Saturday, May 2, 2009

Sengkang Perasaan

Menunggu Kata Dari Tuhan
Mengimbaukan Saya Hingga Ke Madinah

SUDAH lama saya tidak menonton teater. Dunia politik banyak merampas kegiatan atau menyempitkan ruang hiburan saya. Agenda politik sangat kejam menjadikan saya tidak sempat untuk mengikuti atau melayan kegemaran batin saya itu. Tragedi politik menjadi saya sama sekali tidak sempat untuk merehatkan otak dalam laman kesenian dan kebudayaan negara. Saya tertinggal jauh dari segala teori, polimek, diskusi dan acara-acara keseniaan dan kebudayaan negara.
Ini sering kali saya ceritakan kepada kawan-kawan bagaimana politik mengasingkan saya dari medium seni dan sastera yang mulanya menjadi minat dan makanan batin saya yang cukup lazat itu satu masa dulu.

Kali terakhir saya menonton teater ialah 10 tahun lalu. Menonton teater Lantai T Pinki, karya A Samad Said dipentaskan di Pusat Pelancongan, Matic. Selepas itu saya tidak berpeluang untuk menonton teater, meskipun ada beberapa undangan dan pemakluman dari pengiat teater tanah air yang kebanyakannya kawan-kawan belaka. Macam kebetulan pula acara teater bertindih dengan ceramah politik atau pun acara demonstrasi!

Bagi saya menonton teater juga turut sama mempelajari dan mendalami dunia teater yang ilmunya sangat kurang bagi saya. Teater bagi saya bukan sekadar melihat aksi lakonan, mimik muka, intonasi suara atau jalan cerita, konflik, falsafah dan sebagainya tetapi membaca orang-orang dalam teater itu sendiri, terkhususnya sutradara atau penulis skripnya yang berada di balir kelir sesuatu teater itu.

Enjin sebuah teater itu terletak kepada dua komponen ini. Pemainnya sekadar menggerakkan dan cuba menterjemahkan apa yang dihasratkan oleh dua komponen ini mengikut sejauh mana kemampuannya. Jadi kedua merekalah yang memaksa kita membaca naluri, jiwa dan maknawinya.

Malam tadi saya menonton teater “Menunggu Kata Dari Tuhan”, karya Dinsman. Ia dipentaskan di Auditorium Muzium Negeri Selangor, Shah Alam. Inilah karya terbaru Dinsman sebagai kesenimbungan dunia teaternya. Kelangsungan dan kejayaan pementasan teater ini membuktikan kecintaan tinggi Dinsman pada teater yang tidak bisa dirampaskan sesiapa.

Kejayaan Dinsman mementaskan teater tika dunia teater menjauh dengan khalayak dan nazak serta telah dirompak pelbagai bentuk hiburan baru dan moden kini satu kebanggaan. Setidak-tidaknya Dinsman masih bertahan dan membuktikan wajanya kepada teater cukup tebal dan mata harapannya (nilai kerja) pada teater semakin tajam.

Saya membawa semua anak-anak dan isteri, kecuali yang sulung menonton teater berkenaan. Saja kebetulan hari cuti dan kebetulan mereka ada masa. Mereka tidak pernah melihat atau kenal apa itu teater. Mereka lebih kenal dengan hiburan realiti di tv atau pun kartun. Jadi semalam saya memecah dan memperluaskan 'orbit' kehidupan mereka.

Alhamdulilah anak-anak nampaknya betah dengan teater. Mereka mampu bertahan dan berkurung dalam dewan gelap cerah selama 45 minit sampai sudah. Anak lelaki saya yang mungkin merasa aneh apakah yang dimainkan itu, boleh bertahan sampai sudah, dan menggembirakan minta untuk menontonnya sekali lagi. Samada mereka dapat menghayati atau tidak itu soal lain.

Menunggu Kata Dari Tuhan, bukan sekadar teater Dinsman untuk memastikan teater hidup dan menyambung nyawa group Teater Elit, kumpulan teater Dinsman bersama Sutung Umar Rs. Ia membuktikan Dinsman masih mampu berkarya dengan menggunakan tenaga paling minimum tetapi memberi impak yang maksimum! Inilah kelebihan dan kehebatan Dinsman. Teater Menunggu Kata Dari Dari Tuhan hanya melibatkan dua pemain saja.

Menunggu Kata Dari Tuhan mengangkat mesej biasa dalam sebuah teater tetapi berjaya meletakkan mesej itu penting kerana digarap menerusi pemikiran seni, dramatik, emosi dan dakwah yang tinggi nilainya.

Tema dan mesejnya senang sahaja. Ia menceritakan watak Ka’ab bin Malik seorang lelaki di zaman Rasulullah s.a.w. yang enggan pergi berjuang dan cuba menipu Nabi. Kisah ini kerap diceritakan oleh para ustaz dan tok guru sejak ratusan tahun lalu tetapi kesannya tidak seperti mana yang dibawa oleh teater berkenaan.
Moral ceritanya ialah jangan melengahkan untuk berperang di jalan Allah kerana ianya tuntutan ke atas manusia yang dilahirkan sebagai khalifah.

Yang aneh dan menariknya apa berlaku kepada Ka’ab akhirnya dia tidak tergamak untuk menipu Rasulullah dan mengakui apa sebenarnya yang berlaku ke atas dirinya. Dia tetap juga menerima hukuman sebagai pengajaran. Hukuman inilah merupakan intipati kepada mesej dalam teater ini.
Saat resah gelisah, mencemaskan rasa aib Ka’ab menerima penghinaan dan menanti hukuman dari Allah atas sikap dan perbuatannya adalah sebuah gangguan perasaan dan psikologi yang dikirimkan oleh Dinsman kepada penonton untuk diinsafi dan dihayati bagi dipandan dengan kehidupan setiap penonton (manusia).

Bagi saya Dinsman berjaya mengangkat kisah berdasarkan hadith riwayat Bukhari dan Muslim ini dengan cukup baik dan mengesan sekali. Penampilan Sabri Yunus (sebagai Ka’ab) yang dibantu dengan gesekan biola oleh Sani Sudin satu paduan yang mengkagumkan dan menyentuh perasaan manusiawi saya.

Paduan kombinasi kedua pelakon itu menerusi aksi, dialog dan alunan muzik berjaya apabila mampu membawa saya secara peribadi teralun jauh hingga terbawa ke zaman Nabi kira-kira 1600 tahun lampau. Menonton teater itu saya rasa bukan berada di negeri Pakatan Rakyat, di Shah Alam, tetapi nun jauh di Madinahtu Munawarah.

Teater yang membawa falsafah bersikap jujur, mengaku kesalahan dan sedia untuk memperbaiki diri serta tidak mudah terpengaruh dengan bisikan dan hasutan syaitan amat sesuai ditonton oleh orang politik yang hari ini semakin nipis sifat-sifat mahmudah seperti mana yang ditunjuki oleh Ka’ab bin Malik. Sangat baik kalau Teateri Elit dibantu oleh mana-mana NGO untuk membawa teater ini ke seluruh negara [wm.kl. 9:00 pm 02/05/09]

No comments: