Monday, November 17, 2008

Celoteh Murai 15

Si Munafik Berhentilah Bercakap

MURAI rasa sudah sampai masanya bagi semua orang Melayu khasnya orang Melayu dalam Umno berhenti daripada bercakap fasal rasuah baik dalam parti itu ataupun dalam kerajaan. Murai rasa perbuatan itu sia-sia dan buat menghabiskan air liur saja. Betapa eloknya kalau air liur itu digunakan untuk menyuburkan pokok sireh. Menurut nenak Murai kalau nak suburkan pohon sireh atau mahu daunnya hijau, petuanya lumurlah dengan air liur!

Kenapa Murai berkata begitu. Sebabnya tidak ada guna sesuku dinar Kelantan pun bercakap fasal rasuah. Zahirnya nampak orang bercakap fasal rasuah itu mereka tidak suka, benci dan jijik dengan rasuah. Tetapi dalam masa sama mereka juga jadi pengamalnya - (menerima dan memberi) nombor wahid.

Bagi Murai mereka yang bercakap fasal rasuah itu adalah mereka yang pura-pura, munafik atau hipokrit. Kenapa Murai kata begitu, kerana mereka sudah tahu parti yang mereka anggotai itu menjadi pelopor kerja busuk dan hanyir itu tetapi mereka masih betah dan terus duduk dalam parti itu.

Logik Murai senang saja. Kalau mereka benar-benar benci dan marah kepada perbuatan rasuah itu kenapa mereka masih tinggal dalam parti berkenaan. Kalau mereka benar benci kenapa mereka tidak tinggal? Kenapa tidak cari parit lain yang lebih bersih, telus dan menentang rasuah. Bukankah rasuah kini sudah diakui oleh semua orang termasuk dalam Umno sendiri.

Kerana itu bagi Murai mereka yang bersikap hipokrit itu mereka bukan menipu ahli tetapi menipu diri sendiri. Jadi mulai sekrang berhentilah bercakap fasal rasuah dan teruslah anggap rasuah itu satu kemanisan di dalam Umno. Elok kalau Umno mengadakan seminar atau pun konvensyen khas untuk menerima rasuah sebagai satu perbuatan halal dalam parti berkenaan.

Begitu juga perihal dengan orang yang bercakap fasal nak menguatkan Melayu, perkasakan Melayu... menyatukan Melayu. Murai setuju seratus peratus dengan nawaitu itu. Melayu perlu diperkuat dan diperkasakan. Tetapi sama dengan kes rasuah itu juga ianya satu cita-cita munafik yang menjadi retorik. Kenapa Murai kata begitu... kerana orang yang rata-rata bercakap untuk kepentingan Melayu itu adalah pengkhianat Melayu sendiri.

Mereka ini tiba-tiba bangun setelah mereka tidak lagi mempunyai kuasa. Selepas mereka terpinggir ke belakang. Waktu mereka mempunyai kuasa dulu mereka tidak pernah pun berfikir untuk memperkuatkan Melayu, memperkasakan Melayu ini, tetapi setelah kehilangan kuasa dan lemah baru termengah-mengah untuk membela Melayu. Maknanya mereka melakukan itu setelah mereka tiada kerja lain. Bukankah ini munafik namanya?


Bukan itu saja kalau disuluh dan ditengok dengan mikroskop satu persatu kepada individu yang cakap berderai nak membela Melayu hari ini, adalah mereka tidak memiliki sifat-sifat Melayu tulen; yang berakhlak, beradab, tahu menghormati orang, mengenang budi dan sebagaianya.

Mereka ini hanya pemakai pakaian tradisi Melayu saja, pakai songkok setinggi tujuh meter, seledang atau samping berbelas kali belit atau bercapar. Melayu tidak akan menjadi kuat kalau setakat hanya mengenakan eksesori-eksesori itu kalau tanpa jiwa dan hati tidak memilikih sifat-sifat Melayu jati yang Murai sebutkan itu.

Murai yakin orang-orang Melayu ini kalau diberi peluang mereka akan mengsia-siakan dan mengecewakan Melayu. Rekod perjuangan mereka ini boleh dibelek dan dibuka kemudian dibaca semua. Paling merimas dan menyebabkan Murai hilang kepercayaan kerana kesemua Melayu yang bercakap untuk Melayu itu adalah mereka yang terbenih dari politik sekular!

Lantaran itu bagi Murai, berhentiklah bercakap nak bela Melayu...nak kuat Melayu dan satu Melayu... berhentilah. Dah muak dah.... Percaya dan yakinlah Melayu tidak akan terbela ditangan mereka ini bahkan orang Melayu akan jadi makin keliru lagi apakah Melayu yang hendak dipertahankan apakah Melayu seperti mereka yang busuk, tidak berperinsip dan mencari makan di bawah ruang-ruang kekuasaan itu! Pada Murai Melayu sebeginilah yang harus dihapuskan dulu.

Murai: Hanya seekor unggas yang berbangsa Murai.

Dari Parlimen

Mariah Perlu Banyak Buat Homework

DI PARLIMEN sekejap tadi Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Mariah Mahmud (foto) telah mengemukakan pertanyaan berhubung dengan pengeksploitasian kaum wanita dalam iklan terutamanya di televisyen.

Apa yang beliau ingin tahu, apakah kerajaan tidak bercadang untuk mengadakan satu badan pemantau secara komprenhensif berhubung perkara itu.

Soalan Dr Mariah telah dijawab oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Chor Chee Heong. Antara lain menurut timbalan menteri itu pihak kerajaan sudah pun ada peraturan dan akta-akta tertentu bagi mengelakkan persoalan yang dibangkitkan oleh Mariah itu.

Solan itu saya mengira persoalan penting di sekitar wanita dan perlu diberikan tumpuan serius. Ia sangat penting dan sangat menarik untuk dibahaskan. Apa lagi sebelum Mariah meminta menteri menjawab beliau telah menghebahkan mengenai kehadiran sekumpulan Muslimat Pas ke Parlimen bagi memerhati sidang Dewan.

Saya kira isu itu akan menjadi hangat dan Mariah dan juga dua ahli Parlimen Pas lain akan mengambil bahagian membangkitkan isu itu dengan penuh bermakna dan sekaligus mempamerkan kehebatan mereka sebagai ahli Parlimen. Setidak-tidaknya perbahasan mereka dalam isu itu memberi semangat kepada pemerhati Muslimat itu.

Malangnya selepas mengemukakan satu solan tambahan yang mudah dipatahkan oleh timbalan menteri ia, persoalan mengenai isu itu pun berakhir. Selepas itu tidak ada soalan tambahan atau pencelahan daripada mana-mana wakil rakyat perempuan baik dari Pas, PKR atau DAP ntentangnya. Mungkin DAP tidak menyambung isu itu kerana bagi mereka pengeksploitasian itu tidak menjadi masalah bagi mereka.

Inilah yang saya sebutkan sebelum ini kalau ahli Parlimen tidak ada ilmu, kurang membuat homework dan tidak pandai mengambil kesempatan peluang yang terbuka akan berlalu begitu saja. Sebenarnya soalan yang dikemukakan oleh Mariah itu merupakan bola tanggung untuk dismash oleh wakil rakyat wanita.
Kerajaan boleh dikritik dan dihentam dengan isu berkenaan. Sudah lama kaum wanita yang dieksplotasikan untuk kepentingan golongan peniaga menerusi iklan baik di tv, surat khabar atau bilboard.

Dr Mahariah sendiri jadi mati kuku dan tidak melanjutkan persoalan menerusi soalan tambahannya. Sepatutnya semasa mengemukakan soalan tambahan beliau siap dengan angka dan bukti menunjukkan bagaimana iklan memangsakan wanita. Kesan ataupun implikasi kepada pengeksploitasian itu. Tetapi sayang tidak ada. Jadi isu itu dibangkitkan bagaikan melepaskan batuk di tangga saja.

Inilah yang saya perhatikan berbeza dengan penampilan Foong Po Kuan (DAP Batu Gajah) dan kawannya Chong Eng (Bukit Mertajam). Mereka sering kali berjaya meriuhkan Dewan dengan telatah dan lagak mereka. Mereka benar-benar menjadikan pihak kerajaan jadi pusing dan pening kepala. Ada-ada saja perkara yang mereka bangkitkan menyebabkan speaker terpaksa mententeramkan mereka.
Saya bukan mahu melihat Mariah atau mana-mana wakil rakyat perempuan Pas seperti Po Kuan menjerit-jerit, melolong-lolong macam disampuk polong. Itu tidak bagus. Tetapi apa yang saya mahu lihat ialah komtimen mereka kepada tugas dan tanggunjawab mereka. Mahu melihat bagaimana idea mereka dan kesungguhan memperjuangkan sesuatu isu mengenai wanita. Biarlah nampak serius.

Mereka dihantar ke Parlimen adalah untuk memperjuangkan isu-isu mengenai wanita. Itu yang mereka perlu tumpukan. Yang lebih penting pastikan isu yang dibangkitkan itu menemui jalan penyelesaian. Kalau sekadar ingin mendapat penjelasan pihak kerajaan tetapi ia tidak berubah tidak ada guna juga.

Di sinilah maslahanya kalau seseorang itu tidak kreatif, bijaksana mengambil kesempatan dan apa lagi kalau tidak menyediakan kepala dan minda dengan persoalan dan hujah-hujah konkrit dalam memperjuangkan sesuatu isu. Jadilah apa yang dilontarkan itu seperti kapal terbang kertas, melayang tetapi tidak naik menuju langit! [wm.kl 11:00 am 17/11/08]

Sunday, November 16, 2008

Dirgahayu Tok Guru Bhg 1

Rencana Khas Sempena 18 Tahun Nik Abdul Aziz Jadi MB
Sejarah dan Kehebatan Seorang Agamawan

OKTOBER lepas genap 18 tahun Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, 77 menjadi Menteri Besar Kelantan. Usianya ketika beliau mengangkat sumpah sebagai MB 59 tahun. Beliau dilantik menjadi MB Kelantan pada 21 Oktober apabila PAS berjaya menumbangkan kerajaan BN pimpinan Muhammad Yaacob pada pilihan raya umum ke - 8. PAS yang bergabung dengan Parti Melayu Semangat 46, Hamim dan Berjasa membentuk Angkatan Perpaduan Ummah (APU) menyapu bersih kesemua 39 kerusi DUN dan 13 Parlimen.

Kedudukan kerusi mengikut parti ialah, kerusi DUN, PAS 24, Parti Melayu Semangat 46 13, masing-masing satu Hamim dan satu Berjasa. Manakala untuk kerusi Parlimen, PAS, 6 kerusi dan Semangat 46, 7 kerusi.

Perlantikan itu sesuai dengan kedudukannya sebagai Pesuruhjaya Pas negeri Kelantan. Nik Abdul Aziz mengambil alih jawatan itu pada tahun 1978 daripada Allahyarham Datuk Mohd Asri Muda yang melepaskan jawatan berkenaan dalam keadaan terdesak. Beliau menguasai parti sepenuhnya pada tahun 1982. Dengan kedudukan itu beliau mengemudikan PAS Kelantan.

Perlantikan Nik Aziz itu melakar sejarah buat dirinya sendiri, kepada PAS dan rakyat negeri Kelantan seluruhnya kerana beliaulah satu-satunya Menteri Besar yang berlatar belakangkan pendidikan agama bergelar ustaz. Beliau mendapat pendidikan peringkat tertinggi di Darul Ulum Deobond India dan Azhar Mesir dengan memperolehi ijazah dan master dalam bidang Bahasa Arab dan Perundangan Islam.

Perlantikan Nik Aziz itu merupakan Menteri Besar Kelantan yang ke-7 dan yang pertama dari kalangan agamawan atau berpendidikan agama yang mampan. Menteri Besar Kelantan pertama ialah Tengku Hamzah Zainal Abidin, (1947- 1953) kedua, Nik Ahmad Kamil, (1953- 1958), kedua mereka merupakan Menteri Besar sebelum Merdeka dan dari Perikatan.

Menteri Besar ketiga ialah Ishak Lotfi Omar (1959 – 1964), keempat, Mohd Asri Muda (1964 – 1974), kelima, Muhammad Nasir (1974 – 1978), manakala keenam Muhammad Yaacob (1978 – 1990). Keenam-enam MB ini berlatar belakangkan sekular dan tidak bergelar ustaz.

Jika dibandingkan dari segi jangkamasa (tempoh) ternyata Nik Abdul Aziz mengatasi ke semua bekas MB itu. Keenam MB tersebut berkhidmat tidak sampai tiga penggal atau mencecah lebih sepuluh tahun. Mungkin rekod yang dimiliki Nik Abdul Aziz kini sukar untuk dipecahkan oleh sesiapa saja menjadi MB Kelantan selepas ini.

Perkhidmatan Nik Abdul Aziz kini sudah memasuki tahun ke 19 dan jika beliau berhajat untuk meneruskan perkhidmatannya sehingga pilihan raya akan datang beliau mungkin akan menyamai rekod perkhidmatan Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun.

Sekiranya beliau akan mengundur diri menjelang pilihan raya ke -13 yang dijangka pada 2011 atau 2012 bermakna beliau akan menjadi MB selama lebih tiga dekad dan akan menjadi MB kedua yang lama berkhidmat selepas Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang kini sudah berkhidmat selama 27 tahun.

Dalam pada itu kemunculan Nik Abdul Aziz menjadi MB ia juga secara tidak langsung memartabatkan golongan agamawan dan ulama. Kapasiti beliau sebagai ustaz yang kemudian dinobatkan dengan panggilan “tok guru” menjawat jawatan itu secara tidak langsung menaikan martabat dan darjat golongan agama di mata masyarakat.

Apa lagi kejayaan dan keberkesanan kepimpinan dan pentadbirannya membuktikan bahawa golongan agama – berpendidikan Islam, berbudaya jubah dan serban juga mampu mentadbir dengan baik. Sesungguhnya golongan agamawan tumpang merasa bangga atas kejayaan dicapai Nik Abdul Aziz.

Justeru kedudukan ataupun pandangan seorang kepada golongan ulama sebelum ini sudah berubah. Dengan kejayaan dan sejarah dicatat Nik Abdul Aziz, ulama sudah dilihat sebagai golongan yang mampu untuk menjadi pemimpin ataupun duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan golongan sekular dan profesional duniawi yang memonopoli jawatan dalam politik.

Tanpa disedari kedudukan dan kejayaan Nik Abdul Aziz juga telah menyuntik semangat kepada golongan Islam tradisional untuk menjadi lebih yakinkan diri sendiri dan bersaing sama dengan golongan sekular yang sering mengakui mereka lebih layak dan pakar mentadbir.

Dalam konteks ini kejayaan Nik Abdul Aziz itu bolehlah dianggap MB itu adalah tokoh pencerahan semula era ulama dan Islam yang sekaligus merungkaikan ikatan rasa rendah diri dan inferiority compleex dari kalangan lulusan agama.

Rahsia kejayaan dan keutuhan pengaruh.

Kejayaan dan ketahanan Nik Abdul Aziz menduduki kerusi itu tanpa pergolakan ialah hasil gabungan dua unsur; personalitinya dan polisi dan dasar Islam yang dibawanya. Nik Abdul Aziz tidak hipokrit dengan Islam dan tegas serta mengemukakan pendekatan Islam dengan mudah (bukan paksaan) yang dicerminkan menerusi akhlaknya sendiri. Beliau seorang hamba yang muslim dan pratikal, pemimpin yang mutaqim.

Kehidupannya yang zuhud, bersifat tawaduk, merendah diri dan tidak bertukar bulu selepas menjawat jawatan MB, menyebabkan rakyat teruja dan terpesona serta melihat beliaulah pemimpin yang memimpin dengan akhlak dan bukan dengan slogan. Yang bersedia mengkesampingkan kepentingan diri dan taqwa kepada Allah.

Ini sesuai dengan fitrah Islam dan juga apa yang ditunjuki oleh Junjungan Agung Nabi Muhammad s.a.w. yang menawan dan menakluki musuh dengan akhlak dan bukan harta benda, kehebatan, kuasa dan keegoaan dengan duniawinya.
Sebaik beliau menjadi MB beliau terus memperkenalkan beberapa polisi dan pendekatan baru ala beliau – stail Nik Abdul Aziz. Beliau merubah secara perlahan-lahan sehingga mereka yang tidak fokus kepada pentadbirannya tidak akan merasai perubahan demi perubahan yang dilakukan oleh beliau secara evolusi yang mengesankan.

Perubahan itu bermula dari bawah; dari perkara sekecil-kecilnya seperti amalan tidak membazir eletrik dengan menutup suiz lampu sewaktu rihat sehinggalah kepada melarang pemberian hadiah atau cenderamata dan seterusnya kepada penghapusan judi dan maksiat dan pemansuhan pemberian kawasan balak secara tertutup.

Dalam menerapkan stail pemerintahannya, Nik Abdul Aziz seorang yang bijak dan bangkit (responsif) kepada suasana semasa. Tindakannya juga halus dan bersahaja menyebabkan masyarakat tidak ditimpa satu kejutan budaya yang dibawa itu kandatipun sesetengahnya agak baru dan kontras dengan nilai semasa. Ini berlaku kerana sebelum beliau menerapkan sesuatu pendekatan baru kepada diri orang lain, baik rakan politik atau kerajaan beliau terlebih dahulu mengamalkannya untuk menjadi teladan kepada umum.

Mengingati kepada tindakan atau kaedah Nik Abdul Aziz ini samalah dengan apa yang diperlakukan oleh Rasulullah s.a.w. sewaktu baginda ingin menyuruh para sahabat mencukur rambut sebagai meraikan kejayaan termaterainya perjanjian Hudaibiyah. Rasulullah tidak menyuruh sahabat berbuat demikian sebaliknya beliau terlebih dahulu membotakkan kepalanya sehingga ianya kemudian diikuti oleh semua sahabat.

Antara perubahan awal yang dilakukan Nik Abdul Aziz pada tahun-tahun awal beliau menjadi MB ialah;

i. Tidak menerima sebarang pemberian hadiah atau cenderamata sewaktu mengadakan lawatan. ii. Tidak membeli kereta rasmi yang baru dan terus gunakan yang telah sedia ada.
iii .Memotong elaun MB sebanyan 45 peratus iaitu 40 peratus untuk kerajaan dan 5 peratus untuk parti.iv. Menghapuskan elaun berbuka puasa sebanyak RM15,000 setahun.
v. Menghapuskan elaun hari raya sebanyak RM30,000.
vi. Menjimatkan elaun keraian kedua timbalan MB sebanyak RM18,000.

Manakala mengenai polisi dan dasar kerajaan untuk menjamin keadaan sosial yang harmoni dan menepati kehendak agama tindakan hapuskan judi dan maksiat dilakukan dengan segera. Sebulan selepas menjadi MB, beliau mengumumkan bahawa perjudian toto, loteri dan nombor ekor dan apa juga bentuk perjudian dan maksiat diharam.

Selain itu beliau juga merombak tradisi sebelum ini dengan melantik bukan Islam / Melayu dalam PBT dan mengundang bukan Islam menghadiri majlis anjuran kerajaan atau parti. Cara ini adalah dakwah secara tidak langsung kepada bukan Islam untuk melihat keindahan, keadilan dan kesyumulan Islam.

Tindakan ini kecil dan bukan memerlukan proposal yang berjela-jela namun ia memberi impak besar dan menyebabkan orang melihat perubahan besar dalam pentadbiran. Dengan pendekatan itu juga menyebabkan masyarakat Kelantan dan diluar mengenali diri dan akhlak Nik Abdul Aziz. Pemotongan elaun keraian, hari raya, pengharaman judi, maksiat, arak dan sebagainya tidak dibuat oleh mana-mana MB tetapi dilakukan oleh beliau.

Sudah pasti dengan teladan itu menyebabkan ia memberi kesedaran atau menjadikan orang lain malu untuk berlebih-lebih dalam soal itu. Hasil dari tindakan itu hasratnya untuk membawa kebaikan kepada rakyat ternyata tercapai. Jika diperhatikan tindakan beliau berhikmah dan mempunyai mesej agar ia menjadi ikutan orang lain.

Adilnya Nik Abdul Aziz sebelum beliau melakukan perubahan ke atas diri orang lain beliau terlebih dahulu mengubah dirinya sendiri. Perubahan di luar dilakukan ke atas pemimpin Pas atau wakil rakyat kemudaian kepada kakitangan Kerajaan yang seterusnya akan terlaksanakan dalam komuniti.

Tarbiayah ke dalaman diusahakan. Pembentukan modal insan ataupun pembangunan insan telah lama diterapkan beliau malahan menjadi keutamaanya. Seperti mengadakan tazkirah di pejabat, majlis tadarus Quran di jabatan-jabatan atau agensi kerajaan, progam Ihya Ramadhan, sembahyang Terawih di lapangan terbuka dan sebagainya adalah program membersih dan menyucikan jiwa.

Nik Abdul Aziz seorang yang berkeyakinan kepada falsafah kebersihan perbuatan seseorang itu bermula dari jiwa yang bersih.

Dalam usaha untuk mengukuhkan kedudukan dan hubungan beliau sebagai pemimpin politik dan selaku MB dengan rakyat beliau senantiasa turun ke bawah. Lawatan demi lawatan bukan saja dalam waktu rasmi pejabat tetapi di luar pejabat. Jika dihitung waktu beliau berada di luar rumah (berjuang) lebih banyak daripada waktu di rumah. Hakikat ini jelas apabila setiap kali beliau keuzuran, demam, sakit dan sebagainya beliau merungut atau terkilan kerana tidak dapat memenuhi tanggungjawabnya sebagai seorang hamba.

Sikap ini menjelaskan beliau seorang yang konsisten kepada tugas dan tanggungjawabnya. Beliau juga jarang sekali mengambil cuti untuk berihat dan menggunakan peruntukan untuk melancung ke luar negeri. Kalau pun beliau mengambil cuti hanya untuk menunaikan umrah.

Beliau seorang juga tidak suka kepada protokol. Tidak ada protokol untuk menemuinya melainkan protokol itu ditetapkan oleh para pegawainya atas tujuan tertentu atau sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

Kerana itu pintu pejabatnya terbuka seperti mana terbukanya pintu rumahnya. Dan pintu rumahnya pula terbuka seperti mana terbukanya pintu suraunya yang berdepetan (berhampiran) dengan rumahnya. Datanglah pada bila-bila masa beliau akan memberi ruang dan kesempatan menemui sesiapa saja atas apa juga tujuan. Ada kalanya mereka yang ke pejabat bukan saja untuk urusan kerajaan dan parti tetapi urusan peribadi seperti untuk mengambil air tawar (air doa) daripadanya.

Itulah antara rahsia ataupun fatwa mengapa beliau disenangi, pengaruhnya terus hijau melebar dan sekaligus dapat bertahan sehingga kini sebagai MB Kelantan.[d' kota kl 2:00 am 16/11/08]

Saturday, November 15, 2008

Panahan Rasa

Harapan Mahathir, Najib Hapus Rasuah Tidak Mungkin Tercapai!

WALAUPUN sudah lagi tidak menjadi ahli Umno namun Mahathir Mohamad terus bercakap, berusaha dan membentangkan formula bagaimana untuk menyelamatkan keadaan parti Melayu itu yang sedang menuju kehancuran kini. Mungkin juga tindakan Mahathir keluar Umno itu sebagai sebahagian usaha dan formula untuk memperkuatkan Umno?

Terbaru Mahathir membayangkan kebimbangan beliau kepada Umno ekoran berleluasanya gejala rasuah dalam parti berkenaan. Beliau menasihati Mohd Najib Razak yang bakal menerajui Umno Mac depan agar berusaha untuk menghapuskan rasuah.

Menurut bekas PM itu kalau Najib gagal hapuskan rasuah ia menyebabkan Umno akan kalah dalam pilihan raya umum akan datang. Mahathir masih percaya rasuah boleh dihapuskan dengan syarat Najib dan pasukannya berusaha. Mereka yang tidak rasuah perlu ditonjol dan diberikan peranan penting dalam parti tersebut, barang kali termasuklah anaknya, Mukhriz Mahathir.

Apakah Mahathir bermimpi atau baru tersedar dari tidur dan masih belum berkumur! Ataupun beliau telah 'mumai' mengenai Umno. Siapa lagi dalam Umno hari ini yang tidak rasuah, mengamal dan menerima rasuah? Masih adakan orang-orang yang baik dalam Umno yang tidak terlibat dengan rasuah? Kalau mereka yang mengaji di Mesir atau Arab, bergelar ustaz atau lepasan Universiti Islam Antarabangsa (dalam Umno) pun terlibat dengan rasuah apa lagi diharap kepada mereka yang skolar?

Hari ini semua orang memperkatakan mengenai rasuah dalam Umno. Ahli Umno sendiri temasuk pemimpin dari peringkat cawangan, bahagian sehingga ke Majlis Tertinggi (MT) bercakap dan merintih fasal rasuah. Malah bekas Presidennya juga berbicara mengenai rasuah.

Itu semua menunjukkan dan menjadi tanda-tanda jelas bahawa Umno sudah larut dalam rasuah. Rasuah sudah sebati dengan Umno. Dan gejala dan jenayah rasuah bukan perkara menjijikkan lagi dalam Umno tetapi sesuatu yang membanggakan dan kesuburannya disenangi.

Tahukah Mahathir bahawa ahli Umno, baik yang memberi dan menerima rasuah mereka senang dengan rasuah. Mereka bercakap di mana-mana sahaja. Mereka bangga menceritakan berapa yang mereka terima dan berapa yang mereka habis sewaktu pemilihan dulu.

Dalam keadaan sudah melarut dan sebati begitu Umno sudah tidak akan pulih lagi dari rasuah. Rasuah akan dikaitkan selamnya dengan Umno bahkan keduanya sudah senonim, bila sebut Umno ingat rasuah, sebut rasuah ingatlah Umno.

Mohd Najib atau sesiapa sahaja yang menerajui Umno hatta jika Mahathir sendiri diberi peluang memimpin Umno semula beliau tidak dapat membawa Umno keluar dari pelukan rasuah. Rasuah begitu intim dan kental membelit Umno. Rasuah dalam Umno sepertilah penyakit darah tinggi dan kencing manis yang tidak ada penawar untuk menghapusnya cuma kalaupun mampu membatasinya sekadar memperlahankan momentumnya saja.

Sekiranya Umno besih dari rasuah saya yakin ahli-ahli Umno yang ada kini semuanya akan meninggalkan Umno dan mereka akan mencari parti yang mengamalkan rasuah. Sebab mereka tegak dan berdiri dalam Umno kerana rasuah. Rasuahlah yang menahankan mereka dalam Umno dan rasuahlah yang mengeraskan semangat mereka mendokong parti berusia 62 tahun itu.

Sudah ada persepsi di dalam minda ahli Umno mereka tidak akan hidup mewah kalau tidak bersedia melakukan rasuah. Rasuah seolah-olah satu mekanisme halal bagi mereka untuk menambah pendapatan. Dan rasuah satu budaya yang dianggap sama dengan amalan yang dikelaskan sebagai satu pemberian ikhlas berupa sedekah ataupun untuk membantu ahli.
Apa membimbangkan rasuah yang berlaku sekarang ini bukan saja dalam konteks untuk memenangi jawatan dalam parti itu di semua peringkat, tetapi terheret ke dalam sistem pemerintah (kerajaan) yang diterajui Umno.

Dalam apa juga agensi, jabatan, syarikat dan sebagainya milik atau ada kaitan dengan kerajaan semuanya turut terlibat dan terpalit dengan rasuah. Seolah kalau tidak berlaku rasuah ia bukan lagi menjadi badan atau entiti ada kaitan dengan kerajaan. Budaya rasuah dalam kerajaan adalah diinjek oleh Umno.
Bukti paling jelas menunjukkan rasuah sudah bermaharajalela apabila diwujudkan Institiut Integriti yang khusus untuk menangani perbuatan dan salahlaku rasuah. Secara mudah kalau rasuah tidak kronik institusi itu tidak perlu wujud dan perlu diwujudkan. Adanya pagar bukan kerana bimbang pencuri akan menceroboh tetapi sudah ada pencuri!

Lihat juga kepada laporan dan kes-kes membabitkan rasuah di mahkamah. Daripada sekecil penerima; polis trafik sebanyak RM10 hinggalah kepada pegawai kerajan dan ahli politik menerima atau melakukan rasuah bernilai ratusan juta ringgit. Apa yang dilaporkan itu hanya kes-kes yang diketahui manakala masih banyak lagi kes yang terlepas dari pandangan umum.

Berbalik kepada impian dan kebimbangan Mahathir tadi, saya tidak yakin kalau Najib Razak akan dapat menghapuskan rasuah dalam Umno dan juga dalam kerajaan kalau pun beliau tertakdir menjadi PM. Kes membabitkan komisyen pembelian kapal selam dan kapal perang melibatkan lebih RM500 juta ringgit walaupun dinafikan oleh Ketua Setiasuaha Kementerian Petahanan namun pesepsi orang kepada bakal PM itu semakin menebal.
Demikian juga dengan sikap dan perangai isterinya, Rosmah Mansor yang sukar bebelanja besar dan orang yang mengelilingi Najib yang hidup mewah melebihi daripada pendapatan sebenar ia turut memberi tanggapan bahawa ada usur-unsur rasuah wujud di hadapan dan di belakang bakal Perdana Menteri ke- 6 itu.
Apakah Najib bersedia untuk melarikan diri daripada orang-orang ini sedang mereka inilah menjaga dan memastikan pengaruh Najib melebas dalam Umno? Tidak mungkin!

Justeru harapan dan kebimbangan Mahathir itu saya rasakan ia tidak lebih selain daripada luahan perasaan beliau untuk menghalau kepuasan saja di kala beliau bersendiri! Kerana untuk berbuat dengan menghisap rokok, beliau bukan seorang perokok! [wm.kl. 1:15 pm 15/11/08]

Friday, November 14, 2008

Titik Rasa

Dua Keputusan Yang Tidak Mengejutkan

DUNIA kehakiman atau perundangan negara ini mencatat dua peristiwa yang agak kontras di antara satu sama lain dengan kehendak umum hari ini. Bagaimana pun keputusan dan tindakan itu sudah pun dibayangkan ia akan jadi begitu.

Peristiwa pertama ialah pihak pendakwa telah mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang menolak permohonan pendakwa yang mahu meminda perbicaraan kes melibatkan tuduhan liwat ke atas Anwar Ibrahim ke Mahkamah Tinggi.

Pada Jumaat lepas Hakim Komathy Suppiah telah menolak permohonan pihak pendakwa dan telah pun menetapkan hari ini, 14 November sebagai sebutan semula kes berkenaan.

Bagaimana pun Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Mohd Yusof Zainal Abiden telah menfailkan rayuan berhubung keputusan itu menyebabkan perbicaraan terpaksa ditangguhkan. Hakim Komathy akan menetapkan semula perkembangan bersabit kes itu selepas rayuan itu didengar.

Rayuan itu mungkin tidak mengejutkan Anwar dan penyokong kerana mereka sudah menjangkakan. Banyak keanihan dan keganjilan prosiding dalam sepanjang kes melibatkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Peristiwa kedua yang berlaku dan dianggap kontras dengan pengharapan umum itu ialah pihak pendakwa tidak mengemukakan rayuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membebaskan rakan Mohd Najib Razak, Abul Razak Baginda daripada tuduhan bersubahat membunuh Altantuya Shaariibuu.

Timbalan Pendakwa Raya, Tun Majid Tun Hamzah menjelaskan pihaknya tidak mengemukakan rayuan ke atas pembebasan dan perlepasan ke atas Razak itu. Tempoh rayuan selama 14 hari berakhir hari ini.

Paa 31 Oktober lepas Mahkamah Tinggi Shah Alam telah membebas dan melepaskan Abdul Razak daripada tuduhan itu. Alasannya kerana pihak pendakwa gagal mengemukakan bukti melampau bagi memanggilkan Razak membela diri. Bagaimana dua yang tertuduh utama, Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar, keduanya dari Unit Tindakan Khas (UTK) Polis di Raja Malaysia dipanggil membela diri.

Itulah dua peristiwa yang berlaku dalam sistem kehakiman atau undang-undang negara kita hari ini. Ia kebetulan melibatkan ke atas dua orang individu yang terkenal dan menjadi sorotan umum sejak beberapa tahun lalu.

Anwar ialah bekas TPM dan sedang berusaha untuk menjadi PM, manakala Razak Baginda pula seorang penganalisa politik yang dikaitkan sebagai penasihat politik kepada Mohd Najib Razak yang juga sedang menanti untuk menjadi PM.

Sudah pasti keputusan dan tindakan pihak pendakwa yang diketuai oleh Abdul Ghani Patail itu akan menjadi sejarah dan sebutan di masa akan datang. [wm.kl. 9:15 pm 14/11/08]

Sebelum Jumaat

Teruja Dengan Kehebatan Fong Po Kuan

KEBERANIAN, kreativiti dan bijak mengambil kesempatan, itulah ciri-ciri ataupun asas penting untuk seseorang ahli Parlimen muncul sebagai anggota dewan yang popular dan menjadi perhatian umum. Jika dilihat kepada nama-nama ahli Parlimen yang sedang dicatat atau sudah dirakam sejarah mengapa nama mereka meniti dari bibir ke bibir ialah kerana mereka memiliki ciri-ciri berkenaan.

Sudah pasti ahli Parlimen yang kurang atau tandus dengan ciri-ciri berkenaan tidak akan memberi faedah kepada rakyat yang diwakilinya dan kehadirannya ke Parlimen hanya sebagai pemungut elaun bulan saja. Ahli Parlimen begitu juga boleh dianggap sebagai tunggul dan mengsia-siakan pilihan rakyat ke atas mereka.

Perhatikan kepada kebolehan Lim Kit Siang, Karpal Singh, Mohamad Azmi Ali atau Ibrahim Ali atau bekas-bekas wakil rakyat seperti Prof Zulkifli Muhammad, Abdul Samad Gol Ahmad Mianji, Mohd Asri, Husam Musa dan lain-lain, nama-nama ini menjadi sebutan dan kemunculan mereka dinanti-nantikan pada setiap sidang dewan. Orang mahu tenguk apakah idea ataupun isu yang bakal dibangkitkan.

Kadang-kadang disebabkan kerana kerajinan dan kesungguhan mereka sampai mereka dibenci dan dicemburui apabila penampilan mereka terlalu kerap sehingga tidak membuka ruang kepada ahli lain.

Dalam memerhati dan menilai wakil rakyat (anggota Parlimen) baru ini saya tertarik dengan semangat dan kesungguhan yang ditunjuk oleh ahli Parlimen Batu Gajah, Fong Po Kuan daripada DAP.

Memang ahli Parlimen bertubuh kecil dan cute ini tidak asing lagi. Beliau telah berjaya meletakkan dirinya sebagai ahli Parlimen yang popular, serius dan komited dengan tugas dan tanggungjawabnya.

Kehadiran Po Kuan benar-benar dirasai dan kerana itu apabila beliau merajuk untuk tidak bertanding dalam pilihan raya lalu ramai yang memujuk dan menasihatinya agar menarik balik rajukan politik itu. Jarang berlaku apabila seorang ahli politik wanita muda merajuk ada orang membujuknya.

Po Kuan sering kali bangkit menimbulkan atau bertanya apa-apa saja yang difikirannya wajar dan memenuhi tuntutan perjuangan partinya. Beliau tidak menghadiri dewan sekadar untuk menanda buku kedatangan bagi mendapat elaun mesyuarat kemudian bersembang di cafeteria.

Wakil rakyat ini juga mempunyai iltizam yang tinggi kepada perjuanganya partinya, namun beliau tidak mengkesampingkan isu-isu sosial yang melibatkan kepentingan semua kaum.

Khamis lepas Parlimen menjadi pasar ikan gara-gara Po Kuan bangkit dan menjerit mempertikaikan tindakan Kementerian Pengajian Tinggi yang menghentikan kontrak Rafiah Salim sebagai Naib Censelor Universiti Malaya. Po Kuan menyifatkan tindakan itu sebagai mendiskriminasi kaum wanita.

Po Kuan berhujah dan melahirkan rasa tidak puas hati dengan Kementerian itu kerana membelakangkan kaum wanita. Menurutnya tidak sepatutnya kontrak Rafidah ditamatkan dan ia sepatut diteruskan sebagai menghormat dan mengenang wanita.

Menurut Po Kuan kini hanya tinggal seorang saja wanita menjawat jawatan itu iaini Naib Censelor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) manakala 17 universiti lagi dikuasi oleh kaum lelaki.

Kelam kabut juga timbalan menteri berkenaan untuk melayan dan menepis hujah yang dibangkitkan oleh Po Kuan.

Saya jadi sedikit tergugah dan teruja dengan sikap dan komitmen Po Kuan dalam mempertahankan kepentingan kaum sejenisnya itu. Walaupun Rafiah itu bukan kaum Cina, tetapi Po Kuan mempertahankan dan membelanya atas semangat kewanitaan. Tidak ramai ahli Parlimen yang menyertai Po Kuan mempertikaikan tindakan itu, kecualinya rakannya, Chong Eng, ahli Parlimen Bukit Mertajam juga dari DAP.

Jika dikira dari segi ras dan kepentingan sepatutnya nasib malang yang diterima Rafiah itu dibela oleh ahli Parlimen Melayu. Tetapi nampaknya seorang pun ahli Parlimen Melayu tidak bangkit membelanya. Bukan saja dari BN/Umno tetapi daripada Pas juga.

Dua orang ahli Parlimen Pas yang bertaraf menteri, (bercita-cita untuk jadi menteri), Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali (Titiwangsa) dan Dr Mariah Mahmod (Kota Raja), tidak memberi apa-apa reaksi. Sepatutnya merekalah yang awal bangun mempertikiakan penamatan kontrak Rafiah itu.

Apakah kedua ahli Parlimen Pas itu kurang semangat feminis? Atau mereka bersikap tawar hati hendak mempertahankan Rafiah kerana Rafiah tidak pakai tudung, Islamik! Apakah dalam garis lintang perjuangan muslimah Pas, mereka hanya akan membela wanita yang bertudung saja dan akan membiarkan wanita tidak bertudung terus hanyut?

Saya sangat berharap semoga kedua ahli Parlimen Pas itu yang juga ahli Jawatankuasa Agung Pas menjelaskan kenapa mereka bersikap dingin dalam hal-hal feminis di Parlimen ataupun sememangnya saya kurang memerhati bahawa mereka telah banyak memperjuangkan hak-hak dan kepentingan wanita Islam sebenarnya? Pohon penjelasan! [wm.kl 10:30 am 14/11/08]

Celoteh Murai 14

Rafidah dan Orang Politik

MURAI awal-awal lagi sudah dapat membaca apa yang ada dalam skirt politik Rafidah Aziz. Apa yang tersirat sudah Murai baca dan tafsirkan. Mengapa beliau merencana pelan peralihan kuasa hingga Jun, kenapa tidak Mac serentak dengan peralihan kuasa Abdullah dengan Najib? Rafidah ada strateginya sendiri.

Mac Najib Razak akan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri. Ketika itu Rafidah masih lagi Ketua Wanita Umno. Dengan kedudukan itu Rafidah boleh menuntut jawatan menteri daripada Najib. Najib pula akan menimbangkan kerana Rafidah juga berkerja keras untuk mempersarakan Abdulah Badawi lebih awal.

Rafidah berdoa agar Najib mengenang budi dan segala usaha-usaha beliau itu. Mana tahu kalau diberikan jawatan menteri dapatlah kumpul dua tiga billion lagi!

Sikap dan telatah Rafidah itu tidak menghairankan Murai. Sudah menjadi perangai orang politik bila sudah naik payah turun. Bila sudah duduk di kerusi empuk sukar melepaskannya. Biarlah orang kata tua, lembik, lemah tidak berwawasan dan sebagainya, mereka tidak akan pedulikan. Apa yang mereka tahu duduk di situ enak, sedap dan mendapat berbagai layanan istimewa; air orang hulur makan orang beri, nak berjalan orang membuka laluan.

Keadaan inilah juga menyebabkan Mahathir Mohamad menjadi seperti orang moryam apabila beliau berhenti menjadi Perdana Menteri. Beliau merasa terhina dan tidak dipedulikan lagi. Itulah sebab dia merayau siang malam. Ini terserlah bila mana Mahathir sering kali merintih, tidak ada lagi orang yang mencium tangannya selepas beliau tidak lagi berkuasa. Katanya semasa jadi PM dulu, tangan beliau sampai haus atau licin kerana dihidu dan dicium oleh orang ramai.

Bukan saja setakat tangan, punggungnya pun dicium! He...he...he...

Jadi bila sudah tidak jadi PM, segala keistimnewaan, penyanjungan dan pentaksuban itu hilang dari hidup Mahathir. Tangan dan punggung Mahathir juga sudah menjadi kasar dan berkerasak kerana tidak dielus dan dicium lagi.

Bukan saja Rafidah dan Mahathir, orang lain juga begitu. Masih mengaku kuat, sihat dan menggunakan berbagai alasan untuk terus menjadi orang besar. Walaupun mata sudah ruyup, dada selalu sakit, kaki sakit, kepala lutut (buah gomok) sakit tetapi masih nak jadi pembesar juga. Tidak mahu mengaku kalah dan menyerah kuasa kepada anak buah.

Biarlah berjalan pakai tongkat, orang papah tidak mengapa, asakan title keramat itu tidak hilang. Anih kenapa takut sangat kepada hal-hal pangkat dan kedudukan yang dianggap daki dunia itu? Selalu kita bercakap dan mengkritik orang yang sukar untuk berundur, tetapi bila sampai giliran kita, kita jadi dua kali lima sahaja. Inilah yang dikatakan cakap tak serupa bikin, buat tak serupa kata.

Kepada orang-orang politik yang degil nak turun dan nak buang kuasa, (atas apa jua alasan) usahlah mengeji Rafidah kalau nenek wanita Umno itu masih bercita-cita lagi untuk jadi menteri. Kalau kita juga serupa dengan mereka tindakan itu bagaikan dulang yang mengatakan paku serpih sahaja.

Dan fahamilah sikap dan fiil orang politik, selagi jasad mereka dapat dilihat selagi itu mereka akan berusaha untuk terus menahktai kuasa.

Murai: Berkicau seketika-seketika sahaja!

Thursday, November 13, 2008

Lastik Getah

Siapa Pelopor Rasuah Dalam Umno Pasir Mas?

KAWAN saya seorang Umno yang fikirannya agak terbuka ada mengisahkan soal rasuah dalam partinya. Beliau melaporkan bagaimana rasuah berlaku dalam pemilihan Umno di Bahagian Pasir Mas. Saya hanya membaca laporan berkenaan tanpa merasa apa-apa perasaan. Tidak marah dan tidak kesal bukan kerana saya bukan ahli Umno, tetapi kerana saya mengenali rupa, wajah, hati perut dan pedal politik Pasir Mas.

Saya juga tahu sejarah dan lagenda politik di bahagian itu. Tahu sangat bahkan tersohor ke seluruh antero dunia bagaimana rasuah di daerah itu berkembang mjau dam membiak dan siapa yang menjadi juara dan pelopornya sejak dulu dan masih membayangi hingga kini.

Bagaimana ada bekas tokoh Umno di kawasan itu begitu percaya bahawa wanglah segla-galanya atau apa yang disebutkan sebagai "kepala rimau" atau "kepala agung" boleh merubah segala-galanya.

Bekas tokoh Umno itu percaya kepada kuasa wang. Secara tidak langsung apabila beliau yakin kepada wang boleh membeli kuasa, beliaulah yang bertanggungjawab merosakkan moral dan memburukkan maruah politik orang Melayu iaitu Umno.
Kerana itu bekas tokoh Umno itu menggunakan wang untuk mendapatkan apa saja.

Ini tidak hairan kerana rupa dan moral politik tokoh itu sendiri sangat buruk dan berbau. Bahkan baginya politik itu disifatkan sebagai tidak ada moral. Lantaran itu ia boleh memperkotak katakan para penyokong dan rakyat. Kalaulah beliau boleh berfalsafah begitu, betapa keji dan jijiknya politik beliau.

Politik wang atau rasuah sudah bermula sejak lama di Pasir Mas. Setiap kali pemilihan adalah dakwaan-dakwaan berlaku rasuah dan juga wujud surat-surat pengakuan seperti mana didedahkan oleh kawan saya sdr Haji Sabri Shafei seperti mana dalam blognya itu http://newkk.blogspot.com/2008/11/apabila-setiausaha-agong-tidak-setia.html. Kononnya ada orang menerima wang dari agen parti.

Terbuku dalam minda saya bagaimana pada pemilihan tahun 2004 surat seperti itu diikrarkan oleh seorang ketua cawangan mengakui beliau menerima wang dari seseorang mengakui wakil calon agar menyokong calon berkenaan.

Hasil dari ikrarnya itu, beliau dipukul dan ditumbuk kerana dianggap sebagai tidak jujur; wang terima tetapi dedahkan rahsia yang mengaibkan itu kepada umum. Dua kali ahli Umno itu boleh bala; sekali berdosa kerana menerima rasuah sekali lagi sakit kerana dibaham kerana tidak jujur dalam melakukan perbuatan jahat.

Permainan politik wang atau rasuah dalam Umno tidak akan berakhir di Pasir Mas, khasnya, dan begitu juga ditempat lain. Selagi saki baki atapun kepercayaan dan semangat yang diterapkan oleh bekas tokoh Umno itu - tokoh rasuah, dihayati dan diamalkan ia tidak akan hilang. Gara-gara ajaran rasuah itulah juga menyebabkan rasuah berleluasa di Pasir Mas dari peringkat bawah sampai ke peringkat atas.

Seorang anak muda berkelulusan pengajian tinggi yang berminat dalam politik pernah mengeluh kepada saya, bahawa beliau tidak mungkin akan dapat menempatkan diri dalam Umno Pasir Mas. Apabila saya bertanya kenapa, sebab di Pasir Mas rasuahnya terlalu hebat dan sudah menjerat ke akar umbi.

Penyakit ataupun fenomena rasuah di dalam badan Umno Pasir Mas sudah jadi seperti penagih dadah, ianya tidak boleh dilakukan apa-apa saja lagi. Jika tidak diberikan rasuah, Umno Pasir Mas akan lumpuh walaupun mereka tahu dengan rasuah akhirnya ia akan membawa Umno berkubur.

Gara-gara itu di Pasir Mas sudah menjadi keaiban pula kepada mereka yang cuba bercakap dengan menggunakan air liur. Tanpa wang jangan mimpilah untuk memimpin Umno Pasir Mas. Bagi sesiapa yang miskin dan tidak sedia untuk berkecimpung dalam rasuah jangan sesekali berangan untuk menjadi pemimpin dalam Umno Pasir Mas.

Pernah disenaraikan mengenai harga untuk merebut jawatan di semua peringkat dalam Umno di Pasir Mas. Untuk jadi calon ketua bahagian seseorang itu memerlukan RM100,000 hingga RM500,000. Itu nilai pada tahun 2000, tetapi kini nilainya tentu sudah naik mencecah RM1 juta.

Jika diperhatikan kepada apa yang diikrarkan oleh orang bernama Ilias Hamad yang mengaku sebagai perwakilan dari Cawangan Ekor Pasir, Pasir Mas seperti mana termuat dalam blog Sabri itu iaitu beliau menerima sebanyak RM1,300 yang bertujuan supaya memilih seseorang. Bayangkan betapa jumlah yang harus disediakan oleh seseorang calon ketua bahagian. Kalau perwakilan ada 500 orang ini bermakna ia perlu menyediakan sebanyak RM 650,000.

Jadi saya tidak tahu apakah tujuan Sabri mendedahkan kejadian rasuah dalam Umno Pasir Mas itu. Kalau beliau berbuat begitu dengan harapan untuk membanteraskan rasuah saya rasa kerja beliau sia-sia sahaja. Ia seperti mencurahkan garam ke laut atau air ke daun keladi. Beliau hanya boleh pahala kebajikan tetapi akan kecewa melihat hasilnya. Rasuah tetap akan berlaku, apa lagi tokoh atau orang yang mempercayai rasuah masih lagi hidup dan masih menjadi pakar rujuk kepada Umno Pasir Mas.

Mengenai ikrar orang bernama Ilis Hamad itu saya tidak yakin ia memberi apa-apa kebaikan atau pun boleh membantu untuk menghapuskan rasuah politik di Pasir Mas. Bagi saya selagi tokoh rasuah yang ada di Pasir Mas tidak ditangkap dan dipenjarakan maka ia akan terus subur kerana perbuatan keji itu disokong oleh orang berkenaan. [wm.kl 2:00 pm 13/11/08]

Sebuka Mata

Penahanan Ronnie Liu Tepat Tetapi Tidak Kena

PENAHANAN terhadap Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ronnie Liu (foto) tidak mengejutkan. Ahli Dewan Undangan Negeri DUN, Pandamaran itu memang seorang yang kontroversial dan berpotensi untuk menghadapi berbagai tindakan undang-undang!

Sikap politik liberalnya menyebabkan ada kalanya menyinggung perasaan orang ramai khasnya umat Islam. Kalangan Pas Selangor kurang senang dengan kenyataan dan tindak tanduk Ronnie Liu yang dikatakan bertindak bersendirian dan mengenepikan semangat dan persefahaman Pakatan Rakyat. Beliau juga dikatakan kurang peka kepada sensitivi umat Islam.

Tidak dinafikan Ronnie Liu seorang aktivis politik yang ramah dan sering muncul di mana-mana saja dalam membela masyarakat.

Tetapi penahanannya oleh polis semalam ketika beliau siap untuk hadir ke mesyuarat Exco sesuatu yang dikira anih dan tidak berapa profesional. Alasan polis kenapa beliau ditahan ialah kerana terlibat dengan kejadian menghalang penjawat awam melaksanakan tugas.

Beliau didakwa menghalang pegawai Penguatkuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSY) dalam satu operasi mencegah maksiat di sebuah hotel di Puchung pada tahun 2007. Memang menjadi kesalahan orang awam menghalang tugas mana-mana penjawat awam. Manakala pihak polis pula boleh menahan termasuk menggari sesiapa saja yang disayaki melakukan kesalahan.

Polis mempunyai kuasa penuh menerusi peruntukan yang diberikan kepadanya. Bagaimana pun penahanan Ronnie Liu semalam agak aneh dan ganjil sedikit. Seperti penahanan itu disengaja untuk sesuatu tujuan lain dan bersifat politik. Ia juga seperti mahu menyusahkan ahli Exco itu saja.

Kenapa beliau harus ditahan di bangunan pejabat Setiausaha Kerajaan Selangor. Apakah polis tidak ada tempat lain untuk menahan Ronnie Liu itu. Ataupun kenapakah pihak polis tidak menghubungi saja beliau (Ronnie) datang ke Balai Polis. Sebagai seorang Wakil Rakyat bukan payah sangat untuk polis menahan atau menghubungi Ronnie. Atau Ronnie tidak memberi kerjasama dalam hal ini?

Kes atau kesalahan yang didakwa ke atas Ronnie itu berlaku tahun 2007. Ini bermakna sudah hampir setahun. Kenapakah begitu lama pihak polis untuk mengambil tindakan menahan Ronnie? Kelemahan dan kelambatan inilah menyebabkan penahanan Ronnie itu dilihat ada motif dan tujuan lain. Ia bukan penahanan biasa. Polis seakan mencari masa yang sesuai!

Sekiranya kesalahan yang didakwa itu berat kenapa polis mengambil begitu lama sampai setahun untuk bertindak? Bayangkan kalau kelewatan ini berlaku ke atas tertuduh melibatkan jenayah berat seperti bunuh, rompak, rogol dan sebagainya sudah pasti orang yang disyaki itu sudah lama melarikan diri! Kelemahan dan kelambatan pihak polis ini akan dilihat kurang cekapnya polis dalam melaksanakan tugas mereka.

Di sini apa yang nampaknya ialah penahanan itu bagi menjejaskan imej Ronnie Liu sebagai wakil rakyat. Semacam ada seperti niat pihak berkuasa (Polis) untuk memberi gambaran kurang baik mengenai Ronnie kepada umum untuk kepentingan politik pihak lain. Dalam konteks penahanan itu seolah bukan sangat hendak mendakwa Ronnie tetapi untuk mendedahkan kepada umum mengenai tindak tanduk dan sikap Ronnie dalam isu maksiat.

Sudah pasti tindakan Ronnie Liu itu tidak akan disenangi oleh orang-orang Islam yang bagi mereka maksiat itu suatu kegiatan yang haram dan merosakkan moral rakyat. Orang ramai akan beranggapan Ronnie Liu sebagai pelindung maksiat. Justeru apa yang nak ditunjukkan di sini bahawa tindakan Ronnie itu kontras dengan kehendak dan aspirasi rakyat terutamanya Pas yang menjadi gabungan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

Berdasarkan dapatan ini penahanan Ronnie itu Liu kerana menghalang kerja pencegahan maksiat satu tindakan wajar, tetapi masa yang dibuat polis itu tidak tepat. Kerana kelemahan itu menyebabkan orang ramai akan beranggapan polis sengaja mahu menyusahkan Ronnie dan memberi benefit kepada politik pihak lain.

Tanggapan demikian menyebabkan imej polis tercemar. Apa lagi sebelum ini sudah kerap polis bertindak tidak mengikuti garis undang-undang dan lebih kepada tindakan beremosi untuk kepentingan pihak lain!

Lain kali polis perlulah lebih berhati-hati dan bersikap profesional. Jangan kerana ada sesuatu kepentingan lain barulah tindakan diambil. [wm.kl 7:45 am 13/11/08]

Tuesday, November 11, 2008

Ulasan Isu

Kamilia Lebih Sesuai Untuk Pimpinan Wanita

TAHNIAH diucapkan kepada ketua wanita Kuala Kangsar, Kamilia Ibrahim (foto) kerana tegas dan konsisten dengan hasratnya untuk bertanding Naib Ketua Wanita. Kamilia menolak pelan peralihan kuasa yang dibuat oleh Rafidah Aziz yang berselindung disebalik untuk kepentingan parti namun hakikatnya bertujuan untuk mengekalkan kedudukan dan kekuasaannya dalam sayap kiri Umno itu.

Kamalia juga menolak keputusan yang dibuat oleh Exco Wanita yang mahukan pelan peralihan kuasa berjalan seperti mana dirancangkan iaitu pada Jun tahun depan dan yang memutuskan supaya jawatan Ketua dan Naib Ketua Wanita tidak dipertandingkan.

Alasan Kamilia untuk kekal dengan keputusan itu ialah kerana, tidak ada peruntukan dalam perlembagaan Umno yang menentukan apa-apa jawatan tidak boleh dipertandingkan dan keputusan Exco wanita itu bukan sesuatu yang dibenarkan oleh perlembagaan. "Saya tidak ikhtiraf pelan peralihan kuasa berkenaan," ujarnya.

Sikap yang diambil oleh Kamilia itu satu sikap tegas, berani dan terbuka yang harus ada pada semua ahli politik. Kamila ternyata mempunyai wawasan dan keyakinan tersendiri dan tidak mudah dijadikan lembu oleh Rafidah seperti mana beberapa Exco wanita lain. Kamilia juga ternyata bukan wanita yang mudah terpesona dengan perfume yang dipakai oleh Rafidah dan beliau ada pewanginya tersendiri.

Ada dua sebab menurut Kamilia kenapa beliau mahu meneruskan hasratnya untuk bertanding jawatan Naib Ketua Wanita itu. Pertama, kerana Rafidah sudah mengumumkan untuk berundur dan kedua kerana ingin memperjuangkan Islam dan menaikkan martabat wanita. Menurutnya isu-isu Islam sering disebut dalam pergerakan itu sejak akhir-akhir ini.

Umum tahu bahawa Rafidah tidak begitu mementingkan isu Islam ataupun menjadi juara memperjuangkan isu Islam. Beliau lebih menampilkan dirinya sebagai seorang wanita moden yang bertaraf antarabangsa. Bibirnya tidak pernah kering atau pudar dengan gincu merah. Dengan penampilan ini menyebabkan tumpuannya kepada hal ehwal wanita terabai atau tidak diperhatikan langsung.

Apa yang berlaku wanita di zaman Rafidah ialah wanita yang tebal dengan gincu, tebal dengan kosmetik dan yang berat lengan dan bahu dengan barang kemas dan beg tangan besar. Keadaan itu menyebabkan wanita dilihat sebagai kumpulan modeling tua daripada wanita yang mempunyai aspirasi untuk perjuangan Melayu dan kaum itu sendiri.

Komitmen Rafidah kepada agama juga begitu rapuh. Hal ini boleh dilihat kepada sikap dan penerimaan kepada pakaian menutup aurat. Saya tidak mahu mengatakan tutup kepala itu wajib, namun fesyen yang menampilkan kesopanan wanita ini terang-terangan diketepikan oleh Rafidah. Beliau pernah mempersoalkan mengenai halal haram mengenai penutupan kepala (aurat) wanita semasa dalam Majlis Tertinggi Umno.

Nasib wanita terutamanya ibu tunggal juga tidak terbela dengan sepatutnya. Tidak ada apa-apa institusi yang diperkenalkan oleh Rafidah untuk membantu wanita golongan ini. Pendeknya wanita di zaman Rafidah hanya wanita bermerah-merahan sahaja.

Jadi apabila Kamilia sudah menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Ketua dengan membawa wawasan dan gagasan yang dilihat progresif itu seharusnya perwakilan wanita memberi perhatian. Apa lagi disaat Umno sedang menunju kehancuran kini eloklah kalau wanita juga turut sama memainkan peranan untuk membaiki dan mengembalikan mertabat dan wibawa Umno dimata umum khususnya kaum perempuan di negara ini. [wm.kl. 11:15 pm 11/11/08]