Sunday, October 11, 2009

Analisa Pagi Bagan Pinang

UBN Dijangka Menang Dalam Kekalahan

SETENGAH jam lagi akan bermulalah pengundian di Bagan Pinang. Setelah mendengar dan menilai penjelasan dan kempen kedua pihak selama lapan hari pengundi akan membuat pilihan. Kita percaya kesemua 13,664 pengundi berdaftar di Bagan Pinang sudah membuat keputusan siapa yang akan mereka pangkah. Keputusan yang diterjemahkan hari ini adalah keputusan yang dibuat, paling akhir menjelang tengah malam tadi.

Sejajar itu juga debaran kini kian kencang dan rasa ingin tahu mendesak dalam hati setiap pemerhati politik. Sehingga menjelang petang nanti teka teki kalangan pemerhati masih berterusan. Biasanya selepas tengah hari gambaran keputusan sudah mula dapat dibayangkan. Pencerap politik akan membuat perhitungan berdasarkan kepada lagak dan lenggang lengguk pengundi baik ketika memasuki tempat mengundi atau ketika keluar. Kalau ada barung panas, pengecaman dan perkiraan awal dilakukan di sini. Biasanya barung parti yang ramai dikerumuni pengundi parti itulah akan menang.

Bercakap fasal pilihan raya kecil N31 Bagan Pinang ini, dari segi fizikal dan semangat UBN merasakan mereka akan menang. Awal-awal lagi UBN yakin kali ini mereka akan dapat menebus kekalahan dalam tujuh pilihan raya lalu. Ada beberapa faktor kenapa UBN merasa begitu. Antaranya ialah kerana pengaruh mereka cukup kuat di Bagan Pinang dan percaya Bagan Pinang masih kekal sebagai kubu ampuhnya.

Bertolak dari itu UBN merasa mereka akan menang. Apa lagi dengan meletakkan Mohd Isa Samad keyakinan UBN bertambah, kerana Isa dikehendaki oleh pendudukan tempatan. UBN mempercayai bahawa reputasi calonnya itu tidak tercalar dan terus mendapat sokongan.

Sebenarnya perletakkan Mohd Isa yang mempunyai masalah moral seperti calon mereka di Permatang Pasir adalah satu perjudian besar dilakukan UBN. Kalau UBN menang hari ini parti itu akan tetap kalah kerana tidak berjaya menampilkan calon bersih!

Pilihan raya ini juga memperlihatkan keyakinan Pakatan Rakyat berbeza dengan dibeberapa pilihan raya kecil lain. Mungkin keadaan Bagan Pinang diketahui sebagai kubu kebal UBN menyebabkan Pakatan mengambil sikap tidak banyak cakap atau mengarai harapan yang tinggi.

Pakatan khasnya Pas juga mengalami sedikit masalah dari segi jentera pilihan raya tidak seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah, di mana ahli mereka sudah terlatih dan mahir dalam berpilihan raya. Jentera pilihan raya Pas Bagan Pinang ini digerakan oleh petugas luar. Ini masalah Pas.

Besar kemungkinan dalam pilihan raya ini Pakatan tidak akan merayakan kemenangan total dengan memperolehi kerusi itu. Tetapi Pakatan tetap juga merasai kemenangan dari sudut-sudut lain yang mana dengan kemenangan itu akan dijadikan penambah semangat kepada perjuangan mereka. Pakatan harus sedar Bagan Pinang berbeza dengan pilihan raya ditempat lain, baik muka bumi politik, budaya, adat dan juga sejarahnya.

Walaupun pengaruh Pakatan mula meluas di Negeri Sembilan, hakikatnya UBN masih menguasai kerajaan negeri. Situasi ini memeri semangat lebih kepada UBN. Sebaliknya sekiranya hari ini Negeri Sembilan sudah ditawan Pakatan, walaupun Bagan Pinang kubu UBN sudah tentu pilihan raya hari ini akan dimenangi Pakatan. Semangat memerintah akan memecahkan kekuatan kubu UBN itu.

Bagi UBN setelah mereka merasakan selesa dengan kemenangan, apa yang diharap atau mahu ditunggu hari ini ialah angka majoriti yang akan diperolehi. UBN mengidam untuk mengekalkan majoriti yang diperolehi dalam pilihan 2008 lalu sebanyak 2,333 undi disamping memimpikan majoriti 4,411 yang diraih pada pilihan raya 2004. Mungkin UBN akan berjaya mengekalkan majoriti 2008 tetapi sukar untuk mengacapi majoriti 2004.

Sebaliknya kalau majoriti UBN hari ini merudum ke angka bawah 2,000 ini bermakna UBN boleh diistyharkan kalah. Keadaan ini juga sudah cukup membahagiakan Pakatan dan mereka bolehlah menari dan membayangkan untuk menguasai Negeri Sembilan pada pilihan raya umum ke-13 nanti. Kejayaan mengekang UBN dengan majoriti sekitar 2,000 adalah kejayaan buat UBN.

Ada beberapa faktor yang boleh dirumuskan secara ringkas pilihan raya hari ini.

  • Kejayaan UBN bergantung kepada faktor pengundi Melayu. Sekiranya pengundi Melayu bertambah ini bermakna UBN boleh memperbaiki reputasinya hari ini. Kemenangan besar UBN pula akan disumbangkan oleh peratus tinggi pengundi Cina dan India serta pengundi kalangan muda.
  • Sekiranya peratus pengundi Cina dan India melebihi 80 peratus ia memberi gambaran buruk kepada masa depan UBN dan keputusan pilihan raya ini juga turut menjejas UBN. UBN sangat memerlukan undi bukan Melayu sebagai menampung undi pos yang sudah dimilikinya. Dipercayai dari jumlah sekitar 4,000 undi pos UBN menguasai lebih 70 peratus iaini kira-kira 2,800.
  • Pakatan pula bergantung kepada undi orang muda dan undi Cina dan India di samping diharap berlaku pertambahan dari kalangan undi orang Melayu. Kemenangan kepada Pakatan akan berlaku sekiranya undi Cina dan India kepada Pakatan melebihi 80 peratus disamping mengekalkan undi golongan muda.
  • Dijangka peratus keluar mengundi sekitar 80 peratus iaini kira-kira 10,931. Berdasarkan perkiraan rambang hari ini UBN dikatakan menguasai sekitar 58 peratus undi. Ini bermakna UBN bakal meraih kira-kira 6,339 undi berbanding dengan UBN sebanyak 42 peratus atau pun sekitar 4,591. Berdasarkan perkiraan itu majoriti dipihak yang menang sekitar 1,748.
Sekiranya dapatan di atas itu benar bermakna UBN tidak akan dapat bergembira dengan pilihan raya hari ini dan mereka tetap dianggap kalah. Jelas Mohd Isa yang dicagarkan itu tidak mampu mengembalikan kegemilangan UBN! [*** 8:00 am 11/10/09]

No comments: