Friday, February 19, 2010

Coretan Sebelum Jumaat

Mengarai Kenangan di Kampung Rong Chenak

HARI Ahad lalu saya ke kampung Rong Chenak, To Uban, Pasir Mas kerana menghadiri kenduri kahwin anak saudara sahabat saya Ramli Abdul Halim (Melipriapapa MH). Walaupun agak 'lorat' (sibok) saya paksakan juga menghadiri majlis berkenaan. Dalam Islam orang yang kena jemput wajib hadir manakala yang menjemput sunat, kecualilah ada keuzuran syarie.

Kampung Meli ini sebuah perkampungan yang serba daif dan susah jika dibanding dengan kampung saya, Gual Nibong, Gual Periok. Dari segi kemudahan eletrik masuk ke kampung saya dulu berbanding kampung Meli. Ketika itu di kampung itu rumah masih belum banyak. Hanya dua tiga buah saja. Rumah batu belum ada, yang ada rumah kayu beratapkan daun nipah saja. Kalau ada rumah kayu beratapkan bata tanah hanya sebuah dua sahaja. Kebanyakan dapur rumah orang kampung Meli robek.
Jalan untuk masuk ke kampung ini, Allah saja yang tahu. Jalan atas batas padi yang boleh dilalui basikal dan motorsikal saja. Berselut 24 jam. Tersilap langkah boleh jatuh masuk ke dalam lumpur. Kalau ada orang sakit, ambulan tak boleh masuk. Orang sakit akan diusung atas "lil" - jenis kandaran yang digunakan untuk memunggah rumput atau padi.

Kereta boleh masuk setakat Sungai Keladi sahaja. Dari Pasir Mas ke Sungai Keladi kena naik keretapi. Jarak dari Sungai Keladi ke kampung Meli ini kira-kira 10 atau 15 km. Tahun 1978 atau awal 80-an, untuk ke rumah Ramli dari Sungai Keladi mesti melalui sebatang sungai. Jambatan tidak ada, yang ada hanya jelujur yang dibuat daripada batang buloh, yang dihimpun dan diberkas macam rakit.

Kami terpaksa mennyusuri jelujur berkenaan untuk sampai ke kampung Ramli. Selepas jelujur kena merentangi hutan kecil, kebun getah dan sawah padi. Melalui jalan denai. Sambil berjalan kami makan buah-buah kayu, seperti kemunting, kerian dan buah teratai. Untuk mempercepatkan langkah kami mengejar belakang perah.... mana-mana belalang yang terbang ke arah rumah Meli kami akan kejar.

Menurut Meli sungai berkenaan penuh dengan buaya. Tetapi buaya di situ tidak nakal dan jahat. Malahan mereka yang ada ilmu buaya termasuk datuk Meli boleh menggunakan buaya untuk menyeberang sungai. Menurut Meli datuknya akan panggil buaya, dua tiga ekor berhimpun dan datuk Ramli meniti atasnya.

Itulah gambar kampung Ramli Abdul Halim penulis, penerbit dan penganalisa politik yang gigih dan cekal kira-kira 30 tahun lalu. Hari ini kampung itu sudah berubah sama sekali. Sudah ada jalan raya, sudah ada eletrik. Tiga jalan raya berturapkan tar sira tersedia, dari Bukit Perah atau dari Padang Hangus. Masjid juga sudah besar tersergam indah di pinggir jalan bertar.

Melilah yang mengecat masjid berkenaan. Ada duit sikit sebanyak untung meniaga buku dan surat khabar dilambakkan ke masjid berkenaan. Rumah beliau sendiri tidak dibuat, sebaliknya dihabiskan untuk mengindah dan mencantikan masjid berkenaan. Sesekali sekala Meli akan tumbangkan lembu atau kerbau untuk kenduri arwah di masjid berkenaan, panggil orang kampung dan saing sobat makan.

Rumah-rumah juga kini sudah banyak. Besar-besar pulak. Jalan raya tar sudah sampai ke tangga dan belakang rumah. Di hadapan rumah sudah ada garaj kereta, basikal unta atau motosikal honda buruk sudah tidak ada. Yang tinggal hanya kerangka saja terperuk bawah rumah.

Sawah padi terbentang luas juga dijaga dengan rapi. Pertanian sudah dilakukan secara sistematik. Kerbau dan lembu sudah lama dirihatkan.Perkakas tenggala, seperti nanggal, nayan, igu, gerap, nolak, gebeng dan sebagainya sudah punah atau hilang. Anak cucu dan generasi baru sudah tidak kenal lagi dengan 'jentera' pertanian zaman lampau itu. Di hadapan rumah Meli sawah terbentang bagaikan permaidani dalam balai rong istana. Kemilau kekuningan.

Rong Chenak banyak cerita dan sejarahnya. Sebuah danau yang luas boleh diusahakan menjadi pusat pelancongan menarik. Tetapi agak malang kini, danau berkenaan terbiar, permukaannya ditutup kiambang dan penuh dengan selut. Para pemimpin politik tidak kreatif bagaimana untuk memajukan tempat berkenaan. Danau itu terbiar begitu saja. Apa yang boleh dinikmati ialah khazanah semulajadinya seperti ikan dan udang.

Berhampiran danau berkenaan juga terbangun sebuah sekolah agama dan tahfiz dikenali dengan nama Balaghumubim yang diusahakan oleh bekas MB Kelantan Mohamad Nasir yang juga guru Meli. Manakala di seberang danau itu terletak sebuah kem motivasi tempat kursus out door yang dibangunkan oleh bekas TMB Kelantan, Hussein Ahmad. Bagaimana pun keadaan kedua institusi ini hidup segan mati tidak mahu saja.

Biarpun pembangunan menjenguk kampung berkenaan, namun gaya hidup masih seperti dulu. Semangat maufakat dan kerjasama masih menebal di kalangan penduduknya. Bantu membantu masih diteruskan. Perbezaan politik tidak mengasingkan penduduk kampung berkenaan yang kini dianggarkan sekitar 250 orang. Mereka hidup seperti anak beranak.

Misalnya kenduri kahwin hari itu yang memotong seekor kerbau dan seekor lembu dikerjakan oleh orang kampung. Tidak payah catering, mereka sembelih, lapah dan siang serta gulai sendiri. Lepas itu pakat-pakat makan ramai-ramai. Sambil meraikan pengantin, orang ramai boleh makan. Dan majlis kenduri seperti itu selain daripada pesta di kampung terpencil begitu ia juga menjadi medan pertemuan anak beranak. Kala inilah waris waras yang berada jauh di serata tempat akan pulang.

Dan bila menyebut tentang kampung itu satu kenangan yang tak mungkin terlerai dari ingatan saya mengenai projek Jihad Ternak pemeliharaan kambing Jamnapari yang menjadi ikon blog ini satu masa dulu. InsyaAllah saya akan mencatat dan melaporkan mengenai perkembangan terkini projek berkenaan yang dibiayai secara simbolik oleh kerajaan negeri itu. Tunggu! [wm.kl.10:15 am 19/02/10]

Thursday, February 18, 2010

Lompat Melompat

Giliran Pemimpin BN Pula Keluar Parti!

Di Sabah bekas timbalan menteri kerajaan BN, Kalakau Untol dilaporkan telah meninggalkan BN dan menyatakan kesediaan untuk menyokong agenda perjuangan Pakatan Rakyat. Sebuah laman protal berita melaporkan bekas timbalan menteri itu turut melepaskan semua jawatan yang dipegangnya dalam syarikat milik kerajaan.

Kalakau yang juga pernah menjadi timbalan Menteri Buruh, katanya kesal dengan cara BN yang tidak memenuhi beberapa tuntutan rakyat Sabah yang telah disuarakan sejak lama dulu.

Sementara itu dalam perkembangan lain satu sumber politik di Sabah memaklumkan sekurang-kurang dua orang bekas menteri dan dua ahli parlimen dikatakan sedang menimbangkan untuk keluar BN dan menyatakan sokongan kepada Pakatan.

Sumber itu menyebut dua bekas menteri itu seorang masih ketua bahagian dikatakan mengambil keputusan itu kerana kurang senang dengan tindakan pendakwaan ke atas Anwar Ibrahim berhubung kes liwat.

Menurut sumber itu mereka juga tidak bersetuju cara akhbar dokongan kerajaan BN memperbesarkan berita perbicaraan Anwar yang mana sikap melampau itu memalukan negara ini di mata dunia.

Empat pemimpin berkenaan termasuk dua ahli parlimen akan mengumumkan tindakan mereka tidak lama lagi. Wakil keempat-empat pemimpin berkenaan katanya telah pun berjumpa dengan pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat baru-baru ini. [wm.kl. 4:40 pm 18/02/10]

Ulasan dan Renungan

Tahniah Kepada Mahathir Kerana Anaknya Kayawan

Dr MAHATHIR Mohamad tentu tidak berpuas hati membaca laporan dan kajian dibuat Malaysian Business mengenai kedudukan orang-orang terkaya di negara ini. Kenapa tidak, selama 22 tahun jadi PM beliau gagal menambahkan bilangan orang Melayu yang kaya raya.

Kaum Cina yang dianggap kaum pendatang dan dikatakan terus ditindas oleh Dasar Ekonomi Baru (DEB) masih mengungguli kekayaan di negara ini.

Bagaimana pun bekas PM itu tentu tersenyum dan merasa puas kerana anak lelakinya, Mokhzani telah disenarai sebagai orang terkaya ke 20 di negara ini. Penyenaraian nama Mokhzani itu menjadikan tiga nama orang Melayu terkaya dalam kelompok 20 orang yang terkaya di negara ini. Dua nama lagi ialah Syed Mokhtar Al Bukhary dan Azman Hashim.

Kita orang Melayu juga tumpang gembira dengan kekayaan ketiga-tiga orang Melayu itu. Setidak-tidaknya bila orang bercakap soal kekayaan kita boleh menyebut nama mereka bertiga itu, bahawa orang Melayu juga kaya. Syed Mokhtar Al Bukhary dikatakan mempunyai aset RM6.0 billion, Azam Hashim pula memilik kekayaan sebanyak RM2.86 billion. Manakala Mokhzani pula memilik kekayaan sebanyak RM1.75.

Selain dari tiga nama itu nama Nazir Razak, iaini adik kepada Najib Razak juga dikelompokkan dalam 40 orang terkaya di negara ini.

Kekayaan Robert Kuak Hock Nien dengan nilai kekayaan RM42.7 billion itu dan beratus taukeh Cina lain tidak memelikkan. Memang dalam dunia perdagangan kaum Cina memonopoli dan mempunyai kepakaran mengenainya. Mereka juga kaum yang sudah lama bertamadun. Jadi kalau mereka mengungguli kekayaan di negara ini tidak menghiarankan.

Apabila kita menyemak senarai mereka yang kaya itu, hampir 80 peratus adalah kaum Cina menyebabkan kita tersedar daripada tuntutan politik kaum berkenaan. Selama ini kita sering mendengar kaum itu menuntut itu dan ini dan mendakwa mereka didiskriminasi oleh bumiputera di negara ini. Tetapi dengan tersenarainya barisan para kayawan kaum itu menjelaskan bahawa dakwaan itu tidak benar sama sekali.

Anihnya pula para pemilik kuasa politik yang terdiri daripada orang Melayu begitu peka dengan tuntutan dakwaan itu. Maka itu dari masa ke semasa pemegang kuasa politik memberi kelonggoran dan memenuhi apa saja yang diminta oleh kaum berkenaan. Mitrokasi dilakukan dalam apa juga aspek. Misalnya perkara paling jelas dan sering kali diadu dombakan mengenai DEB. Kononnya DEB telah menyebabkan kekayaan negara ini tidak dibahagikan sama rata. Kaum Cina dan India dianak tirikan. Lantas itu mereka menuntut agar dasar itu dirombak. Tuntutan itu berterusan sehinggakan meminggitkan telinga penguasa politik negara ini.

Kerana mempercayai provokasi itu maka pemegang kuasa yang terdiri dari orang Melayu dengan senang melulus atau merombak apa saja dasar dan polisi yang dipersetujui sebelum ini. Kalau dengan dasar dan polisi yang dikatakan berat sebelah tetapi hakikatnya memberi kelebihan dari segi ekonomi kepada kaum Cina dan India, apalah pula kalau dasar dan polisi itu dihapuskan!

Apakah kita cukup hanya setakat menyebut beberapa nama (orang Melayu) saja yang berada dalam senarai keyawan itu? Itupun kita tidak boleh berbangga kerana mereka yang kaya itu kebetulan anak bekas perdana menteri dan adik kepada perdana menteri. Apakah kalau Mokhzani bukan anak Mahathir beliau mampu menduduki dalam senerai berkenaan? Apakah kekayaan itu bukan kepandaiannya mengeksploitasikan kedudukan ayahnya sebagai orang nombor satu negara.

Dari sudut lain dengan hakikat itu kita berharap tidak ada lagi mana-mana pihak yang cuba mendakwa bahawa kerajaan hari ini berlaku tidak adil kepada kaum lain dalam mencari kekayaan. Dan kerajaan atau pemegang kuasa politik Melayu pula hendaknya jangan mudah merombak polisi dan dasar yang bersifat membantu Melayu sebagai kaum yang baru merangkak dalam perniagaan dan ketata negaraan. Jangan muda terpedaya dengan tuntutan dan ugutan pihak berkenaan.

Polisi dan dasar yang boleh melindungi Melayu hendak dikekalkan. Hatta ianya dinamakan sebagai subsidi, pemberian, ehsan dan sebagainya perlu dikekalkan. Orang Melayu jika diibaratkan kepada lembu ternakan adalah lembu baru yang perlu berada di blok ladangnya sendiri. Ladangnya perlu dipagar agar tidak dapat dimasuki oleh lembu-lembu lain. Kalau lembu baru bernama Melayu ini terus di lepas di ladang terbuka, apa lagi yang tidak mengenal halal dan haram maka nasib lembu Melayu ini akan buruk padahnya. selamanya ia akan ketinggalan di belakang dan hanya dapat meragut keringan lebihan lembu-lembu jagoh sahaja.

Mudah-mudahan saja menjelang tibanya 2020 akan ada sekurang-kurang 10 orang kayawan Melayu yang akan tersenarai dalam lis mereka yang kaya raya. Saya tetap yakin angka itu dapat dicapai asalkan saja Melayu kurang atau hentingkan politiking dan perang untuk memenangkan kiblah dan puak masing-masing. [wm.kl. 2:15 pm 18/02/10]

Wednesday, February 17, 2010

Yang Terdengar

Ceramah Mohd Amar Disiar Di Radio
Apa Sudah Jadi Dengan RTM?

UNTUK menghalau rasa bosan dan panas hati kerana keadaan jalan raya jam teruk saya menekan punat stesen (turning) radio di kereta. Carian automatik itu berjalan sendiri. Tiba-tiba terkeluar dari corong radio itu ceramah politik. Sekali dengar suaranya yang terik dan nyaring saya sudah cam, penceramah itu ialah Mohd Amar Nik Abdullah, Exco Kelantan.

Harain saya. Berkali-kali saya bertanyakan isteri yang berada di sebelah apakah suara itu dari radio atau CD ceramah. "Apa awak masukkan CD cermaah ke," tanya saya. Kata isteri saya suara itu dari radio, mana ada CD ceramah atas kereta. Memang pun saya tidak pernah memiliki atau menyimpan mana-mana CD ceramah politik, apa lagi pasang atas kereta seperti kebanyakan penjual pasar malam atau penyokong parti politik.

Menyampah saya mendengar ceramah politik! Asyik caci maki orang saja tak ada kerja lain. Bercakap penuh khayal dan tidak berpijak di bumi nyata. Kadang-kadang ada penceramah yang baca ayat-ayat Quran dan Hadith memberi nasihat agar rakyat perkuatkan iman dan perjuangan tetapi diri sendiri bercepuah dengan noda dan dosa.

Sesekali saya silau ke skin stesen radio melihat frekuansinya. Stesen itu menunjukan frekuansi FM 87.7. Sahih ia bukan dari CD tetapi dari corong radio itu. Frekuansi itu diperolehi ketika berada di atas bukit untuk turun ke bandar Bentong. Jam waktu itu sekitar pukul 5:15 hingga 6:35 minit petang.

Panjang ceramahnya kira-kira 25 minit. Saya dengar sampai habis untuk mengetahui apakah rancangan yang menyiarkan ceramah berkenaan. Mulanya saya ingat ia disengajakan untuk menempelak atau memburukkan pembangkang khasnya Pas kerana dalam ceramah itu ada perkataan atau ayat-ayat yang kurang sedap didengar diucapkan oleh Mohd Amar.

Menerut penjelasan Mohd Amar ceramah itu diadakan di Bachok. Antara isi kandungan ialah mengenai pendirian kerajaan Kelantan yang tidak mahu buat pembangunan tergesa-gesa kerana takut rakyat Kelantan hilang tempat tinggal. Katanya itulah makanya Kelantan agak slow dari segi pembangunan kerana kerajaan lebih memikirkan tempat kediaman rakyat.

Mohd Amar juga memberi tahu ada syarikat antarabangsa hendak buat pelabuhan di Pengkalan Datu berhampiran rumahnya di Panchor hingga ke Semerak, Pasir Puteh. Kalau jadi projek itu akan sama hebat dengan pelabuhan di Sydeny, Australia. Bagaimana pun katanya atas nasihat dan peringatan projek itu dibatalkan oleh Tok Guru Nik Aziz kerana ia boleh menyebabkan penduduk di situ akan menghadapi masalah tempat tinggal. Kampung-kampung terlibat juga akan lenyap.

Isi lain ceramah itu ialah mengenai perangai atau sifat orang Umno macam kerbau yang digesek rebak di telinga. "Kalau kita gesek rebak di telinga kerbau, ia itu tidak tahu apa benda kecuali mengibas telinganya saja. Begitulah orang Umno kita kata apa pun dia tak tahu. Baca ayat Quran tetapi tidak faham apa benda. Jadi orang Umno ni lebih kurang kerbau saja," begitulah antara lain kata Mohd Amar. Tambah beliau lagi ada orang Umno di kampung sejak sebelum merdeka sampai kini sokong Umno tetapi dia dok heret beruk saja (pelihara beruk untuk panjat kelapa).

Sikir dan pedih teliga saya mendengarnya. Tidak pantas bahasa demikian lahir dari seorang profesional dan cendekiawan seperti beliau yang pula tu disebut-sebut bakal menjadi M Kelantan. Ceramah yang berunsur humour itu benar-benar menyenakkan telinga orang Umno mendengarnya. Saya tidak pelik dengan ceramah Mohd Amar atau mana-mana penceramah Pas itu, tetapi yang bingungnya kenapa ceramah itu disiarkan atau boleh didengar menerusi corong radio?

Apa juga yang sempat didengar Mohd Amar juga meramalkan Najib Razak adalah perdana menteri terakhir. Katanya jika berpandukan teori Rahman, N adalah Najib dan selepas ini tidak ada huruf lagi. Kalau pun ada huruf katanya ialah I yang dimaksudkan kepada inalilahiwainailahirajieum.

Saya tidak fikir RTM sengaja menyiarkan kerana isinya boleh menjejaskan parti berkenaan. Apakah ada program khas yang disediakan oleh pihak tertentu untuk sebotaj rancangan radio kerajaan?

Saya tunggu hinggalah ceramah itu selesai. Mohd Amar mengakhiri ceramahnya dengan apolegetik dengan berkata kalau ada terkasar bahasa dan salah silap dia pohon maaf. Habis sahaja beliau memohon ampun itu, siaran itu putus terdengarlah sebuah lagu Melayu. Lagu itu bukan tiba-tiba saja muncul, tetapi ia muncul sebaik ceramah itu habis.

Selepas lagu itu habis juruhebah memberi tahu radio itu ialah Klasik FM. Rancangan yang keudara waktu itu ialah "Aku dan Lagu", yang merupakan rancangan pilihan pendengar lagu-lagu yang ada kenangan. Saya tidak fikir ceramah yang keudara tadi disiarkan oleh penerbitan Radio Klasik FM tetapi apa yang saya fikir mungkin ada stesen atau pemancar haram yang telah menerobos siaran radio kerajaan.

Saya pecaya dalam ratusan pengguna jalan raya yang terperangkap hampir satu jam setengah itu ada yang turut mendengarnya. Mungkin mereka juga rasa pelik kenapa ceramah politik Pas boleh masuk radio kerajaan. Ia bukan petikan dengan tujuan hendak menjatuhkan imej Pas tetapi di siar sepenuhnya dan cara penyiarannya boleh mempengaruhi pendengar agar membenci Umno.

Mungkin RTM boleh siasat perkara ini. Dan jika ia adalah pemancar haram yang dibangunkan oleh mana-mana pihak, baik statik terletak atas bukit atau atas kereta bergerak ia boleh dipuji kerana berjaya menganggu radio Malaysia yang selama ini menjadi alat propaganda kepada kerajaan Umno-Barisan Nasional. Manakala apa yang saya dengar itu benar-benar mencabar menterinya Rais Yatim yang asyik berpantun di radio menjual kehebatan bahasanya siang malam. Syabas kepada mereka yang membangunkan pemancar haram atau berjaya memintas siaran radio kerajaan! [wm.kl.22:45 pm 07/02/10]

Tuesday, February 16, 2010

Buka Panggung

Zulkefli Nordin Tak Usah Cakap Banyak, Keluarlah Cepat...

ZULKEFLI Nordin kata ada usaha di kalangan jawatankuasa disiplin PKR hendak buang beliau dari parti berkenaan. "Ada usaha firaun kecil nak buang saya," katanya. Dia mempertikaikan mesyuarat lembaga disiplin parti itu esok dibuat semasa beliau berada di Korea menghadiri persidangan bersama rakan pembangkang lain.

Aduh Saleha, sedap sungguh bunyi kata-kata Zulkefli. Hanya mereka yang pekak dan buta akal saja akan terpengaruh dengan kata-kata manis si Zulkefli ini. Lama sebelum ini saya sudah menulis ke mana hujung jatuh politik Zulkefli Nordin. Saya sudah meramal mengenai pengakhiran perahu kecil politiknya. Dia sedang berkluk klik dan mencari jalan berliku untuk keluar parti bagi mengekalkan kedudukan kerusi Parlimen Kulim - Bandar Baru. Dia akan melakukan apa saja untuk itu. Penarikan balik petisyen pilihan raya parlimen Kulim - Bandar Baru adalah dirancang dan strategi itu bijak baginya kerana menguntungkan peribadinya.

Bila saya menulis menceritakan mengenai munafiknya ahli parlimen bertubuh kecil ini para penyokong otak kemetotnya marahkan saya. Ada yang mengatakan saya membuat fitnah. Mereka ini adalah orang-orang Pas dan PKR sendiri. Tetapi hari ini semakin hari semakin 'terbahar' dan terdedah apa yang berlaku sebenarnya. Anwar Ibrahim sendiri juga sudah mula merasa jengkil dan muak dengan politik hama Zulkefli Nordin ini. Apa yang dianggap fitnah perlahan-lahan bertukar menjadi kebenaran.

Saya tidak berhajat menulis apa yang saya tahu mengenai dirinya dan juga agenda yang disusunya selama ini dalam usaha mengekalkan statusnya sebagai ahli Parlimen. Sila buka dan rujuk kepada tulisan saya yang lepas dalam blog ini. Atau kalau sudi hubungi sdr Md Radzi Mustapa, peguam yang menguruskan soal petisyen ke atas kerusinya. Tanya Radzi apa yang berlaku sebenarnya dan bagaimana pendirian, sikap, perangai dan temberang Zulkefli Nordin ini. Ataupun tanya peguam Pakwan Cheek Marican atau Kamar Aniah Kamaruzaman. Kedua mereka ini tahu dari Z sampai I dan dari N sampai N tentang diri zulkefli.

Cuma apa yang saya nak sebut di sini, Zulkefli tidak payah main wayang banyak sangat nanti orang jeluak. Kalau nak tinggal PKR dan nak bersama Umno silakan. Rasanya tidak ada siapa nak marah pun. Dan mereka yang selama ini menjadi penyokong beliau termasuk yang menjadi penampal postal di Kulim - Bandar Baru pun tidak akan marah. Malahan saya rasa sangat bersetuju dengan kerana sudah mual temberang beliau itu. Sementara orang Umno yang terdiri rakan-rakan lamanya di Bukit Bintang akan mengalu-alukan langkah itu. Kepulangan Zulkefli ke Umno bagaikan sireh pulang ke ganggang.

Dan sekiranya Zulkefli menyertai Umno mungkin apa yang diharap dan katanya ditawarkan kepadanya sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi menjaga hal ehwal agama akan terpenuhi. Mana tahu? Cuma sayang menteri berkenaan kini sudah bertukar porfolio tidak mungkin apakah yang diimpikan itu menjadi kenyataan.

Usahlah buat macam-macam rekaan itu dan ini. Rasanya PKR tidak akan menangis kalau beliau keluar parti hatta menyertai Umno. Anwar, Wan Azizah, Syed Husin Ali dan sesiapa saja dalam PKR rasanya bahagia dengan tindakan itu nanti kecuali mereka yang sejenis dan sepecies dengan beliau saja. Zulkefli boleh bergabung dengan bekas-bekas PKR, seperti Ezam Mohd Noor dan gengnya untuk menentang dan memburukkan Anwar sehabisnya.

Eloklah kalau Zulkefli nak sertai Umno waktu ini. Isu pun banyak yang relevan dengan beliau. Masalah Islam boleh diperjuangkan dalam Umno. Isu kalimah Allah dan terbaru pembatalan perarakan maulid Rasul. Isu ini sesuai sangat digunakan oleh beliau. Perjuangkanlah kedua isu berkenaan. Pas dan PKR apa lagi DAP tidak bileh diharap lagi. Inysa-Allah Islam akan menjadi kuat dibawah Umno dengan hadirnya seorang Al Ustaz bernama Zulkefli Nordin. Dan kalau masuk awal-awal dapat pula buat jasa Insya-Allah Umno akan calon dalam pilihan raya kelak.

Kepada PKR tidak payah bincang banyak-banyak soal Zulkefli kerana ia membuang masa saja. Ikut sahaja apa yang Zaid Ibrahim suruhkan itu, pecat. Buat apa tunjuk profrsional, adil dan toleran kepada orang yang sudah membenci kita. Kadang-kadang dalam PKR hari ini ada yang tidak faham orang membencinya tetapi masih diusap dan disusukan macam anak kambing kena hujan. [*** 6:00 pm 16/02/10]

Friday, February 12, 2010

Aduhai Negaraku

Kapal Selam KD Tunku Abdul Rahman, Belum Guna Sudah Rosak!

[kemaskini] Menteri Pertahanan Malaysia, Ahmad Zahid Hamidi sudah pun mengulas berhubungan kerosakan teknikal ke atas kapal selam KD Tunku Abdul Rahman. Kata Zahid kerosakan itu boleh diperbaiki oleh pengeluar. Kapal selam itu juga katanya dalam tempoh jaminan. Kerajaan tidak perlu membuang duit lagi untuk memperbaikinya?

Zahid menjelaskan demikian di Melaka.

Tidak perlu diulas panjang jawaban dan ulasan Zahid itu fikirlah sendiri. Zahid langsung tidak mempertikaikan aspek lain berhubung kerosakan itu. Baginya tidak ada apa-apa kemungkinan lain yang menyebabkan hingga berlaku kerosakan itu. Kerugian masa kerana terpaksa mengusukan pembaiki juga tidak disentuh.

Cara Zahid menjawa itu mudah dan ringkas sahaja. Kerosakan itu tidak sedikitpun menjadi masalah kerana ia boleh diperbaiki. Zahid tidak tahu barang kali dengan kerosakan itu menyebabkan ia menganggu operasi kapal berkenaan. Apakah gangguan iu bukan satu kerugian kepada negara?

Kalau begiulah cara berfikir menteri pertahanan, sesiapa pun boleh jadi menteri. Rosak baiki, punah beli lain, hilang istyharkan dicuri. Untuk tidak rakyat marah sebut nilainya tidak sampai sejuta. Untuk sedapkan lagi tangkap sesiapa dan hadapkan ke mahkamah untuk menunjukkan kepada rakyat pencuri telah diangkap. Selesai.

BELUM pun sempat beroperasi kapal selam KD Tunku Abdul Rahman sudah rosak dan tersadai. Walaupun rosaknya kecil saja kata Panglima Tentera Laut, Abdul Aziz Jaafar tetapi ia dipanggil rosak juga. Tentulah kerosokan kecil itu menyebabkan kapal itu tidak sempurna dan tidak boleh dipakai.

Apa lagi peralatan perang cukup sesnsitif dan perlu dalam keadaan sempurna dari semua segi. Bayangkan bagaimana kalau tiba-tiba negara kita diserang, ibarat kata tinggal tersadai di pengkalan sajalah kapal itu. RM 1 billion hangus begitu saja tidak boleh dijadikan perisai menyelamat dan mempertahankan negara. Jawabnya terpaksalah guna meriam buluh dan perahu saja untuk menghadapi musuh.

Kapal itu baru saja dibeli dan tiba di negara ini September tahun lepas. Bukan main lagi ianya ditepong tawar pada hari ketibaannya. Kalau tak silap dibuat telecast ketibaannya. Seluruh rakyat Malaysia dari segenap corok melihat acara berkenaan. Tujuannya supaya rasa merasa agah dan bangga negaranya sudah ada kapal selam canggih.

Menurut Abdul Aziz, sebelum ini kapal itu juga sudah dikenal pasti mengalami keroskakan. Kerosakan kecil juga. Tetapi sudah pun diperbaiki. Erti dan maknanya sudah dua kali kapal itu rosak.

Saya rasa bukan saja saya, orang lain juga hairan dan tertanya-tenya kenapa kapal selam jenis Scorpene buatan Perancis dengan kerjasama Sepanyol itu boleh rosak atau telah rosak. Walhal kapal itu dikatakan tercanggih didunia pada masa ini dan terbaru. Entah-entah bukan baru kok, takut yang scond hand.

Kementerian Pertahanan manalah tahu baru atau scond hand, mereka hanya tahu terima saja. Manakala syarikat yang menjadi consultant pula tidak peduli ia sempurna atau tidak, yang penting komisyen saja. Tengoklah apa jadi dengan dua enjin F5E sampai dicuri pun tidak disedari. Dah, menteri pertahan pula terkial-kial nak buat penjelasan sampai terpaksa Peguam Negara membantu untuk meredakan keadaan.

Apakah isu komisyen pembelian kapal selam membabitkan lebih RM800 juta dulu ada kena mengena dengan kapal selam yang rosak itu? Barang kali mungkin.

Sama-samalah kita dengar apa ulasan dan penjelasan lanjut menteri pertahanan mengenai hal ini. Apakah kerosakan itu serius dan apakah puncanya. Atau apakah akan ada kerosakan lain pula ditemui selepas ini. Dan kalau boleh Zahid Hamidi jelaskan juga berhubung dengan komisyennya seperti mana digembar gemburkan dulu benar atau tidak angka itu dan siapa yang menerimanya. Sebagai menteri pertahanan kita percaya Zaid tentu ada maklumat terperinchi mengenainya.

Kesediaan Zahid mendedahkan butiran itu menunjukkan wibawa Zahid sebagai seorang menteri yang dikira mempunyai intergriti lebih sedikit berbanding dengan sesetengah menteri lain. [wm.kl.10:55 am 12/02/10]

Thursday, February 11, 2010

Renungan Untuk Najib

Najib Jangan Sayang Bertompok

HARI ini perdana menteri, Najib Razak membuat lawatan ke Petaling Street. Lawatan itu adalah kali kedua sejak beliau jadi PM. Belum sampai 24 jam selepas beliau angakat sumpah sebagai PM beliau turun ke kawasan pelancongan dan lokasi perniagaan kaum Cina itu.
Beberapa hari lalu beliau melawat ke Kampung Baru, Kuala Lumpur. Tempat-tempat awam yang dilawati beliau ialah di perhentian bas Puduraya dan kawasan perniagaan India di Jalan Brickfield. Di situ ada pejabat persatuan Orang-Orang Buta, saya tidak tahu apakah Najib jenguk ke pejabat orang buta atau tidak.

Di Pekan usahlah cerita, anak Mak Limah hujung bendang beranak pun Najib pulang untuk melihatnya. Tidak kisah sebab itu pengundinya. Tidak pulang, pengundi akan lupa, bimbang takut jadi dalam pilihan raya 1999 dulu di mana Najib menang hanya kira-kira 240 undi sahaja. Itu pun di selamatkan oleh Orang Asli. Najib sudah hampir bungkus. Pengalaman iu cukup mengajar dan mengingatkan Najib betapa pengundi perlu diberi perhatian sepanjang masa.

Sebagai rakyat Malaysia saya bangga kalau pemimpin turun ke bawah jenguk longkang atau tenguk sawah yang kering kontang atau padi yang hampir masak tetapi dibaham benda peran. Itulah pemimpin yang prihatin dan mesra rakyat. Apa lagi Najib si anak bangsawan yang membesar dalam rumah dan melihat rakyat dari jendela kaca perlu banyak turun ke bawah.

Najib mungkin kenal pacat dan lintah tetapi Najib tidak pernah merasai bagaimana geli dan pedihnya digigit pacat dan lintah. Maka untuk menghayati penderitaan petani, nelayan dan buruh kampung Najib perlu kerap ke bawah dan bukan sekadar mendengar dan melihat laporan media massa.

Dengan cara itulah baru simpati dan pembelaan Najib akan jadi realistik. Membaca penderitaan Lahuma dan Jeha dalam “Ranjau Sepanjang Jalan” tidak sama dengan melihat Pak Tih Haji yang kena potong kaki akibat kencing manis yang tinggal di Kubang Kual, Kelantan. Kesakitan di luar lebih perit lagi dengan kesakitan dalam media cetak atau skrin tv.
Tenguk sendiri susah payah rakyat. Tenguk sendiri bagaimana berpeluh berpelai rakyat mencari makan untuk dapatkan seringgit dua. Masih ada rakyat bekerja leih 20 jam sehari, pendapatannya cuma RM15.00. Manakala yang lain pula bekerja hanya 20 jam seminggu pendapatan berjuta ringgit termasuk yang songlap duit negara.

Nasib itu adalah ketentuan dan pilihan manusia itu sendiri. Tetapi menjadi tanggungjawab pemimpin untuk membantu rakyat. Memberi ilmu, memberi formula dan memberi semangat dan modal untuk mereka berubah kehidupan mereka. Nama lagi pemimpin, ia kena memimpin rakyat yang tidak berkeupyaan.
Pemimpin yang hebat itu sama seperti pengasah besi tumpul menjadi senjata tajam. Keupayaan seseorang pemimpin terletak di sini. Kalau setakat jadi pemimpin untuk diayung, dipikul dan dipuja menerusi banner, billboard, papan iklan atau diarak dengan bunga manggar, itu bukan pemimpin yang boleh merubah kehidupan dan pemikiran rakyat. Apakah Najib mampu berbuat begiu?

Najib telah mempelopori pendekatan rakyat didahulukan pencapaian diutamakan. Kita berharap slogan itu lebih bererti dengan pelaksanaanya secara menyeluruh, tulus dan ikhlas dan tidak dijadikan retorik politik. Kalau slogan itu hanya untuk dipamer dan dibacakan oleh Rais Yatim setiap jam di radio ia tidak ke mana, ia tidak merubah bangsa dan negara ini ke arah kemajuan.

Di sini saya nak tanya atau nak kemukakan cadangan kepda Najib. Tidak mungkin beliau akan dapat round ke seluruh negara untuk menghayati slogan beliau itu, mendekati rakyat dan mengenali rakyat. Dalam sehari hanya ada 24 jam dan dalam sebulan hanya ada 30 hari. Malaysia terlalu luas. Tidak mungkin dalam janga masa dan waktu amat terhad itu beliau dapat pusing ke seluruh negara.

Makanya saya harap Najib dapat membuat tinjaun rambang ke kampung-kampung naif dan miskin yang ada di seluruh negara. Beliau boleh adakan lawatan mengejut tanpa diheboh-hebohkan terlebih dahulu. Jangan ada sambutan dan lawatan buatlah seolah-olah seperti untuk menyiasat.

Selalunya kalau pemimpin hendak turun ke luar bandar ia dihebohkan. Maka sibuklah pejabat daerah dan agensi kerajaan menyiapkan segala keperluan termasuk prasarana diperbaiki. Jalan yang berlubang diturap dengan tar. Cara ini tidak sesuai lagi. Biarlah pemimpin melihat sendiri bagaimana keadaan sebenar sesuatu tempat itu. Cara itulah baru realistik.

Berbalik kepada kunjungan Najib ke kawasan China Town hari ini apakah keperluannya sampai dua kali dalam masa tidak sampai dua tahun. Apakah Najib merasakan perlu memberi fokus lebih kepada para peniaga dan penduduk di situ.

Apakah kunjungan itu kerana politik nak ambil hari orang Cina? Hati orang kampung bagaimana. Ia kena juga kena ambil sama. Atau pun kerana hati orang kampung (kecil) mudah dipujuk maka ia tidak perlu diberi perhatian berlebihan. Mungkin orang Cina mempunyai aset dan dapat memberi pulangan kewangan banyak kepada negara maka mereka perlu diberi keutamaan. Begitukah?

Tetapi Najib perlu ingat bahawa nilai undi antara orang Cina dengan orang Melayu di kampung sama saja. Undi seorang korporat Cina sama saja dengan undi seorang petani yang capek dan kaki kudong di kampung. Sama-sama satu undi saja.

Pada saya rakyat yang perlu didahlukan ialah rakyat kampung. Mereka perlu ditenguk dan dimesrakan. Cara Najib mengujung Petaling Street itu bagi saya satu tindakan sayang bertompok kasih terpilih.

Benar Najib sudah ada 221 orang wakil di seluruh kawasan parlimen. Tetapi percayalah tindakan wakil-wakil itu, baik wakil rakya atau Pengarah DUN dan Parlimen tidak begitu berkesan. Bayangkan bagaimana untungnya rakyat setempat apabila Najib (perdana menteri) mengunjungi mereka. Sewaktu beliau kunjung ke Selangor, beliau meluluskan RM5 juta untuk baiki flat. Kunjung ke Kampung baru, lulus RM2 juta juga untuk baiki flat.

Rakyat nun jauh di kampung kediaman mereka lebih daif, busuk dan huduh dari itu. Masih ada orang kampung yang tidak memiliki tanah, memiliki rumah dan makanan pun sekali sehari. Orang-orang inilah yang sepatutnya menjadi tumpuan dan fokus Najib bukannya rakyat yang sudah ada perniagaan atau pun tempat untuk menjual CD haram, barangan tiruan yang tidak pun membayar cukai kepada kerajaan.

Saya yakin kalau Najib membuat tinjau ke kampung-kampung pedalaman sudah pasti rakyat akan mendapat rezeki tersepak hasil lawaan itu seperti mana yang berlaku di tempat-tempat lain yang beliau pernah kunjungi.

Untuk permulaan saya cadangkan kepada Najib buatlah lawatan ke daerah saya di Rantau Panjang, Kelantan. Tenguk keadaan peniaga di sana. Masalah sosial, penyeludupan, penagihan dadah dan sebagainya. Hampir suku generasi mudah di sana di baham najis haram syiatn dadah. Sikap mengatakan itu negeri Kelantan dan Pas parlu bertanggungjawab, sudah lapok. Kita sudah berada pada era politik tahap kedua moden di mana segala pembangunan rakyat perlu diberikan tanpa di batasi sepadan dan ideologi politik. Najib juga perlu kepada pendekatan, fahaman dan amalan politik baru.

Harapnya para pegawai Najib mengambil kira perkara ini. Kita mahu bukan saja orang Pekan, Petaling Street aau Kampung Baru yang puji Najib tetapi orang di hulu Kelantan, hulu Pahang, Hulu Terengganu atau Kuala Kedah juga memuji Najib sebagai perdana menteri berjiwa rakyat kalau beliau dapat memenuhi undangan ini! [wm.kl. 8:00 pm 11/02/10]

Surat Kepada Politik Perak

Pakatan dan UBN Perlu Ikhlas Untuk Tenangkan Perak

"Proglog - saya menulis ini diluar kotak sentimen dan rasa hati dan perasaan orang Pakatan Rakyat di Perak. Jauh sekali atas kedirian saya sebagai orang Pakatan Rakyat. Jadi kalau catatan ini tidak 'belaga angin', maaflah. Saya mennyatakannya sebagai rekod dan jika ada yang baik bolehlah direnung sedalamnya sebelum untuk bersetuju dengan apa yang saya lontar atau ulaskan."

SYARAT yang dikenakan oleh Pakatan Rakyat untuk berkerjasama dengan UBN Perak adalah sesuatu yang munasbah. Semestinya dalam kedudukan Pakatan dalam phobia kerana kerajaannya berusia setahun dicuri, mereka memerlukan syarat untuk bekerjasama. Pakatan perlu berwaspada sebelum menerima pelawaan atau membuat tawaran.

Saya rasaUBN yang menawarkannya. Kerana kalau Pakatan yang terhingin, tentulah syarat itu tidak dikenakan. UBN pula seharusnya tidak menolak apa lagi prejudis kononnya Pakatan ada agenda atas hasratnya itu. Permudahkan jalan untuk kerjasama demi politik Perak dan orang Melayu amnya. Selagi ada perasaan buruk sangka itu maka selama itu kebaikan tidak akan tercapai.

Perbalahan berlanjutan tidak ada gunanya. Perak memerlukan masa rehat. Main bola sepak juga ada masa rihat 15 dalam sebelum cukup tempoh 90 init. Dalam masa rihat inilah kedua pihak perlu mahasabah diri mencari kebaikan untuk agama, bangsa dan tanah air.

Membawa permainan terlalu panjang meletihkan rakyat. Mana-mana rakyat yang tidak faham dan alergik dengan politik akan cemuh menyebabkan mereka akan berpaling tadah. Perubahan sokongan rakyat merugikan mana-mana pihak. Manakala sokongan rakyat pula bukan sesuatu yang kekal mereka akan membuat penilaian sokongan mereka mengikut perkembangan semasa.

Tiga syarat yang dikenakan oleh Pakatan seperti mana disebut Mohamad Nizar Jamaluddin ialah, antaranya, mahukan Sivakumar dilantik sebagai speaker yang sah, mahukan dana untuk wakil rakyat Pakatan dan minta kebenaran untuk menggunakan dewa serba guna. Tentunya bagi membolehkan kegiatan parti mereka dijalankan di permis itu.

Dua syarat itu adalah sangat ringan, cuma cadangan agar melantik Sivakumar sebagai speaker itu agak berat sedikit. Cadangan itu seolah Nizar sengaja mahukan UBN tolak cadangan perbaikan itu. Bagaimana pun kalau UBN dan Zambry Abdul Kader ikhlas ingin meredahkan pergolakan politik Perak beliau perlu menerima saja syarat berkenaan dan tidak melihat maksud di sebalik cadangan itu. UBN tidak perlu berifkir panjang dan melihat Pakatan ada agenda di sebalik desakan agar Sivakumar dilantik sebagai speaker. Tentulah Nizar dalam hal ini mahu menguji sejauh mana kesediaan di sebelah Zambry.

Dan sekiranya dengan perlantikan Sivakumar itu Pakatan mengkhinati atau cuba menimbulkan huruhara semula, UBN boleh gugurkan semula speaker berkenaan. Di sini apa yang penting Zambry harus memberi peluang untuk Pakatan menunjukkan kerjsama mereka.

Manakala syarat kedua itu, walaupun Nizar tidak memintanya, ia perlu dilaksanakan. Menjadi kewajiban kerajaan UBN yang melaungkan keadilan dan sikap telus memberi dana kepada kesemua wakil rakyat Perak tanpa mengira anutan ideologi. Perlu disedar wakil rakyat adalah pilihan rakyat manakala parti adalah pakaian atau simbol saja. Di mana-mana ceruk dan relung rakyat tidak boleh disisihkan.

Wang yang akan disalurkan bukan wang parti tetapi wang kerajaan. Bila wang kerajaan bermakna ia menjadi hak untuk semua wakil rakyat. Tetapi malang di negara ini sudah menjadi perecedent bahawa mana-mana wakil rakyat pembangkang tidak akan diberikan peruntukan atau geran pembangunan. Sebenarnya amalan ini salah dan bertentangan dengan semangat federalisme, perlembagaan negara dan semanagta demokrasi.

Cuma sekiranya Zambry bersedia memenuhi syarat-syarat berkenaan termasuk melantik Sivakumar sebagai spekaer, Pakatan janganlah menjadikan speaker sebagai kuasa dalam DUN Perak. Sudah tentu kalau Sivakumar menjadi speaker ia akan dilihat sebagai spekaer Pakatan Rakyat. Peranan dan kuasa seorang speaker adalah besar dan luas dalam Dewan mengatasi kuasa MB dan ahli Yang Berhormat yang lain.

Bagaimana pun pada saya sukar untuk UBN memenuhi syarat yang satu ini. Pakatan pula perlu mengugurkan syarat itu kalau mereka ikhlas untuk membawa ketenangan kepada politik Perak. Adalah munasabah kalau Nizar Jamaluddin meminta untuk mengisi mana-mana jawatan kuasa atau agnesi kerajaan atau meminta kerusi Exco daripada mencadangkan agar Sivakumar dilantik menjadi speaker.

Seperkara lagi dalam mencari titik temu dan damai ini, inilah masanya untuk Nizar Jamaluddin menguji sejauh mana penerimaan para pemimpin DAP kepada mereka. Umum tahu sebelum ini banyak polisiyang digarapkan semasa beliau menjadi MB adalah demi memenuhi aspirasi perjuangan DAP. Maka kali ini untuk mencari damai, giliran Nizar pula untuk meminta DAP agar menyokong aspirasinya.

Nizar boleh uji sejauh manakah DAP jujur dengannya. Kenapa saya berkata begitu kerana perdamaian tidak akan berlaku kalau Pakatan menjadikan DAP sebagai ketua. Perdamaian akan berlaku bila mana Pakatan menerima Nizar Jamaluddin sebagai ketua dan patuh kepada pendekatan ataupun semangat yang bakal beliau tuangkan dalam kejasama dengan UBN itu. Sedar atau tidak sedar pertentangan politik di Perak hari ini bukan antara Pakatan dengan UBN tetapi antara pengundi Melayu dan pengundi Cina yang mewakil parti berkenaan.

Alangkah damainya kalau cadangan ini diterima oleh kedua-dua pihak. Kita akan melihat politik Perak yang kalut akan tenang. Seharusnya semua pihak berusaha untuk membawa Perak ke arah itu. Bagi Pakatan masa tenang ini bolehlah digunakan menyusun jentera parti seperti mana saran Anwar Ibrahim untuk menghadapi pilihan raya akan datang.

Pakatan tidak perlu kesal dan terlalu kecewa dengan apa berlaku. Yang berlaku biarlah jadi sejarah yang akan dikenang dan dijadikan teladan berguna. Sekiranya mereka yakin rakyat menyokong mereka, masa depan menanti mereka untuk menghukum UBN. Pilihan raya ke - 13 kelak adalah mahkamah sejati yang bakal menentukan apakah, UBN atau Pakatan atau mana-mana pihak lain yang dikatakan campur tangan dalam krisis politik Perak yang berhak. Pilihan itu juga juga akan menjadi tali gantung untuk menggantung mana-mana mereka yang curang dan khianat.

Saya yakin kalau Pakatan mengambil sikap terbuka dan profesional itu rakyat akan lebih simpati kepada mereka daripada mereka terus membuat onar dan menyusun strategi untuk menganggu pentadbiran Zambry. [wm.kl.1:30 pm 11/02/10]

Wednesday, February 10, 2010

Komen Pejenguk

Belajarlah Politik Lee Kuan Yew Untuk Bangsanya

SAYA menerima satu email dari penjenguk yang menamakan dirinya sebagai Kurasa Sepi. Saya kira komen ini bertanggungjawab yang datangnya dari generasi muda. Ada sesuatu yang boleh dipetik dari komen ini. Saya siarkan sepenuhnya komen beliau menerusi email ini dengan pembentulan ejaan. Saya harap Kurasa Sepi tidak akan marah dengan penyiaran komennya ini dan saya ucapkan terima kasih.


Salam pakcik MSO…
Ini komen saya setelah saya membaca tulisan pakcik mengenai "Mengapa Harus Bencikan DAP?"


Apa yang dikatakan pakcik tu memang betul... DAP memang konsisten dengan perjuangan mereka… Saya orang Johor. Ibu bapa saya seorang pesara guru. Secara jujur saya amat mengkagumi pentadbiran Lee Kuan Yew & Singapura. Beliau memang seorang pemikir yang hebat. Malahan akibat pentadbiran Lee Kuan Yew lah Singapura berjaya menjadi sebuah negara kecil yang maju dan ke hadapan lebih jauh dari Malaysia.

Melalui pentadbirannya yang bersih bukan sahaja dari Perdana Menterinya, malahan dari menteri sampailah ke peringkat bawahan kakitangan kerajaan. Ini berbeza dengan Malaysia dari peringat atasan sampailah ke peringkat bawahan. Semunya terlibat dengan rasuah, bagi hamper,bagi handphone dan bermacam lagi.

Tetapi tidak dapat dinafikan tidak kesemuanya kakitangan kerajaan terlibat dengan gejala-gejala yang saya sebutkan tadi.. Berbalik kepada cerita DAP, kita semua tahu yang DAP adalah parti serpihan PAP. Penasihat DAP saudara Lim Kit Siang pun adalah bekas Setiausaha Lee Kuan Yew. Mungkin Tidak ramai orang yang mengetahuinya.

Seperti yang yang kita semua tahu kecuali yang tidak tahu sejarah Singapura dahulu ialah sebuah negara Melayu seperti juga Malaysia. Jika tidak percaya cuba kita tonton semula cerita di zaman P. Ramlee sewaktu era Malay Film Production di jalan Ampas Singapura. Cerita seperti Seniman Bujang Lapok, Pendakar Bujang lapok, Tiga Abdul, Antara Dua Darjat dan beberapa lagi cerita yang saya terlupa tajuknya jelas menunjukan keadaan zaman Singapura pada masa itu.

Pada masa itu memang bangsa Melayulah majority di Singapura. Tetapi akibat dari sikap Lee Kuan Yew yang memperjuangkan Malaysian Malaysia dan mempertikaikan perlembagaan, telah membuatkan Tunku Abdul Rahman menendang Singapura keluar dari Malaysia pada ketika itu. Sebab itu orang – orang tua dahulu begitu benci kepada nama Lee Kuan Yew dan Lim Kit Siang. Tetapi pada saya secara peribadi kita tidak boleh salahkan mereka kerana mereka memperjuangkan bangsa mereka.

Tetapi saya tidak dapat menerima jika bangsa kita iaitu melayu dihina sehina-hinanya. Kita nilailah sendiri apa yang dilakukan oleh ahli – ahli parlimen DAP semasa ceramah politik seperti member salam, membaca ayat Al-Quran dengan tonggang langgangnya. Yang saya pelik orang-orang Melayu Islam yang ada pada ketika itu turut bertepuk tangan. Itulah kelebihan PAP dan DAP. Mereka begitu faham tentang mentaliti dan bagaimana untuk mencairkan hati orang Melayu.

Lee Kuan Yew sebenarnya adalah seorang Cina yang lahir di Batu Pahat Johor. Dia begitu pandai membaca dan menulis jawi. Saya ada terlihat video youtube di laman blog Tok Guru Nik Aziz. Dia menulis di buku kehadiran di pejabat Tok Guru menggunakan bahasa jawi. Di Singapura, bagaimana sebuah negara yang pada asalnya bangsa Melayu adalah penduduk majoriti boleh bertukar kepada minoriti.

Kepada kita yang ada saudara mara di Singapura, cubalah kita tanya kepada mereka. Bagaimana keadaan mereka sekarang. Lee Kuan Yew memang seorang yang amat pintar dan sangat cerdik. Cuba kita fikirkan apa akan jadi pada Malaysia pada masa hadapan jika puak-puak ini memerintah. Kalau kita tidak ambil endah, cuba kita fikirkan pula apa yang akan jadi pada anak cucu kita.

Tentang situasi di Perak pula, saya berpendapat BN terlalu gopoh untuk mengambil alih tampuk pemerintahan. Jika Dun Perak dibubarkan, saya berpendapat situasidi Perak tidak akan jadi seperti yang kita lihat. Tetapi saya berasa ada hikmahnya juga. Bekas menteri besar yang telah dilantik oleh Sultan Perak telah digunakan sepenuh-penuhnya oleh 2 orang pimpinan DAP di Perak.

Jangan cuba kita nafikan benda itu tidak terjadi. Kita nilailah keputusan-keputusan yang telah dibuat oleh beliau semasa menjadi MB Perak dahulu. Segala-galanya telah ditentukan. Cuba kita lihat siapa yang berbaring di tengah jalan sambil terlompat-lompat menjerit seperti orang kerasukan, tidakkah itu orang Islam dan Melayu.

Saudara kita seagama dan sebangsa. Relakah kita melihatnya. Cuba kita lihat pula siapa yang berbaris beramai menyertai Gerakan Mansuhkan ISA? Boleh dikatakan semuanya orang Melayu.

Persoalannya agenda siapa yang mereka perjuangkan? Siapakah yang akan mendapat keuntungan hasil daripada perjuangan mereka itu? Bangsa manakahkah yang akan berpecah? Kita nilailah sendiri.

Betul kata Tun Dr. Mahathir, bangsa Melayu sekarang amat terhimpit dan tersepit. Hendak menyokong Umno pemimpinnya bergelumang dengan rasuah. Hendak disokong pembangkang lain pula ceritanya. Maaf jika komen saya ini dianggap perkauman, tetapi pada saya buat masa ini tidak ada satu parti politik pun yang benar-benar ikhlas berjuang untuk orang melayu seperti zaman Dato’ Onn dahulu.

Kepada pakcik MSO, ini pertama kali saya memberi komen di ruang komen. Jika ada kesilapan, harap dapatlah pakcik menegur kesilapan saya.
Salam.

Pencerahan Minda

Mengapa Harus Bencikan DAP?

PAGI ini saya tidak mahu mengulas mengenai keputusan Mahkamah Persekutuan semalam yang memberi kemenangan” 5 – 0” kepada UBN dengan mengesahkan Zambry Abdul Kadir sebagai MB. Blog dan portal berita dan media cetak sejak semalam lagi telah mengulas keputusan itu dengan berbagai gaya berlandaskan sentimen masing-masing. Yang jelasnya UBN suka, Pakatan Rakyat kecewa dan marah-marah.

Apa yang hendak saya catat pagi ini ialah mengenai DAP, parti yang lahir dari sayap atau terilham dari parti Petir yang memerintah Singapura hari ini. Ramai yang marah-marah dengan DAP. Adakalanya marah itu tidak berasas dan menolak prinsip demokrasi.

Secara tersirat ada yang suruh haram DAP, kononnya dengan kewujudan DAP menyebabkan politik Malaysia huruhara. Politik orang Melayu menjadi haru biru. Perpaduan orang Melayu pecah kerana parti itu. Mereka ini nampak DAP menjadi ancaman kepada perpaduan orang Melayu.

Saya juga tidak suka kalau begitu. Wajar kalau DAP diharamkan kalau ia boleh memecah belahkan orang Melayu. Bukankah organisasi atau pergerakan yang boleh memberi masalah kepada negara ia menjadi satu ancaman? Ia merupakan musuh negara.

Tetapi kita kena ingat DAP ditubuhkan sebagai parti politik menurut undang-undang negara. Pendaftaran pertubuhan memperakuinya. Jadi DAP boleh bergerak dengan bebas dalam lingkungan undang-undang. Setakat ini kita nampak DAP tidak melakukan apa-apa aktiviti yang boleh mengancam negara. Perpecahan yang dikatakan kerana DAP itu subjektif dan tidak ada bukti yang nyata.

Sekiranya DAP membawa unsur-unsur berkenaan saya rasa sudah lama ia diharamkan.
Di zaman penjajah dulu, British pernah mengharamkan parti Hizbul Muslim kerana pada pandangan mereka ia boleh mendatangkan kemudaratan kepada negara yang dikuasainya ketika itu. British melihat Hizbul Muslim akan menjadi benteng kepada Tanah Melayu. Justeru itu dengan dokongan Umno (parti Melayu) parti itu diharamkan.

Makanya jika pihak tertentu dan kerajaan merasakan bahawa DAP berpotensi mendatangkan masalah parti itu boleh diharamkan.

Tetapi soalnya apakah DAP ada kecenderungan boleh mendatangkan masalah kepada negara? Apakah parti itu mempunyai gerakan tersembunyi? Mungkin fikiran saya salah dalam hal ini dan tidak mempunyai bukti-bukti mengatakan DAP adalah sebuah parti subervesif. Mereka yang beranggapan demikian mungkin begitu.

DAP masih berjalan atas landasan betul dengan cermat sekali. Bagi saya kenapa saya lihat DAP dimarahi oleh sesetengah orang Melayu ialah kerana keaktifan parti berkenaan. Keberkesanan parti berkenaan dalam menggerakkan perjuangannya dan mempengaruhi minda Melayu. Kejayaan yang dicapai oleh parti berkenaan inilah menjadi puncanya. Misalnya kejayaan DAP menawan Pulau Pinang menjadi titik marah besar kepada sesetengah pihak khususnya Umno. Kemenangan DAP itu dicemburui dan dibimbangi.

Kejayaan itu tidak boleh dimarahkan kepada DAP. Apa lagi sengaja mencari alasan-alasan remeh untuk menjadikan orang marah kepada DAP. Kejayaan DAP kerana kegigihan mereka berjuang. Masih ingatkah kita bagaimana DAP mensasarkan untuk menawan Pulau Pinang menerusi Projek Tanjung, 1 sampai 3.

DAP tidak pernah beralih dari tumpuannya walaupun mengalami kekalahan demi kekalahan. DAP tidak pernah terikut-ikut dengan sindiran dan tempelakan yang dilemparkan kepada mereka ekoran kegagalan itu. Parti itu bekerja dan berjuang sehinggalah kerajaan berjaya digenggamnya. Jadi kejayaan merampas Pulau Pinang dari Gerakan adalah hasil keintiman dan istiqamah perjuangan DAP.

Kepada saya kejayaan DAP itu kerana kegigihan dan kerajinan para aktivisnya. Mereka tidak pernah berundur setapak walaupun kalah. Pemimpinnya tidak pernah berputus asa untuk mendapat sebuah kerajaan negeri selepas lebih 40 tahun berusaha mendapatkannya. Sebenarnya semangat kegigihan DAP itu patut diteladani oleh parti orang Melayu termasuk PAS dan Umno. Semangat dan cara DAP bekerja yang patut dicontohi bukannya mencari jalan mudah agar DAP dihapuskan.

Ada orang kata DAP parti anak dan bapak. Kalau begitgu hebatlah DAP kerana hanya dengan anak dan bapak (Lim Kit Siang dan anaknya Guan Eng) sahaja mereka berjaya menawan sebuah negeri yang menjadi kubu kaum Cina. Ini bermakna kaum Cina sudah mula mempercayai kepada DAP. Sudah berpalut dengan parti anak dan bapak. Usahlah bawa cerita DAP chauvenis.... nama lagi Cina semua mereka akan bersifat chauvenis. Kita tahu kaum Cina adalah kaum yang kuat berpegang kepada idetiti asal mereka dan tidak mudah berkompromi dan sedia menentang apa saja kalau kepentingan dan hak mereka tergugat.

Kalau kita bimbang kepada kemaaran DAP dan ideologi sosialis demokratnya menyerap ke dalam kelompok Melayu dan Malaysia, orang Melayu harus cepat sedar dan cepat bertindak. Gerak kerja seperti mana dilakukan DAP perlu ditiru. Perkara paling pokok ialah parti Melayu kena jaga intergriti pemimpinya. Kena bersih, tidak tamak harta dan hidup sedarhana. Selebihnya kena eratkan silaturahim berasaskan matlamat yang sama.

Dalam hubungan ini kurangan jumlah tangkapan mereka yang terlibat dengan dadah dan rasuah. Pendekatan yang diambil oleh Lim Guan Eng yang meniru Khalifah Umar Abdul Aziz sepatutnya dirampas dan dipraktikan oleh pemimpin parti Melayu.

Zaman ini untuk menolak seseorang ke dalam lubang bukan guna jentolak lagi. Ia boleh digunakan sihir ataupun teknik dengan menggunakan elemen yang tidak nampak seperti angin. Kalau kita menolak dengan jentolak nampaklah akan kekasaran dan kezaliman kita. Tetapi kalau ditolak dengan angin kekejaman kita tidak ketara dan orang tidak pun tahu yang kita kejam.
Demokrasi adalah lapangan terbaik untuk menolak sesiapa saja atau mana-mana puak melampau secara baik tanpa melukkan kulit atau mencelakan tubuh mereka.

Kesimpulannya marahkan kepada DAP kerana cemburu kepada kejayaannya tidak ada gunannya. Marah ala Umno itu akan menyebabkan DAP semakin kuat. Apa lagi waktu ini DAP ada batang yang melindungi mereka dari pukulan ribut. DAP dalam menerima pelindungan ini persis monyet. Lagi kuat angin berhembus ke arah mereka lagi kuat mereka berlindung dibalik batang itu. Apa lagi batang itu kini sudah rela memberi perlindungan atas nama kemanusiaan dan kuasa kepada DAP. [wm.kl.9:10 am 10/02/10]