Monday, September 3, 2012

Syabas Kepada Pengibar Sang Saka Malaya

GALANG MENTARI

Polis tidak perlu meneruskan siasatan terhadap mereka yang mengibarkan bendera selain dari Jalur Gemilang pada sambutan ambang merdeka anjuran Ngo malam menjelang kemerdekaan dua tiga malam lalu. Ini kerana individu yang bertanggungjawab mengibarkan bendera puteh merah berlambangkan bulan sabit berbintang pecah 11 itu sudah mengakui kerja itu kerja mereka.

Bendera Sang Saka Malaya.
Seperti mana diakui individu berkenaan menerusi blognya, mereka membawa bendera bernama Sang Saka Malaya itu bukan atas suruhan atau idea mana-mana pihak termasuk parti pembangkang, tetapi ia adalah atas inisiatif mereka sendiri.

Kata individu berkenaan mereka berbuat begitu kerana mahu tonjolkan kebenaran dan sejarah yang telah ditenggelamkan oleh pihak tertentu.

Kata individu itu juga perbuatan itu bukan untuk menukar Jalur Gemilang kepada Sang Saka Malaya itu seperti mana dituduh ke atas mereka. Mereka membawa atau mencipta semula bendera itu bagi mengimbasi perjuangan menutut kemerdekaan ke atas negara ini yang dimulakan oleh Kesatuan Melayu Malaya (KMM) dibawah pimpinan Ibrahim Yaacob. Ibrahim dan rakan-rakan adalah mereka yang awal memperjuangkan kemerdekaan tahun 1938 bukannya pemimpin Umno kacukan kolonial.

Justeru kalau kita rasional dan tidak prejudis isu kibarkan bendera Sang Saka Malaya itu sudah selesai. Janganlah melihat sesuatu fenomena itu dari kaca mata gelap dan minda yang sempit. Selagi kita melihat sesuatu itu dengan kaca mata gelap mengikut nafsu dan ideologi politik kita maka selamanya sesuatu yang jernih itu tidak akan nampak akan kilauan sinarnya.

Syabas diucapkan kepada individu yang mengibar bendera berkenaan. Walaupun satu segi ia boleh dikecam kerana bertindak songsang namun keberanian mereka membongkarkan sejarah bendara itu yang juga ada kaitan dengan sejarah negara penting dan perlu disanjung.

Saya sendiri tidak mengetahui bahawa bendera asal negara kita sebelum merdeka bercorak demikian. Saya yakin juga ada dikalangan menteri sendiri butan akan hal ini termasuk Rais Yatim. Dari satu sumber memberi tahu bendera itu pertama kali dikibar oleh Dr Burhanuddin Al Helmi semasa satu kongres di New Delhi India. Apabila individu berkenaan mengibar bendera berkenaan ia mengajak kita menyelami sejarah negara.

Atas motif itu saya rasakan ia tidak menjadi kesalahan? Pengibaran itu jika dilihat dan direnung dari hati sejarah ia tidak merosakan apa yang ada hari ini sebaliknya akan menebalkan lagi kecintaan kepada negara.

Satu kunci kata yang kita dapat bahawa yang memperjuangkan kemerdekaan negara ini adalah orang Melayu bukannya Cina dan India atau lain-lain bangsa. Ia bukan juga Melayu Umno yang memperdagangkan prinsip untuk mendapat kemerdekaan yang dibentuk.

Apakah salah untuk kita menoleh ke belakang melihat sejarah negara kita? Bukankah pemimpin hari ini melaung-laungkan supaya rakyat negara ini ingat kepada sejarah dan menjadikan sejarah sebagai panduan?

Umno seperti hendak gila memberi tahu generasi baru ini bahawa negara ini adalah hak Melayu, Melayu menjadi tuan rumahnya. Nah... apabila ada individu atau anak muda yang celik dan bingkas mengenai sejarah kenapa harus disalahkan? Bukankah pejuang kemerdekaan menerusi KMM itu orang Melayu? Atau kerana mereka tidak kacukan British maka mereka tidak diterima dan dianggap sebagai penentang?

Sekali lagi diucapkan syabas kepada individu berkenaan. Selepas ini hendaknya banyak lagi monumen-monumen sejarah akan dicungkil dan diangkat ke pengetahuan rakyat. Di samping menonjolkan sejarah moden sejarah lama (klasik) perjuangan Melayu yang tinggi nilai sejarahnya juga perlu dibangkitkan sama.

Dalam melihat usaha ini 'kelih' lah dengan penuh rasional dan bukannya mereng kepada kepentingan parti politik masing-masing. Tidak ada guna perjuangan untuk menegakkan ideologi sendiri sehingga membelakangkan idealisme bangsa. [wm.kl.1:04 t/hari 03/09/12]

1 comment:

mc said...

patutnya umno setuju dgn bendera sang saka amalaya ni.. sbb mirip kepada bendera UMNO... bukan ke bendera UMNO pun namanya Sang Saka Bangsa (http://ms.wikipedia.org/wiki/Sang_Saka_Bangsa) .. tapi disebabkan oleh kepala hangin.. semua nya hendak dijadikan isu... tak matang.