Sunday, May 31, 2009

Evolusi Politik

Evolusi Kopiah Dalam Pas

SELEPAS selesai menghadiri walimatulurus anak saudara belah isteri di Dewan MBSA di Shah Alam sore tadi, semasa pulang saya terpandang papan iklan besar yang memberitahu Parti Islam se Malaysia (Pas) akan mengadakan muktamarnya ke 55 pada 5 hingga 7 Jun depan. Satu lagi iklan yang mengalu-alukan kehadiran para muktamir. Iklan itu ditaja oleh Pas Selangor selaku tuan rumah. Di papan iklan itu terpampang gambar pemimpin kerohanian, Nik Abdul Aziz Nik Mat, Abdul Hadi Awang dan Hassan Ali.

Muktamar, bermakna perwakilan. Tetapi istilah ini tidak dipopularkan lagi kerana ada yang tidak berapa minat dengan istilah-istilah yang berbau Timur Tengah yang dianggap Islamik itu.

Golongan profesional suka menggunakan istilah moden dan ala barat. Istilah Timur Tengah sukar untuk disebut kerana lidah mereka tidak berapa fasih, lidah tebal! Mungkin suatu hari nanti muktamar akan dikenali dengan nama kongres. Baru ada kelas!

Begitu juga imej-imej Timur Tengah dan Pakistan juga hendak dihakis. Sebab itu saya kira kopiah akan hilang dari kepala ahli dan penyokong Pas tidak lama lagi. Iya, kopiah bukan segalanya dalam Pas, tetapi itulah identiti Pas. Kalau Umno berbangga dengan songkok, Pas boleh berbangga dengan kopiah. Barang kali elok kalau diadakan perlawanan kopiah dan songkok paling cantik.

Hari ini pun sudah ada ahli Pas yang tidak pakai kopiah. Sudah ada yang berani pergi dengan kepala gondol, orang Kelantan panggil dengan 'bojen sport' merasmikan mesyuarat Pas. Atau yang mengenakan kopian ketika hendak berjumpa Tok Guru saja dan bila sampai di Kuala Lumpur, susuk kopiah dalam kot.

Penghakisan budaya yang menempelkan imej Islam ini mungkin tidak dirasai dan sesuatu yang remeh temeh dan tidak perlu diperdebatkan.

Saya sendiri pernah ditegur oleh Bendahari Pas, Dr Mohd Hatta Ramli di sebuah kedai di Kampung Baru menjelang pilihan raya umum lalu. “Eh enta pun dah pakai kopiah..?” tegurnya buat-buat tak tahu semacam terkejut. Stail Dr Hatta. Tenguran itu berunsur bergurau tetapi ia memberi mesej yang dapat saya membacanya, tajam juga.

Sebenar saya pun bukan pengamal kopiah yang istiqamah macam Tok Guru Nik Aziz atau Abdul Hadi Awang, Nik Abduh ataupun Nasarudin Tantawi. Malam itu saya pakai kerana nak tutup kepala dogol selepas bercukur (tahlul) di Makkah.

Tetapi itulah yang berlaku. Kopiah ini mula memutih dalam Pas selepas berlakunya era kepimpinan ulama dalam Pas bermula sekitar tahun 80an. Saya pernah tulis dalam satu buku perubahan ketara dalam Pas pada masa itu selepas Pas dikuasai ulama ialah semua perwakilan Pas memakai kopiah dan membuang songkok. Bukan main lagi saya dimarah oleh ahli Pas. Iya, macam kena kecam hari nilah... kalau tak tahan dah lama jadi pengkritik parti. Tetapi saya rasa yang marah dulu sudah besar dan dewasa sudah tahu beza antara kura-kura dengan labi-labi.

Hari ini pula bukan kopiah hendak dibuang dan akan diganti dengan songkok atau kedua-duanya akan dibuang terus. Sekali lagi saya katakan, songkok dan kopiah bukan melibat aqidah.. terserah nak pakai atau pun tidak. Macam juga janggut, kalau dagu kita tidak subur, usahlah simpan janggut, nanti kalau naik pun 'renggah' macam ekor tupai kena hujan saja atau macam ekor burung cecawi.

Pun begitu walaupun soal kopiah, serban dan janggut ini perkara kecil namun ia akan menatijahkan impak besar kepada Pas. Sesuatu yang besar itu dicerminkan dari perkara-perkara yang seni! Perubahan mengenai budaya dan penampilan ini adalah imej. Sekarang ini pembinaan imej baru dalam Pas sedang dilakukan. Akan berlaku evolusi budaya dan penampilan tidak lama lagi.

Berbalik soal muktamar Pas tadi, kerana ada masa, saya memasuki ke stadium, Melawati Shah Alam tempat di mana akan berlangsung muktamar Pas minggu depan. Saja saya nak meninjau sekeliling stadium tempat berlangsung muktamar itu. Manalah tahu takut-takut ada pula orang yang pergi tabur bernas kunyit ataupun serbuk jampi.. al maklumlah mukatamr kali ini melibat pemilihan jawatan, untuk menang orang akan lakukan apa saja tidak kira halal atau haram.


Pemilihan pula hangat. Mereka yang terdesak nak menang akan melakukan apa saja. Kalau di meja bekas PM Abdullah Badawi di bangunan Umno ada ayat-ayat jampi dan kertas azimat diselit, tidak mustahil di stadium juga boleh berlaku begitu. Ooi... untuk menang kena buat macam-macam oi...!

Kenapa saya kata begitu kerana ada kerja-kejra tidak masuk akal dilakukan oleh orang politik tidak terkecuali Pas atau Umno. Bila terdesak nak menang apa saja orang suruh dilakukan walaupun ia tidak munasabah dan tahyul.

Kalau Umno menjelang pemilihan mereka akan berduyun-duyun pergi jumpa bomoh semua jenis etnik Siam, Orang Asli, Jawa dan Banjar. Mereka juga akan terbang untuk mengunjungi atau bertanya ramalan Kiyai-Kiyai di Indonesia. Di Tasik Malaya sana nak jumpa Abas Anom untuk tanya nasib dan masa depan sampai ada yang sanggup beratur berjam-jam dan pakai nombor pula.

Pas mungkin tidak ada yang parah sampai begitu, paling-paling kalau ada pun yang ralik berzikir, meratib dengan tasbeh ditangan tidak kira tempat dan suasana agar diri tidak lalaikan Allah dan senantiasa ingat Muhammad Rasulullah. Keadaan itu mungkin ada. Baguslah, sambil berdoa Tuhan bagi hidayat, dapat juga pahala akhirat.

Jadi pada tilikan saya tidak ada apa-apa pasir yang dijampi ataupun kertas bertulis macam azimat yang diletakkan di jalan masuk ke stadium Melawati Shah Alam petang tadi. Maknanya belum ada yang hendak main kotor sampai guna bomoh dalam Pas. Bagaimana pun Dr Haron Din yang terkenal sebagai pakar alam ghaib dan boleh berdialog dengan jin jenguk-jenguklah, mana tahu kot-kot ada terselit di mana-mana celah batu dan longkang, bukan apa untuk menjamin keselamatan muktamar dan muktamir!

Selamat bermuktamar round pertama. [wm.kl.8:00 pm 31/05/09]

Dari Penanti

Dr Mansor Dijangka Raih 7,000 Majoriti

[kemaskini] Calon PKR, Dr Mansor Othman menang dengan majoriti 5,558 undi. Beliau mendapat 6,052 undi. Dengan ini ketiga-tiga pencabarnya dari Bebas termasuk calon bernama Kak Min hilang wang deposit.

BARU sekejap tadi saya telah menerima laporan langsung daripada Pengarah Pilihan Raya kecil DUN Penanti, Saifuddin Nasution Ismail untuk mendapat gambaran atau analisa awal mengenai keputusan pilihan raya itu.

Mengikut perkiraanya calon PKR, Dr Mansor Othman dijangka akan mendapat kemenangan besar dengan majoriti antara 6,500 hingga 7,000 undi. Perkiraan ini dibuat berdasarkan kesemua pengundi tegar PKR dalam pilihan raya umum lalu keluar mengundi hari ini.

Jumlah keluar mengundi pada hari ini ialah sekitar 7,000 undi.

Katanya dengan membuang 3% undi untuk calon bebas, ini bermakna Dr Mansor dijangka memperolehi majoriri lebih 6,000.

Mengenai jumlah keluar mengundi rendah, Saifuddin berandaian kerana kira-kira 20% pengundi atas pagar tidak keluar mengundi kerana mereka termakan dengan suasana tidak sihat menjelang pilihan raya itu yang sengaja diuar-uarkan.

Katanya mungkin timbul ketakutan dari kalangan pengundi atas pagar terhadap gambaran yang diberikan oleh media massa mengenai tindakan polis menyoal siasat beberapa pemimpin PKR sebelum ini.

"Tindakan itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada mereka untuk keluar, disamping mereka mungkin mengira ianya tidak begitu perlu kerana PKR sudah pun menang awal-awal lagi," jelas Saifuddin.

Baginya walaupun peratus rendah tetapi apa yang menggembirakannya pengundi tegar PKR masih mampat sokongan kepada PKR. [wm.kl 6:40 pm 31/05/09]

Ulasan Penanti

Dr Mansor Dijangka Menang Besar

SATU lagi sejarah dicatat dalam pilihan raya kecil DUN Penanti yang berlangsung hari ini. Sejarah pertama bila UBN 'mengaku kalah' awal-awal lagi tidak menyertai pilihan raya berkenaan. Sejarah kedua ialah apabila peratus jumlah keluar mengundi hari ini terendah dalam sejarah pilihan raya di Semenanjung iaitu kira-kira 46%.

Ternyata peratus ini sangat rendah berbanding dengan peratus keluar mengundi pada pilihan raya umum lalu untuk kawasan berkenaan sebanyak 82%.

Keadaan ini menyebabkan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kecewa. Bagaimana pun peratus mengundi rendah ini sudah pun diramalkan sejak awal-awal lagi apabila UBN tidak menyertainya, tetapi peratusnya tidaklah sampai ke tahap di bawah 50%.

Dengan jumlah hanya 46% itu ini bermakna kira-kira sekitar 7,000 pengundi saja yang keluar menunaikan tanggungjawab mereka. Apakah julah keluar mengundi ini menunjukkan pengundi UBN tidak keluar mengundi kerana calon mereka tidak bertanding?

Pada pilihan raya lalu 12,667 daripada jumlah keseluruhan pengundi berdaftar seramai 15,421 pengundi yang keluar mengundi. Dari jumlah itu PKR menerusi calonnya, Mohamad Fairus Khairudin mengutip sebanyak 7,345 undi manakala calon UBN sebanyak 5,127 undi.

Melihat angka keluar mengundi hari ini hampir sama ramai dengan undi diraihkan Fairus pada Mac 2008 apakah ini menunjukkan yang keluar mengundi hari ini semuanya pengundi yang mengundi PKR pada pilihan raya umum lalu?

Kalau andaian ini tepat, ini bermakna tidak semua pengundi yang mengundi Fairus itu keluar mengundi hari ini kerana ia masih lagi kekurangan sebanyak kira-kira 350 undi.

Meskipun dalam pilihan raya hari ini PKR dijangka akan dapat menambahkan majoriti lebih besar daripada yang diperolehi Fairus dulu sebanyak 2,219 namun yang jelasnya tidak dapat elak dari berlaku perpindahan pengundi PKR kepada dua calon bebas lain.

Adalah dijangka paling busuk pun calon PKR, Dr Mansor Othman akan meraih majoiriti lebih 5,000 undi. Sebaliknya sekiranya Dr Mansor mendapat sekitar 3,000 undi ini bermakna pilihan raya itu tidak dapat diterima sebagai satu peningkatan semangat dan kesedaran pengundi kawasan itu kepada Pakatan.

Kesimpulan daripada apa yang bakal berlaku itu menunujukkan sokongan rakyat di Penanti kepada PKR untuk memperkuatkan kerajaan Pakatan Pulau Pinang seperti mana dikehendaki gagal. Ertinya pilihan raya di Penanti hari ini tidak memberi isyarat atau sikap baru pengundi di kawasan itu keapda PKR khasnya dan Pakatan amnya. [wm.kl. 6:20 pm 31/05/09]

Saturday, May 30, 2009

Berita Terkini

Apakah Makna Dan Ertinya Semua Ini

[kemaskini] BARU sekejap tadi salah seroang calon Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu telah menghubungi saya bertanya mengenai siapakah calon timbalan presiden yang akan mengadakan pertemuan di Batu Gajah Malam ini. Beliau menjelaskan berita yang dimaksudkan itu bukan beliau.

Kata Bang Mad malam ini dia akan berada di Penanti menyelia pilihan raya kecil itu untuk malam terakhir. 11:43 am.

JAM 8:48 satu pesanan rengkas (SMS) masuk ke dalam telefon saya.

Bunyi SMS itu ialah; Assamualaikum, tuan-tuan YDP, TYDP, NYDP, SETIAUSAHA, DAN PERWAKILAN KE MUKTAMAR, adalah dijemput untuk menghadiri majlis dialog dengan calon Timbalan Presiden (nama). Pada 30 Mei Jam 9:00 malam. Bertempat di Markas PAS Batu Gajah, No 21 Bandar Baru Batu Gajah Gopeng sebelah FT Supermerket. Jalan Batu Gajah. Berdepan simpang masuk Taman Tasik SM Noor. Turut menjemput dan hadir sama (nama). Seberang pertanyaan tempat hubungan YDP Batu Gajah. (Nama dan telefon) atau (nama dan telefon) dan (nama dan telefon). 8:48 am 30/05/09.

Nama dan nombor telefon yang berkenaan saya sembunyikan takut timbul fitnah, maklumlah musim ini musim fitnah.

Berhubung dengan majlis ini ingin ditanya apakah ini tidak dinamakan majlis berkempen menjelang muktamar Pas? Dan apakah ini tidak boleh dinamakan politik wang? Dan apakah majlis 'dialog' ini tidak boleh disama ertikan apa yang ditimbulkan oleh Ketua Dewan Ulama, Mohamed Daud Iraq yang membangkitkan berlaku jamuan sebelum mesyuarat!

Apakah majlis dialog itu sekadar dialog saja tanpa makan dan minum? Apakah mereka yang dijemput itu membawa makan dan air dari rumah? Tidak pula diarahkan supaya berbuat demikian.

Terang bagaikana disuluh bahawa majlis dialog itu adalah majlis untuk berkempen untuk calon timbalan berkenaan. Saya percaya seratus peratus segala jamuan dan perbelanjaan lain dilakukan oleh calon berkenaan.

Untuk pengetahuan, majlis seumpama ini tidak pernah berlaku disepanjang 54 kali muktamar sebelum ini. Tidak ada mana-mana calon yang ingin bertanding apa-apa jawatan tiba-tiba pecah liur untuk menganjur majlis dialog seumpama itu. Dialog mengenai apa, mengenai balak?

Inilah yang dikatakan perubahan dan transformasi politik dalam Pas. Budaya dan perangai Umno sudah meresap dan meluas dalam Pas. Makanya, makanya janganlah mengata dulang paku serpih lagi. Sebab diri kita juga sedang giat mempelajari politik wang dan rasuah politik.

Untuk mengetahui siapa calon timbalan presiden yang akan berdialog dijemput ramai-ramai hadir! [wm.kl 11:20 am 30/05/09]


Tazkirah Sabtu

Si Desperado Sedang Menggila Dalam Pas

SELALUNYA bila kepala sudah buntu atau otak menjadi ‘sebok’ menyebabkan seseorang yang cerdik atau sasa itu boleh jatuh terjepak di tengah jalan. Pening menyebabkan seseorang tidak lagi menjadi waras. Haluan perjalanan juga akan hilang dan kabur. Landasan perjalanannya jadi berpecah-pecah dan hilang fokus.

Begitulah lumrah seseorang yang sudah pening dan tidak dapat mengawal kewarasannya. Seseorang itu akan melakukan apa saja untuk bertindak. Apa-apa saja, macamlah gajah naik minyak!

Peraturan, hukum, bukti dan apa-apa sudah tidak diguna pakai lagi. Dia akan bertindak di luar garis akal budi kemanusiaan. Strategi as syaitaniah juga dipraktikan. Jangan peduli apakah ianya dimurkai Tuhan atau pun dibenci Nabi, yang penting perjalanan si pening itu untuk menggapai kuasa dapat diteruskan.

Dalam heboh kempen untuk merebut menjawat tertinggi dalam Pas yang akan dilangsung beberapa hari lagi, saya tengok ada orang yang telah desperate apabila dia sudah nampak bayangan kekalahan. Dia sudah jadi kelam kabut. Germeciangan diluar sudah disalah tafsirkan sebagai persiapan sebuah keranda untuknya.

Juteru dia jadi panik, jadi mabok dan akan merembas apa saja sehingga sanggup dan tergamak meletakkan dirinya lebih hina daripada haiwatunatik. Walhal yang berbunyi di sana itu orang membaiki longkang, tetapi dirasai ia adalah pukulan tukul ke atas paku terakhir untuk keranda untuknya.

Begitulah aksi si desperado. Segala bunyi dirasakan tertempa ke arahnya. Segala kata-kata, sinikal dirasakan menyua ke dalam telinganya. Walhal segala bunyi itu untuk semua orang. Kenapa? Jawabanya kerana dia sudah pening dan tertekan dan tidak ada keyakinan kepada diri
sendiri yang digahkan dunia selama ini.

Iya, demi untuk hidup dan survive, orang tertekan akan menjadi seperti kucing jinak. Meskipun ia baik, alim tetapi kalau sudah sampai tertohok di dinding, dia bisa menjadi bengis dan mencakar sesiapa saja. Tujuannya satu untuk menyalamatkan diri yang dirasakan terancam.
Dalam suasana begitu ia terlupa bahawa orang yang menghampirinya bukan untuk membunuhnya bahkan untuk menyelamatkannya, tetapi kerana otak kucing, dia bersangka sebaliknya.

Begitulah nasib si kucing yang tidak tahu menilai alam, diri dan nawaitu orang lain ke atasnya. Orang yang niat untuk membantu dianggap sebagai musuh lalu dicakar semahunya. Meow... meoww....

Ada beberapa maklumat yang tersampai ke telinga saya bagaimana aksi si desperado ini bertindak kotor. Ia menggunkan berbagai tektik yang tidak halal tanpa mengira di mana dia berdiri. Dia sedia melakukan kebusukan mekipun dia berada di atas mimbar dalam masjid?
Terdengar si desperado ini telah bermain kotor dengan membuat fitnah kepada calon lain.
Anatara ayat-ayat yang sampai kepada saya ialah, calon desperado berkenaan telah menuduh calon lain itu sebagai tidak sembahyang dan main perempuan di luar negara. Kata-kata ini sungguh jijik dan kotor. Kata-kata lahir dari halkum seorang yang hilang maruah dan kredibiliti.

Nampaknya fiil dan perangai Yahudi sudah pun digunakan. Ajaran Yahudi yang dibenci itu sudah dianuti oleh ahli Pas. Dan strategi dan tektik Yahudi telah dipraktikan dan dibawa ke dalam Pas. Sungguh malang sekali. Kejadian ini katanya berlaku di Johor dan disebarkan secara halus di beberapa tempat lain.

Pas harus menyekang segera kempen memburukan calon oleh calon ini. Budaya dalam Umno yang dikecam dan dikutuk selama ini nampaknya sudah memasuki ke dalam rumah Pas. Malahan ianya nampak lebih ganas dari Umno. Orang-orang yang membawa budaya ini haruslah ditolak oleh perwakilan tanpa maaf!

Pas yang meletakkan agama di hadapan tidak seharusnya sedia dipimpin oleh calon sedemikian rupa!

Barangkali ada patutnya kalau jawatankuasa pemilihan yang dipengerusikan Mustafa Ali (foto atas) memantau dan menyiasat kejadian ini. Beliau harus bertindak tegas. Kalau perlu mungkin tindakan membatalkan calon berkenaan boleh dilakukan. Adalah bahaya bagi Pas kalau tertakdir Allah sengaja memilih orang seperti ini untuk memimpin Pas. Doa desperado tidak seharusnya ditadah dan diaminkan.

Ia akan membawa celaka besar kepada parti Islam itu. Kesucian dan keikhlasan perjuangan Pas yang dibina atas prinsip dan konsep al dinul hayat untuk membela agama, bangsa dan negara tentulah akan tercabul dek perbuatan anak-anak Yahudi si desperado ini. [d'kota kl 2:30 am 30/05/09]

Friday, May 29, 2009

Jenguk Penanti

Kemenangan di Penanti Penting Untuk
Kukuhkan Kerajaan PR - Saifuddin

PILIHAN RAYA kecil N 12 DUN Penanti, Pulau Pinang jelas tidak panas dan hangat seperti beberapa pilihan raya kecil sebelum ini. Sepanjang tempoh kempen yang hampir sudah sampai penghujung, pilihan raya itu berlangsung dengan tenang saja. Tiada laporan berlaku kejadian tidak diingini.

Kalau pun ada kekalutan dilakukan oleh mereka yang kurang sifat tubuh badan tetapi terikut-ikut juga nakkan gambar merak di tampal dipokok-pokok di dalam kawasan pilihan raya itu.

Ketenangan pilihan raya Penanti ini tidak lain dan tidak bukan kerana UBN tidak ikut sama mengambil bahagian. Dalam beberapa siri pilihan raya sebelum ini termasuk di Permatang Pauh dulu di mana UBN mengambil bahagian dengan sesungguhnya dan penuh ghairah.

Maka berlakulah kekalutan dan kejahatan mengatasi normal-normal politik. Kehangatan dan sikap jahat UBN menyerlah sejak di hari penamaan calon lagi. Apabila UBN tidak berani menyertai pilihan raya itu dan ia menyebabkan pilihan raya itu aman, dapatlah disahkan bahawa sesuatu pilihan raya kecil itu akan jadi panas, kacau dan penuh keserabutan bila UBN ikut sama bertanding.

Dengan apa yang berlaku di Penanti ini menjelaskan dakwaan pembangkang selama ini bahawa UBN lah yang melakukan provokasi dalam pilihan raya. Yang memulakan perbalahan dan melakukan kerja-kerja yang boleh membawa ketegangan dan mengotorkan demokrasi.

Makanya lain kali elok kalau UBN tidak menyertai dan mengambil bahagian dalam mana-mana pilihan raya kecil di masa depan bagi memastikan pilihan raya berjalan dengan tertib.

Misalnya dalam pilihan raya kecil di Manik Urai pada 6 Julai depan moleklah kalau UBN tidak mengambil bahagian bagi menjamin pilihan raya berkenaan berlangsung dalam suasana baik.

Kalau UBN ambil bahagian tentu pilihan raya itu akan panas dan berlaku perkara yang tidak baik. Rasanya pasukan keselamatan, polis, askar, bomba, FRU, pengerusi JKKK, guru Kemas dan segala macam pasukan keselamatan juga suka kalau UBN tidak mengambil bahagian.

Berbalik kepada pilihan raya Penanti yang akan berlangsung lusa, 31 Mei walaupun ianya tenang dan calon PKR, Dr Mansur Othman tidak menghadapi laluan sulit namun ia tidak boleh dianggap mudah. Meskipun kemenangan sudah pasti dalam genggaman tetapi jangan rasa selesa dengan kedudukan itu.

Apa-apa boleh berlaku dalam politik. Pilihan raya Penanti itu bukan saja setakat memberi ruang kepada Pakatan Rakyat memperbetulkan kerajaanya, tetapi ia juga membuka ruang kepada rakyat. Rakyat Penanti boleh menggunakan pilhan raya itu untuk menghantar mesej kepada kerajaan.

Justeru, mereka perlu terus bekerja kuat seperti mana dalam pilihan raya yang disertai UBN. Rakyat kena keluar mengundi ramai-ramai. Tentunya dalam pilihan raya itu PR bukan saja mahu menang tetapi mahu jadikan kemenangan itu bukti jelas bahawa rakyat tidak bersedia menerima perubahan dan pembaharuan yang sedang dibina Najib Razak kini.

Makanya, PKR perlu menang dengan majoriti lebih 3,000 undi. Untuk mencapai ini maka pengundi kena keluar dan jangan saling harap berharap.

Pesanan atau kebimbangan diluahkan Pengarah Pilihan Raya kecil itu, Saifuddin Nasution Ismail (foto atas) hendaklah diselami. Menurut Saifuddin dalam satu kenyataan diemailkan ke blog ini, disebabkan perlawanan tidak panas menyebabkan ada segelintir pengundi yang merasakan tidak perlu keluar mengundi.

Anggapan atau sikap begitu silap dan perlu dibuang.

Lantaran itu beliau menyeru pengundi keluar dengan mengundi calon Keadilan bagi memberi isyarat bahawa mereka maukan kerajaan Pakatan Rakyat kukuh di negeri Pulau Pinang untuk meneruskan agenda perubahan yang telah dicerminkan oleh pencapaian kerajaan negeri sejak Mac lalu.

Pengundi Penanti hendaklah mencatat rekod tersendiri dalam pilihan raya itu kelak bukan saja mereka menang tetapi mencatat majoriti paling tinggi berbanding dengan beberapa pilihan raya kecil yang lalu. Horas! [wm.kl.12:00 t/hari 29/05/09]

Senak-senak Halus

Isu Chin Peng
Hock Nan Uji Najib dan Politik Melayu


CADANGAN yang dikemukakan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Teng Hock Nan supaya membenarkan bekas Setiasuaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng balik ke tanah air mungkin ianya dipandang sebagai satu usul biasa yang perlu ditentang. Ianya juga dianggap sebagai satu cadangan peribadi Hock Nan saja.


Barang kali ada juga yang beranggapan usul itu modal untuk Hock Nan mensensasikan dirinya. Beliau mahu diingat dan dikenang orang kerana beliau cukup arif isu Chin Peng akan mudah terbakar kemudian menjadi perhatian. Dalam keadaan Gerakan Pulau Pinang perlahan-lahan digerhanakan pengaruh DAP, Hock Nan harus melakukan sesuatu untuk memulihkan ingatan rakyat pulau Mutiara itu kepada Gerakan.


Tetapi jika dihalusi dan direnung dengan makrifah yang tinggi, ada motif lain yang mencabar disebalik usul Hock Nan itu. Ianya harus difikir dan digali makna tersirat. Hock Nan tahu bahawa kerajaan tidak membenarkan Chin Peng pula ke tanah air ini. Permohonannya menerusi perundangan (makamah) juga sudah ditolak dengan muktamadnya. Tetapi kenapa Hock Nan cuba melintasi keputusan kerajaan?


Tentu ada motif dan tujuan tersendiri. Pada saya Hock Nan bukan saja-saja sengaja mahu mencari penyakit dengan bercakap mengenai Chin Peng kerana beliau tahu cadangan itu akan dikritik keras.


Di sini saya melihat Hock Nan ada perancangan kemas berhubung cadangan itu. Beliau menyimpan agenda politik di sebalik cadangan itu. Pada saya ia sebagai satu ujian terbaru untuk melihat sejauh mana perubahan sikap dan pegangan rakyat negara ini dalam politik. Tranformasi dan liberalisasi politik yang diuar-uarkan telah diambil manfaat oleh Hock Nan.


Usul itu pada saya satu ujian kepada kerajaan di bawah pimpinan Najib Razak. Suara dan talun 1 Malaysia yang membawa slogan, rakyat didahulukan dan pencapaian diutamanya, diuji dengan cadangan itu.


Mungkin pada Hock Nan dia melihat Chin Peng sebagai rakyat negara ini. Kerana itu beliau juga perlu dimasukan dalam slogan Najib itu, didahulukan. Hock Nan ingin uji Najib apakah dia berpegang kepada kata-kata itu atau sebagai retorik saja. Hock Nan juga nampaknya cuba mengambil kesempatan dengan slogan berkenaan. Walhal Hock Nan tidak perlu simpati atas dasar nasionalis itu kerana Chin Peng bukan rakyat negara ini!


Saya yakin Hock Nan tidak buta sejarah dan jahil mengenai perjuangan Chin Peng dalam PKM yang banyak menelan korban dan menjadikan manusia lain menderita. Dia tahu, tetapi Hock Nan sengaja mencuba menghulurkan pancing takut-takut disentuh oleh jerung yang berkuasa.


Di sini ada permainan halus bagi Hock Nan yang perlu diteliti dan diawasi. Dia sengaja meletakkan isu Chin Peng sebagai bahan ujian. Apa yang diharapkan, kalau kerajaan menolak isu itu ada pihak lain yang cuba membelinya sebagai modal politik. Di sinilah beliau menanti akan berlaku pro kontra dan akan melabakan politiknya. Mungkin keleberaliasi politik di sesetengah tepat di negara ini mendorong untuk Hock Nan bermain dengan ujian itu.


Adalah satu kemalangan kalau pihak lain membeli modal itu begitu saja tanpa melihat apa tujuan disebaliknya. Kebijaksanaan politik dan ketajaman akal siasah sangat penting di sini. Sekiranya tidak hati-hati percubaan dibuat oleh Hock Nan itu akan berjaya yang mana akhir menyebabkan ada pihak lain yang kerugian besar.


Adalah diharap baik Najib atau pun mana-mana pihak (parti pembangkang) melihat Chin Peng dalam warna yang sama dan tidak cuba menangguk keuntungan daripadanya. Chin Peng bukan modal politik sebaliknya ia perlu dilihat sebagai liabiliti (dan musuh) kepada sesiapa yang cuba bercakap positif mengenainya.


Kepada mereka yang tidak sedar dengan permainan dan percubaan halus dan seni Hock Nan ini jangan mudah terperangkap. Saya tazkirahkan ini kerana ada kalangan pemimpin politik yang memberi harapan menerusi pandangan yang opolegetik terhadap Chin Peng. Kerana semata-mata mahu dilihat liberal mereka sedia berbuat demikian.


Ini bahaya dan mereka kalau boleh kena meralatkan semula kenyataan itu kalau tidak mahu mereka juga akan dituduh bersimpati dengan Chin Peng. [wm.kl. 8:15 am 29/05/09]

Thursday, May 28, 2009

Budi Negara

Jangan Usung Keranda Chin Peng

ORANG Melayu kini sudah berfikir melewati kepentingan bangsa! Kekadang orang Melayu juga melupai dan fanak (gila) tidak mengetahui dia berdiri di bumi mana.

Apakah ini profesional atau pun satu tranfosrmasi politik? Ataupun satu sikap baru untuk mencecahi era globalisasi dan liberalisi yang menjadi kegilaan kini. Ataupun ia hanya retorik lidah politik untuk mendapatkan kuasa tanpa mengerti ke mana kuasa itu hendak digunakan.

Saya mengatakan ini sebagai satu lagi dilema Melayu, delima pemikiran dan hala tuju menempuh masa depan dan destinasi kehidupan akhir yang rencam.

Mari kita rujuk kepada isu yang dikira hangat kini, yang menyentuh perhatian semua rakyat dan bangsa Melayu negara ini. Iaitu mengenai cadangan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Teng Hock Nan yang mengusulkan supaya membawa balik bekas Setiausaha Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng ke negara ini.

Cadangan itu menimbul pro kontra, ada yang setuju dan ada yang tidak. Mereka yang anti komunis dan menerima hamparan sejarah yang dicipta, tidak rela dan tidak mahu Chin Peng di bawa balik. Mereka melihat ada bahaya besar di sebalik keberangkatan balik Chin Peng atau Ong Boon Hua itu.

Manakala sebahagian yang lain bersetuju Chin Peng diberikan pengampunan dan diusung pulang ke Tanah Melayu ini. Yang menyokong bukan saja orang-orang Cina yang dilihat sebulu dan sewarna kulit dan memahami bahasa percakapan asal Chin Peng, tetapi sesetengah Melayu juga ikut setuju.

Berbagai alasan dan landasan akal digunakan untuk merelakan Chin Peng pulang. Ada menggunakan ladasan dan kesejagatan ehsan agama dan ada juga atas landasan peri kemanusiaan.

Ada mengatakan Islam mengamalkan prinsip maaf bermaafan. Maksudnya kerajaan harus menafikan atas perbuatan dan tuduhan ke atas Chin Peng itu. Manakala yang lain memberi kemaaafan dan sedia merelakan Chin Peng balik kerana dia sudah tua. Bila sudah tua bermakna ia sudah tidak komunis lagi?

Manakala yang tidak mahu dia balik marah atas perbuatannya seperti mana dilakarkan sejarah yang dihamparkan. Gara-gara Chin Peng yang menggerakan PKM kemudian melarikan diri dalam hutan dan melakukan petempuran gerila menyebabkan banyak rakyat tidak berdosa menjadi mangsa kekejaman penganut menolak agama itu.

Mangsa dan waris mangsa marah kepada Chin Ping tanpa melihat dan mengenali politik yang mengakibatkan kenapa berlaku peperangan dan pertemupuran itu. Jangan marah kepada mereka kerana itulah kanta sentuh yang mereka miliki untuk melihat hati sejarah.

Saya tidak setuju kalau alasan Chin Peng sudah tua maka ia boleh dibawa balik untuk menghirup udara kemerdekaan ini dengan nyaman. Alasan komunismenya tidak lagi bermaya, tidak dapat diterima. Kerana atas nama ideologi apa juga ia tetap akan hidup hatta jasadnya sudah mati apa lagi kalau setakat ianya hanya tua.

Bahkan ideologi itu menjadi lebih matang lagi dengan ketuanaan fizikalnya.
Pendapat demikian silap kerana ideologi termasuk komunisme tidak mudah lupus atau terhapus dari anutan pengkagum isme berkenaan.

Bila ada batang tubuh penggasas dan mentornya semangatnya menjadi kian hidup dan akan berkembang sebab isme atau ideologi itu seakan nafas yang berdenyut sepanjang masa. Ini bahaya.

Monumen dalam hidup sangat penting. Sebab pusara atau apa-apa benda peninggalan tokoh tersohor penting dan dipelihara bukan apa, untuk menghidup roh pejuang itu dalam diri kita, rakyat. Begitu juga sejarah ditulis untuk dihafal dan diinsafi bukan dijadikan kitab memenuhi rak buku.

Tertakdir Chin Peng dibawa balik dan dibumikan di tanah air ini, bermakna Chin Peng berada di tanah air ini. Sekiranya kita menerima hamparan sejarah itu benar, maka ia tidak wajar sama sekali Chin Peng dibawa pulang. Kepulangan itu hidup atau mati menandakan kemenangannya!

Justeru bagi saya kalau tertakdir Chin Peng mati.... jasadnya tidak harus dibawa pulang ke negara ini kerana ia akan menjadi monumen. Memorinya juga akan dikenang dan dibina di sini yang mana akhirnya akan dikenang zaman berzaman. Secara simbolik juga kalau Chin Peng berjaya balik ke tanah air ini dia merasakan puas kerana akhirnya dia dapat juga ‘merampas’ tanah air ini.

Jadi kepada bangsa Melayu dan rakyat negara ini usaha ‘berjibuh’ mengenai Chin Peng. Biarlah atau serahkan saja soal Chin Peng kepada mereka yang mengenangkannya sahaja. Kepada kerajaan pula perlu tegas, kalau sekali menghalang Chin Peng pulang maka keputusan itu harus dilipat kemas.

Kepada peminat Chin Peng jangan sesekali mengimpinkan untuk mengarakkan keranda Chin Peng di bumi merdeka ini. [wm.kl. 10:20 pm 28/05/09]

Penjelasan

Saya Sedia Menjawab Segala Dakwaan dan Tuduhan

ADA beberapa penjenguk blog saya mengirimkan atau cutpage kritikan ke atas saya yang diambil dari beberapa blog lain. Semuanya minta saya menjawab segala tuduhan bersifat peribadi itu. Saya rasa semua penjenguk sudah maklum mengenai beberapa tuduhan itu dan saya tidak bersedia untuk medetailkan di sini.

Terima kasih kepada penjenguk yang menghantar maklumat itu kepada saya. Saya sedia menjawab segala kritikan dan dakwaan itu dengan syarat orang yang membuat tuduhan dan dakwaan itu menjelma dan tidak berselindung di sebalik aling-aling yang tipis. Mendakwa di dalam gelap adalah kerja polong tanpa hidung yang pengecut dan tidak bertanggungjawab, seumpama kucing mengigit ekornya sendiri tetapi dirasakan tikus!

InsyaAllah sekiranya si pendakwa itu tampil dengan identitinya, saya akan menjawab satu persatuan. Atau sekiranya segala dakwaan itu disertakan dengan bukti saya sedia mengaku kalau ianya terbukti yang jelas dan sahih. Saya tidak takut dan pengecut sebab itu saya menjelma dengan rupa diri saya. Malahan saya sedia menawarkan hadiah sekali ganda dari tuduhan-tuduhan itu yang berupa wang ringgit. Silalah saya menanti penuh hormati, baik di blog maupun di luar alam blog.

Dijemput sesiapa juga yang berhajat untuk bertanggungjawab atas dakwaan itu boleh mewakili mereka yang tidak mahu mededahkan identiti mereka itu. Bagi pihak pun tidak mengapa asalkan identitinya jelas. Sekiranya kalau setakat membuat dakwaan dan tuduhan saya rasa saya juga boleh berbuat demikian. Saya boleh mereka seribu cerita untuk memburukkan sesiapa saja. Tetapi itu bukan jenis saya.

Tetapi rasanya saya tidak begitu. Belum ada dalam kamus hidup saya, saya menulis buku tanpa ada nama saya dan disertakan penerbit. Saya tidak pernah membina blog tanpa ada identiti saya yang jelas dan alamat untuk dihubungi. Dan saya juga tidak pernah memberi komen atau menumpang mengkritik sesiapa saja di kaki-kaki mana-mana blog. Dan saya sedia untuk ke mahkamah atas apa saja tuduhan.

Begitu juga saya tidak pernah membenarkan atau mengizinkan sesiapa membuat tuduhan dan kritikan melulu kepada sesiapa menerusi blog saya. Saya masih ada etika dan masih tahu adat-adatnya dan menghormati orang lain. Saya menjaga moral dunia siber. Dan apa yang saya tulis saya bertanggungjawab bukan saja di mahkamah tetapi di hadapan Rabul Jalil lialamin.

Saya juga menulis dan mencatat bukan dari khayalan tetapi dari kenyataan dan pengalaman! Ingin saya sebutkan disini kepada mereka yang sedia untuk menemui saya, silalah saya bersedia berbuat demikian.

Jadi kepada penjenguk budiman yang menghantar mesej dan meminta saya menjawab, ingin saya jelaskan saya tidak akan jawab kalau penuduh itu tidak tampil. Kalau kita benar, bertanggungjawab dan berani muncul dan biarlah gentlemen. Kenapa harus menyembunyikan diri. Secara munasbahnya orang yang melakukan perbuatan sembunyi tangan adalah warga oportunis dan munafik.

Dan kepada penjenguk budiman maaflah kalau saya tidak bersedia melayani hal-hal begitu. Kerana salahnya bukan saya tetapi mereka yang mendakwa itu. Samada ianya hendak dipercayai atau tidak terpulang kepada pertimbangan dan penghukuman penjenguk, saya tidak sedikitpun merasa sedih.

Wasalam.

Berita Terkini

Tengku Hassan Kekal Sebagai Adun Ledang

[kemaskini] Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan pilihan raya kecil bagi mengisi kekosongan kerusi Manik Urai, Kelantan pada 6 Julai hari penamaan calon manakala 14 Julai hari mengundi. Pilihan raya itu diadakan selepas 40 hari kematian Ismail Yaacob atau Pak Su Weil.

MAHKAMAH Persekutuan pagi ini menolak permohonan (petisyen) calon BN bagi DUN Ledang, Terengganu yang memohon agar kemenangan Tengku Hassan Tengku Omar pada pilihan raya umum 3 Mac lalu dibatalkan.

Penolakan itu bererti mahkamah itu mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu sebelum ini yang menolak petisyen itu, demikian menurut peguam Tengku Hassan, Md Radzi Mustafa.

Salah seorang pengundi DUN Ladang telah mengemukakan petisyen di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu meminta kemenangan Tengku Hassan dibatalkan. Bagaimana pun dalam penghakimannya Mahkamah Tinggi Terengganu menolak permohonan itu.

Pempetisyen itu tidak berpuas hati membawanya ke Mahkamah Persekutuan.

Dengan keputusan itu bermakna Tengku Hassan kekal sebagai Adun Ledang. [wm.kl. 10:45 am 28/05/09]

Wednesday, May 27, 2009

Politik Studio

Cerita Sebenarnya di Studio TV9

SEBANGKIT dari tidur sore, saya menerima call dari dua orang yang berada di studio TV9 di Seri Pentas malam tadi yang mengikuti dan terlibat secara langsung dengan rancangan Hujah.

Kedua mereka menelefon saya setelah membaca apa yang saya ulas mengenai hujah yang tidak jadi itu dalam blog saya – perihal Naib Presiden Pas, Husam Musa dan Naib Presiden Umno, Ahmad Zahid hamidi yang takut untuk berhujah antara satu sama lain.

Kedua pemanggil itu menjelaskan apa yang berlaku sebenarnya. Mereka mungkin merasakan perlu memberi gambaran keadaan sebenarnya memandangkan apa yang saya tulis dalam blog itu tidak memberi latar yang berlaku di studio malam tadi. Laporan mereka itu melengkapkan insiden 'lawak bodoh' yang berlaku malam semalam.

Menurut pemanggil pertama, Husam bin Musa memang hadir di studio malam tadi. Dia masuk dalam studio dan sempat bersalam dengan Ezam Mohd Noor. Kehadiran Husam itu menggembirakan pihak penerbit kerana mengira dia akan menyertai rancangan itu.

Bagaimana pun apa yang berlaku sebaliknya, dia enggan berhujah dengan Ezam Mohamad Noor yang mengganti tempat Zahid dan mahukan kepada Zahid juga.

"Saya merasa pelik dengan Husam, dia hadir tetapi tidak mahu berhujah, dia tunggu Zahid juga,” kata pemanggil itu hairan dengan sikap Husam. Cara pemanggil ini mengadu seolah dia mahukan penjelasan daripada saya mengenai sikap si baju petak-petak merah ini. Dia merasakan ada kejanilan yang amat sangat dengan telatah Husam.

Kata pemanggil itu Husam enggan berhujah dengan Ezam kerana Ezam tidak setanding dan setaraf dengannya. Apa yang beliau hairan ialah kenapa beliau enggan berhadapan dengan Ezam... tetapi datang ke studio. "Ini yang memelikkan dan membingungkan,” katanya.

"Apakah dia nak tunjuk yang dia berani?" soal pemanggil itu lagi.

Manakala seorang lagi pemanggil yang terlibat dalam mengaturkan rancangan itu turut melahirkan rasa kesal dan dukacita yang amat sangat dengan telatah Husam malam tadi. "Saya tidak pernah berhadapan dengan suasana seperti ini, saya sungguh malu,” kata pemanggil itu.

”Kalau you adalah, you akan cengkik dia....” ujarnya geram dan tidak dapat menyembunyikan perasaan marahnya. Menurutnya juga selama ini dia hormati Husam sebagai seroang pemimpin tetapi dengan perangai yang ditunjuki malam tadi, rasa hormat itu sudah hilang, musnah!

"Dia berdalih, katanya dia tidak tahu menahu mengenai pembatalan Zahid itu. Itu bohong sebab dua hari sebelum itu kita sudah pun memaklumkan kepadanya. Kita pastikan samada dia hendak datang atau tidak, sebab kalau dia tak nak kita nak panggil Mat Sabu...” ceritanya lagi.

Anihnya dia kata dia bersedia untuk berhujah dengan Ezam, sebab itu kita buat persediaan. Dan promo mengenai rancangan ini dibuat sebanyak 10 kali di tv3 di mana panelnya dia dengan Ezam. Jadi kata pemanggil itu tidak timbul kalau hal itu dia tidak tahu. Bohong...

Lagipun menurut pemanggil itu lagi dia (Husam) sendiri sudah hantar surat kepada Zahid agar datang dan memberi tempoh hingga pukul 7:35 malam. Apabila Zahid tidak respon bermakna Zahid tidak mahu hadir, jadi tidak payahlah beliau hadir kalau setakat hendak menunjukkan keberanian tetapi penakut untuk masuk gelanggang.

Menurut pemanggil itu lagi apa yang ganjil dan anihnya Husam datang membawa Pengerusi Gerak, Mohd Nazree Yunus dan minta agar Nazree berhujah dengan Zahid. Dia buat TV9 macam TvPas sahaja boleh ubah prgoram ikut suka hati. "Apakah dia benar-benar profesional ke?" tanya pemanggil itu.

Katanya dia kesian kepada Nazree datang dengan mengempit diari untuk berhujah tetapi dimainkan Husam. Dia cuba nak dijadikan bidan terjun oleh Husam. Mungkin tujuannya nak malukan Ezam kerana Nazree adalah anak buah Ezam sendiri.

Apabila strateginya itu tidak menjadi dia tinggalkan Nazree begtu saja, tanpa dipedulikan, kata pemanggil itu.

Pemanggil itu menyimpulkan dan simpulan ini tentulah kurang menyenangkan; katanya dengan sikap ditunjukkan Husam itu menyebabkan Pas juga tercemar. Orang akan mula menilai apakah begitu rupanya pemimpin parti Islam.

"Kalau saya menjadi ahli Pas saya tidak akan memberi laluan kepada Husam dia tidak layak untuk jadi pemimpin dan perangainya lebih teruk dari budak-budak," kata pemanggil itu.

Apapun pemanggil itu memberi ucapan tahniah dan syabas kepada Ezam dan Muhammad Agus Yusuf kerana dapat meneruskan juga rancangan hujah malam tadi walaupun ianya seperti mahu disabotajkan oleh Husam. Sedikit sebanyak rancangan Hujah yang berwibawa sebelum ini terjejas imejnya dengan politik murahan orang baju petak-petak merah ini. [jln pahang 10:45 pm 28/05/09]

Pemakluman

Tunggu Cerita Yang Berlaku di Studio TV9 Malam Tadi!

Saya telah mendapat maklumat terbaru mengenai apa sebenarnya yang berlaku di studio TV9 di Seri Pentas malam tadi. Sekurang-kurang dua pihak yang berada di studio berkenaan menelefon dan memaklumkan lewat petang ini apa yang sudah terjadi.

Dari cerita itu, kejadian di studio TV9 semalam satu kejadian memalukan dan menjejaskan Pas sebagai parti Islam. Orang yang cuba bermain politik di sebalik kejadian ini nampaknya memerangkap dirinya sendiri dengan kerja bodoh dan tidak beretikanya. Senario itu akan saya kisahkan menjelang tengah malam ini. Insyallah. Harap penjenguk budiman sabar menanti. Salam MSO

Menyua Minda

Surat Kepada Penyokong si Baju Petak-Petak Merah

EWAH...... marah betul para pengidola Husam bin Musa alias si baju petak-petak merah apabila saya psotingkan catatan di bawah mengenai kegagalan Husam memenuhi undangan TV9 untuk berhujah dengan Ezam Mohd Nor malam tadi.

Macam-macam kemarahan yang diluahkan kepada saya, kemarahan-kemarahan berulang kali. Mereka juga dah jadi macam saya yang emosi dan tidak habis-habis kenen Husam. Ertinya orang yang suruh saya rasional dalam hal ini mereka juga kurang waras. Sama saja. (Saya kenal penjenguk yang nakal itu. Mereka adalah skuad Husam yang ditubuhkan untuk counter attack kepada kritikan saya). Berapa pula upah yang diterimanya, belum ada maklumat pula mengenainya.

Penjenguk boleh membaca segala kritikan yang saya lepaskan di bawah. Kecuali komen yang menggunakan bahasa mencarut dan tidak bertamdun, saya tidak melepaskannya kerana bimbang takut saya juga dikatakan tidak bertamdun. Setakat yang boleh saya lepaskan saya lepas.

Saya tidak marah kepada pengkritik saya yang rata-rata menjadikan Husam sebagai idola dan mengharapkan dia menjadi pemimpin agung Pas. Biasanya penulis dalam berlawan dengan tokoh puplar dan hebat tidak akan dilihat sebagai benar! Ini lumrah. Anihnya semasa saya memuji dan menyokong Husam dulu orang-orang ini tidak pula melihat tindakan saya salah walaupun kekadang sokongan itu tidak betul!

Tetapi ada juga yang tidak memahami situasi ini bertnya, apakah saya ada masalah peribadi dengan Husam. Mungkin mereka yang sudah faham tidak akan bertanya lagi dan mengikuti dengan tenang dan penuh jengkil.

Paling emosi ada penjenguk yang tinggalkan blog saya terus. Bukan itu saja sampai Siasah tidak mahu dibaca dan dibelinya lagi. Mungkin kalaulah peminat Husam ini kebetulan jadi driver rapidKL, kalau saya nak naik pun tidak dibenarkan! He he... terpaksa berjalan kakilah nampaknya.

Hal ini sudah berlaku beberapa kali sebelum ini. Ada yang mengucap sayor nara kepada blog saya dan berjanji tidak bukanya lagi. Tetapi bila disiasat mereka masih mencuri membacanya atau memberi komen dengan sebaris nama-nama nickname lain. Pada saya orang beginilah dikatakan otak kemetot, penakut dan hipokrit.

Mungkin mereka sebegini membuka blog saya dengan melapikkan tangan dengan stoking kerana bimbang takut terkena najis atas keyboard semasa membukannya. Tak kisahlah yang penting mereka tetap membacanya walaupun secara tidak halal.

Terus terang saya kata saya tidak pernah mengundang secara rassi kepada pembaca untuk menjenguk blog saya. Saya tidak pernah insertkan blog saya di hujung komentar mana-mana blog yang kerap dilakukan oleh blogger lain.

Saya bentangkan dan penjenguk yang sudi membaca dan memberi komen bebas membuat apa saja. Semua terpulang kepada penjenguk hendak baca, hendak percaya atau tidak. Kepada penyokong Husam saya sudah mengundang dengan terhormat, tulislah apa-apa yang baik mengenai Husam sebagai melawan apa yang tidak baik saya tulis mengenainya, insyAllah saya akan siarkan. Marilah berhujah dengan akal dan dalil-dalil akli dan nakli dan pengalaman bukannya dengan khayalan. Tetapi nampaknya tidak ada yang berani untuk berbuat demikian. Semuanya menikus...

Kita menyokong seseroang mesti ada hujah dan dalilnya dan begitu juga kalau kita membenci seseorang mesti ada dalil dan hujah. Tuduhan mengatakan saya lapar duit dari Husam adalah dalil yang rapuh dan hingusan dan kliase dari mereka yang pernah makan ditangan Husam.

Mereka yang terlebih sayang kepada Husam kebanyakan adik-adik atau bertaraf anak-anak saya. Orang muda yang darah panas dan perjalanan (pergaulan dengan Husam) tidak jauh dan juga tidak dapat membaca apa yang berada nun jauh di bukit minda politik Husam.

Orang yang hendak melihat Husam pada kulitnya saja. Saya berharap dan berdoa mereka mendekati Husam dan hidup bersamanya suatu hari nanti dan mudah-mudahan tidak akan membencinya apabila tembelang dan pekong Husam sudah terdedah.

Sesungguhnya kecaman ke atas saya, saya tidak berasa hati dan sedih. Lama sebelum ini, sebelum Husam wujud lagi saya sudah kena kecam apabila saya mengkritik Anwar Ibrahim. Sayalah orang pertama yang mengkritik Anwar Ibrahim dan meramalkan beliau akan ditendang dari Umno kemudian akan menubuh parti baru. Betapa ketika saya menulis itu saya dikecam, dikatakan gila seperti hari ini juga. Kecaman itu lebih hebat daripada hari ini.

Tetapi lapan atau 10 tahun kemudian baru apa yang saya tulis dan perjuangkan itu (kritik Anwar) baru dapat dilihat dan menjadi kenyataan dan diterima sebagai benar.

InsyaAllah dalam blog ini saya akan menjelaskan kenapa saya mengkritik Husam, mengatakan Husam sehinggakan ada yang nak muntah. Saya akan jelas seadil-adilnya. Saya kritik Husam kerana masih mengharapkan dia berubah untuk muncul sebagai pemimpin hebat.

Justeru saya sedang fikirkan apakah saya wajar sampai melepaskan apa-apa yang amat berat untuk saya lepas dan catatkan mengenai Husam. Apa yang saya kritik Husam, caci Husam atau 'fitnah' Husam itu tidak sampai separuh daripada apa yang saya tahu mengenainya dan ada dalam simpanan saya. Bukti-bukti yang saya miliki menyebabkan anda tidak akan tergamak untuk melihatnya.

Apakah saya perlu mendedah semuanya?

Saya menanti respon dari anda yang budiman dan waras mengenai hal ini. Kerana walaupun blog ini adalah hak peribadi saya tetapi saya tetap menghormati pandangan penjenguk yang budiman, ya... yang budiman saja dan tidak budiman saya tidak memerlukan pandangan anda. [wm.kl. 4:00 pm 27/05/09]

Celoteh Murai 47

Dari Mogok Lapar Lebih Baik Berpuasa

MURAI tidak sempat untuk terbang ke Ipoh untuk tengok aksi mogok lapar yang dianjurkan oleh Adun Pakatan Rakyat semalam. Murai dok sibuk dan menanti-nanti rancangan Hujah di sebuah setesen tv yang melibatkan dua orang Naib Presiden parti politik terbesar di Tanah Melayu ini. Jadi peristiwa di Ipoh itu terlepas, dan harapan pada rancangan Hujah itu juga terlucut (kecewa) kerana kedua ahli panelnya takut untuk berdepan!


Cerita mengenai mogok ini Murai tahu apabila membaca surat khabar pagi ini. Katanya 19 orang ditangkap kerana mengadakan mogok lopar disebabkan tidak ada permit. Apa... nak ada mogok lapar pun perlukan permit juga ke? Kalau Murai jadi polis, Murai akan biarkan saja, sebab sejauh mana sangat orang lapar nak bertindak, mengganas dan menganggu orang lain.

Tangkap orang lemah tidak hebat dan tidak bersohor sebaliknya al dayusi!

Paling-paling tidak, mereka boleh mengganas beberapa jam saja, lepas tu bila tubuh lemah longlai dan tengok haus maus, maka jatuh bercelabahlah mereka.

Tapi Murai sendiri pun tidak faham dengan acara mogok lapar ni. Apakah dia seperti puasa? Kalau seperti puasa ia kena menahan lapar dan dahaga dari Imsyak sampailah ke waktu Maghrib. Dan orang berpuasa tidaklah pula digalakkan melakukan kerja-kerja seperti tunjuk perasaan, tetapi lebih dianjurkan agar beribadat membaca Quran atau pun mengunjungi tanah-tanah perkuburan supaya menginsafkan diri.

Adapun tujuan mogok lapar itu maksudnya untuk mendesak agar DUN Perak di bubarkan. Pelik juga Murai mengira hal ini. Kenapa harus kena buat mogok lapar baru DUN nak dibubarkan. Apakah pihak Sultan akan kesian apabila melihat ramai orang berlapar sehingga terpaksa membubarkan DUN. Macam mana kalau Sultan buat-buat buta saja...

Pada Murai kalau tujuan mogok itu untuk menimbulkan belas kasihan Sultan sehingga memaksa bubar DUN kenapa diadakan 72 jam saja. Sebaliknya biarlah bermogok selama selagi DUN tidak dibubarkan. Rasanya itu lebih afdal dan banyak pahalanya kalau berbuat begitu.

Barang kali para ulama boleh memberi pandangan atau mencari kaedah bagaimana hendak margekan antara mogok lapar dengan puasa. Dengan berbuat begitu dua kebaikan serentak didapati; DUN dibubarkan, pahala di akhirat pula diperolehi.

Makanya bagi mereka bukan beragama Islam boleh mogok dan bagi Adun beragama Islam pula boleh juga mogok berserta dengan puasa sekali!

Murai: Menanti fatwa dari Nik Aziz mengenai perihal mogok lapar dan puasa ini!

Tuesday, May 26, 2009

Kacau Hujah

Husam Dua Kali Lima Dengan Zahid Hamidi

RIBUAN peminat rancangan Hujah TV9 kecewa berat malam ini apabila dua ahli panel awal untuk ditampilkan ke pentas hujah tidak hadir. Naib Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi tidak hadir dan begitu juga dengan lawannya Naib Presiden Pas, Husam Musa tidak hadir.

Kegagalan kedua-dua ahli panel ini hadir mengecewakan dan menjadikan hujah malam ini hambar dan tawar dan seolah lawan bercakap seorang.

Yang hadir malam ini adalah bekas tokoh Keadilan Rakyat yang kini sudah menyeberang ke parti asalnya, Ezam Mohd Nor.

Kenapa Zahid tidak hadir? Apakah beliau penakut dan kecut perut untuk berdepan dengan Husam? Sejak awal melihat gezet rancangan itu saya sudah merasakan perdebatan antara mereka berdua akan ‘cokngit cakdung’. Saya sudah merasakan Zahid akan ‘terpeliut’ ditangan Husam. Husam memang terkenal seorang tokoh yang sarat dengan fakta dan bukti dan hujah-hujah bernas.

Walaupun tajuk hujah malam ini mengenai rasuah dalam politik, saya rasa Husam boleh mempertahankan Pas. Husam akan menempiskan persepsi kononnya berlaku rasuah dalam Pas. Justeru kehadiran Husam sangat diperlukan oleh Pas untuk menangkis segala tohmahan yang bakal ditimbulkan dalam rancangan itu.

Kehadiran Husam juga dikira tepat kerana beliaulah pemimpin Pas yang melenting bila isu rasuah timbul dalam Pas baru-baru ini. Beliau bingkas bangun meminta agar Pas meminta bukti daripada Ketua Dewan Ulama Pas, Mohamad Daud Iraq dan mengambil tindakan disiplin kepadanya jika gagal mengemukakan bukti atas tuduhan itu. Cara Husam melayani Mat Iraq itu seolah-olah Mat Iraq menuduh beliau yang bermain politik wang!

Husam juga sepatutnya hadir kerana dengan penampilan malam ini beliau dapat mempamirkan kewibawaan dan betapa profesionalnya beliau sebagai pemimpin Pas masa depan yang sedang berkira untuk meletakkan Pas sebagai peneraju politik negara ini.

Orang tertunggu-tunggu untuk melihat Husam malam ini. Kalau Husam datang malam ini saya kira ia akan memberi markah yang tinggi untuknya dalam kempen merampas jawatan timbalan presiden daripada Nasharudin Mat Isa.

Tetapi sayang seribu kali sayang, beliau tidak hadir. Apakah ketidakhadirannya Husam juga macam Zahid, takut untuk berdepan dengan Ezam. Kalau benar kenapa harus takut berdepan dengan Ezam. Jika niat awal beliau menerima jemputan TV9 itu untuk mengambil peluang bagi menyucikan Pas dengan rasuah beliau harus hadir tanpa mengira siapa sekalipun yang ditampilkan dari pihak Umno.

Apabila beliau membatalkan niat pada saat akhir, ia menyebabkan orang beranggapan demikian, bahawa beliau juga dua kali lima dengan Zahid. Memang hak Husam membatalkan kerana TV9 gagal menampil lawan asalnya. Tetapi itu bukan alasan bijak bagi Husam. Beliau perlu hadir juga sepatutnya. Sudah tentu kehadiran untuk berdepan dengan sesiapa saja itu menunjukkan beliau berani dan bersedia menerima sesiapa saja untuk mempertahankan Pas.

Beliau kena hadir kerana sedikit sebanyak isu rasuah dalam Pas akan tempias dalam hujah itu. Bila ini berlaku maka beliau kena menjawabnya.

Ternyata sekali, bila Ezam turut tidak menolak rasuah juga berlaku dalam Pas. Apa yang Ezam bayangkan atau siniskan sungguh memedihkan. Dengan mengguna pandangan Ibnu Khaldum, di mana rasuah itu datang bersama kuasa, Pas telah tertampal dengan najis rasuah yang dilontarkan Ezam sekejap tadi.

Kalau Husam hadir pasti dia akan menjawab dan mengupasnya. Dan Ezam sendiri nampak excited untuk membincangkan isu rasuah dalam Pas kerana atas rasa tanggungjawabnya untuk tidak mahu melihat parti Islam itu menjadi macam partinya, Umno.

Saya menyimpulkan kegagalan Husam hadir pada malam ini ialah kerana Ezam mengganti tempat Zahid. Saya percaya kalau Zahid diganti dengan Azalina Othman Said, Sharizat Abdul Jalil ataupun Ketua Puteri Umno, Rosnah Abdul Rashid Shirlin pasti Husam bersedia berhujah malam ini walaupun regu asalnya tidak hadir.

Dan apakah menyebabkan Husam takut untuk berdepan dengan Ezam? Apakah ianya ada sangkut paut dengan tuduhan beliau ke atas Ezam di Kuala Terengganu dulu yang kemudian disambut oleh Ezam kemudian tidak terjawab oleh Husam? Kalaulah... diulang kalaulah dengan Ezam pun takut nak berdepan bagaimana nak mempertahankan Islam dari serangan Israel?[wm.kl.9:30 pm 26/05/09]

Berita Tengahari

Tahniah Kepada Dewan Pemuda Pas

MULANYA saya ingat perebutan jawatan dalam Dewan Pemuda Pas akan panas dan hangat, tetapi apa yang jadi sebaliknya. Dewan yang merupakan sayap kanan Pas itu dianggotai oleh anak-anak muda yang penuh semangat juang dan berdarah panas itu rupanya mempunyai persefamanan politik dan semangat ukhwah Islamiah yang cukup tinggi.

Kesemua jawatan utama dalam dewan itu diisi tanpa berhadapan dengan pertandingan. Persefahaman bijak ini boleh mengurangkan ketegangan dalam Pas sewaktu berkempen yang kemungkinan membawa kepada bentuk kempen yang kurang menyenangkan. Bila tidak ada pertandingan maka tidak adalah pihak kena panggil media massa untuk membuat pengumuman untuk bertanding jawatan itu dan jawatan ini macam perebutan jawatan Presiden Amerika.

Jawatan Ketua Pemuda diamanahkan timbalannya, Nasarudin Hassan, jawatan timbaan ketua diisi oleh Azman Shapawi Abd Rani dan Naib ketua diserahkan kepada, Ahmad Sabki Yusuf.

Nasaruddin juga merupakan ketua Pemuda Pahang manakala Azamn Shapawi ketua pemuda Terengganu dan Sabki adalah Setiausaha dewan Pemuda Pas pusat.

Pengisian jawatan-jawatan penting menerusi kompromi atau syura ini juga sekaligus menyindir kepada pemilihan jawatan nombor dua parti (timbalan presiden) yang terpaksa melalui pertandingan. Jawatan timbalan presiden menjadi rebutan tiga pemimpin Mohamad Sabu, Husam Musa dan Nasharudin Mat Isa.

Sebelum ini tersebar khabar kononnya jawatan-jawatan berkenaan akan menjadi perebutan sengit. Bekas Ketua Pemuda Pas Kelantan, Zaki Ibrahim dikatakan bersedia untuk menentang Nasarudin Hassan. Zaki dicalon oleh Pemuda Pas Kelantan. Pencalonan Zaki itu dilihat sebagai satu hadiah Pemuda Pas Kelantan atas sokongan Zaki kepada Latiff Abdul Rahman yang berjaya mengalahkan Nik Abdul Nik Aziz.

Zaki juga diharap untuk menghalang kepimpinan Pemuda dari ditejui oleh pemimpin berserban dan berkupiah, kerana Nasarudin dilihat pengamal pakaian itu.

Begitu juga kedudukan timbalan, mulanya ada ura-ura akan menjadi rebutan tiga orang calon. Bekas Naib Ketua Pemuda Kelantan, Nik Abduh Nik Abdul Aziz juga memberi gambaran akan turut berentap untuk jawatan itu bersama seorang lagi calon dari Kedah.

Nik Abdul menyatakan persetujuannya untuk bertanding sekiranya jalan syura untuk semua jawatan penting itu gagal dicapai.

Manakala Ahmad Sabki yang dilihat akan cuba dirangkaikan dengan Zaki pula akan akan turut merebut jawatan itu bersama dua lagi calon, Azman Shapawi dan seorang calon dari calon dari Kedah.

Bagaimana pun desas desus itu kini sudah tamat dan proses transisi kepimpinan Dewan pemuda yang ditinggalkan oleh Salahuddin Ayub berjalan dengan lancar. Kelancaran ini sudah pasti menunjukkan kejayaan Sallahudin mendidik dan menterbiah anak-anak buahnya agar meliat perjuangan dan parti itu lebih utama daripada mengejar kedudukan dan kuasa.

Sekalung tahniah perlu diucapkan kepada Sallahuddin kerana berjaya melahirkan pemimpin muda berjiwa matang dan masih bersedia untuk meneruskan tradisi dalam Pas di mana mengutamakan semangat berunding daripada mengambil pendekatan politik profesional demokrasi dengan cara bertanding antara satu sama lain. [jln pahang 2:45 pm 26/05/09]

Monday, May 25, 2009

Ulsan Isu

Timbalan Presiden Pas Ditandingi
Abdul Wahab, Abdul Wahib, Abdul Wahub

PENGESAHAN pertandingan untuk merebut jawatan timbalan presiden Pas hari ini oleh tiga calon, Mohamad Sabu, Husam Musa dan Nasharudin Mat Isa membuka lembaran baru dalam Parti Islam Se Malaysia (Pas). Mungkin sudah ada pertandingan melibatkan tiga penjuru merebut jawatan nombor dua itu sebelum ini tetapi senario dan semangat waktu itu bukan seperti hari ini.

Tahun 2003 sudah berlaku pertandingan tiga penjuru antara Hassan Shukeri (penyandang), Abdul Halim Abdul Rahman dan Nasharudin Mat Isa, yang berkesudahan dengan kemenangan kepada Nasharudin Mat Isa.

Tetapi suasana ketika itu tidak seperti hari ini. Bentuk kempen, semangat dan mood pertandingan bukan seperti hari ini yang penuh kelainan dan mendapat fokus dunia dari Arab Saudi hinggalah ke Amerika Syarikat. Saya rasa hebatnya pertandingan kali menyebabkan pemerhati politik Amerika Syarikat, Islamabad atau Teheran dan Tel Avi juga tidak lena tidur dan ternanti-nanti keputusan muktamar Pas kali ini.

Kenapa tidak, kerana ketiga-tiga calon membawa imej tersendiri ataupun mereka mempunyai rangkaian dan konteks hubungan siasah dengan gerakan Islam di luar negara. Mereka mencerminkan minat dan tarikan kepada kumpulan-kumpulan tertentu. Nasharudin Mat Isa penyandang kini yang mempunyai hubungan dan rangkain dengan gerakan Islam antarabangsa baik di Barat maupun di Timur Tengah.

Gerakan Islam yang dikenalinya akan menanti apakah timbalan persiden Pas berusia 46 tahun itu akan berjaya mengekalkan kedudukannya untuk penggal ke ketiga atau sebaliknya.

Begitu juga gerakan seperti Hamas, Hisbullah atau Taliban, kumpulan syiah di Iran dan di Iraq akan memberi perhatian kepada Mohamad Sabu. Mereka mahu tengok apakah pemimpin agresif, radikal dan berani mendepani musuh (Umno dan Barat) itu menang atau pun tidak. Tentunya kumpulan pejuang jihad muslim itu menanti perkembangan ini dengan penuh prihatin.

Kemenangan Mat Sabu nanti mungkin tidak disambut dengan pesta ‘memetong’ – melempar tiang bendera ke langit namun kemenangan Mat Sabu yang prihatin kepada nasib rakyat Islam di Timur Tengah dibanggai mereka semua. Allahuakbar!

Manakala kemasukan Husam Musa pula walaupun tidak diperhati dunia kerana beliau tidak ada jasa dan hubungan direct dengan dunia luar, atas pegerakan dan aktiviti terbatas, namun ada pihak lain yang menanti dan memerhati kepada cara Husam berpolitik. Ada pihak yang sangat mengharapkan Husam menjadi timbalan presiden Pas sebagai persiapan untuk menjadi presiden. Tujuannya ialah untuk melihat Pas berubah dari pada belenggu kepimpinan dan aliran yang ada kini.

Negara-negara seperti Amerika Syarikat atau pengamal sistem kapatalis dan liberalisme mungkin suka kalau Husam menang sebab cara politik yang Husam nak bawa ialah politik moden yang liberal dan tidak meletakan Islam sebagai lambang gerakan Pas. Sudah pasti para pendokong Amerika Syarikat turut berdoa baik digereja dan masjid agar Husam menang.

Bertolak dari latar belakang dan suasana itu kenapa saya mengatakan pertandingan merebut jawatan timbalan presiden kali ini penting dan menjadi fokus dunia, sebab natijah dari kemenangan itu kelak besar, ia akan merubah atau mengekalkan status Pas sebagai gerakan Islam jamaah seperti yang sedia ada ataupun menjadi sebuah gerakan penuh dengan unsur-unsur sekular.

Pun saya sangat berharap agar pertandingan ini dijalankan dengan penuh tertib dan semangat keIslaman yang tinggi. Kalah menang janganlah membawa celaka menyebabkan ada yang menggali lubang untuk ke haluan lain.

Semuanya kita sayang! Kepada Mohamad Sabu kita sayang, dia adalah tokoh yang telah teruji buruk dan baik dalam Pas. Ujian yang dihadapinya cukup besar dan cukup hebat di mana calang-calang orang dapat betahan sepertinya. Beliau pernah dikenakan ISA kerana berjuang dalam Pas.

Tahanan ISA seorang ini cukup memberi kesan. Bisanya seseorang yang dikenakan tindakan ISA kalau dia tidak memalingkan diri terus dari Pas mungkin dia akan mengambil sikap mendiamkan diri. Namun tidak begitu kepada Mat Sabu. Penahanan dalam akta ISA serta beratus saman dan tangkapan polis menjadi baja untuk beliau terus berjuang dalam Pas.

Sekiranya ujian dan balak yang menimpanya ini dijadikan kriteria wajib untuk memilih pemimpin, nah Mohamad Sabulah orangnya.

Berbanding dengan Nasharudin dan Husam, Mat Sabu lebih mencabar kehidupannya. Kesabaran dan kesetiaan kepada parti tidak pernah teruji. Perangainya baik semasa menjadi ahli Parlimen atau tidak, sama sahaja. Mohamad Sabu tidak pernah mempunyai wang, dan pergaulannya bebas dengan rakyat, jawatannya sama sekali tidak menjadi penghalang.

Manakala jika dibariskan ketiga mereka dari segi protokol sebuah keluarga, Mohamad Sabu boleh diibaratkan sebagai abang tua, Husam abang tengah dan Nasharudin adik bongsu. Cuma dalam hal ini kedudukan adik bongsu lebih baik dan bertuah daripada kedua abang tua itu kerana berjaya menjadi timbalan presiden dalam usia muda.

Apakah hasrat Husam dan Mat Sabu untuk bertanding itu kerana dengki dan cemburu kepada kedudukan Nasharudin itu? Bukankah kedudukan Nasharudidn itu adalah atas bantuan mereka juga enam tahun lalu? Mustahil kalau mereka tidak berpadu mendokong Nasharudin, ahli Parlimen Bachok itu boleh menang.

Seharusnya mereka menghormati kepada adik bongsu yang mereka sendiri angkat agar berada di situ. Apakah mereka sengaja berbuat begitu kerana untuk menjadikan Nasharudin sebagai mangsa kepada Hassan Shukeri, kemudian Harun Taib.... kerana mereka sendiri tidak yakin waktu itu untuk merempuh Hassan atau Harun sendiri?

Kalau begitu maka jelas di sini Nashardin adalah mangsa kerakusan politik mereka yang licit!

Di sini bolehlah diibaratkan ketiga mereka seperti watak-watak Abdul Wahab, Abdul Wahid dan Abdul Wahub dalam filem Tiga Abdul. Di mana kedua abang itu suka mempermainkan adik bongsu itu dan juga menganiayainya. Namun kerana berkat sabar, jujur dan ikhlas akhirnya adik bongsu yang tidak tahu menipu dan tidak tamak itu berjaya dalam hidup sebaliknya kedua si abang itu merana. Mudah-mudahan begitulah keadaan ketiga mereka ini. [d'kota 6:45 pm 25/05/09]

Berita Terkini

Husam Sah Tanding Timbalan Presiden

PEREBUTAN jawatan nombor dua dalam Pas akan menyaksikan perlawan tiga penjuru bila mana Husam Musa hari ini mengesahkan beliau akan ikut sama merebut jawatan timbalan presiden Pas.

Dengan mengenakan baju lengan panjang berjalur biru purple Husam mengumumkan perkara itu di pejabat Pas di Jalan Raja Laut.

Dengan pengumuman itu menamatkan spekulasi sebelum ini yang kononnya Husam akan menarik diri ataupun sedia bertanding untuk mempertahankan jawatan Naib Presiden sahaja.

Menurut Husam alasan beliau mencuba nasib dijawatan itu ialah kerana keperluan semasa dan melihat senario politik dalam Pas.

Exco Kerajaan Kelantan itu menjadikan pendekatan diambil pemimpin Pas untuk berbaik dengan Umno sebagai alasan kenapa beliau bertanding jawatan itu.

Apa yang dilakukan Husam itu seolah beliau berusaha untuk menghalang pendekatan Pas dengan Umno?

Kelmarin seorang lagi Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu telah mengumumkan akan bertanding jawatan timbalan presiden Pas. Penyandang jawatan Nasharudin Mat Isa juga mengesahkan akan mempertahankan jawatan berkenaan. Ulasan selanjut akan menyusul. [wm.kl. 2:30 pm 25/05/09]

Sunday, May 24, 2009

Berita Malam

Orang Pak Lah Kena Buang di Kelantan

SEKALI air bah sekali pasir berubah. Barisan kepimpinan Umno Kelantan yang diketuai oleh Annuar Musa sebelum ini dirombak secara total oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan yang baru, Mustapa Mohamed apabila tidak mengekalkan pegawai parti lantikan Annuar dulu.

Alwi Che Amat yang juga bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri dilantik menjadi ketua penerangan dibuang oleh Mustapa tempat Alwi diganti dengan bekas Ketua Pemuda Umno Kelantan Dali Hussein.

Semantara Setiausaha Umno Kelantan, yang juga ketua Umno Kuala Krai, Ramzi Abdul Rahman tidak dilantik semula dan tempat Ramzi itu diganti dengan ketua Umno Tumpat, Norzaidi Omar.

Nasib Alwi agak bernasib baik kerana beliau masih diberi peranan untuk menjadi Setiasuaha Barisan Nasional, Kelantan sementara Ramzi langsung tidak diberi tugas.

Pengguguran Alwi dan Ramzi itu dilihat sebagai tindakan pemutihan orang Abdullah Badawi di Kelantan.

Sementara itu bekas pengerusi Umno Kelantan Annuar Musa juga tidak diberi apa-apa peranan dan seakan dilenyapkan terus dari Umno Kelantan.

Ketua bahagian Umno Kota Bharu, Fatmi Che Salleh yang dijangka dilantik memegang jawatan penting dalam perhubungan Umno tidak dilantik memegang apa-apa jawatan. Ketua Umno Pasir Mas, Hanafi Mamat pula dilantik sebagai bendahari.

Seperti mana maklum, timbalan pengerusi badan perhubungan ialah ketua Umno Bachok, Awang Adek Hussein. [wm.kl. 9:30 pm 24/05/09]

Susupan Malam

Mat Sabu Sudah Hantar Jawaban Kesediaan
Tanding Timbalan Presiden


KURANG 18 jam sebelum tawaran penerimaan untuk bertanding jawatan dalam muktamar Pas minggu depan, Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu (foto) telah pun menghantar surat jawaban menyatakan kesediaan menerima tawaran bertanding sebagai timbalan presiden Pas.

Mohamad Sabu yang dihubungi petang tadi menjelaskan beliau telah pun menjawab surat tawaran kepada jawatanuasa pemilihan yang beliau akan bertanding semalam. Esok akan diketahui apakah Nasharudin Mat Isa dan Husam Musa yang layak bertanding akan menentukan apakah mereka akan bertanding atau tidak.

Nasharudin yang memegang jawatan itu kini hampir 99 peratus akan mempertahankan jawatan berkenaan memandangkan pencalonan yang beliau perolehi menggalakkan. Pencalonan diperolehi Nasharudin mengatasi pencalonan diraih Husam.

Sementara dikatakan Husam masih lagi membuat perkiraan hingga ke saat-saat akhir sebelum mengumumkan keputusannya besok sama ikut bertanding atau pun hanya akan mempertahankan jawatan Naib Presiden.

Sekiranya Husam juga menyatakan persetujuan bertanding ini bermakna petandingan tiga penjuru akan berlaku sekaligus menjadi perebutan jawatan timbalan presiden sengit.

Mat Sabu ketika ditanya mengenai kemungkinan akan berlaku kompromi antara beliau dengan Husam seperti mana diura-urakan, menjelaskan tidak ada kompromi bagi pihak saya. "Saya tetap akan bertanding dan saya tidak akan undur," jelasnya.

Penegasan Mat Sabu itu dibuat sebanyak tiga kali kepada blog ini dan menunjukkan beliau konsiten sejak awal lagi. Tokoh Pas yang berjiwa rakyat marhaen itu menyifatkan dirinya sebagai traktor tidak ada berek yang sedang menuruni bukit di mana ia tidak mungkin akan dapat dihentikan lagi.

Sekiranya berlaku pertandingan tiga penjuru untuk jawatan itu dijangka ia memberi laluan mudah kepada Nasharudin Mat Isa untuk mengekalkan jawatan berkenaan. [wm.kl. 9:15 pm 24/05/09]

Menumpah Rasa

Bangsa Politik Kumpulan Yang Rakus!

PERKARA ini sudah lama bersarang dalam kepala saya. Tetapi biarlah kali ini saya meluahkannya. Mudah-mudahan ia mendapat manfaat dan membuka pintu hati kita semua untuk merenungnya dan yang memberi kebaikan kepada kita.

Apa yang dimaksudkan itu, mengenai telatah dan sikap orang-orang politik yang pada saya begitu rakus, kejam dan kurang memiliki perasaan kemanusiaan. Apakah ini termasuk dalam rukun-rukun politik di mana kita tidak perlu memadang orang lain dan harus melihat ke dalam diri sendiri saja. Termasuk dalam paksi 4C?

Perkaranya, mengenai kegalakan kita memperkatakan soal pilihan raya tidak mengira tempat, masa dan suasana. Biasanya bila ada kematian wakil rakyat maka semua akan bercakap hal pilihan raya di kawasan itu. Bila hendak diadakan dan siapa yang akan bertanding, atau parti itu bertanding atau tidak menjadi topik hangat. Jadilah kematian itu berita hangat dalam media dan di mana-mana saja.

Sikap sebegini bagi saya sudah melampau. Kita ini seolah-olah kita tidak merasai apa-apa perasaan pun atas takdir Allah yang mematikan seseorang hamba-Nya itu yang antara lain bertujuan menginsafkan kita semua. Seolah-olah kematian itu disambut dengan rasa gembira kerana ia memberi peluang berlakunya pilihan raya kecil.

Kenapa kita begitu obses kepada hal-hal ini? Sedihnya mayat wakil rakyat itu belum pun dikafan dan disembahyangkan lagi, masih tergolek di pembaringan tetapi soal pilihan raya di kawasan yang ditinggalkan itu sudah diperkatakan. Seolah tindakan menyegerakan mengadakan pilihan raya itu lebih penting dan wajib daripada menyegerakan pengkebumian mayat wakil rakyat berkenaan.

Bukakah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memperuntukan masa 60 hari untuk mengisi mana-mana kawasan yang kosong. Atau pun jika perlu selepas penggal parlimen memasuki ruang 2/3 ia tidak perlu diadakan lagi? Masa itu panjang, bukan enam hari. Apakah tidak boleh warga politik mengunci mulut daripada bercakap mengenai pilihan raya sehinggalah beberapa hari?

Misalnya biarlah kematian berlangsung selama seminggu setidak-tidaknya barulah boleh bercakap fasal pilihanraya itu. Biasanya seminggu itu keluarga si mati telah menyelesaikan segala hal-hal si mati. Perkara ini boleh diatasi kalau beberapa pihak ada perasaan kemanusiaan tinggi sesama manusia lain.

Pertama pihak speaker yang menjadi tanggungjawab memaklumkan kekosongan itu kepada SPR, saya rasa boleh memainkan peranaan untuk mententeramkan hal ini. Speaker jangan melayan pertanyaan wartawan berhubungan perkara ini dan jelaslah dengan baik, misalnya kita akan bercakap perkara ini dalam tempoh beberapa hari lagi.

Kecuali dalam keadaan tertentu bolehlah speaker menjelaskan misalnya kalau kebetulan sidang DUN hendak diadakan pada masa itu, di mana beliau boleh segera memaklumkan kepada pihak-pihak tertentu.

Kedua SPR, selepas menerima pemakluman itu tidak bolehkah tunggu sehari dua sebelum membuat tindakan untuk mengadakan mesyuarat bagi membincangkan pilihan raya di situ. Kadang-kadang pemakluman rasmi belum dibuat lagi tetapi SPR sudah bercakap mengenainya. Nampak sekali sikap aktif SPR dalam hal ini sehingga seolah-olah tidak merasa simpati kepada keluarga si mati.

Dan ketiga ialah pihak-pihak parti politik terbabit yang mungkin hendak menyertai pilihan raya baru itu. Tidak bolehkah kunci mulut tidak membuat kenyataan sehingga selepas seminggu misalnya. Hal ini boleh dilakukan kalau ketua parti itu sendiri bijaksana dan tahu bagaimana henak mengelakkan soal itu ditimbulkan.

Rasanya kalau ketiga pihak ini faham dan ada perasaan peri kemanusiaan maka tidak nampaklah politik kita rakus dan zalim kepada keluarga si mati.

Memang yang mati tidak mengetahui apa-apa urusan dunia lagi. Tetapi kena ingat mereka ada keluarga, ada anak dan ada isteri yang bersedih dan berdukacita atas kematian itu. Mereka perlu diberikan semangat dan kekuatan untuk meneruskan kehidupan. Dengan membincangkan soal pilihan raya seolah mereka tidak dipedulikan.

Kalau perlu SPR boleh membuat peraturan secara tidak rasmi bagi mengekang kerakusan ini. Maksudnya jadikan amalan bahawa soal piliahn raya di mana-mana kerusi yang kosong selepas berlaku kematian boleh dibincangkan selepas beberapa hari kematian. Tetapkan dalam tempoh tertentu hendaklah tidak diperkatakan apa-apa mengenai termasuk spekulasi calon atau pengganti aruah itu.

Rasanya kalau dapat berbuat begitu politik kita lebih dihormati dan menampakkan bahawa kita mempunyai daya simpati dan perasaan kemanusiaan yang tinggi. Akal budi kita juga terserlah sebagai manusia yang bertamadun. [wm.kl. 2:00 pm 25/05/09]

Saturday, May 23, 2009

Dari Penanti

Tanda Jelas UBN Akan Berkubur

[kemaskini] Pilihan raya kecil DUN Penanti akan menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon PKR, Dr Mansor Othman dan tiga calon bebas, Aminah Abdullah, Naikhan Air dan Kamarul Ramuzi. Seorang lagi calon bebas, Mohd Seberi Othman ditolak kerana masala teknikal.

Menurut bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zaid Ibrahim yang turut sama berada di temnpat penamaan calon bagi mengiringi calon PKR, calon PKR Dr Mansor bakal memperolehi kemenangan besar.

Katanya mungkin majoriti lebih besar daripada pencapaian PKR dalam pilihan raya lalu di DUN berkenaan. Dalam pilihan raya lalu calon PKR Mohamad Fairus Khairuddin memperolehi kemenangan dengan majoriti sebanyak 2,219. Manakala ditanya mengenai alasan UBN tidak bertanding, kata Zaid, budak-budak kecil pun suka mendengar alasan UBN itu.

TINDAKAN UBN untuk tidak menyertai pilihan raya kecil Penanti hari ini memberi senario baru dalam politik dan sekaligus memberi isyarat seoah-olah UBN akan lenyap dari bumi Malaysia ini. Walaupun tindakan itu dianggap sebagai bijak namun ia memberi kesan lain apabila suasana yang terpamer di pusat penamaan calon sebelum ini sudah tiada di Bukit Mertajam pagi ini.

Pagi ini ketika ribuan para penyokong Pakatan Rakyat bergerak ke pusat penamaan calon mengiringi calon mereka Dr Mansor Othman ke IKBN Bukit Mertajam dengan penuh bersemangat sambil menjunjung bendera, membawa kain rentang dan sorakan, UBN yang selama ini menjadi parti harapan bangsa seolah sudah lenyap. Suasana seakan sudah diambil alih sepenuh oleh Pakatan Rakyat.

Suasana di tempat penamaan calon yang sebelum ini meriah dan penuh ketegangan setiap kali kehadiran UBN dalam pilihan raya kecil juga tidak wujud lagi. Sedikit sebanyak tanpa UBN pilihan raya tidak meriah dan Pakatan seolah tidak berani lagi untuk ditentang.

Mereka yang suka kepada provokasi, sorak menyorak, caci menyaci juga terasa pilihan raya kecil Penanti ini tawar dan hambar saja.

Mungkin kerana ingin memeriahkan dan menampakkan penamaan calon itu hidup menyebabkan penyokong Pakatan Rakyat membina dua kumpulan, satu berada di bahagian kanan tempat penamaan calon itu dan sebahagian lagi di bahagian kiri.

Seluruh kawasan penamaan calon itu dipenuhi dengan penyokong Pakatan Rakyat. Walaupun ada calon bebas yang mungkin direstui oleh UBN namun ia tenggelam dalam banjiran penyokong Pakatan Rakyat. Bendeara PKR berlambang mata, bendera Pas bulan purnam dan DAP roket menakluki setiap ruang. Manakala tidak ada satu pun bendera BN atau Umno yang berlambangkan keris telanjang.

Melihat situasi ini menyebabkan timbul persoalan, apakah wajar UBN bertindak demikian? Dengan tidak menyertai pilihan raya itu menyebabkan tiada lagi bendera, atau jeritan hidup Melayu bergema di persekitara pusat penamaan calon itu. Apakah kesunyian suasana dengan jeritan tradisi itu menandakan UBN akan berkubur tidak lama lagi? [penanti 10: 00 am 23/05/09]

Friday, May 22, 2009

Langsung Dari Putrajaya

Zambry Kekal Sebagai MB Perak

Perkembangan politik Perak yang ditunggu-tunggu sejak semalam bagi menentukan siapakah yang berhak menjawat jawatan Menteri Besar telah berakhir setengah jam tadi apabila Mahkamah Rayuan telah mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi 11 Mei lalau yang mengistyharkan Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Ekoran keputusan dibuat hakim Abdul Aziz Abdul Rahim itu menyebabkan jawatan MB Perak bertukar tangan selama kira-kira 16 jam dari Zambry Abdul Kadir (foto) kepada Nizar sebelum 'dirampas' semula oleh Zambry apabila Mahkamah Rayuan menerima permohonan Zambry supaya menangguhkan keputusan Mahkamh Tinggi itu pada keesokan harinya.

Ekoran itu Nizar Jamaluddin pula mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Rayuan bagi menentukan siapakah MB yang sah.

Kira-kira jam 3:40 petang tadi Mahkamah Rayuan telah membuat keputusan mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi dengan keputusan sebulat suara oleh tiga orang hakim.

Perkembangan ini bermakna Zambry akan terus menjadi Menteri Besar Perak. Nizar bagaimana pun akan mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan di mana mahkamah terakhir bagi menentukan kesahihan berhubung MB Perak.

Apakah dengan keputusan ini Zambry akan memohon perkenan Sultan Perak untuk membubarkan DUN Perak sukar untuk diramalkan. Adalah dipercayai Zambry tidak mungkin berbuat demikian kerana kedudukannya UBN kini selesa walaupun rakyat di bawah tidak berpuas hati. [pjaya 4:00 pm 22/05/09]

Resah Politician

Husam Mencari Alasan Untuk Tarik Diri?

SIASAH yang memakai tagline "Kebebasan dan Kelainan" keluaran terbaruBil 150 24 – 30 Mei menyiarkan muka depan spekulasi mengenai Datuk Paduka Haji Husam bin Haji Musa akan tarik diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden Pas 5 Jun depan. Siasah membawa tajuk; Husam Tarik Diri?

Menurut laporan itu antara alasan diberikan Husam kemungkinan Naib Presiden Pas itu membatalkan niatnya kerana bimbang penyertaan memberi impak kepada dua kumpulan dalam Pas.

Seperti mana dipetik dari caka-cakap rakan rapat Husam yang dijadikan sumber berita; katanya Dia (Husam) bimbang kalau bertanding dan menang masyarakat akan beranggapan Pas menolak ulama. Begitu juga sebaliknya jika dia kalah, persepsi Pas menolak golongan profesional atau pelbagai lagi nama yang dicapkan kepada beliau.”

Saya tidak dapat mengesahkan sejauh mana benar dan bermaksud begitu kata-kata rakan yang dipetik sebagai sumber itu. Saya tidak membuat laporan itu dan menyerahkan kepada Pengarang Eksekutifnya mengenai laporan itu. Saya tidak mahu membabitkan diri dalam hal Husam dalam Siasah. Saya profesional dan mahu mengulasnya dalam blog saja.

Hal saya dengan Husam persnol dan bukan isu nasional yang boleh digunakan media bebas untuk memperkatakannya.

Saya tersenyum membaca laporan Siasah itu. Sebab saya adalah jauhari kepada manikam orang politik seperti Husam. Saya berharap kata-kata rakan rapat Husam yang dilaporkan itu bukan lahir dari hati nurani Husam sebenarnya. Ia adalah pandai-pandai rakan rapatnya itu saja bagaimana hendak menyelamatkan maruah si baju petak-petak merah.

Betapa saya melihat di sini rakan rapat itu sudah mulai kecut perut dengan tokoh idola beliau itu. Yang jelasnya kenapa ayat-ayat cinta itu keluar kerana pencalonan Husam untuk jawatan itu tidak begitu menggalakkan, hanya 28 pencalonan sahaja. Ini bermakna lebih separuh dari 178 kawasan Pas kurang minat atau tidak teruja dengan personaliti Husam.

Kata-kata rakan rapat Husam itu cuba meletakan siapa Husam dalam Pas. Ia cuba memberi gambaran Husam begitu berpengaruh dan mampu mempengaruhi orang dalam Pas. Husam sudah menjadi jaguh dan tokoh besar. Ada iras-iras Husam persis Anwar Ibrahim dalam PKR dan Pakatan Rakyat.

Sekiranya terjadi sesuatu kepada Anwar maka perjuangan rakyat akan ruyup. Begitukah? Maknanya sekiranya apa-apa fenomena membabitkan Husam ia turut sama akan terheret ke dalam Pas. Wah... hebat...

Ayat-ayat yang dilontarkan itu menunjukkan bagaimana kedudukan dan pengaruh Husam. Sehingga ia akan dilihat sebagai penanda aras di dalam Pas. Kalau dia kalah bermakna profesional ditolak dan kalau menang bermakna ulama pula di tolak. Pernyataan ini cuba memberi gambaran Husam mewakili kedua kumpulan itu dan sangat sayang kepada Pas!

Siapakah yang menobatkan Husam sedemikian tinggi kedudukannya? Apakah ada kajian meletakkan Husam sehebat itu menjadi ikon besar dalam Pas? Suka saya melihat kajian iti baik dari Merdeka Centre atau pun mana-mana pihak agar mengemukakan hujah seperti dikemukakan oleh rakan rapat Husam itu.

Pendapat peribadi saya, Husam tidak patut takut kepada persepsi demikian. Kalau beliau yakin dan ada kekuatan, bertanding saja. Sejak awal lagi saya mencandangkan dia lawan sahaja Abdul Hadi Awang, bukan Nasharudin sebab sasarannya ialah menipiskan aliran ulama dalam Pas yang dianggap sebagai penghalang usaha meliberalisasikan Pas. Kenapa kita perlu menjaga hati
golongan mana-mana pihak kalau kita yakin dan berhasrat membawa kemajuan kepada Pas?

Kerana itu pada saya kata-kata yang dilontarkan rakan rapat Husam kepada wartawan Siasah itu hanya alasan saja. Ianya untuk mencari justifikasi bagi membolehkan idola dia itu tidak rebah dalam gelanggang. Mungkin sudah ada congakan di pihak Husam dengan pencalonan yang sedikit itu, menjadikan beliau kecut perut untuk menentang Nasharudin. Jadi satu lasan mesti dicari untuk menjustifikasikan kenapa beliau perlu tarik diri.

Satu laporan juga mengata Husam ada berjumpa dengan Anwar Ibrahim dua hari lalu di lapangan terbangan Sultan Ismail Kota Bharu. Khabarnya dalam perjumpaan itu Husam dikatakan meminta pandangan Anwar apakah beliau harus meneruskan hasrat bertanding ataupun tidak. Perjuampaan ini disertai sama Saifuddin Nasution Ismail. Mungkin Saifuddin boleh mengesahkan hal ini kepada saya.

Inilah saya katakan kebijaksanan dan kelicitan dalam politik. Bila kita sudah 'tertohak', (terdesak) kita jangan mengaku kalah sebaliknya kena cara ayat-ayat cinta yang munasabah bagi melundungi kelamahan dan keadaan kita. Seperti Husam itu kalau sudah tidak berani nak lawan Nasharudin maka kena ajar kawan rapatnya memberi justifikasi itu kepada umum.
Demikianlah politik yang berpaksikan kepada 4C, (si) yang saya maksukan sebelum ini. [wm.kl. 12:00 t/hari 22/05/09]

Belasungkawa

Pak Su Weil Manik Urai Kembali Ke Rahmatullah

JAM 7:03 minit pagi tadi saya menerima dua SMS dan satu panggilan dukacita memaklumkan Adun Manik Urai, Kuala Krai, Ismail Yaacob, 60 atau lebih mesra dikenali Pak Su Weil (foto) telah meninggal dunia jam 5:55 pagi tadi.

Kedua SMS itu bagaimana pun tidak menjelaskan mengenai sebab-sebab kematian itu. Seminggu lalu seorang penjenguk blog Merah Tinta telah memberi tahu mengenai keadaan keuzuran Pak Weil di mana sebelah kakinya dipotong kerana sakit kencing manis.

Tetapi malang penjenguk itu tidak menjelaskan keadaan yang tepat menyebabkan berita keuzuran itu tidak disiarkan. Sehinggalah saya menghubungi salah seorang Exco Kelantan yang mengiyakan mengenai keadaan Pak Su Weil yang sakit dan masih berada di hospital.

Menurut Exco berkenaan keadaan Pak Su Weil ketika itu stabil dan beliau berhajat menziarahinya dan akan memaklumkan semula kepada saya.

Saya berhajat untuk menziarahi Pak Su Weil, menanti kebetulan balik ke Kelantan saja.

Namun Tuhan nampaknya tidak mengizinkan untuk saya menemui Pak Su Weil buat terakhir kalinya. Hari ini, Jumaat 22 Mei Pak Su Weil telah dijemput-Nya untuk kembali ke alam asal. Al Fatihah.
Pak Su Weil bukan seorang Exco yang hebat, atau pemimpin Pas terkenal di Kelantan. Tetapi kalau sebut sahaja nama Pak Su Weil tidak orang yang tidak mengenalinya. Ia akan dirujuk kepada Adun Manik Urai yang mempunyai kehebatan dan kebolehannya tersendiri. Pak Su Weil tidak mempunyai kelulusan tinggi sampai ke peringkat universiti, hanya sekolah menengah sahaja, tetapi hati budi dan PR Pak Su Weil mengalahkan Adun-Adun yang lepas dari menara ganding.

Mesra, ramah dan pandai mengambil hati orang. Itulah rahsia Pak Su Weil kenapa berjaya menenangi kerusi Manik Urai sebanyak lima kali berturut-turut bermula pada tahun 1986. Bagi Pak Su Weil kejayaannya dikerusi itu sebagai rekod kerana memenanginya berturut-turut, 1986, 1990, 1995, 1999 dan 2008.

Kehebatan Pak Su Weil di Manik Urai terbukti apabila pada tahun 2004 Pas tidak meletakkannya bertanding di situ menyebabkan kerusi Manik Urai itu berpindah tangan kepada Umno.

Tahun 2008 apabila Pas meletakkan semula Pak Su Weil kerusi berkenaan menjadi milik Pas semula. Selain Adun Pak Su Weil juga merupakan pemimpin Pas kawasan Kuala Krai. Dalam pemilihan baru lalu Allahyraham ditentang oleh Zulkefli Yaacob untuk jawatan Timbalan Yang Dipertua, beliau menang dengan 550 undi.

Kali terakhir saya menemui Pak Su Weil ialah semasa perarakan 100 ribu anjuran Bersih dua tahun lalu. Pada masa itu Pak Su Weil sudah kurang sihat, namun masih bersemangat untuk turut bersama rakyat menuntut keadilan.

Kenangan manis dengan Allahyarham ialah semasa menjelang sidang DUN Kelantan pada tahun 1996, di mana saya terlibat menyemak teks ucapannya yang hendak disampaikan dalam dewan. Allahyarham meminta saya menambah dan membiaki ayat-ayatnya supaya lebih keras.

Fokus ucapannya ketika itu ialah mengkritik pegawai-pegawai kerajaan yang tidak mahu memberikerjasama dengan kerajaan khasnya Tok Guru. Ucapan Pak Su Weil itu menimbulkan kemarahan sesetegah pegawai keraaan Kelantan, bagaimana pun ia memberi kesan yang baik dimana selepas pegawai kerajaan Kelantan akhirnya tunduk kepada kehendak kerajaan.

Pak Su Weil juga dikenali sebagai seorang 'gedebe' dan berani. Juteru untuk beberapa ketika beliau dilantik menjadi pengarah keselamatan Pas. Bila ada pilihan raya kecil, Allahyaraham lah akan ditugaskan memastikan keselamatan.

Kini Pak Su Weil sudah tiada lagi. Yang tinggal hanya jasa dan kenangan bersamanya saja. Semoga Allah mencucuri rohnya dengan segala keharuman dari jannah. Al Fatihah! [wm.kl. 8:15 am 22/05/09]