Tuesday, September 30, 2008

Selamat Hari Raya

Pohon Kemaafan Daripada Semua

Di sini saya mengambil peluang mengucapkan Salam Aidifitri kepada semua penjenguk blog ini. Semoga kehadiran 1 Syawal ini membawa berkat kepada kita semua. Sama-sama kita berfikir, bekerja dan bertindak ke arah keharmonian kaum dan kesejahteraan tanahair kita tercinta ini.

Marilah kita jadikan kemeriahan dan erti kejayaan selepas kita berjaya melawan nafsu selama sebulan (di bulan Ramadhan) sebagai detik untuk kita mengorak langkah baru yang lebih jaya dan bermakna lagi.

Akhirnya dengan penuh pengharapan semoga apa-apa kesalahan baik langsung dan tidak langsung yang saya lakukan di sepanjang mengisi dan berhubung menerusi blog ini saya harap dimaafkan.

Salam Aidfitiri Minawafaizin!
MSO dan Keluarga.
[gn kel 11:20 pm 30/09/08]

Pedih Mata

Gambar Anwar Disembur Cat

GAMBAR Penasihat PKR dan juga bakal Perdana Menteri ke-6, Anwar Ibrahim di papan tanda mengucap selamat hari raya yang di pasang di peersimpangan jalan ke Universiti Islam Antarabangsa (UIA) ke Jalan Lama Bentung telah disembur dengan cat sehingga tidak menampakan langsung nukanya.

Dua lagi gambar Ahli Parlimen Gombak, Mohd Azmin Ali dan ahli Parlimen Kuala Krai. Dr Mohd Hatta Ramli bagimana pun tidak diapa-apakah.

Apakah motif pengkhinatan berkenaan? Dan siapakah yang bertanggungjawab melakukannya. Perbuatan itu bukan saja vandalisme politik namun mereka yang tidak bertamadun dan tidak tahu profesionalisme dalam politik.

Dalam pada itu pemasangan papan tanda berkenaan menimbulkan tanda tanya kepada umum apabila gambar ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta turut sama terpampang di situ tanpa dimasukkan sama gambar Bulan Purnama penuh iaitru lambang partinya. Apakah relevannya gambar Bendahari Agung Pas itu turut sama tertera di papan tanda berkenaan yang terletak jauh dari kawasannya?

Beliau sepatutnya memasang papan tanda bagi mengucapkan selamat menyambut Ramadhan dan Idul Fitri di kawasannya di Kuala Krai dan bukannya menempel di papan tanda Keadilan itu.

Di Kuala Krai semasa saya lewati bandar berkenaan malam tadi tidak ternampak satu pun papan tanda seumpama itu yang tertera gambar Dr Hatta mengucapkan selamat hari raya kepada pengguna jalan raja Gua Musang - Kuala Krai. Apakah ketiadaan itu menandakan Dr Hatta akan bertukar kawasan tidak lama lagi atau selewat-lewatnya dalam pilihan raya akan datang? [gn kel 1:50 pm 30/09/08]

Siasah di Madinah

Orang Baju Petak Merah Tersohor di Makkah

POLITIK tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan kita. Di mana-mana saja ia diperkatakan. Bagi rakyat Malaysia yang berada di luar seperti di Madinah dan Makkah tidak terkecuali mereka turut sama memperkatakan hal ehwal siasah kita. Malah mereka haus untuk mendapat maklumat yang sebenarnya.

Walaupun mereka telah mengikuti perkembangan siasah dari internet, website dan blog, namun apa yang mereka bacakan itu seakan tidak sahih. Apa lagi ada sesetengah laporan dan website dan blog tidak bersikap adil dan berat sebelah.

Mereka yang berada di luar seperti student mengharapkan laporan yang benar. Ini satu sikap yang bagus kerana menunjukkan mereka peka dan prihatin terhadap nasib dan perkembangan politik negara mereka. Walaupun mereka berada di luar negara namun tidak sesekali mengabaikan apa yang berlaku terhadap negara dan bangsa.

Misalnya di Madinah dan Makkah, pantang mereka mendengar ada tokoh politik berkunjung ke sana mereka akan buru dan cari untuk mendapat penjelasan. Mereka akan intip dan mencuri peluang untuk mendapat apa-apa penjelasan. Kebetulan pula orang politik di samping datang untuk beramal ibadat turut sama mengambil kesempatan menyebarkan faham dan ideologi politik masing-masing.

Keadaan ini tidak terkecuali berlaku kepada saya. Saya tidak tahu bagaimana mereka boleh mengesan kehadiran saya. Mungkin kerana saya mengumumkan dalam blog tentang pemergian saya ke Makkah maka secara tidak langsung turut sama dinanti dan dicari.

Ringkas cerita terjumpalah saya dengan beberapa kumpulan pelajar dan juga rakyat Malaysia yang bekerja di Jeddah dan Madinah semasa lebih 10 hari di sana baru-baru ini. Dalam perjumpaan dengan satu kelompok di Madinah, jelas sekali mauduk yang berlegar di kepala mereka ialah berhubung dengan apa yang saya bangkitkan dalam tulisan-tulisan yang saya postingkan dalam blog.

Antara perkara utama ialah mengenai kisah orang baju petak-petak merah (Husam Musa). Terkejut juga saya apabila ada antara pelajar itu memanggil Husam dengan nama jolokan 'baju petak-petak merah' sebaik mula berintraksi dengan saya. Nampaknya Husam menjadi antara tokoh tersohor diperkatakan di kalangan mereka selain daripada Anwar Ibrahim dan Abdullah Ahmad Badawi.

“Macam mana bang dengan kisah orang baju petak-petak merah? Apa sebenarnya berlaku kepada dirinya sehingga abang kritik begitu sekali dalam blog?” tanya seorang pelajar. Saya kira dia jujur dan saya memberi jawaban yang jujur juga.

“Itu soal saya dengannya sebenarnya. Apa yang saya lakukan saya ingin menegurnya yang mana pada saya beliau telah melakukan kesilapan... Mungkin orang menyalahkan saya seratus peratus tetapi saya tidak kisah, kerana saya tahu niat saya. Terus terang saya sebutkan saya konsisten dengan pandangan saya bahawa orang paling layak untuk jadi MB Kelantan ialah, Husam...”

“Tetapi kenapa abang kritik dia, bukankah itu menimbulkan masalah padanya”? Tanya yang lain pula jelas nampaknya pelajar ini peminat Husam. Saya tahu pelajar ini tidak berpuas hati dan ingin mencungkil apa masalah sebenarnya menyebabkan saya tidak sehaluan dengan Husam.

“Bukan masalah kambing,...” kata saya menduga apa yang terbenam dalam kepalanya.

“Kambing hanya masalah luar saja. Yang saya teruja dengan beliau ialah mengenai beberapa pendekatan dan stail politiknya. Banyak orang melihat masalah saya dengan Husam ialah kerana kambing!

“Budaya politik beliau yang agak menyimpang dari kebiasaan politik lama (asal) Pas.... itu yang saya tidak berkenan... dan apa masalah yang berlaku antara beliau dengan kepimpinan Pas kini itulah juga antara sebab yang menjadi masalah saya dengannya. Saya rasa saudara semua tahu apa yang timbul kini!

“Tetapi saya tegaskan saya istiqamah dengan pandangan dan harapan asal saya bahawa orang paling layak jadi MB Kelantan menggantikan Tok Guru ialah Husam. Saya berharap beliau dapat memperbaiki beberapa kesilapan politiknya sebelum jawatan itu diserahkan kepadanya.”

Penjelasan saya itu tidak memuaskan beberapa antara mereka. Tetapi saya tidak ingin perpanjangkan cerita yang seharusnya sudah saya tutup itu. Namun kerana mereka nampaknya mahu mengambil kesempatan bertanyakan langsung dengan saya, jadi saya tidak dapat mengelakknya.

Di Makkah perahatian terhadap Husam lebih hebat dan jauh dari itu. Seorang pelajar bukan saja mengharapkan Husam menjadi MB Kelantan tetapi bertanyakan saya apakah dia layak mengambil alih tempat Anwar sebagai pemimpin Pakatan Rakyat kalau terjadi apa-apa kepada Anwar. Saya sedar mereka mengukur kepada kebolehan dan pendekatan politik Husam yang agak liberal dan menarik minat umum – politik orang muda.

“Saya rasa buat masa sekarang ini dia masih belum layak lagi. Beliau harus menimba banyak pengalaman. Yang penting beliau kena belajar mentadbir kerajaan dan parti dulu. Pengalaman ini belum ada pada Husam. Jadi beliau kena jadi presiden Pas atau MB... lepas itu barulah dia layak dan boleh diangkat untuk menjadi pemimpin sehebat Anwar.... Husam kini lebih merupakan pemimpin yang sedang dibina dan diuji daya ketahanan mentalnya.

“Selain itu beliau juga kena membina jaringan dengan dunia luar. Husam tidak pernah ada pengalaman memimpin apa-apa gerakan seperti Anwar yang menjadi Presiden Abim dan menganggotai pelbagai majlis, persatuan atau NGO peringkat dunia. Kalau kita nak ukur beliau dengan Anwar jaraknya mungkin sejauh Perlis dengan Sabah!” balas saya.

“Berbeza kalau dibandingkan dengan Abdul Hadi Awang. Abdul Hadi walaupun nampaknya tidak secergas dan secanggih Husam dalam meluahkan idea politik orang mudanya (sekular)namun beliau mempunyai pengalaman di peringkat dunia khasnya dalam gerakan Islam.

Rangkaian yang ada kepada Abdul Hadi mungkin sama luas dengan apa yang dijangkau oleh Anwar di Timur Tengah. Cuma keluasan itu tidak dilihat oleh orang Pas sendiri kerana mereka dikaburi oleh penampilan berbagai versi oleh Anwar!

“Dari segi ilmu siasah Islamiyah pula Abdul Hadi lebih mantap berbanding dengan Husam. Pada saya bagi Abdul Hadi atau orang sejenis dengannya lebih layak memimpin Pas berbanding Husam lainlah kalau ahli Pas ingin mengubah paradigama dalam parti tersebut...”

Kepada pelajar dan beberapa kelompok saya temui di Madinah saya katakan jangan mudah percaya saya perkatakan tentang Husam sebaliknya cubalah bertanyakan dia sendiri kerana sehari sebelum saya meninggalkan Madinah khabarnya beliau juga akan bernaung sejenak di bumi penuh rahmat tu.

Esok perihal Anwar Ibrahim pula. [gn kel. 1:00 pm 30/09/08]

Sunday, September 28, 2008

Dalam Keletihan

Indahnya Di Majid Nabawi

KERANA sudah berjanji maka saya menggagahkan juga jari jemari untuk mencatat dan mengisi blog ini. Di mana hendak saya mulakan cerita kali ini? Banyak yang tersimpul dalam kepala. Berberapa email dari penjenguk setia sudah bertanyakan mengenai penangguhan perhimpunan agung Umno. Mahu saya ulas, atau mahu mendapat pandangan saya.

Sebelum kembali bersiasah, elok rasanya kalau saya mengimbaukan sedikit apa yang berlaku atau pun menggambarkan suasana di Madinah Munawarah, bumi yang penuh berkat aman dan damai. Madinah adalah kota pertama dalam tamadun Islam yang selamanya menjadi model dan impian seluruh bangsa. Ianya dibuka oleh Muhammad s.a.w kira-kira 1429 tahun lalu.

Saya masih ingat saat Anwar Ibrahim berada di puncak kegemilangan beliau mengimpikan sebuah masyarakat Madani di negara ini. Dalam erti kata lain beliau mahu menjadikan bangsa Malaysia sebagai masyarakat yang berintegriti tinggi dan berukhwah. Beliau mahu menjadikan Madinah sebagai model masa depan Malaysia yang bermasyarakat majmuk.

Kenapa beliau berbuat demikian itu kerana bertolak dari latar belakang pendidikan dan pemahaman yang ada kepada Anwar. Bagi mereka yang tahu sejarah dan keindahan Islam serta kesyumulannya akan bercita-cita untuk melaksanakan itu. Sebaliknya bagi mereka yang jahil akan menentangnya tidak sesekali akan nampak dan merasai keindahan apa yang ada di Madinah atau Makkah.

Itulah yang terjadi kepada bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad. Beliau yang tidak mempunyai latar belakang dan pengetahuan mapan dalam Islam tidak mudah menerimanya. Bahkan beliau menolak cita-cita dan keazaman Anwar itu dengan mempersendakan Madani itu sebagai permaidani dalam satu ucapan penggulungannya di perhimpunan agung Umno.

Dari situ saya sudah nampak perbezaan dan pertentangan besar antara Mahathir dengan Anwar. Seorang kagum dengan tamadun Islam dan mahukan Islam direalisasikan dan seorang lagi mahukan kepada liberal melampau dan tidak percaya kepada keamanan sejagat dipelopori Islam.
Bagi Anwar sudah pasti kejayaan Rasulullah mempersaudarakan kaum Muhajirin dan Ansar di Madinah itu dijadikan asas kepada persudaraan antara kaum-kaum di negara ini. Namun beliau tidak berkesempatan untuk menjayakan menerusi Umno, dan mungkin apa yang dilakukan dalam PKR hari ini itu sebagai penerusan kepada cita-citanya.

Ternyata sekali ukhwah dan hubungan sesama insan di Madinah terserlah. Betapa ini dapat disaksikan sewaktu berbuka puasa dalam masjid Nabi. Masing-masing berlumba untuk berbuat kebaikan. Setiap jemaah masjid atau umrah yang melangkah kaki ke masjid menjelang berbuka akan ditarik tangan agar duduk mengelilingi hidangan mereka untuk berbuka puasa.

Sesetengahnya sampai bergaduh macam penjual merebut pelanggan. Ada yang mahu ke tempat mereka dan menghalang jemaah dari ke tempat lain. Ada juga yang mencuri 'pelanggan' ke tempat mereka dengan tawaran makanan lebih enak dan berbagai.

Suasana tarik menarik ini walaupun agak kasar namun ia menyerlahkan keindahan dan ukhwah sejati. Betapa Islam itu sangat meraikan dan menjaga kebajikan ummahnya. Sebab itulah tidak akan ada mereka yang akan kebulur bila memijak bumi Madinah.

Setiap kali saya berpeluang menyinggahi masjid itu pada bulan puasa itulah yang mendesahkan jiwa saya. Yang menjadi desahan dan igauan saya. Bila lagi suasana dan keadaan itu akan dipraktikkan dalam kehidupan seharian pada seluruh aspek kehidupan umat Islam. Orang akan berebut untuk membantu antara satu sama lain dan bukan berebut untuk menipu, menganiaya, dengki dan sebagainya sesama sendiri sehingga merugikan.

Biarlah satu masa nanti suasana dan keadaan sama yang ada di masjid Nawabi itu akan berlaku juga di masjid di Malaysia. Namun apabila menyedari bahawa segala keindahan dan kemuliaan itu telah digezetkan hanya di situ saja, mustahil ia akan berlaku di masjid-masjid lain selain dari Madinah dan Masjidil Haram di Makkah. [sv824.3:00 am 27/09/08]

Saturday, September 27, 2008

Kembali Bertemu

Esok Kita Mula Berbicara Semula

Assamualaikum.... InsyaAllah esok kalau tidak ada aral merintang saya akan mula mengisi kembali blog ini yang terhenti sejak seminggu lalu seperti mana dimaklumkan. Rasa rindu untuk berintraksi dengan penjenguk tidak tertahan lagi. Walaupun dalam intraksi itu ada 'penjenguk yang tegar' mencaci maki saya namun terasa sunyi pula kalau tidak membuka dan membaca catatan-catatan demikian.

Pujian memberi semangat cacian pula menambah semangat!

Catatan esok akan dimulakan dengan beberapa berita dari Makkah dan Madinah.

Selain daripada gambaran betapa meriahnya sambutan bulan Ramadhan di Makkah dan juga kehadiran jutaan umat Islam dari seluruh dunia kerana ingin mengejarkan Lailatu Qadar ia juga akan diselitkan dengan sedikit catatan mengenai politik Malaysia yang diperkatakan di Makkah.

Tunggulah hari esok!

- MSO

[jeddah.ksa 27/09/08]

Thursday, September 18, 2008

Salam Aidifitri

Rihat Untuk Mengerjakan Umrah

UNTUK kira-kira lebih seminggu hingga hari raya Aidifitri mungkin tidak ada apa-apa catatan dan pengisian untuk blog ini. Lewat tengah hari ini saya akan berangkat untuk menunaikan umrah dan insyaAllah akan berhari raya di sana. Sudah pasti dalam tempoh 'percutian' ini banyak peristiwa dan kejadian yang terlepas dari rangkulan, catatan dan ulasan saya.

Selama saya di tanah suci nanti saya berdoa semoga negara kita yang dicintai ini dalam keadaan aman damai tidak ada pergolakan dan kejadian yang tidak diingini berlaku. Doa juga kepada para penjenguk setia blog ini yang tidak habis-habis memberi sokongan dan semangat kepada saya untuk terus berblog.

Antara harapan dan doa saya semoga dalam tempoh terdekat ini tidak berlaku perkara-perkara berikut:

1. Perletakan jawatan Perdana Menteri oleh Abdullah Ahmad Badawi.

2. Tidak ada tangkapan dibuat ke atas Anwar Ibrahim dan juga mana-mana pemimpin politik di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

3. Wujudnya pedamaian antara dua kumpulan dalam Pas yang berbeza pendapat yang disebabkan perbezaan pandangan dan muslihat politik dalam isu Anwar Ibrahim.

4. Tidak akan ada lagi mana-mana Menteri yang meninggalkan Kabinet Abdullah.

5. Tidak ada lagi mana-mana parti komponen BN meninggalkan pakatan berkenaan.

Di kesempatan ini juga saya mengambil peluang mengucapkan Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin!

- MSO
[wm.kl 8:00 am 18/09/08]

Wednesday, September 17, 2008

Analisa Peristiwa

Membaca Makna Di Sebalik Tindakan Abdullah

SEKALIGUS pertukaran portfolio antara Abdullah Ahmad Badawi dengan Najib Razak untuk jawatan Menteri Kewangan dan Menteri Pertahanan memperlihatkan keikhlasan Abdullah untuk mengangkat Najib sebagai Perdana Menteri. Pertukaran itu juga sebagai persiapan kepada Najib untuk berlatih mengira dan mengenali not-not wang negara asing.

Petukaran itu juga membayangkan Abdullah bersedia memenuhi impian dan angan-angan Najib untuk mengambil alih tempatnya sebagai Perdana Menteri.
Najib tentu gembira dengan apa yang berlaku secara tiba-tiba itu dan seolah yang bulat datang menggolek dan yang leper datang melayang itu! Yalah Menteri Kewangan merupakan meteri paling berprestej dan glamour. Ditangan menteri itulah terletaknya karung dan guni kewangan negara.

Najib juga diberikan jawatan Pengerusi Khazanah Negara. Kedudukan itu meletakkan Najib sebagai pemegang segala khazanah dan seluruh kekayaan negara baik yang beku atau cair.

Peralihan itu juga semacam menampakkan Abdullah mengakui akan kelemahan beliau dalam menjana ekonomi negara. Peralihan itu mengesahkan apa yang dilemparkan kepadanya, jahil mengenai ekonomi dan buta untuk mencari wang kepada negara. Beliau seakan mengakui akan kelemahan itu dan bersedia memberikan kepada mereka yang lebih layak dan bernafsu untuk merangkulnya.

Dalam hal ini saya ada pandangan lain mengenai diri dan politik Perdana Menteri ini. Pada saya apa yang beliau lakukan itu bukan proses memberi pengalaman atau kenaikan pangkat kepada Najib, tetapi ia satu perangkap kepada timbalannya itu. Pertukaran hari ini bukan suka sama sukar seperti dipamerkan tetapi Najib terpaksa menerimanya. Harapnya Najib tidak silap dalam mentafsirkan ini.

Apa yang mungkin terselimut di sebalik hati Abdullah ialah beliau mahu rakyat mengetahui sejauh manakah kemampuan Najib menjana ekonomi negara. Kantung kewangan negara kini kering kontang. Perkembangan dan pergerakan ekonomi lembab. Apakah dengan suasana ini Najib dapat mengubah dan menambah kantung kewangan negara?

Pada Abdullah mungkin Najib tidak akan dapat melakukan sesuatu untuk merancakkan ekonomi negara. Dengan ilmu yang sedikit sudah pasti Najib tidak dapat melakukan apa-apa yang lebih baik daripadanya. Najib pernah menjadi Timbalan Menteri Kewangan satu masa dulu. Pengalaman itu sangat cetek untuk Najib terjun ke lautan ekonomi yang bergelora.
Jadi apa yang Abdullah hendak tengok ialah kegagalan Najib kelak. Kegagalan itu pula akan menjadi senjata kepada Abdullah untuk melihat Najib mati secara beragam dengan angan-angan besarnya.
Saya nampak dalam hal ini Abdullah mahu memberi peluang kepada Najib melakukan sesuatu. Apakah beliau berbakat dalam hal kewangan dan ekonomi atau tidak? Abdullah ada alasan sendiri untuk menjadi PM bukan saja memerlukan kepada kesegakkan tubuh badan tetapi kecerdikan otak serta sifat-sifat lain lagi yang tidak kurang pentingnya.

Sepatah kata Abdullah dalam memancing dan mencabar Najib, sekiranya prestasi Najib bagus mungkin beliau akan berundur awal. Mungkin pancing itu dimakan dan ditelan Najib dengan penuh keazaman dan lahap. Tetapi dalam suasana hari ini - dengan kemelesetan ekonomi global apa yang Najib mampu lalukan?

Di sebalik pertukaran yang berlaku hari ini saya juga nampak Abdullah mahu apa yang berlaku ke atas Anwar Ibrahim dulu berulang kepada Najib. Anwar semasa menjadi TPM juga menjadi Menteri Kewangan. Kementerian berkenaan menjadikan Anwar lupa daratan dan membina kekuatan politiknya. Amalan kronisme dan nepotisme wujud ketika itu. Akhir apa yang berlaku ke atas Anwar dengan kedudukkan itu; beliau menjadi seperti bawang yang ditimpa oleh jambaknya.

Jadi pertukaran yang dianggap ikhlas oleh Najib mengenai portfolio itu bukan sesuatu yang boleh dibanggakan Najib. Para langau Najib tidak perlu memikirkan yang bukan-bukan dengan kedudukan dan kuasa terbaru Najib itu. Sebab kalau tidak kena gaya kuasa baru yang dijabati hari ini akan membawa Najib ke lembah yang curam dan dalam!
Sementara itu pengambilalihan jawatan Menteri Pertahanan itu mungkin disebabkan Abdullah sudah sedar apa dilakukan Najib dengan kementerian itu. Penggunaan Military Intelligent Organization (MIO) oleh Najib untuk kepentingan poltiknya mungkin membimbangkan Abdullah. Jadi sebelum pagar memakan padi elok kalau beliau mengawal sendiri kementerian berkenaan dan biarlah MIO melaporkan semua perkembangan mengenai keselamatan dan politik negara kepadanya seorang saja tanpa berkosngsi dengan orang kedua. [wm.kl 6:00 pm 17/09/08]

Tuesday, September 16, 2008

Berita Baik

Hashim Jasin Diistyhar Menang, Harun Taib Kekalkan Kemenangan!

KEBENARAN mengatasi kebatilan! Hari ini Mahkamah Persekutuan mengistyharkan Pesuruhjaya Pas Perlis, Ustaz Hashim Jasin (foto) sebagai pemilik sah kerusi Dewan Undangan Negeri Sanglang Perlis. Pada pilihan raya 8 Mac lalu calon BN Abdullah Hassan diumumkan sebagai pemenang kerusi berkenaan dengan kelebihan undi sebanyak 140 undi.

Kerana tidak berpuas hati dengan keputusan itu Hashim membuat petisyen di Mahkamah Tinggi dan mahkamah berkenaan pada 18 Jun lalu mengistyharkan kerusi itu kosong. Berikutan itu Hashim mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan mahakamh itu dan meminta beliau diistyharkan sebagai pemenang sah.

Dengan pengistyharan itu Pas kini mempunyai dua orang wakil di DUN Perlis. Satu lagi kerusi ialah Simpang Empat diwakili Rus'sele Eizan.

Sementara mahkamah yang sama juga pagi ini telah menolak petisyen yang dikemukakan calon BN, Wan Sagar Wan Embong dengan kos terhadap kerusi Manir yang dimenangi oleh Harun Taib. Dalam pilihan raya lalu Harun menang dengan majoriti 432 undi.

Wan Sagar membuat petisyen kerana mendakwa berlaku rasuah politik semasa pilihan raya. Mahkamah Persekutuan menolak petisyen Wan Sagar kerana gagal mengemukakan bukti bersabit tuduhannya.

Keputusan hari ini menggembirakan Pas dan keputusan itu adalah sebagai hadiah sempena hari penubuhan Malaysia 16 September. [wm.kl 1:30 pm 16/09/09]

Ulasan Peristiwa

Zaid Lebih Bermaruah Daripada Ibrahim Ali

BARANGKALI ada yang beranggapan tindakan Zaid Ibrahim (foto) melepaskan jawatan menteri kabinet selaku Menteri Di Jabatan Perdana Menteri kerana beliau kecewa. Bukan sangat kerana pandangan beliau disanggah oleh Syed Hamid Albar dan beberapa menteri ekoran sikapnya mengenai tidak setuju dengan tindakan kerajaan menggunakan akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk menahan individu tertentu di bawah ISA, tetapi kerana hal lain.

Mungkin ada beranggapan beliau kecewa dan hilang kepercayaan kepada Umno apabila beliau tidak cukup pencalonan untuk mengekalkan ketua bahagian Umno Kota Bharu yang pernah dimenanginya.
Apapun tanggapan dan apa hakikat sebenar disebalik tindakan beliau itu kita ucapkan syabas dan tahniah kepada Zaid. Kerana ternyata beliau lebih baik dan bermaruah berbanding Ibrahim Ali.

Beliau berjaya menunjukkan rasa tanggungjawabnya. Dalam sidang akhbar yang diadakan di pejabatnya di Putrajaya pagi ini Zaid kekal dengan keputusannya, melepaskan jawatan yang menjadi kegilaan ahli politik itu.
Maknanya beliau tidak menghiraukan kepada rayuan dan permintaan Abdulah Ahmad Badawi agar beliau berfikir. Tikit percutian dua minggu tidak diambil dan dilayan oleh Zaid.

Keputusan itu dibuat mungkin setelah rayuan dan permintaannya kepada Abdullah ketika berjumpa semalam tidak dilayan.
Mungkin Zaid mendesak agar Abdullah membebaskan Teresa Kok dan Raja Peutra Kamaruddin. Ataupun juga beliau meluahkan apa yang berlaku dan sedang dilakukan oleh seseorang di Kota Bharu yang menyebabkan beliau tidak cukup pencalonan.

Apabila desakan dan rayuan atau rintihan itu tidak didengar oleh Abdullah, jadi untuk apa beliau tunggu lagi. Jelas beliau sudah tidak sehaluan dan sejalan dengan Abdullah. Maka jalan baru perlu diambil.

Keputusan dan tindakan Zaid itu lebih bermaruah dan bertanggunjawab daripada Muhyiddin Yaasin yang berani mengkritik Abdullah tetapi masih kekal berada di bawah dagu perdana menteri.

Mungkin juga beliau berbuat begitu ingin menguji sejauh mana moral dan maruah politik Muhyiddin. Muhyiddin tidak boleh menerima Abdullah sebagai ketua lagi apabila beliau meminta peralihan kuasa disegerakan. Sepatutnya Muhyiddin lebih awal berundur dari kabinet Abdullah berbanding dengan Zaid.

Keputusan Zaid itu menyusahkan Abdullah yang dalam susah dan pening kini. Tetapi sebagai rakyat marhaen yang merindui keadilan, kerajaan bermaruah kita angkat tabik 44 kali kepada Zaid atas keputusan itu. Dan tabik itu boleh ditambah sebanyak 44 kali lagi sekiranya beliau mengambil jalan benar dengan menyertai Pakatan Rakyat.

Sebelum pilihan raya umum 8 Mac lalu ketika beliau berdelima dengan masalahnya samada diberi kerusi untuk bertanding atau tidak di Kota Bharu saya sudah mencadangkan kepadanya agar menyertai PKR dan bertanding di Kota Bharu. Ketika itu beliau masih berat untuk berbuat demikian kerana masih ada hati kepada Umno.

Apakah setelah apa yang berlaku sudah berlaku hati beliau yang sebelum ini memiliki sisa Umno atau sudah jadi kering garing?

Pada saya tidak mengapa kalau pun beliau tidak menyertai PKR, apa yang beliau lakukan itu sudah membantu PKR yang kini dalam bersiap sedia untuk membentuk kerajaan. Seburuk-buruk Zaid Ibrahim dari kaca mata Pas Kelantan, lebih buruk lagi Ibrahim Ali yang kini sedang hanyut dalam lautan tidak berombak dan beralun. [wm.kl 12:00 t/hari 16/09/09]

Sebuah Perasaan

Kisah Terlepas Menghadiri Upacara Pembentukan Kerajaan Baru

(kemaskini) BERLAKU sedikit miss komunikasi kepada saya malam tadi. Peristiwa penting berlangsung di stadium Kelana Jaya, Shah Alam tidak sempat dirakam oleh saya. Rugi! Rugi besar. Sehinggalah diberitahu oleh bekas ahli Parlimen Jeli, Apandi Mohamad baru saya tersedar bahawa malam tadi berlangsungnya majlis sambutan hari Malaysia alias pengumuman pembentukan kerajaan baru oleh Pakatan Rakyat.

Mati-mati saya mengira majlis itu diadakan malam ini. Saya sudah bercadang untuk tidak ketinggalan dan telah mengerah beberapa rakan untuk ikut serta. Majlis pengumuman pembentukkan kerajaan baru 16 September itu penting untuk disaksi dan dijadikan bahan penulisan paling berharga dan bermakna.

Kerana kelalaian itu menyebabkan saya tidak dapat menyaksikan apa yang berlaku malam tadi dengan mata dan kepala sendiri. Dari jauh saya hanya membayangkan betapa meriah, hebat dan bersemangatnya majlis berkenaan.

Menurut Apandi, Anwar telah mngumumkan saat-saat pembentukan kerajaan baru semakin hampir. Katanya jumlah wakil rakyat yang dikehendaki sudah mencukupi. Serentak itu Anwar juga telah memberi surat kepada Abdullah Ahmad Badawi memaklumkan angka berkenaan (jumlah ali Parlimen diperlukan) sudah mencukupi, begitulah antara lain kata Apandi sungguh bersemangat.

Anwar mengambil jalan harmonian dan baik. Beliau tidak mahu terus membentuk kerajaan itu secara curi daripada Abdullah, kerana itu beliau memaklumkan. Harapnya Abdullah setelah dimaklumkan Anwar kelak terimalah dengan baik dan jangan ada sesuatu ketegangan berlaku.
Anwar masih baik kerana memberi sdikit tempoh lagi. Sekiranya Abdullah tetap berdegil, maka sesuatu akan dilalukan juga. Apakah sesuatu itu sama-sama kita tunggu!

Apabila saya membaca kenyataan demi kenyataan daripada para pemimpin PKR dalam berita menerusi internet pagi ini, fikiran benar-benar teruja. Betapa kenyataan itu subur dan bersemangat. Ianya seragam dan seacuan dengan apa yang diperkatakan Anwar. Begitu konfiden sekali setiap daripada mereka. Bagi pemimpin BN yang mudah lemah semangat mungkin akan jatuh tergolek.

“Seorang menteri kabinet juga sudah berjumpa dengan Anwar,” begitulah kata seorang pemimpin kanan PKR memberi gambaran ambang pembentukan kerajaan baru itu disokong oleh banyak pihak. Manakala seorang pemimpin di Sabah memberi tahu beberapa ahli Parlimen Sabah telah menghubunginya!

Membaca kenyataan itu seolah kerajaan baru sudah pun terbentuk dan berada dalam tangan. Keghairahan untuk melihat perubahan begitu tinggi dan besar sekali. Semua orang kini dibayangi dengan peristiwa bersejarah itu. Dan bertolak dari situasi dan keyakinan itu juga maka dibawah ini saya melakarkan sebuah catatan bersifat embargo sempena dengan kejayaan dan pembentukan kerajaan baru itu sebagai meraikannya: Bacalah:

Kerajaan baru Malaysia dibentuk hari ini

Hari ini ialah 16 September. Hari yang sama tetapi tidak serupa dengan hari-hari sebelum ini. Hari ini ada makna dan ada cerita tersendiri. Hari ini ada sejarah baru dilukis dan dilakarkan oleh bangsa Malaysia.
Kira-kira 45 tahun lalu pada hari ini terlakar sejarah baru bagi rakyat negara ini. Pada hari inilah terbentuknya sebuah negara bernama Malaysia. Persekutuan Tanah Melayu telah bergabung dengan Sabah, Sarawak dan Singapura mewujudkan negara Malaysia.
Manakala sejarah yang tercipta hari ini ialah terbentuknya sebuah kerajaan baru. Hari ini jatuhlah dengan rasminya kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mempunyai 14 komponen parti politik yang memerintah penuh kezaliman dan korup. Bermula hari ini berakhirlah riwayat BN. Malaysia kini dikuasai dan diperintah oleh Pakatan Rakyat (PR) yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat, Parti Islam se Malaysia (Pas) dan parti Democrat Action Parti (DAP).

Sejarah yang terlakar hari ini cukup nostalgik dan tragis. Ia berlaku dan terbentuk dengan air mata rakyat. Tidak ada setitik darahpun tumpah pada hari ini. Semuanya berjalan lancar. Hanya airmata kegembiraan yang mengalir dari setiap pipi pencinta damai. Mereka yang membenci kerajaan BN selama lebih setengah abad menangis kegmbiraan. Bersyukur atas apa yang berlaku.

Dengan sejuta bendera berkibar dari Sabah hingga ke Perlis hari ini memberi lambang bahawa Malaysia kini berwajah baru. Malaysia bersemangat baru dan berjiwa baru. Malaysia serba baru. Malaysia yang membawa kegelapan yang dilukiskan BN sebelum ini kini dicerahi dengan Malaysia baru bawah Pakatan Rakyat.

Stadium Kelana Jaya, Shah Alam juga mencatat sejarah. Di situlah menjadi tempat peristyharan kerajaan baru. Stadium itu akan menjadi sebutan dan terlipat dalam lembaran sejarah sebagai tempat terlahirnya sebuah pembaharuan untuk rakyat negara ini. Malam tadi dalam stadium yang boleh memuat pengujung seramai 40,000 bergemanya slogan Merdeka dengan nada dan getaran baru. Merdeka!

Lebih 10,000 yang hadir pada majlis pengistyharan itu adalah saksi-saksi utama bagaimana peralihan kuasa dilakukan dengan cukup lunak. Mereka adalah mewakili lebih 27 juta rakyat negara ini, menyaksikan bagaimana kerajaan baru Malaysia dibentuk. Bendera harapan baru dinaikan dan menabiri di setiap sudut mata. Susah lelah mereka berjuang selama lebih 10 tahun lalu demi mewujudkan sebuah kerajaan baru, kini sudah terbayar dan menjadi kenyataan. Jelas perjuangan menuntut keadilan, kesamarataan akhirnya teranugerah jua.

Dan bagi Anwar Ibrahim yang menjadi pelopor dan pengagas kerajaan baru juga mempunyai sejarah tersendiri buatnya. Bagaimana cita-cita yang dianggap sebagai lelucoh, gimik atau disinis dengan berbagai persendaan dan dilihat dengan penuh pesimis oleh pihak bekas Kerajaan lama, menjadi sebuah kenyataan yang sukar dimegertikan dan tidak mudah untuk dipercayai.

Bermula semalam gelaran yang diimpikan Anwar selama ini tercapai juga. Mulai detik 12:00 malam Anwar Ibrhaim meraih gelaran rasmi sebagai kepala negara iaitu panggilan Yang Amat Berhormat (YAB). Penobatan itu bukan dari sesiapa melainkan dari rakyat yang memeletakkan harapan dan menjunjungi tinggi kepadanya sebagai pejuang negara.

Dan sama-samalah kita mendoakan kerajaan baru ini akan senantiasa dipelihara Allah s.w.t., diberikan kemakmuran berganda manakala para sekalian pemimpinya dikurniakan akal dan tubuh badan yang sihat. Senantiasa waras dan betanggungjawab. Harapan mengunung daripada sekalian rakyat, biarlah kerajaan yang ada kini dapat menyapu segala kedukaan dan kesedihan rakyat yang terhidu dan terhirup pada sepanjang pemerintahan kerajaan terdahulu.

Perhatian: Catatan ini hendaklah dibaca apabila pembentukan kerajaan baru itu benar-benar menjadi kenyataan seperti mana dirancangkan. [wm.kl 6:05 am 16/09/08]

Monday, September 15, 2008

Kemelut Pas

Kenapa Jadikan Anwar Sebagai Bala Pas

SEDAR atau tidak sedar, setuju atau tidak setuju, projek 16 September kini menjadi seperti api dalam sekam memakan dan memamah keharmonian Pas selama ini. Projek itu telah menjadi bala kepada Pas meretakkan ukhwah sesamanya. Projek berkenaan yang sepatutnya tidak ada sangkut paut dengan Pas kerana ia adalah agenda peribadi PKR dan penasihatnya Anwar Ibrahim, namun kini menjadi isu yang mengeruhkan suasana dalam Pas.

Pas seharusnya memerhati dari jauh berhubung projek berkenaan tanpa menyusahkan diri dengannya. Pas boleh mengaut keuntungan daripada projek itu tanpa ikut sama mencelup tangan hingga sampai ke pangkal lengan dalam projek berkenaan. Cara itu lebih baik kerana kalau ia tidak berlaku Pas tidak akan terkena bau busuknya.

Gara-gara projek itu kini Pas semacam retak. Ada dua pendapat saling bertentangan berhubung dengannya. Satu pihak mempercayainya hidup-hidup kepada projek berkenaan dan satu pihak lagi menolaknya mentah-mentah. Kedua pihak ada sebab dan hujah tersendiri untuk menerima dan menafikannya.
Strategi politik

Pertentangan berhubung projek ini yang membawa kepada pertentangan kepercayaan bukan saja kepada strategi politik itu tapi membabitkan keyakinan kepada Anwar itu sendiri sedkit sebanyak terobek.

Ia semakin merebak apabila pertentangan itu bukan berlaku dari kalangan individu bawahan tetapi sudah terarah kepada pembentukan dua kelompok yang kontras dalam Pas; yang menyokong Anwar dan yang menentang Anwar.

Hari ini perwujudan kelompok itu sangat jelas dan sudah menjadi sebutan dengan berbagai nama ataupun gelaran. Kedua kelompok ini masing-masing membicara mengikut gaya dan keyakinan tersendiri dan tidak mahu bertemu untuk membincang secara bersama lagi. Ia juga menampakkan konflit sesama sendiri yang cenderung kepada keadaan yang meruncing jika tidak disedari segera kedua pihak.

Pergeseran dan perbezaan pendapat tidak menjadi masalah. Pas selalu mengalami pergeseran dalam mencari kesimpulan berhubung sesuatu isu. Tetapi kalau pergeseran kerana menegakkan batang tubuh manusia di luar parti itu ia menghairankan. Ia agak ganjil sedikit! Bila masa pula Pas bertindak menjadi NGO menjaga hak asasi seseorang?

Anwar adalah individu di luar Pas. Kenapa Pas harus menjadikan batang tubuhnya sebagai pemecah belahkan Pas? Beliau tidak ada kaitan dengan Pas. Sedangkan apa yang berlaku kini ialah disebabkan Anwar. Di sinilah kesilapannya dan menampakkan kurang matangnya siasah Pas.
Perkara ini tidak boleh disembunyikan lagi. Ia semakin ketara dan nyata. Walaupun ada pihak dalam Pas yang ingin mendamai dan menyembunyikannya namun tidak berhasil. Kerana kedua terlibat mempunyai pengaruh yang besar ke atas satu sama lain. Keyakinan dan ego (amarah) manusia menjadikan manusia lupa kepada amanah dan tanggungjawab perjuangan dan menjaga kepentingan ahli Pas.

Mereka yang bersetuju dengan projek 16 September ini atau tepatnya terpesona dengan Anwar ialah Husam Musa, Naib Presiden Pas, (beliau boleh dianggap sebagai ketua), Kamaruddin Jaaffar, Setiausaha Agung, Zulkifly Ahmad, Pengarah Strategi Pas, Mohd Hatta Ramli, Bendahari Agung Pas, Mahfuz Omar, Ketua Penerangan Pas, Syed Azman Syed Mohamad AJK Pas, Abdul Khalid Samad, ahli Parlimen Shah Alam. Mereka ini dibantu oleh Dr Mariah Mahmood dan Dr Lo' Lo' Ghazali keduanya AJK Pas Pusat.

Dijadikan perkakas

Dan kelompok ini merasakan mereka merdeka dan menang apabila Musyidul Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat dilihat sebagai memberi mata dan sedia membentangkan belakangnya untuk dijadikan perkakas usang oleh kelompok ini.

Manakala pihak yang tidak setuju dan tidak yakin dengan projek berkenaan ialah Abdul Hadi Awang, Presiden Pas, Nasaruddin Mat Isa, Timbalan Presiden, Mustafa Ali, Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pas. Mereka ini dibantu oleh Dr Haron Din, Timbalan Mursyidul Am Pas, Harun Taib bersama beberapa tokoh veteran Pas Terengganu, Kedah, Kelantan, Johor dan lain-lain.

Disebabkan Mustafa dilihat vokal dan menjadi penasihat politik Abdul Hadi Awang maka beliau dicap sebagai ketua di sebelah sini.

Jelas kalau dilihat kepada klasifikasi ini ia menggambarkan Pas kini sudah berpecah dua kumpulan dan di mana kekuatan kedua pihak kelihatan sama gagah kerana keduanya diketuai oleh pucuk pimpinan Pas tertinggi.

Pada dasarnya kedua kelompok ini ada hujah dan alasan kenapa mereka menolak dan menyokongnya. Namun sayang hujah dan alasan ini tidak dapat mempengaruhi di antara satu sama lain sebaliknya keyakinan ini mereka saling bertentangan.

Pada hemat saya, puak yang menyokong Anwar atau yakin dengan projek peralihan kuasa 16 September (esok) itu mereka sedar hakikat kekosongan angan-angan itu. Tetapi kenapa mereka sokong ialah kerana motif lain. Saya tidak kira Husam Musa (arkitek baru Pas) buta dan jahil mengenai hal ini. Beliau tentu sekali nampak dan bermain politik untuk kepentingan partinya dan juga dirinya di sebalik menyokong projek itu.

Daripada apa yang dilakukan, menjelaskan Husam seakan sedang menguji sejauh mana kehebatan dirinya dengan isu berkenaan. Cara beliau menggerakkan isu itu dan bermain politik dengannya seakan beliau sedang membuat persiapan untuk masa depan politiknya. Secara tidak langsung kini umum sudah melihat semacam ada perlumbaan pengaruh antara Husam dengan tokoh-tokoh tertentu dalam Pas. Jangan terkejut kalau pada pemilihan pucuk pimpinan Pas tahun depan Husam akan mencabar Abdul Hadi Awang untuk jawatan presiden!

Demikian juga dengan kumpulan yang tidak yakin dengan projek berkenaan. Mereka tidak setuju bukan kerana projek itu projek Mat Jenin; tetapi kerana alasan-alasan lain yang sangat jelas dan konkrit kepada mereka. Di sini saya nampak mereka bukan tidak suka kepada projek berkenaan tetapi tidak boleh menerima sikap dan keperibadian pengilham projek berkenaan, Anwar Ibrahim.
Adapun mengapa mereka tidak bersedia menerima Anwar ialah kerana masalah peribadi yang dihadapi Penasihat PKR itu. Tuduhan liwat ke atas Anwar atau sejarah politik Anwar dizaman gemilangnya dalam BN dulu yang menghentam dan menganiaya Pas menyebabkan mereka sukar untuk menerima Anwar. Dalam erti kata lain gara-gara sejarah hitam dan parut itu mereka hilang penghormatan kepada Anwar.

Tikaman Anwar

Tentu berlain dengan mereka yang tidak mengenali Anwar dan baru mengenalinya seharian dua ini, tidak merasai betapa sakitnya tikaman Anwar terhadap Pas sebelum ini. Mungkin kesan dan sejarah itu menyebabkan mereka berhati-hati untuk menerima Anwar. Mungkin dalam hal ini bagaimana peritnya Nik Aziz terhadap Umno yang menendang Pas keluar BN mungkin begitulah juga peritnya kelompak ini kepada Anwar.

Apa yang berlaku ini walaupun melibatkan Anwar, penasihat PK itu tidak boleh disalahkan. Beliau tidak berdosa dalam hal ini. Anwar tidak memangil dan meminta secara rasmi agar menyokongnya. Pihak yang menyokongnya mahu menumpang tuah dan auranya. Mereka mengira Anwar boleh melakukan sesuatu termasuk meruntuhkan kerajaan BN yang menjadi harapan bersama.

Dalam menangani kemelut ini pada hemat saya Pas kurang berhati-hati dan tidak ceramat. Sepatutnya Pas selesai dengan cara baik dan tidak membuka ruang perbezaan dan konflit antara satu sama lain dengan lebih luas. Perselisihan itu berlaku menampakkan keretakan dalam Pas. Kematangan Pas selama 52 tahun juga boleh dipertikaikan.

Misalnya teguran Nik Abdul Aziz Nik Mat ke atas Mustafa Ali yang meluahkan pandanganya tidak percaya kepada projek itu tidak bijaksana. Nik Aziz sebagai Mursyidul Am tidak sepatut membuat teguran terbuka begitu dengan mengedarkan kenyataan akhbar mengkritik Mustafa Ali ke dalam blog dan internet.

Tindakan itu tidak fatanah dan bertentang dengan ciri kepimpinan para sahabat yang menjadi idola dan teladan pemimpin Pas. Nik Aziz agak emosional dalam melayani kerenah Mustafa Ali itu. Nik Aziz patut lebih menjaga kedudukannya sebagai Mursyidul Am di mana jawatan tertinggi dalam hirerki Pas daripada turut menjadi broker atau proksi kepada puak yang menyokong Anwar dan sanggup singsing jubah turun padang.

Dalam perhatian saya mengenai isu sokongan kepada Anwar ini Nik Aziz menggunakan sepenuhnya baju dan jubahnya sebagai Mursyidul Am Pas untuk menyokong bekas TPM itu. Pandangan Majlis Syura pun dilanggarnya! Perangai ini sungguh aneh. Beliau seakan lebihkan kepada Anwar daripada menjaga perasaan dan kepentingan pemimpin Pas sendiri. Nik Aziz harus sedar dan jangan mudah nyanyuk bahawa Pas itu adalah hak jemaah dan bukan kepunyaannya. Sehebat mana ilmunya dan sebesar mana pengaruhnya ia tetap dipayungi oleh Pas.

Dalam apa juga keadaan dan berdepan dengan krisis dan perbalahan beliau tidak wajar berpihak dan patut berada di tengah. Jawatan Mursyidul Am itu sendiri adalah sebagai penasihat dan pemberi kata putus. Ia tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya apa lagi mengikut sentimen dan apa lagi kalau sanggup bercakap dengan menggunakan air liur orang lain.

Kini tidak ada siapa lagi yang boleh menjadi orang tengah dan penasihat yang adil dan dihormati dalam Pas apabila Mursyidul Am Pas sendiri boleh dipertikaikan keadilan dan tanggungjawabnya. Perkembangan ini agak malang bagi Pas. Dalam Umno dituduh berkecamuk, Pas juga nampaknya terikut sama bercelaru dengan bergaduh dan singgung menyinggung sesama sendiri sampai terselak barang dalam kain. Barangkali sudah begitu takdir Allah! [wm.kl 10:30 am 15/09/08]

Sunday, September 14, 2008

Ulasan Isu

Abad Kedua Mahathir Permain Tengku Razaleigh

ADA beberapa email dan SMS untuk bertanyakan saya benarkan Mahathir Mohamad sedia sokong Tengku Razaleigh Hamzah untuk jadi Pesiden Umno? Pertanyaan itu timbul apabila tersebar berlaku pertemuan antara Mahathir dengan Tengku Razaleigh bersama beberapa bekas pemimpin yang lain.

Pertanyaan itu meminta pandangan saya sejauh mana kebenaran terhadap tanggapan demikian?

Mudah saya katakan, Mahathir tidak akan menyokong Razaleigh. Kalau beliau dilihat menyokong Razaleigh sehari dua ini hanya sekejap saja. Sokongan itu adalah sandiwara saja yang diprogramkan begitu rupa! Sokongan itu tidak akan sampai ke dasar hati.

Sebabnya mudah juga, kerana Mahathir tidak mahukan kepada Razaleigh jadi Presiden Umno dan Perdana Menteri. Buktiknya kalau Mahathir nahukan Razaleigh sudah lama dia lantik bekas Menteri Kewangan itu (sebelum dia lantik Abdullah jadi timbalan perdana menteri) lagi. Tetapi mengapa beliau tidak berbuat begitu sedangkan dia tahu ketokohan Razaleigh jauh lebih hebat berbanding dengan ketokohan Abdullah.

Mahathir ada sebab dan alasan sendiri kenapa dia tidak mahukan Razaleigh. Salah satu dan ini pokok pangkalnya kerana Razaleigh anak raja. Mahathir sebagai penganut fahaman sosialis sangat anti kepada golongan bangasawan dan sistem feudal. Buktinya siapakah yang menghakiskan kuasa raja-raja Melayu kalau tidak Mahathir?

Mahathir telah mencampakkan raja Melayu ke dalam longkang pada tahun 1983 dan 1986 sewaktu gerakan meminda perlembagaan bagi mengurangkan imuniti raja-raja. Semua keaiban raja didedahkan pada era Mahathir memerintah.

Dalam hisab siasah Mahathir kalau Razaleigh menjadi PM bermakna kuasa raja akan subur kembali sedangkan dalam hati kecil Mahathir kalau boleh raja perlu ditiadakan terus lagi bagus. Satu masa dulu Mahathir pernah dikaitkan ingin menggantikan pemerintah demokrasi beraja kepada demokrasi berpresiden.

Berdasarkan hakikat itu Mahathir tidak ikhlas akan sokong Razaleigh. Kecualilah Razaleigh memberi jaminan bertulis kalau anak raja itu jadi PM dia harus mengambil Mukhriz bin Mahathir menjadi timbalannya. Siapakah Mukhriz ini?

Jadi perjumpaan mereka bukan boleh dianggap sebagai persefahaman baru. Perisitwa Razaleigh hampir mengalahkan Mahathir tahun 1987 dengan kurang 53 undi untuk jawatan Presiden Umno menyebabkan Mahathir tidak akan merelakan Razaleigh menjadi PM, tetapi dalam pada itu tidak cuba memutuskan perhubungan sahabat mereka. Namun dalam diam Mahathir tetap akan menghalangnya.

Perjumpaan dan persefahaman yang dikatakan membuka cerita baru itu adalah atas dasar sahabat sahaja. Razaleigh seorang manusia yang sangat menghormati sahabat dan setia dalam persahabatan. Dalam hal ini kalau Mahathir jinak dengan Razaleigh beliau ingin menggunakan Razaleigh untuk kepentingannya saja bagi menggerakan gelombang menjatuhkan Abdullah.

Kalau Abdullah jatuh yang naiknya nanti ialah buah hati Mahathir, Najib Razak.
Siapa kata Mahathir benar-benar marah kepada Najib? Mahatir tidak marah kepada Najib. Yang berlaku hanya dia kesal kerana Najib lambat bertindak untuk mengoncangkan Abdullah agar turun dari kerusinya. Dan kini setelah Najib merasakan kabus politiknya mulai hitam baru berani menunjukkan belang untuk melawan Abdullah.

Orang paling gembira kini ialah Mahathir. Sebab ayamnya (Najib) sudah mengembang bulu dan berkokok untuk melawan Abdullah.

Apabila Razaleigh nampak jinak kerana inginkan sokongan Mahathir buat-buat sokong Razaleigh dan ini menyebabkan penyokong Razaleigh jadi kembang hidung tidak menentu. Walhal tujuannya untuk gunakan Razaleigh bagi kemudahaan Najib saja.

Dalam pakatan baru ini saya nampak ada Sanusi Junid? Siapa Sanusi Junid? Dia adalah pencinta kepada Mahathir buat selama-lamanya. Mahathir bagi Sanusi samalah ular tedong dengan bobon. Ular sakit dia ubatkan, bobon sakit ular ubatkan! Kalau dalam wayang kulit macam Samad dengan Wak Yah....

Sanusi Junid juga bekerja untuk Najib Razak. Saya percaya kerja dan usaha Sanusi bukan untuk apa-apa tetapi sekadar untuk memuaskan hatinya saja. Sanusi begitu cemburu dan sakit hati dengan Abdulah. Bukan kerana kebodohan dan kelembekan Abdullah tetapi kerana Abdullah diangkat Tuhan menjadi PM sedangkan Sanusi yang perasaan dia jauh lebih hebat daripada Abdullah hanya setakat jadi Menteri Besar Kedah saja.

Sanusi Junid boleh baca kalau Abdullah kekal tercokol dalam Umno ia memberi kemudahan kepada Anwar Ibrahim untuk merangkak jadi PM. Abdullah dalam perhitungan Sanusi senang dijatuhkan Anwar. Kalau Abdullah jatuh sebelum Najib naik, maka Anwar akan jadi PM dan Umno akan tertimbus sampai ke leher. Sanusi pula begitu alergik kepada Anwar Ibrahim!

Jadi pembukaan hubungan diplomatik baru antara Mahathir dengan Razaleigh yang turut sama melibatkan Muhyiddin Yassin dan mulai dipasarkan dalam gudang politik kini bukan untuk membantu Razaleigh menjadi perdana menteri. Orang dan penyokong Razaleigh jangan mudah tersihir dengan sandiwara ini kelak mengigit jari sendiri.

Dalam hal ini Razaleigh hanya dijadiakan alat saja. Bila Razaleigh dan ekornya menyokong Mahathir maka akan kelihatan besarlah arus dan gelombang untuk menghanyutkan Abdullah. Itulah yang mahu dicapturekan oleh Mahathir.

Peringatan kepada Razaleigh kalau beliau percaya kepada penampilan baru Mahathir dan kecek-kecek beliau akan disokong, ahli Parlimen Gua Musang itu akan kecewa sekali lagi. Umpama pemburu malang yang memasang jerat untuk menangkap mangsa; jerat akan bingkas tetapi mangsa terlepas.

Kepada mereka yang bertanyakan hal ini kepada saya, itulah jawaban dan ulasan saya. Dalam kancah politik ini Razaleigh tetap menjadi lebai malang untuk kesekian kalinya selepas beberapa kali dijadikan Lebai Malang oleh Mahathir dari abad ke 20 di tahun 80an, 90an hinggalah ke abad ke 21, tahun 2008 ini. [wm.kl 12:00 t/malam 15/09/08]

Celoteh Murai 5

Cerita 54 Ekor Itik Nila

MURAI sikit tidak senang dengan telatah dan sikap ahli-ahli Parlimen negara kita. Ada kalanya tindakan dan fiil mereka macam budak-budak bahkan lebih teruk daripada itu. Mereka tidak berusaha menunjukkan kematangan dan kelas mereka sebagai orang yang menganggotai badan penggubal undang-undang - Parlimen.

Kadang kadang tidak terliur untuk melihat mereka berbahas dan bertengkar dalam Parlimen. Adakalanya macam anjing dengan kucing saling tuduh menuduh antara satu sama lain dan sanggup bertegang leher atas perkara yang remeh remeh. Penggunaan keng lebih banyak daripada penggunaan otak dalam Parlimen.

Berbagai bahasa yang dikeluar dan digunapakai. Daripada bahasa Inggeris yang macam rojak Jawa sampailah kepada bahasa daerah yang memalu dan memabukkan! Perkataan lucah usah cerita lah...sudah jadi makan minum para ahli Yang Berhormat itu. Sebab itu bagi Murai pergi ke Parlimen lebih enak dan sedap duduk di kantin sambil minum dan makan kueh. Setengah kueh di Parlimen lebih berkualiti daripada ahli Parlimen!

Sikap kebudak-budakan dan telatah yang memualkan bukan saja setakat berlaku dalam dewan. Kini ia sudah terbawa keluar negara pula. Tindakan 49 ahli Parlimen BN yang melarikan diri keluar negara kerana bimbangkan projek 16 September menunjukkan kualiti dan tahap daya fikir ahli Parlimen berkenaan sungguh dangkal sekali.

Kononnya kerana ingin membendung sesama mereka untuk tidak dikidnap Anwar Ibrahim bagi membentuk kerajaan baru 16 September mereka ramai-ramai ke Taipei atas lawatan sambil belajar hal ehwal pertanian moden.

Alasan itu sungguh dangkal sekali. Setelah lebih tiga tahun kerajaan menjadikan pertanian sebagai perniagaan baru sekarang mereka nak pergi menimba ilmu untuk memajukan pertanian. Maknaya kerja mereka itu menanam dulu kemudian baru bubuh baja dan siram. Selepas pokok sudah layu baru nak rawat itu namanya kerja orang tidak sihat otak!

Sikap tidak berapa cerdik dan segar itu bukan saja terbatas kepada ahli Parlimen BN saja, tetapi ia turut berjangkit kepada ahli Parlimen pembangkang PKR bila mana lima orang daripada mereka turut sama terbang ke Taipei. Kononnya mereka pergi untuk mengejar ahli Parlimen BN yang dibawa lari itu.

Apakah perlunya melakukan kerja kejar mengejar itu? Kalaulah sungguh ada di kalangan 49 orang ahli Palimen BN itu yang ingin bersama Pakatan Rakyat tidak payah dikejar-kejar. Lagak ahli ahli Parlimen PKR itu tak ubah macam itik nila nak sanggama terpaksa kejar hingga terkoyak bulu baru dapat 'bergomol'.

Kalaulah demikian attitude ahli Parlimen kita macam manalah mereka boleh menyumbangkan pemikiran, akhlak dan budi pekerti baik kepada bangsa dan negara. Sepatutnya kejadian kebudak-budakan atau perangai itik nila itu tidak perlu berlaku. Dan kalau kedua pihak nak buat gimik dan reka cerita pun biarlah yang tersaul dek akal jangan sampai menyerlahkan kebodohan dan kepandiran kita.
Bagi Murai kesemua 49 ahli Parlimen BN dicampur lima orang ahli Parlimen PKR itu yang semuanya jadi 54 bolehlah dimasukkan ke dalam satu bakul. Mengenangkan mereka Murai teringat apakah mereka adalah spesies yang lahir daripada ahli mini Parlimen yang pernah dipimpin pelawak Jamal Kerdil lebih 15 tahun lalu.

Murai: Walaupun pandai bersiul kadang-kadang malu untuk menyanyi!
[wm.kl 10:00 am 14/09/08]

Saturday, September 13, 2008

Analisa Isu

Abullah Perlu Pelan Menyelamatkan Diri

PRESIDEN Umno, Abdullah Ahmad Badawi tidak payah berfikir panjang dan mencari banyak solution terhadap masalah yang menyendak dalam kepalanya kini. Beliau juga mungkin tidak boleh terus bermain politik menyerahkan nasib kepada takdir lagi. Masa untuknya amat terhad dan terdesak.

Abdullah tidak mempunyai banyak pilihan lagi. Di hadapannya hanya ada dua persimpangan saja. Ke kanan bermakna beliau meneruskan perjuangan menjadi PM sekurang-kurang untuk dua tahun lagi, 2010 seperti telah diputusnya.

Manakala ke kiri pula bermakna beliau kena berhenti seberapa segera! Masanya untuk mengulung tikir perkhidmatannya tidak sampai tiga bulan saja lagi. Kalau beliau menyerahkan kepada takdir pasti Disember ini adalah bulan bakal meragut nyanwa politiknya.

Seperti mana diduga bahawa semua sumpah dan janji dalam politik tidak boleh dipakai. Kalau sumpah (muhabalah) mengikut Islam pun boleh diragui apa lagi janji dalam politik, makin tidak boleh dipegang.

Dua kali timbalannya Mohd Najib Razak berjanji akan bersetia kepadanya. Sebaik dilantik menjadi TPM Najib melapazkan janji tidak akan menikam Abdullah dari belakang. Dan ketika termeterainya pelan peralihan kuasa beberapa bulan lepas sekali lagi Najib berikrar akan bersetia dan bekerjasama bersama Abdullah.

Awal-awal lagi saya sudah tidak yakin dengan sumpah dan janji itu. Ini kerana saya ada tafsiran dan filsofi sendiri mengenai sumpah dan janji orang politik. Bagi saya sumpah dan janji orang politik tidak boleh dipercayai, tetapi kita jangan merasa mustahil dengan tindakan orang politik.

Janji atau ikrar dalam politik hanya umpan untuk menjinakkan seseorang agar masuk dalam perangkap dan jeratnya secara senyap. Tidak pernah ada janji dan sumpah orang politik yang ikhlas dan benar. Tidak ada! Sebaliknya tindakan orang politik jangan sesekali dirasakan mustahil sebab kalau perlu membunuh mereka akan melakukannya!

Misalnya banyak kita dengar orang politik berjanji untuk berhenti bila sampai masa dan ketikanya janji itu dimungkari begitu saja. Tidak kira sang politik itu pakai songkok atau kopiah dan serban nilainya sama saja. Begitu juga dengan ikrar dan janji Najib itu tidak patut terkamus dalam kepada Abdullah.
Justeru Abdullah perlu merasa curigai pada janji timbalannya itu. Tanda-tandanya kini sudah kelihatan. Apa nada Najib hari ini. Tiba-tiba beliau mengatakan soal peralihan kuasa bergantung kepada Bahagian Umno.
Begitu juga apa yang dilakukan oleh Muhyiddin Yaasin yang mempertikaikan tempoh peralihan kuasa itu sebagai terlalu lama dan perlu dipendek adalah isyarat jelas kepada Abdullah. Desakan Muhyiddin itu satu pandangan ikhlas dan jujur untuk diterima Abdullah yang mempunyai motif tertentu.

Abdullah patut berterima kasih kepada Muhyiddin kerana memberi isyarat awal. Abdullah kena baca apa yang ada di sebalik sunggutan Muhyiddin itu. Muhyiddin tidak bercakap seorang dalam hal ini melainkan ada beberapa suara atau kepala lagi di sebaliknya.

Dalam tilikkan saya keberanian Muhyiddin itu mempunyai dua makna untuk difahami kemudian ditindak segera oleh Abdullah.

Pertama, Abdullah kena berundur segera kalau beliau tidak mahu menanggung malu besar. Masa untuk Abdullah berundur ialah sebelum berlangsungnya pemilihan pimpinan Umno. Kedua, pandangan Muhyiddin itu memberi syarat bahawa Najib sudah bersiap sedia akan menentang Abdullah untuk kerusi Presiden pada Disember depan.

Abdullah kena bijak membaca bahasa badan apabila Muhyiddin berani dan tergamak mempertikiakan mengenai kredibilitinya itu bermakna Muhyiddin sudah nekad. Beliau tentu ada insuran nyawa dari mana-mana pihak! Di sini dirasakan ada persekongkolan antara Muhyiddin dengan Najib? Bahawa pakatan antara Muhyiddin - Najib sedang berjalan. Bukankah mereka sudah berikrar untuk bergerak bersama bagi menghadapi Abdullah?

Muhyiddin bukan pandai-pandai untuk pergi melutut kepada Mahathir memohon bekas Presiden itu menyertai semula Umno melainkan kalau tidak dengan restu Najib. Muhyiddin adalah utusan Najib untuk berbincang dan mengajak Mahathir menjadi penasihat mereka. Mahathir pula harus bersetuju tanpa banyak soal kerana itulah kehendaknya. Sudah lama Mahathir menyuruh Najib melawan Abdullah.

Pakatan baru Muhyiddin - Najib - Mahathir (MNM) kini bermula untuk merempuh Abdullah. Dalam masa sama juga pakatan berkenaan memberi gambaran kepada umum seolah-olah bakal calon Presiden Umno Tengku Razaleigh Hamzah seakan ikut bersama mereka.

Juteru bertolak dari itu Abdullah tidak boleh duduk diam. Beliau kena lakukan sesuatu untuk mengekang kemaraan pakatan baru itu. Beliau harus mencipta pelan khas untuk menyelamatkan kedudukan sebagai PM sekurang-kurang hingga Disember depan. Nasib yang diterima bekas PM Thailand, Samak Sundaravej jangan hendaknya melanda Abdullah.

Pelan penyelamat

Apakah pelan penyelamat itu? Cadangan ahli Parlimen Kota Bharu, Zaid Ibrahim agar singkir Muhyididn boleh dipertimbangkan. Namun dalam keadaan sekarang ia rasanya kurang wajar kalau tindakan itu diambil kerana boleh menimbulkan kekeruhan. Abdullah kena cari pelan lain.

Kalau Muhyiddin - Najib - Mahathir bergabung tenaga, kenapa Abdullah tidak melakukan hal yang sama. Dalam politik tidak boleh berjuang secara bersendirian. Abdullah kena juga membina dan membentuk teamnya sendiri. Beliau kena mencari regunya bagi melawan regu MNM itu.

Dalam hal ini apa yang boleh dilalukan kepada Abdullah ialah kembali kepada team awalnya, iaitu team B. Tokoh-tokoh team B masih ada dalam Umno dan mereka juga mempunyai kalibar tidak kurang hebatnya. Kebetulan semua mereka kini bersama beliau. Beliau harus manfaatkan rakan-rakan lama ini dan tidak begitu menyerahkan kayu politiknya kepada menantunya, Khairy Jamaluddin.

Tengku Razaleih Hamzah, Syed Hamid Albar, Rais Yatim adalah orang yang pernah bergabung dalam team B dulu. Mereka ini rasanya mudah untuk didekati dan lebih boleh dipercayai oleh Abdullah. Apakah sukar untuk Abdullah menerima Tengku Razaleigh Hamzah sebagai penggantinya? Walaupun Rais atau Syed Hamid lebih sesuai namun dari segi karisma Tengku Razaleigh rasanya lebih hebat dan sesuai berbanding mereka berdua. Syed Hamid atau Rais boleh berada di belakang Tengku Razaleigh.

Pakatan ini boleh menyelamatkan Abdullah sekurang-kurang untuk tempoh sehingga selepas raya hari Aidiadha nanti. Sudah pasti kalau gabungan ini dapat diwujudkan ia molek dan padan untuk berhadapan dengan gabungan baru MNM itu yang mungkin akan turut sama didokong oleh Mukhriz Mahathir.

Rasanya bagi Tengku Razaleigh Hamzah, Syed Hamid dan Rais Yatim tidak ada masalah untuk mendokong Abdullah. Sekiranya Tengku Razaleigh bersedia, cadangan Zaid tadi boleh diambil kira iaitu singkir Muhyiddin dan gantikan dengan Tengku Razaliegh, lagipun Razaleih pernah memegang jawatan itu, Menteri Perdagangan Antarbangsa dan Industri.

Selain dari pelan itu, Abdullah juga boleh mencipta satu lagi pelan penyelamatnya. Beliau boleh berikan laluan kepada Anwar Ibrahim untuk melindunginya daripada dimusnahi oleh MNM. Lepaskan segala tuduhan ke atas Anwar dan biar Anwar menghadapi Najib secara terbuka. Atau kalau Abdullah sudah rasa bosan beliau boleh saja memberikan jawatan PM itu kepada Anwar dengan menyerahkan saki baki tenteranya (ahli PArlimen) kepada Anwar untuk membentuk kerajaan baru yang dicita-citakan itu.

Pelan kedua ini agak keterlaluan dan mustahil. Bagaimana pun pelan kedua itu boleh digunakan sekiranya Abdullah ingin membalas dendam dan melepaskan hawanya kepada MNM.

Daripada diserahkan harta pusaka kepada orang yang mengkhianati kita baik diserahkan kepada kawan dan sahabat handai yang telah kita ketahui hati budinya setidak-tidak mereka boleh juga membantu dikala kita memerlukan pertolongan. [wm.kl 3:00 pm 13/09/08]

Ulasan Isu

Penggunaan Akta ISA
Alasan Kerajaan Bolehkah Diterima?

KERAJAAN nampaknya tidak ada pilihan lain sekali lagi terpaksa menggunakan akta hantu, akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk menahan beberapa individu semalam yang dianggap boleh mencetuskan suasana tidak selesa dalam negara. Walaupun tindakan itu tidak populis (dan tindakan dikira paling keras dalam menenangkan sesuatu keadaan) namun ia terpaksa dilakukan.

Semalam raja bloger, Raja Petra Kamaruddin,54 (foto) yang juga pengendali laman Malaysia-today, wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng, 33 dan ahli politik DAP, Teresa Kok, 44 ditahan di bawah ISA. Penahanan mereka adalah tindakan paling keras kedua diambil sejak Abdullah Ahmad Badawi menjadi PM.

Sebelum ini beberapa pemimpin Hindraf telah dikenakan tindakan sama apabila mereka cuba menimbulkan kekeruhan terhadap negara pada akhir tahun lepas.

Penahanan Raja Petra seperti mana menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Ismail Omar tindakan Raja Petra boleh menimbulkan kegelisahan di kalangan rakyat negara ini. Raja Petra dituduh menghina Islam dan Nabi Muhammad s.a.w. menerusi tulisan-tulisannya atau pun mendedahkan blognya untuk menjadi medan menghentam Islam atas nama kebebasan bersuara.

Tindakan Raja Petra itu dianggap bahaya kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan umat Islam sendiri. Walaupun Islam boleh dibahas dan dikritik namun apabila ia dibuatkan secara terbuka dan tidak ada orang menyemaknya sebelum disiarkan menyebabkan ia boleh menimbulkan kekeliruan.

Penahahan pemberita Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng pula ialah kerana pemberita berkenaan menimbulkan isu perkauman dengan melaporan ucapan Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Pulau Pinang, Ahmad Ismail yang menimbulkan kontroversi baru-baru ini.

Penahanan pemberita ini bagaimana pun menimbulkan sedikit kemusykilan. Apakah beliau yang hanya sekadar membuat laporan yang mana menyebabkan pihak kerajaan (Umno) terjempit maka beliau perlu dihukum sedemikian rupa, dijadikan punching beg untuk melepaskan kemarahan dan kekesalan?

Manakala Teresa Kok pula ditahan kerana menimbulkan isu perkauman dengan beberapa tindakannya politiknya yang berbau perkauman dan menyentuh sensitiviti perasaan umat Islam.

Teresa seorang ahli politik wanita yang aktif dan vokal dengan isu-isu sosial dilaporkan sebagai mencadangkan untuk menukarkan penggunaan tulisan Jawi di papan tanda dengan tulisan Cina. Cadangan itu menunjukkan ahli politik DAP ini cuba mencari political mileage menerusi perkara yang tidak sewajarnya dilakukan.

Selain itu ahli Exco Kerajaan Selangor berkenaan juga didakwa cuba menuntut azan di masjid atau surau supaya diperlahankan. Ternyata tindakan Teresa itu secara langsung menyentuh dan mencabar kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara.

Setiap kali apabila kerajaan terpaksa mengambil tindakan tidak popular menerusi akta berkenaan, maka akan timbulllah kemarahan orang ramai kepada tindakan demikian. Tentu parti pembangkang dan NGO akan mengkritik habis-habisan tindakan ini dan akan menyifatkan kerajaan sebagai kejam dan zalim.

Bagaimana pun kita yakin kerajaan ada hujah dan alasannya tersendiri untuk bertindak demikian. Sudah pasti tindak tanduk mereka boleh memecah belahkan perpaduan dan menimbulkan masalah. Tindakan itu juga pasti bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih parah lagi.

Seperti mana menurut Menteri Dalam Negeri, Syed Hamid Albar, kerajaan mengambil masa untuk bertindak menahan mereka. Masa secukupnya diberi bagi mereka memperbetulkan kesalahan dan menyamak aktiviti mereka dianggap boleh menganggu ketenteraman awaam.

Misalnya kata Syed Hamid, Raja Petra sudah diberi peringat berkali-kali mengenai provokasi dan agar mengelakkan daripada menulis isu-isu bersifat menghina Islam namun tidak dihiraukan oleh pengendali protal berita berkenaan.

Bagaimana pun di sini penahan pemberita Sin Chew Daily itu menimbul sedikit kemusykilkan. Apakah wajar beliau terus dikenakan tindakan itu kerana jika dilihat kepada bidang tugasnya sebagai wartawan belliau hanya melaporkan sesuatu perisitwa sementara yang mengadunkan menjadi berita atau rencana ialah pihak pengarang.

Pengaranglah lebih bertanggungjawab membawa hala tujuan atau prinsip sesebuah akhbar. Di sini sepatutnya yang perlu dikenakan tindakan ialah pengarang. Apakah wartawan itu tidak oleh dikenakan tindakan awal misalnya di bawah akta hasutan?

Bagaimana pun seperti dikatakan tadi pihak kerajaan (Polis) tentu ada bukt-bukti yang nyata dan munasabah untuk menahan mereka itu semua. Sesungguhnya penahanan itu untuk menenangkan keadaan serta memberi pengajaran kepada semua agar lebih bertanggungjawab demi orang ramai dan bukan untuk pihak-pihak lain.

Hendaknya pihak kerajaan tidak sesekali bermain politik disebalik tindakan itu dengan menjadikan mangsa ISA itu sebagai kambing hitam untuk mengendurkan masalah dan kekeruhan yang berlaku dan mengawat dalam parti memerintah sejak kebalakangan ini. [d'kota kl 3:00 am 13/09/08]

Thursday, September 11, 2008

Dari Juring Mata

Kenapa Mahathir Bukan Tengku Razaleigh?

PRESIDEN Umno Abdullah Ahmad Badawi hanya mengulas ringkas apabila ditanya mengenai hasrat Mahathir Mohamad untuk kembali semula ke dalam Umno dengan berkata; kita bincang hal Ahmad Ismail saja", apabila ditanya mengenai hal itu oleh wartawan selepas mesyuarat MT kelmarin.

Jawaban ringkas itu memberi tafsiran bahawa beliau mungkin tidak setuju dengan cadangan dikemukakan oleh Muhyiddin Yassin itu yang meminta Mahathir kembali ke dalam Umno.

Mudah saja untuk difahami kenapa kalau Abdullah tidak setuju kerana Mahathir menjadi masalah kepadanya.Jadi cadangan Muhyiddin itu menyenakkan ulu hati Abdullah maka eloklah kalau beliau tidak melayaninya!

Muhyiddin pula tentu ada motif tersendiri kenapa beliau mengajak Mahathir agar kembali dalam Umno? Alasan yang beliau berikan Mahathir dapat memperkuatkan Umno dan BN. Secara tidak langsung alasan Muhyiddin itu Umno kini berada dalam keadaan lemah dan tidak ada siapa boleh mengubatinya lagi sehingga terpaksa memanggil bekas pemimpinnya.

Kalau dalam hikayat wayang kulit bila pengasuh tua (Pak Dogol) dipanggil kembali agar pulang semula ke negeri yang dinyahkan itu bermakna negeri itu berada dalam keaadaan kucar kacir dan di ambang kemusnahan.

Begitu juga dengan Umno kini. Kalau sampai Mahahtir diminta kembali semula ia menggambarkan Umno dalam keadaan teruk kalau pun tidak nazak.

Apakah Mahathir mampu berbuat sesuatu kepada Umno? Apakah beliau ada kuasa jin dapat memperbaiki keadaan Umno hari ini yang semakin tersisih dan di ketepikan rakyat?

Sepatutnya Muhyiddin tidak mengemukakan cadangan demikian dan beliau perlu arif dengan realiti yang berlaku disebabkan Mahathir. Beliau mungkin tahu kemusanahan Umno sebagai wadah perjuangan Melayu bermula ditangan Mahathir. Kenapa beliau tetap berminat dengan Mahathir, mungkin Muhyiddin ada agenda lain yang agak personal.

Antara penyebab kenapa Umno berada dalam keadaan dibenci kini ialah kerana Mahathir juga. Stail, dasar dan sikap liberal beliau dalam menguruskan parti berkenaan sehingga menyebabkan semangat Melayu tulen terhakis dari kerajaan yang dibentuk oleh parti berkenaan.

Jadi apabila orang berpenyakit diajak menyertai Umno semula pasti Umno akan jadi bertambah sakit dan ia tidak akan dapat menyelesaikan masalah yang semakin meruncing itu.

Cadangan Muhyiddin itu tidak masuk akal sama sekali melainkan ia dilihat kerana menyelitkan motif tertentu yang mudah untuk diteka. Umno harus diberi dan diserahkan kepada orang lain yang masih belum ada rekod mengkhianati perjuangan orang Melayu itu.

Untuk tujuan ini kenapa Umno begitu liat untuk mencari seseorang yang lain sebagai pengganti kedua mereka itu - Mahathir dan Abdullah? Dalam hal ini Tengku Razaleigh Hamzah nampaknya relevan dan boleh dijadikan penyelamat kepada Umno.

Tengku Razaleigh mampu menjadi nakhoda bagi menyelamat kapal bernama Umno yang semakin senget dan retak di sana sini itu. Dalam keadaan Umno kini sudah kehilangan semangat Melayu adalah sangat elok kalau ianya diserahkan kepada anak raja itu yang kelihatan mempunyai semangat Melayu yang tinggi.Beliau boleh dan mampu menyuntik semula nasionalisme dalam Umno.

Selain daripada itu kepakaran beliau dalam bidang pengurusan kewangan dan ekonomi terbukti menjadi apabila terbangunnya beberapa institusi kewangan dan ekonomi semasa beliau menjadi Menteri Kewangan dulu.

Nama-nama seperti Petronas, Pernas, Bank Bumiputeran, pembinaan lebuh raya adalah antara institusi ekonomi, kewangan dan idea prasarana negara yang senonim dengan beliau. Kita percaya kalau beliau diberi peluang, Tengku Razaleigh mampu berbuat sesuatu yang lebih daripada itu.Kalau dengan hanya sedikit kuasa beliau dapat melakukan sesuatu yang kini mengkagumkan kita apa lagi kalau diberikan kuasa yang lebih besar.

Umno harus berani membuat perubahan dan mencuba khidmat seorang pakar baru untuk membina semula partinya. Tidak ada guna kalau terus menggunakan pakar atau arkitek yang ternyata tidak dapat menyegarkan jiwa Umno seperti mana diharapkan. Kedegilan ahli Umno untuk melakukan anjakan paradigma ia akan memusnahkan parti berkenaan.

Dalam hal ini ahli Umno sepatutnya tidak terikat dengan stigma atau pun label yang telah dilemparkan kepada Tengku Razaleigh oleh seseorang yang menilainya dengan hasad dengki dan dendam kerana cara penilaian itu amat tidak adil.

Apa kata kalau ahli Umno ramai-ramai sepakat untuk mencuba khidmat Tengku Razaleigh bagi memperbaiki keadaan Umno dengan memberikan ruang untuknya mengadu nasib sebagai Presiden Umno pada Disember nanti! [wm.kl 6:15 am 11/09/08]

Wednesday, September 10, 2008

Berita Terkini

Ruang Untuk Anwar Jadi PM 16 September Masih Terbuka

Ahli PKR dan rakyat yang menyokong Pakatan Rakyat serta menanti kedatangan hari keramat 16 September boleh menarik nafas lega apabila bakal Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak ditahan dan ikat jaminannya berhubung kes liwat tidak ditarik.

Mahkamah Seksyen hari ini meneruskan ikat jamin yang diberikan pada 7 Ogos. Ini bermakna Anwar bebas bergerak dan tidak dihalang oleh apa-apa undang-undang.

Sebutan kes liwat ke atasnya yang sepatutnya disebut semula hari ini ditunda pada 24 September depan ekoran cadangan pihak pendakwa yang ingin memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi dan dibantah oleh peguam Anwar.

Hakim, SM Komathy Suppiah menentapkan pada 24 September untuk mendengar perbicaraan berhubung cadangan pindaan itu.

Dengan keputusan hari ini, ini bermakna Anwar masih ada ruang untuk menggerakan agedanya menumbangkan kerajaan BN menerusi tindakan lompat parti oleh ahli Parlimen BN seperti mana dijadulkan sebelum ini. [seremban 12:00 t/hari 10/09/08]

Tuesday, September 9, 2008

Menjelang Asar

Esok Juga Hari Penting Buat Semua

SELAIN 16 September, esok (10 September) juga merupakan hari-hari penting dalam kehidupan ahli Parlimen Permatang Pauh, Anwar Ibrahim dan setiap orang yang menyanjungi dan menyakinkan akan kehebatannya. Mereka yang beriya mahu menobatkan Anwar menjadi PM pada 16 September nanti akan melihat hari esok sebagai semi penentuan kepada cita-cita dan azam besar itu.

Esok adalah hari sebutan semula kes liwat yang dituduh ke atas Anwar. Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur akan menyebut semula kes berkenaan. Kes itu telah pun dibawa ke mahkamah berkenaan pada awal Ogos lalu. Mahkamah pada persidangan hari itu menetapkan 10 September (esok) sebagai hari sebutan semula kes berkenaan.

Apakah dalam sebutan semula esok ia akan membawa tuah kepada Anwar atau membawa kecelakaan besar kepada negara? Ada beberapa persoalan dalam menanti perbicaraan esok. Apakah kes itu akan terus dibicarakan secara ekspress ataupun ada perubahan-perubahan drastik yang akan memberi kelegaan kepada umum. Siapalah tahu...

Perkembangan politik negara mutakhir ini menyebabkan persoalan ini timbul dan ditimbulkan. Keputusan pilihan raya kecil Permatang Pauh pada 26 Ogos lalu yang memberi kemenangan besar kepada Anwar juga mungkin memberi kesan terhadap kes berkenaan kalaupun ia tidak boleh mempengaruhi untuk merubah segala-galanya.

Demikian juga dengan berberapa perkembangan lain. Misalnya laporan pemeriksaan ke atas si pembacuh kopi - orang yang menyebabkan Anwar diheret ke mahkamah atas kes liwat kali ini juga mungkin boleh merubah suasana. Pendirian tegas doktor Pusrawi yang melakukan pemeriksaan ke atas pembacuh kopi itu yang mengatakan beliau (pembacuh kopi) tidak diliwat mengejutkan banyak pihak dan mungkin dikaji semula segala dakwaannya kepada polis.

Kenyataan dan akuan berkanun yang diikrarkan oleh doktor itu juga mungkin turut menyebabkan Perdana Menteri terpaksa membelek diarinya dan membuka beberapa kitab mengenai kanun!

Perkembangan dan penemuan baru itu boleh menyebabkan kes berkenaan berubah dan diubah!
Perubahan yang boleh berlaku besok antaranya mungkin kes itu digugurkan atau ditukar pengadilanya oleh Mahkamah Syariah. Perlu diingat kes itu juga turut sama dibawa ke mahkamah syariah.

Sebaliknya kalau tidak ada perubahan drastik di mahkamah Sesyen besok ini bermakna ia boleh menganggui keseluruhan cita-cita dan impian Anwar. Apa lagi kalau mahkamah mengambil keputusan baru tidak membenarkan ikat jamin ke atas Ketua Pembangkang itu ia benar-benar merujakan kita semua. Ini bermakna Anwar mungkin akan ditahan! Kalau ini berlaku mungkin ramai yang akan menjerit dan histeria di perkarangan kompleks mahkamah besok.
Bagaimana pun kemungkinan ini sangat tipis dan jika berlaku bermakna pihak berkuasa sengaja menempa suasana keruh dalam negara.

Apa saja boleh berlaku besok berikutan perkembangan-perkembangan yang berlaku hari ini. Sama-samalah kita tunggu dengan tenang dan bersedia dan redha menerima apa saja keputusannya.
Kalau keputusan besok memberi kebaikan untuk kita, kita terima sebagai rahmat dan hadiah Ramadhan, sebaliknya kalau tidak baik, kita terima sebagai ujian buat kita. Mafhum sepotong firman Allah, sesungguhnya manusia tidak akan dapat dikatakan beriman selagi ianya tidak diuji.

Berpandu kepada mafhum firman itu kita semua perlu melalui ujian demi ujian untuk menentukan apakah kita mukmin atau pun sebaliknya! [d'kota kl 3:55 pm 09/09/08]

Monday, September 8, 2008

Celoteh Murai 4

Strategi Tidak Smart

MAKA berangkatlah 49 orang ahli Parlimen Malaysia daripada BN ke luar negara hari ini. Dari jumlah itu 39 dari Sabah dan Sarawak dan 10 dari Semenanjung. Destinasinya ialah negara Taiwan. Kononnya tujuan mereka ke Taiwan itu untuk mengadakan lawatan sambil belajar. Kononnya lagi mereka ke sana belajar cara-cara untuk berladang secara moden dan komersil.

Katanya pemergian 49 orang ahli Parlimen itu sama sekali tidak ada kena mengena dengan desas desus mengenai akan berlaku lompat melompat parti melibatkan MP daripada Sabah dan Sarawak pada 16 September ini.

Murai hanya berdecip decap mendengar berita berkenaan dan rasa geli hati melihat telatah ahli-ahli Parlimen BN itu. Betapalah kebudak-budakkannya mereka. Alasan mereka nampak sekali dangkal dan murah.

Sesiapa pun dapat membaca tujuan pemergian itu sebagai usaha mengagalkan rancangan lompat parti. Kalau tidak kenapa dipilih tarikh berkenaan, lagipun ketika ini bulan Ramdhan, bulan dimana umat Islam dituntut agak memperbanyakkan amal ibadat.

Kalau yang tidak beragama Islam tidak mengapa, tetapi yang beragama Islam pun ikut sama ke Taiwan apakah jadahnya? Biasanya umat Islam kalau dibulan Ramadhan nak melancung mereka ke Makkah bukan ke tempat lain. Kalau ke Taiwan itu sudah dipanggil melencung namanya! Si perempuan burung bayam dan burung kedidi pun ikut sama!

Siapakah yang punya idea tidak diketahui tetapi jelas orang itu tidak begitu smart dalam mengatur strategi ataupun membuat counter attack kepada rancangan Anwar Ibrahim. Semisalnya anar agar menumbangkan kerajaan pada 16 September ini Anwar sudah ada alasan kerana ahli Parlimen yang bercadang untuk lompat itu sudah diangkut ke luar negara. Cara BN itu memberi senjata kepada Anwar untuk mempertahankan kata-kata dan cita-citanya.

Kalau benar ada yang berhajat hendak lompat parti dan bersama Anwar tidak ada sesiapa yang boleh sekat. Lepas mereka balik dari Taipei mereka boleh bersama Anwar juga. Lagipun kebanyakan ahli Parlimen itu saraf fikirnya masih 'hidup' dan berfungsi. Tak tahulah kalau otak mereka sudah rosak.

Dalam masa sama pemimpin BN seorang demi seorang bangkit menafikan tidak ada lompat melompat. Kalau tak ada lompat melompat kenapa begitu bimbang dan saling mencurigai antara satu sama lain? MP-MP itu bukan budak-budak lagi, semuanya sudah panjang dan lebar lebar dan beruban pun. Semuanya boleh guna akal sendiri dan tahu pula menilai mana intan dan mana kaca, mana lebih baik Anwar dengan Abdullah dan Najib.

Kalaupun mereka disekat dan ditambat namun mereka akan berusaha juga melepaskan dirinya. Untuk sehari atau seminggu mungkin mereka rela berada dalam kurungan tetapi kalau sudah berbulan lama-lama mereka akan berusaha juga melepaskan dirinya dan mencari ruang kebebasan. Jasad manusia boleh dipenjara namun jiwa dan semangat manusia bebas menerawang ke mana saja tanpa mampu disekat dan ditahan oleh sesiapa pun.

Murai: Bebas tetapi bukan seperti kebebasan yang diamalkan oleh seorang ahli Parlimen Bebas itu. [wm.kl. 6:00 am 10/09/08]

Persepsi Tokoh

Mustafa Ali: Kerajaan BN Tidak Akan Tumbang
16 September Ini?

LAPAN hari lagi akan tibalah fajar yang ditunggu-tunggu oleh banyak orang iaitu fajar 16 September. Hari yang dikira penting dan bakal meruba landskap politik negara ini. Hari yang menamatkan riwayat kerajaan BN.

Pada hari itu adalah hari yang disasarkan oleh Penasihat Umum PKR, Anwar Ibrahim kerajaan BN pimpinan Abdullah Ahmad Badawi dan Mohd Najib Razak akan tumbang dan hancur.

Serentak itu juga jawatan Perdana Menteri akan berubah tangan kepada Anwar. Anwar akan membentuk kerajaan baru - kerajaan Pakatan Rakyat dan sekaligus akan menobatkan dirinya sebagai Perdana Menteri ke-6. Sudah pasti mereka yang bertungkus lumus bersama Anwar termasuk yang berkempen di pilihan raya kecil Permatang Pauh lalu akan dilantik menjadi anggota Kabinet atau sekurang-kurangnya turut merasai tempias nikmat 16 September!

Di mana-mana saja orang ramai bercakap mengenai perubahan itu. Seolah penantian ketibaan 16 September membawa perubahan yang pasti. Penantiannya seperti penantian 1 Syawal yang akan dirayakan dengan penuh hikmah dan makna sebagai menandakan kemenangan manusia Muslim dalam perang melawan nafsu.

Apakah 16 September menjadi hari kemenangan rakyat kerana menentang kezaliman dan ketidakadilan Barisan Nasional? Atau ianya tidak lebih daripada sebuah nyanyian sunyi dunia orang politik semata-mata yang diiringi dengan gesekan rebab Tok Selampit?

Ada pendapat yang pro kontra mengenai 16 September. Ada yang menpercayai melampau terhadapnya menyebabkan mereka kini hanya duduk membilang saat, minit dan hari saja sampai mengabaikan kerja rutin lain. Keyakinan mereka kepada teori yang dipersembahkan bagaimana perubahan dan kejatuhan itu berlaku cukup tinggi dan sukar untuk dirasionalkan lagi. Ada setengah menanti dengan pelbagai azam, termasuk memegang pisau cukur untuk membotakkan kepala sebaik saja fajar 16 September muncul.

Bagaimana pun kepada ahli politik yang matang dan tidak mudah 'disimsilabimkan' dengan sihir politik cukup waspada dalam menerima dakwaan dan dendangan lagi 16 September itu. Mereka hanya memerhatinya dengan senyuman-senyum kambing (bukan kambing Jamnapari) dari birai jendela saja.

Salah seorang daripada mereka ialah Pengarah Pilihan Raya Pas, Mustafa Ali (foto). Bagi beliau 16 September hanya sebuah gimik semata dan beliau yakin tidak akan berlaku pertukaran kerajaan pada tarikh tersebut seperti mana yang digembar gemburkan. Dalam erti kata lain BN tidak akan tumbang pada tarikh tersebut dan Anwar tidak akan angkat sumpah menjadi Perdana Menteri ke-6.

"Saya tidak yakin 16 September kerajaan BN dan Pak Lah akan jatuh," begitulah tegasnya berkali-kali dalam forum khas "16 September" anjuran sebuah tv internet di ibu Kota Kuala Lumpur hari ini. Saya adalah salah seorang ahli panelnya.

Beliau yang bercakap berdasarkan pengalaman dan atas kapisiti peribadinya memberi dua sebab untuk menolak 16 September tidak berlaku apa-apa perubahan.

Pertama katanya dari segi teknikal. Ini jelas kerana katanya pada tarikh berkenaan Parlimen tidak bersidang jadi bagaimana perubahan (menjatuhkan) kerajaan berlaku kerana tidak ada persidangan pada hari itu.

"Sesuatu undi tidak percaya ataupun 'peralihan kerajaan' akan dilakukan menerusi Parlimen saja. Jadi kalau Parlimen tidak bersidang bagaimana akan berlaku undi tidak percaya?" soal beliau. Tambahnya, hanya Parlimen saja boleh melakukan apa-apa perubahan termasuk untuk mengadakan undi tidak percaya kepada Perdana Menteri.

Beliau memberi hujah itu kerana mengulas ada teori mengatakan kerajaan hari ini akan jatuh dengan mudah apabila sudah ada 122 orang ahli Parlimen yang menandatangani menyatakan tidak percaya kepada Abdullah sebaliknya menyokong bekas TPM (Anwar), ketika itu juga Yang di-Pertuan Agong boleh melantik Anwar menjadi PM tanpa perlu mandat Parlimen.

Menurutnya pandangan dan teori berkenaan tidak betul kerana apa-apa tindakan termasuk undi tidak percaya akan dilakukan di Parlimen dan Yang di-Pertuan Agong akan menerima keputusan Parlimen dulu sebelum memberi perkenaan melantik sesiapa untuk menjadi PM setelah ianya dipersetujui oleh ahli Parlimen.

Kedua dari segi politik. Menurutnya dari segi politik juga tidak logik kalau ada ahli Parlimen BN berhijrah kepada Pakatan semata-mata kerana hendak menyokong Anwar. "Adalah ganjil dan sukar untuk dipercayai ahli Parlimen akan bersedia untuk berhijrah dari tempat (komponen) yang sudah ada kuasa kepada Pakatan yang belum ada kuasa," katanya.

Misalnya begitu juga adalah mustahil ahli Parlimen MCA untuk meninggalkan BN kerana merekalah yang asaskan komponen itu bersama Umno, apa lagi Pakatan Rakyat itu sendiri satu Pakatan yang longgar.

Justeru katanya beliau menyifatkan apa yang berlaku kini tidak lebih daripada gimik politik saja yang sengaja dikejutkan dengan tujuan tertentu oleh orang-orang tertentu termasuk mereka yang bersekongkol dengan Anwar.

Dari segi moral dan intergriti juga, penghijrahan itu seperti mana yang disebut itu tidak akan berlaku kerana ia melibatkan soal moral dan intergriti. Kerajaan yang ditubuhkan atas penghijrahan dan tawaran kebendaan akan dilihat sebagai tidak bermoral dan ini sesuatu yang tentunya akan dititik beratkan.

Dalam konteks ini katanya bagi Pas ia sangat bertentangan parti itu yang menekankan soal moral dan akhlak. Bagi Pas katanya, tindakan politik demikian sesuatu yang bertentangan dengan nilai perjuangan Pas dan ia tidak akan dilakukan oleh mereka yang sudah lama dan menghayati perjuangan Pas. "Tidak tahulah kalau mereka yang baru dalam Pas bersedia untuk sama-sama berbuat demikian!"

Beliau yang juga Pesuruhjaya Pas Terengganu bagaimana mengakui masa kini adalah waktu terbaik untuk pembangkang menguatkan usaha untuk menjatuhkan BN kerana berbagai kelemahan dan kepincangan BN serta penolakan rakyat kepada mereka seperti mana pilihan raya lalu sangat jelas.

Pun begitu bagi Mustafa beliau merasakan sesuai dan lebih gentleman kalau penggulingan BN itu dilakukan menerusi saluran demokratik seperti pilihan raya akan datang. "Bermula dari sekarang sepatutnya pembangkang membuat persiapan unutk menumbangkan BN menerusi pilihan raya dan bukannnya dengan mengharapkan berlaku lompat parti dan cara-cara yang tidak demokratik dan tidak bermoral untuk mengambil alih kerajaan", ujarnya.

Dalam pada itu Mustafa juga menegaskan hubungan Pas dengan Pakatan Rakyat masih seperti dulu dan tidak timbul soal Pas ingin meninggalkan Pakatan apa lagi untuk bergabung dengan Umno. [wm.kl. 4:15 pm 09/08/08]