Thursday, December 10, 2015

Najib terus berdolak dalik, tidak berani bertanggungjawab

ULAS UCAPAN NAJIB

Najib 13 kali teguk air.
Lupa keadaan diri sekejap apabila mengikuti ucapan dasar Najib Razak dalam perhimpunan agung Umno ke-69 menerusi siaran langsung disiarkan televisyen. Dalam catatan saya Najib mengambil masa lebih satu jam dengan mengemukakan 184 point dalam ucapannya kali ini.

Sejak awal hingga akhir ucapan Najib itu walaupun sudah dibayangkan ia tidak banyak berbeza dengan ucapannya sebelum ini, tetapi ia ditunggu-tunggu kerana perkembangan Umno ketika ini.

Awal ucapan Najib kelihatan serius, tidak gelak seperti selalu dan berwajah sedikit suram. Kemendungan di wajahnya menampakkan bahawa PM itu tidak senang dengan apa yang berlaku kini. Di awal 15 minit pertama beliau cuba psywar perwakilan agar memberi fokus kepadanya dengan menaati kepada kepimpinannya dan juga beliau sendiri.

Body language Najib itu menjelaskan dia meragui kepada apa yang bakal diterimanya. Justeru pendekatan mempengaruhi emosi itu penting. Walaupun beliau cuba mempengeruhi perwakilan, tetapi tidak semua terikut dengan retaknya dan simpati dengan nasib dialaminya. Perwakilan dapat membuat ukuran mana yang betul dan mana yang tidak.

Berjiwa besar tetapi kunci Muhyiddin.
Bukan semua 2,600 perwakilan dalam dewan merdeka terbius dan maksyok dengan ucapan Najib.

Dalam ucapan kali ini Najib banyak menggunakan petikan ayat-ayat Quran dan juga kata-kata Hukama dan pujangga untuk menyelinapan pesan dan amanatnya kepada jiwa perwakilan. Ada juga petikkan tersalah fakta bila mana beliau menyebut Bapak Muhammad Nastsir sebagai bekas Perdana Menteri Indonesia?

Ertinya dia sendiri tidak yakin dengan ucapan dan idea secara harfiah daripadanya diyakini oleh perwakilan dan diterima oleh pemerhati. Maka dia terpaksa bersanad kepada pelbagai hujan dan fakta lain. Yang hendak ditekankan bahawa tindakannya terhadap Muhyiddin Yassin dan Shafei Afdal itu benar, dan dia berada di pihak yang benar.

Tidak cukup itu, ada pula pasukan sorak dan meng"enggih"kan beliau. Setiap hujung ucapannya ada bunyi tepukan dan sorakkan, tetapi tepukan itu jelas ianya diorkestra demikian rupa. Benar kata desas desus sebelum ini yang mengatakan Najib menyedia tukang sorak dan ampu dalam dewan bagi memberi semangat dan menggambarkan dia mendapat sokongan. Cara sorakan itu bernada menyinis kepada pihak lain. Najib boleh menyakinkan perwakilan dalam Dewan Merdeka tetapi tidak dengan rakyat di luar sana.

Sangat jelas penampilan Najib dalam perhimpunan kali ini tidak semeriah atau seseronok penampilan beberapa tahun lalu. Perhimpunan juga tidak kelihatan mesra seperti selalu melainkan dalam suasana tegang. Tv yang membuat lintas langsung juga tidak clouse up wajah-wajah perwamilan terhadap reaksi kepada ucapan Najib. Wajah Dr Mahathir Mohamad yang juga turut sama hadir sebagai pemerhati tidak terpampang sekali pun menerusi televisyen yang saya saksikan.

Kameranya hanya fokus kepada wajah Najib seratus peratus.

Berbalik kepada isi ucapan dasar Najib, masih tidak ada apa-apa yang menggugah perassan. Tidak ada apa-apa pembaharuan dari segi wawasan melainkan membawa dan membolak balik hal yang sama yang penuh retorik dan memualkan. Harapan orang ramai agar beliau membuat penjelasan berhubung skandal 1MDB dan penyanglopan dana RM2.6 billion, meleset. Perwakilan tidak berpuas hati dan orang ramai kecewa cara Najib menangani skandal tersebut.

Beliau mendakwa dia sudah pun menjelaskan mengenai skandal berkenaan, dan menyatakan yang pelan tindakan untuk memulih kerugian dalam 1MDB sedang dilakukan dan sudah menunjukkan pemulihan. Saya yakin bukan sahaja rakyat di luar meragui tetapi perwakilan juga tidak berpuas hati dengan penjelasan yang masih berdolak dalik. Sikap dolak daliknya dalam beberapa isu selama ini menjadi orang tidak percaya kepada kejujurannya.

Perwakilan yang sudah terpasak dan terpaku dengan persoalan ditimbulkan Muhyiddin dan Dr Mahathir tidak akan menerima penjelasan Najib itu bahkan mereka akan terus menganggap Najib berbohong dan tidak berani bercakap mengenai perkara itu. Sehubungan itu juga pendabitan dada Najib kononnya dia berani, berjiwa besar, hanya sebagai lagu pengulik tidur bayi sahaja.

Tentang wang dana RM2.6 billion, Najib juga telah mengelak diri dengan berdalih Zahid Hamidi sudah menjelaskan di parlimen. Dunia sudah tahu, apa isu dan sejauh mana konkritnya penjelasan Zahid di parlimen. Berselindung dengan penjelasan Zahid, dimana Zahid sendiri seorang pemimpin yang suka berbohong menjadikan, perlindungan Najib di sebalik Zahid itu bagaikan berlindung di balik daun pisang kering semata-mata.

Keredupan wajah Najib di awal berucap.
Mengenai isu 1MDB dan dana RM2.6 billion, orang berharap jawaban dan penjelasan lebih mantap dari itu, mengharapkan Najib bersikap lebih berani. Misalnya mengambil tindakan menyaman Wall Street Jorunal (WSJ) yang mendedahkan isu berkenaan.

Sebelum ini Najib begitu berani dan yakin untuk menyaman WSJ bagi membela dirinya, tetapi apa kesudahannya. Niat untuk saman itu entah hilang ke mana. Najib langsung tidak mengulas dan menjawab niat itu kepada perwakilan. Keterlupaan yang disengaja itu sudah tentu akan diterima perwakilan, Najib sebagai bersalah dan tidak pernah mahu bertanggungjawab.

Sepanjang berucap itu Najib telah meneguk air sebanyak 13 kali dan menyapu bueh dimulutnya 11 kali. Di hujung ucapan memakan masa selama 1 jam 23 minit, Najib mengambil peluang untuk menghentam dan menyinis Muhyiddin Yassin dan Dr Mohamad Mohamad serta mempamerkan akan kemurnian dirinya. Najib menggunakan Perlembagaan Umno Fasal 9, bagi menceritakan akan salah salaku Muhyiddin terhadapnya.

Najib tetap cuba menimbulkan kesalahan timbalannya sebagai tidak mengikut saluran dalam membuat kritikan kepada parti berhubung isu 1MDB dan dana RM2.6 billion. Sekali lagi Najib cuba membela diri dan menegakkan benang basah. Apakah Muhyiddin berbohong dengan kenyataan sebelum ini yang bekas TPM itu telah bertanya langsung kepada Najib mengenai hal itu. Begitu juga Shafei Afdal yang telah bertanya kepada Kabinet.

Perwakilan yang rasional dan tidak mudah disihir atau terbius oleh ubat bius dalam Dewan Merdeka tentu bingung dan keliru, saluran yang macam mana lagi yang betul seharus dilakukan Muhyiddin dan Shafei untuk membuat teguran. Apakah dengan mendiamkan perkara itu dan menerima salah lakukan Najib itu sebagai saluran betul?

Najib juga menjawab beberapa isu lain yang dikira menjadi sebutan rakyat, seperti GST, kejatuhan nilai ringgit yang parah sekarang ini dan TPPA. Beliau cuba merasionalikan isu-isu itu dengan kononnya kejayaan Malaysia, yang mampu berada di tempat ke 18 daripada 144 di kalangan negara sedang membangun lain. Begitu juga dengan kejayaan syarikat Malaysia yang mendapat kontrak bertaraf dunia, dicanangkan sebagai kejayaan pentadbirannya sebagai PM.

Justifikasi yang cuba ditunjukkan Najib itu tidak relevan. Dia juga anguh dan sombong apabila tidak satu pun kesalahan dan kelemahan yang dilakukan diakui dengan jujur dan jiwa tawaduk. Di sinlah kesilapan Najib dalam menampilkan kehebatannya untuk mendapat simpati sehingga dia terlupa bahawa dia seorang manusia yang lemah dan senantiasa berhadapan dengan kesilapan.

Aspek politik negara Najib tidak banyak disentuh, melainkan cuba menimbulkan keburukan parti pembangkang Cina DAP. Beliau mencela DAP akan menjadi kuasa pemusnah kepada Melayu dan Islam di negara ini kalau parti itu berjaya menjadi kerajaan. Beliau mendakwa DAP kini sedang menguasai parti pembangkang.

Disamping menuduh DAP, tanpa asas-asas yang konkrit melainkan bertolak daripada mitos dan bidaah, Najib memuji Pas dan mengistyharkan yang Pas tidak bersama pembangkang lagi, Satu sikap yang tidak pernah dilakukan sebelum ini. Katanya perubahan sikap Pas itu menyebabkan Umno telah menghulurkan salam silaturahim kepada parti agama itu. Pendedahan Najib itu secara tidak langsung mendedahkan apa yang sedang berlaku (proses) di antara Pas dengan Umno kini yang dinafikan oleh orang Pas peringkat bawahan.

Najib mengakhiri ucapannya dengan bertegas tidak akan tunduk kepada tekanan dan seruan agar beliau berundur atau berihat bagi membolehkan siasatan dijalankan ke atas beberapa skandal berkaitan dengannya. Najib mengulangi dia juga berjiwa besar dengan mengakui dia terguris hati dengan tindakan Mahathir dan Muhyiddin.

Meremangkan juga bulu roma apabila Najib memperakui akan hakikat itu, seimbas menunjukkan Najib memang berjiwa besar dan sedia memperakui kesilapan. Tetapi apabila dia tetap bertegas tidak akan berundur dan tidak mengaku salah, menggambarkan akan kedegilan dan kekerasan hati beliau sebagai pemimpin.

Sudah elok Najib mengakui dia terguris hati dengan Muhyiddin dan Mahathir, itulah sikap terus terang yang patut dihormati. Sekiranya pengakuan itu diselami dengan pengakuan dia memaafi Muhyiddin dan Mahathir atas keterlanjuan pemimpin itu dan menyeru kembali berada dalam saf memperkuatkan Umno, sudah tentu Najib akan dilihat pemimpin yang benar-benar berjiwa besar dan pemaaf.

Sayangnya kejiwaan dan kesempatan itu tidak diambil dan ini menjadikan Najib  dilihat sebagai pemimpin bangsawan yang angkuh dan sombong, dan tidak sedia untuk ditegur dan dikiritik walaupun kesilapannya fatal. [wm.kl.8:07 pm 10/12/15]

No comments: