Thursday, December 31, 2009

Cabaran Tertimpa

Iktibar Dari Perintah Mahkamah

BERITA yang terpampang di akhbar dan skrin tv hari ini – Kelantan diarah bayar bayaran ganti rugi RM800 juta seharusnya tidak dipandang ringan oleh semua orang di Kelantan khususnya pemimpin politik. Walaupun arahan itu tidak semestinya dilaksanakan dan kerajaan negeri masih ada ruang untuk merayu, tetapi terimalah ia sebagai iktibar.

Ada mesej yang Tuhan hantar menerusi keputusan mahkamah itu untuk dihayati sebaik mungkin.

Seperti mana yang kita tahu keputusan arahan membayar pampasan RM800 juta tersebut satu sejarah bagi Mahkamah Tinggi di Kota Bharu dan satu jumlah terbanyak yang diputuskan oleh mahkamah sivil di negara ini. Benarlah Kelantan ini hebat dan unik!

Sejarah ini satu lagi keunikan Kelantan yang benar-benar mengakhiri kelendar tahun ini. Saya ingat kelendar tahun ini berakhirnya dengan sumpahan celaka, celaka, celaka blog tu... tetapi rupanya arahan membayar RM800 juta kepada syarikat Timbermine Sdn Bhd sebagai pengakhir tahun.

Mungkin ramai yang tidak tahu mengenai kes ini. Kes ini kes zaman kerajaan Pas di bawah pimpinan Datuk Ishak Lotfi menjadi MB lagi kira-kira 45 tahun lalu. Kes ini sudah pun dianggap berakhir oleh kebanyakan orang Kelantan. Malahan ada yang tidak ingat lagi termasuk anggota Exco sekarang ini. MB sekarang ini juga mungkin sudah lupa kerana terlalu banyak sangat berpolitiking.

Tahun 1964 kerajaan Kelantan memberi konsensi kawasan balak seluas 350,000 ekar (204,000 hektar?) untuk tujuan pembangunan di Kelantan kepada syarikat dari Singapura bernama Timber & Mine Industrial Corporation.

Tindakan kerajaan Kelantan itu adalah untuk membiayai pembangunan Kelantan yang dianaktirikan oleh kerajaan Persekutuan. Pilihan lain tidak ada melainkan terpaksa ‘mengadai’ kawasan balak. Syarikat berkenaan disamping mendapat keuntungan ia juga memberi pembangunan ekonomi dan sosial kepada Kelantan.

Menurut Allahyarham Mohd Asri Muda (foto) dalam buku Memoir Politik Asri; Meniti Arus, "Perjanjian antara kerajaan negeri Kelantan dengan syarikat Timber & Mine itu pada prinsipnya telah menonjolkan satu dasar yang begitu praktikal yang akhirnya secara tidak langsung menjadi satu kaedah yang menyeluruh di kawasan projek yang hendak dimajukan di bawah rancangan pembukaan tanah atas nama apa saja, kawasan itu hendaklah dikeluarkan terlebih dahulu kayu kayan dan hasil hutan yang berharga; lebih-lebih lagi apabila rancangan pembukaan tanah semakin rancak dan luas dengan pesatnya dan telah dimasuk sebagai salah satu projek pembangunan luar bandar.”

Ini bermakna konsensi itu untuk menbiayai kewangan pembangunan Kelantan yang nazak. Kerajaan Perikatan menuduh dan memfitnah kerajaan Kelantan ketika itu telah mengadai tanah itu tanpa mendapat sebarang faedah yang diperolehinya.

Fitnah jahat Perikatan itu menyebabkan kerajaan Kelantan terpaksa membawa kes itu ke muka pengadilan. Mahkamah kemudian memutuskan langkah kerajaan itu bukan gadai tetapi perjanjian biasa dengan mendapat keuntungan. Keputusan ini terkandung dalam Malayan Law Journal, 1968 Vol. 2 muka surat 129.

Disebabkan syarikat berkenaan telah melanggar atau tidak dapat memenuhi butiran perjanjian, kerajaan Kelantan mengkaji balik untuk membatalkan perjanjian itu. Bagaimana pun notis untuk membatalkan perjanjian itu tidak dapat dibuat kerana berlaku pertukaran kerajaan (MB) kepada Muhammad Nasir tahun 1974.

Bagaimana pun akhirnya kes (perjanjian) itu diselesaikan juga. Syarikat berkenaan bersetuju menerima imbuhan saguhati sebanyak RM3.5 juta. Wang pembayaran itu pun adalah pinjaman daripada kerajaan Persekutuan.

“Sesudah beberapa kali mengadakan rundingan, akhirnya kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikannya. Pihak syarikat Timber & Mine telah bersetuju menerima wang saguhati atau imbuhan sebanyak RM3.5 juta ringgit dan wang tersebut telah dipinjamkan oleh kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri. Masalah ini boleh dianggap telah selesai. Tetapi segolongan kecil daripada kalangan yang bertentangan tidak habis-habis menaburkan fitnah untuk melemahkan kerajaan negeri. Namun demikian usaha itu nampaknya tidak berkesan.” – Memoir Politik Asri: Meniti Arus.

Apakah syarikat Timber & Mine Industrial Corporation itu adalah syarikat Timbermine Sdn Bhd yang suah bertukar nama dan bertukar lembaga pengarah? Apakah syarikat itu kini menjadi milik Bumiputera dari Malaysia/ Kelantan? Dan apakah penyelesaian perjanjian itu wujud perjanjian baru yang memberi sebahagian kawasan konsensi itu?

Saya rasa begitu. Beberapa bulan sebelum ini saya sudah mendapat maklumat mengenai syarikat berkenaan telah menyaman Kerajaan Kelantan kerana melanggar perjanjian. Kerajaan kata penyampai maklumat itu sedang ‘bersusah hati’ dengan saman itu. Bagaimana pun ada yang mengambil remeh dan tidak berusaha mengatasinya dengan sewajarnya.

Persoalannya kini kenapakah kes ini tidak dipantau dan dipandang dengan sewajarnya? Kenapakah kerajaan negeri tidak berunding dengan syarikat berkenaan? Apakah peranan penasihat Undang-Undang Negeri dalam hal ini? Apakah penasihat undang-undang mengambil langkah tepat dan memberi pandangan dan nasihat yang tuntas? Menurut laporan kes ini difailkan pada tahun 2004, bermakna baru lima tahun.

Saya percaya kalau kerajaan mengambil berat kes ini tidak akan berkesudahan di mahkamah seperti hari ini. Mungkin kalau kerajaan didapati melanggari perjanjian (baru) bayaran yang diarahkan tidak sebanyak hari ini.
Apakah musibah ini sebagai kifarat ke atas pergolakan dan kemelut di Kelantan kini? Atau musibah itu diturunkan Allah untuk menyedari pihak yang bertelagah supaya menamatkan perbalahan dan menumpukan ke usaha mendapat royalti petroleum sebanyak RM1 billion di mana bila diperolehi nanti bolehlah dibayar kepada syarikat berkenaan! [wm.kl. 10:15 am 31/12/09]

Sesudah Subuh

Selamat Tahun Baru Mat Said

SAYA pernah bercanda menerusi tulisan mengatakan Ahmad Said, Menteri Besar Terengganu ada ilmu Pak Dogol. Maksud saya walaupun dia nampak ‘komang’ kata orang Terengganu, tidak hebat, nampak darat macam orang kampung tetapi dia ada kelebihan. Yang pastinya kalau bukan ada kelebihan dan keistimewaan, Sultan Mizan Zainal Abidin tidak akan perkenan untuk dia jadi MB.

Masih ramai lagi Adun BN yang dianggap dan merasakan diri lebih hebat dari Mat Said. Ada 20 orang lagi, tetapi kenapa Mat Said yang dipilih jadi MB oleh Sultan. Yang lebih hebat daripada bekas MB, Idris Jusoh pun ada, seperti Rosol Wahid, Din Adam, tetapi tidak dipilih, Mat Said juga diambil Sultan. Kenapa? Cuba tanya Zabidi Saidi rakan saya berasal dari Terengganu itu.

Sebab itu saya kata Mat Said ada ilmu Pak Dogol. Tenguk Pak Dogol dalam wayang kulit dia, nampak hodoh, perut buncit, hidung besar tetapi keramat dan baik budi. Lidah juga masin 'barang minta barang boleh barang kata barang jadi.'

Selalunya istana hanya akan memberi perkenan kepada orang yang baik budi, perangai comel dan tahu adat istiadat istana sahaja untuk menjadi menteri, wazir dan pegawainya. Orang yang sumpah seranah sultan takkan diambil! Hatta untuk jadi tukang kebun dan jong masak pun kena ada takmaninah. Istana tidak akan ambil orang perangai buruk, cakap besar berjalan lenggak ke langit dan berperasan tinggi.

Malam tadi saya minum dengan seorang rakan, bekas pegawai tinggi kerajaan. Dia baru balik dari Terengganu kerana menghadiri satu seminar mengenai sukan. Dia terlibat dalam membentangkan kertas kerja berhubung pengembangan dan pembangunan sukan di negeri itu.

Rakan ini sejak bersara, lebih mirip kepada pembangkang menjadi penyokong kuat Anwar Ibrahim. Bukan apa kerana Anwar rakannya! Hubungannya dengan Anwar kukuhnya macam akar tunjang bumi. Semasa Anwar dalam penjara di Sungai Buloh dulu dialah antara orang yang ‘membantu’ Anwar menerusi bidang kuasanya. Beli meja pingpong dan lengkapkan peralatan sukan dan riadah dalam penjara untuk kemudahan Anwar.

Baru inilah dia ke Terengganu. Beliau diundang disebabkan kepakarannya dalam bidang sukan. Banyak pembangunan sukan negara ditangani dan jaya. Apa nak diceritakan dan mengejutkan saya ialah bila dia menceritakan mengenai kehebatan Mat Said.

“Hebat Mat Said ni rupa-rupanya?” katanya. Saya terkejut dan terpaksa bertanya balik takut dia tersalah cakap atau sengaja nak perli MB Terengganu itu.

“Hebat macam mana?” soal saya agak hairan kerana jarang saya dengar di Kuala Lumpur ada orang puji Mat Said sebegitu. Banyaknya memperleceh dan memperlekeh Mat Said. Yang kata Mat Said MB cap ayam pun ada.

“Hebat! Dia buat kerja dia tidak peduli apa orang nak kata kepadanya...” jelas rakan ini menunjukkan wajah kekagumannya. Ulasnya lagi, walaupun kawan-kawan sepertinya kritik dia, palu dia, dia buat tidak peduli saja. Dia hadapi dengan selamba saja.

“Jarang orang boleh lakukan begitu, selalunya kalau kena kritik seseorang itu akan give-up. Tetapi tidak bagi Mat Said. Seolah-olah hentaman dan kritikan itu dijadikan cabaran untuk dia buktikan kemampuannya. Inilah saya maksudkan hebat! Dan dia berjiwa besar,” sambung kawan yang sudah mencecah 60 tahun itu.

Mulanya saya tidak merasa apa-apa kelebihan kalau setakat itu. Tetapi bila kawan ini menceritakan bagaimana Mat Said menumpahkan ilham merangka pembangunan infrastruktur dan sosial untuk Terengganu baru saya faham apa yang hendak dimaksudkan itu. Dalam bidang sukan misalnya Mat Said mahu jadikan Terengganu cemerlang dalam semua bidang sukan. Dia tidak sebut saja, tetapi disediakan peruntukan yang banyak.

“Saya yakin dengan apa yang Mat Said nak buat akan berjaya. Sepanjang seminar itu saya lihat sambutan dan semangat peserta sungguh tinggi. Ini menampakannya pegawai kerajaan yakin dan seronok dengan Mat Said..” jelasnya.

Katanya kalau seorang MB mendapat kerjasama dari pegawai kerajaan tidak ada masalah kalau pun Adun lain tidak menyokongnya. Bagi rakyat yang penting kebajikan untuk mereka dan bukan mereka nak lihat cita-cita peribadi seseorang Adun itu yang dicapai.

“Tetapi katanya Pas Terengganu yakin akan tumbangkan BN dalam pilihan raya akan datang?” kata saya menyeka perasaan kagumnya berdasarkan dakwaan sesetengah orang Pas.

“Saya tidak nampak kalau lihat kepada cara Mat Said berkerja. Sikap humble dan juga perhubungannya dengan rakyat berjalan baik. Rakyat suka kepadanya. You mungkin tidak tahu dia baik dengan Adun Pas. Mat Said tidak pun ada masalah dengan Pas. Yang buat masalah ialah dua tiga orang rakannya yang dengki dan cemburu dengannya,” kata rakan ini lebih mengetahui maklumat politik Terengganu dari saya.

Apa lagi katanya dengan wang ehsan yang banyak dicampur dengan approach Mat Said yang pedulikan rakyat, sediakan peruntukan RM10 juta untuk OKU...susah untuk Pas dan Pakatan Rakyat gugat Terengganu. Lainlah ada isu besar atau mistik yang Mat Said lalukan seperti mana Idris Jusoh buat dulu.

Tambahnya lagi kenapa Idris Jusoh tidak disukai kerana melambakkan pembangunan di Besut dan menambunkan projek kepada kroni. “Kalau Mat Said belajar dari kesilapan Deris ini saya fikir susah juga untuk Pas ambil Terengganu,” tekannya.

Dalam perjalanan pulang saya terfikir-fikir mengenai kawan ini. Dia bekas pegawai kerajaan yang kini sudah mulai membenci kerajaan. Semua masalah dalam kerajaan termasuk serbanika penyelewengan dia tahu. Jadi bila dia mentafsirkan kerajaan Terengganu dan kehebatan Mat Said begitu mungkin benar kerana dia sudah melihat dengan hati yang bebas.

Dan saya tidak pelik kalau Mat Said berjaya menghidupkan hubungan beliau dengan rakyat dan mengurangkan masalah dengan publik. Rahsianya ialah beliau bijak menyusun program mengutamakan rakyat.

Manakala serentak itu beliau mengurangkan isu-isu buruk mengenainya terdedah di media massa. Mungkin kehebatan Mat Said ini orang tidak sedar yang beliau dibantu oleh seorang wartawan profesional yang luas pengalaman. Saya yakin apa yang diterima oleh Mat Said ini kerana kegigihan dan nasihat Hambali Abd Latiff salah seorang pegawai khasnya di pejabat MB. Selalunya tuan akan jadi baik kalau kuli turut memberi pedoman secara berhemah dan fatanah. [wm.kl 7:30 am 31/12/09]

Wednesday, December 30, 2009

Harapan Dihujung Malam

Molek Kalau Husam Nak Jumpa Keluarga Nik Aziz

KALAU tidak silap pendengaran dan pandangan saya dalam berita Astro Awani 7:45 tadi ada dilaporkan kesediaan Husam Musa untuk berjumpa dengan anggota keluarga Tok Guru Nik Aziz. Kita fahamlah kalau kenapa Husam perlu berjumpa dan dan merendah diri. Saya rasa saya orang paling gembira kalau ini menjadi kenyataan. Tanpa boleh disembunyikan kemelut yang menimpa Pas Kelantan kini adalah antara Husam satu pihak dengan Tok Guru satu pihak yang berwakil walikan beberapa orang keluarganya.

Dengan membelakangkan sentimen peribadi dan melihat masa depan parti Pas, saya rasa wajar kalau Husam mengambil tanggungjawab gentlemen begitu. Jalan terbaik saya kira. Mungkin ada pihak yang merasakan ia sudah terlewat untuk Husam berbuat demikian sesudah nasi hendak menjadi bubur. Mungkin ada juga yang menyifatkan Husam sudah sangat terdesak!

Tetapi dalam politik tidak ada istilah terlewat. Seseorang itu harus bijak. Kalau kamu tidak mampu untuk menentang arus kamu harus mengikut arus. If you don't beat them you must join them. Pragmatif adalah satu tindakan yang baik dalam politik. Kita harus melakukan sesuatu untuk menyelamatkan sesuatu.

Saya optimis kalau Husam bersemuka dengan anggota keluarga Nik Aziz masalah, kekeliruan yang bercelaru kini tidak akan terus berlaku. Dalam hubungan ini tentulah dengan anggota utama Putra Politik dan Puteri Politik Nik Aziz; Nik Abduh dan Nik Amalina. Anak-anak lain saya rasa tidak begitu berperanan dalam politik ayah mereka seperti mana disangkakan.

Kalau dulu Nik Abduh selalu dikaitkan mempengaruhi ayahnya, kini Nik Amalina pula bila Puteri Politik itu membela suaminya. Sebenarnya sejauh mana Nik Abduh mempengaruhi ayahnya masih boleh dipersoalkan. Apakah dengan beliau hanya mengatakan ada penasihat sesat itu sebagai sudah interfere dalam politik. Begitu juga apakah dengan Nik Amalina menulis penuh emosi maka ia perlu diberikan reaksi berlebihan walhal dia membelai suaminya saja.

Kalau diperhatikan, penyusunan badan perhubungan Pas Kelantan siapa yang mempengaruhi siapa? Apakah pemilihan Mohd Zaki Ibrahim sebagai Setiausaha atas telunjuk Nik Abduh atau Nik Amalina. Begitu juga dengan pengguguran Bendahari Pas satu masa dulu Dr Izani Hussein, pengguguran Ketua Penerangan, Takiyuddin Hassan adakah kerana telunjuk dan suara Nik Amalina.

Begitu juga dalam soal meletakkan calon dalam pilihan raya baik anak negeri dan orang luar siapa yang mempengaruhi Nik Aziz. Apakah Nik Abduh atau Nik Amalina? Rasanya tidak. Ada suara lain yang lebih mempengaruhi dan mengelus janggut Nik Aziz dalam hal ini. Kenyataan yang tertabir di depan mata tidak boleh dikambusi dan jangan cuba mengambusnya.

Saya sendiri tidak nampak seluas mana pengaruh Nik Abduh terhadap Nik Aziz baik dalam kerajaan dan parti. Begitu juga sejauh mana pula Nik Aziz meletakkan kepentingan keluarga terutama menjaga kepentingan Putra Politiknya itu. Saya tidak nafikan ini berlaku dan saya telah tegur, tetapi seluas mana dan sejauh mana ia menganggui urusan politik dan kerajaan. Apapun saya tetap menolak dengan sesetengah tindakan Nik Aziz yang sebegitu.

Saya bersetuju dengan tindakan melantik Ariffahmi itu sebagai silap. Saya pernah ucapkan kepada Ustaz Yahya Othman yang Ariffahmi bakal menyusahkan Tok Guru. Ariffahmi jelas kurang senang dengan saya. Nah ternyata hari ini apa yang saya bimbang telah menjadi masalah dan polimek.

Tetapi kalau Nik Abduh saya tidak nampak. Jika Nik Abduh menganggui politik ayahnya dan menggunakan ayahnya sudah tentu dia tidak kalah semasa berdepan dengan Abdul Latiff Abdul Rahman merebut jawatan Ketua Pemuda. Saya kira Latiff juga tidak berani menentang Nik Abduh yang berpangkat abang itu kecuali beliau dihalak. Nik Abduh tidak cuba menggunakan pengaruh ayahnya dan mempengaruhi ayahnya untuk mempertahannya walaupun saya ada mencadangkannya dengan meminta Tok Guru Nik Aziz panggil Latiff dan Abduh bersemuka bertanyakan keperluan dan relevensi mereka bertanding.

Saya kira kalau Husam berperanan mengelakkan pertarungan Latiff dan Abduh saya rasa prejudis kedua-dua pihak tidak membesar dan menimbul masalah. Kalau pun Abduh tidak senang dengan politik Husam, ia tidak membesar selepas beliau kalah. Husam patutnya faham dan tahu membaca psikologis Abduh sebagai orang politik. Tetapi sayang Husam tidak nampak ini dan tidak fikir pertarungan itu bakal memberi kelukaan juga kepadanya. Mungkin kedudukannya dan kasih yang Nik Aziz beri kepadanya tidak memberi bekas kalau suatu hari Nik Abduh dan keluarganya menyerang Husam.

Biarlah apa yang berlaku itu sudah berlaku. Persepsi yang timbul itu ada betul dan ada tidaknya. Hari ini kalau Pas Kelantan khasnya Husam hendak menyelesaikan masalah berjumpalah dengan anggota keluarga Nik Aziz. Yang menjadi masalah alias musuh kepada Husam bukan orang lain kini, tetapi keluarga Nik Aziz. Begitulah tanggapan umum dan cuba diangkat ke atas oleh Husam dan orang-orangnya.

Husam sudah mengenali musuhnya yang sebenarnya. Kini terserah kepadanya untuk menyelesaikannya. Sekali lagi Husam terlewat dalam membaca penghalang masa depan politiknya. Lama sebelum ini semasa Aceh dilanda Tsunami (2004) saya sudah menasihati Husam supaya tidak bermusuh dengan Abduh. Beliau harus mendekati Abduh kerana Abdulah bakal menjadi generasi politik kepada Tok Guru.

Tidak boleh tidak, sebagai orang politik Nik Aziz pasti mahukan zuriatnya menerusi pesaka politiknya. Dalam perhatian saya, Nik Abduh adalah orangnya. Bagaimana pun Husam cuba mendekati dan menaja abang Abduh, Nik Omar. Saya tidak tahu apakah sebab musabab kedua mereka tidak boleh duduk sekali.

Untuk mendekati dan memesrakan Husam dengan Abduh saya pernah mencadangkan supaya Husam memberi wang kepada Abduh dan minta Abduh ke Aceh bagi menyampaikan bantuan kepada mangsa tsunami. Dengan cara itu hubungan mereka akan terjalin. Nik Abduh bukan ego sangat dan dia juga harus bergantung kepada dahan politik lain selain ayahnya. Beliau sendiri tahu bahawa dahan politik yang ampuh selepas ayahnya, antaranya ialah Husam.

Tetapi Husam hanya pandangan dingin saja dengan nasihat saya. Nampaknya apa yang saya bimbangkan telah menjadi kenyataan. Hari ini apabila Husam menimbulkan atau memberi mesej supaya ada pemisahan antara kepentingan keluarga dengan kepentingan negeri, (family matters dan state matters) bermakna beliau sedang berhadapan dengan risiko yang saya bimbangkan selama ini.

Kesimpulannya apabila Husam memberi jaminan bersedia berjumpa dengan anggota Nik Aziz harapnya ia menjadi kenyataan. Berjumpalah sebagai anak beranak. Sebolehnya Tok Guru ada sekali dan mendengar apakah punca menyebabkan anggota keluarganya marah kepada Husam, dan dengar juga apakah sebabnya maka Husam berkecil hati dengan keluarganya. Baik Husam dan keluarga Nik Aziz harus meletakkan kepentingan parti dan kerajaan di depan. Dan hasil perjumpaan itu nanti mestilah ada give and take. Saya mencatatkan sebegini kerana inilah saya sebenarnya. [d'kota kl 9:00 pm 30/12/09]

Catatan Mengakhiri Tahun

Kelantan Negeriku!

DI ZAMAN Raja Sakti membawa ke zaman Cik Siti Wan Kembang negeri ku dikenali dengan berbagai nama. Antaranya Medang Kemulaan. Medang adalah sejenis pokok yang boleh dibuat perkakas rumah. Dalam sejarah Cina Kelantan dikenali dengan nama Ho-lo-tan atau pun K’ou-lo-tan. Manakala dalam riwayat tradisi Kelantan dikenali dengan nama Tanah Kala.

Kelantan juga menurut para sejarahwan berasal dari pokok Gelam Hitam yang tumbuh banyak dipersisir pantai Kelantan.

Selain itu Kelantan juga dijoloki dengan nama Tanah Serendah Sekebun Bunga. Nama ini diambil sempena taman yang dibina raja Kelantan terkenal seorang perempuan bernama Cik Siti Wan Kembang. Kisah separuh dongeng dan real ini katanya masih dapat dilihat sampai ke hari ini. Masih ada artifek yang boleh dilihat dan dikaji.

Pemerintah Cik Siti Wan Kembang aman makmur. Baginda memilik anak angkat bernama Puteri Saadong. Kecantikan puteri Saadong tidak ada tolak bandingnya sehingga ia digilai oleh raja Siam.

Puteri Saadong yang sudah berkahwin dengan Raja Abdullah terus cuba dipancing oleh Raja Siam namun tidak berhasil. Akhirnya Raja Siam membuat helah dan menculik Puteri Saadong. Kehilangan Puteri Saadong menimbulkan rasa cemburu suaminya Raja Abdullah. Raja Abdullah tidak percaya kepada cinta setia Puteri Saadong ini menyebabkan timbul kemarahan Puteri Saadong.

Akhirnya kerana cemburu yang buta tuli berlaku angkara di mana Puteri Saadong telah menikam Raja Abdullah dengan penyucuk sanggulnya. Selepas kejadian itu Puteri Saadong yang berkerajaan di Bukit Marak telah menghilangkan diri dan dari situlah kerajaanya berakhir.

Itulah sejarah Kelantan lama yang tidak dicatat secara pasti oleh buku sejarah dan hanya dituturkan secara lisan oleh tukang-tukang bari. Bermula dari sejarah itu negeri ku mempunyai berbagai sejarah baru zaman berzaman. Sejarah itu juga dianggap unik dan istimewa ini termasuklah apabila Kelantan diperintah oleh seorang perempuan.

Selepas itu berbagai keunikan lagi berlaku dan wujud di Kelantan. Semua ianya menunjukkan akan keistimewaan Kelantan dan menjadi kebanggaan anak negeri. Begitu juga kemunculan seorang pahlawan bernama Tok Janggut dan seorang ulama terkenal bernama Tok Kenali juga dikategorikan sebagai keistimewaan Kelantan memilik putra bangsanya.

Bawa kemari ke dunia politik moden, Kelantan terus memiliki keunikan dan keistimewaan sendiri. Masyarakatnya dianggap sebagai mempunyai semangat provincial – kedaerahan dan assobiyah yang tinggi. Satu masyarakat yang kuat berpakat dan mudah membentuk komuniti. Di mana saja mereka berada mereka akan membentuk Kelantan Town yang akan menjadi centre society mereka.

Dalam dunia siasah moden, - peralihan kerajaan daripada Perikatan (Umno, MCA dan MIC) kepada Pas, kemudian kepada BN kemudian kepada Pas semula juga dianggap sebagai unik. Peralihan itu disifatkan kebijaksanaan dan keberanian serta sikap liberal rakyat Kelantan yang bukan mudah terikut oleh rakyat negeri lain.

Pola politik Kelantan tidak terlawan oleh negeri lain. Masyarakat Kelantan juga tidak rigid berpegangan kepada satu ideologi sahaja. Di samping mereka melihat kepada dasar dan ideologi parti mereka juga melihat kepada syaksiah dan moral ahli pendokong parti. Kalau mereka sudah menolak satu-satu puak mereka akan menolak kesemuanya. Tawaran dan umpan lazat yang dihulurkan tidak akan dijamah sehinggalah kemarahan mereka mengendur.

Rakyat negeriku mempunyai akal yang sihat!

Dalam banyak-banyak peristiwa dan kejadian ganjil itu aku ingin catatkan beberapa keunikan yang menjadi sebutan di Kelantan sebagai penutup tahun Masihi 2009 ini. Semoga generasi baru yang baru mengenali sejarah dan politik akan sentiasa ingat dan memelihara keistimewaan yang Tuhan berikan kepada masyarakat dan negeri mereka. Hendaknya jangan mudah tukar identiti dan rupa diri kita anak Kelantan.

Dalam politik baru abad ke 21, sudah berlaku macam-macam peristiwa dan tragedi politik. Tahun 1978 rakyat bangkit menentang Pas kerana tidak senang dengan beberapa individu pemimpin dalam Pas tika itu yang bergaduh sesama sendiri. Demonstrasi yang dirancang berlaku di mana-mana. Akhirnya kerajaan Pas berusia 18 tahun tumbang dan jatuh. Pas merana selama kira-kira 12 tahun sebelum bangkit pada tahun 1990.

Tahun 1990 giliran UBN pula tersembam makan debu. Pas berkuasa kembali dengan penyatuan dan kerjasama dengan serpihan Umno, Parti Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah. Kebangkitan Pas kali ini bersama seorang yang bergelar ustaz yang kemudian dinaikkan taraf menjadi Tuan Guru. Tuan Guru ini juga dianggap unik dan istimewa.
Penerimaan kepadanya sehingga ada yang taksub gila kepadanya. Walaupun berbagai pandangan dan ‘fatwa’ baru yang dihemburkan mengelirukan amalan syariah biasa namun ia ditelan bulat-bulat oleh sebahagian rakyat Kelantan.

MB ini juga dianggap tegas dan berani. Dia sedia berdepan dengan sesiapa saja demi menegak kebenaran. Beliau pernah berhadapan dengan pegawai kerajaan yang cuba mensabotaj pemerintahannya. Lebih berani dari itu beliau juga pernah menyifatkan Sultan sebagai bukan manusia kerana enggan menerima teguran!

Satu masa krisis MB dengan Istana ini sungguh genting dan meletakkan kerajaan Pas dalam keadaan bahaya. Sultan pernah enggan menerima huluran salamnya. Namun berkat doa, kekuatan dan keyakinannya, perbalahan dengan istana akhirnya pulih. Hubungan kerajaan – istana bersambung semula menyebabkan urusan kerajaan selepas itu berjalan lancar dan memungkinkan Tuan Guru ini memerintah sampai ke hari ini, sudah 20 tahun.

Hilang kisah kehebatan dan keberanian ulama ini, timbul kisah lain yang boleh mencelarukan Kelantan dan sekali gus menjadi bahan sejarah kepada kerajaan Kelantan. Sekaligus menjadikan keunikan dan kepelikan Kelantan tidak pernah berkurangan dan sentiasa wujud dengan keunikan-keunikan baru.

Di celah-celah itu tumbuh berbagai peristiwa lagi di Kelantan yang boleh ditafsirkan sebagai keunikan. Semua peristiwa ini mengejutkan dan menyebabkan orang luar tertanya-tanya dan merasa anih. Dalam tahun ini saja ada dua peristiwa yang melibatkan rumah tangga orang ternama di Kelantan yang menjadi perhatian umum. Satu melibatkan putera di raja Kelantan dan satu lagi – paling baru melibatkan bekas pemimpin pemuda Pas Kelantan.

Anak raja Kelantan ditohmah telah melarikan gadis dari Indonesia. Kisah ini menjadi riuh rendah dan nyaris-nyaris berlaku ketegangan. Ia tidak pernah berlaku sebelum ini apa lagi sesudah zaman Puteri Saadong. Tetapi kejadian itu berulang seolah mahu memastikan Kelantan penuh dengan kisah-kisah anih.

Kisah putera raja melarikan gadis Indonesia ini sudah berakhir dengan mahkamah memutuskan pihak putera raja yang menang. Gadis Indonesia yang dikatakan mempunyai perancangan bersama ibunya untuk membolot harta putera raja berkenaan diperintah oleh mahkamah agar membayar sejumlah ganti rugi kepada putera raja berkenaan.

Belum habis sunggutan orang cerita anak raja Kelantan melarikan orang Indonesia, hari ini kecur pula cerita rakyat biasa seorang bekas pemimpin Pemuda Pas yang pernah berkhidmat dengan Exco Kelantan melarikan isterinya. Mahkamah telah memutuskan perkahwinan tidak sah dan mereka diperintah mufarakah. Namun arahan mahkamah itu enggan dipatuhi menyebabkan timbul rasa kurang senang oleh bapa si perempuan.

Bapa si perempuan setelah mengetahui anaknya masih ‘bersekedudukan’ dengan suaminya itu telah bertindak mengepung rumah di mana anaknya duduk. Gegak gempita Kota Bharu dengan perisitwa ini. Lagaknya macam orang kepung musang masuk reban ayam saja, katanya.

Dalam dunia berkecamuk dengan kejadian-kejadian itu timbul pula cerita Sultan Kelantan telah berkahwin seorang lagi. Berita ini terdedah di saat baginda kini sedang gering di Singapura.
Apakah ini juga satu antara seribu kejadian anih di Kelantan? Mungkin ada orang merasa ganjil tetapi takdir yang menimpa ke atas Sultan Kelantan berkahwin satu lagi itu adalah haknya dan tidak menyalahi hukum agama.

Dengan hanya ada kurang 48 jam untuk melangkah ke tahun baru diharap tidak ada lagi kejadian dan peristiwa unik di Kelantan. Marilah kita tutup segala kisah-kisah itu dengan sumpah seranah Tuan Guru MB Kelantan terhadap blog yang membuat fitnah yang dihembur semalam, celaka, celaka, blog celaka! Janganlah lagi ada orang dicelakannya selepas ini.[wm.kl.12:20 t/hari 30/12/09]

Tuesday, December 29, 2009

Angin-angin Petang

Saya Akan Puasa Selama Tiga Bulan Kalau Husam Letak Semua Jawatan

BEBERAPA SMS saya terima bertanyakan perihal Husam bin Musa apakah benar Exco itu akan melepaskan semua jawatan? Yang menelefon bertanyakan hal itu termasuk tiga orang wakil rakyat, dua Pas seorang BN. Saya hairan kenapa pertanyaan ini timbul dan bermain dalam kepala umum. Asal timbul isu dan masalah menimpa Exco itu, beliau dikaitkan dengan tindakan nak lepas jawatan. Macam budak pulak.

Apakah senipis itu iman Husam dalam perjuangan? Bila berhadapan dengan masalah sebesar anak biri-biri pun dikaitkan dengan nak letak jawatan. Kalau tidak silap saya, cerita hendak letak jawatan ini samalah dengan cerita Anwar Ibrahim nak jadi perdana menteri. Kadang-kadang alasan dan perkembangan tidak relevan pun dikaitkan dengan peluang untuk Anwar jadi PM.

Bila timbul isu dalam negara atau melihat wajah Najib Razak berkedut saja, maka timbul spukulasi Najib ada masalah dan akan memaksa Najib lepaskan jawatan kemudian jawatan PM akan diserahkan kepada Najib. Begitulah perihal Husam sama sensitif dengan kisah Anwar.

Jadi cerita Husam hendak letak jawatan ini sudah lapok sebenarnya. Kalau cerita begini benar sudah lebih tiga kali Husam melepas jawatan. Bukan saja jawatan Exco dan Pesuruhjaya II Pas Kelantan, jawatan ketua cawangan pun telah dilepaskan. Tetapi ternyata setiap kali bergema isu ini Husam tetap berada di kerusinya. Setiap kali itu juga Husam mendapat kekuatan dan semangat baru.

Sekali pandangan isu ini sengaja direka untuk meletakkan value politik Husam sama mahal dengan Nik Aziz.

Bagi saya cerita ini tidak lebih dari satu gimik untuk orang mengenangkan Husam sahaja. Sedangkan batang tubuh sendiri tidak ada apa-apa. Orang lain kalut fikir halnya, dia lena dan rileks bersama anak bininya dan menantu di rumah bermian congkak lubang sembilan.

Maklumat terbaru kini kononnya Husam akan lepas jawatan Adun Salor dan semua jawatan dalam parti. Dari mana sumbernya entahlah. Saya jelaskan di sini bukan bermakna saya suka kalau Husam melepaskan jawatan, tidak.

Bagi saya tindakan itu merugikan Pas saja dan Nik Aziz akan kehilangan seorang partner yang istimewa. Bukan saja kerana implikasi politik bakal menimpa Pas tetapi kerana kerana umum sudah tahu dan artif dengan perangai Husam dan syaksiah politiknya.

Sekiranya Husam melepas semua jawatan saya berani bernazar akan puasa selama tiga bulan berturut-turut. Bukan kerana manggak tetapi kerana menghormati berita pelik yang tidak ganjil yang kedengaran dan menjadi bahan SMS saat ini.

Di antara Husam dengan Tok Guru Nik Aziz saya rasa Nik Aziz dulu akan berhenti. Kalau ada SMS mengatakan Nik Aziz akan melepas jawatan MB dan jawatan dalam parti saya lebih yakin dan merasa lebih tersauk dek akal. Masakan kerana Annual Bakri dan Saiba Yaacob dikatakan tidak disambungkan perkhidmatan Husam nak letak jawatan? Apa kena mengena beliau dengan Annual Bakri?

Kalau Husam nak bela Annual Bakri pun masakan tindakan sebodoh itu diambil? Mengorbankan perjuangannya selama ini. Jadi kepada pengkagum Husam usahlah risau Husam tidak akan berbuat begitu. Saya berani memberi jaminan. Husam yang pernah saya kenal dia tidak akan mengambil keputusan drastik dan setolol itu. Kalau pun ada maklumat itu dari dirinya ia tidak lebih daripada satu test market sahaja di mana dalam ujian-ujian itu beliau sering mendapat keuntungan.

Kepada media massa jangan melaporkan perkhabaran ini kalau anda tidak mahu disaman oleh Husam! [wm.kl. 5:10 pm 29/12/09]

Mengenang Nasib

Husam Terlambat Tegur Nik Aziz 10 Tahun

POSTING terbaru Husam Musa dalam blognya, Rujuk sini: 28 Disember lain macam saja bunyinya. Ada istilah-istilah yang baru yang diperkenalkan yang tentunya lahir dari keadaan dan senario politik di Kelantan hari ini.

Istilah dan konotasi ini baru terlucut dari mulut Husam dan ia agak mengejutkan juga.

Kerana ia datang dari mulut orang yang diminati mungkin istilah itu halal dan tepat sekali. Tidak ada siapa yang merasakan Husam salah, melainkan tindakan beliau itu betul!

Misalnya family matters, state matters dan legally dan morally. Apa itu semua Sham... (panggilan saya kepada bekas sahabat ini). Kenapa sampai menggunakan istilah berkenaan dan perlu dicampak ke luar dari pemikiran anda?

Apakah berat sangat kedudukan politik di Kelantan kini dan isu yang mengisar diri tok guru kita itu boleh menjahanamkan Pas dan kerajaan Kelantan?
Dalam blog hati nuraninya ada juga diceritakan; A'isyah memberi pendapat kepada suami baginda bahawa ayahandanya Abu Bakar seorang yang penghiba dan tidak perlu dilantik menggantikan Rasulullah sebagai imam solat yang dikira penting. Rasulullah s.a.w meneruskan hasrat baginda. A'isyah memberikan pandangan itu atas kepentingan awam dan bukan untuk kepentingan dirinya sendiri.

Ada juga diungkapnya mengenai sikap Rasulullah s.a.w. yang dalam keadaan tertentu menerima atau meminta nasihat dari anggota keluarga. Apa pun akhirnya keputusan semuanya ditangan Rasulullah juga. Maksudnya Rasulullah tidak seratus peratus berpegang kepada nasihat anggota keluarga. Untuk siapakah kisah ini. Apakah untuk tok guru?

Tidak terlupa Husam juga turut membangkitkan cerita akronim PAS, Parti Asri Sekeluarga. Membawa balik dongengan kemusnahan Pas disebabkan angkara amalan kronisme oleh Mohd Asri Muda. Turut sama dibentangkan mengenai kerosakan Mahathir Mohamad dan Abdullah Badawi dalam Umno juga kerana masalah kronisme.

Apakah maksud yang hendak disampaikan Husam ini?

Jarang Husam membuka mulut mengeluarkan perumpamaan dan membayangkan kebimbangan begitu. Selamanya sebelum ini beliau seakan tidak pun terfikir mengenai itu. Malahan beliau sangat menjaga dan merawat hati tok guru. Apabila beliau bersuara apakah beliau sudah tidak dapat bertahan. Sabarnya sudah hilang dan kebimbangan yang diwalangi itu sudah membanjir di Kelantan?

Kalau Husam menegur Nik Aziz dan sesiapa dengan pandangan itu, tujuannya tidak lain untuk menjaga Pas dan kerajaan Kelantan. Saya tidak fikir dia ada udang di sebalik batu dan mengharap sesuatu untuk dirinya dengan teguran itu.

Saya bersetuju dengan apa yang disuarakan oleh Husam. Kebimbangan Husam itu, adalah juga kebimbangan saya malahan itulah yang telah saya suarakan sebelum ini. Lama sebelum Husam belajar nak bercakap bahaya kronisme dalam Pas, saya sudah pun meluahkannya. Saya sudah pun kritik Nik Aziz mengenai ini. Dan saya sudah pun dikecam oleh penyokong Pas berakal kemetot dan tidak cukup klorofil.

Gambaran yang beliau berikan akan kemusnahan Pas di zaman Asri dan kemusnahan Umno di zaman Abdullah dan masalah Mahathir kerana kronisme adalah tepat. Tetapi kenapa Husam tidak berterus terang dalam soal ini. Apakah gambaran dan perbandingan itu beliau ingin campakkan ke atas suasana politik di Kelantan kini? Begitukah? Nik Aziz juga mengamal kronisme? Terukkah sindrom kronisme dalam Pas?

Kepentingan dan keutamaan keluarga (family matters) seharusnya diketepikan dan perlu mengutamakan kepentingan negeri (state matters) dan rakyat. Pemimpin yang baik macam Najib yang mendahulukan rakyat? (he he...).

Cuma bila membaca dan menyelami rasa sedih dan geram yang berdaut dalam dada Husam ini saya nak tanya apakah beliau baru sedar perkara ini? Kenapa beliau tidak menulis dan membuat kritikan ini sejak lama dulu?

Kenapa baru sekarang beliau merasakan sudah sampai dilakukan pemisahan antara family matter dengan state matters oleh Nik Aziz? Adalah elok kalau beliau menurunkan beberapa contoh bagaimana Nik Aziz mengutamakan keluarga dan membelakang kepentingan negeri. Kalau setakat menuduh tanpa menunjukkan buktinya sukar untuk dipercayai. Kalau bak kelebek, kelebeklah seluas-luasnya kalaupun tidak orang tetap orang mengatakan Husam sudah membuka lubang rahsia.

Adalah tidak adil kalau selama 20 tahun Husam membiarkan Nik Aziz mengutamakan keluarganya dan mengabaikan negerinya. Sepatutnya beliau telah menegur pada waktu itu. Nasihatkan Nik Aziz agar memisahkan kepentingan keluarga dengan kepentingan negeri. Husam sepatutnya tidak memelihara kepentingan demi menjaga kepentingan lebih besar!

Saya yakin dan percaya Husam sudah ada idea dan kebimbangan itu. Tetapi beliau tidak berani mengatakan secara jujur kepada Nik Aziz. Mungkin disebabkan penghormatannya terlalu tinggi. Sikap itu salah... menghormati seseorang sampai tidak boleh menegurnya adalah silap. Tok Guru berpesan kepada saya tidak boleh ambil wuduk dengan air kencing!

Apakah semasa Nik Aziz hendak lantik menantunya Abdul Ariffahmi Abd Rahman jadi CCEO (belum lagi CEO) dulu Husam sudah membantah dan memberi pandangan baik dan buruknya? Adakah Husam nasihat Tok Guru secara jujur atau sengaja melepaskan kerana mengharap akan ada musibah lain yang kemudian menguntungkan politiknya? Begitukah?

Kalau Husam tidak berani waktu itu kenapa sekarang jadi berani? Sekarang keadaan sudah hampir menjadi bubur. Kalau nasi sudah nak masak dan didihannya pun sudah berhenti, hanya menunggu kering saja. Bila-bila masa saja nasi itu akan dimakan.

Nasihat dalam keadaan hari ini tidak memberi faedah dan gunanya lagi. Sebaliknya ia bakal memberi penyakit kepada dirinya sendiri. Sayang kalau Husam yang dilihat orang paling hampir dan mendapat kepercayaan Nik Aziz tiba-tiba di hujung game beliau terpelanting jatuh.

Apakah Husam jadi leka untuk menegur Nik Aziz kerana dia beranggapan dia adalah anak emas kepada Nik Aziz. Sanjungan dan pujian Nik Aziz, berlebihan sehingga Nik Aziz pernah menyifatkannya budak cerdik yang dilahirkan bukan saja untuk Kelantan bahkan untuk Malaysia menyebabkan beliau jadi ralik dan lena serta penuh kepercayaan kepada Nik Aziz?

Jika itulah pegangan Husam selama ini ternyata beliau silap. Dalam politik tidak ada tali yang akan disimpul mati. Tali politik boleh relai mengikut keadaan dan suasana. Hari ini ia kemas esok ia mungkin longgar dan mungkin terlucut terus.

Husam juga akan dituduh hipokrit kerana mula bertindak bila dia dihimpit masalah dan membiarkan kebusukan itu selagi ia memberi untung kepada dirinya.

Apabila Husam bersuara pada saat beliau dibelasah oleh keluarga Nik Aziz serta orang-orang yang dianggap dapat membantunya ingin dilucutkan jawatan ia adalah tidak adil. Kritikan dan teguran Husam meskipun seribu kali ikhlas pun orang akan mengatakan ia dibuat setelah beliau kecewa atau dikecewakan.

Mungkin kalau kedudukan dan kepentingan Husam dalam politik belum terusik tulisan seperti mana dalam blog beliau itu tidak akan muncul lagi walaupun ia patut muncul sejak 10 tahun dulu. [wm.kl. 11:00 am 29/12/09]

Monday, December 28, 2009

Telahan Malam

Khidmat Annual Bakri Dan Saiba Tidak Akan Disambung?

SUDAH riuh di Kota Bharu berita mengenai perkhidmatan Annual Bakri Haron sebagai Setiausaha Politik dan Saiba Yaacob selaku Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan tidak akan disambung. Khabarnya pengumuman mengenai hal itu akan dibuat esok.

Saya percaya saat ini wartawan semua akhbar yang telah menghidu berita ini sejak dua tiga hari lepas sedang menyiapkan berita berkenaan. Berita ini akan disensasikan secukupnya untuk menunjukkan Pas Kelantan masih bergolak. Esok pasti beberapa akhbar akan menyiarkan desas desus ini sebagai berita penting.

Sebenarnya kalau Tok Guru Nik Aziz Nik Mat tidak menyambung khidmat mereka berdua khususnya Annual Bakri tidak menjadi masalah. Annual Bakri sudah satu dekat berkhidmat sebagai Setiasuaha Politik. Beliau dikira sudah puas berkhidmat. Pemberhentian itu mungkin menggembirakan Annual Bakri kerana membolehkannya menumpukan ke bidang yang diminati, menyair dan menerbit buku falsafah dan novel.

Sebelum ini pun semasa menjadi Setiausaha Politik beliau rancak menulis dan menerbit buku disamping turut sama menulis lirik lagu dan bernasyid. Beliau memiliki sebuah penerbit sendiri yang sedang mengorak maju, Anbakri Publication. Kebanyakan buku yang diterbitkan ialah buku ucapan dan kata-kata hikmah Tok Guru Nik Aziz.

Beliau mula mengambil alih jawatan itu apabila Husam Musa berhenti kerana bertanding dalam pilihan raya umum 1999. Sebelum ini Annual Bakri berkhidmat dengan sebuah institusi kewangan negara. Beliau dilihat lebih berperwatakan romantik dan tidak menyerlah sebagai seorang ahli politik yang bergaya. Beberapa tindak tanduknya juga sering dipertikaikan.

Persoalan kini siapakah yang bakal menggantikan Annual Bakri dan Saiba? Ada beberapa nama sudah pun disebut-sebut namun masih belum dapat disahkan. Selagi Nik Aziz sendiri tidak menyebutnya tidak ada sesiapa berani meniyakannya.
Salah seorang dari mereka dari golongan pemuda berkelulusan luar negera dikatakan telah menjadi pilihan Nik Aziz untuk mengganti tempat Annual Bakri.

Manakala seorang pegawai di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias) pula disebut-sebut akan mengambil alih tempat Saiba. Kedudukan Saiba pula dikatakan akan dihantar ke Kias sebagai pegawai kolej berkenaan.
Pemberhentian Saiba dikatakan tidak menjadi persoalan kerana Saiba tidak dilihat menjadi proksi kepada mana-mana kumpulan dan beliau hanya menjalankan tugas yang ditetapkan kepadanya saja. [wm.kl. 11:10 pm 28/12/09]

Minda Pagi

Mudahnya Bahan Berita Media Malaysia

ANTARA masalah yang sering menimpa seseorang editor di sesebuah akhbar ialah untuk mendapatkan bahan dijadikan berita. Inilah yang memeningkan kepala bagi seseorang editor, mencari dan menyaring bahan untuk di isi disetaip lamanan akhbar mereka. Mereka kena pilih dan cari berita yang bukan saja ada nilai berita tetapi berita yang berkualiti.

Berita yang ada nilai ialah berita yang akan menjadi tumpuan dan digemari orang untuk membacanya yang sekaligus melariskan akhbar berkenaan.

Bagaimana pun itu bukan bermakna ianya cukup dengan berita yang menjadi tarikan pembaca saja, tetapi berita itu mestilah ada matlamat, ada tujuan dan ada faedah kepada pembaca. Dalam konteks faedah ini ia boleh memberi sesuatu pengetahuan dan ilmu aru kepada pembaca, membangun bangsa, negara dan agama.

Betapa pun besar berita itu kalau ia tidak mendokong konsep dan prinsip berkenaan ia tidak ada nilai dalam erti kata sebenarnya.

Manakala prinsip sesebuah berita itu disiarkan akhbar berkenaan ialah untuk mempengaruhi pembaca agar terikut dengan kehendaknya bagi menjayakan misinya. Antara falsafah akhbar (media) ialah mempengaruhi pemikiran pembaca.

Di negara ini bahan yang dijadikan berita sangat mudah sekali. Ia tidak kira apakah bahan berkenaan menepati ciri-cirinya sebagai sebuah berita ataupun tidak, ia akan disiarkan. Asalkan bahan itu memberi untung kepada apa yang diperjuangkan media berkenaan ia akan disiarkan walaupun salah dan catatnya nyata sekali.

Paling malang lagi ada berita yang diisikan nampak sangat dibuat-buat, direka-reka sendiri. Media mengaturkan sesuatu peristiwa atau kejadian kemudian melaporkannya sebagai sebuah berita yang benar dan semula jadi.

Inilah yang berlaku dalam dunia penerbitan akhbar negara ini. Akhbar sudah tidak dapat berdiri di garis tengah, bersikap bebas melainkan mengarahkan berita dan penyiarannya mengikut agenda yang diperjuangkan. Akhbar bukan pemberi maklumat dan pelapor kejadian tetapi penggerak agenda kepada sesuatu puak.

Satu contoh terbaru ialah mengenai sekumpulan manusia yang telah berhimpun di hadapan pejabat Pas Selangor semalam untuk menyerahkan memorandum kepada pemimpin Pas negeri itu untuk mendesak agar Pas keluar dari Pakatan Rakyat.

Perhatikan bagaimana tindakan sekumpulan orang yang tidak sampai 20 orang itu diolah menjadi berita besar. Kumpulan itu mengaku mereka adalah penyokong dan pengundi Pas. Atas kapasiti itu mereka merasakan berhak untuk menasihati Pas Selangor supaya keluar dari kerajaan Pakatan.

Media yang selama ini anti kepada pembangkang, (Pas) terus mengambil kejadian berkenaan sebagai bahan berita yang benar. Tanpa menyiasat apakah kumpulan itu benar penyokong dan pengundi Pas. Mungkin kepada mereka tidak perlu siasat kerana aksi dan tindakan kumpulan manusia itu sesuai dengan apa yang dipancar dan disiarkan selama ini.

Sepatutnya dalam hal ini editor perlu menggunakan akal, kebijaksanaan dan kod etika sebagai wartawan. Mereka kena siasat apakah benar kumpulan itu dari Pas walaupun memang benar ada perhimpunan dan sepanduk yang diangkat.

Dalam konteks ini bahan berita sudah ada, tetapi kesahihan berita berkenaan pelu disiasat. Bukankah menyiarkan berita tidak benar itu satu fitnah! Mungkin itu tidak menjadi masalah. Menyiarkan berita yang pembaca sendiri sudah dapat mengagakkan sama ada benar atau tidak menunjukkan akhbar atau media yang melamporkan itu cetek sangat pemikiran mereka.

Akhbar yang berkelas arus perdana tidak seharusnya mengambil maklumat atau bahan berita daripada orang-orang yang tidak dikenali. Munasabahkan orang picisan untuk bersuara berhubung pembentukan sebuah negara? Kewibawaan sesebuah akhbar itu ialah apabila ia bersumberkan kepada pemberi maklumat yang berkedudukan, benar dan kumpulan yang dewasa, sihat akal serta berkeperibadian luhur dan bukan diurusniagakan.

Kalaulah begini corak pemikiran editor akhbar dan stesen tv di Malaysia lama kelamaan wibawa dan keyakinan orang kepada berita yang disiarkan tidak akan dipercayai lagi. Apa lagi berita-berita politik yang bersifat menyerang satu pihak. Kesan daripada sikap sambil lewa dan terlalu mementingkan kepada agenda sehingga mengabaikan kod etika kewartawanan menyebabkan berita, ulasan dan apa juga laporan mengenai politik akan ditolak mentah-mentah oleh rakyat.

Corak pemberitaan dan laporan yang dilakukan akhbar hari ini juga menjelaskan pembaca lebih cerdik daripada editor akhbar yang seharusnya lebih berpengetahuan, bertanggungjawab dalam menyiarkan apa juga laporan atau berita.

Mengenai himpunan sekumpulan orang di hadapan pejabat Pas semalam nyata ianya diupah dan apa yang menjadi persoalan di sini apakah berita yang 'diupah' itu sahih untuk menjadi sebuah berita dan diluluskan oleh profesyen persurat khabaran dan wartawan! [wm.kl. 9:30 am 28/12/09]

Sunday, December 27, 2009

Catatan Ahad

Antara Kesilapan Dan Takdir

JODOH pertemuan, ajal dan maut semuanya tergenggam dalam tangan Tuhan. Ia merupakan takdir Allah s.w.t. Ia telah ditetapkan demikian. Tidak boleh dipercepatkan atau ditangguhkan walaupun sesaat. Itulah kehebatan Allah.

Kita sebagai hamba-Nya harus menerima dengan penuh redha atas apa yang berlaku. Anggap dan terimalah sesuatu yang ditakdir itu penuh dengan hikmah yang tersirat yang bukan mudah untuk kita selongkari.

Begitulah juga dengan tragedi malang, kemalangan mengeritkan yang berlaku ke atas bas Sani ekspress dua tingkat di lebuh raya Utara – Selatan pagi semalam. Kejadian itu ia sudah ditetapkan berlaku demikian. Adapun punca kejadian itu kerana pemandu terlelap adalah isbatnya sahaja.

Walaupun kita tidak berpuas hati dan kesal kerana isbat manusia itu, namun itulah ketentuan dari Maha Pencipata dan Penguasa.

Kesemua mereka yang maut dalam kemalangan itu sudah ditetapkan sejak diazali lagi. Bahawa mereka akan kembali menemui penciptaan-Nya dalam keadaan seperti itu pada tempat, masa dan hari berkenaan.

Kepada keluarga mangsa harusnya menerima dengan penuh tabah dan keredhaan. Tiada ucapan seaman itu untuk mereka. Kata orang berat mata menadang berat lagi bahu memikul. Tahziah.

Bagaimana pun demikian ketetapan Allah kita tidak boleh menerima begitu saja tanpa memikirkan kesan, akibat serta mencari punca-punca kelemahan manusia bagi mengatasinya. Setiap kejadian harus diambil iktibar agar ia tidak mudah berulang. Kalau sesuatu kejadian itu tidak dijadikan iktibar nescaya ia akan berulang dan berulang.

Yang pastinya kejadian itu kerana kelemahan dan kelalaian manusia. Selalunya kesilapan akan berlaku kerana kelemahan manusia. Jika manusia berhati-hati dan waspada kesilapan boleh dikurangkan kalaupun tidak boleh dielakkan langsung kerana sudah tertakdir begitu.

Kelemahan ini boleh diatasi. Kerana itu kita disarankan agar berdoa, berikhtiar bagi mendapat sesuatu dan meloloskan diri kita dari apa jua kecelakaan. Apakah kalau kita berdoa apa yang ditetapkan itu akan tertangguh? Bukankah sesuatu kejadian itu telah ditetap sejak azali lagi?

Soal tertangguh atau tidak itu kerja Allah s.w.t. Kita makhluk yang kena jadi diminta berbuat demikian. Kita tertakluk dalam kehendaknya. Dia suruh kita berusaha, meminta dan berikhitar tentulah ada muslihat baginya. Sama ada ianya mendatangkan hasil atau tidak, itu soal lain. Sebab itu setelah berdoa, berikhtiar kita diminta pula berserah (tawakal) kepadanya.

Mengenai kemalangan ngeri di kilometer 272.8 lebuh raya Utara – Selatan itu ia boleh dielakkan kalau pemandu itu tidak terlelap. Dia tidak letih dan tidak mengatuk. Di sini kesihatan, kewarasan dan kebijaksanaan pemandu mengawal diri adalah penting dalam berjihad dan berkebajikan membawa bas.

Begitu juga dengan ciri-ciri keselamatan lain. Kalau kita berakal, bijak berikhitar dan berusaha mengelak kemalangan mungkin ia boleh diatasi. Takdir Allah tidak sesiapa yang tahu. Tetapi akal kita boleh menjangkau apa yang harus kita lakukan menerusi pengalaman, sejarah dan kejadian-kejadian lampau.

Misalnya, kalau pagar jalan itu dibina tinggi atau pun diganti dengan tembok, mungkin keadaan yang menimpa bas itu tidak akan berlaku sekejam itu. Besi penghadang jalan itu tidak akan merodok ke dalam perut bas yang boleh memenggalkan kepala dan memburaikan isi perut penumpang.

Besi penghalang yang ada di lebuh raya kini umpama peluru atau anak panah yang siap menanti untuk menikam pemandu lalai dan leka. Ia akan memancung kepala sesiapa saja. Adalah adil kalau ia memancung kepala pemandu yang liar, tidak mematuhi isyarat lalu lintas, tetapi malangnya ia kadang-kadang mengorbankan penumpang yang tidak berdosa yang sedang lena tidur.

Begitu juga harus difikir penggunaan bas dua tingkat. Mungkin ianya tidak stabil dan sesuai dengan keadaan lebuh raya kita yang berbinggul-binggul dan tidak sekata. Mungkin Jabatan Pengkutan Jalan (JPJ) dan pihak berwajib lain boleh membuat kajian mengenai tahap keselamatan bas berkenaan. Kita tidak seharusnya bermegah dengan kehebatan rupa bentuk bas tetapi yang lebih penting ialah keselamatannya. Penumpang menggunakan perkhidmatan bukan untuk bersantai tetapi untuk tiba ke destinasinya.

Aspek-aspek lain ialah mengenai penguatkuasaan daripada pihak polis dan juga jabatan pengakutan jalan raya. Penguatkuasaan hendaklah berterusan dan bukan bermusim pada musim perayaan sahaja. Polis trafik seharusnya bukan kerja memerangkap untuk menyaman tetapi bertindak sebagai penegur, tampil secara fizkial dijalan raya dan nasihat terus pemandu yang liar.

Begitu juga dengan warga pemandu bas dan pengguna jalan raya seluruhnya. Mereka harus memandu atau mengguna jalan raya umpama mereka sedang meniti satu titian halus yang panjang. Anggaplah memandu sebagai satu cabaran besar yang meletakkan nyawa sebagai sandaran.

InsyaAllah kalau kita berusaha keras, berikhtiar menjaga keselamatan, kematian yang begitu rapuh seperti berlaku ke ata penumpang bas Sani ekspress itu dapat dielakkan.
Akhirnya sekali lagi TAKZIAH kepada seluruh keluarga penumpang yang maut. Marilah kita berdoa semoga kejadian itu tidak akan berulang dan ia merupakan penamat dan penutup kepada tahun 2009, dan kejadian ngeri begitu tidak lagi berlaku selamanya. Kita wajib berdoa! [wm.kl 9:55 am 27/12/09]

Saturday, December 26, 2009

Susupan Malam

Beranikah Najib Sahut Cabaran Mahathir?

TIMBALAN Presiden PKR, Syed Husin Ali meminta supaya Perdana Menteri, Najib Razak jangan bertangguh untuk menubuhkan suruhaanjaya siasatan di raja seperti dicabar Mahathir Mohamad untuk menyiasat dakwaan Barry Wain yang menuduh beliau (Mahathir) melesapkan RM100 akibat rasuah.

Katanya dalam satu kenyataan yang dikirim ke blog ini, walaupun pihak PKR merasakan cabaran Mahatahir itu tidak serius tetapi wajar suruhanjaya di raja dibentuk untuk menyiasat Mahathir.

Berikut adalah kenyataan penuh Syed Husin Ali:

Menyambut Cabaran Dr Mahathir

Walaupun kami tidak percaya mantan PM Tun Dr Mahathir Mohamad serius, namun Parti Keadilan Rakyat (KEDILAN) mengalu-alukan cabaran beliau supaya pemerintah membentuk sebuah Suruhanjaya Bebas untuk menyiasat pendedahan Barry Wain dalam buku tebarunya bahawa di bawah bekas PM itu lebih RM100 bilion lesap akibat rasuah dan pembaziran.

Sebenarnya Mahathir mencabar pemerintahan Umno-Bn yang dipimpin oleh Datuk Seri Najib Razak. Najib tidak perlu bertangguh-tangguh atau berdolak-dalik dan harus membentuk segera Suruhanjaya tersebut.

Suruhanjaya itu hendaklah diberi bidang kuasa luas bagi menyiasat pendedahan Barry Wain dan juga mengkaji segela bentuk rasuah dan pembaziran yang dikaitkan dengan mantan PM Mahathir itu.

Bahkan, jika perlu dan sesuai, Suruhanjaya ini boleh juga mengkaji segala yang belaku di bawah mantan PM Abdullah badawi, sebgaimana didakwa dan didesak oleh Mahathir.

Sesuai dengan “cabaran” Mahathir, Suruhanjaya ini hendaklah dianggotai bukan saja oleh hakim serta bekas hakim, tetapi juga tokoh-tokoh politik kerajaan serta bukan kerajaan dan tokoh-tokoh professional (misalnya dari golongan academia serta Majlis Peguam).

Seharusnyalah ada jaminan supaya segala perakuan Suruhanjaya diambil tindakan oleh Kerajaan serta pihak berkuasa lain.

Janganlah hendaknya ia ditimpa nasib seperti suruhajaya mengenai polis dan “Pita Lingam”.

Dr SYED HUSIN ALI,
Timbalan Presiden KEADILAN,
25 Disember 2009 [wm.kl. 9:00 pm 26/12/09]

Mengaut Rasa Sabtu

Menelaah Politik Orang Muda Pas Kelantan

NASIB masa depan sesebuah negara terletak di tangan pemuda. Pemudalah yang akan menjadi agen penerusnya. Begitu juga dengan nasib parti PAS ia terletak di tangan pemuda. Golongan muda akan bertanggungjawab mengolah dan memikul amanah perjuangan parti dan memelihara maruah bangsa. Merekalah generasi penggalas jihad.

Dalam konteks PAS Kelantan, masa depan parti itu dan kerajaan yang dimiliki kini terletak dalam genggaman pemuda. Pemudalah yang akan menentukan jatuh bangun, panjang dan pendek usia pemerintahan parti mereka. Kejayaan dan kegagalan PAS di masa depan terpikul atas bahu golongan pemuda.

Orang tua yang menjadi pemimpin dan pemikul amanah dewasa ini akan berundur secara perlahan seorang demi seorang, kecuali orang tua yang ada umph.. dan ada aura yang evergreen terus diharap dapat memberi cahaya. Yang tidak ada ‘gas’ sudah mula sedar diri dan eloklah kalau mereka membungkus tikar dan bantal untuk memondok di mana-mana pondok.

Dalam usia tua yang mana pemikiran, pendekatan, teori dikemukakan sudah tidak mustajab dengan peralihan zaman elok mereka ke pondok. Setidak-tidaknya di kampung akhirat itu dapat mereka menelaah kitab-kitab lama mempelajari perukunan, menghayati semula sifat 20 serta berzikir banyak-banyak kepada Allah. Sunatullah ini tidak dapat disangkal oleh sesiapa pun.

Sekitar awal tahun 1990-an penulis seronok melihat barisan pemimpin Pemuda Pas Kelantan yang kepada saya berkualiti dan sekaligus dikira dapat melakukan perubahan kepada Pas. Mereka saya lihat semuanya ada kelulusan peringkat sarjana dan Phd dari berbagai bidang dan kedudukan serta fikrah mereka jauh lebih felksible dan berwawasan berbanding dengan pemuda sebelum itu.

Walaupun setengahnya tidak ada pengalaman pentadbiran dan pengurusan kewangan, namun ilmu yang ada kepada mereka tidak menjadi mereka kekok untuk melaksanakan tanggungjawab jika diserahkan kepada mereka. Asalkan mereka tabah dan rajin mendalami dari masa ke semasa mereka akan berjaya.Latar belakang dan syaksiah mereka juga menarik dan mempesonakan.

Perwatakan mereka, gaya mereka bercakap dan di wajah wajah terpancar nur Islam. Ini sangat sesuai untuk menjadi pemimpin sebuah gerakan seperti PAS. Beza air muka mereka dengan wajah pemuda parti lain sangat kontras.Antara mereka ketika itu ialah, Hassan Mahamod, Mohd Amar Abdullah, Husam Musa, Takiyuddin Hassan, Wan Nik Wan Yusuf, Wan Ismail Wan Jusoh, Zulkefli Mamat dan lain-lain.

Mereka adalah sebaya dan mempunyai keistimewaan tersendiri. Mereka ini pada saya waktu itu bolehlah dianggap sebagai pemuda al Khafi yang bertapa beratus tahun sebelum keluar untuk menjulang panji-panji Allah di muka bumi negeri Cik Siti Wan Kembang.Penulis melihat mereka muncul hampir serentak. Kerana itu sukar untuk menelaah siapakan antara mereka yang akan menjadi kapten.

Dan sebagai pemerhati dan menyanyangi semua mereka itu saya tidak pernah bersikap pilih kasih untuk mengambil sesiapa sebagai ketua. Penulis bernasib baik kerana berpeluang mendekati kesemua mereka secara peribadi dan mengenal serba sedikit hati budi mereka.Mereka ini semua diharap menjadi serandang atau tongkat kepada Nik Aziz Nik Mat, Abdul Halim Abdul Rahman, Abdul Fatah Haron, Bunyamin Yaacob (Allahyarham), Omar Mohamad dan lain-lain sebelum mereka sendiri mengambil kekuasaan selaku pemimpin pada masa akan datang.

Penulis menaruh keyakinan kepada kumpulan ini akan menjadikan PAS berubah dan mampu membawa PAS lebih dinamik lagi. Ternyata harapan ini membuahkan hasil apabila Nik Aziz dengan sokongan padu mereka berjaya memerintah Kelantan hingga ke hari ini.

Yang paling penulis harapkan mereka akan mengubah PAS kepada sebuah parti yang progresif dan agresif. Mengubah pendekatan dan melipat gandakan lagi usaha dalam membantu rakyat, membawa perubahan sosial dan politik kepada Kelantan. PAS bukan saja menjadi parti surau dan masjid yang penuh dengan ceramah agama dan menagih sedekah dari rakyat. Tetapi menjadi PAS sebagai gerakan Islam yang boleh menjanakan pemikiran dan sikap sosial, menjanakan eknomi dan meningkatkan kualiti rohani dan jasmani ahli-ahlinya. PAS harus menjadi parti yang memberi dan bukan meminta.

Selain itu tentulah tidak pernah terlupa mereka akan terus obses dengan perjuangan asal PAS untuk menegakkan negara Islam. Kerana itu keutamaan yang diberikan kepada mereka yang mempunyai komtimen tinggi kepada Islam. Perbezaan besar antara PAS dengan Umno ialah mengenai iltizam perjuangan.

PAS mahukan Islam, manaka Umno pula cuba berkeras untuk menolaknya dengan menganggap Islam kolot. Hari ini, setelah 20 tahun penulis tengok ada kumpulan baru pula yang muncul dan bakal menjadi serandang dalam PAS Kelantan dan secara automatik menjadi tongkat membantu abang-abang mereka yang kini sudah pun menduduk jawatan tertinggi dalam PAS baik di kawasan maupun di negeri. Mereka ini diibaratkan pelepah muda yang akan mengambil alih tempat pelepah tua di masa akan datang.

Kemunculan mereka sangat penting dan juga merupakah fitrah dalam hidup. Keupayaan mereka dapat membaca fikrah dan filsofi perjuangan PAS sangat mustahak. Kemampuan mereka menampilkan syasiah Islam sangat penting bagi kesenimbungan perjuangan PAS. Mereka bukan saja harus kekalkan kuasa tetapi kena kekalkan identiti dan keaslian Pas.

Mereka yang muncul dan sudah belajar berkokok hari ini juga datang dari pelbagai latar belakang. Kerencaman ini dapat melengkapkan dan membantu untuk menjadikan PAS sebuah gerakan yang ampuh dan disegani serta serba boleh.

Nama-nama seperti Nasarudin Daud (kini speaker) Mohd Zaki Ibrahim (timbalan speaker), Nik Abduh Nik Abdul Aziz, Abdul Latiff Abdul Rahman (ketua Pemuda), dan lain-lain tidak boleh dipandang ringan. Suka atau tidak suka mereka ini adalah bakal menjadi pelapis dan serandang kepada kekuatan PAS di masa akan datang.

Peranan dan tangungjawab mereka seperti mana abang-abang mereka yang muncul diawal tahun 90-an dulu dan kini sudah dibebani dengan tanggungjawab perjuangan. Justeru mereka harus faham akan tanggungjawab dan peranaan ini kalau mereka mahu tengok PAS terus maju di masa depan.

Seperti juga para abang mereka dulu, Pemuda yang ada hari ini datang dari berbagai latar belakang dan memiliki keterampilan dalam pelbagai bidang profesional. Jurutera, peguam, doktor dan ustaz.

Kerencaman ini sekali lagi menjamin PAS akan kekal sebagai sebuah parti yang dikukuhkan dengan pelbagai idea dan pemikiran dari semua juzu ilmu.Bagaimana pun apabila menelaah mengenai perkembangan dan gaya politik Pemuda PAS Kelantan kini timbul sedikit rasa gusar dihati penulis.

Ini kerana perselisihan faham yang berlaku di kalangan mereka gagal diatasi dengan berhikmah. Walaupun perselisihan faham itu terbatas kepada soal peribadi dan bukan soal falsafah dan dasar atau uslub perjuangan tetapi ia diheret ke muka umum sehingga menyerlahkan masalah dalam dewan itu yang kemudian membabitkan parti.Keadaan ini bagi penulis kurang bijak.

Dalam penelitian penulis hal ini (perselisihan faham) ini berlaku juga antara golongan Pemuda tahun 90-an dulu tetapi bezanya mereka tidak mendedahkan pergaduhan mereka kepada media massa. Mereka bergaduh dalam senyap sehinggakan musuh tidak dapat eksploitasi masalah dalam PAS.

Mereka yang dulu mencuri ruang di akhbar bukan saja untuk mempolurkan diri tetapi berebut untuk membela dan mempertahankan PAS. Mereka menjaja modal dan aset yang ada kepada PAS untuk menarik perhatian rakyat. Anihnya sikap ini tidak ada kepada pemuda zaman ini. Mereka lebih suka menggunakan media massa untuk melanyak antara satu sama lain.Selain itu kalangan Pemuda hari ini juga semacam tidak dapat mengawal nafsu untuk lekas naik.

Pertandingan dalam dewan Pemuda PAS dirujuk. Sementara isu membabitkan menantu Menteri Besar, Abdul Ariffahmi Abdul Rahaman walaupun isunya untuk kepentingan umum tetapi cara pemuda mengusik dan mendesak Ariffahmi menunjukkan tidak wujud understanding dari kalangan pemuda PAS.Di sini dari segi kebijaksanaan pemuda era pasca manual berbeza dengan pemuda PAS era IT kini. Mungkin ada sesuatu yang klise pada Pemuda era tahun 1990an, tetapi masih relevan untuk dicontohi oleh Pemuda era 2000 ini.

Penulis juga sangat berharap golongan muda yang membuak dengan amarah ini dapat menerima kritikan baik langsung kepada mereka ataupun kritikan kepada parti dan pemimpin yang dilakukan oleh mana pihak. Jangan muda gelabah dan prejudis kepada pengkritik sebelum ianya diamati secara menghalusi apakah mesej yang hendak disampaikan menerusi kritikan itu.

Bersikap terbuka dan berlapang dadalah bila menerima kritikan dan tidak mudah gelabah.Penulis percaya selagi Pemuda PAS masih mengingati iltizam dan nawaitu asal kenapa mereka menyertai PAS dan tidak parti lain, isnyaAllah PAS di tangan barisan pelapis dan pemudanya di masa akan depan tetap selamat. Eloklah kalau Pemuda menenangkan semula pemikiran dan melihat sejauh manakah benar atau tidak apa yang diperkatakan ini. [wm.kl. 1:50 pm 22/12/09] Catatan: Posting ini untuk renungan adik-adik Pemuda ini sudah dua minggu disiapkan tetapi baru dipostkan hari ini.

Friday, December 25, 2009

Kadasan Akal

Pas Kelantan Jangan Berfikir Ke Belakang


PILIHAN RAYA umum ke-13 masih jauh lagi. Paling cepat pun ia mungkin akan diadakan 2011 dan paling lambat 2012. Kalau Najib Razak merasakan projek 1 Malaysia berjaya dan mendapat sambutan mungkin ia boleh dipertimbangkan untuk diadakan pertengahan tahun ini. Tapi saya tidak kira dalam keadaan UBN penuh bermasalah, bernafas semput kini Najib berani mengambil risiko.

Makanya, tempoh agak sesuai ialah pada tahun 2011. Waktu itu pun kalau benih projek 1 Malasyia yang ditabur kini sudah mula cambah. Dan kalau keadaan ekonomi yang kini sedang dipupuk menjadi, maka kemungkinan pilihan raya pada 2011.

Ertinya masih ada dua tahun lagi. Masih ada ruang dan kesempatan kesemua parti memperbaiki diri dan memperkukuhkan keadaan serta mengatur strategi ampuh.

Tetapi Pas Kelantan sudah berfikir jauh mengenai hal ini bila mana sudah ada cakap-cakap mengenai pilihan raya akan datang. Pas Kelantan sudah mula membayangkan sama calon luar akan dicalonkan semula atau tidak di Kelantan pada pilihan raya akan datang.

Walaupun hal ini ditimbulkan oleh bekas Ketua Dewan Ulama Pas, Mohamad Daud Iraqi di mana wibawa politiknya boleh dipertikaikan tetapi kerana Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri ikut turut sama memberi komen maka ia dilihat sesuatu yang penting. Apa lagi dalam komen itu Nik Aziz menyebut Pas akan memberi keutamaan kepada anak tempatan untuk menjadi calon.

Saya tidak faham kenapa tiba-tiba Pas Kelantan bercakap mengenai calon walaupun pilihan raya masih jauh. Rasanya tidak wajar ditimbulkan soal itu apa lagi Pas kini berdepan dengan berbagai masalah dalaman dan luaran yang harus diselesaikan segera.

Pada saya Pas tidak perlu persoalkan sama ada hendak kekal calon luar atau utamakan anak tempat. Tetapi apa yang penting menyelesaikan kemelut yang dihadapi Pas kini. Apakah Pas Kelantan khsusnya Nik Aziz sendiri tidak merasai bahawa mereka penuh bermasalah kini? Janganlah disebabkan kita dipuji siang dan malam menyebakan kita alpa kepada permasalahan yang melambak di depan kita yang akhirnya boleh memusanahkan diri dan parti.

Dalam hubungan ini pada saya, semua pihak adalah lebih baik memikirkan mengenai kedudukan Nik Aziz. Fikir dan putuskan dulu siapa yang akan mengambil alih kepimpinan Pas Kelantan. Itu lebih awla dan afdal daripada memikirkan sama ada hendak orang luar atau orang dalam bertanding di Kelantan. Kedudukan Nik Aziz dan masa depan lebih penting dari menentukan apakah import atau exsport orang luar.

Kalau pun Mat Iraq gatal mulut hendak bercakap soal tidak mahukan orang luar, tetapi tidak seharusnya Nik Aziz turut ‘gelenyer’ untuk mengulas. Kerana setiap apa yang diulas dan diucapkan Nik Aziz nanti ia akan menjadi isu kerana kata-katanya sangat berbiasa. Dalam hal ini lebih baik Nik Aziz memikirkan soal diri sendirinya dan tidak usahlah bercakap soal yang dibangkitkan Mat Iraq itu atau soal-soal diluar dirinya.

Yang perlu dipertimbangkan Nik Aziz kini ialah samada ada Husam Musa, Ahmad Yaacob atau pun Mohd Amar Abdullah menjadi MB. Beliau kena selesaikan ini dahulu sebelum cuba menimbangkan mengenai terima atau tolak calon luar. Kalaupun orang luar tidak bertanding di Kelantan dan isu siapa MB ini tidak selesai, ia dikira akan mendatangkan masalah kepada Kelantan. Makanya berikan keutamaan kepada masalah yang utama dulu.

Nik Aziz sendiri tidak payah berdolak dalih dan sayangkan kerusi lagi untuk melepaskan jawatan atau melakukan peralihan kausa dengan baik demi masa depan Pas. Masa tidak menanti terlalu lama untuk Nik Aziz berbuat demikian.

Alasan bimbang Pas akan berpecah kalau beliau serahkan jawatan kepada orang lain tidak timbul. Sesiapa juga yang diberikan kepercayaan oleh Nik Aziz orang itu akan dihormati dan diterima sebagai ketua. Selagi mereka jujur, ikhlas dan menunjukkan perhatian tinggi kepada perjuangan orang itu akan diterima sebagai khalifah di Kelantan.

Misalnya spekulasi Pas Kelantan akan berpecah dan hancur kalau diberikan kepada Husam ia bukan mutlak. Ini hanya persepsi saja dan permainan pihak musuh. Saya percaya kalau Husam diberikan kuasa dan dilantik menjadi MB tidak ada siapa yang tergamak mencabarnya. Sebab perlantikan itu sebagai amanah. Orang yang mencabar atau sengaja menimbulkan masalah kepada pemimpin adalah mereka yang tidak amanah.

Orang Pas tidak tahu menderhaka kepada pemimpin. Mereka akan menyokong dan berkorban hatta siapa saja yang dipilih secara sah menjadi pemimpin. Hakikat ini seharusnya disedari Nik Aziz dan dijadikan senjata untuk beliau menolak pelbagai teori dan fatwa karut yang disampaikan kepadanya.

Demikian juga kalau diserahkan kepada Ahmad Yaaob, Mohd Amar atau sesiapa saja. Ahli Pas sedia mendokongnya. Cuma jangan saja diserahkan kepada mereka yang jelas tidak berkupayaan dan tidak mempunyai track record dalam kepimpinan, seperti Abdul Fatah Haron, Ustaz Abdul Halim (To Uban) dan lain-lainnya. Melampaulah bagi orang Pas kalau bersedia untuk menyokong pak pandir atau pak dogol sebagai pemimpin!

Apa yang hendak ditegaskan di sini kebimbangan yang mungkin bersarang di dada Nik Aziz itu, kononnya orang tidak akan sokong calon pilihannya dan menyebabkan Pas akan berpecah, hanya ilusi beliau saja. Atau ianya satu momokkan untuk melihat Pas kekal seperti hari ini di mana ia memudahkan musuh menganyang Pas. Selagi Nik Aziz beristiqamah dengan ilusi itu maka gembiralan musuh.

Perkara inilah yang seharusnya dilihat dan diusahakan oleh Mat Daud Iraq, menyakinkan Tok Guru untuk berundur dan bukannya membawa isu relevan atau tidak orang luar bertanding di Kelantan. Masa dan waktu Mat Iraq menimbulkan isu tidak kena. Ia seumpama orang tolol tidak tahu membaca waktu. Cara Mat Iraq itu samalah dengan sikap orang yang berbicara soal babi, tetapi Mat Daud berbicara soal badak; orang rebus ubi Mat Daud tak dak (ubi).

Hari ini terdapat empat wakil rakyat Kelantan - semuanya ahli parlimen dari luar. Mereka ialah Nasarudin Mat Isa (Bachok) Dr Mohd Hatta Ramli (Kuala Krai), Sallahuddin Ayub (Kubang Kerian) dan Saifuddin Nasution Ismail (Machang). Kecuali Saifuddin tiga mereka itu mewakili Pas dan merupakan pemimpin tertinggi.


Sallahuddin ialah naib presiden Pas, Dr Hatta, bendahari manakala Nasaurddin, timbalan presiden Pas. Sementara Saifuddin pula pengarah pilihan raya dan strategi Keadilan. Apabila hanya mereka yang merupakan calon dari luar maka tentulah sasaran dalam isu itu kepada mereka.


Apakah hambatan bagi Mat Daud dan Nik Aziz berhubung calon luar ini? Perbicaraan mengenainya rasa tidak sesuai. Dalam konteks Pas kini menjadi parti nasional dan global, dan baru selesai melangsungkan konvensyen Pakatan Rakyat, seharusnya Mat Iraq dan Nik Aziz sendiri tidak terkapit dengan sikap kedaerahan. Apa bezanya orang luar dengan anak tempatan. Anihnya dalam sesuatu hal Nik Aziz jauh ke angkasa tetapi dalam soal calon ini beliau kembali bertapa di lubang tempayang politiknya.


Yang perlu ditinjau di sini ialah pencapaian dan peranan mereka sebagai anggota Parlimen. Jangan beza dan pisahkan sempadan pensyariatan mereka. Perhatikan apakah yang mereka lakukan di Parlimen. Sehingga ini pada saya kehadalan mereka berempat di Parlimen tidak terkalah. Mereka malahan lebih aktif dan responsif mengenai isu-isu yang timbul berbanding dengan ahli Parlimen lokal sendiri.

Cubalah tengok handsard Parlimen siapa yang banyak bercakap, membawa suara rakyat, mencambahkan idea dan isu dalam membangkitkan kepentingan rakyat di Parlimen, isu ketidakadilan, royalti petroleum dan sebagainya. Apakah Wan Rahim Abdullah (Kota Bharu), Abdul Halim Abdul Rahman (Pengkalan Chpa), Muhammad Hussin (Pasir Putih), Abdul Aziz Kader (Ketereh), Zailah Mohd Yusuf (Rantau Panjang) ataupun Sallahuddin Ayub (Kubang Kerian), Hatta Ramli (Kuala Krai) Nasarudin Mat Isa (Bachok) atau Saifuddin Nasution (Machang).

Kita kena ukur dengan akal bukannya ukur dengan sentimen dan semangat kedaerahan yang bolos kerana ia tidak akan membawa kita ke mana.

Kalaupun wakil rakyat itu anak tempatan tetapi tidak menunjukkan prestasi dan pencapaian KPI yang baik ia tidak memberi apa-apa kebaikan dan keuntungan kepada Pas dan rakyat. Bahkan mereka ini perlu ditukar dengan orang luar yang berketrampilan.

Mungkin kalau menuntut anak tempatan untuk kerusi DUN ada benarnya. Sebabnya kemenangan DUN panting untuk membolehkan Pas menguasai negeri. Lagipun menurut perlembagaan tubuh Kerajaan Kelantan hanya anak Kelantan saja boleh menjadi MB.

Adalah diharap isu-isu soal calon luar dan calon tempatan ini tidak ditimbulkan lagi apa lagi dalaam saat Pas sedang menuju era perubahan ke arah memerintah Malaysia. Sesiapa pun boleh menjadi pemimpin di mana saja selagi dia layak dan beriman dan bertakwa. Kalau dilihat kepada sejarah Islam, penguasaan empayar Islam di seluruh dunia leih 1500 tahun dulu bukannya dicapai oleh anak tempatan tetapi oleh pemimpin luar yang beriman dan bertakwa. [wm.kl 1:05 pm 25/12/09]

Thursday, December 24, 2009

Susupan Pagi

Mengawal Keselamatan Negara Bukan Seperti Kawal Gudang Garam

BEGITULAH kalau sudah terdedah ia sukar untuk ditutup. Dan perkara busuk itu akan tetap busuk juga berbau kalaupun cuba disapu dengan minyak wangi. Attar gaharu tidak dapat menutupi bau busuk walaupun ia diambil dari pohon depu dari Kelantan. Begitulah apa yang dapat dilihat kepada isu kehilangan dua enjin jet pesawat supersonic F-5E milik TUDM.

Mulanya kata Zahid Hamidi kehilangan itu tidak melibatkan pegawai tinggi tentera, sebaliknya ia hanya melibatkan pegawai lain-lain pangkat (LLP) berpangkat sarjan saja. Budak kecil pun rasa tak logik dengan kenyataan Zahid itu dan lebih bersifat nak tudung bangai dengan nyiur.

Kita tahu cara Zahid itu nak jaga maruah dan wibawa tentera tetapi cara dia membela itu tidak kena pada tempatnya.

Masakan pegawai peringkat sarjan mampu untuk melarikan enjin bernilai RM50 juta setiap satu, tak sepadan sangat nampaknya. Siapalah mereka yang berani untuk melarikannya. Mucung senjata senantiasa terhala ke arah mereka. Logiknya perkara besar mesti dilakukan oleh orang besar juga. Budak Tadika hanya curi buah rambutan tetapi kalau guru besarnya songlap yuran sekolah.

Apabila Ketua Polis Negara, Musa Hassan menjelaskan pihaknya perlu menyiasat pegawai tinggi termasuk jeneral, maka apa yang hendak disembunyikan itu mula terbongkar. Ia sudah mula menampakkan siapa yang bertanggungjawab memakan duit negara itu. Kenyataan Zahid sebelum ini tertolak secara automatik. Terserlahlah sifat munafik Zahid untuk melindungi sesuatu yang tidak sewajarnya beliau lakukan kerana mencalarkan dirinya sendiri.

Siasatan ke atas jeneral kata Musa tidak ada pilihan. Katanya pihak polis juga sudah merampas dokumen berhubung penjualan pesawat berkenaan dan termasuk dokumen berkaitaan penghantarannya ke luar negara. Kata Musa enjin pesawat itu ditemui di Argentina.

Bila polis siasat para jeneral terbabit nanti, maka akan terbongkarlah segala-galanya. Kita harap jeneral itu akan bercakap benar dan jangan menyembuyikan sesuatu lagi. Katakan dari hati anda untuk didengar oleh negara anda.

Soalnya kenapa Zaid cepat sangat cuba menutup perkara ini dengan hanya meletakkan kesalahan kepada pegawai rendah? Sikap ini seolah Zahid cuba hendak melindungi jerung dan membiarkan bilis tertangkap atau menjadi mangsanya. Naiflah Zahid sebagai menteri pertahanan kalau beliau mengamalkan sikap ini.

Seorang menteri seharusnya bersikap adil dan berwibawa. Zahid tidak sepatutnya cuba melindungi sesiapa dan dalam masa sama cuba merendahkan pihak lain. Apa yang Zahid jelas itu – hanya melibatkan pegawai pelbagai pangkat (LLP) menunjukkan kerja jahat dilakukan pegawai rendah dan pegawai tinggi tidak terlibat. Walhal pegawai bawahan hanya mengikut arahan pegawai atasan.

Atas khilafan ini mungkin Zahid boleh memikir sendiri tanpa disuruh mengenai kedudukannya di kementerian itu. Beliau perlu mahasabah diri apakah wajar beliau berada di situ dengan kapasiti dan pengetahuan yang ada. Jangan hanya menerima jawatan itu kerana ingin menjadi menteri tetapi kelayakan kita boleh dipertikaikan.

Seorang menteri pertahanan memerlukan tokoh yang komited, tegas dan jujur bukannya hanya tahu bercakap menggunakan lidah politik semata-mata.

Pertahanan bukan boleh ditadbirkan dengan gelak tawa ataupun bermodalkan PR yang baik dan ramah tamah dengan orang ramai tetapi harus seorang yang mempunyai 'intelektual intelegen' yang tinggi. Mengawal keselamatan negara bukan seperti mengawal gudang garam. [wm.kl. 10:40 am 24/12/09]

Wednesday, December 23, 2009

Lampu Merah Menyala

Misteri Dan Realiti Kehilangan Enjin P-5E TUDM

KEHILANGAN dua enjin persawat F-5E milik TUDM terus menjadi bualan di mana-mana saja. Mereka yang sebelum ini buta dan jahil mengenai hal ehwal pesawat dan ketenteraan kini sudah mulai mengetahui dan mengenalinya serba sedikit.

Isu kehilangan secara misteri dan realiti dua enjin itu memaksa mereka mempelajari lebih dekat mengenai peralatan perang khasnya nama-nama kapal perang untuk dijadikan bahan bercakap. Bagus juga enjin pesawat dan lain-lain peralatan lain bernilai lebih RM100 juta itu hilang setidak-tidak ia memberi ilmu kepada orang ramai.

Dalam memperkatakan isu ini, orang ramai melahirkan rasa terkejut dan anih atas apa yang berlaku. Mereka merasa anih kenapa peralatan perang boleh hilang begitu mudah sedangkan ia dijaga dengan rapi. Jika boleh diibaratkan kepentingan dan maruah senjata milik negaranya itu samalah dengan 'senjata' milik kita di mana ianya dijaga dan dibawa ke mana-mana hatta ke jamban tanpa sedikitpun diabaikannya.

Kata menteri pertahanan, Ahmad Zahid Hamidi kejadian itu dilakukan oleh pengkhianat negara! Memanglah yang melakukan perbuatan tidak bermoral penyagat dan petualang. Kalau benar begitu orang jadi terkejut mengapa musuh begitu mudah menyelinap masuk ke dalam zone pertahanan dan menyonglapkan dua enjin berkenaan. Kenapa begitu rapuh pertahanan kita dirempuh oleh musuh? Tidak kiralah musuh itu dari kalangan tentera sendiri ataupun orang luar.

Meneliti kepada kejadian ini timbul juga pertanyaan, apakah berlaku sebotaj dalam pertahanan kita. Musuh masuk ke dalam zone pertahanan keselamatan kita dan mencabut enjin serta merosakkan kapal terbang? Tujuannya bila kita bersiap sedia hendak menggunakannya ia tidak boleh digunakan.

Lain-lain keterkejutan dan keanihan ialah kenapakah siasatan dan tindakan ke atas kehilangan itu lambat diambil tindakan? Menurut laporan enjin itu hilang sejak tahun 2007 lagi. Satu laporan polis telah pun dibuat dua tahun lalu. Menurut Peguam Negara, Abdul Ghani Patail pula kertas siasatan mengenai kes itu akan dipulang kerana tidak lengkap. Penjelasan Ghani itu menunjukkan siasatan sudah dijalankan?

Soalnya kalau ia tidak lengkap kenapa ia baru sekarang nak dipulangkan? Apakah ada persefahaman antara Peguam Negara dengan Polis dalam hal ini agar melewatkan siasatan mengenai kehilangan itu. Atau apakah hal ini ada sangkut paut dengan penyambung kontrak Ketua Polis Negara, Musa Hassan yang sepatutnya tamat beberapa bulan lalu.
Lebih rewel lagi seperti mana kata Zahid, Peguam Negara telah meminta segala dokumen dan laporan mengenai keadaan enjin itu dan ke mana destinasi asalnya. Bila Ghani baru minta bermakan kes ini baru hendak disiasat (semula)?

Apabila siasatan tidak selesai dan tidak lengkap dan pencuri gagal dibawa ke mahkamah ini bermakna siasatan itu dibuat ala kadar saja. Jadi keadaan ini menyebabkan orang mempunyai ruang dan modal untuk berandaian sehingga kepada mungkin ada usaha dipihak tertentu cuba hendak menyembunyikan kes kehilangan ini. Kenapa?

Prasangka akan terus menjadi-jadi. Mungkin disebabkan kerana ia melibatkan pihak atasan hatta menteri maka ia disembunyikan. Ingat kejadian ini berlaku semasa Najib Razak jadi menteri pertahanan. Apakah ianya ada kaitan dengan Najib sendiri?

Persoalan lain juga timbul kenapa ia didedahkan hari ini. Semasa Zahid pula menjadi menteri. Zahid dikenali sebagai anak buah Najib? Atau memang sudah ada sesuatu yang tidak kena antara mereka berdua menyebabkan Zahid tidak dapat menyekat desakan agar kes ini didedahkan? Apakah ada konspirasi senyap untuk menjatuhkan Najib?

Malam tadi saya minum bersama seorang bekas pegawai tinggi tentera yang berpangkal Kolonel pernah terlibat dalam pembelian peralatan perang tentera. Saya mengambil peluang menanyai mengenai beberapa prosuder mengenai pembelian, penjagaan dan penyelenggaran peralatan perang.

Menurutnya adalah mustahil kalau kehilangan dua enjin itu tidak dapat dikesan sejak awal-awal lagi. Ini kerana katanya setiap barangan tentera yang masuk ke inventori ianya direkod dan dikawal rapi. Bukan saja enjin kapal terbang bahkan sebatang paku pun ia direkod dan diketahui ke mana ia dibawa. Peralatan tentera begitu sophisticated sekali.

Kerana itu katanya dia yakin, sangat yakin kehilangan itu sudah pun diketahui awal-awal lagi. Kalau pun menteri tidak tahu, ketua tentera mesti tahu. Atau setidak-tidaknya pegawai tinggi yang bertanggungjawab mengawal logistik tentera sudah pun mengetahuinya. Di dalam tentera katanya ada satu psukan khas yang dinamakan risik. Pasukan ini bertanggungjawab membuat risikan dalaman dan luaran. Dan apa juga peralatan perang kalau tidak ada perintah dari atasan tidak ada sesiapa yang berani mengeluarkannya kerana risikonya tinggi.

Berdasarkan pengalaman Kolonel itu kemungkinan kes kehilangan membabitkan orang atas termasuk peringat menteri dan perdana menteri sendiri. Bagaimana pun Zahid sudah membuat penafian kes itu tidak membabitkan pegawai tinggi tentera dan ia hanya melibatkan pegawai lain-lain pangkat (LLP) sahaja. Buat sementara kita terimalah dulu apa yang dijelaskan Zahid.

Tetapi sekali lagi berdasarkan penjelasan bekas pegawai tentera itu penafian Zahid itu boleh dipertikaikan. Apakah dalam hal ini Zahid cuba menyembunyikan sesuatu kerana ingin menyelamatkan seseorang? Sebaliknya kalau Zahid ada niat begitu kenapa beliau tidak mengawal agar kes ini tidak pecah? Atau Zahid sendiri pun sudah tidak berdaya menahanan asakan bagi mengelakkan dirinya sendiri dibabitkan dengan kehilangan itu?

Disebabkan kes ini sudah terdedah dan Najib sendiri memberi pengakuan tidak akan melindungi sesiapa, maka kita serahkan kepada polis. Kita berdoa supaya polis menjalankan tugas dengan baik dan telus. Siasatlah dengan jujur dan rasa tanggungjawab kepada negara berlandaskan kepada keimanan dsn bukan nasihat isteri. Kalau polis, peguam negara dan sesiapa saja terlibat dalam menyelesaikan kes ini mengenepikan semagat itu maka negara bukan saja kehilangan dua enjin tetapi banyak lagi enjin akan hilang mungkin termasuk juga 'telor' menteri dan perdana menteri turut hilang.

Mengenai arahan Zahid supaya bloger tidak membuat spekulasi mengenai hal ini ia bukan mudah untuk dipatuhi. Bloger atau penulis mereka meriwayatkan apa saja yang menjadi sunggutan alam dan maklhluknya. Selagi alam memperkatakan apa saja isu termasuk isu kehilangan dua enjin itu maka selama itulah bloger akan menulis dan mengulas dengan akal, pengamatan dan firasat siasatannya sendiri. [wm.kl. 9:50 am 23/12/09]

Tuesday, December 22, 2009

Keruh Di Kota Bharu

Tindakan Rosli Allani Kurang Bijak

KHABAR besar dari Kota Bharu tengah hari ini ialah mengenai perletakan semua jawatan dalam parti oleh Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas negeri Kelantan yang bernama Dr Rosli Allani Abdul Kader.

Rosli mengambil tindakan itu ekoran keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu yang meminta beliau tinggal berasingan (mufarakah) dengan isteri keduanya, Ilyani Mohd Noor, 30 kerana perlahwinan mereka pada Disember tahun lepas diragui kesahihannya. (Oh... rupanya ahli Dewan Pemuda Pas ini juga beristeri dua!).

Menurut kenyataannya dia berbuat begitu kerana mengambil tanggungjawab untuk menjaga imej parti. Jaga imej parti! Kenapa jaga imej parti selepas berkahwin satu lagi dan tidak terfikir sebelum melangsung perkahwinan. Apa yang boleh disimpulkan perkahwinan kedua itu tentu menghadapi masalah.

Kerana itu saya tidak nampak kenapa beliau sampai perlu mengambil keputusan demikian? Apakah keputusan mahkamah itu menjejaskan nama baik partinya, parti Pas?

Atau beliau berbuat demikian kerana ingin memperli menantu Menteri Besar, Abdul Ariffahmi Abdul Rahman agar berbuat demikian. Umum sudah mengetahui dua tiga hari ini Rosli begitu beriya mendesak mahukan Ariffahmi melepaskan jawatan sebagai CEO untuk menjaga imej parti.

Apa yang saya tidak faham dan mengerti dengan tindakan Rosli ini, apakah keputusan mahkamah itu benar-benar boleh menjejaskan nama baik parti sedangkan beliau katanya yakin berada di pihak benar. Peliknya ada pemimpin lain yang berkedudukan terlibat dengan maksiat dan didakwa di mahkamah tidak pun mengambil keputusan melepaskan jawatannya?

Jadi apabila Rosli sedia mengambil tanggungjawab itu ini menyebabkan orang boleh menuduh beliau benar-benar bersalah – melakukan maksiat dan jenayah agama?

Bagi saya tidak perlu beliau meletak jawatan. Ini kerana apa yang saya rasa keputusan mahkamah itu dibuat atas teknikal sahaja. Saya tidak fikir beliau terjerumus dengan maksiat. Kalau ia dibuat kerana keputusan teknikal bukan terjerumus dalam dosa besar kenapa harus melepas jawatan?

Rasanya ahli Pas tidak dapat membezakan mana dosa agama dan mana kesalahan melanggar undang-undang ciptaan manusia.

Kalaulah beliau mengambil tanggungjawab itu untuk memperli Ariffahmi rasanya ia tidak mencapai maksdunya. Saya yakin Ariffahmi tidak akan terpanggil dengan ajakkan itu. Kerana itu tindakan Rosli itu silap dan ia telah mendedahkan dirinya dengan persepsi umum sebagai telah melakukan dosa besar.

Begitu juga kalau Rosli mengharap pujian disebalik tindakan itu ia juga satu kesilapan besar.

Begitu juga kalau beliau mengharap ada orang menghalangnya ia juga silap. Kondisinya sangat berbeza dengan Ariffahmi. Ariffahmi adalah menantu yang disayangi dan dilindungi. Tengoklah bagaimana Nik Aziz Niki Mat bersilat menepias dan membela Ariffahmi sampai sudah. Bukan saja mertua, ipar, isteri juga turut sama membela. Cuma yang belum kedengaran hanya ibu mertua yang membela Ariffahmi secara terbuka.

Manakala kesan politik dengan tindakan itu tidak akan ke mana. Bila mengenang tindakan Rosli ini maka saya teringatlah apa yang pernah berlaku sekitar 10 tahun lalu di mana seorang ahli jawatan kuasa Dewan Pemuda Pas negeri mengambil langkah memulangkan pingat SK yang dianugerah Sultan Kelantan kepadanya.

Tujuan beliau berbuat begitu sebagai protes atas tindakan Sultan menarik balik darjah kebesaran yang dilakukan ke atas ketuanya semasa itu. Pengumuman itu dibuat dalam satu sidang akhbar khas di pejabat Pas Kota Bharu. Malangnya tanggungjawab dibuat ahli jawatankuasa Dewan Pemuda itu tidak memberi apa-apa bekas.

Sultan sedikit pun tidak peduli dengan apa yang dilakukan. Tindakannya seperti cuba menambah kemasinan air laut dengan secupak garam sahaja. Sultan seidikit pun tidak mendengar ataupun merasa teruja dengan langkah pemuda berkenaan. Sebaliknya akhirnya yang kehilangan pingat dan hubungan baik dengan Sultan ialah diri ahli jawatankuasa pemuda berkenaan.

Nah begitu jugalah dengan apa yang dilakukan Rosli itu. Saya tidak fikir esok atau lusa Ariffahmi akan membuat pengumuman akan melepaskan jawatan CEO PMBK atas matlamat dan tujuan sama dengan Rosli untuk menjaga nama baik parti. Sebaliknya perletakan jawatan Rosli itu akan diperdagangkan oleh Ariffahmi sebagai modal untuk menunjukkan dia dipihak yang benar kerana sehari dua ini Rosli beriya mahukan Ariffahmi berundur. [wm.kl. 4:55 pm 22/12/09]