Thursday, January 31, 2008

Ulasan Khas

Pilihan Raya Ke-12 Perlawanan Antara Najib dengan Khairy

MSO

HAKIKATNYA pilihan raya ke - 12 adalah pertandingan antara pembangkang dengan parti memerintah Barisan Nasional. Rasanya orang ramai tidak begitu berminat untuk mengetahui apakah kesudahannya nanti. BN pasti akan menang dan membentuk Kerajaan sekali lagi.

Tidak ada tanda-tanda kubra menunjukkan rakyat akan melakukan perubahan ke atas Kerajaan yang berkuasa selama ini. Walaupun Dr Mahathir Mohamad membuat seruan dan mengkritik kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi namun kesilapan-kesilapan tertentu dilakukannya sebelum ini (Mahathir) masih dikenang rakyat. Ini menjadikan rakyat membuat kesimpulan Dr Mahathir lebih kurang Abdullah saja atau setenganya lebih parah daripada Abdullah.

Justeru apa yang menarik tentang pilihan raya ini ialah satu game yang berlaku di sebaliknya. Game yang dimaksudkan itu perlawanan antara mereka yang bercita-cita besar dalam politik untuk menjadi Perdana Menteri.

Kekuasan negara

Dalam Umno ada dua orang yang memasang angan-angan atau bercita-cita besar untuk menduduki kekuasaan negara. Mereka ialah Najib Razak dan Khairy Jamaluddin.
Mereka ini sedang bertempur secara aman. Kalau orang tidak dapat membaca kilau dalam kilat tidak nampak akan game kedua orang ini. Mereka seolah sedang bermain catur menerusi internet! Khairy sedang berusaha mengumpulkan kekuatan dan pengaruh. Najib juga begitu sedang memperluas dan memantapkan pengaruhnya.

Dalam mengejar cita-cita untuk menjawat jawatan yang pernah disandang oleh bapanya (Razak Hussein) dan juga bapa saudaranya (Huseein Onn) Najib tidak gentar kepada orang lain. Muhyuddin Yassin dan Ali Rustam umpama tali refia yang rapuh dan mudah putus dan mudah pecah. Kena air tali itu memberai. Muhyuddin dan Ali Rustam bukan pencabarnya. Mereka berdua tidak ubah seperti budak penjaga lembu bagi Najib.

Orang yang Najib takut ialah Khairy. Anak muda yang bukan sembarangan. Dari segi kelulusan, intellegent, kepetahan dan berfikir Khairy jauh menyerlahkan kehebatan berbanding dengan Najib. Dilihat kepada warna kulitnya juga menjelaskan akan kehebatan Khairy. Dia berwarna macam burung buk-buk yang keras tetapi mempunyai kepintaran tinggi dan tahu mengubat anaknya yang kepatahan kaki.

Najib dalam usia seperti Khairy lebih banyak jadi tukang ikut telunjuk saja. Jarang bahkan tidak ada pemikiran, falsafah yang ditunjuki Najib. Malahan kegagalan banyak dicatat Najib misalnya sewaktu menjadi Menteri Besar Pahang rekod perkhidmatnya amat teruk sekali sehingga Pahang hampir-hampir bankrup. Najib dalam usia itu lebih banyak berfoya-foya daripada berkerja.

Semasa memimpin Pergerakan Pemuda Umno juga Najib tidak seberani dan sebiadab Khairy dalam mempertahankan isu mengenai negara dan juga Umno. Sikap 'main selamatnya' mengecewakan banyak orang termasuk Tengku Razaleigh Hamzah dan Anwar Ibrahim. Najib tidak pernah pendapat perhatian daripada sesiapa tidak seperti Khairy yang mendapat perhatian istimewa oleh Dr Mahathir Mohamad.

Mengupas

Kalau Khairy tidak bisa, tidak terror dan mampu mengugat politik Dr Mahathir masakan Dr Mahathir menghabiskan air liur mengulas dan mengupas mengenai Khairy. Ada kalanya Dr Mahathir menghentam Khairy seprerti mana beliau menghentam Gorge W Bush atau Paul Keting.

Ketrampilan Kahiry sangat ditakuti Najib.

Sebaliknya pula bagi Khairy orang yang paling ditakuti bukan ketuanya Hishamuddin Hussein tetapi, sepupu Hishamuddin, Najib Razak. Hishamuddin sudah lama diratah hidup-hidup oleh Khairy. Sejak Khairy menjawat jawatan Naib Ketua Pemuda, Hishamuddin menjadi papet. Khairy tidak merasa hairan dan gentar kepada orang lain. Kebetulan pula Najib adalah orang nombor dua dan berpengaruh. Inilah yang menjadikan Khairy terpaksa mengatur strategi dan mencari seribu helah termasuk dengan cara baik.

Pilihan raya ini adalah kesempatan terbaik untuk kedua mereka mengatur strategi masing-masing bagi memastikan mereka terlepas dari jerat yang dipasang oleh antara mereka. Baik Khairy ataupun Najib mereka menggunakan pilihan raya ini. Itu sebab pilihan raya ini adalah game menentukan masa depan bagi Najib dan Khairy.

Mereka berada dalam parti yang sama tetapi mempunyai cita-cita dan harapan berbeza. Doa mereka juga berbeza. Najib walaupun mahu pilihan raya ini BN menang, namun beliau tidak suka kalau kemenangan itu sampai gemilang dan cemerlang. Bagi Najib cukup setakat berjaya tubuh Kerajaan.

Najib mendoakan prestasi BN kali ini merosot. Beliau mahu jadikan kemerosotan itu sebagai tanda bahawa pengaruh Abdullah semakin lemah dan menurun. Bila pengaruh Abdullah menurun maka senanglah untuk para pengikutnya membuat alasan bagi meminta Abdullah turun dan Najib naik.

Gampang

Kemerosotan pilihan raya ini juga menyebabkan prestasi dan saham Khairy akan jatuh mendadak. Kejatuhan itu tentu akan diambil kesempatan oleh penyokong Najib untuk melanyak Khairy. Harapan Khairy untuk menduduki kerusi Ketua Pemuda dengan gampang akan jadi sebaliknya. Pasti akan ada calon proksi Najib menentang Khairy.

Berlainan dengan Khairy. Beliau mahukan BN kekalkan kecemerlangan piliahn raya lalu. Bagi Khairy kalau pilihan raya ini dapat mengekalkan prestasi tahun 2004 ia adalah kejayaan besar. Kecemerlangan itu menjadikan saham naik mencanak.

Dalam percaturan dan peperangan ini, kedua mereka kini sedang bergasak sesama sendiri dalam diam. Khairy yang mendapat mandat daripada bapa mertuanya sedang mengatur dan memilih calon yang menjadi pendokong dan penyokongnya.
Khairy harus lakukan demikian memastikan orang-orangnya menguasai di peringkat Kerajaan Negeri dan juga Parlimen.

Keadaan inilah menjadi Najib pening kepala. Najib juga berbuat demikian. Beliau harus tempatkan orang-orangnya seberapa banyak yang boleh. Ada kalanya mereka bertembung dalam memilih calon di sesuatu kawasan.

Calon-calon yang mendapat restui Najib dibantah oleh Khairy atas bebagai alasan. Begitu juga calon yang dipilih Khairy diprotes oleh orang Najib.

Bagaimana pun pertembungan tersebut tidak memberi kesan kepada BN. Ia tidak sampai menyebabkan calon BN baik calon pro Khairy atau pro Najib akan kalah. Kalah menang mereka terletak kepada pemikiran dan sikap pengundi di kawasan-kawasan berkenaan.
Tetapi yang nyata pilihan raya ke - 12 ini adalah pilihan raya bagi menentukan pengaruh siapa antara Khairy dan Najib paling kuat. Tentu selepas pilihan raya kelak kita akan tahu dan dapat meramal nasib politik Najib dan Khairy. Tunggu! [wm.kl 3:00 pm 30/01/08]

Wednesday, January 30, 2008

Sorotan Senja

Pelancaran Buku Dr Mahathir Meriah

MSO

PAGI tadi (29/01/08) saya memulakan kerja rasmi di luar rumah/pejabat selepas lama bercuti dengan menghadiri majlis pelancaran (preview) buku Dr Mahathir Mohamad yang ditulis kata penghantar oleh bekas Duta Malaysia Ke Bangsa-Bangsa Bersatu (PPB) Tan Sri Abdullah Ahmad atau mesra dipanggil Dollah Kok Lanas bertempat di Yayasan Perdana di Putrajaya.

Dari rumah lagi saya sudah membayangkan mereka yang hadir pada majlis itu tentu orang ternama dan terdiri daripada rakan-rakan Dr Mahathir. Majlis itu juga mesti eksklusif sebab buku itu ditulis diterbit dalam bahasa Ineggeri.

Abdullah Kok Lanas sudah pasti akan menjemput kenalan hebatnya termasuk wakil-wakil kedutaan asing yang serasi atau tidak serasi dengan pemikiran dan stail Dr Mahathir.

Siapa tudak kenal dan arif dengan kerja-kerja psywar yang dilakukan Abdullah. Bekas ahli Parlimen Kok Lanas (kini Ketereh) ini memiliki sejarah hitam tersendiri di dalam hidupnya. Beliau juga dianggap tokoh politik yang liberal. Beliau pernah ditahan di bawah Akta Keselamtan Dalam Negeri (ISA) kerana pembabitan dalam penyebaran faham komunis pada tahun 70-an bersama Abdullah Majid dan Abdul Samad Ismail yang juga dikenali sebagai Tiga Abdul.

Ternyata ramalan saya tepat. Terkejut juga melihat para tetamu yang hadir pada majlis berkenaan. Mereka terdiri orang ternama termasuk juga bekas menteri Kabinet di zaman Dr Mahathir. Yang sempat tersilau oleh saya lapan orang menteri dan beberapa timbalan menteri.

Antara mereka Dr Ling Liong Sik, Yong Teck Lee (Sabah), Leo Moggie (Sarawak), Sanusi Junid, Kadir Sheikh Fadzil, Zaleha Ismail, Machael Chan, Law Hieng Ding dan lain-lain. Turut sama hadir ialah Dasuki Ahmad, Nakhaei Ahmad, Ibrahim Ali.

Manakala ahli korporat pula Vencent Tan, Tengku Mahalell dan lain-lain.

Apakah majlis berkenaan terkhusus kepada orang ternama dan para diplomat asing, dan sukar untuk difahamkan apakah tujuannya. Apakah majlis itu bermaksud mahu menunjukkan bahawa Dr Mahathir masih memiliki 'kemuliaan' selaku pemimpin dan tetap menjadi sanjungan umum? Yang jelasnya majlis berkenaan mendapat sambutan dan kehadirannya di luar dugaan dan ia seakan-akan demonstrasi untuk membuktikan bahawa Dr Mahathir masih berpengaruh!

Bagaimana pun kehadiran rakan-rakan blogger tidak begitu merangsangkan. Seorang blogger regular dengan Dr Mahathir ketika ditanya kenapa tidak muncul menjelaskan secara selamba majlis itu bukan untuk para bloggers. Alasan lain yang diberikan kerana majlis itu dikendalikan oleh Abdullah Kok Lanas. Kenapa dengan Abdullah?

Antara penulis veteran yang kelihatan ialah Kadir Jasin, Ruhanie Ahmad yang juga bekas ahli Parlimen Parit Sulung.

Buku berjudul ‘Dr Mahathir’s Selected Letters to World Leaders’, mengandungi 71 surat-surat Dr Mahathir yang ditulis kepada pemimpin dunia termasuk Gorge W Bush, Margaret Thatcher. Tony Blair, Bill Clinton dan lain-lain yang membicarakan soal politik dunia dan juga mengenai isu-isu kemanusiaan sejagat. [p.jaya 12:30 30/01/08].

Al Fatihah

Bekas Mufti Selangor Kembali Ke Rahmatullah

BEKAS Mufti Kerajaan Selangor Datuk Ishak Baharum (foto bawah) telah kembali ke Rahmatullah kira-kira jam 12:50 tengah hari tadi di Hospital Sungai Buluh, Selangor.

Jenazah Allahyarham akan dibawa balik ke rumahnya di Jalan Tun Sambathan, Sri Andalas Klang, Selangor dan akan dikebumikan esok.

Berita kematian Mufti kontroversial ini dilaporkan oleh beberapa orang teman menerusi Khidmat Pesanan Ringkas. SMS pertama diterima dari pemesan tidak bernama, diikuti daripada sdr Pyan Habib, Zulkefli Nordin yang diforward dari sms Dr Zulkefli (Zulkefli Ahmaf?).

Semasa hanyatnya Allahyarham merupakan seorang ulama yang tegas dan menjadi kontroversial apabila bertegas mempertahankan hukum Allah dan bersedia menentang arus dalam perkhidmatnnya sebagai Mufti Selangor.

Beliau dipecat dari jawatan itu apabila mengambil tindakan tegas ke atas beberapa orang gadis Melayu yang menyertai pertandingan ratu cantik di Petaling Jaya yang difatwakan olehnya sebagai haram.

Tindakan Allahyarham itu tidak disenangi oleh Perdana Menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad yang kemudian menyebabkan Kerajaan Selangor dibawah pimpinan Abu Hassan Omar telah bertindak memecat Ishak Bahrum.

Selepas dipecat beliau bergerak secara bebas dengan mengadakan ceramah agama dan menjinakkan diri dengan perjuangan Pas. Beliau juga dikatakan menyertai Pas sebagai ahli biasa. Semoga Allah menempatkan roh Allayarham di makam orang-orang soleh. Al Fatihah! [kl 5:00 30/10/08]


Tuesday, January 29, 2008

Pesanan Buat Tok Guru

Jangan Pilih Kroni Tetapi Pilih Yang Boleh Menang

MSO

MUNGKIN senarai nama calon Pas Kelantan yang bakal bertanding dalam pilihan raya umum ke - 12 kini sudah pun berada di tangan Pesuruhjaya Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat. Kalau pun senarai nama itu tidak lengkap 100 peratus tetapi 90 peratus sudah pasti. Nama-nama itu tentu bukan nama muktamad, ianya akan terus dinilai dari masa ke semasa.

Penilaian dibuat setiap hari bahkan setiap jam. Sehinggalah 24 jam sebelum hari penamaan calon, nama-nama calon itu boleh berubah dengan tiba-tiba. Sudah menjadi kebiasaan hal ini bukan saja bagi parti pembangkang seperti Pas, tetapi Umno juga.

Selalunya perubahan saat-saat akhir itu kerana ada bantahan dan desakan. Selalunya bila peristiwa ini berlaku rumah-rumah pemimpin utama Pas akan menjadi sasaran. Ia tidak terkecuali rumah Tok Guru itu juga akan dikunjung oleh para pendesak dan pengugut yang mahukan calon-calon mereka dipilih.

Suasana inilah kelak yang boleh memeningkan kepala Tok Guru dan juga pemimpin tertinggi Pas yang lain. Apabila berdepan dengan keadaan ini ia memerlukan bukan saja ketegasan sebaliknya kebijaksanaan. Kalau tidak ada ketegasan perubahan yang sudah dibuat mungkin boleh berubah.

Biarlah kalaupun senarai kesemua calon-calon Pas yang akan bertanding sudah berada ditangan Tok Guru atau dalam semakan terakhir para pemimpin Pas, rasanya masih belum terlewat kalau di sini diturunkan serba sedikit petua atau garis panduan yang perlu dipakai dalam memuktamad calon-calon berkenaan.

Realitinya kini Pas sangat memerlukan kemenangan dalam pilihan raya akan datang ini. Untuk mencapai kejayaan itu sesuatu yang bukan senang. Pas kena faham tidak ada wave yang boleh membawa Pas dengan mudah untuk memasuki Kota Darulnaim bagi meneruskan penggal pemerintahannya.

Pilihan raya ke 12 ini bolehlah dianggap sebagai final kepada kedua parti Pas dan BN dalam pertarungan tradisi mereka dalam pilihan raya (demokrasi) di Kelantan dalam tempoh 49 tahun.
Lantaran itu keduanya dikira terdesak. Lebih-lebih lagi kepada Pas. Memandangkan itu Pas perlu berhati-hati sekali. Pas kena berwaspada dan berfikir panjang dalam menghadapi pilihan raya ini. Perkara paling penting ialah soal calon kerana calon menyumbangkan peratus tertinggi dalam menjamin kemenangan.

Peristiwa seperti pilihan raya lalu jangan berulang lagi. Hendaknya jangan lagi berlaku kesilapan dalam memilih calon. Calon-calon yang dipertaruhkan nanti biarlah yang benar-benar berkualiti dan membuka selera untuk rakyat memangkahnya.

Dalam soal pilih calon ini Nik Aziz atau pun sesiapa yang mengemukakan nama kepada Tok Guru jangan memilih kroni atau rakan dan sahabat sendiri. Tetapi cubalah melihat kepada kualiti dan juga wibawa nama atau calon yang dikemukakan itu. Ketepikan soal kroni! Bukan masanya membangunkan kroni dalam saat seperti ini.

Kriteria yang kena ingat calon itu harus mempunyai potensi untuk memberi kemenangan kepada Pas. Tidak ada guna mereka terdiri dari kroni, memiliki wang dan kemampuan dari segi harta benda tetapi harapan untuk menang tipis.

Perkara yang perlu diberi perhatian serius oleh Nik Aziz juga memastikan perjuangan Pas senantiasa berada dalam keadaan dan kedudukan original. Untuk itu Nik Aziz perlu memastikan calon-calon pilihan raya kelak mereka yang mempunyai fikrah perjuangan yang mapan. Yang menghayati dan beramal dengan perjuangan Pas. Tidak ada gunakan mereka dari golongan profesional maupun ulama namun tidak memiliki syaksiah dan fikrah Islamiah.

Ini penting kerana merekalah yang akan menyambungkan kepimpinan ulama yang dipelopori Tok Guru. Kalau calon-calon berkenaan tidak memiliki kesaktian itu ini bermakna kepimpinan atau era Tok Guru akan berakhir begitu sahaja. Lebih malang lagi ia akan membawa Pas terpesong jauh daripada landasan asal perjuangan.

Tidak ada guna sesuku dinar pun Pas memiliki kekayaan atau kerajaan Kelantan maju dengan pelbagai projek segera (signboard) tetapi kalau rakyatnya tidak memiliki roh Islamiah. Tok Guru sendiri sering kali bermadah; hidup ini bukan saja berakhir bila kita mati tetapi ia masih berterusan sampai di akhirat. Jadi calon yang hendak dipilih biarlah calon ia juga mampu membawa rakyat ke akhirat.

Demi menjamin Pas tetap kekal dengan identiti dan keasliannya, tokoh-tokoh berpendidikan agama, berfikrah Islamiah perlu dikekal dan ditambah dalam pilihan raya akan datang.

Walaupun mereka tidak pandai memerintah, tetapi tidak mengapa asalkan mereka tahu dan tetap memelihara hukum hakam Allah. Urusan pemerintahan boleh diserahkan kepada Pegawai Kerajaan Negeri. Sejahat-jahat ustaz atau seorang tok guru dia masih ingat hukum Allah! Lagipun bukankah sebuah kerajaan negeri seperti Kelantan hanya memerlukan seorang Exco yang serba boleh saja untuk memancu pembangunan negeri!

Tok Guru jangan rasa malu dan takut untuk mengekalkan atau menambahkan bilangan calon berpendidikan agama hatta berkelulusan pondok. Kalau boleh biarlah jumlahnya 1/3 daripada jumlah keseluruhan calon Pas atau kira-kira 30 peratus.

Rakyat Kelantan yang menerima Kelantan sebagai negeri yang kuat beragama sudah tentu mahu melihat lebih banyak wakil rakyat yang bukan saja tahu membaca beberapa kerat ayat al-Quran dan al-Hadith yang dihafal beberapa minit sebelum berceramah, tetapi lebih penting yang utuh menjaga syariat Islam. [wm. 9: 53 pm 29/01/08]

Bangsaku Bodoh

Apa Yang Pemimpin Umno Boleh Lakukan Terhadap Samy Vellu.

MSO

Presiden MIC Samy Vellu tidak perlu gusar dengan kedudukannya hari ini yang berhasrat untuk terus mempertahankan kerusi parlimen Sungai Siput. Kita percaya beliau akan diberi laluan untuk terus bertanding di Sungai Siput untuk penggal yang ke sembilan. Sudah lapan penggal Samy Vellu bertapak di situ.

Walaupun ada suara bantahan daripada sesetengah bangsa Umno terhadap Samy Vellu namun ia tidak akan membawa apa-apa makna. Rasa kurang senang kepada Presiden MIC itu tidak akan membawa apa-apa makna kepada dirinya. Samy yang dikenali mempunyai politik anjal dan berliku tahu dan arif bagaimana hendak melepaskan dirinya.

Acap kali Samy Vellu sudah terbalut dalam pukat atau jala politik ekoran tindak tanduk dan keceluparan mulutnya sehingga hampir satu ketika hampir melemaskan dirinya. Tapi akhirnya dia terlepas juga daripada balutan berkenaan.


Memberi masalah

Mengapa saya merasakan Samy Vellu akan tetap memperolehi apa yang dikehendaki, ialah kerana kebijaksaan dan putar belit politiknya yang pandai. Beliau memang memberi masalah kepada satu pihak dan ada tindakan yang meloyakan. Namun dari sudut lain sikap dan tindak tanduknya itu memberi keuntungan kepada pihak lain atau MIC sendiri.

Menjelang pilihan raya akan datang ini Ketua Puteri Umno, Noraini Ahmad telah memberi mesej terbuka mengenai Samy Vellu. Nasihat Noraini agar Samy Vellu jangan bercakap mendahului Presiden membawa makna mengenai sikap dan karektor sebenar Samy Vellu. Bahawa Menteri Kerja Raya (JKR) itu tidak kira siapa beliau akan rempuh asalkan membawa keuntungan kepadanya.

Menganalisa maksud Noraini beliau mahukan Samy Vellu ditolak dalam pilihan raya ini. Mungkin Ketua Puteri itu berbulu melihat bagaimana Samy Vellu terus-terusan menguasai kementerian utama yang ditugaskan membangun negara iaitu Kemteri Kerja Raya.

Bagaimana pun saya berpendapat apa yang disuarakan Noraini tidak akan membawa apa-apa makna. Samy tetap tidak akan bergajak juga. Seruan dan mesej Noraini itu akan masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri bangsa Umno Sungai Siput begitu saja.

Mengenang beberapa kesilapan dan perangai ego Samy Vellu, wajar dan tepat sangat kalau beliau dikalahkan dalam pilihan raya akan datang. Hanya itu saja cara untuk tidak melihat muka Samy Vellu dalam Kabinet. Kerana selagi beliau menang di Sungai Siput selama itulah dia akan menjadi menteri JKR.
JKR semacam sudah ditander kepada Samy Vellu untuk berapa lama yang beliau suka.

Pernah kementerian itu ditukar kepada Leo Moggie satu masa dulu namun selepas itu dikembalikan semua kepada Samy Vellu. Dengan kelicitannya Mahathir Mohamad yang menjadi PM ketika itu mengalah dengan Samy Vellu.

Dalam hal ini saya tidak nampak bangsa Umno akan bersatu untuk menjatuhkan Samy Vellu pada bila-bila masa termasuk dalam pilihan raya akan datang. Pemikiran dan politik bangsa Umno harganya tidak seberapa dan mudah dibeli. Lihat sahaja apa komen dan ulasan ahli jawatankuasa Pemuda Umno Sungai Siput Abdul Halil Zainal Abidin yang menyifatkan kepimpinan Samy Vellu tidak ada tolak banding.
Mencium tangan
Kalau pengundi muda berbangsa Umno boleh menyifatkan demikian apa diharap kepada pengundi emas berbangsa Umno. Mereka tentu lebih fanatik kepada Samy Vellu. Kalau pun tidak sampai mencium tangan mungkin sanggup meletakkan tangan ke dada setiap kali berjumpa Samy Vellu.

Kenyataan Abdul Halil itu menggambarkan sikap da pemikiran bangsa Umno di Sungai Siput. Betapa mereka taksub dan mesranya dengan Samy Vellu. Tidak mustahil agaknya yang menjadi benteng kepada Samy Vellu di Sungai Siput selama ini bukan orang India tetapi bangsa Umno. Yang pastinya Abdul Halil itu adalah anak kepada bangsa lama Umno di Sungai Siput yang sudah sebati dan seiman politik dengan Samy Vellu.

Kesimpulannya datanglah pilihan raya berapa puluh kali lagi Samy Vellu tetap akan menang di Sungai Siput. Selagi ada bangsa Umno di situ beliau akan selamat. Hatta kalau Samy Vellu sudah mati pun kalau batu nisannya diletak sebagai mewakilinya, parti Samy Vellu akan menang.

Apakah kata kalau bangsa Umno di Sungai Siput daftar menjadi ahli parti MIC? Rasanya itu lebih relevan dan afdal daripada menjadi ahli Pertubuhan Melayu Kebangsaan Bersatu (PMKB) tetapi undinya diberikan kepada calon India. [wm.3:20 pm 29/01/08]

Sajak

BUKALAH PINTUMU, TUHANKU
Mohd Sayuti Omar

Ku ketuk pintuMu
dalam kelelahan amarah
bukalah meskipun sebelah
ingin ku jengkuk menandakan kehadiran ini
di terima sudah
biarpun tidak sempat kubuang lelah
di cadar malam
bersama ratib malaikat kian menggelam.

Di laman ini kurelaikan
batu-batu dosa
yang membelenggu jantung hatiku
biar pecah berderai
segala mazmumah
hanyut bersama air mata keinsafan
ke tuju penjuru alam
berangkat dari wadi tadahan wahyu
biar lebur istana Iblis.

Aku berdiri di sini, berba'iah pada diri
kesujudan ini sampai abadi
keinsafan ini sampai ke mati
di sana pun akan kutawaf
arashyMu sampai bangkit
kembali - bersama malaikat
lelah dan keringat tidak ku hitung lagi
mengalir membasahi bumi hakiki.

Tuhan aku tidak mahu
memaksaMu - kalaupun Kau tidak menerimanya
aku sudah puas
kerana kutelah gagahkan jua kudrat
untuk rebah di sini - atas takdir Mu
dengan luka maha dalam
yang kuguris dari hakikat diri
yang ku toreh dari lurah hati
kuldi yang tertelan telah kuluah
dengan muntah dan darah
kupacak azam
tidak mengulangi lagi
bermain di jerat syaitan.

Ku tahu luka di telapak kaki ini
tidak setara dengan kepedihan dan luka
tumit Siti Hajar dalam pertarungan
membela putra anakMu
tegang urat sarat ini
melarikan harapan dari Safar ke Marwah
tidak asin dalam keringat Ibrahim dan Ismail
takkala membina rumahMu.

Biarlah pada hari yang Kau izinkan ini
terpenuhi dengan derita yang Kau maafkan
yang mengalir di lembah Jannah
kuturap bersama air mata penyesalan,
hanya kupinta
sandingkan aku dengan kekasihMu
atas arashy dan khursyMu
sampai kapan pun ingin kurebut
kekasihmu itu, sampai kapan pun
biar betapa hinanya pengantin ini
hingga bulan dan mentari enggan hadir
kenduri ratib ini
namun kuhajati jua persandingan itu.

Itulah yang ku impikan dari
permusafiran ini
Dengarlah oh Tuhan ku
dengarlah...
jerit pengembara yang luka
jerit pengembara yang terseksa
jerit pengembara yang fanak
dalam cahaya kebesaranMu.

Makkah
Disember 1997.



Catatan: Puisi ini adalah cupikan dalam buku Musifir Ilahi - sebuah buku perjalanan ke Makkah bersama enam orang rakan kira-kira 10 tahun lalu. Foto atas yang dirakam dengan telefon bimbit baru-baru ini.




Monday, January 28, 2008

Problem Annuar Musa

Umno Kelantan Mengaku Kalah Sebelum Berjuang!

MSO


KETIKA Umno negeri lain menyatakan keyakinan luar biasa parti itu akan mampu mempertahankan Kerajaan negeri masing-masing yang dimilikinya berpuluh tahun lalu (kecuali Terengganu), Umno Kelantan seperti sudah mengaku kalah sebelum berjuang.

Sikap ini agak anih dan menyebabkan orang merasakan ia seperti satu tektik dan strategi pula. Namun apabila dilihat kepada realiti yang berlaku sebenar di dalam parti itu dan kerencaman masalah yang dihadapi para pemimpinnya, memang keadaannya menjadikan Umno Kelantan terpaksa mengaku kalah awal-awal lagi.

Walaupun semua pemimpin kecil dan besar Umno bercakap dan mendakwa Umno Kelantan akan mampu menumbangkan Pas, namun cakap itu hanya penyedap mulut sahaja. Mereka bercakap dalam keadaan panas sejuk dan ada kalanya sebagai mengulik diri sendiri kerana ianya kontras dengan hakikat yang berlaku.

Satu masa para pemimpin Umno mengwar-ngwarkan kepada rakyat yang mereka akan dapat merampas Kelantan. Kononnya keagungan Pas selama 18 tahun akan berakhir kali ini. Manakala di masa lain pula mereka masing-masing memperlihatkan rasa kurang konfiiden yang Umno mampu mengatasi Pas.

Lama sebelum ini beberapa kali Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Annuar Musa sendiri menegaskan yang partinya akan mempu meraih sekurang-kurang 26 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihan raya akan datang. Kejayaan itu membolehkan Umno dengan senang akan memerintah Kelantan selepas bulan Mac nanti.

Strategi

Memang Umno berbuat kerja dan mengatur strategi untuk merampas setidak-tidak lima atau 10 kerusi yang dimenangi Pas dalam pilihan raya lalu di samping mengekalkan 22 kerusi yang dimenangi kini. Satu plan strategi yang ampuh dikatakan telah disusun sebegitu rupa sekali ini termasuklah bersekongkol dengan berbagai agensi Kerajaan secara tidak halal.

Mendengar kenyataan Annuar itu sedikit sebanyak menyebabkan ada juga pemimpin Pas menggeletar. Ahli dan penyokong yang berjiwa kecil terus dilamun kesedihan dan kedukacitaan bimbang kehilangan kerajaan Kelantan yang satu-satu Kerajaan bercirikan Islam sejati.

Kenapa tidak, strategi itu memang sesuatu yang praktikal dan dapat dilaksanakan oleh Umno yang terkenal dengan permainan politik wangnya.

Menghuraikan keadaan ini atau mencari jawaban apakah kenyataan itu benar cukup mudah sekali. Kalau benarlah apa yang dikatakan itu, masakan pemimpin Umno Kelantan takut untuk menghadapi pilihan raya akan datang. Tetapi soalnya kenapa lagak dan wajah pemimpin Umno Kelantan tidak mencerminkan keriangan bila pilihan raya semakin hampir? Kenapa mereka menjadi seram sejuk?

Ketakutaan di kalangan pemimpin Umno ini semakin jelas. Rata-rata mereka menang di kerusi DUN pada pilihan raya lalu dikatakan telah membuat persiapan untuk menyelamatkan diri masing-masing dengan berpindah untuk bertanding di kerusi parlimen sehinggakan berlaku pencakaran sesama sendiri.

Katanya sudah dibuat satu persepakatan tidak rasmi di mana semua ketua-ketua bahagian bertanding di Parlimen, termasuk mereka yang pada masa ini menang di beberapa kerusi DUN. Persefahaman ini dikatakan telah dibuat oleh Pengerusi Umno Kelantan, Annuar dengan dipersetujui oleh pemimpin kanan yang menghadapi masalah sama dengannya.

Ekoran itu Annuar yang kini Ketua Pembangkang di DUN Kelantan dan juga Adun Kok Lanas dikatakan akan bertanding di kerusi parlimen Ketereh, Ramzi Abdul Rahman (Setiausaha Badan Perhubungan) yang kini menang di Dabong akan bertanding di parlimen Kuala Krai, Norzaidi Omar (Bendahari) yang kini Adun Pengkalan Kubur akan bertanding di kerusi parlimen Tumpat.

Lain-lain pemimpin kanan yang menang di kerusi DUN dulu seperti Hashim Shafin akan ke parlimen Tanah Merah, Kamaruddin Md Noor DUN Semerak akan ke parlimen Pasir Putih. Gara-gara cadangan dan hasrat Annuar itu menyebabkan keadaan ahli Parlimen Ketereh Md Alwi Che Amat dikatakan tidak tenang dan ada yang beranggapan cara Annuar itu sebagai menganiayakan Alwi.

Helah

Jelas persepakatan itu adalah helah untuk menyelamatkan pemimpin kanan berkenaan. Dalam pada itu ia secara tidak langsung menunjukkan mereka tidak berani untuk berhadapan dengan Pas. Natijah daripada tindakan itu juga menjelaskan bahawa mereka tidak konfiden bahawa Umno akan mampu merampas Kelantan pada pilihan raya akan datang.

Sudah pasti kalau mereka yakin Umno akan menang sampai 26 kerusi sudah pasti mereka tidak akan menyusun strategi dan helah demikian untuk menyalamatkan diri masing-masing. Bukankah selaku pemimpin kanan mereka juga bakal menjadi pemimpin dalam kerajaan kelak? Tetapi kerana mereka sendiri tidak yakin, tidak guna mereka menunggu atau mencari penyakit.

Mungkin kepada mereka strategi itu dianggap canggih untuk menyelamatkan diri masing-masing, tetapi pada satu masa ia menyerlahkan sikap hipokrit mereka selaku pemimpin. Satu masa mereka menyatakan Umno akan menang, tetapi di masa lain mereka kalut membuat persiapan untuk menyelamatkan diri. Bukankah tektik itu jelas menipu ahli!

Melihat kepada keadaan itu nyata bahawa dakwaan yang Umno mampu mengatasi Pas pada pilihan raya akan datang hanya omong kosong sahaja sedang hakikatnya mereka - para pemimpin kanan seakan sudah mengetahui untung nasib mereka yang bakal hanyut selepas ini.

Sebenarnya sesuatu yang menghairankan juga kenapa Annuar sendiri selaku pemimpin nombor satu yang turut sama takut dan menjadi tidak yakin kepada kebolehan dan kemampuannya sendiri. Kalau benar beliau berhajat untuk 'melari' dan menyelamatkan diri ini bermakna beliau tidak bertanggungjawab kepada perjuangan dan ahli Umno.

Umum arif kenapa Annuar tidak berminat untuk terus kekal di kerusi DUN Kok Lanas. Pertama kerana beliau sudah membaca yang Umno tidak akan mampu mengatasi Pas. Kedua kerana sekiranya Umno menang beliau merasakan beliau tidak akan dapat menjadi Menteri Besar (MB) Kelantan.

Kesempatan

Itulah yang tersumbat di dalam kepala Annuar. Jadi adalah logik dan munasabah kalau beliau melayani pilihan raya ini secara sambil lewa sahaja atau mencari kesempatan untuk mendapat wang sebanyak mungkin.

Sebenarnya persepsi demikian tidak betul dan tidak harus ada dalam kepala seorang pemimpin berkarisma dan berpengalaman seperti Annuar. Beliau tidak patut memikirkan nasibnya akan jadi tidak baik kalau pun Umno menang di Kelantan. Sikap demikian adalah sikap oportunis.

Beliau seharusnya optimis dan yakin kepada diri sendiri. Perasaan rendah diri beliau tidak akan dipilih menjadi MB kerana masalah dengan istana di masa lalu seharusnya tidak menjadi phobia dan menganggu langkah perjuangannya. Beliau tidak patut menunjukkan kelemahan dirinya itu kepada ahli Umno yang lain.

Annuar harus membuang jauh-jauh bisikian itu dan perlu memberanikan diri. Anuar perlu ingat dan menyedari bahawa siapa yang tidak pernah bersalah atau melakukan perbuatan yang boleh menyinggung hati pihak istana. Beliau kena sedar dan ingat bukan beliau sahaja 'bersalah' dengan sultan tetapi orang lain juga termasuklah Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Kalau orang lain boleh berbaik dan diterima semula oleh Sultan Kelantan kenapa tidak beliau? Lagipun urusan melantik dan memilih MB kelak bukan atas kemahuan Annuar sebagai Pengerusi Badan Perhubungan seratus peratus tetapi mereka akan ditunjuki oleh Presiden Umno.

Apabila ianya ditunjuki oleh Presiden yang juga ketika itu Perdana Menteri apakah pihak istana tidak bersedia untuk menerimaya. Tergamakkah istana Kelantan disaat kepupusan keramatnya ini menolak cadangan Perdana Menteri?

Kalaulah benar Annuar layak sudah pasti pemimpin tertinggi Umno mempunyai formula atau penawar bagaimana hendak menyejukkan hati pihak istana. Tidak ada perbalahan yang tidak boleh diselesaikan!

Sikap takut tidak berhujung dan berani tidak bertepi yang ada kepada Annuar kini sehinggakan merasakan dirinya menimbulkan masalah kepada partinya adalah tidak betul. Annuar seharusnya mencuba dahulu. Biarlah istana menghalau beliau daripada mengangkat sumpah sebagai MB baru boleh disimpul atau disahkan bahawa Annuar sememangnya tidak diingini oleh istana.

Setakat merasa bimbang di dalam kepala itu adalah perasaan orang yang lemah semangat dan mudah merasa bersalah atas apa-apa yang sebenarnya yang belum pasti. Sifat dan sikap itu tidak seharusnya ada kepada manusia bernama pemimpin. [kb 3:00 pm 28/01/08]

Penyendal Ruang

Cerita Negeri Berkebajikan

MSO
MAAF kerana tidak dapat menempati janji untuk memulakan 'kerja' dengan segera selepas berihat lama. Jetlag - perbezaan waktu nampaknya sikit menganggui saya untuk berkerja. Beberapa kali mencuba namun aliran pemikiran tidak begitu licin, tersekat-sekat kekadang tertidur di hadapan laptop.

Kesayuan semasa hendak meninggalkan Kaabah dan makam Rasulullah masih menyilang silau dalam mata!

Kelmarin (26 Januari) sebaik saja menaiki pesawat untuk ke Kota Bharu (bagi menghantar ibu pulang kampung selepas selesai menjalankan tugas dan tanggungjawabnya sebagai ibu/nenek, menjaga cucu-cucunya yang sudah besar selama saya dan isteri berada di Makkah) saya bercadang untuk rihat, tidur di sepanjang perbangan itu.

Kalau bukan kerana ibu, saya tidak akan terbang ke mana-mana lagi, mahu duduk rumah dan habiskan penat dan cuba sesuaikan diri dan minda dengan keadaan semasa. Namun kerana kesihankan ibu yang sudah rindukan kampung halaman dan haiwan ternakannya, terpaksa keraskan juga diri untuk pulang.

Sudut dapur

Akhbar pun masih belum dibaca semuanya, bertimbun di sudut dapur. Hanya senaskah dua sahaja dibelek sebagai melepaskan gian tersumbat. Keinginan untuk membaca akhbar masih belum ada. Berita mengenai budak Sharlinie yang hilang masih tidak membuka selera untuk menatapnya walaupun kejadian itu mengundang simpati yang tinggi, seperti kes Nurin Jazlin. Cuma tenguk begitu sahaja.

Niat untuk tidur dalam penerbangan selama 55 minit itu tidak tercapai apabila penumpang sebelah tidak menghentikan bicaranya. Sejak mulai duduk dan bersalam dengannya dia terus berceloteh. Hendak tak layan tidak boleh. Saya tidak mahu jadi sama dengan kebanyakan penumpang kapal terbang (demosteik) lain yang sombong dan merasakan megah sehingga tidak mahu bertegur sapa bila berada atas kapal terbang.

Jadi saya layanlah penumpang berjanggut dan berserban itu. Dia orang dakwah, isterinya di sebelahnya juga berbungkus - pakai purdah. Penumpang ini kebetulan mengenali saya - kami pernah kenal mengenali sejak rambut masih hitam dan giginya masih penuh lagi.

Sejak mula bersalam dia tidak begitu cerap mengenali saya. Namun selepas beberapa patah berbicara baru dia terperasan. Dia adalah kenalan lama saya pada tahun 80-an lagi. Kebetulan saya berkawan baik dengan aruah kakaknya seorang peniaga kosmetik dari Indonesia yang ketika itu membuka kedai kosmetik di Kota Bharu. Dia juga adik kepada seorang Ketua Umno bahagian bergelar Datuk.

Lebih bersimpati

Watak dan syaksiahnya mirip kepada seorang dakwah dan perjuang Islam, tetapi sedihnya bila dalam pilihan raya dia dikhabarkkan tidak pernah memberi sokongan kepada parti berlambangkan Islam sebaliknya lebih bersimpati kepada abangnya yang menjadi ketua Umno.

Walaupun ceritanya ingin memberitahu yang beliau baru pulang dari oversea, di mana cerita ini tidak lebih untuk menunjuk-nunjuk, tetapi topik yang dibicarakannya ada sesuatu yang menarik perhatian. Itu menyebabkan saya memaksa telinga mendengarnya dan menongkatkan kelopak mata daripada tertidur. Meskipun beberapa kali saya memberi signal dengan menguap tetapi dia seakan tidak faham dan terus bercerita.

Cerita ialah mengenai negeri/kerajaan New Zealand dan Austaralia yang beliau baru lawati itu sambil berdakwah - tabligh. Ada manfaat juga mendengarnya. Menurutnya kedua negara itu jauh lebih maju daripada negara Malaysia dari segi kebajikan kepada rakyat. Walaupun negara itu bukan negara Islam Hadhari seperti Malaysia namun kebajikan dan kepeduliannya kepada rakyat sungguh tinggi.

Kerajaan itu juga katanya ikhlas dalam membantu rakyat. Mereka membantu rakyat kerana tanggungjawab dan bukan kerana mengharap apa-apa balasan daripada rakyat seperti mengharapkan undi dalam pilihan raya. Rakyat diberi kebebasan sepenuh dalam pilihan raya dan kerajaan tidak mengungkit apa yang mereka berikan. Rakyat kedua negara itu bebas menentukan parti mana yang bakal menjadi kerajaan tanpa ditekan dan diugut.

Ceritanya, cara kerajaan itu lakukan kebajikan kepada rakyat samalah dengan seorang bapa memberi makan minum kepada anak-anaknya di mana ia adalah satu tanggungjawab dan kewajiban.

Tiga aspek yang sangat dijaga oleh kedua negeri itu kepada rakyatnya dalam pemerhatian pendakwah ini, ialah pertama mengenai kebajikan rakyat miskin, kedua kanak-kanak dan ketiga orang tua.

Patut dicontohi

"Apa yang berlaku di sana sheikh sungguh molek dan mengkagumkan sekali. Kerajaan di sana jauh berbeza dengan kerajaan kita dan ia patut dicontohi. Kerajaan benar-benar bertindak menjadi penjaga (ibubapa) kepada rakyat. Keadaan berlainan dengan apa yang berlaku di negera kita di mana rakyat kena menjaga kerajaan, bukan sebaliknya," katanya.

"Macam mana boleh kata begitu," tanya saya.

"Mereka jaga kanak-kanak, orang tua dan juga mana-mana rakyat miskin di sediakan rumah, sheikh. Misalnya kalau ada rakyatnya sakit kerajaan mereka akan menjaga rakyat yang sakit itu dari awal hinga akhir termasuk menyediakan peruntukan perubatan dan tempat tinggal sekali," katanya.

"Orang miskin pula diberikan bantuan perumahan dan juga diberi elaun khas," tambahnya lagi.
Menurutnya apa yang berlaku di Australia dan New Zealand, setiap rakyatnya semua mendapat kemudahan pencen apabila sudah sampai tahap umur tertentu. Kemudahan pencen ini bukan saja terhad kepada mereka yang berkerja kerajaan tetapi termasuk mereka yang tidak bekerja juga, tambahnya lagi sambil mengkagumi apa yang berlaku di Australis dan New Zealand itu.

Mendengar itu saya terus teringat apa yang pernah dijanjikan dalam manifesto parti Semangat 46 kira-kira 15 tahun lalu. Di mana antara lain manifesto itu menjanjikan kalau Semangat 46 menjadi kerajaan ia akan memberi elaun kepada semua warga tua di negara ini.

Apabila pendakwah itu menceritakan apa yang berlaku di Australi dan New Zealand itu maka jelas idea dan cadangan yang disurakan Tengku Razaleigh Hamzah dulu itu adalah pratikal dan relevan dan bukan suatu khayalan seperti mana dakwaan sesetengah pemimpin Umno.

Apa pun yang dikagumi oleh pendakwah itu mengenai Australia dan New Zealand itu sebenarnya sudah pun berlaku di Kelantan. Kerajaan pimpinan Nik Abdul Aziz Nik Mat sudah pun melaksanakan apa yang dibuat oleh Australia dan New Zealand yang diceritakan itu.

"Sheikh sebenarnya juga apa yang berlaku di Australia dan New Zealand itu juga sudah berlaku di negara kita sheikh," kata saya sengajakan mengantungkan kata-kata. Dia menjadi terkebel-kebal mungkin hairan.

"Maksud anta? tanyanya terus kehairanan.

Mengerutkan wajah

"Kebajikan yang anta sebut yang dibuat oleh Australia dan New Zealand itu, memang setengah belum dilaksanakan sepenuhnya oleh kerajaan Malaysia, tetapi bagi kerajaan Kelantan sudah pun memulakannya," balas saya. Pendakwah itu jadi tersenyum dan mengerutkan wajahnya.

"Misalnya bantuan kepada orang tua, kerajaan Kelantan sudah perkenalkan skim Kifalah, armalah dan sebagainya. Perubatan percuma juga sudah disediakan seperti rawatan buah pinggang percuma, di mana sebuah pusat rawatan hemodialisis di wujudkan di Kota Bharu. Begitu juga dengan penyediaan rumah untuk orang miskin, semua sudah ada dengan mewujudkan rancangan rumah Daifah - rumah orang miskin.

Bukan itu sahaja, bahkan kerajaan negeri juga bermurah hati memberikan haiwan ternakan kepada rakyat seperti kambing Jamnapari yang sempat menjadi isu baru-baru ini. Pendekanya apa yang dilaksanakan di Australia dan New Zealand yang dikagumi pendakwah itu sudah pun dilaksanakan di Kelantan.

Kata saya cuma mungkin anta (pendakwah itu) tidak nampak semua itu kerana ianya dilakukan dalam kapasiti atau kuantiti yang sedikit dan hebahannya pula terbatas.

"Mungkin kalau Pas memerintah Malaysia, model Kerajaan Kelantan itu akan digunakan pakai. Dan saat itulah baru kebajikan itu dapat dilaksanakan dengan seluasnya kerana waktu itu kerajaan sudah mempunyai kewangan yang banyak. Hari ini apa yang dilakukan di Kelantan itu sudah sepadan dengan tenaga kewangan yang dimiliknya," ujar saya.

Pendakwah itu terdiam dan merenung lama ke dalam mata saya.

"Justeru itu bagi rakyat Kelantan kita berbangga dengan apa dilakukan oleh Kerajaan Pas kini walaupun ia kecil, tidak menyeluruh namun pokoknya kerajaan Kelantan telah melaksanakan tanggungjawabnya sebagai kerajaan seperti mana dituntut oleh agama," sambung saya lagi seakan bertindak sebagai seorang propagandis Pas pula.

"Inilah baiknya kerajaan yang memegang prinsip Islam, tidak banyak sikitpun akan dilaksanakan tuntutan Allah itu," bisik saya dalam hati. Pun begitu masih ada juga beberapa kecacatan kesil di dalam proses perlaksanaan itu dimana kalau ia dibaiki ia akan menjadikan segala perancangan itu lebih indah dan sempurna lagi.

Sebelum kami berpisah pendakwah itu meminta kad nama saya dan berjanji akan menghubungi saya. Katanya, seronok berbicara mengenai tajuk negara berkebajikan itu. [kb.11:30 26/01/08]

Friday, January 25, 2008

Catatan Sulung Januari

Sepanjang Penerbangan Terkenangkan Pembangkang

MSO

SEWAKTU hendak melangkah menaiki ke pesawat KT 89 untuk kembali ke tanah air dan meninggalkan bumi penuh berkat Madinah Munawarah semalam, fikiran yang sengaja dikosong mengenai tanahair selama lebih 40 hari sudah mula ditumbuhi berbagai persoalan dan cetusan.
Berbagai pertanyaan dan persoalan mula berlegar dalam kepala.

Wajah Malaysia juga tiba-tiba terpeta-peta dalam mata. Seolah-olah pesawat MH 8287 itu datang khusus untuk meragut ketenangan selama lebih 40 hari itu dan membawa saya, khasnya, untuk terbelenggu semula dengan masalah-masalah politik negara.

Dalam banyak-banyak persoalan yang mula tumbuh itu ialah mengenai pilihan raya umum ke 12 bakal menjelang. Soal bila tarikh pilihan raya tidak timbul lagi sebab tiga bulan sebelumnya saya sudah meramalkan menerusi blog ini bahawa pilihan raya umum akan diadakan pada Mac dan tepatnya selepas perayaan Tahun Baru Cina.

Pilihan popular

Nampaknya secara kebetulan tarikh dan masa itu menjadi pilihan popular oleh umum termasuk juga oleh parti yang memerintah - BN.

Apa yang menjadi persoalan besar, ialah apakah nasib pembangkang dalam pilihan raya kali ini? Apakah pembangkang - Barisan Alternatif (BA) terdiri daripada Pas, Keadilan dan DAP itu masih wujud dan dapat berfungsi dengan baik seterusnya memberi cabaran kepada BN. Ataupun BA sudah terkubur dan tidak wujud lagi dan pembangkang akan kembali beraksi atas tapak kaki sendiri mengikut nafsu nafsi dan kepercayaan politik masing-masing!

Selepas pilihan raya 1999 DAP telah mengambil sikap mengasingkan diri daripada Pas kerana mereka merasakan kerjasama menerusi Alternatif tidak mengutungkan mereka. Betapa tidak selepas pilihan raya itu DAP kehilangan posisinya di Parlimen apabila kerusi Ketua Pembangkang terlepas kepada Pas.

Soal BN atau Umno tidak payah lagi difikirkan. BN dan Umno dalam keadaan bagaimana dan apa sekalipun berada dalam kedudukan teguh dan yakin. Sebagai parti pemerintah dan bertanggungjawab menentukan tarikh pilihan raya pastikan ianya berbuat untuk kebaikan dan kelebihan kepadanya.

Jentera kerajaan

Begitu juga apakah parti itu akan terus menggunakan berbillion wang haram (termasuk wang judi dan komisyen) dalam pilihan raya atau terus memperalatkan semua jentera kerajaan. Perkara itu tidak payah ditanya dan disoal lagi. Sebab sudah sahih (meminjam istilah Zainuddin Maidin) bahawa parti itu akan meneruskan tradisi jelek dan busuknya itu demi meraih kemenangan.

Seperti dalam 11 pilihan raya lalu parti pemerintah akan tetap menggunakan apa saja opoturniti yang menguntungkannya tanpa melihat dan memikirkan apakah tindakannya itu benar ataupun salah. Sejak bila parti pemerintah meletakkan demokrasi atas prinsip dan tunggaknya! Sejak dari zaman Dr Mahathir Mohamad yang dianggap zaman 'gila' hingalah ke zaman Abdullah Ahmad Badawi ini.

Di sepanjang penerbangan pulang itu apa yang menjadi buah pemikiran saya apakah pembangkang lakukan dalam masa 40 hari sepeninggalan saya itu? Tidak banyak maklumat (sebenarnya saya tidak peduli langsung soal politik semasa di sana), mengenai pembangkang dan persediaan mereka dalam menghadapi pilihan raya kali ini.

Walaupun ada jemaah yang gian nak bercakap soal politik saya cuba hadkan agar tidak menjadikan Makkah dan Madinah seperti Kuala Lumpur atau Kota Bharu.
Memang pembangkang sangat ghairah untuk menghadapi pilihan raya. Setiap kali menjelang tiba pilihan raya, pembangkang meletakkan konfiden yang cukup tinggi. Seolah-olah keyakinan yang dilontarkan itu akan meruntuhkan kerajaan BN pada bila-bila masa saja. Walhasilnya bila peti undi dibuka ternyata realiti masih tidak berubah.

Semasa meninggalkan negara 10 Disember 2007 lalu tidak banyak perkembang dan kemajuan dicapai pembangkang. Yang jelasnya kerjasama pembangkang kini tidak sekukuh semasa pilihan
raya 1999 yang mewujudkan Barisan Alternatif. Hubungan Pas dengan DAP, Pas dengan Keadilan masih tidak semantap mana. Kehadiran (pembebasan Anwar Ibrahim) tidak memberi banyak kemajuan.

Merasa kecewa

Keadaan ini menyebabkan ada orang berpendapat, Anwar seperti tidak memberi apa-apa advantage kepada pembangkang. Keadaan ini menyebabkan ada yang merasa kecewa dengan Anwar. Sukar untuk membaca sikap dan pendirian Anwar dalam hal ini. Cuma apa diharapkan tindak tanduk Anwar itu akan memberi kebaikan kepada dirinya sendiri dan juga pembangkang.
Begitu juga isu-isu yang timbul tidak banyak memihakkan kepada pembangkang. Apa yang dikatakan sebagai gelombang atau new wave tidak ada untuk merubah keputusan pilihan raya kali ini. Isu-isu yang ada masih lemah dan tidak boleh mengugatkan hati rakyat untuk menyembamkan BN. Maknanya BN masih berpeluang untuk meneruskan kerajaan yang didokong itu.

Kehebatan himpunan 100,000 rakyat yang dikira boleh mecetuskan suasana baru dan memberi semangat kepada rakyat penghujung tahun lalu, nampaknya tidak menjadi. Himpunan Gabungan Politik Adil dan Bersih (Bersih) itu gagal untuk membersihkan bayangan hitam Kerajaan yang 'ditebengkan' pembangkang selama ini.

Kehadiran kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai Hindu Rights Action Force (Hindraf) telah menyapu gelombang dan simpati rakyat kepada kepada pembangkang yang dipamirkan oleh pembangkang menerusi himpunan Bersih itu.

Dalam konteks ini ada sedikit kesilapan sekiranya Hindraf itu adalah benar bikinan pembangkang seperti mana dakwaan parti Kerajaan. Namun hakikatnya antara Bersih dan Hindraf dan Hindraf dan pembangkang adalah subjek atau entiti yang berlainan maksud dan tujuan.

Protes kubra

Mengenai kenaikan harga barang dan kenaikan harga petrol yang disenandungkan oleh pembangkang dan diharap menimbulkan protes kubra oleh rakyat, nampaknya ia tidak memberi bekas kepada rakyat. Masalah ekonomi dan kemiskinan bukan isu yang boleh mengugah rakyat negara ini teristimewanya orang Melayu. Selagi rakyat boleh makan dan mereka terus mampu mengisi minyak kereta, isu kenaikan harga barangan dan minyak itu tidak akan memberi apa-apa kesan.

Jadi pembangkang mengharap kepada apa? Apakah isuyang dikira bileh mengusik hati dan jwia rakyat kemudian menggerakan rakyat untuk memangkah pembangkang. Sepanjang tujuh jam setengah penerbangan itu sesungguh saya tidak tahu kerana kosong dan buta politik dalam masa 40 hari.

Dalam penerbangan panjang itu saya terus membaca berbagai kebimbangan dan keresahan sendiri memikirkan pembangkang. Keresahan itu menjadi makin cemas apabila membaca berita utama dalam akhbar Utusan Malaysia yang dibekalkan oleh MAS berbunyi "Terus Beri Mandat" manakala di dalam Berita Harian pula berbunyi "Sokong Semua Calon BN".

Kedua berita muka depan itu dicemaskan lagi dengan kenyataan bekas PM, Dr Mahathir Mohamad yang membuat ramalan BN akan menang besar dalam pilihan raya akan datang. Kenyataan itu walaupun berbau ejekan ataupun mempunyai mesej tersendiri kepada rakyat mengenai terhadap Abdullah, namun hakikatnya ia menggambarkan akan sokongan bekas PM itu kepada Umno.

Kenyataan itu cukup melukakan orang-orang yang selama ini mengharapkan Dr Mahathir tidak akan aktif dalam menyokong partinya di bawah pimpinan Abdullah Ahmad Badawi. Kenyataan itu jelas menunjukkan bahawa Mahathir masih kental dan taksub kepada partinya. Beliau juga tidak merubah prinsip dan cita-citanya yang mahukan Najib Razak menjadi Perdana Menteri.

Kesimpulannya kebencian Mahathir kepada Abdullah tidak boleh diambil kesempatan oleh pembangkang untuk untuk dimanfaatkan dalam pilihan raya raya kali ini. Maknanya pembangkang kena berdiri atas kaki sendiri dalam berhadapan dengan BN dan tidak berpeluang menggunakan dahan pokok yang sama untuk dijadikan ulu kepak untuk menebang berkenaan.

Catatan: Terima kasih kepada rakan-rakan yang mengucap selamat atas kepulangan saya dan isteri. Maaf tidak dapat dibalas satu persatu ucapan berkenaan menerusi sms dan pernyataan ringkas ini sebagai gantinya. [wm 3:20 pm 25/01/08]

Thursday, January 24, 2008

Ahlan Wasalan

Esok Kita Akan Mula Berkomunikasi

Alhamdulilah, syukur kepada Allah s.w.t. kerana masih memberi berkesempatan untuk kita berjumpa lagi bagi meneruskan perjuangan demi Allah.

Lebih 40 hari saya tidak muncul dan mencatat apa-apa bahan menerusi blog ini. Mulanya beriya untuk mencatat dari tanah suci, (Makkah dan Madinah) namun kerana kemudahan internet tidak berapa "sihat", segala angan-angan itu terlerai begitu sahaja.

Penerbangan kedua terakhir (KT 89) yang membawa saya dan isteri bersama lebih 300 jemaah selamat mendarat di KLIA jam 5:01 pagi tadi.

Insya-Allah kalau tidak ada aral merintang mulai esok saya akan mencatat dan mulai mengisi blog ini. Kepada penjenguk setia blog ini sekali lagi saya mengucapkan terima kasih atas doa anda sekalian yang memungkinkan saya selamat pergi dan selamat kembali dan sihat walafiat selama berada di sana!

Dalam tempoh lebih 40 hari nampaknya banyak isu dan peristiwa yang berlaku. Apa pun paling menarik ialah mengenai demam pilihan raya yang hampir menempati apa yang saya perkatakan sebelum ini.

Alam siber nampaknya akan meriah dan hangat menjelang pilihan raya umum ke - 12 kelak. Akhbar tempatan yang menjadi penjlat buntut kerajaan sudah mula jadi semakin tidak waras. Sedikit masa lagi rakyat negara ini akan dihurungi oleh media mania!

Terima kasih. [3:52 pm 24/01/08]