsur gimik dan retorik politik?

Sebagai ahli politik Ibrahim seharusnya memahami apa yang ada dalam diri Anwar. Beliau patut arif mengenai semangat juang dan iltizam Anwar kepada agama, bangsa dan negara.

Soal mempertahankan Melayu rasanya Anwar lebih baik daripada Mahathir. Bukankah kemusnahan Melayu kini disebabkan oleh Mahathir? Siapakah memusnahkah bahasa Melayu, kalau bukan Mahathir. Siapakah meletakkan Islam di kaki kalau bukan Mahathir?

Anihnya Ibrahim tidak pernah mengecam Mahathir secara bertubi-tubi dan berterusan. Beliau kehilangan perbendaharaan kata bila melihat kekhilafan Mahathir dalam aspek ini. Apakah kerana orang memberikan kita setitik air dan sebiji beras, maka kita terus buta pada dosa seseorang itu pada bangsa, agama dan negara?

Harapan selepas ini baik Mahathir dan Ibrahim jangan cakap mengenai Anwar lagi. Biarlah Anwar berlawan dan menaburkan janjinya untuk bangsa di Permatang Pauh. Ibrahim dan Mahathir baiklah jadi pemerhati dari jauh saja. Biarkan Anwar berlawan dengan Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Razak secara bersendirian. Jangan masuk campur. Sesungguhnya masa anda sudah pun berlalu.

Dan saya berharap jangan sesekali kedua mereka; Mahathir dan Ibrahim memasuki Permatang Pauh kerana bimbang mereka akan diboo dan dilontar kayu ataupun botol air mineral. Kalau ini terjadi, malunya bukan saja Ibrahim tetapi saya juga kerana saya dilihat rapat dengannya! [wm.kl 8:00 am 17/08/08].