Tuesday, December 8, 2015

Najib boleh pecat Muhyiddin daripada Umno

ANALISA

Majlis bersama Timbalan Presiden Umno yang menampilkan Muhyiddin Yassin dan Dr Mahathir Mohamad di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru malam tadi boleh disifatkan majlis pengistyharan perang oleh Muhyiddin - Mahathir terhadap Najib Razak. Walaupun majlis itu bertujuan baik untuk menyelamatkan Umno, tetapi hubungan mereka berdua dengan perdana menteri itu tidak dapat diselamatkan lagi.

Baik Muhyiddin dan Dr Mahathir tidak dapat menyokong Umno lagi selagi ianya dipimpin oleh Najib Razak. Usaha-usaha mereka yang membuat teguran secara baik kepada Najib gagal dan mengecewakan mereka sehingga terpaksa melancarkan perang terbuka.

Gesaan yang dibuat oleh Muhyiddin agar Najib berihat bagi membolehkan siasatan secara telus terhadap skandal 1MDB menjelaskan apa yang termaktub dalam hatinya. Muhyiddin sudah hilang sabar.


Tampaknya Muhyiddin tetap tiak berpuas hati dengan penjelasan diberikan Najib berhubung skandal berkenaan dan terus menggorengkan skandal itu sebagai sebab kenapa beliau bertentangan dengan Najib sehingga dipecat.

Kenyataan Muhyiddin itu diterasi lagi oleh kenyataan Dr Mahathir yang berucap selepas itu yang mengatakan Najib tidak layak untuk jadi perdana menteri. Ketidaklayakan Najib itu menurut bekas PM itu ekoran cara Najib mentadbir negara terutamanya apabila berlaku skandal berkenaan. Dua kenyataan daripada dua tokoh yang dilihat sepakat dalam menggerudikan Najib merupakan peristyharan perang.

Kedua mereka tidak ada opologetik lagi kepada kesalahan dilakukan Najib, melainkan Najib berhenti dari jawatan perdana menteri.

Muhyiddin juga menggesa perhimpunan agung Umno yang bermula esok akan digunakan untuk menekan Najib agar bercuti atau berundur. Hanya PAU sahaja yang dapat berbuat demikian. 3 juta ahli Umno berhak melakukan sesuatu bagi menjamin Umno utuh dan kekal menjadi peneraju kerajaan, katanya.  Muhyiddin tentu tahu kenapa hanya ahli akar umbi yang dapat berbuat begitu kerana pucuk teratas MT sudah bulat menyokong Najib.

Apakah gesaan itu akan dituruti atau ia satu gesaan sia-sia sahaja?

Alasan dan hujah yang diberikan Muhyiddin dan Dr Mahathir malam tadi kenapa Najib perlu berundur ialah demi masa depan Umno. Menurut mereka Umno boleh kalah dan hancur kalau ia terus dipimpin oleh Najib. Skandal 1MDB akan dijadikan isu untuk mengalahkan Umno. "Pembangkang tidak payah berkempen, cukup memakai baju tertulis "Mana 2.6 Billion," sahaja", kata Muhyiddin.

Dari persepktif Muhyiddin jawaban dan penjelasan mengenai skandal itu ternyata tidak memuaskan rakyat. Rakyat masih bertanya. Jawaban yang diberikan Zahid Hamidi bagi pihak Najib di parlimen, cukup tidak memuaskan malahan ia makin menimbulkan banyak persoalan. Keengganan Najib hadir dan menjawab sendiri, menyebabkan orang konfius dan tertanya-tanya apa yang berlaku. Sikap tidak berani Najib itu menunjukkan ada sesuatu yang disembunyikan.

Dr Mahathir juga masih bertanya ke aman wang RM2.6 billon itu. Kalau ianya wang milik Umno, apakah ia kini sudah berada dalam akaun Umno? Beliau sendiri meragui akan keberadaan wang itu. Cara Dr Mahathir menimbulkan seolah-olah wang itu disembunyikan oleh Najib dari pengetahuan ahli Umno. Jawaban mengatakan ia dideramkan oleh dermawan Arab tidak diterima Dr Mahathir. "Arab gila pun tidak akan bagi wang sebanyak itu," begitulah sinis bekas PM 22 tahun itu.

Himpunan malam tadi bukan dalam skla besar dan ia dihadiri oleh penyokong Muhyiddin dan Dr Mahathir sahaja. Diukur kepada jumlah ia jauh dari berjaya jika dibandingkan dengan gema dan talun yang berbunyi. Sepatutnya yang hadir melimpah ruah dan mereka juga datang dari berbagai pelusuk negeri. Tetapi nampaknya mereka yang hadir ialah kelompok sama yang menghadiri forum yang dihostkan Dr Mahathir ataupun yang menyambut kepulangan Mahathir dari luar negara.

Apakah ada halangan dan ugutan daripada menghadiri majlis itu? Barang kali ada, yakini takut kehilangan jawatan dan sumber pendapatan. Hal ini perlu dikira kerana menyertai Umno itu bukan lagi untuk mencari kebenaran dan keadilan tetapi demi membuncitkan perut.

Apa pun majlis malam tadi menyebabkan kedudukan Muhyiddin dalam Umno akan dikaji. Apakah Muhyiddin perlu terus berada dalam Umno menjadi duri dalam daging atau sampah dalam mata?

Apa yang berlaku malam tadi menyebabkan mungkin Umno (baca Najib dan Zahid Hamidi) akan mengambil tindakan lebih sadis dan drastik ke atas Muhyiddin. Majlis malam tadi akan dijadikan alasan bagi menjustifikasikan tindakan. Tindakan yang mungkin diambil mungkin Muhyiddin akan digantung keahlian serta merta bagi menghalang beliau hadir dalam PAU.

Melihat cara dan keberanian Muhyiddin terus membelasah Najib malam tadi, sekiranya beliau diberi ruang berucap dalam PAU, pasti hujan dan alasan itulah juga yang akan disampaikan. Muhyiddin sudah mula menyerlahkan dirinya sebenar sebagai seorang ahli politik yang berwibawa dan mula bertindak membela diri.

Terserah kepada Umno dan kita percaya para penasihat Najib sedang membuat analisa yang mendalam saat ini mengenai tindakan bakal dikenakan kepada Muhyiddin. Sekiranya Muhyiddin diambil tindakan, sudah pasti ia juga akan berjangkit kepada Dr Mahathir. Apa yang perlu difikirkan oleh Umno (baca Najib), jika tindakan dikenakan, apakah masalah itu akan "berborak" (merebak) atau pun tidak?

Dengan melihat suasana semalam, ia tidak akan memberi kesan besar kepada Najib dan Umno. Kalau kedua mereka dipecat Umno tidak akan berhadapan dengan perpecahan besar seperti sebelum ini, tahun 1987 dan tahun 1998.

Saya bersetuju dengan pendapat mengatakan, kapasiti Muhyiddin bukan sehebat Anwar Ibrahim walaupun dia juga adalah timbalan perdana menteri semasa dipecat. Kedudukan dan aura Muhyiddin jauh berbeza dengan Anwar. Penyokong Anwar dalam Umno ada di seluruh negara, berbeza dengan Muhyiddin yang hanya ada di Johor sahaja.

Sikap pesmis Muhyiddin kepada Anwar semasa bekas ketua Pembangkang itu menghadapi masalah, tidak memberi banyak keuntungan kepadanya. Mereka yang lebih bersimpati kepada Anwar tidak akan mencurahkan rasa simpati sama kepada Muhyiddin. Barang kali di sinilah kesilapan dan kerugian Muhyiddin semasa dia galak bersama Najib dahulu apa lagi ketika ghairah untuk menyingkirkan Abdullah Ahmad Badawi melupai langsung kepada kemalangan dialami Anwar.

Najib juga mungkin sudah membuat hepotesis dan perhitungan.  Perpecahan kecil dalam Umno itu yang mungkin akan berlaku kalau Muhyiddin dan Dr Mahathir dipecat, juga tidak begitu membimbangkannya. Sikap baharu Pas yang berlunak dengan Umno memberi sedikit kelegaaan kepadanya. Najib mungkin sudah mengira parti itu akan terkoyak dalam pilihan raya kelak kalau memecat Muhyiddin. Tetapi dia tahu koyakan itu tidak sampai merebak kerana Pas sudah ada yang akan bertindak menjadi gam pengemasnya. Haha...

Justeru kalau Najib hendak pecat Muhyiddin, tidak ada masalah. Pecatlah. Umno tidak akan lemah dan kalah seperti mana dibimbangi Muhyiddin itu. Apa lagi hakikatnya Muhyiddin bukan menjadi satu fenomena seperti mana yang pernah dilakari oleh Anwar Ibrahim. [wm.kl.12:07 pm 08/12/15]

No comments: