Friday, March 2, 2012

Rencana Khas

Tiada Pengumuman Mengejutkan
Najib Masih Terikat Dengan Tektik Lama


Sehari sebelum Ha Najib Razak ke Kelantan seorang kawan memaklumkan yang Najib akan mengumumkan sesuatu yang menggembirakan rakyat Kelantan sempena kunjungannya ke negeri diperintah Pas itu. Beliau tidak menceritakan apakah perkara yang akan diumumkan, tetapi katanya ia mengejutkan. Pengumuman itu boleh menyebabkan Pas Kelantan ketar lutut, getusnya.

Sebagai rakyat Kelantan saya menanti-nanti dan meneka sendiri apakah yang akan diumumkan Najib. Dalam benak saya ada dua perkara saja yang boleh mengejut rakyat Kelantan, pertama kalau Najib mengumumkan untuk memberikan royalti petroleum 5% kepada kerajaan Kelantan, kedua, mengenai pembinaan lebuh raya dari Kota Bharu - Kuala Krai.

Inilah dua subjek yang penting dan menjadi tumpuan rakyat Kelantan. Walaupun mereka tidak begitu lapar wang royalti yang dinafikan itu, dan dapat berhubung dengan baik walaupun tanpa lebuh raya, namun rakyat Kelantan merasakan dua perkara itu diperlukan. Jika itulah diumumkan Najib ia boleh 'menganyakkan'.

Kalau Najib mengumumkan ia akan memberi political mileage yang tinggi kepadanya dan Umno Kelantan. Rakyat yang atas pagar akan menerima dengan baik kalau itu dilakukan dan mereka akan melihat akan ketulusan UBN.

Kesediaan untuk memberi hak Kelantan mengenai royalti potroleum itu dan membina lebuh raya dilihat sebagai satu transformasi politik yang Najib uar-uarkan. Rakyat Kelantan akan dapat merasakan yang Najib benar-benar mendahului rakyat dan keluar dari kepompong politik lapok selama ini yang mendera rakyat Kelantan.

Pas akan kecut perut kalau pengumuman itu dibuat. Pas terpaksa mencari isu baru untuk menggempur pemikiran umum agar tolak Umno. Hakikat politik Kelantan ia ditentukan oleh kira-kira 30 hingga 35 peratus pengundi atas pagar. Pengundi atas pagar tidak berpegang kepada politik taksub atau mempercayai bidaah atau mitos yang didoktrinkan oleh Umno. Mereka rasional dapat menimbang sesuatu secara praktikal. Bagi mereka memberi kebebasan dan hak politik kepada rakyat Kelantan satu perubahan (islah) besar.

Tetapi agak malang apa yang ditunggu-tunggukan tidak menjadi kenyataan. Berita mengejut yang dibayangkan itu tidak menjadi realiti. Sebaliknya apa yang berlaku Najib hanya mengulangi janji-janji lisan lama dan masih terikat dengan stail dan paradigma beku, iaitu mendera rakyat Kelantan.

Antara apa yang Najib lalukan hanya berjanji akan menyelesaikan semua masalah rakyat Kelantan dengan syarat mereka mesti undi UBN. Janji bersyarat itulah yang dibenci oleh rakyat Kelantan. Janji dan syarat itulah yang digunakan oleh Umno sejak zaman Mahathir jadi PM membawa kepada Abdullah jadi PM kini diteruskan oleh Najib. Janji bersyarat itulah menyebabkan rakyat Kelantan merasakan politik Umno tidak ikhlas 'sikit rabuk', politik ada udang di sebalik batu.

Janji-janji bersyarat seperti itu tidak popular dan diterima oleh rakyat. Malahan rakyat khasnya orang atas pagar melihat ia satu perkosaan terhadap semangat federalisme dan juga perlembaggan negara. Ini kerana tanggungjawab untuk membawa kemudahan infrastruktur; jalan raya, air dan sebagainya adalah tanggungjawab bersama antara kerajaan negeri dan Pusat.

Apabila Najib masih menggunakan pendekatan itu menunjukkan beliau masih rigid. Umno masih jumud. Transformasi dan slogan hendak mendahulukan rakyat masih belum dilaksanakan. Bagi rakyat Kelantan melihat apa yang diucapkan Najib itu, 'belawak bangar' semata-mata. Penerusan stail lama itu juga menunjukkan Najib tidak berani dan mempunyai keyakinan diri (wisdom) untuk mengubah stail lama. Kegagalan merubah pendekatan lama yang telah ternyata gagal merupakan kelemahan Umno sepanjang zaman.

Najib patut mengambil iktibar sebelum ini pun rakyat Kelantan sudah diugut, didenda dan didera berpuluh tahun. Tetapi mereka sedikit pun tidak merasa gerum dan takut. Tindakan yang menunjukkan kejahatan Umno sebaliknya menjadi mereka benci dan muak dengan Umno. Makin mereka dianak-tirikan mereka makin menjauhi Umno.

Sepatutnya hakikat ini difahami oleh Najib dan juga pemimpin Umno Kelantan lain. Bahawa lebih separuh pengundi di Kelantan hari ini bukan lagi generasi lama yang kurang bermaklumat dan tolol menerima hanya Umno sahaja yang berjasa. Keutuhan kerajaan Pas dibawah Nik Aziz Nik Mat bersama timbalannya Ahmad Yaacob menyebabkan rakyat dapat membuat pengukuran mana yang baik dan mana yang buruk.

Masalah air di Kelantan bukan masalah baru, ia berlaku sejak berpuluh tahun dulu. Rayat Kelantan bukan hari ini menggunakan air keruh atau kelodak, tetapi sejak tahun 60-an. Kebanyakan pengawai tinggi asal Kelantan yang menduduki pelbagai jabatan dan agensi di Kuala Lumpur ini dulunya mereka adalah murid sekolah yang memaki baju perang kerana masalah air. Begitu juga baju Mustapa Mohamed dan Awang Adek Hussein dulu semuanya berwarna perang kerana kecemaran air.

Sedikitpun masalah air tidak menganggu pembelajaran mereka. Masalah itu sudah sebati dengan mereka. Jadi isu ini bukan menjadi isu yang menganggu rakyat Kelantan sebenarnya.

Begitu juga dengan isu perumahan, masalah perumahan bukan menjadi perkara penting di Kelantan. Kewujudan setinggan di Kelantan tidak sesesak seperti mana setinggan di negeri-negeri lain; Johor, Pahang dan Negeri Sembilan misalnya. Keadaan mereka sama juga dengan tahun 60-an dulu. Jadi kalau isu perumahan, ini dibangkitkan tidak menjadi kudis gatal kepada rakyat Kelantan.

Dunia mengetahui bahawa orang Kelantan adalah rakyat yang memiliki rumah besar. Pergilah ke segenap daerah di negeri Kelantan akan dapat melihat rumah semi banglo yang berdiri megah dengan pelbagai bentuk dan saiz, corak dan senibina.

Jadi isu perumahan bukan masalah besar. Apa lagi kerajaan Kelantan begitu prihatin mengenai nasib rakyat. Dari masa kesemasa diberikan kelulusan tanah kepada rakyat yang memohon tanah untuk tujuan kediaman atau sebagainya.

Menurut perangkaan dari penyata permohonan milik tanah dikeluarkan kerajaan dari tahun 1990 - Ogos 2011 menunjukkan 71,661 pemohon yang telah diluluskan. Sementara baki tahun lepas sebanyak 27,220 dan yang diterima sehingga Ogos 2011 sebanyak 7,670. Manakala yang dilulus sehingga Ogos 2011 sejumlah 2,738.

Kebanyakan permohonan yang dilulus itu untuk tujuan kediaman. Ini membuktikan bahawa kerajaan Kelantan cakna dan masalah perumahan bukan satu masalah kritikal seperti mana yang didakwakan. Dalam hal ini Pengerusi Pembangunan Tanah Kelantan, Ahmad Yaacob yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan sangat mengambil berat dalam hal ini.

Demikian juga dengan masalah Ladang Rakyat yang mana pengerusinya juga Ahmad Yaacob. Isu itu difahami oleh rakyat dan pesertanya. Yang menjadi masalah ialah broker yang menjadi pencuri tanah kerajaan dan menjual kepada pihak tertentu. Anasir inilah yang cuba menimbulkan masalah dan cuba memsebotaj program Ladang Rakyat.

Jadi bila Najib menyebut Ladang Rakyat menjadi isu, sekali lagi perdana menteri itu diberi maklumat salah seperti mana beliau diberikan maklumat palsu semasa berkunjung ke Pasir Puteh tidak lama dulu. Najib diberitahu kerajaan Kelantan telah merampas tapak untuk dijadikan stesen teksi, sebaliknya apa yang sebenarnya tanah itu adalah hak kerajaan Kelantan yang diberi pinjam kepada persatuan pemandu teksi.

Kesimpulannya kunjungan Najib ke Kelantan hari ini tidak memberi apa-apa impak besar. Ia hanya sebagai 'janawari' sahaja, ramai-ramai pakai baju merah untuk menggambarkan ia sebuah gelombang walahal yang datang hanya untuk makan nasi bungkus dan memakan sebutir buah hulu hangit.

Lebih 50 peratus yang hadir di kesemua majlis Najib itu terdiri dari pegawai kerajaan, guru-guru, kaktangan Kemas. Guru-guru dan pegawai kerajaan lain dikerah paksa. Manakala orang kampung pula dibawa dengan bas untuk menunjukkan ada perubahan di Kelantan. Hakikatnya senario itu adalah projek untuk menipu dan memperdayakan Najib sahaja. [wm.kl.8:36 pm 02/03/12]

No comments: