Thursday, March 8, 2012

Ulasan Isu

Mustapa Sudah Bersedia Untuk Jadi MB

Selepas menerima pujian membiru oleh Najib Razak semasa presiden Umno itu mencemarkan kaki ke Jeli, Mustapa Mohamed memperakui dia sedia untuk bertanding didua kerusi seperti mana berlaku pada tahun 2004.

Kenyataan Mustapa itu mudah untuk difahami, bahawa dia sudah bersedia untuk menjadi Menteri Besar Kekantan. Mungkin dia cukup yakin kali ini Umno akan berjaya merampas Kelantan berbanding dengan tahun 2004 dalam pilihan raya ke 11 dulu. Apakah dia akan mengatasi rekod pencapaiannya sendiri (tahun 2004) bila mana Umno memerlukan hanya dua kerusi saja lagi untuk membentuk kerajaan Kelantan? Ketika itu Umno memang 21 kerusi manakala Pas menang 24 kerusi.

Kejayaan itu satu sejarah manis buat diri Mustapa sendiri. Bahkan pencapaian Umno dalam pilihan raya 2004 lebih baik berbanding dengan pencapaian Umno tahun 1995, 1999 dan 2008 ketika Umno Kelantan dipimpin oleh Mahathir Mohamad, Annuar Musa dan Tengku Razaleigh Hamzah.

Dalam kata lain Mustapa berjaya mengatasi rekod dibuat oleh Tengku Razaleigh tahun 1999 dan Annuar Musa tahun 2008. Sekiranya Umno memberi kepercayaan kepada Mustapa untuk terus memimpin Umno sehingga ke tahun 2008 mungkin Umno sudah pun berjaya menubuhkan kerajaan negeri Kelantan?

Tetapi malangnya Abdullah Badawi yang ketika itu menjadi presiden Umno telah menukar Mustapa dengan Annuar Musa. Dikatakan pertukaran Annuar Musa itu atas nasihat Muhammad Alwi Che Amat yang menjadi setiausaha politik Abdullah ketika itu. Dunia tahu dari Perlis hingga ke Makkah akan hubungan peribadi di antara Alwi dengan Annuar Musa. Annuar bagi alwi samalah buluh bagi ular tedung, menggeri kata orang. Alwi hanya berani berkokok untuk melawan Annuar di luar gok, tetapi akan senyap sendu sampai terberak kapor kalau dalam gok. Sampai bila politik Alwi akan dinaungi Annuar Musa?

Ternyata Umno di bawah pimpinan Annuar Musa parti itu kembali menjunam dan beliau sendiri kalah di kerusi Parlimen Ketereh. Melantik Annuar Musa yang sudah 'masam reban' bagi rakyat Kelantan satu kesilapan Umno. Begitu juga kalau dalam pilihan raya akan datang Annuar masih lagi dicalonkan ia akan boleh menjahamkan Umno dan menyulitkan kerja Mustapa Mohamed. Annuar sebenarnya sudah sial bagi Umno.

Berbalik kepada kenyataan dan keyakinan Mustapa tadi apakah asas yang diletakkan beliau dan juga Umno. Mustapa 'bernasyib' UBN akan berjaya menawan 23 kerusi dalam pilihan raya akan datang. Jumlah itu tidak pernah berubah dan statik menunjukkan UBN benar-benar yakin. Sejak awal-awal lagi angka itu 'digumba' oleh Umno Kelantan.

Angka itu juga seakan sama dengan apa yang saya ramalkan dan bimbangi Pas akan kalah kalau parti Islam itu tidak sedia menukarkan calon-calonnya yang tidak lagi membawa 'kegelingasan' kepada parti itu. Dalam tilikan saya seramai 28 wakil rakyat kini yang kebanyakannya mewakili kerusi Dun perlu ditukarkan. Pas perlu berani mengambil risiko menukar wakil-wakil rakyat ini kalau parti itu masih berhajat untuk menguasai Kelantan.

Alasan kenapa mereka perlu ditukar antaranya kerana mempunyai masalah peribadi yang boleh memberi implikasi kepada parti. Kecemaran yang dihadapi akan turut sama memburukkan Pas. Antara masalah dan noda sesetengahnya dituduh dengan pelbagai 'penyakit' di mana ianya dipercayai oleh rakyat.

Selain itu mereka ini juga tidak perform dan tidak bersikap mesra rakyat. Culas dan liar campur 'kodokut'. Setengah dari mereka hanya kelihatan turun padang dan mudah ditemui di majlis-majlis kenduri atau pun masjid sejak beberapa bulan ini saja. Sebelum ini usahkan nak lihat wajah bayang pun sukar untuk ditemui. Kalau pun terjumpa ialah jejak kereta Mercedes mereka saja.

Jadi calon-calon ini kena dibuangkan.

Mungkin kelemahan itu sudah dihidu oleh UBN menyebabkan parti itu yakin akan menang dan menjadikan Mustapa Mohamed mulai merasai akan menjadi MB Kelantan. Ada 'kulihanya' kalau UBN berperasaan demikian. Kelemahan Pas hari ini bukan saja kepada sebilangan besar calonnya tetapi juga di sisi lain misalnya persiapan untuk menghadapi pilihan raya.

Jentera pilihan raya contohnya Pas seakan masih belum bergerak lagi. Beberapa event yang saya perhatikan memperlihatkan Pas seakan belum bersedia. Apakah keadaan ini berlaku kerana nama-nama orang yang hendak bertanding tidak diumumkan menyebabkan masing-masing masih 'berkilas' kain, atau kerana apa?

Kalau itulah keadaannya maka elok Pas mengumum calonnya awal-awal untuk dinilai dan dipantau oleh rakyat?

Tentang jentera pilihan raya saya pernah bertanya kepada Setiausaha Badan Perhubungan Pas Zulkefli Mamat mengenai persiapan jentera pilihan raya Pas. Beliau penuh yakin dan bangga katanya semua peringkat sudah siap. Dibimbangi jika diperhatikan kepada gerak kerjanya sebelum ini yang 'cakduh' ia boleh menyebabkan Pas akan menangis tidak berlagu apabila jentera itu dikendalikan seperti mana beliau kendalikan beberapa aktivitinya yang relatif gagal semuanya.

Selain daripada masalah itu, beberapa isu yang didendangkan di Kelantan sekarang ini juga memberi sedikit bebanan kepada Pas untuk menjawab dan menyelesaikannya. Isu-isu yang disebut oleh Najib semasa ke Kelantan baru-baru ini walaupun ia tidak akan memberi kesan dan menyebabkan rakyat akan sedia menukar parti Islam kerana isu-isu itu tetapi ia tetap akan menjadi modal kepada UBN.

Isu-isu ini perlu diselesaikan atau Pas perlu mengemukakan plan untuk menyelesaikannya sehingga rakyat yakin ianya akan selesai. Di sini para pemimpin Pas Kelantan memerlukan daya kepimpinan dan inovasi tinggi untuk mengatasinya.

Apa yang hendak ditegaskan di sini, bahawa kenyataan Mustapa itu bukan main-main, ia serius. Umno kini serius untuk merampas Kelantan dan juga mereka serius menyediakan bakal menteri besar mereka. Kalau tahun 2008 Annuar Musa meletakkan Awang Adek Hussein sebagai bakal MB Kelantan, yang mana Awang Adek kalah di kedua-dua kerusi, tetapi keadaan itu tidak begitu dengan Mustapa. Ingat Mustapa pernah mencatata rekod menang di dua kerusi Parlimen Jeli dan Dun Air Lanas pada tahun 2004 dulu.

Makanya Pas jangan pandang enteng atau terus menyamakan nasib Mustapa akan jadi macam Awang Adek. Di antara kedua anak Bachok ini, seorang yang merantau dan seorang menjaga kampung ada bezanya. Perbezaan paling penting dari segi watak dan hobi... Mustapa tidak penagih cigal (cerok) seperti Awang Adek. Malahan dia tidak pun merokok. Mungkin tanpa bau asap yang menyelubungi dirinya menjadikan Mustapa lebih diminati rakyat Kelantan.

Justeru Pas perlu melihat kenyataan Mustapa dan gerak kerja Umno Kelantan hari ini dengan mendalam lagi. Jangan kernana asik mengenangkan sejarah 2008 - kekalahan dua kosong Awang Adek, kali ini Pas giliran pula akan kalah 23 kosong dan menyebabkan kerajaan yang digenggam 22 tahun melayang. Jangan rasa selesa. [wm.kl.1:49 pm 08/03/12]

2 comments:

luqmanhatim said...

Salam MSO,saya merasakan pandangan saudara ini sepatutnya diambil kira oleh pimpinan PAS Kelantan.Orang atas selalunya tidak berapa nampak apa yang berlaku dibawah jadi selalu mengandaikan bahawa semuanya ok tapi bila terjadi perkara yang tidak baik baru kelam kabut dibuatnya.Teruskan MSO dengan pandangan dan penulisan saudara yang mampu membina dan menguatkan PAS secara keseluruhannya.

seghey... said...

Ambo sokong pendapat nih, Jange raso seleso dgn kedudukan loni... kno jugok muhasabah jugok puok kito dok staro mano... keno kkemah blko pat longgar tuh...