Wednesday, April 20, 2011

Catatan Ke Dalam

Sumbangsih Terima Kasih

RASANYA masih belum terlewat untuk saya merakam terima kasih banyak kepada beberapa individu yang kini merupakan kenalan dan sahabat baru saya di Sarawak yang banyak membantu semasa saya turun ke Sarawak bagi meninjau pilihan raya umum yang lalu.

Khidmat bakti dan layanan mereka berikan untuk saya sungguh tinggi nilainya. Ketinggian itu tentulah melewati puncak Santubung yang nampak bagaikan perempuan sedang baring jika dipandang dari jeti Telaga Air. Matang.

Individu utama ialah sdr Cikgu Din, anak rantau asal Kelantan yang berjaya berdikari di Sarawak. Beliaulah yang menyediakan kemudahan untuk saya bergerak di Kuching. Terharu rasanya atas kebaikan budinya selama saya di Sarawak. Kemesraanya persis abang sendiri.

Beliau menyediakan makan, minum serta penginapan saya secukupnya. Tidak sepantasnya saya menerima segala layanan itu kerana siapalah saya sebenarnya jika dibandingkan fasalitis yang disediakan.

Namun itulah yang saya perolehi yang saya rasa seorang wakil rakyat pun belum tahu akan menerima layanan demikian. Ia berlaku bukan kerana ada sebab musabab berlandaskan kebendaan melainkan kerana ketulusan. Sebab itulah pertemuan yang disapa oleh hati menjadi lebih akrab daripada pertemuan yang disapa oleh pancaraindra zahiriah.

Saya tidak mengenali Cikgu Din, hanya berjumpa bila saya di Sarawak. Sebelum ini beliau adalah pembaca blog saya seperti juga penjenguk-penjenguk lain.

Tidak cukup setakat menyediakan tempat penginapan, makan dan minum saya juga disediakan seorang pengawal yang sedia membawa saya ke mana-mana. Dengan bantuan pembantunya sdr Mus menjadikan saya lincah untuk ke mana saja. Sesuai dengan Mus orang tempatan ia mengetahui ke mana saja denai dan lorong yang harus di tuju. Itulah perjalanan saya lancar dan saya boleh sampai ke mana saja.

Individu lain yang turut membantu saya ialah, Haji Sulai dari kampung Gerisik, seberang sungai Kuching Utara. Banyak maklumat mengenai sosial politik saya perolehi dari beliau. Sebagai bekas pegawai kerajaan yang pencen dan orang yang mempunyai kenalan dan hubungan ramai di Sarawak, dia menjadi semacam kamus kepada saya untuk mengenali budaya dan citarasa orang Melayu Sarawak.

Maklumat yang ada kepadanya darihal hal ehwal kehidupan Taib Mahmud dan longgokkan harta hingga kepada soal kelazatan kueh lapis Dayang Salhah dan khasiat gambir Sarawak diceritakan kepada saya. Beliau juga seorang pemesra dan mudah untuk dibawa berbual.

Selain itu tidak terlupa kepada sdr Isnawawi Morshidi. Kerana sudah tidak mahu menyusahkan Mus dan Cikgu Din saya menggunakan Nawawi untuk menjelajah ke beberapa kawasan yang lebih jauh dari Kuching. Dengan bantuannya Nawawi yang kami panggil Bang Is, saya dibawa hingga ke Serikin, Tasik Biru dan turut ke muka Gua Angin dan Gua Fairy.

Ternyata Bang Is ini seorang yang serba boleh dan lulus 'empat tapan' dalam kehidupan. Tetapi yang jelasnya dia lebih tahu mengenai gerak nadi serta aktiviti kemanusiaan lain di Kuching daripada politik. Ternyata walaupun baru kenal tidak sampai seminggu tetapi kami menjadi akrab seolah-olah sudah kenal berpuluh tahun.

Dalam pada itu tidak terlupa juga saya merakamkan terima kasih kepada rakan yang ikut bersama dari Semenanjung yang menjadi teman peninjau. Mereka ialah sdr Sobree Shafii, Rushdan Mustapa, Mohd Ali dan juga sdr peguam saya Md Radzi Mustapa.

Ohya saya hampir terlupa kepada seorang lagi sahabat yang menyedikan penginapan untuk malam terakhir saya di Sarawak sdr Zulimin Kazin taukeh Kopi Janda... usahawan muda yang kian meningkat naik waktu ini. Atas batuan kerjasama anda semua diucapkan terima kasih.

Pulau Pandang jauh ke tengah,

Gunung Daik bercabang tiga;
Hancur badan dikandung tanah,
Budi yang baik dikenang juga.

[wm.kl. 5:45 pm 20/04/11]

No comments: