Tuesday, August 26, 2008

Laporan Langsung

Keputusan Pilihan Raya Permatang Pauh Seperti Dijangka, Anwar Menang?

(kemaskini) MUKTAMAD terbaru dari pusat pengiraan undi majoriti yang diraih oleh Penasihat PKR lebih besar daripada yang diramalkan. Beliau mendapat 31,195 undi dengan majoriti 15,671. Calon BN Ariff Shah 15,524 dan calon Akim Hanafi Mamat mendapat 92 undi.

(kemaskini) Sehingga ini sudah 20 peti undi dibuka dan keputusan rasmi sudah diperolehi. Ada 91 peti undi lagi dalam proses pengiraan dan tiba satu demi satu ke pusat penjumlahan di Instiut Tuanku Bainun.

Daripada 20 peti undi yang rasmi, Anwar mendapat 5,398 manakala Ariff Shah mendapat 1,891. Tidak ada laporan untuk Hanafi Mamat calon Akim.

Perangkaan keluar mengundi yang tidak rasmi ialah 75% dan majoriti yang diraih Anwar ialah sekitar 12,000. Sekian.

PROSES pengundian pilihan raya kecil Permatang Pauh telah pun selesai. Kesemua 25 pusat mengundi telah ditutup jam 5:00 petang tadi. Para penganalisa kedua pihak kini sedang sibuk membuat pengira undi masing-masing berdasarkan kepada pengamatan dan tip pengundi yang masuk ke bangsal panas masing-masing.

Berdasarkan itu, gambaran awal siapa yang menang sudah diketahui. Mereka yang merasa menang sudah pasti jadi lebih bersemangat untuk menunggu pengumuman rasmi yang dijangka dibuat SPR menjelang jam 8:30 malam nanti.

Perangkaan rasmi jumlah keluar mengundi belum diketahui, namun menurut maklumat dalaman kedua pihak jumlah yang keluar mengundi sekitar 80% - 85%. Ini menempati jangkaan awal saya yang meletakkan peratus keluar mengundi sekitar 85%.

Berdasarkan perangkaan tadi, nampaknya seperti diramal calon PKR, Anwar Ibrahim dijangka diumumkan sebagai pemenang dengan majoriti tidak melebihi 15,000 undi.

Dari maklumat bebas pula diperolehi menjangkakan majoriti bakal diraih Anwar sekitar 8,000 hingga 10,000. Angka itu tidak mencapai sasaran pihak PKR yang mensasarkan majoriti sehingga melebihi 15,000 undi.

Sementara para menteri yang datang untuk meninjau dan memberi sokongan moral kepada calon BN, Ariff Shah Omar Shah dilaporkan telah mula meninggalkan kawasan Permatang Pauh sejak jam 3:00 petang lagi.

Mungkin mereka sudah merasakan calon mereka tidak ada harapan untuk menang menyebabkan masing-masing mengambil keputusan untuk balik awal bagi mengelakkan kesesakan di Permatang Pauh. [d' pauh 6:00 pm 26/08/08]

No comments: