Friday, July 19, 2024

Penggantungan Wan Fayshal pengajaran terbaik buat ahli parlimen

ULAS PARLIMEN

Wan Ahmad Fayshal antara MP muda
masa depan.
SIDANG parlimen ke 15 mesyuarat ke dua, minggu kedua yang berakhir semalam (18/7/24) merekodkan bagaimana ahli parlimen Machang (Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal) digantung dari menghadiri sidang parlimen selama enam bulan bermula semalam. 

Hukuman itu juga terpakai terhadapnya sebagai sebarang ahli jawatankuasa parlimen. Fayshal juga mencatat rekod sebagai ahli parlimen penggal ke 15 pertama digantung selama enam bulan.

Fayshal digantung setelah pengundian secara belah bahagi terhadap usul untuk menggantungnya dijalankan; dengan 110 menyokong, hanya 63 menentang manakala tiga berkecuali. 

Yang tidak mengundi mungkin wakil Pasir Gudang, (Hassan Karim) yang bersikap abnormal  sebagai ahli parlimen kerajaan membela Fayshal atas semangat kebebasan hak asasi manusia tanpa mengambil kira konvensyen parlimen. Mungkin ketika itu apa yang difikir Hassan dia berada dalam mahkamah bukan di parlimen?

Seramai 46 ahli parlimen tidak ada dalam dewan semasa pengundian dijalankan. Mungkin masih "sakit lengan kiri" apabila hampir semua wakil pembangkang kelihatan lengang berbalut lilitan kain putih. Yang pasti tiada ialah wakil Marang.

Usul menggantung Fayshal dibentang oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Azalina Othman Said. Intipati usul penggantungan itu berkaitan dengan pendedahan sepucut surat layang berhubung penjualan saham MAHB kepada syarikat ada kaitan dengan Israel yang dijadikan hujah dan bahan perbahasannya oleh Fayshal. 

"Yang Berhormat Tuan Wan Ahmad Fayshal bin Wan Ahmad Kamal Ahli Parlimen Machang telah memaklumkan kepada dewan berhubung surat layang tular dan didakwa mengandungi maklumat dalang sebenar di sebalik pengambilan Malaysia Airport Holding Berhad, bahawa Yang Berhomat Machang juga telah menamakan individu yang menjadi dalang dalam pengambilan alih MAHB adalah Shahazwan Harris yang merupakan pegawai KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja).

Justeru tegas Azalina, "Perbuatan MP Machang telah beri kesan buruk bukan sahaja individu yang didakwa, tetapi juga secara umum pegawai agensi kementerian yang teraniaya, bahawa dalam perbahasan tidak boleh menyebut kelakuan atau sifat siapa-siapa pegawai kerajaan selain kelakuan pada menjalankan urusannya sebagai pegawai kerajaan." 


Itulah intipati atau sebab musabab kenapa usul berkenaan dibawa. Fayshal selepas menularkan surat layang berkenaan tidak merasa bersalah sehingga Speaker (Tan Sri Johari Abdul) mengambil keputusan usul itu dikemukakan untuk dibahas. Mungkin kalau beliau buat ralat usul berkenaan tidak dibentangkan.
Pembentangan usul menggantung Fasyhsal meriuhkan sidang parlimen apabila mendapat reaksi negatif daripada wakil pembangkang. Mereka cuba menyakinkan Speaker agar menilai semula usul itu dari dibentangkan kerana ia menganiya wakil Machang. Mereka berpendapat usul penggantungan itu tidak adil kepada wakil Machang.
Wakil Beluran, (Ronald Kiandee) bertindak macam harimau kematian bini mengherdik Speaker sambil menuduh Speaker bermain politik. Secara personifikasi beliau meminta Speaker menanggalkan baju politik dalam parlimen, tundingan itu sesuatu mengaibkan.
Kritikan Ronald Kiandee itu diterima Speaker dengan rasa menghinanya apabila Johari bertegas mengatakan beliau tidak bermain politik, sebaliknya mengatakan apa dilakukan  Fasyhsal itu sudah melampau.
Katanya dia tidak jadi masalah kalau peribadinya dihina, diserang, tetapi jangan pegawai kerajaan kerana itu sudah melampau. Johari merujuk kepada suatu hantaran dalam Tiktok daripada Pengerusi PN yang menyeru agar dia dikecam dengan keputusannya sebagai speaker. Johari tidak dapat menerima seruan agar beliau dikecam itu yang ditafsir satu perbuatan yang berat.
Beberapa ahli parlimen kerajaan juga turut mengambil bahagian membahas usul berkenaan. Wakil Shah Alam, (Azli Yusof)  menyifatkan apa dilakukan Fasyhsal itu suatu pendustaan yang tidak boleh dimaafkan. Beliau kesal kenapa sebelum menular surat layang berkenaan Fasyhal tidak terlebih dahului melakukan tabayun (periksa) mengikut apa yang diajarkan agama.
Mendukacitakan.
Sesungguhnya kejadian semalam mendukacita kita selaku rakyat. Penggantungan itu merugikan rakyat walaupun mungkin parti politik di laur sana ada kesan dan labanya. Seperti diungkap Fayshal dengan penggantungan itu dia terlepas dari mengambil bahagian membahas Badjet 2025 yang akan dibentang Oktober nanti.
Tanpa peluang itu umum tidak dapat mendengar apa-apa pandangan atau cadangan daripada Fayshal untuk pembangunan negara. Sebagai seorang anak muda berpendidikan, ada knowledge serta professional tentu beliau ada idea untuk beri cadangan dan input-input untuk kemajuan negara.
Dalam dewan bukan semua 222 wakil rakyat berkualiti atau berilmu dan bersifat ulul albab. Hanya beberapa kerat sahaja yang ada pendidikan tinggi, pengetahuan dari bidang professional, atau yang membuat ulasan dan berhujah dengan fakta. Kebanyakannya bercakap secara "main angin" saja. Salah seorang dalam pengamatan untuk parlimen penggal ini yang berkualiti, Wan Fayshal dia adalah wakil rakyat muda yang berpotensi.
Melihat gaya dan kualiti perbahasannya, mematahkan hujah lawan, serta kerajinanya mengambil bahagian dia berkemampuan untuk pergi jauh dan popular.
Sudah betul kalau pengundi Machang mengangkat dia ke Parlimen melalui piraum lalu untuk menjadi juara bicara rakyat dengan memandangkan segala ilmu dan pendidikan yang dimilikinya. Melihat resume pendidikannya, menyakinkan bahawa dia mempunyai pengetahuan luas atau ada asas. Manakala pengalamannya sebelum ini sebagai Ketua Armada, kemudian menjadi ketua Pemuda Bersatu dan dilantik jadi Timalan Pemuda II PN, menjelaskan anak muda ini ada bakat. Semasa kerajaan sebelum ini dia pernah dilantik menjadi pegawai khas Menteri, kemudian dilantik menjadi timbalan menteri dua kali. Dari sini menyerlahkan akan kewibawaanya. 
Rugilah apabila beliau digantung.
Namun penggantungan Fasyhal itu kerana kesalahan dan kedegilan beliau juga. Sebagai anak muda dia sangat obses untuk perjuangkan negara sehingga terpaksa menggunakan hujah dan fakta yang salah. Inilah keterlajakkan beliau. Kegelojohan dan serangan tanpa bermata inilah yang merugikannya apabila beliau digantung. Sikapnya seperti sebelum selak sudah kencing, atau bertikam tanpa mencabut keris dari sarong sesuatu yang tidak bijak.
Apapun penggantungan itu diharap akan memberi pengajaran kepadanya di masa akan datang agar beliau lebih berhati-hati. Kata orang salah sekali untuk betul seribu kali. Wan Fasyhal boleh jadi seorang wakil rakyat muda berpotensi jika tidak terlalu mengikut sentimen dan kalau bersikap rasional. Beliau yang sudah dilengkapi dengan sedikit pengalaman sebagai ketua dan timbalan menteri, patut menjadi contoh kepada wakil rakyat muda yang lain, yang kadang-kadang bercakap langsung tidak ada nilai, dan ada juga yang berada dalam dewan hanya tukang dengar atau gelak gelak gila sambil mata meliar macam anak kera.
Apa dilakukan bekas ketua pemuda dan juga menteri Khairy Jamaluddin Abu Bakar, yang suatu masa dahulu diangan-angan akan jadi perdana menteri termuda, tetapi musnah ditengah jalan akibat terlalu ghairah dan terlalu percaya kepada intelektualiti diri tanpa langsung mempelajari seni politik Melayu. Apa jadi kepada KJ, akhirnya terpinggir dan terpaksa mencari populariti dengan jadi juruhebah radio. Nasib malang dialami KJ kerana terlalu sombong dan ego tanpa mahu mendengar itu patut dipelajari Fashyal.
Saya yakin Wan Ahmad Fayhsal boleh bangkit membetulkan diri dengan mewaraskan aksi-aksi politiknya. Bukan bermakna jadi pembangkang anda tidak dihormati, malahan anda akan terus dikagumi kalau hujah dan cara anda berhujah mantap dan berbobot, bila mana ia akan diberi perhatian boleh kerajaan.
Untuk pilihan raya akan datang saya berharap agar partinya memindahkannya ke parlimen Rantau Panjang kerana dia mempunyai ramai waris warahnya disana.  [wm.kl.1:01 pm 19/07/2024]

No comments: