Monday, May 18, 2009

Uluasan Isu

Penanti: UBN Jangan Taja Calon Bebas!

APAKAH ianya politik profesional Umno atau satu keputusan menggambarkan UBN sudah pengecut untuk berhadapan dengan rakyat? Tentunya keputusan UBN untuk tidak meletakkan calon pada pilihan raya kecil Penanti, 31 Mei depan menimbulkan pro dan kontra.

Mereka yang suka kepada pilihan raya, gila berpilihan raya kerana dapat rezeki tersepak serta yang gembira melihat UBN dan Pakatan Rakyat bertempur tanpa melihat kepentingan-kepentingan lain akan beranggapan keputusan itu sebagai UBN sudah takut.

Sebaliknya mereka yang merasa letih dan tidak guna melakukan sesuatu yang sia-sia akan (kerana UBN tetap akan kalah) beranggapan keputusan UBN itu sebagai langkah bijak kerana ia tidak menyusahkan banyak orang. Keputuan sebegitu juga sedikit sebanyak dapat mengubah mind set umum sebelum ini di mana setiap pilihan raya wajib berlaku perlawanan.

Saya tidak menyokong ataupun menentang pandangan demikian. Tetapi apa yang diputuskan Mohd Najib Razak itu adalah satu keputusan yang menunjukkan beliau konsisten dengan kenyataan awalnya sebelum ini yang mengatakan kemungkinan UBN tidak akan meletakkan calonnya dalam pilihan raya kecil Penanti.

Keputusan yang dibuat Najib hari ini juga menggambarkan beliau tidak mudah dipengaruhi atau terikat dengan pandangan pihak lain.

Sebelum ini padangan Najib itu ditolak oleh Umno Pulau Pinang yang beriya untuk meletakan calon. Ia juga ditolak oleh Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan kalau UBN tidak letak calon ia menggambarkan Umno sebagai sebuah parti penakut dan menjatuhkan maruah Umno.

Apabila Najib menolak pandangan itu dan UBN mendapat pandangan kolektif (tentunya kerana setuju dengan Najib) jelas Najib dapat berdiri atas kakinya sendiri. Najib sudah dapat momentumnya tersendiri dalam membawa hala tujuan politik UBN dan politik baru negara tanpa dipandu oleh mana-mana kompas buruk politik.

Alasan yang diberikan Najib kenapa tidak mahu meletakkan calon ialah kerana tidak mahu terperangkap dengan perminan politik Pakatan Rakyat. Najib beranggapan kerusi berkenaan sengaja dikosongkan kerana PKR hendak menyelesaikan masalah dalaman. Adalah sesuai kalau UBN tidak terikut bersusah payah dan berpeluh pelai untuk turut menyelesaikan masalah dalam PKR.

Memang kerusi Penanti adalah kerusi milik PKR. Umno tidak akan merasai apa-apa kehilangan kalau kerusi itu dilepaskan begitu saja kepada PKR. Lagipun hari ini Pulau Pinang dikuasai oleh PKR.

Saya rasa tidak berdosa bagi Najib mengambil sikap demikian. Bahkan sikap gentlemen seperti itulah yang sepatutnya diambil oleh parti-parti politik. Jangan mengheretkan rakyat terlalu jauh dalam politiking untuk mendapatkan kuasa. Kita sudah berpolitik lebih setengah abad, adalah baik kalau politik kita matang dan sihat.

Bagaimana pun keputusan UBN itu tidak juga membawa erti dan boleh menyelamatkan rakyat sekiranya pada hari penamaan calon pada 23 Mei nanti ada calon lain yang turut mengemukakan kertas penamaan calon bersama calon PKR. Kehadiran calon bebas itu tidak akan membawa apa-apa erti kepada tindakan Najib itu. Kerana sesiapa pun yang akan bertanding atas bebas, orang akan beranggapan ianya adalah proksi UBN juga.

Justeru UBN kena pastikan bahawa pada hari penamaan calon itu tidak ada calon bebas yang menyerahkan kertas penamaan calon. UBN kena pastikan biarlah calon PKR, Dr Mansor Othman seorang sahaja yang menyerahkan kertas pencalonan. Jika ada perlawanan ini bermakna rakyat tidak boleh tidak akan turut terheret dalam pilihan raya itu dan amalan-amalan biasa yang berlaku dalam pilihan raya tetap juga akan berlaku.

Kalau ini berlaku (ada calon bebas) maka tohmohan mengatakan UBN penakut untuk menyertai pilihan raya itu akan disenandungkan selamanya oleh Pakatan Rakyat. Tindakan Najib itu juga bukan lagi akan dianggap sebagai bijak tetapi menjelaskan ketakutan UBN yang tidak dapat diselindungkan lagi. [wm.kl. 10:30 pm 18/05/09]

No comments: