Sunday, May 31, 2015

Sarjana bayang kerajaan Pas akan tumbang

SEMBANG                                                                                                          

Tiga hari lalu saya turut minum tea bersama beberapa anak Kelantan yang terdiri daripada sarjana dalam pelbagai bidang. Ada sarjana dalam bidang sejarah, ekonomi, politik dan budaya. Walaupun saya bukan seorang sarjana Ph.D tetapi diajak sama untuk minum tea bersama mereka. Terima kasih.

Antara yang hadir dalam sembang kedai kopi di Bangi.
Antara sarjana yang hadir ialah Dr Muhammad Agus Yusof, pensyarah di UKM, Dr Shamsul Adabi Mamat juga dari UKM, Dr Mustapa Ahmad, pengawa yang satu-satunya memegang title (tangkai nama) Doktorat, Dr Wan Suhaimi Wan Daud, Ketua PKR Pasir Mas, dan lain-lain yang saya tidak begitu mengenali mereka, yang juga merupakan sarjana Ph.D. Seorang peguam juga turut hadir.

Saturday, May 30, 2015

Nik Omar - Ayah hormat dan sanjung semua orang

ULASAN PAGI                                                                                

Bertempat di Shah Alam malam tadi telah berlangsung forum bertajuk, Pas dan Masa Depan Politik Islam di Malaysia yang menampilkan tiga anak bekas pimpinan tertinggi Pas sebagai ahli panel. Mereka ialah anak bekas dua presiden Pas, Yusuf Rawa, Mujahid Yusuf dan Fadzil Mohd Noor, Faiz Fadzil manakala seorang lagi anak bekas Mursyudil Am, Nik Abdul Aziz Nik Mat, Nik Omar Nik Abdul Aziz.

Tiga ahli panel bersama moderator, Dr Hamzah. Foto AA.
Meletakkan tiga anak bekas pemimpin tertinggi
Pas itu sudah tentu tujuan pengajur ialah untuk merungkai atau pun mendedahkan watak dan gaya perjuangan bapa mereka masing-masing kepada umum, khasnya kepada para perwakilan yang akan membuat pemilihan pemimpin Pas minggu depan.

Friday, May 29, 2015

Kadir Jasin tidak patut babitkan Anwar dalam siniskalnya kepada Najib

SINGGUNG JUMAAT                                                                                                         

Siniskal A Kadir Jasin memberi formula untuk Najib Razak mengekalkan kedudukannya apabila Dr Mahathir Mohamad semacam sudah hampir habis ikhtiar untuk melihat PM itu berundur, salah satu daripada enam formula itu agak melampau.

Kadir memberi enam formula, dan formula yang keempat yang berbunyi; "Upah penulis surat layang “berwibawa" untuk memburuk-burukkan Tun Dr Mahathir Mohamad, dengan ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menyumbang kata pengantarnya, dan sebagai ganjarannya Anwar diberi beberapa hari keluar penjara," ia dilihat agak melampau.

Tidak patut Kadir membabitkan nama Anwar kalau pun ingin menyiniskan Najib Razak. Apabila Kadir membabitkan nama Anwar meyebabkan nama Anwar sekelas dengan penulis surat layang.Anwar tidak wajar disama kelaskan dengan penulis upahan atau penulis surat layang. Mereka sebegitu bersifat halimunan, hipokrasi dan tidak ada moral, tidak dengan Anwar.

Thursday, May 28, 2015

Nik Amar jangan berpolitik seperti "gogat"

RENCANA                                                                                        

Pernyataan atau mesej Mohd Amar Nik Abdullah (Nik Amar), bahawa Pas bersedia untuk berjuang bersendirian sesuatu kenyataan yang kurang bijak dan tidak mencerminkan pemikiran politik global atau pun politik maufakat yang kontradik dengan kehendak generasi baru kini.

Mohd Amar Nik Abdullah
Pernyataan berupa harapan itu menggambarkan Nik Amar atau Pas Kelantan ego dan berasakan selesa dengan apa yang ada di Kelantan sekarang ini. Pandangan Nik Amar itu tidak merupakan pandangan bersifat politik dan dilihat lebih bersifat individualistik.

Nik Amar dalam satu kenyataan yang dilaporkan, menyebut Presiden Pas boleh mencadangkan dalam muktamar, agar Pas keluar daripada Pakatan Rakyat. Kenyataan Nik Amar itu bernada berharap agar Pas mengambil jalan sunyi bersendirian daripada berkolobrasi dengan DAP khasnya dalam menghadapi BN.

Wednesday, May 27, 2015

Elok PAC juga soal Najib

SEBUKA MATA                                                                               

Cadangan Rafizi Ramli supaya Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC) memanggil sama Najib Razak dalam siasatan terhadap 1MDB berhubung isu yang berbangkit dalam syarikat pelaburan strategik itu merupakan satu cadangan terbaik dan tepat. Najib tidak boleh dilepaskan begitu sahaja, kerana selaku pengerusi kepada syarikat itu beliau mesti tahu apa yang berlaku di dalamnya.

Apa lagi Najib adalah perdana menteri, apa-apa yang berlaku dalam negara ini terutama berkaitan negara mesti dalam pengetahuannya. Tidak ada satu pun yang terlepas dari pengetahuannya. Apa lagi mengikut Rafizi perjalanan syarikat 1MDB itu sama dengan perjalanan atau peraturan syarikat "culikannya" Lembaga Pelabuhan Terengganu (TIA).

Menurut memorandum dan tatacara syarikat TIA, semua keputusan dan kegiatan syarikat itu mestilah dibawah penegathaun perdana menteri. Ertinya apa-apa yang hendak dilakukan mesti mendapat persetujuan perdana menteri. 1MDB adalah penamaan semula daripada syarikat TIA. 

Tuesday, May 26, 2015

Mohamad Sabu dalam tesis

SOROTAN                                                                                                           

Selalunya para sarjana atau calon sarjana akan mencari dan mengangkat sesuatu isu (tema) atau seseorang (tokoh) bagi dijadikan bahan kajian (disertasi) bagi mendapat ijazah lanjutan seperti master atau P.Hd. Isu atau tema atau tokoh yang dipilih itu pastilah mempunyai nilai tersendiri dan ada keistimewaan pada pandangan matanya.

Ikhwaniata bentang sinopsis tesisnya.
Kalau mengenai seseorang (tokoh) ia akan dikaji latar belakangnya, kehebatan dalam bidang diterjuninya. Kajian itu juga akan meliputi pencapaian seseorang tokoh itu disamping kegagalan, kelemahannya serta lenggang lengguk perjalanannya. Kemudian kajian itu akan membuat kesimpulan terhadap tokoh yang dikajinya itu.

Apabila Mohd Ikwaniata Taib, seorang garduan membuat kajian ke atas perjuangan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu ertinya sosok ini ada nilai tertentu baginya. Mohamad Sabu istimewa dan penting untuk dibicarakan di meja hijau. Dan seseorang yang sudah dimasukkan ke dalam tesis, atau pun pendapatnya dirujuk, biasanya dia hebat, unik ataupun memiliki kelebihan-kelebihan tertentu yang baik untuk dikaji.

Sunday, May 24, 2015

Elak pemilihan bermazhab dalam Pas

HAYATI JIWA                                                                                 

Ambang muktamar Pas ke 63 kini sudah masuk ke fasal kedua. Fasal pertama kempen atau pun desakan (percaturan) agar tokoh-tokoh tertentu bertanding untuk merebut jawatan tertentu sudah pun berlalu. Proses pencalonan sudah dibuat peringkat mesyuarat kawasan. Sebahagian besar Pas kawasan telah selesai bermesyuarat.

Kini sudah diketahui siapa bertanding untuk merebut apa-apa jawatan. Semua jawatan penting dalam Pas untuk sesi 2015 - 2017 kali dipertandingkan atau ada perebutan, satu sejarah yang belum pernah terjadi.

Fasal kedua kini sedang berjalan untuk memenangi tokoh-tokoh yang dicalonkan. Kempen bagi memastikan calon tertentu menang atau naik, sedang rancak dijalankan dengan berbagai cara. Mekanisme paling ketara ialah menerusi ruang-ruang media baru, twiter, blog, facebook dan lain-lain. Manakala kempen secara senyap sampai memburuk-buruk orang tertentu juga dilancarkan menerusi grup WhatsApp. Inilah fitnah bisu diera ini. Banyak orang yang berani menulis dan menghemburkan idea tetapi dibuat dalam gelap.

Muhammad Taib menyatakan yang benar tentang Pas

ULASAN PAGI                                                                                    

Luahan hati bekas MB Selangor Muhammad Mohd Taib terhadap parti Pas yang baru dianggotainya semalam pahit untuk didengar tetapi itulah hakikatnya. Katanya, dia sudah kurang senang dengan perkembangan yang ada dalam Pas kini terutamanya aksi anak-anak muda yang pulang dari Timur Tengah yang ghairah mahu menguasai Pas.

Mereka itu kata Mohamad, ingin menguasai Pas sampai memburukkan sama sendiri dan berpuak-puak. Mereka memang pandai membaca ayat-ayat Quran dan hafal hadith tetapi cetek dalam politik.

Katanya, kalau jadi imam bulan puasa mereka baca ayat Quran panjang-panjang, tetapi bila ditanya soal semasa, mengenai GST, 1MDM dan sebagainya mereka tidak tahu.

Friday, May 22, 2015

Hari ini genap 100 hari Tokguru Nik Aziz meninggalkan kita

PROLOG JUMAAT                                                                                              

Hari ini, 3 Syaban 1436 genap 100 hari Tokguru Nik Abdul Aziz Nik Mat telah meninggal kita semua. Ahad lepas saya bersama isteri semasa pulang ke Kelantan sempat singgah menziarahi pusara Allahyarham di Pulau Melaka. Suasana di permakaman menjelang tengah hari itu, lenggang dan sunyi sahaja.

Pusara Tokguru Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Situsinya tidak seperti pada hari pengembumiannya dahulu dimana puluhan ribu manusia tertumpu ke situ. Segenap ruang dan celah di perkuburan itu dipenuhi dengan manusia. Semuanya hadir untuk memberi penghormatan terakhir dan menghantar jasad Tokguru ke liang lahad. 

Di bawah bangsal kecil menghadapi ke pusaranya, dua orang lelaki yang khyusuk berdoa. Mereka datang dari Melaka. Menurut mereka baru kini kesempatan untuk menziarahi pusara Tokguru selepas terlepas untuk hadir di hari pengembumian dulu. Kedua kelopak mata mereka kelihatan basah!

Thursday, May 21, 2015

Muhyiddin sudah masuk giar empat untuk timbuk Najib

SUSUPAN PETANG                                                                                            

Ketidaksebuluan Muhyiddin Yassin dengan Najib Razak sudah sampai ke peringkat giar empat. Muhyiddin sudah tidak dapat bersabar lagi dengan masalah dan kemelut di hadapi 1MDB syarikat pelaburan berstrategik yang dinaungi Najib.

Berbagai masalah menimp syarikat berkenaan terutamanya kehilangan alias kerugian RM42 billion benar-benar menyenakkan kepala timbalan presiden Umno itu. Beliau sendiri kesal dengan cara Najib mengatasi dan menyelesaikan kemelut dalam syarikat berkenaan.

Rasa jengkil Muhyuddin itu dinyatakan dalam satu majlis beliau bersama pimpinan Umno menjelang himpunan 11 Mei lalu. Muhyuddin mempersoalkan kenapa tindakan tidak diambil kepada CEO dan ahli lembaga pengarah 1MDB. Menurutnya dia sudah syorkan kepda Najib memecat mereka terlibat bahkan panggil polis agar menyiasat.

Mari sama-sama kita cari pemimpin baru Malaysia

KENYATAAN                                                                                 

Satu forum bertajuk Mencari Pemimpin Baru Malaysia akan diadakan pada Sabtu ini, 23 Mei bertempat di Dewan Sivik Petaling Jaya.

Progam itu akan bermula jam 2:30 petang dengan menampilkan tiga ahli panel, bekas pimpinan Umno yang juga pernah menjadi anggota kabinet.

Rohingya belayar menuju liang lahad...

RINTIHAN RASA                                                                          

Ketika kita enak tidur berlapikkan mimpi, mungkin ada sebahagian kita tidak sedar bahawa ada saudara kita sedang dilambung gelombang di tengah lautan. Kita enak berteduh dalam bilik hawa dingin, tetapi mereka kepansan di tengah-tengah samudara luas tanpa mengira lapar dan haus dahaga.

Beginilah nasib ibu dan anak Rohingya.
Atau pun ketika kita senang dan enak bersarapan pagi baik makan ubi ataupun roti disapu planta, tetapi ada saudara kita yang mati kebuluran di tengah lautan. Lupakah kita kepada hadith yang bermaksud, tipis iman kita kalau jiran sebelah mati kerana lapar.

Kita hanya bertarung dengan hutang dan cukai GST yang membebankan, atau pun menjadi bingung ke manakah wang sebanyak RM42 billion dilaburkan oleh 1MDB, tetapi mereka bertarung nyawa dan bercanda dengan maut. Saudara kita dimaksudkan itu ialah etnik Rohingya yang melarikan diri untuk menyelamatkan nyawa dari ditindas penguasa Myanmar yang tidak berhati perut dan telah lupus perikemanusiaan.

Wednesday, May 20, 2015

Alahai Hadi Awang

 ULASAN MALAS                                                                                             

Jujur saya nyata saya sudah kurang angin untuk mengulas atau pun menjampuk kenyataan-kenyataan politik Abdul Hadi Awang khususnya dalam mempertahankan kelemahan dirinya sehinggakan wibawa beliau sebagai presiden sudah kian terhakis. Tetapi kerana saya masih lagi dirujuk oleh kawan-kawan terdekat, yang bertanya pandangan saya setiap ada kesongsangan kenyataannya, maka saya tidak dapat mendiamkan diri, terpaksa bercakap juga.

Jika ikut hati saya sudah malas untuk menyentuh soal Hadi termasuk juga menulis namanya. Kenyataan-kenyataan tidak relevan dan menunjukkan standard politik dunia, membuang masa saja mengulas mengenainya.

Biarlah dia terjun dengan labu-labu dan penyunya. Bagi saya nama Hadi berada dibawah nama Mahathir dalam kamus politik saya. Seperti saya nyatakan itu, kerana saya masih ditanya rakan-rakan maka saya terpaksa juga menulis. Hadi bukan sebiji kepala makin tua makin berisi, tetapi dia lebih merupakan buah petolor ular sahaja.

Tuesday, May 19, 2015

Reputasi Pendikar Amin sudah rosak

SUSUPAN PETANG                                                                                           
             
Pendedahan dibuat oleh Mahathir Mohamad yang Pendikar Amin Mulia telah meletak jawatan sebagai Speaker Dewan Rakyat terjawab hari ini apabila Speaker asal Sabah itu membuat penjelasan atas apa yang berlaku.

Pendikar Amin Mulia.
Katanya dalam sidang akhbar di rumahnya, dia memang telah menulis surat untuk meletak jawatan, tetapi hasratnya itu ditolak oleh Najib Razak.

Adapun kenapa dia hendak meletak jawatan ialah kerana kecewa dengan beberapa perkara termasuk perjalanan sidang parlimen dan juga kurang keprihatinan kerajaan kepada prasarana Parlimen yang dianggap sebagai kelas ketiga berbanding dengan prasarana institusi kerajaan lain pejabat-pejabat menteri atau pun mahkamah.

Hasrat besar Pendikar Amin katanya dia mahu melakukan perubahan dan pembaharuan kepada parlimen. Salah satu yang tidak disenangi ialah orang yang bertanggungjawab kepada parlimen hendaklah ditiadakan. Apa dimaksudkan dia mahu menguasai Parlimen sepenuhnya dan pentadbiran instutusi itu tidak terpisah.

Apakah Mahathir akan istyharkan keluar Umno?

ULASAN PAGI                                                                                 

Perang antara Mahathir Mohamad dengan Najib Razak masih berterusan. Kini giliran Najib pula menjadi hilang sabar dengan terus mengkritik Mahathir sampai mendedahkan apa yang ada dalam kain. Terbaru, Najib mendedahkan macam mana Mahathir menjadi seorang presiden Umno yang hebat dengan menggunakan tektik mengubah perlembagaan parti untuk mengekalkan kedudukannya sebagai presiden Umno.

Kenyataan dan dakwaah Najib itu menunjukkan Mahathir seorang autokrasi.

Katanya, Mahathir selamat menjadi presiden Umno selama 22 tahun apabila dia menggunakan sistem kouta dan bonos dalam pemilihan Umno. Mulanya perlembagaan Umno mengenakan bonos kepada mereka yang dicalonkan untuk merebut jawatan presiden, timbalan presiden dan lain-lain kemudian selepas itu dikenakan syarat seseorang yang hendak bertanding jawatan presiden mesti mendapat pencalonan sebanyak 63 bahagian. Keadaan ini dinamakan sistem kouta.

Monday, May 18, 2015

Husam sahkan pertahan kedudukannya sebagai naib presiden

KENYATAAN                                                                                                      

Husam Musa telah mengesahkan yang beliau tidak akan mencabar sesiapa dalam muktamar Jun depan walaupun beliau juga layak untuk bertanding jawatan presiden dan timbalan presiden, Husam hanya mempertahankan jawatannya sebagai naib presiden Pas.

Dalam satu kenyataan media yang diterima oleh blog ini, Husam berterima kasih dan menghargai atas kepercayaan dan harapan para ahli yang mahukan beliau memantapkan Pas atau ikut sama memeriahkan muktamar dengan bertanding jawatan nombor satu dan nombor dua.

Di samping berterima kasih beliau memahami hasrat ahli dengan apa yang berlaku dalam Pas kini.

Thursday, May 14, 2015

AA cabar AHA, langsunglah dalam baik

ULASAN MALAM                                                                                              

Beberapa minggu lepas saya sudah meramalkan yang bekas Presiden Ulama Malaysia (PUM) Ahmad Awang (AA) akan mencabar kedudukan Abdul Hadi Awang (AHA) sebagai presiden Pas. Dan ramalan itu menjadi kenyataan hari ini apabila AA telah menyerahkan borang menyatakan kesediaan untuk berdepan dengan AHA.

Abdul Hadi dicabar Ahmad Awang.
AA tidak memberi banyak alasan kenapa dia mencabar AHA. Beliau hanya menyebut untuk memperkukuhkan parti, meraikan kekawan dan sudah tentu sebab lain kerana pertandingan dibenarkan dalam Pas, dan pertandingan itu bagi menggambarkan Pas sebuah parti demokratik dan pertandingan itu menyuburkan demokrasi.

Sebenarnya pertandingan itu adalah perkara biasa, dan ia mengulangi siri-siri perebutan jawatan dalam Pas sebelum ini. Bukan tidak pernah pimpinan tertinggi Pas dicabar ataupun dikutuk sehinggakan mereka akhirnya mengambil keputusan berundur, ia pernah berlaku, maka tindakan AA hari ini adalah mengulangi sejarah menuruti tradisi.

Wednesday, May 13, 2015

Terima kasih kepada rakan menyokong saya...

IKLAN BUKU                                                                               

Penempahan awal untuk promosi buku "Tokguru Dalam Mataku, Sebuah memoir" telah menerima tempahan masing-masing. Terima kasih kepada rakan yang menyokong saya dengan memiliki buku berkenaan. Budi dan sokongan anda akan tetap saya harga sampai ke bila-bila. Sokongan itulah yang memberi semangat kepada saya untuk terus berjuang menggunakan mata pena.

Sebagai seorang penulis akan gembira dan berpuas hati kalau apa yang diutarakan dinilai, sama ada baik atau sebaliknya.

Tidak ada makna dan erti bagi penulis kalau apa yang dibentangkan tidak dinilai oleh pembaca. Berertinya sesebuah buku apabila ia dipegang kemudian dibaca apa lagi diberi kepuasan atau teguran konstrakitf untuk saya memperbaiki karya saya.

Tuesday, May 12, 2015

Dr Mahathir masih simpan peluru akhir untuk "kill" Najib?

SUSUPAN PAGI                                                                              

Jika diumpamakan gempa bumi yang melanda "negeri" Najib Razak kini, ia berlaku dalam skala Richter yang besar juga yang boleh menghasilkan tsunami. Kedudukan Najib kini bergoyang dan segala isu yang dimainkan memeningkan perdana menteri itu. Ada petunjuk dan lakar wajah yang beliau dalam kerisauan dan isterinya juga loya-loya bukan kerana hamil.

Mahathir masih ada peluru.
Sokongan yang diminta dari rakyat, pimpinan dalam parti Umno, badan-badan bebas atau atau NGO pengampu, atau pun jeritan sokongan oleh pemimpin tertentu, serta laungan sokong menteri musang berjanggut, tidak memberi kelegaan sebenar kepada Najib.

Najib boleh tidur tetapi lenanya tidak ada. Kaki dan tangannya sering tersentak. Dan pertanyaan selama mana dia akan bertakhta di kerusi PM sering bermain dalam kepalanya. Waktu ini Najib sedang mencari detik dan tarikh keramat untuk bersara.

Monday, May 11, 2015

Najib sang Kelinci putih telah termasuk jerat

ULASAN PAGI                                                                                 

Najib Razak akhirnya terpaksa juga mengaku kalah dan tidak sanggup untuk terus berperang di medan psikologis dengan Dr Mahathir Mohamad apabila semalam dia membuat kenyataan terbuka menegaskan tidak akan tunduk kepada desakan agar meletak jawatan.

Jangan silap ini bukan Najib.
Kenyataan itulah yang ditunggu-tunggu Mahathir selama ini, mahu melihat Najib melatah dan membuka langkah menyerangnya. Mahathir mahu melihat aura Bugis Najib yang sebenar. Apa yang ditunggu itu kini sudah diperolehi. Najib dalam kunjungan ke Sabah semalam dengan angkuh membuat penegasan dia tidak akan melepaskan jawatan perdana menteri.

Penegasan Najib itu dilihat dia sudah hilang sabar dan gagal kawal diri apabila 24 jam sebelum berlangsungnya himpunan sempena hari kelahiran Umno di PWTC hari ini, Najib sudah "membeludakkan" perasaanya itu. Seolah-olah tindakan Najib di Sabah itu seperti wanita hamil bersalin tidak cukup bulan.

Sunday, May 10, 2015

Mat Sabu pertahan, Hadi dicabar jawatan

SANGKAAN                                                                                                   

Mohamad Sabu telah mengesahkan akan mempertahankan jawatan timbalan presiden Pas pada muktamar Jun depan. Kesediaan Mat Sabu itu sudah dijangka. Dua hari lepas ketika dihubungi wartawan akhbar Oriental Daily, saya membuat tanggapan yang Mat Sabu akan mempertahankan jawatan yang disandang itu.

Mat Sabu pertahan jawatan,
Bagi saya tidak ada sebab untuk Mat Sabu akur kepada mana-mana tekanan, agar beliau tidak mempertahankan kedudukannya apa lagi memberi laluan mudah kepada sesiapa sahaja untuk memikul jawatan itu. Keadaan Mat Sabu "dicagak" itu kini cukup sesuai dan membantu Pas terutamanya dalam mengolahkan sokongan bukan Melayu kepada Pas.

Mat sabu bukan sahaja dikenali dan terlebih dikenali, tetapi gaya politik berani, terbukanya sesuai dengan kehendak semasa. Mat Sabu membawa politik gaya anak muda kandati dia sudah berusia lebih separuh abad.

Saturday, May 9, 2015

Jadikah Najib nak umum sesuatu Isnin ini?

KHABAR SABTU                                                                                               

Khabarnya Isnin nanti Najib Razak akan sekali lagi membuat penjelasan berhubung beberapa isu yang bergentayangan kini terutamanya apa yang dibangkitkan oleh Dr Mahathir Mohamad. Katanya, kali ini Najib tidak lagi akan bersikap mempertahankan dirinya semata-mata tetapi akan turut sama menyerang Dr Mahathir.

Najib Razak sudah selesema teruk.
Dalam pada itu ada juga maklumat yang Najib akan membuat pengumuman penting pada Isnin ini. "Tunggulah ada sesuatu kejutan daripada Najib," begitulah sebut sumber kepada saya. Sumber itu juga menyebut Najib akan mula menjawab Mahathir secara terbuka, opensif. Terbuka dimaksudkan Najib akan mendedahkan apa yang Mahathir lakukan selama 22 tahun menjadi PM.

Mengenai kesuspenan Isinin ini, apakah ianya mengenai kedudukan Najib sebagai perdana menteri? Saya bersoal demikian, tetapi sumber itu tidak menjawab menyebabkan saya mentafsirkan apa yang Najib hendak perkatakan Isnin ini sesuatu yang sangat penting mengenai dirinya dan bakal meletup dalam Umno.

Friday, May 8, 2015

Kalau Syed Hamid di Tabung Haji mungkin pembelian tanah 1MDB tidak berlaku?

SEBELUM JUMAAT                                                                                          

Beberapa tahun lalu apabila Syed Hamid Albar tidak lagi disenaraikan dalam Kabinet Najib Razak, bekas ahli Parlimen Kota Tinggi itu diberikan penghormatan untuk dilantik menjadi Pengerusi Tabung Haji. Cadangan atau penyerahan Tabung Haji kepada Syed Hamid itu dikira tepat dan sesuai sangat. Syed Hamid dikenali sebagai seorang kedekut tetapi mempunyai prinsip dan ketegasan.

Syed Hamid tak jadi dilantik jadi pengerusi TH.
Sepantasnya orang berkeperibadian dan berintegriti begitu ditempatkan di institusi itu yang menjaga kepentingan umat Islam. Tabung Haji bukan sembarangan institusi, ia merupakan satu lembaga yang bertanggungjawab menjaga wang berbillion ringgit pendeposit calon-calon Haji dimana memerlukan seorang yanag amanah.

Lembaga itu hendaklah dijaga dan diawasi sebaik mungkin, bukan sahaja soal perbelanjaan, tetapi aktiviti pelaburannya untuk menambahkan pendapatan juga perlu diawasi dan dipastikan berjalan selari dengan syariat Islam. Harus diingat wang digunakan atau ditabungi oleh pelabur di institusi itu adalah yang bersih dari sebarang najis.Pulangan dividen juga haruslah wang yang bersih.

Thursday, May 7, 2015

Dr Wan Azizah berjaya kekalkan kerusi Permatang Pauh

STOP PRESS                                                                                    

Ahli Parlimen Pematang Pauh yang baru.
Dr Wan Azizah Wan Ismail berjaya mempertahankan kerusi P 44 Permatang Pauh dengan meraih majoriti 8,841. Beliau mendapat 30,316 undi manakala tiga lawannya, dari BN mendapat 21,475 undi manakala calon Bebas 367 undi dan PRM hanya 101 undi. Kedua-dua calon Bebas dan PRM hilang wang pertaruhan.

Kejayaan Wan Azizah meraih majoriti 9,542 dikira mengejutkan kerana rata-rata pemerhati menjangkakan hampir separuh majoriti diraih suaminya dulu akan susut. Dalam pilhan raya umum ke-13 Anwar menang di kerusi itu dengan majoriti 11,721 undi.

Saya sendiri meletakkan sempadan bahaya untuk PKR dalam pilihan raya ini, ialah majoriti dibawah 5,000.

Laporan terkini PRK Permatang Pauh

DARI MASA KE SEMASA                                                                                                          

8:55 pm - Angka yang boleh diyakini, Dr Wan Azizah memperolehi 29,561 manakala BN meraih 20,019. Calon Bebas 350 manakala calon PRM 96. Majoriti 9,542. Tunggu keputusan rasmi yang akan diumumkan oleh pihak SPR, yang mungkin lewat sedikit kerana Pengerusinya dilaporkan kurang sihat. Ulasan dan analisa dari blog ini akan dimasukan esok, insya-Allah.

8: 41 pm - Perkiraan sudah hampir selesai, Dr Wan Azizah meraih hampir 30,000 manakala calon BN lebih 20,000. Hanya kira-kira 2000 undi sahaja lagi yang belum dikira. Kalau pun kesemua 2,000 undi disedekah kepada BN, Azizah tetap menang. Syabas PKR dan DAP serta sesetengah pemimpin dan penyokong Pas yang menyokong.

Abdul Azeez Rahim perlu letak jawatan

KENYATAN MEDIA                                                                                           

Naib Presiden Pas Husam Musa mendesak Pengerusi Tabung Haji, Abdul Azeez Abdul Rahim meletak jawatan sebagai Pengerusi Tabung Haji sebagai mengambil tanggungjawab terhadap usaha Tabung Haji yang dikatakan membeli tanah (bail out) milik 1MDB bagi menyelamatkan syarikat pelaburan strategik itu.

Azeez perlu letak jawatan.
Menurut Husam tindakan itu juga perlu kerana Azeez didapati sudah berbohong kerana mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan CEO Tabung Haji yang mengesahkan pembelian tanah itu dengan harga diskaun.

Sebelum ini Abdul Azeez menafikan perkara itu, kata Husam.

Hujah Husam, sebagai pengerusi mustahil Azeez tidak mengetahui apa yang berlaku di Tabung Haji.

Hari ini Tabung Haji diserang hebat terutamanya oleh para penyimpannya ekoran terdedah maklumat mengatakan agensi itu telah membeli sebidang tanah milik 1MDB dengan harga yang diragui. Pembelian itu juga dianggap sebagai satu pengkhianatan Tabung Haji kepada para penyimpan. 

Pas kena ubah pendekatan dan lebel politik

ANALISA PRK ROMPIN                                                                                   

Pilihan raya Rompin sudah pun selesai dan keputusan sudah diketahui. BN masih berjaya mengekalkan kerusi berkenaan walaupun undinya merosot sekitar 40% berbanding dengan pencapaian dalam pilihan raya umum 2013. Calon BN, Hasan Ariffin mendapat 23,796 manakala calon Pas Nazri mendapat 14,901. Majoriti sebanyak 8,895. 

Rata-rata pemimpin Pas mezahirkan rasa lega dan optimis bahawa Pas mempunyai masa depan dan boleh berlawan di Rompin. Manakala pemimpin BN di semua peringkat pula terpaksa membuat "rambu-rambu" retorik untuk menjustifikasikan kemerosotan undi mereka. Yang jelasnya ada usaha dipihak BN untuk tidak mengaitkan "kekalahan dalam kemenangan" itu disebabkan Najib. 

Najib tidak mahu dijadikan faktor kemerosotan undi UBN itu. Mungkin untuk memelihara air muka perdana menteri itu.

PRK Permatang Pauh penentu nasib PKR, Pas

JENGUK PMG PAUH                                                                      

Sekejap lagi seramai 71, 252 pengundi Permatang Pauh akan keluar untuk menunaikan tanggungjawab kenegaraan mereka yang dikehendaki oleh sistem demokrasi negara ini. Mereka akan keluar untuk memilih wakil baru mereka ke Parlimen. Walaupun ada empat nama disenaraikan untuk dipilih, tetapi pertarungan (pemilihan) sebenarnya berlaku antara Dr Wan Azizah Wan Ismail daripada PKR dan Suhaimi Sabudin daripada BN.

Suasana ceramah PKR di tapak Ekspo.
BN berusaha keras untuk merampas kerusi Permatang Pauh. Kerusi itu sejak tahun 1982 ia diwakili oleh Anwar Ibrahim yang kemudian bertukar kepada Wan Azizah pada tahun 1999. Tahun 2008 sekali lagi ia berpindah kepada Anwar.

Bolehlah dikatakan kerusi Permatang Pauh milik Anwar dan Azizah secara peribadi. Permatang Pauh merupakan kerusi penuh simbolik dan menjadi sentimental value buat mereka. Kerusi itu juga menjadi simbol kekuatan PKR dan Pakatan Rakyat.

Wednesday, May 6, 2015

Sorotan PRK Permatang Pauh esok

PERHATIAN                                                                                    

Tempat PKR Kelantan berkubang sepanjang PRK.
Saya mohon maaf kepada penjengok blog Merah Tinta kerana semalam berjanji untuk sambung catatan mengenai pilihan raya kecil Rompin, tetapi tidak terbuat. Pagi-pagi lagi semalam saya bergegas pula ke Permatang Pauh untuk melihat suasana pilihan raya di sana.

Kesegeraan untuk ke Permatang Pauh selepas memerhati kedaan di Rompin yang kurang memuaskan dan mendapat berita yang PRK Permatang Pauh hangat dan kemungkinan PKR akan kehilangan kerusi keramat itu. Semua situasi dan kondisi itu harus dilihat sendiri.

Insya-Allah esok saya akan melaporkan perkembangan pilihan raya berkenaan berserta dengan ulasan dan pandangan saya tentang keputusan pilihan raya Rompin. Atas "kemungkiran" tidak disengaja ini dipohon kemaaf. [*** 11:40 pm 06/05/15]


Tuesday, May 5, 2015

Pilihan raya kecil Rompin tidak meriah

CATATAN ROMPIN                                                                                           

Sejak semalam dan hingga ke sore ini saya sempat pusing di Muazam Shah, Keratong, Rompin, dan beberapa kawasan untuk meninjau suasana pilihan raya kecil parlimen Rompin yang akan berakhir esok. Esok adalah hari mengundi.

Keadaan tidak berapa meriah. Pemasangan bendera dan logistik kempen sedarhana sahaja. Tidak semeriah dalam pilihan raya kecil di tempat lain terutamanya di Kedah, Kelantan ataupun Kuala Lumpur. Mungkin suasana di Rompin juga tidak dapat menandingi suasana di Permatang Pauh yang lebih mendapat perhatian kerana BN beriya-iya sungguh untuk merampas kerusi itu.

Rompin mungkin diperkirakan sukar untuk dirampas kerana ia kerusi tradisi Umno.

Friday, May 1, 2015

Merah hitam serang Kuala Lumpur, bantah GST

 CUPLIKAN                                                                                                       

Himpunan duduk membantah GST.
Walaupun demo menentang pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) di ibu kota Kuala Lumpur hari ini tanpa dihadiri Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah, namun puluhan ribu rakyat yang membantah dengan pelaksanaan cukai berkenaan keluar melepaskan perasaan.

Sebelum ini Tengku Razaleigh dilaporkan berkata "sedia" untuk hadir sama begitu dengan Dr Mahathir Mohamad. Kesediaan Tengku Razaleigh dan Mahathir itu berdasarkan penentangan mereka kepada pelaksanaan cukai berkenaan.

Buku TOKGURU DALAM MATAKU sudah siap

PENGUMUMAN                                                                                                

Hari ini Jumaat, 1 Mei 2015 genap 78 hari Tokguru Nik Abdul Aziz Nik Mat telah kembali ke Rahmatullah. Alhamdulilah hari ini penulisan memoir saya dengan beliau sudah selesai dan kini dalam proses percetakan. Insya-Allah ia akan menemui para pembaca beberapa hari lagi.

Tawaran istimewa untuk 300 naskah buku ini sudah pun mula diwar-warkan di Facebook saya sebelum Jumaat tadi.

Buku ini adalah sebagai hadiah kecil saya kepada Allahyarham. Ia sebagai tanda mata dan tanda hati selama saya berkenalan, bersahabat dan menjadi murid kecilnya. Buku berjudul TOKGURU DALAM MATAKU, Sebuah memoir, ini adalah catatan peribadi saya dengan Tokguru disepanjang saya mengenai sejak tahun 1967 merakam kembali detik-detik manis, tegang dan juga lucu bersamanya.