Wednesday, December 24, 2008

Berita Tengahari

Umno Petaling Jaya Selatan Tutup Kedai
Bekas Ketua, 28 Ketua Cawangan dan 13 Jawatankuasa Bahagian Sertai Pas

UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan mungkin tutup kedai dan lumpuh ekoran bekas ketuanya Kept (B) Zahar Hashim, 60 berhijrah ke dalam Pas dan telah menyerahkan borang keahliannya kepada Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa di satu majlis khas diadakan di sebuah hotel di Ampang Jaya pagi ini.

Bersama Zahar turut berhijrah ialah 13 ahli jawatankuasa bahagian dan 28 ketua cawangan bahagian berkenaan. Penghijrahan beramai-ramai itu menyebabkan Umno Bahagian Petaling Jaya terus lumpuh.

Penyertaan Zahar bersama kepimpinan bahagian dan cawangan itu juga memberi pukulan hebat kepada Umno yang akan menghadapi pilihan raya kecil Kuala Terengganu minggu depan.

Zahar dalam majlis penyerahan borang itu menjelaskan penyertaannya ke dalam Pas kerana yakin Pas adalah parti terbaik untuk orang Melayu dan mampu membela agama di masa depan.

"Pas bukan lagi parti alternatif kepada Umno tetapi parti yang lebih baik daripada Umno," tegasnya.

Jelasnya penyertaan itu bukan mengejar kedudukan dan pangkat di dalam Pas melainkan untuk memberi sumbangan kepada Pas dalam membantu rakyat, khasnya rakyat miskin. Menurutnya beliau pernah ditawarkan jawatan Speaker DUN Selangor namun beliau tolak, penolakan itu menunjukkan beliau tidak mengejar kedudukan.

Kerana itu katanya kemasukan beliau dalam Pas hendaknya tidak dicurigai kerana beliau ikhlas untuk berjuang bersama Pas bagi memberi khidmat kepada rakyat.

"Saya masuk bukan hendak pangkat dan kedudukan tetapi untuk bersama Pas membantu rakyat miskin dan perkara ini saya sudah jelaskan kepada Pas kawasan Petaling Jaya Selatan," jelasnya.

Mengenai desas desus mengatakan beliau mengambil tindakan itu setelah keahliannya digantu, Zahar menjelaskan desas desus itu tidak betul. Katanya sejak awal tahun lalu beliau sudah merasa tidak selesai dengan Umno ekoran peralihan kuasa dalam Umno Selangor. "Jadi kebetulan Umno pecat saya ia memberi jawaban kepada apa yang sedang difikirkan," tegasnya.

Zahar telah menyertai Umno menerusi cawangan Subang Jaya pada tahun 1981 menjadi Timbalan Ketua Umno Bahagian Subang Jaya merangkap Bendahari Umno Bahagian Puchong tahun 1982 - 1987.

Pada tahun 1994 - 1999 beliau menjadi Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan dan juga Adun kawasan Taman Medan. Ekoran persempadanan semula bahagian Umno pada tahun 1999 - 2008 beliau memimpin Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan sehingga keahliannya digantung baru-baru ini.

Menjelas lanjut kenapa beliau bertindak meninggalkan Umno ekoran timbul peralihan kepimpinan Umno Selangor awal tahun lalu.

Ekoran penyertaan Zahar itu juga Pejabat Umno Bahagian Petaling Jaya Selangor ditutup dan ia akan menjadi pejabat Pas kawasan berkenaan.

Nasharudin dalam ucapan mengalu-alukan kemasukan Zahar menyifatkan ia satu penghijrahan sekumpulan manusia yang ingin mencari kebenaran bersama Pas dan ia dialu-alukan Pas yang menganggapnya hadiah sempena menjelang tahun baru hijrah.

Nasarudin berharap kemasukan itu akan memberi sumbangan besar kepada Pas dalam usaha untuk memartabat bangsa Melayu dan Islam.

Turut hadir meraikan kemasukan Zahar ke dalam Pas ialah Pesuruhjaya Pas Selangor Dr Hassan Mohd Ali, timbalannya Dr Che Musa, Ketua Penerangan Mohd Roslan Mohd Shahir, ahli Exco Selangor dari Pas, Dr HalimahAli, Dr Rani Osman serta lain-lain pemimpin tertinggi Pas. [wm.kl. 1:10 pm 24/12/08]

No comments: