Sunday, February 10, 2008

Surat Lawyer

Pintu Yang Saya Tutup Tidak Dikunci!

KHAMIS lalu ketika saya berkereta seorang kawan menghubungi menerusi telefon. Cara dia bercakap nampak bersungguh benar mahu berjumpa dengan saya. Demi itu saya membatalkan niat ke satu tempat dan menanti kawan berkenaan di sebuah warung di tepi jalan besar untuk ke Kota Bharu.

Walaupun dia bercerita perihal persiapan pilihan raya bakal tiba, tetapi mauduk yang hendak diketahui hari itu ialah mengenai surat lawyer yang dihantar oleh seseorang kepada saya. Kawan ini mahu tahu reaksi saya setelah menerima surat berkenaan. Apakah saya menggeletar dan bersedia memenuhi tuntutan dan kehendak isi surat berkenaan atau pun tidak. Itulah maksudnya.

Secara tidak langsung kawan itu menyiasat saya secara psikologis. Dia memulakan penyiasatan dengan berbasa basi mengatakan tidak sepatutnya surat lawyer itu dihantar kepada saya. Dia cuba membela dan memberi simpati. Namun saya melegakan perasaannya dengan mengatakan, tidak ada masalah apa, surat itu memang hak dia - penghantarnya. Sesiapa pun berhak mengutuskan surat demikian dan membela diri sendiri kalau dirasakan ia dianiaya.

Apabila kita sudah tidak tahan atau pun berdaya melawan seseorang secara 'manual' maka ia wajar menggunakan alat-alat lain seperti lawyer dan mahkamah. Walaupun cara demikian tidak gentlemen tetapi itulah yang terbaik!

Kata sahabat itu dia telah bersunggut kepada si penghantar surat itu. Katanya sepatutnya perkara itu tidak sampai ke peringkat itu. Mungkin beliau ada alasan dan pandangan sendiri kenapa dia mengatakan demikian. Niatnya hendak membela saya, mungkin...terima kasih.

Biarlah di sini saya membuat ketegasan berhubung surat lawyer itu. Bahawasanya apa-apa permintaan, rayuan, tekanan dan ugutan seperti terkandung dalam surat lawyer itu saya tidak tidak bersedia untuk mematuhinya. Saya bertanggungjawab atas apa yang telah saya lakukan.

Saya juga seperti penghantar surat lawyer berkenaan ada maruah, perasaan dan tidak pernah bermain dengan setiap apa yang saya lalukan. Ia adalah serius dan responsible!

Berhubung permintaan dan kekecewaan kawan tadi tidak berbangkit sebenarnya. Saya jelas kepada kawan itu yang meminta saya melakukan sesuatu yang amat berat untuk dilakukan seperti diminta dalam surat berkenaan; bahawa saya tidak akan melakukannya, sebab ianya diminta dengan dua pucuk surat dari lawyer.

Bagi saya surat lawyer bukan sesuatu gentlemen dan menggambarkan keberanian sebenarnya, tetapi adalah satu cara yang dilihat sebagai ego dan menggambarkan seseorang yang sombong dan tidak suka kepada perundingan dan tidak percaya kepada musyawarah!

Kalau sesuatu itu telah diminta dengan undang-undang, maka biarlah undang-undang juga menentukannya. Tetapi kalau si penghantart surat itu meminta dengan 'tangan' mungkin saya akan memenuhinya atas kepentingan tertentu tanpa sebarangan syarat.

Biarlah di sini saya tidak dulu mendedahkan identiti penghantar surat berkenaan dan juga apakah tujuan dan mengenai apa. Biarlah orang yang menghantar surat itu mendedahkannya sendiri atau lawyernya. Apabila beliau telah memulakannya maka saya akan sambut. Saya tidak bersedia untuk membuka sesutau yang telah saya tutup walaupun ianya saya masih belum menguncikannya.

Saya tidak tahu untuk mencampurkan urusan peribadi dengan perjuangan. Bagi saya soal peribadi tidak wajar dicampur adukan dengan perjuangan. Maka itu orang melihat saya pelik serta sukar untuk difahami dan lantaran itu berbungalah diri dan hidup saya dengan berbagai prejudis.

Apabila saya berjanji saya berusaha akan patuhinya. Dalam kes ini saya sudah berjanji dengan seseorang, maka saya kena patuh dan akur janji berkenaan. Seboleh-bolehnya saya tidak mahu menjadi munafik dalam hal ini. Dan kepada orang berkenaan beliau tidak perlu bimbang kepada aksi saya terutamanya menjelang pilihan raya ini, insyaAllah saya tidak akan menganggunya lagi. [r pjg 9:19 am 10/02/08]

No comments: