Saturday, February 25, 2012

Melerai Kemelut

Formula Untuk Damai Kemelut Pas Kedah

Agak malang nasib Pas - di hujung-hujung ini ia dibelit dengan masalah yang boleh menganggu kosentrasinya untuk menghadapi pilihan raya. Kalau sebelum ini rakannya, PKR dan DAP ditimpa masalah ekoran tindakan ahli keluar dan 'meludah' parti kemudian menyokong UBN menyebabkan parti itu agak kelam kabut dan hilang fokus, kini giliran Pas pula.

Tuhan ini tetap adil dalam memberi ujian kepada hamba-Nya. Sebab itu ahli Pas jangan sangat bermegah dan bangga dengan keutuhan partinya. Sesudah selesai ujian ke atas PKR dan DAP kini Pas sedang memasuki ke dewan ujian dengan apa yang berlaku di Kedah. Jika tidak ditangani dengan cermat kehormatan dan sanjungan rakyat sebelum ini yang mengatakan Pas parti yang berdisplin, aman dan tidak berserabut dengan masalah boleh hilang.

Awal tahun ini Pas berdepan dengan kerenah Hasan Akidah yang dipecat dari Pas kerana angin sengugut dalam tubuhnya sudah meragam. Isu Hasan Akidah sudah hanpir selesai. Dia tidak akan menjadi duri dalam daging lagi apabila Hasan dengan rasmi meninggalkan Pas apabila tidak merayu dan menubuhkan apa dinamakan semacam beras iaitu Ngo bernama Jati.

Belum lendik molek isu Hasan Akidah kini Pas Kedah pula berkemelut - ujian baru. Apa yang berlaku di Kedah kini boleh memeningkan kepala dan menjejaskan kredibiliti Pas sebagai parti Islam dan sekutu ampuh dalam Pakatan Rakyat. Kerajaan Kedah dipimpin oleh Pas buat pertama kali sejak lebih 50 tahun lalu.

Kemelut yang melatar di Kedah kini ialah desas desus kedudukan Azizan Razak sebagai MB Kedah yang dipertikaikan kini. Isu ini sudah tidak dapat diselindugkan lagi. Maklumat yang diterima sudah sahih, cuma seberat mana dan sepenat mana saja kemelut saja belum dipastikan. Yang jelasnya khabar itu sudah keluar dari Alor Star.

Ia bukan khabar angin yang sengaja ditaburkan media massa penjilat buntut lagi, tetapi sesuatu yang betul. Yang tidak betul dan fitnah ialah kononnya gangguan ke atas Azizan itu dilakukan oleh golongan atau puak tertentu yang memonitor di Kuala Lumpur. Jauh sekali kalau ia ada kena mengena dengan Anwar Ibrahim. Perkara itu sengaja dilambungkan oleh media lidah syaitan yang akan cuba mengaitkan nama Anwar dengan apa-apa juga keadaan buruk dalam negara ini.

Kemelut bermula apabila empat orang Exco dikatakan tidak bersedia untuk menerima tawaran perkhidmatan (Exco) yang akan disambung pada 28 Februari ini. Dua dari mereka yang disebut dan seakan bertegas dengan keputusan ialah Pahkhorazi Zawawi yang memegang potfolio Pengerusi Pembangunan Luar Bandar & Pertanian, Dr Ismail Salleh yang memegang potfolio Pengerusi Kesihatan, Penerangan, Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Pembagunan Insan.

Manakala dua lagi tidak jelas tetapi nama yang dikaitkan ialah Mohd Taulan Ahmad Rasul Pengerusi Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Ir Amiruddin Hamzah, Pengerusi Industri dan Pelaburan, Sains dan Inovasi.

Di dalam catatan semalam saya sudah mencatat sebab musabab kenapa mereka dikatakan tidak mahu berada dalam kabinet Azizan Razak. Rasanya tidak perlu saya ulangi dan memperluaskan di sini.

Yang sedikit malang tindakan empat Exco itu bukan bersifat peribadi tetapi ia sudah mula berpihak dan berpuak. Katanya tindakan mereka itu disokong sepenuh oleh Dewan Ulamak Pas Kedah yang dikatakan sudah lama tidak serasi dengan tindak tanduk dan stail pentadbiran Azizan Razak. Dewan Ulamak Pas Kedah telah membuat konsensus menyokong tindakan Exco berkenaan.

Dalam erti kata lain Dewan Ulamak ikut menumpang semangkok bagi 'mendesak' Azizan di mana sepatutnya Dewan ini bertindak menjadi penegur dan pengislah.

Keadaan akan menjadi lebih parah dan serius lagi apabila bekas ketua Pemuda Pas Kedah Najib Pak Ya Junid juga dikatakan mula aktif untuk menyokong tindakan ulamak dan empat Exco itu. Begitu juga dengan golongan veteran dan pegawai kerajaan yang pernah berkhidmat dengan GLC Kedah juga akan digerakkan untuk mendesak Azizan.

Buat masa ini Azizan nampak bersendirian dalam menghadapi kemelut ini. Kalau pun agak nampak memberi sokongan kepada Azizan Razak ialah Naib Presiden Pas, Mahfuz Omar. Tindakan Mahfuz ini juga tidak tepat di mana sebagai pemimpin utama di peringkat pusat sepatutnya beliau bersikap berkecuali dan menjadi orang tengah mengatasi kemelut itu.

Tindakan Pahkhrorazi bersama exco dan kumpulan lain berupa ugutan. Ia tidak seharusnya dilakukan begitu kerana ia bertentangan dengan prinsip Islam yang sepatutnya dijadikan amalan oleh Pas. Sebarang permasalah diselesaikan di meja perundingan. Kedatangan Nik Aziz ke Kedah seharusnya diambil peluang untuk menjernihkan suasana dan menjadi pecentus kepada perdamaian sementara.

Kenapa sementara, kerana selepas ini baik di pihak Exco dan Azizan Razak dapat mencari kata sepakat demi keutuhan Pas. Satu formula perlu dibuat bagi mengatasi kemelut di Kedah itu. Seperti mana saya katakan semua pihak perlu mengenepikan kepentingan peribadi, rasa bengkak dalam hati dan perlu menumpukan seluruh tenaga kepada menghadapi BN.

Bergaduh dalam keadaan pilihan raya dekat tidak cerdik malahan bodoh. Bodoh!

Apakah Pas Pusat hanya melihat kemelut yang berlaku di Kedah? Apakah tidak diambil sebarang jalan penyelesaian? Pas Pusat tidak hanya boleh menyerahkan kepada kunjungan Nik Aziz semata-mata untuk mendamaikan keadaan.

Seharusnya Presiden Abdul Hadi Aweang bersama timbalan Mohamad Sabu, Naib-Naib, Salehuddin Ayub, Husam Musa dan Mahfuz Omar, sepakat mencari jalan keluar. Mereka tidak boleh meriba tangan apa lagi rasa gerun kepada mana-mana pemimpin Pas Kedah dan juga mengelak dari dikatakan campur tangan. Keadaan sebegitu kalau mereka bertindak bukan tindakan campur tangan tetapi itu adalah tugas dan amanah yang ada kepada mereka sebagai pemimpin tertinggi.

Di sini saya ada beberapa formula untuk menyelesaikan kemelut Kedah setidak-tidak menjelang pilihan raya. Saya rasa idea atau formula ini boleh diterima pakai Pas Pusat untuk diajukan kepada Pas Kedah.

1. Keempat Exco yang mengambil keputusan untuk tidak menerima penyambungan tugas hendaklah menarik balik keputusan mereka. Dalam hal ini semua pihak termasuk Dewan Ulamak dan lain-lain harus bersetuju dan menyokong tindakan ini.

2. Kalau mereka tetap dengan keputusan tidak mahu berkhidmat sebagai Exco, Azizan tidak perlu melantik Exco baru. Apa yang boleh beliau lakukan ialah dengan menambahkan potfolio kepada Exco yang sedia ada. Apa lagi kalau cadangan hendak lantik Exco yang pernah dibuang ia tidak begitu tepat kerana nanti akan diketawakan orang.

3. Azizan sendiri boleh mengambil tindakan gentleman dengan melantik pemangku Menteri Besar untuk menjalankan tugas-tugas menteri besar sementara beliau boleh berihat atau pergi berubat. Biarlah pemangku yang menjalankan tugas. Untuk mengisi jawatan ini tokoh yang senior dan dapat diterima semua pihak perlu dilantik. Salah seorang ialah Mohd Taulan Rasul.

Itulah tiga rangka formula yang boleh difikirkan untuk mengatasi kemelut di Kedah. Tindakan berundur dari menjadi Exco dan melantik yang baru adalah tindakan yang tidak akan membawa ke jalan damai tetapi akan meluaskan lagi jurang perbalahan. Dalam hal ini Azizan seharusnya bermahasabah sedalam mungkin demi Pas.

Kalau tidak menjadi kesalahan ingin saya syorkan orang Kedah perlu mengingati amanah, nasihat, seruan dan juga kelakuan-kelakuan yang pernah ditunjukkan oleh Almarhum Ustaz Fadzil Noor sepanjang hangatnya dalam usaha mencari damai dan mengatasi kemelut ini. Saya rasa tidak salah kerana setiap orang yang mengakui sayang dan kagum dengan almaruhm rohnya senantiasa ada bersama kita. [wm.kl.7:16 pm 25/02/12].

No comments: