Tuesday, May 5, 2009

Bicara Politik

Hassan Shukeri: Profesional Pun Boleh
Pimpin Pas

PAGI tadi saya mengunjungi tokoh veteran Pas, Ustaz Hassan Shukeri di rumahnya, di Taman Melewar. Tujuannya untuk meninjau pemikiran beliau menjelang muktamar agung Pas. Saya rasa walaupun beliau kurang disenangi oleh sesetengah golongan profesional dan orang muda, kerana menyifatnya sebagai keras, namun pengalaman, ilmu dan kesetiaanya pada parti tidak dapat siapa mengatasinya.

Kelebihan itu wajar kalau beliau didekati bagi mengutip pengalamannya bagi dihayati atau dijadikan iktibar.

Hassan Shukeri (foto) adalah orang lama, sezaman dengan Allahyarham Datuk Mohd Asri Muda. Beliau dilihat bersama Datuk Asri, tetapi akhirnya terpaksa mufaraqah dari Asri kerana perbezaan prinsip dan pendekatan politik. Beliau juga banyak menyimpan kisah duka Pas dan hal-hal peribadi sosok Pas yang tidak pernah terungkap!

Hassan Shukeri juga terkenal sebagai pakar perlembagaan dalam Pas. Pengalamannya sebagai Setiausaha Agung sangat luas dan tidak terlawan oleh mana-mana setiausaha agung. Kalau rujuk namanya dalam Pas, maka jawatan itulah yang sinonim dengannya walaupun beliau pernah menjadi timbalan presiden, ahli Dewan Negara ataupun Pesuruhjaya Pas Selangor.

Ada beberapa perkara yang sempat saya bincang dan bercakap dengannya selama hampir dua jam. Sebenarnya perbincangan itu sebagai mencari bahan untuk Siasah minggu ini. Antara topik yang dibincang ialah mengenai beberapa kekeliruan yang disengajakan menjadi polimek oleh media massa.

Antaranya mengenai polimek mengenai golongan mana yang berhak dan sesuai memimpin Pas, ulama atau profesional; mengenai unsur luar yang dikatakan mencampuri urusan pemilihan Pas dan juga mengenai perundingan Pas dengan Umno yang menimbulkan pro kontra.

Hassan ternyata terbuka dalam membincangkan isu-isu ini. Baginya, beliau berpandangan Pas tidak semestinya dipimpin oleh ulama. Beliau mengatakan didalam perlembagaan tidak ada penetapan itu. Sesiapa pun boleh memimpin Pas tidak terbatas kepada golongan ulama semata-mata.

Tetapi kenapa ulama dilihat sebagai mutlak memimpin Pas kerana pada asal penubuhan Pas katanya, ianya dipimpin oleh ulama. Golongan profesional juga boleh meimpin Pas dan tidak ada masalah. Cuma mestilah memenuhi syarat-syarat seperti tahu dan arif mengenai hukum hakam, mengenai fikh Islam, serta tahu mentafsir ayat-ayat Quran.

Pas katanya jemaah Islam mestilah terarah kepada itu, kepimpinan ulama. Sekiranya pemimpinnya jahil megenai agama, buta mengenai Islam, mungkin ia tidak sesuai dan tidak layak untuk diangkat sebagai pemimpin. Bukan tidak boleh tidak sesuai, katanya.

Dalam pada itu beliau mengakui golongan profesional kini pun ada yang mempunyai pengetahuan agama yang mantap dan mereka ini boleh dan layak menjadi pemimpin Pas.

Mengenai dakwaan ada usur-unsur luar cuba mempengaruhi pemilihan pimpinan Pas, Hassan melihat perkara ini tidak menjadi bekas kepada Pas. Beliau yakin ahli Pas tidak akan terpengaruh. Beliau tidak menolak kalau unsur ini ada atau ditimbulkan oleh mana-mana pihak, tetapi ia tidak sampai memberi kesan kepada Pas.

Alasannya, kata Hassan ahli Pas memang bijak dan ada pertimbangan sendiri. Ahli Pas sudah lama dilengkapi dengan ilmu menerusi didikan dan terbiah, mereka akan menggunakan neraca ini untuk menimbang baik dan buruk untuk parti mereka.

Dalam Pas katanya apa yang penting semua kegiatan dan aktivitinya ialah mengarahkan kepada mencapai keredhaan Allah. Pemilihan pemimpin juga terarah ke arah itu. Beliau tidak fikir kalau ahli bertindak di luar tujuan dan prinsip berkenaan.

Menjelang pemilihan dalam muktamar nanti, Hassan menasihatkan ahli Pas supaya tidak mudah terpengaruh dengan rentak yang ditimbulkan media massa. Ahli harus faham media massa memang sengaja menimbulkan hal-hal atau polimek tidak sepatutnya untuk memecah belahkan Pas. Dalam hal ini sarannya kalau boleh pemimpin atau calon terlibat kurangkan bercakap isu-isu yang boleh mengundang ketegangan kerana ia akan diambil kesempatan oleh musuh. [wm.kl. 5:20 pm 05/05/09]

No comments: