Wednesday, August 29, 2007

Susupan Pagi

Sedih Pusara Mat Kilau Tidak di Jaga

MSO

HANYA jauhari saja yang mengenali manikam. Begitu juga orang yang benar-benar mempunyai jiwa perjuangan yang dapat menyelami kegigihan dan keberanian seseorang pejuang lain.

Atas hakikat itulah mungkin menyebabkan jiwa Ibrahim Ali terus tersentuh sebaik saja melihat suasana pusara Mat Kilau yang tidak dijaga sepatutnya sesuai dengan penobatan rakyat terhadap Almarhum selaku seorang pahlawan bangsa.

Ibrahim seolah tidak percaya apa yang disaksikan, dan selama ini apa yang beliau fikir pusara Mat Kilau dan juga sejarah perjuangannya senantiasa dipelihara dan dikenang oleh orang ramai khasnya oleh rakyat Pahang sendiri.

Tetapi apabila beliau menatap sendiri, baru dia menyedari bahawa sangkaan itu jauh meleset. Seolah-olah perjuangan Mat Kilau yang menentang Inggeris itu tidak penting lagi untuk dikenang sebagai penyuntik semangat bangsa.

Kubur Mat Kilau yang teletak di kampung Pulau Tawar, kira-kira 20 km dari Jerantut itu biasa sahaja malahan tidak layak untuk dikatakan sebagai pusara seorang pejuang yang banyak berjasa. Suasana sekitar kuburan itu gelap gelita tidak ada sebiji lampu.

Keadaan ini menyebabkan ia sukar untuk dikunjungi waktu malam. Jalan menunju ke pusara itu juga dipenuhi dengan tahi lembu yang mengaromakan bau yang kurang menyenangkan.

Atas rasa prihatin dan juga sebagai mengenang jasa-jasa pahlwan keramat itu, bekas Ketua Umno Bahagian Pasir Mas itu, bermurah hati menghulurkan derma sebanyak RM5,000 untuk kerja-kerja pemuliharaan dan penjagaan pusara serta sejarah perjuangan Mat Kilau.

Derma itu disampaikan kepada Pas Kawasan Jerantut malam tadi sebaik sahaja beliau selesai menyampaikan ceramah Merdeka di Pulau Tawar.

Sebelum ini Exco Kanan Kerajaan Kelantan, Husam Musa yang pernah mengunjungi ke perkampungan Mat Kilau itu turut merasa sedih dan kesal atas sikap sesetengah pihak berkuasa di Pahang yang tidak mengambil berat terhadap sejarah dan perjuangan Mat Kilau serta segala peninggalannya.

Misalnya masjid tempat Mat Kilau belajar ilmu agama dan juga mengajar para pengikutnya yang terletak di pinggir sungai Jerantut terbiar dan usang tanpa dimanfaatkan dengan sebarang aktiviti berfaedah. Sewajarnya masjid itu dipelihara sebagai bahan sejarah yang akan menjadi bukti bahawa orang Melayu bertanggungjawab menghalau penjajah dari negara ini.

Selain dari masjid itu terdapat juga beberapa rumah (pemondokan) para para pengikut Mat Kilau dan juga orang kampung yang sudah tinggal kerangka tidak dipedulikan.

Dalam kunjungan itu Husam turut sama menghulurkan derma bagi memelihara dan membaiki masjid berkenaan. [jkt.29/08/07].

Tuesday, August 28, 2007

Ulasan Berita

Umno Parti Primitif dan Anak Gelap!
MSO

PARTI nasional sekular, Umno nampaknya semakin celaru dan hilang harga diri. Ada beberapa fakta mengenai parti berkenaan masih terus menjadi perdebatan. Ini menjadikan Umno masih mencari wajahnya sendiri. Begitu juga anjakan yang berlaku dalam parti tersebut menggambarkan tanda-tanda ia semakin primitif dan terkebelakangan. Kalau orang berjalan ke hadapan, Umno mundur dan tergelecah ke belakang.

Lihat sahaja bagaimana mutu dan amalan demokrasi dalam parti berkenaan. Berbanding dengan parti-parti politik lain, Umno paling tidak demokratik di dalam pilihan raya dalamannya – pemilihan parti. Usahkan banding dengan parti-parti Cina – MCA atau Gerakan yang menunjukkan sifat progresifnya, tetapi cukup bandingkan saja dengan parti Islam moderate Pas. Pas lebih demokratik dan adil dalam proses memilih syaikulnya.

Proses perubahan dalam Umno bukan mengembirakan tetapi lebih mendukacitakan. Perkara paling nyata sekali ialah hak-hak dan kewajiban ahlinya dikekang dan dinafikan sama sekali. Salah satu perubahan ataupun amalan ialah sistem kuota di dalam pemilihan pemimpinnya benar-benar merampas dan mencabuli hak demokrasi ahlinya. Sistem itu benar-benar tidak demokratik dan inilah menjadikan Umno buruk dan berbau busuk mengarahkan ke diktatorism.

Menerusi sistem ini mana-mana ahli yang bercadang untuk bertanding merebut jawatan dikenakan kuota pencalonan dengan kadar tertentu. Presiden memerlukan 30% pencalonan (atau kira-kira 58 bahagian) timbalan presiden 20% (38 bahagian) Naib Presiden 15% (20 bahagian) ahli MT 5% (10 bahagian), dan Ketua Wanita 20% (38 bahagian) Naib Ketua Wanita 15% (20 bahagian).

Ketua Pergerakan Pemuda 20% (38 bahagian), Naib Ketua Pemuda 15% (20 bahagian) manakala Ketua Puteri dan Naib Ketua, manimum dua pencalonan atau dua bahagian.

Perpaduan

Untuk menghalalkan sistem itu berbagai alasan dikemukakan. Antaranya ialah untuk mengelakkan berlakunya perpecahan dalam Umno. Umno masih beranggapan pemilihan didalam parti berkenaan akan membawa perpecahan. Ini sekaligus menjelaskan bahawa walaupun Umno sudah 60 tahun usianya, namun masih belum wujud perpaduan sejati di dalam pertubuhan itu.

Sistem kuota mula diperkenalkan selepas tahun 1987 itu. Tegasnya selepas presiden Umno ketika itu ditentang hebat oleh Tengku Razaleigh Hamzah. Tujuan sistem itu diperkenalkan ialah untuk memberi imuniti kepada presiden. Imuniti itu nampaknya terus digunapakai sampai kini.

Gara-gara itu juga Umno semacam ditadbirkan seperti sebuah syarikat sendirian berhad. Di mana presidennya berhak melakukan apa saja tanpa perlu merujuk kepada ahli. Kuasa yang diberikan (sebenarnya diambil) terlalu besar. Presiden boleh memecat sesiapa saja tanpa merujuk kepada ahli. Ini termasuk juga memecat orang yang dipilih secara demokrasi (ala Umno) di dalam parti berkenaan.

Misalnya presiden boleh mengantungkan keahlian mana-mana ahli yang diingininya. Memecat atau menukar mana-mana ketua bahagian parti berkenaan yang tidak sebulu dengannya. Walaupun ketua bahagian itu dipilih oleh peringkat bahagian oleh ahli secara demokrasi, namun kuasa presiden boleh memecatnya.

Apa yang berlaku ke atas bekas Ketua Umno Pasir Mas, Ibrahim Ali, bekas Ketua Umno Kota Bharu, Zaid Ibrahim dan bekas ketua Umno bahagian Tititwangsa, Astaman Abdul Aziz adalah contoh klasik membuktikan akan kerakusan dan kediktatoran presiden Umno.

Tetapi anihnya kebobrokan ini masih boleh diterima oleh ahli Umno. Apakah mungkin mereka itu semuanya terdiri daripada orang buta hati dan juga buta mata ataupun hidup dan pegangan mereka seratus peratus kepada wang?

Difaraidkan

Lebih malang lagi sistem berkenaan telah memberi kesan kepda pentadbiran negara apabila kebetulan pula presiden itu adalah Perdana Menteri. Budaya dalam Umno terbawa dalam pentadbiran negara dan ini secara tidak langsung merosakbinasakan negara. Sebab itulah jika dilihat Perdana Menteri mentadbir negara hari ini seperti beliau mentadbir Umno dan rumah tangganya sendiri! Harta negara dan rakyat difaraidkan seperti harta sendiri.

Pemandangan itu sudah lama berlaku dalam Umno tetapi ia masih tidak disedari oleh pengkagum parti berkenaan.

Terbaru timbul pula soal sejarah dan identiti Umno yang terus dipertikai dan didebatkan. Polemik kecil telah berlaku antara Mohamad Khir Toyo (foto) dengan beberapa individu tertentu khasnya dari Johor berhubung sejarah penubuhan Umno. Polemik ini menjelaskan bahawa Umno bukan sebuah parti yang syumul.

Kesejarahan hidupnya masih kabur dan tidak menentu. Khir mendakwa parti itu ditubuhkan di Kelab Sultan Sulaiman Kg Baharu, Kuala Lumpur (Selangor), sementara orang Johor tetap mempertahankan Umno ditubuh di istana Sultan Abu Bakar, Johor Bharu, Johor.

Mungkin polemik itu kecil tetapi ia memberi natijah besar kerana ia melibatkan sejarah dan serentak melambangkan akan kedangkalan akal fikir Umno. Jadi kalau mengenai tarikh lahir Umno pun ia masih mengelirukan, maka apa lagi tindakan, visi dan agenda untuk memperjuangkan Melayu dan negara yang dibawa oleh Umno lagi mengelirukan dan kosong. Kerana tidak mungkin orang buta boleh menunjukkan jalan benar dan lurus kepada orang celik!

Kita faham kenapa Khir membawa isu itu. MB Selangor itu tidak berpuas hati dan merasakan kedudukannya sebagai Pengerusi Perhubungan Umno tidak dihormati oleh pucuk pimpinan apabila permintaanya untuk memenuhi harapan dan kehendak Umno Selangor tidak dilayani.

Perkara paling dirasai Khir ialah mengenai ketiadaan seorang pun menteri di kalangan Umno dari Selangor. Selepas Shafein Salleh digugurkan sebagai Menteri Pengajian Tinggi, Selangor tidak mempunyai seorang menteri melainkan dua orang timbalan meneri, Noh Omar (Pelajaran) dan Mohd Zain Abdullah (Kerja Raya).

Mungkin Khir sengaja mengungkitkan itu untuk memperlihatkan Selangor juga berjasa kepada Umno dan orang Melayu. Dari itu sewajarnya kalau Perdana Meneri turut sama menaikkan pangkat timbalan menteri dari Selangor menjadi menteri.

Kesimpulannya jihad Khir itu adalah untuk Selangor sekaligus ia cuba mendedahkan bahawa Umno itu sendiri belum ada identiti yang jelas! Apapun usaha Khir untuk menarik perhatian Umno dan Perdana Menteri itu tidak sedikitpun dipandang. Apakah ini memberi gambaran bahawa Khir juga berada dalam keadaan delima menjelang pilihan raya umum akan datang! Bahawa selepas pilihan raya kelak beliau akan turut kehilangan gelaran YAB Menteri Besar Selangor!

Terserah apa sebenarnya natijah di sebalik itu, tetapi yang jelasnya Umno yang dibanggakan hari ini adalah ‘anak gelap’ yang mana tarikh, tempat dan bapa yang melahirkannya masih belum ketentuan. [wm.kl 28/08/07]

Monday, August 27, 2007

Kaca di Perjalanan

Negara Kita Memang Tidak Selamat!

MSO

KETIKA berucap pada pertemuan dengan para ‘penyanyi karaoke, atau ‘si pondan’ dan ‘monyet’ alias Blogger (nama-nama dan istilah yang diberikan oleh Khairy Jamaluddin, Muhammad Mohd Taib dan Zainuddin Maidin kepada blogger) baru-baru ini Mahathir Mohamad melahirkan rasa bimbangnya mengenai kejadian jenayah di negara ini yang semakin meningkat.

Menurutnya indeks jenayah yang ketara dewasa ini menyebabkan setengah orang merasakan tidak selamat untuk berada di luar rumah. Kejadian-kejadian pecah rumah, ragut, rompak, rogol dan bunuh berlaku hampir setiap minit.

Bekas PM itu bukan saja-saja meluahkan kebimbangan itu atas tujuan hendak memperlecehkan negara yang sedang ditadbir oleh Abdullah Ahmad Badawi. Tidak seharusnya isu jenayah dijadikan isu politik! Tanggungjawab membenteras jenayah adalah tanggungjawab bersama tanpa mengira kaum dan anutan ideologi politik. Beliau tentu ada maklumat tepat dan benar mengenai kejadian itu.

Aspirasi

Mungkin juga beliau mengeluarkan mauduk itu setelah memerhati pertelingkahan antara Ketua Polis Negara (KPN) dengan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri seperti mana yang dibangkitkan oleh bekas KPN telah memberi aspirasi kepada beliau.

Bekas KPN Tun Hanif Omar dalam sebuah artikelnya dalam akhbar membangkitkan isu perbalahan KPN Musa Hassan dengan Timbalan Menteri Johari Baharum dan menyifatkan pasukan polis hari ini terbahagi kepada dua puak. Satu puak yang berpihak kepada Musa Hassan dan satu pihak lagi kepada Johari Baharum.

Dari satu sudut, pendedahan Hanif itu tidak berapa elok kerana ia boleh menjejaskan imej pasukan polis dan juga nama baik negara. Tetapi mungkin kerana ia perkara yang tidak dapat diselindungi lagi beliau terpaksa juga menjadikan perkara yang buruk itu sebagai bahan penulisannya.

Apakah kerana perpecahan itu telah membuka ruang kepada penjenayah untuk terus proaktif melakukan jenayah. Mereka (para penjenayah) lebih mudah dan senang melakukan jenayah kerana polis yang sepatutnya mengawasi dan mengawal keadaan mereka sedang dalam pergelutan sesama sendiri!

Bagaimana pun di sini saya tidak mahu mengulas panjang pandangan Mahathir itu. Mungkin beliau sengaja menyebut itu untuk memperlecehkan Menteri Keselamatan Dalam Negeri yang dipegang sendiri oleh Abdullah Ahmad Badawi?

Tetapi apa yang hendak didedahkan di sini bagaimana kata-kata Mahathir itu benar dan betul serta suatu realiti. Bahawa keadaan negara kita kini tidak selamat, berbagai jenayah berlaku setiap hari tanpa mengira tempat dan suasana, siang atau malam.

Jamnapari

Mungkin melampau kalau dikatakan ia berlaku di hadapan mata seperti kambing jamnapari meragut pucuk kayu di dalam kandang ataupun lembu memakan padi di batasan. Mungkin tuduhan itu sangat emosional.

Tetapi apa yang berlaku kira-kira jam 3.00 petang tadi (27 Ogos 2008) di sebatang jalan kecil masuk ke Jalan Pahang, Kuala Lumpur berhampiran stesen minyak berdekatan hotel Grand Season tadi adalah kebenaran kata-kata Mahathir itu. Bagaimana seorang perempuan Cina yang memandu kereta jenis Vios berwarna hitam dipaksa berhenti dan disamun beg tangannya.

Saya bersama seorang rakan sedang melalui jalan berkenaan sungguh tidak percaya kalau apa yang berlaku di hadapan mata itu satu kejadian jenayah yang boleh meragut nyawa manusia. Suasana di jalan itu juga tidak munasabah untuk menjadi lokasi berlakunya jenayah kerana ia terbuka. Ini menunjukkan penjenayah sangat berani.

Perempuan Cina itu terpaksa menghentikan keretanya kerana ia dihimpit. Kebetulan terdapat sebuah kereta lain berhampirannya. Jalan itu cukup-cukup untuk dua buah kereta sahaja berselisih. Saya bersama kawan yang kebetulan melalui jalan itu terpaksa berhenti di hadapan.

“Samun...samun!”.... laung kawan saya yang memandu kereta, biasa saja tanpa menunjukkan reaksi mengejutkan. Kerana itu saya ingat ia hanya gurauan. Saya melihat dua lelaki India sedang menarik sesuatu daripada perempuan Cina berkenaan. Berdekatan kereta itu terdapat sebuah motosikal yang dikawal oleh seorang pemuda India lain, rakannya.

Beberapa orang yang lalu lalang memerhati kejadian itu. Saya tidak mendesak kawan agar memberhentikan dan turun dari kereta. Sekejap kemudian dua lelaki India berkenaan memecut motosikalnya dengan diikuti sebuah lagi motosikal yang juga membawa seorang pembonceng yang memakai topi keledar.

Kejadian itu berlaku dalam sekelip matanya sahaja. Anihnya mereka yang lalu lalang di situ hanya melihat sahaja. Hatta pemandu sebuah kereta yang benar-benar berhampiran kereta perempuan Cina berkenaan tidak melakukan apa-apa dan cuma memerhati. Mungkin mereka menganggap apa yang berlaku itu sebagai perbalahan biasa.

Memecut

Saya pula menyedari ianya satu jenayah, apabila kedua motosikal itu memecut laju dan salah seorangnya memegang beg tangan yang diragut daripada perempuan Cina tadi.. Sesudah itu barulah kawan saya cuba memecut kereta – sebenarnya mahu melihat ke arah mana dua motosikal berkenaan menghilangkan diri.

Kejadian petang tadi adalah seribu kejadian seumpama itu yang mungkin berlaku hari ini. Ia menjelaskan bahawa jenayah ada di mana-mana sahaja, di negara ni. Tidak kira malam atau siang. Ia akan datang bila-bila masa sahaja, bagaikan maut datang menyerang kita.

Sewaktu saya melewati kereta perempuan Cina itu saya nampak, perempuan itu dalam keadaan ketakutan. Mukanya pucat dan menggeletar. Ia tidak boleh berbuat apa-apa. Kaku. Serpihan cermin berlambakan, rupa-rupanya sebelum menarik beg lelaki India berumuran 20-an itu bertindak memecah cermin kereta hadapan.

Dan sewaktu melarikan diri itu juga saya sempat nampak senjata sejenis golok terpegang di tangan salah seorangnya. Bermakna kalau perempuan Cina tadi enggan menyerahkan begnya, atau ada sesiapa yang ingin membantunya, senjata itu mungkin bukan saja setakat untuk menakut-nakutkan tetapi boleh bertindak menjadi senjata pembunuh.

Demikianlah keadaan negara kita yang sama-sama kita akui sebagai maju merdeka! Nyawa manusia dalam sebuah negara maju boleh melayang bila-bila masa sahaja! Apakah kemajuan seperti ini yang kita ingini? Entahlah!

Sedikit tip! Peragut mungkin lebih merasa mudah dan berminat kepada pemandu perempuan. Jadi kepada pemandu perempuan bolehlah mematuhi beberapa tip berikut:

  1. Jangan memandu bersendirian dan melalui mana-mana jalan sempit atau agak terasing.
  2. Jangan letakkan beg atau telefon bimbit dalam keadaan yang mudah dilihat dari luar khasnya atas deshboard.
  3. Senantiasa pastikan semua pintu berkunci.
  4. Kalau ada sebarang motosikal mencurigai mengekori dari belakang, hendaklah awas dan melakukan sesuatu tindakan.
  5. Bunyikan hon sekuat mungkin kalau menyedari peragut sudah mula memfokus ke arah anda.
  6. Jangan parking kereta ditempat sunyi dan asing.
  7. Senantiasa mengingatkan jenayah berada di sekeliling kita di mana sahaja.
  8. Sebelum memandu bacalah surah Al-Fatihah! [kl.jln phg 27/08/07]

Sunday, August 26, 2007

Rencana Khas

Ideologi dan Professionalism Pecahkan Melayu

MSO

ORANG Melayu yang rata-rata mengaku beragama Islam seharusnya mempunyai perpaduan (ukhwah) yang kuat dan teguh. Salah satu ciri yang menguatkan keimanan seseorang Islam itu sendiri adalah persaudaraan. Rasulullah s.a.w. di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan, apabila ditanya apakah tanda-tanda ahli syurga Rasulullah s.a.w. menjawab mereka yang mempunyai tali persaudaraan - ukhwah yang kuat dan kukuh.

Perpaduan di dalam Islam atau kehidupan umpama batu-bata yang saling lengkap melengkapi dan kemas mengemaskan antara satu sama lain untuk membina sebuah gedung tinggi. Hasil daripada perpaduan yang konkrit itulah memungkinkan sebuah bangunan tinggi beratusan tingkat itu tegak mencengkam bumi.

Nah, itulah juga pendekatan yang perlu diambil oleh bangsa Melayu kalau mereka mahu tegak berdiri dan terus berkuasa di negara ini. Kalau masing-masing sudah hidup secara bernasfu- nafsi, - menuruti professionalism masing-masing nescaya tugu Melayu yang terbina 50 tahun kini akan tersembam mencium bumi.

Kemampuan bangsa Melayu mencapai kemerdekaan 50 tahun lalu juga adalah hasil perpaduan yang jati. Tidak mungkin kalau orang Melayu tidak bersatu pada waktu itu, bendera “Union Jack” akan melabuh ke bumi dan imperialis akan berambus dari ‘tanah sejantung pisang’ ini.Bukankah denai kepada kemerdekaan itu digelombangkan oleh 41 pertubuhan Melayu khususnya golongan penulis!

Mitos

Hari ini jika kita tanya apakah orang Melayu sudah berpecah, ada orang akan menafi dan menjawab cepat dengan mengatakan "tidak"! Mereka yang ghairah mengeksploitasikan tenaga Melayu untuk kepentingan mereka tetap mengatakan Melayu masih padu. Ada yang beranggapan perpecahan Melayu itu sebagai mitos yang sengaja dihebuhkan demi mengukuhkan kekuasaan sesuatu pihak saja dan cuba menafikan terus pihak lain.

Dalam erti kata lain masih ada golongan yang enggan menerima hakikat bahawa kekuatan dan kepaduan Melayu hari ini sudah mula renggang dan tali tradisi yang mengikat bangsa Melayu sudah mula mahu terburai.Sebenarnya mereka ini adalah penipu kepada diri sendiri. Mereka adalah para penilik cermin retak yang tidak melihat muka mereka yang sebenarnya sudah herot.

Mereka akan menekan, bahawa tidak perlu bimbang, orang Melayu tidak akan berpecah dan ia bersifat seperti air yang dicincang tidak akan putus! Benarkah Melayu akan tidak berpecah atau masih kekal dengan sifat demikian? Ataupun sifat itu sudah lama tiada dan pupus dari dalam diri orang Melayu?

Saya ingin menolak tanggapan demikian. Bagi saya orang Melayu hari ini sudah berpecah. Kalau pun keadaanya masih belum parah, tetapi ia sedang menuju ke arah itu. Perpecahan ini tidak sedikit menyebabkan banyak kepentingan-kepentingan Melayu pupus ataupun hilang.

Jika dilihat secara umum atau dalam sudut sosio-politik, orang Melayu hanya berpecah kepada dua puak atau kumpulan besar saja, iaini kumpulan sekular Melayu (Umno) dan kumpulan Islamik yang didokong Pas. Perpecahan ini amat ketara sekali. Kedua kumpulan Melayu ini saling berebut kuasa antara satu sama lain.

Natijah daripada perbalahan itu menyebabkan tanggungjawab mereka ke atas bangsa Melayu terabai tanpa disedari!

Pisau

Jika dianalisa dan diamati orang Melayu yang diasingkan oleh ideologi politik itu sudah dipecahkan kepada beberapa cabang lagi. Hakikatnya orang Melayu sudah semacam dicaing-caingkan menjadi semakin kecil menerusi berbagai ‘professionalism’ yang bertindak menjadi pisau!

Hari ini mungkin kita sedar di sebalik kemajuan dan nikmat kemerdekaan menjadikan orang Melayu terpisah menerusi professionalism masing-masing. Berbagai wadah atau profession yang dianggotai orang Melayu dewasa ini. Kegilaan kepada professionalism inilah yang memecah dan mencaing-caingkan mereka kepada kelompok-kelompok kecil yang setengahnya amat fanatik kepada kumpulan sendiri.

Sekurang-kurang ada empat professionalism selain politik yang memecahkan orang Melayu.

1. NGO yang bersikap liberal.

2. Orang-orang agama.

3. Penulis dan sasterawan.

4. Golong professional seperti doktor, arkitek, cendekiawan, lawyer dan sebagainya.

Empat golongan ini ditambah pula oleh puak yang tidak memihak atau mewakili mana-mana professionalism yang berdiri atas sifat dan rupa dirinya sendiri. Golongan yang boleh dimasukkan dalam kumpulan ini ialah mereka yang tidak ada apa-apa idealisme untuk diri dan bangsanya sendiri.

Walaupun individu atau kelompok ini turut menyertai parti politik, namun mereka lebih cenderung atau pun berbangga dengan professionalism mereka itu. Mereka tidak akan bersedia menyambut apa-apa agenda yang diperjuangkan oleh parti politik bahkan menganggap politik sebagai karut. Misalnya NGO berbangga dengan wadah mereka sehinggakan ada pandangan walhal untuk kepentingan Melayu turut dilihat bercanggah.

Mereka tidak percayai kepada politik dan ada yang menganggap politik itu bukan satu sistem pentadbiran yang baik. Selalunya mereka ukur keadaan ini dengan telatah dan perilaku orang politik yang jelek, huduh dan hipokrit.

Demikian juga dengan professionalism-professionalism lain, sangat berpegang dan bangga kepada professionalism mereka. Disebabkan sikap dan pegangan ini mereka tidak perlu kepada pihak-pihak lain lagi dan jadilah mereka hidup secara nafsu-nafsi berkera sumbang yang professionalism!

Sebenarnya perpecahan inilah memberi ruang kepada musuh Melayu untuk mencelah masuk dan menanamkan bibit-bibit persengketaan sesama sendiri. Ruang untuk mereka kemudian menjadi lebih luas, dan ini menyenangkan untuk mereka menguasai dan mengatur strategi memecah dan perintah dari dalam.

Tegasnya walaupun professionalism itu mampu mengangkat martabat hidup bangsa Melayu tetapi dalam masa sama juga para professionalism itu sendiri yang bertindak menjadi pemecah perpaduan ummah secara senyap.

Menyedari ini maka sudah sampai masanya, para professionalism membuat muhasabah diri dan bersatu tenaga ataupun membawa ahli-ahli dan pengikut masing-masing ke arah berfikir dan menyatu diri secara professionalism untuk kebaikan agama, bangsa dan negara! Percayalah betapa hebatnya golong professionalism itu kalau ia tidak menyatu dengan badan-badan atau organ lain ia tidak membawa banyak keuntungan kepada bangsa Melayu. [wm.kl 26/08/07]

Saturday, August 25, 2007

Susupan Pagi

Forum Merdeka 50 Jam Bermula

MSO

Forum Merdeka: Sembang-Sembang Kopi “O” Nasi Lemak yang akan menelan masa selama 50 jam telah bermula jam 8.00 malam tadi di Rumah Gapena, di Jalan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kuala Lumpur. Forum itu yang akan berjalan tanpa henti akan berakhir pada 10.00 malam 26 Ogos (Ahad).

Forum anjuran Gabungan Penulis Nasional (Gapena) itu akan menampilkan serangkaian tokoh dan individu pelbagai bidang yang mengisahkan pengalaman dan juga pandangan mereka berhubung kemerdekaan negara untuk dihayati oleh generasi muda. Forum itu juga akan dicatat The Malaysia Book of Records.

Dalam dua sessi awal malam tadi, forum itu telah disertai oleh beberapa bekas Menteri Kabinet, antaranya Tengku Razaleigh Hamzah, Aishah Ghani, Sabaruddin Chik, Rahim Tamby Chik dan lain-lain.

Lain-lain tokoh yang bakal di tampilkan termasuk, Ahmad Sarju, Zaleha Ismail, Khalid Salleh, Zainon Ismail, Hassan Ahmad, Dasuki Ahmad dan lain-lain.

Agak malang melihat kepada senarai ahli penal yang diundang ia tidak ada tokoh-tokoh atau individu daripada parti pembangkangseperti Pas atau Keadilan. Seharusnya pihak pengajur tidak mengenepikan tokoh pembangkang dan sewajarnya pandangan mereka turut sama di ketengahkan.

Lebih meriah

Mungkin sekiranya forum itu turut menampilkan individu dari pembangkang ia menjadi lebih meriah dan kedatangan orang ramai juga akan lebih memberangsakang lagi.

Jelas forum santai berkenaan yang bermula malam tadi amat miskin dengan pengunjungnya. Mungkin juga disebabkan kurang publisiti menyebabkan ramai yang tidak mengetahuinya.

Kebanyakan mereka yang mengikutinya terdiri daripada para penulis, penyair dan para pencita bahasa yang sudah ‘masak’ dengan acara-acara berbentuk nasionalisme berkenaan.

Pihak pengajur telah menyediakan kopi “O” panas dan nasi lemak bagi mengalas perut mereka yang hadir atau sanggup "bergadang" (berjaga) hingga ke pagi. Persembahan muzik instrumental Melayu juga disajikan sebagai helwa telinga.

Dalam hubungan itu dua buah buku terbitan Putera Bumi Communication SB, berupa antologi sajak "Melayu Mudah Lupa" mengenai kemerdekaan dan kompilasi artikel yang disiarkan di dalam media maya (internet) berjudul "Medan Perang Siber" diedar secara percuma atas ehsan Kamal Amir sebagai promosi. [kl. 25/8/07]

Isu Semasa

Siapa Penyanyi Karaoke Sebenarnya?

MSO

MACAM-MACAM orang menamakan penulis blog (blogger). Ada yang menamakan sebagai monyet, ada yang mengatakan pondan, pengecut dan macam-macam. Paling baru ada yang mengatakan penulis blog tidak ubah seperti penyanyi karoake yang syok sendiri!

Yang menyifatkan penulis blog sebagai monyet ialah Khairy Jamaluddin, seorang lulusan dari universiti Oxford US. Mungkin universiti berkenaan yang digah dan dimalui dunia ada mengajar muridnya berkenaan untuk menamakan golongan-golongan tertentu dengan nama binatang.

Kita percaya selepas ini, semakin lama Khairy menceburi diri dalam politik macam-macam nama binatang yang akan diberikan kepada musuh dan lawannya. Jadi tepatlah kalau saya menganalogikan beliau sebagai anak lembu jantan yang sawatnya belum cukup panjang dalam tulisan saya sebelum ini.

Universiti tempatan bolehlah belajar daripada mahasiswa berkenaan untuk belajar menamakan mana-mana golongan yang bertentangan dengannya dengan nama-nama makhluk tidak berakal itu. Menteri Pengajian Tinggi, Mustapa Mohamed juga boleh mengaji dengan Khairy bagaimana kaedah dan juga cara-cara untuk menama dan menggelarkan seseorang dengan nama haiwan, termasuk beruk, babi, anjing, tikus, ular,macan (harimau), kambing Jamnapari dan sebagainya.

Pengecut dan pondan

Manakala yang menganggap penulis blog sebagai pondan dan pengecut pula ialah bekas menantu kepada seorang Sultan bernama Muhammad Mohamad Taib. Beliau menyifatkan blogger pondan kerana tidak mahu mendaftarkan blognya di dalam negeri. Gara-gara mendaftarkan blognya di luar negara, bekas MB itu tuduh blogger itu sebagai pengecut dan pondan.

Pondan tak pondan, penulis blog berkenaan (Raja Petra Kamaruddin) (foto) sudah pun menyahut untuk berdebat dengan bekas MB itu. Raja Petra sudah bersiap sedia untuk mengadakan debat dengan Muhammad Taib berhubung segala tuduhan yang dibuat ke atasnya. Namun sampai kini Muhammad Taib diam membisu, tidak menjawab sepatah haram. Dayus!

Sekarang ini baru kita tahu siapa yang pondan dan siapa yang jantan. Siapa yang dayus dan siapa sebenarnya yang ‘kia’. Siapa yang mempunyai ‘batang’ panjang dan tidak memiliki telor dan siapa pula yang memiliki batang panjang bersama dengan telornya?

Dan terbaru ada seorang lagi yang turut sama cuba mengocak air dengan blogger yang menyifatkan blogger sebagai penyanyi karakoe. Orang itu ialah Menteri Penerangan, Zainuddin Maidin yang sebelum ini pernah saya sifatkan sebagai “Bapa Lanun”. Sebelum ini juga beliau dipetik sebagai pernah mengatakan penulis blog sebagai goblok?

Kepada yang kurang faham dengan perkataan "goblok", goblok ialah bodoh!

Katanya penulis blog ini seperti penyanyi karaoke yang syok sendiri dan menyanyi untuk merehatkan otak. Secara sinis beliau berkata, biarkanlah penulis blog dengan nyanyiannya itu kerana golongan majoriti tidak mendengarnya. Tulisan blogger katanya hanya dibaca oleh golongan tertentu sahaja yang menjadikan mereka sebagai alat.

Benarkan dakwaan ‘Menteri Goblok’ itu? Kalaulah penulis blog seperti penyanyi karaoke, buat apa beliau sibuk-sibuk dan bersusahpayah nak sentuh penulis blog? Diamlah sahaja. Lebih baik beliau tumpukan kepada kerja politinya di Merbok, Kedah itu. Pastikan kedudukan di Merbok itu selamat dulu baru boleh komen orang lain.

Apabila beliau sendiri melayan, memberi komen, menghentam atau merasa tidak sedap duduk, menunjukkan beliau juga bimbang dan takut dengan kehadiran penulis blog. Seperti kata orang kalau tidak ada mengadakan, masakan tempua bersarang rendah.

Sebenarnya Zainuddin bohong kepada dirinya sendiri. Sebagai seorang pengamal media, beliau tahu akan implikasi dan pengaruh blog dan internet. Sebab itulah beliau cuba damagenya seberapa boleh agar penulis blog merasa rendah diri kemudian seorang demi seorang mengundurkan diri ataupun menutup blog masing-masing. Itulah yang diingini oleh menteri goblok itu.

Tengok orang yang celik IT seperti Dr Mahathir Mohamad (foto) dan Nik Abdul Aziz Nik menerima baik kehadiran blogger. Bekas PM meletakkan harapan besar kepada blogger agar mendedahkan kepincangan pemimpin kerajaan yang cuba diselindungi oleh media arus perdana.

Nik Aziz pula melihat kehadiran penulis blog yang digeruni pemerintah sebenarnya berpunca daripada fitrah semulajadi manusia yang cenderung membawa warkah-warkah pembelaan di alam maya. Katanya kewujudan blogger disebabkan didorong oleh penguasa yang menggunakan demokrasi untuk menggunting, meminda dan mengubahsuai demokrasi bagi membunuh demokrasi.

Menyanjunginya

Jadi biarlah kalau Menteri Goblok tidak menghormati dan menyanjungi kedatangan blogger tetapi cukuplah kalau Mahathir dan Nik Aziz menerima dan menyanjunginya.

Dari Perlis hingga ke Sabah orang sudah kenal siapa dia Menteri Goblok ini. Jadi usahlah peduli dan layan beliau. Semua rakan-rakan sebaya dan seangkatan denganya dalam dunia kewartawanan arif dengan anak Mamak Bedong ini. Banyak yang berbulu dengannya. Pergilah ke Angkasapuri dan tanya dari hati ke hati kakitangan RTM siapakah di kalangan menteri penerangan yang disukai dan dibenci?

Beliau juga terkenal seorang yang mengampu dan tidak setia kepada kata-katanya. Beberapakali beliau menegaskan beliau lebih bangga menjadi wartawan daripada ahli politik. Saya sendiri tidak kruang dua kali mendengarnya. Hari ini ke mana dan di mana Zainuddin? Beliau ialah ahli Parlimen Merbok dan menjadi Menteri Penerangan yang suka lagu-lagu klasik!.Itu saja pun yang beliau tahu melakukannya.

Sesudah memiliki kemewahan, Zainuddin melupai kepada semua prinsip dan kata-katanya sebelum ini. Cuba nilai dan tiliklah sendiri apakah jenis manusia seperti ini? Salah satu tanda-tanda orang munafik ialah orang yang mengkhianti janji!

Sebagai wartawan dan penulis kita bangga kalau ada rakan menjadi pemimpin dan pembuat dasar negara. Sepatutnya Zainuddin membawa semangat dan harapan wartawan di dalam kerajaan, bukannya cuba menyinis dan menikam dalam kain sarung.

Ingatlah, berada di atas itu bukan lama. Sampai masa dan ketika ia akan turun juga. Sesudah turun nanti ke mana Zainuddin hendak pergi? Takkan dia hendak berkawan dengan bekas-bekas menteri pencen termasuk Abdullah Ahmad Badawi dan lain-lainnya selepas dua tiga tahun lagi? Percayalah Zainuddin tidak akan dapat memisahkan dirinya dengan dunia penulis dan persuratan.

Jadi sementara kuasa ada, orang masih hormati kita (itu pun kerana nakkan projek di kementerian) berpada-padalah mengkritik dan mengata orang. Kalau hendak membodek pun jangan sampai air punggung meleleh! Malu! Kelak sesudah dahan tempat bergayut sudah reput dan patah, waktu itu akan jadilah kita kera sumbang kerana rakan-rakan dan kawan lain membenci kebusukan kita selama kita berkuasa dulu. [wm.kl. 24/8/07]

Thursday, August 23, 2007

Ulasan Berita

Bersihkan Penyelewengan, Jaga Intergriti Kerajaan.

MSO

KESEDIAAN Tokguruku Nik Abdl Aziz Nik Mat untuk membuka peluang selama 25 jam kepada BPR bagi menyiasat apa-apa penyelewengan yang berlaku di negeri Kelantan dialu-alukan. Kesanggupan berkerja sama itu selain daripada melaksanakan tanggungjawab beliau selaku MB, kenyataan itu bagaimana pun sedikit berbau kasar.

Kita tahu dalam sehari semalam hanya ada 24 jam sahaja. Tetapi Nik Aziz bersedia berkerja sama sehingga 25 jam. Dari mana satu jam lagi beliau hendak kutip? Mungkin apa yang beliau hendak maksudkan ‘kelebihan jam’ berkerja itu bagi menggambarkan betapa beliau komited dalam ibadat membenteras penyelewengan seperti rasuah.

Nik Aziz membuat pengakuan demikian ketika diminta mengulas berhubung tindakan BPR mengambil beberapa dokumen berhubung projek pembinaan loji air di Kelantan yang uruskan oleh Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) beberapa hari lalu.

Kesediaan dan peluang yang diberikan oleh MB itu bermakna BPR boleh datang pada bila-bila masa saja untuk menjalankan tugas dan melakukan penyiasatan. Sebenarnya kalaupun Nik Aziz tidak bersedia mencari satu jam lagi untuk membantu BPR, badan itu tetap juga akan berusaha sedaya mungkin membuat penyiasatan mengikut bidang kuasanya.

Harus diingat kenyataan Tok Guru itu kenyataan politik! Jadi mungkin ada yang membuat tafsiran dengan kenyataan itu Kelantan tidak mempunyai kesalahan dan tidak ada berlaku apa-apa penyelewengan yang menjejaskan moral dan integriti kerajaan.

Kalau itulah yang mahu diterjemahkan daripada kenyataan Tok Guru itu, ianya silap. Penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa dan kedudukan di Kelantan tetap berlaku sama juga seperti di negeri-ngeri lain cuma bezanya sikit ataupun banyak saja. Nama lagi manusia politik, perilaku dan tindak tanduknya sama saja.

Tidak diberitahu

Banyak halnya di dalam pentadbiran Kelantan yang tidak ada dalam pengetahuan MB itu ataupun ada setengahnya tidak diberitahu kepadanya ataupun kalau beri tahu tidak sepenuh atau seperti mana apa yang berlaku sebenarnya.

Dan Tok Guru sendiri dalam hal ini pula selalu beranggapan (bersangka baik) orang lain sepertinya juga, baik, ikhlas dan jujur kepada kuasa yang dimiliki. Memang pun tidak perlu untuk beliau menyelidiki seorang demi seorang. Beliau sudah ajar dan tarbiahkan, semua itu menjadi benteng dan kubu kepada baik pemimpin politik dan kakitangan kerajaan bagi melindungi diri daripada diserang kejahatan dan kejelekan.

Sebagai seorang bersifat tok guru, Nik Aziz bersangka baik kepada apa yang berlaku. Baginya tidak ada yang tidak baik melainkan semuanya baik belaka. Hakikat itu diukur kepada dirinya selaku pemimpin yang harus baik dan senantiasa takut kepada Allah. Kerana sikap inilah kadang-kadang Tok Guru kurang membuat pemantauan dan menyebabkan kemungkaran terus berlaku walau pun di hadapan matanya.

Di sini saya cuba menyenaraikan beberapa bentuk kesalahaan dan amalan bertentangan dengan sikap dan konsep kerajaan pimpinan Nik Aziz di Kelantan. Perkara ini sudah kerap kali disuarakan malahan ada disebut dalam buku-buku tulisan saya.

1. Bahawa ada orang mengutip wang rakyat kononnya untuk dijadikan deposit tanah bagi diberikan kepada rakyat sedangkan wang itu dibolotnya untuk membeli kereta atapun kahwin seorang lagi.

2. Ada orang yang memohon balak kononnya untuk sesuatu kepentingan umum, buat pondok, masjid dan sebagainya, walhal wang itu digunakan untuk diri sendiri.

3. Ada juga wakil rakyat yang membuka syarikat perniagaan atas nama orang lain (isteri, adik beradik dan kawan) kemudian mendapatkan tander daripada Kerajaan Negeri.

4. Ada kalangan Ahli Majlis Daerah menggunakan kedudukan dan kuasa untuk kepentingan diri yang melampau-lampau.

5. Ada institusi tertentu ataupun badan/syarikat yang ditubukan untuk menjaga kepentingan rakyat tetapi digunakan untuk memprojek politik individu tertentu.

Itu adalah antara kesalahan dan penyelewengan yang sebenarnya tidak boleh ditutup dan sudah menjadi buah mulut dan cakap-cakap di Kelantan. Mungkin hal-hal sebegini yang boleh mencemarkan pentadbiran Tok Guru dan tidak seharusnya dibiarkan terus berlaku.

Sepatutnya kejadian dan perbuatan demikian tidak boleh disenyapkan begitu saja kerana semata-mata untuk memperlihatkan kepada umum kerajaan hari ini bersih, sihat dan bertenaga. Sepatutnya ianya dikawal dan pantau. Apa gunanya kalau menipu diri sendiri.

Kerja-kerja BPR membuat penyiasatan ke atas individu tertentu, atau pun nasihat yang diberikan kepada Tok Guru mengenai kemungkinan ada kalangan Exconya tersalah dan tersasau menyalahgunakan kedudukan seharusnya diterima dengan redha dan sedia untuk membaikinya segera demi masa depan kerajaan sendiri.

Kesalahan dan hukuman

Benar penyelewengan dan penyalahguana kuasa di kalangan pemimpin politik dan kakitangan kerajaan Kelantan jauh lebih rendah berbanding dengan penyelewengan dilakukan pegawai kerajaan dan pemimpin politik kerajaan Pusat. Namun kita kena ingat, nilai kesalahan dan hukum Tuhan itu dibuat bukan berdasarkan besar atau kecil kesalahan itu, tetapi berdasar kepada apa yang dibuat itu. Dalam konteks ini kesalahan mencuri wang RM66,400.00 misalnya sama sahaja dengan kesalahan mencuri wang sebanyak RM660,400.00 juta!

Gejala ini tidak boleh dibiarkan. Nik Aziz selaku Menteri Besar harus memastikan Kelantan sifar dengan kesalahan dan penyelewengan demikian. Mereka yang dikenal pasti menyalahgunakan kuasa, kedudukan atapun ada unsur-unsur rasuah dalam kerjanya hendaklah dinasihat dan dipantau. Mereka hendaklah berhenti segera daripada meneruskan perbuatan munkar itu.

Kita tidak mahu kerana nilai setitik, susu sebelanga rosak.

Di dalam kerajaan Kelantan tidak ada konsep matlamat menghalalkan cara. Bukan bermakna wang yang tidak halal boleh digunakan untuk berbuat kebajikan untuk kepentingan rakyat! Walaupun wang hasil cukai babi atau anjing dan arak boleh disatukan untuk membiayai perbelanjaan lain, namun yang pastinya wang itu tidak boleh digunakan untuk bayaran zakat atapun pembinaan masjid atau sedekah untuk anak-anak yatim.

Menjadi harapan rakyat agar prilaku dan kesalahan itu dapat dihentikan segera. Jangan terus biarkannya kerana ia bakal menjadi bunga kemudian putik dan akhirnya buah yang menghasilkan biji benih di mana kalau ianya jatuh ke tanah besar kemungkinan ia akan tumbuh menjadi pokok yang hijau merimbun. Saat itu ia sudah tidak ada guna lagi sebab kemunkaran demikian sudah bermaharajalela.

Saya cukup bimbang kalau pemimpin yang berkudis, berkerapu turut menempel diri dalam kerajaan akan menjadi penyakit yang akhirnya boleh menyebabkan Pas menjadi lemah dan dilihat tidak lagi bersih. [wm.kl 23/8/07].

Pantun Politik

HATI LUKA BELUM TERUBAT

Apa diharap padi seberang,

Entah berbuah entahkan tidak;

Apa di harap Exco seorang,

Entah jujur entahkan tidak?


Pisang emas dibawa belayar,

Masak tersimpan di atas peti;

Hutang Jamnapri belum terbayar,

Jangan terus buat janji.


Gunung Daik bercabang tiga,

Anak sembilan ditapak tangan;

Kepala besar otak geliga,

Tapi kata-kata diyakini jangan.


Dua tiga kucing berlari,

Manakan sama si kucing belang;

Calon MB sedang dicari,

Terjumpa seorang sudah terbuang.


Baik-baik mengail tenggiri,

Jangan terkena ikan parang;

Pemimpin baik tidak menyendiri,

Selalu terima pandangan orang.


Tuai padi antara masak,

Agar tidak layu-layuan;

Bohongi rakyat tidak nampak,

Di peti undi baru ketahuan.


Tinggi-tinggi si mata hari,

Anak kerbau mati tertambat;

Hari ini orang sudah mengerti,

Lekas-lekas bawa bertaubat.


Buah cempedak di luar pagar,

Ambil galah tolong jolokkan;

Orang cerdik susah diajar,

Hendak ikut tidak kesampaian.


Kain cindai pengikat cinta,

Dipakai dara berlipat-lipatan;

Harap tuan mencapai cita,

Tidak terburai di tengah jalan.


Berkolek perahu ke hujung tanjung,

Perahu pecah terhempah batu;

Kasih kami tidak berhujung;

Di liang lahad tetap bersatu.

Mohd Sayuti Omar.

Iklan Buku


JADILAH ORANG YANG PERTAMA MENGETAHUI
SESUATU YANG MENGGEMPARKAN.
JANGAN TUNGGU ORANG MEMBERI TAHU ANDA,
SEBALIKNYA ANDA JADILAH ORANG YANG
MEMBERITAHU SESUATU KEPADA ORANG LAIN!
ANDA AKAN JADI LEBIH ADVANCE
DARIPADA ORANG LAIN APABILA ANDA MEMILIKI
BUKU INI!



Wednesday, August 22, 2007

Catatan Pagi

Akhirnya Kelantan Delights Keluar Dari KLCC

MSO

Kelantan Delights satu-satu restoran tradisional Melayu yang menyajikan menu Kelantan yang terletak Food Court di Tingkat 4, bangunan Suria KLCC akhirnya terpaksa juga akur dengan kerenah pihak pengurusan yang mementingkan komersial dan mengenakan berbagai syarat yang tidak masuk akal.

Malam tadi adalah saat terakhir Kelantan Delights beroperasi di situ. Penutupan restoran itu tentulah mengecewakan orang Melayu kerana tidak ada lagi restoran yang bercirikan Melayu yang diusahakan sendiri oleh rakyat negara ini di gedung bertaraf antarabangsa itu.

Kalau selama ini pengunjung Melayu dan rakyat negara ini turut berbangga kerana nasi kerabu, nasi dagang, ayam pericik atau kueh cek mek, ubi kayu dan sebagainya turut terhidang di situ, kini kebanggaan itu sudah berakhir.

Semuanya musnah dan hancur kerena sikap pihak pengurusan yang mementingkan keuntungan semata-mata dan sedikitpun tidak mempunyai semangat patriotisme dan arif mengenai betapa perlunya lambang dan budaya Melayu dan Malaysia wujud di gedung berkenaan.

Menurut Juhaidi Yee Abdullah, pemilik restoran berkenaan beliau terpaksa mengambil keputusan keluar dari bangunan itu kerana tidak tahan dengan kadar sewa yang dinaikan terlalu tinggi serta beberapa syarat lain yang seperti sengaja diadakan dengan tujuan untuk menyingkirkannya dari situ.

Bayangkanlah enam tahun lepas sewaktu mula berniaga di lantai bawah, kadar sewa yang dikenakan hanya RM14,000 sebulan dan kini naik menjadi RM43,000 sebulan. Kadar ini katanya sudah melampau dan seperti diadakan bagi menyusahkan para peniaga Melayu.

Daripada 300 orang peniaga makanan, peralatan cenderamata dan sebagainya di situ terdapat 12 orang peniaga Melayu. Walaupun sehingga kini 12 peniaga Melayu itu masih bertahan namun mereka mungkin akan menghadapai nasib sama, kaluar dari situ sekiranya tidak ada campur tangan daripada pihak berwajib.

Apa yang menghairankan dimanakah peranan dan juga tanggungjawab pihak Petrons yang memilik bangunan tersebut dan mempunyai 60% saham dalam pengurusan bangunan Suria KLCC untuk membantu orang Melayu? Bangunan itu diuruskan oleh syarikat campuran Australia-Canada yang memilik saham 40%.

Sepatutnya Petrons menggunakan hak dan kedudukan itu untuk membela peniaga Melayu di gedung berkenaan kerana kehadiran mereka sedikit sebanyak boleh menjadi lambang dan kemegahan anak bangsa di gedung tersebut.

Khabarnya pihak Petronas bersikap lepas tangan saja dan segala urusan termasuk mengenakan kadar sewa dan syarat-syarat tambahan kepada peniaga di situ seperti pengubahsuaian kedai diserahkan bulat-bulat kepada syarikat Australia-Canada berkenaan.

Sebelum ini Juhaidi telah berikhtiar dan menyuarakan masalah itu kepada berbagai pihak namun tidak membuatkan hasil. Badan yang menjaga dan bertindak membantu para peniaga Melayu seperti Dewan Perniaga Melayu Kuala Lumpur, Dewan Peniaga Melayu Malaysia juga tidak berbuat apa-apa bagi mengatasi masalah itu.

Sempena penutupannya, malam tadi (21 Ogos) Juhaidi Yee Abdullah telah mengadakan kenduri dengan meraikan warga tua dan anak-anak yatim. Sermai 100 orang warga tua dari Rumah Orang Tua Cheras dan anak-anak yatim dari Rumah Anak Yatim Tunku Budriah Cheras hadir ke majlis berkenaan.

Majlis yang penuh simbolik itu dan menandakan pengusahanya tidak berdukacita atas ujian itu, (sesuai dengan kata-kata Rasulullah kepada seorang sahabatnya yang datang mengadukan kesusahan; "kalau kamu merasa susah orang lain lagi susah maka tolonglah ia") turut sama dihadiri rakan dan taulan Junaidi di tempat majikan lamanya di News Straits Time (NST), dan juga beberapa orang penulis dan artis.

Antara mereka ialah Datuk Rijal Arbee, Datuk Ahmad Talib, Ras Adibah Radzi, Aziz Desa dan lain-lain. [wm.kl 21/8/07]

Tuesday, August 21, 2007

Catatan Dini Hari

Politik Kambing Jamnapari di Kelantan

MSO

TIDAK munasabah kalau difikirkan! Tetapi ia sudah menjadi kenyataan. Tidak logik, tetapi ia benar-benar berlaku. Mungkin, inilah bahana kalau manusia sudah dikuasai amarah, dia akan bertindak tanpa memikirkan baik ataupun tidak. Janji ia akan dapat memuaskan hati, dia sanggup lakukan apa saja.

Sebab itulah juga ada orang bertindak membakar kelambu kerana marahkan nyamuk!

Seseorang itu kalau sudah marah boleh melakukan apa saja. Kalau Mustapa Mohamed sewaktu kalah dalam pilihan raya umum tahun 1999, menendang kerusi dan meja di bilik pengiraan undi di Jeli kerana protes dan sebagai lepas geram atas kekalahannya itu, tetapi orang lain ada cara lain pula apabila ia sudah marah. Pokoknya orang sedang marah ini buruk perangainya.

Tidak kira dia siapa. Profesor ke, Doktor ke, Arkitek ke ataupun orang politik, kalau sudah marah dunia boleh terbalik. Segala ilmu dan fatwa nasihat tidak akan didengar lagi. Kalau selama ini dia dilihat profesional, tetapi kalau sudah marah akan jatuh ke tangga bawah daripada amatur. Begitulah kalau sudah marah manusia akan jadi tidak waras lagi.

Manusia kalau sudah marah, perangainya lebih teruk daripada binatang. Kalau kambing marah, ia setakat menanduk dan menyingung busut jantan saja. Begitu juga kalau beruk marah,paling-paling dia akan tungging punggung saja. Tetapi kalau manusia marah ia lebih kejam daripada itu. Manusia tidak kira siapa kalau sudah marah, samada budak ataupun orang tua, dihentam dan dikeronyok sahaja.

Apa yang hendak diceritakan di sini ialah mengenai nasib dialami seorang penternak kambing Ismail Mat Yusuf, 53 (foto) dari kampung Baru Dua Jalan Kuala Krai, Kota Bharu Kelantan. Gara-gara beliau tersalah cakap menyebabkan tiga ekor kambingnya yang diberikan oleh seseorang telah diambil balik.

Pemberian ikhlas

Tiga bulan lalu Ismail diberikan lima ekor kambing oleh orang berkenaan di bawah satu skim yang dipeloporkan oleh orang ternama itu. Ismail tidak minta tetapi orang itu yang menawarkan kepadanya. Tanpa banyak bicara Ismail menerimanya sebagai pemberian ikhlas dan haknya sebagai rakyat miskin.

Maka dipelihara dan dijagalah kambing itu dengan penuh kasih sayang. Kambing yang kurus, kalau jentik pun jatuh itu dijaga dan diberi makan secukupnya hingga gemuk dan sudah menunjukkan tanda-tanda ianya sudah bunting sewaktu dirampas balik.

Ismail ini amat rapat dengan orang berkenaan kerana dia menjaga dan merawat kambing-kambing peliharaan orang berkenaan. Dialah yang mencari rumput rumpai untuk makanan kambing-kambing orang itu. Pendeknya Ismail bolehlah dianggap sebagai kuli orang berkenaan?

Hendak jadikan cerita, suatu hari si Ismail ini telah tersalah cakap berhubung sikap dan perilaku orang berkenaan yang kononnya memesan (order) kira-kira 22 ekor kambing jenis Jamnapari tetapi tidak tahu membayar. Orang itu dikatakan memesan kambing-kambing itu dari saudagar kambing di Kuala Lumpur yang mulanya mengadakan kerjasama dalam ternakan kambing dengan sebuah akademi di Kelantan. Entah kenapa mungkin disebabkan tuntutannya lambat dibuat, pembayarannya lewat dibuat.

Ismail tidak tahu hujung pangkal telah membawa mulut kononnya orang itu tidak membayarkan kambing-kambing itu dan telah menceritakan kepada rakannya yang juga ‘berkerja’dirumah orang itu. Katanya kalau orang itu tidak segera membayar kambing-kambing yang dipesan itu akan diambil balik. Berita itu sampai ke telinga orang berkenaan dan dia sungguh murka.

Kira-kira dua minggu selepas itu seorang Tok Penghulu telah pergi ke rumah Ismail untuk melihat kambing peliharaanya itu. Kedatangan penghulu itu tidak menimbulkan apa-apa kecurigaan bagi Ismail sebaliknya penghlu itu memberi tahunya mungkin pihak kerajaan akan menambah lagi bilangan kambing kepadanya.

Malangnya beberapa hari selepas itu pengulu itu datang lagi ke rumahnya bersama beberapa orang dan dengan dua kereta. Kedatangan orang-orang itu ialah untuk mengambil balik kambing-kambing Ismail itu yang menurut mereka atas arahan orang berkenaan.

Orang miskin

Ismail terkejut dengan tindakan itu. Beliau tidak sedih atas kejadian itu sebaliknya merasa mujur, tetapi tidak sangka orang berkenaan yang dikatakan cerdik, berfikiran jauh dan senantiasa bercakap untuk membantu orang miskin dan galak memperkenalkan berbagai skim bantuan sosial, tetapi tergamak untuk mengambil balik kambing yang diberikan kepadanya.

Moral of the story, begitukah lagak dan sikap orang yang diwar-warkan akan menjadi pemimpin tertinggi di Kelantan? Apakah dengan sedikit kesalahan dilakukan oleh seorang tua yang sudah berumur lebih setengah abad, yang hidupnya mencerut rumput pun diambil kira? Kalau dengan orang seperti Ismail beliau boleh bergaduh, berdendam dan mengambil hati, macam mana beliau hendak memimpin ratusan ribu rakyat Kelantan kelak?

Seorang yang hendak menjadi pemimpin sepatutnya penyabar dan senantiasa berfikiran rasional dan tahu bertanggungjawab. Tidak mudah bertindak sesuka hati dan perlu berfikir panjang dalam apa juga langkah yang hendak dibuat. Antara lain tujuan kita berzikir, berwirid ialah agar menghindarkan kita dari mudah merasa marah dan berdendam!

Apapun saya masih tidak percaya apa yang berlaku itu, hanya kerana itu sebabnya. Mungkin Ismail ada sebab-sebab dan kesalahan lain yang lebih fatal lagi. Mungkin juga tindakan mengambil balik kambing itu kerana kegagalan atau Ismail tidak layak memelihara kambing jenis Jemnapari. Kerana dua daripada lima ekor yang diberikan itu dikatakan mati atau disembelih?

Kalau Ismail sembelih kambing itu maka tidak layaklah beliau memelihara kambing kerana sudah bersikap tidak jujur. Wajar kalau orang itu merampas balik kambingnya kerana dia tidak amanah. Tetapi kalau tindakan itu diambil semata-mata kerana Ismail membawa mulut, memburukkan orang itu, ia amatlah tidak wajar sekali dan keterlaluan!

Tidak sepatutnya seorang yang dianggap berfikiran hebat, terbuka, bijak berpolitik, dengan orang tua seperti Ismail itu pun tergamak untuk mengenakan tindakan politik! Apakah kerana kita berada dalam gelangang politik maka semua tindak tanduk kita harus politik!

Demikianlah cerita kambing yang tidak pernah habis. Dan ia akan muncul dari masa ke semasa selagi kisah kambing terus menjadi isu di Kelantan. Mungkin inilah sebabnya jarang orang ingin terlibat dengan pemeliharaan ternakan Rasulullah ini kerana kalau tidak ikhlas, tidak bertanggungjawab serta bermain politik dengannya, maka tunggulah musibah dan bala daripadanya. – Terima kasih kepada pengirim maklumat ini. [wm. 21/08/07]

Sunday, August 19, 2007

Ulasan Semasa

Pemikiran dan Politik:
Anak Musa Umno dan Anak Musa Pas

MSO

"Peluang yang diberikan Mingguan Malaysia itu telah memberi kesempatan baik untuk rakyat membuat penilaian ke atas pemikiran politik kedua anak Musa itu. Ada semacam sedikit keadilan dalam penyiaran itu kerana ianya memberi laporan dan juga ruang yang sama rata."

AKHBAR Mingguan Malaysia hari ini (19 Ogos) telah menyiarkan pendapat dan pandangan politik dua orang anak Musa di Kelantan. Satu anak Musa yang mendokong perjuangan nasionalis sekular (Umno) dan satu lagi oleh anak Musa yang mendokong perjuangan Islam moderate (Pas).

Kedua-dua anak Musa ini berada dalam keadaan benar-benar tertekan hari ini. Kedua mereka tertekan kerana untuk menyelamatkan maruah politik masing-masing. Keduanya saya pernah sifatkan sedang berlari untuk mencecahkan diri ke pita penamat. Keduanya berambisi besar untuk menjadi jagoan lari 100 meter alias Menteri Besar Kelantan.

Keduanya kini sedang mempamirkan kemahiran berfikir dan bertindak. Mempamirkan sifat-sifat dan karektor sebagai seorang pemimpin berhamba rakyat.

Dari segi usia anak Musa dari Umno ternyata lebih tua dan banyak pengalaman politik berbanding dengan anak Musa dari Pas. Anak Musa dari Umno sudah berusia 51 tahun, sementara anak Musa dari Pas, berusia 48 tahun. Mereka dibezakan usia hanya dua tahun saja.

Walaupun seseorang itu banyak pengalaman, bukan bermakna ia matang dan sihat seluruhnya!

Memang anak Musa Umno banyak pengalaman, baik dalam politik ataupun pentadbiran. Pengalaman itu juga kalau hendak diibaratkan kekayaan dan harta benda, anak Musa dari Umno ternyata lebih kaya dan mewah hidupnya berbanding dengan anak Musa dari Pas.

Kerakusan

Mungkin ukuran disegi kemewahan hidup bukan menjadi perkara pokok untuk seseorang muncul sebagai pejuang dan pemimpin rakyat marhean. Namun perkara ini tidak boleh diperkecilkan. Kemewahan melambangkan kerakusan hati dan jiwa seseorang manusia!

Bila manusia sudah hidup mewah menyebabkan dia terlupa untuk menjenguk rakyat miskin. Aktiviti kehidupannya berlegar kepada aktiviti yang berjois. Lupa ke pada tempat asal dan juga kadang-kadang lupa kepada denai-denai yang pernah dilaluinya.

Kemewahan juga selalu menjauhkan seseorang itu daripada sangsara dan kesakitan orang miskin. Kemewahan juga menjadi seseorang ego dan sombong dan merasakan apa yang dianggap besar sebelum ini adalah kecil dan tidak memberi apa-apa faedah kepadanya lagi.

Jadi soal kemewahan ini bukan perkara yang boleh diletakkan ke tepi tanpa mengambil kira dalam memilih seseorang untuk menjadi pemimpin rakyat.

Anaka Musa dari Umno lebih mewah. Ini tampak pada stail dan juga pembawaan dirinya. Dia juga suka menunjuk-nunjuk kemewahannya. Orang yang rapat dengannya akan menyedari sifat suka menunjuk-nunjuknya itu.

Pengalaman dan peluangnya yang agak lama berada dalam pentadbiran dan pernah memegang jawatan menteri selama lapan tahun memberi kesempatan baik kepadanya untuk menghayati hidup mewah dan juga menghimpun duit untuk anak-anak dan isteri.

Mereka sangat berbeza dalam soal kemewahan ini. Anak Musa Umno gemar kepada eksesori hidup yang mewah dan mahal seperti kereta, arlogi, kasut, baju seluar dan sebagainya. Tidak dengan anak Musa daripada Pas, yang mengambil eksesori sedarhana sahaja. Baginya cukup kalau eksesori itu untuk keperluan, bukannya untuk kemewahan dan menunjuk-nunjuk.

Khabarnya anak Musa Umno memiliki beberapa buah kereta, daripada jenis sport kepada yang mewah berharga hampir satu juta sebuah. Setengah daripada kereta anak Musa Umno tidak terbawa pun! Masih ada pengundi di Kok Lanas tidak pernah melihat kereta Mercedez anak Musa Umno.

Manakala anak Musa di dalam Pas pula baru beberapa tahun saja bertapak dalam bidang kekuasaan. Itu pun baru hanya menjadi Exco belum habis sepenggal lagi. Masih belum pandai mencari duit untuk simpanan anak-anak dan keluarga. Rumahnya di belakang kubur kampung Kota serdahana sahaja. Cuma dua tiga bulan ini saja kusyennya bertukar baru, sebelum ini kusyen kayu sahaja.

Peliharaan

Dia juga tidak punya kereta sebanyak anak Musa Umno. Kalaupun anak Musa Pas ini lebih sedikit daripada anak Musa Umno ialah dari segi memiliki haiwan peliharaan. Anak Musa Pas mempunyai beberapa ekor kambing Jamnapari serta beberapa ekor burung peliharaanya seperti wak-wak, belibis dan burung ayam-ayam. Khabarnya tenggeling dan kera juga ada di rumah anak Musa dalam Pas itu.

Peluang yang diberikan Mingguan Malaysia itu telah memberi kesempatan baik untuk rakyat (Kelantan) membuat penilaian ke atas pemikiran dan futuristik politik kedua anak Musa itu. Ada semacam sedikit keadilan dalam penyiaran itu kerana ianya memberi laporan dan ruang yang sama rata.

Berberapa topik diajukan kepada mereka, ini termasuklah mengenai "gimik" yang di buat oleh anak Musa Pas, yang paritnya mahu menawan 40 kerusi Parlimen, dan juga mengenai peluang partinya pada pilihan raya akan datang. Soalan sama juga diajukan kepada anak Musa Umno.

Mengenai sasaran yang dibuat oleh anak Musa Pas, anak Musa Umno menganggapnya ia adalah pandangan pribadi anak Musa Pas. “Kenyataan itu 100 peratus peribadi "anak Musa" Pas dan tidak ada kena mengena dengan partinya,” begitulah kata anak Musa Umno.

Anak Musa Umno tidak menerima sasaran itu sebagai sasaran autentik daripada Pas dan ia tidak perlu bimbang.

Bagi anak Musa Pas pula beliau mempertahankan kenyataan itu sebagai satu strategi. Beliau membuat kenyatan itu sebagai sikap merendahkan diri dengan tujuan agar orang-orang partinya bekerja kuat. Katanya kalau orang partinya merasakan sasaran itu sedikit, maka mereka perlu bekerja lebih kuat bagi mencapai kemenangan besar.

Dari sini apa dapat dilihat dan dinilai bahawa politik anak Musa Pas, lebih advance dan bijak berbanding politik anak Musa Umno. Anak Musa Umno tidak menolak pandangan itu dengan pedapat yang pratikal, sebaliknya cuba memburukkan atau meremehkan politik anak Musa Pas.

Menang

Mengenai peluang kedua parti masing-masing di Kelantan, anak Musa Umno begitu yakin BN akan menang di Kelantan. Menurutnya parti itu akan menang antara 33 hingga 35 kerusi DUN dan 12 kerusi Parlimen.

Kenyataan itu agak melampau dan berbau kesombongan dan ketakburan.

Biasanya orang takbur akan mengalami nasib sama dengan orang tamak. Macam kata pantun Melayu; Dalam semak ada duri, ayam kuning membuat sarang; Orang tamak selalu rugi, macam anjing dengan bayang-bayang.

Nampaknya anak Musa Pas lebih berhati-ahti dalam mengeluarkan kenyataan dan penuh diplomasi dan merangsangkan. Walaupun kenyataan anak Musa Pas, boleh dipertikaikan, namun kerana ianya dikeluarkan dengan lunak dan rasional menyebabkan orang tidak merasakan akan ketamakan pandangannya.

Kelebihan juga ternampak kepada anak Musa Pas apabila beliau dapat mengubah lontaran anak Musa Umno yang beranggapan Pas kini berpecah. Dakwaan itu menampakkan anak Musa cuba menutup apa sebenarnya yang berlaku dalam Umno pada masa ini. Yang berpecah bukan Pas tetapi Umno.

Terserlah juga kematangan dan genius politik anak Musa Pas apabila beliau membiadas kenyataan anak Musa Umno mengatakan peluang Pas untuk mempertahankan Kelantan sukar kerana waktu ini tidak ada krisis besar dalam politik negara. Bagi anak Musa Pas, untuk Pas menang dalam pilihan raya bukan seharusnya menunggu adanya krisis seperti tahun 1999 dan sebagainya baru boleh menang.

Tetapi menurutnya Pas juga berpeluang menang, apabila Kerajaan lemah serta tidak melakukan anjakan perubahan positif kepada rakyat. Maksudnya kelemahan kerajaan disebabkan kepandiran pemimpin akan diukurnilai oleh rakyat dan ia bakal memberi advantage kepada Pas.

Demikian juga anak Musa Pas mematahkan misi politik Umno yang menjadikan projek sebagai modal dan jerat politiknya. Katanya, pembangunan yang dilakukan kerajaan hari ini tidak seimbang antara rakyat bandar dan luar bandar. Walaupun kerajaan buat Koridor Utara (NCER), tetapi ia tidak memberi manfaat kepada rakyat marhaen golongan petani, nelayan, penjuluk kelapa ataupun penagih kambing Jamnapari.

Baginya setelah tiga tahun Abdullah Ahmad Badawi menjadi PM, tidak ada projek yang benar-benar dapat membantu menyelesaikan masalah rakyat, dan yang ada bersifat sementara atau subjektif.

Kesimpulanya membaca pandangan, idea dan agumentasi politik kedua anak Musa itu, menjelaskan bahawa anak Musa Pas lebih kreatif dan lincah dalam melarikan diri daripada jerat-jerat yang dipasangn oleh wartawan yang menginterviunya itu.

Manakala interviu itu mendedahkan pandangan anak Musa Umno sudah klise, statik dan terdorong untuk menyerang secara peribadi dan penuh ego tanpa berpijak kepada intelektual politik sebaliknya terjurus kepada euphoria semata-mata. [wm.kl 19/8/07]