Tuesday, October 22, 2024

Malam Ilmunisasi Puisi Alam di Desa Gemalai kembalikan hakikat kehidupan

CATATAN PERISTIWA

Rossem menyampaikan
cenderamata untuk Husam.
DESA Gemalai baruh padi alami di Lubuk Jambu Kedai Mulong, Kota Bharu pada malam Sabtu lepas (18/10/24) bergema dengan lagu-lagu puisi dan deklamasi puisi oleh beberapa penyair tempatan dengan diiringi gendang tradisi, rebana, serunai, gong dan canang.

Acara santai itu buat julung-julung kali diadakan di baruh tersebut. Dalam panahan sinar lampu kalimantan samar penuh romantika, terpaan bau baruh dan aroma padi yang sedang bunting, persekitaran bendang seluas kira-kira 15 ekar itu bergema dengan irama dan talun pendaklmator yang tampil dengan gaya tersendiri, bikin mengimbaukan masa lampau yang kian menjauhi diri. 

Ikut sama berkumandang ialah beberapa lagu puisi yang dicipta secara spontan, menambahkan kemeriahan suasana dan menggamitkan kenangan lalu tak semena-mena menguntum mekar di jiwa.  

Lebih ceria lagi majlis itu turut dihadiri sama Pengerusi TH Properties Datuk Husam Musa yang bertindak selaku perasmian majlis dan meluncur antologi Baruh Menangis karya Salleh Yaakob. Agak istimewa apabila acara sebegitu ikut dihadiri sama Husam yang sebelum ini kita hanya kerap melihatnya tampil di podium politik.

Hadirin santai dalam remang cahaya.

Majlis itu sebagai melakar sejarah tersendiri dicelah ketandusan aktiviti sastera ke belakangan ini, diusahakan bersama Yayasan Ahmad Albab dengan kerjasama Persatuan Seniman dan Warisan Kelantan (Pesta).

Disebelah siangnya berlangsung pameran lukisan yang bertemakan alam panorama klasik baruh padi organik berkenaan. Ilustrasi padi berlatar belakang baruh berkenaan dipamerkan dan turut dijual. 

Desa Gemalai merupakan baruh padi alami yang diusahakan oleh Yayasan Albab, ia dibangunkan bersumberkan ilham dicetuskan Husam semasa beliau berada dalam kerajaan Pas dahulu. 

Baruh organik itu sebagai kesenimbungan pelaksanaan idea bekas Exco Kelantan diera Tokguru Nik Aziz itu yang ditinggalkan kerajaan Pas selepas beliau tidak bersama lagi. Untuk jayakan baruh itu seorang pakar padi yang dianggap wali padi Pak Aied didatangkan khas dari Tasek Malaya Indonesia. 

Mohamad Sabu pernah mengunjungi 
Desa Gemalai Lubuk Jambu.
Baruh padi itu sudah melewati dua musim penanaman yang diolah secara manual dan semulajadi, menjadikan ia satu-satu bendang padi alami di Kelantan. Kini terdapat lebih 40 jenis padi (variety terpilih bertaraf dunia) yang ditanam di baruh berkenaan, dan menjadi kunjungan dan lawatan mereka berminat dalam penanam padi termasuk daripada agensi kerajaan berkaitan pertanian seperti Kada, Mada, Jabatan Pertanian, Professor dan lain-lain. 

Bahkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Mohamad Sabu juga telah mengunjungi desa berkenaan dan memberi dorongan dan sokongan. 

Kerana keunikan Desa Gemalai itu, kini ia juga jadi salah satu lokasi wisata, berjaya menarik ramai pelancong termasuk murid sekolah, siswa dan mereka yang ingin merasai hayat alam padi semula jadi dan mengenali pelbagai jenis padi dan juga cara dan kaedah penanam secara alami yang menyubur dan memakmurkan bumi. Baruh itu bukan sahaja sekadar bercerita hal padi, tetapi segala habibat alam lain yang hidup mesra dengan pepohon padi, seperti ikan-ikan, belut, belalang, labah-labah, rama-rama, beburung, tikus dan sebagainya. 

Panorama yang terwujud disini bagaikan berada dalam sebuah lukisan hidup dan kehidupan sebuah alam semulajadi yang memukaukan perasaan dan indra.

Sesekali hadir di majlis seperti itu menyegar semangat dan menggamit kenangan lama yang kian terpendam dimamah usia. 

Saya mengambil inisiatif pulang bersama isteri hanya untuk sama-sama meraikan majlis tersebut. Kepulangan lebih untuk berjumpa dengan rakan-rakan lama. Terima kasih kepada pihak yang menjadi nadi dan tunggak kepada pengatur acara berkenaan yang dinamakan Ilmunisasi Puisi, terutamanya Kang Rossem, sdr. Syam Ghaz dan sdr. Yusri selaku komander. 

Paling bertuah majlis itu mempertemukan saya dengan beberapa rakan penyair yang sudah lama tidak berada dalam satu majlis, yang mana dahulu kami adalah penjaja suara mempertahankan seni mengadakan pembacaan sajak di seluruh Kelantan. 

Antara yang menyempatkan diri hadir, Sanusi Yaakob (Nursanusi MH), Rosli K Matari, Mubin, Anbakri Haron dan lain-lain, yang mungkin hadir tetapi tidak terkeleh kerana menyelit di batas padi di kegelapan malam. Turut sama hadir sahabat daripada Kuala Lumpur sdr Din Deraman seorang pakar motivator dan bekas Adun 1970an Hashim Haji Omar (abang Hashim).

Paling manarik dan merujakan Husam yang memberi pengucapan berbau puitis menceritakan tentang keajaiban dan keistimewaan padi. Beliau yang merupakan seorang ilmuan politik sangat akrab dengan pertanian tidak pernah lelah menjelah ke seluruh benua untuk mengenali, mempelajari kaedah penanama dan mencari rahsia padi daripada negara-negara luar. Dan tidak lupa ikut "mengetek" benih-benih padi untuk dibawa pulang. 

Tidak salah kalau dikatakan Husam adalah politis ilmuan padi dan pakar argotecher dalam negara ini dimana minat dan pengetahuannya mengenai pertanian terutamanya hal ehwal padi dan penternak  khasnya Wagyu begitu luas dan mendalam. 

Abang Hashim, Anbakri dan Husam.
Seperti mana katanya, terdapat 19,000 ribu jenis padi yang terdapat di India, itu adalah maklumat terbaru buat pengetahuan awam dimana sebelum ini saya sendiri tidak pernah mengira yang India adalah negara penanam padi terbesar dan hebat dunia. Dan sebahagian daripada jenis-jenis padi yang ada di benua India itu ada di baruh Desa Gemalai. 

Bagi Husam padi adalah rahsia kehidupan yang diciptakan Tuhan untuk diselami maknawinya. Beliau melarang membunuh padi, kerana membunuh padi adalah membunuh kehidupan manusia.

Beliau menjelaskan padi yang memiliki dua warna unik untuk dimengerti, satu hijau dan kedua kuning. Hijau adalah warna alami semulajadi, melambang kesuburan dan kedamaian. Hijau padi adalah hijau asli dan bukan dibuat-buat dimana, hijau itulah yang perlu dipilih dan disanjung kemudian direalisasikan dalam kehidupan.

Salleh, Sanusi dan Rossem.
Manakala warna kuning membawa dua pengertian. disamping warna ini indah dan menarik perhatian, kuning juga melambangkan kemusnahan dan kematian. 

Imbau beliau, apabila padi sudah sampai ke hujung  musim, (jangka hayat) ia berwarna kuning dan ketika itu ia akan dituai. Ertinya putaran hidup padi adalah simbolik kepada putaran hidup kita.

Justeru pesan Husam padi perlu dirawat dan dihormati kerana ia makanan asas manusia di sini. Kewujudan Desa Gemalai adalah klinik, hospitalliti sekaligus sekolah universal untuk menusia memahami dunia kepadian dan mengenali makrifat dan maknawinya.

Baruh jambu cuba mengembalikan nostalgia dan keindahan sawah dimasa silam yang permai, harmonis dan membahagi kian padam. Mereka yang pernah bermandi selut, mengejar belalang, menauk, merukah belakang kerbau, dan mengejar unggas dibendang akan merasai dunia itu tiba-tiba menjelma semula apabila berada di Desa Gemalai. Dega Gemalai bukan sekadar baru tetapi ia lingkungan terapi diri.

"Kita perlu jaga sawah dan padi kita. Kita jangan bunuh padi dan habitat, keaslian dunianya, kerana perbuatan itu seolah kita membunuh kehidupan kita sendiri," demikian pesan dan amanah Husam. [wm.kl. 11:43 am 22/10/24]

Rakaman gambar besar di malam Ilmunisasi Puisi di Desa Gemalai.

Tuesday, October 15, 2024

Dr Na'im tidak perlu lemah semangat..

SUSUPAN MALAM

Dr Mohd Na'im
PEMBENTANGAN untuk bacaan kedua dan ketiga RUU Mufti Wilayah-Wilayah Persekutuan 2024 yang dikenali dengan RUU Mufti antara perkara menjadi tumpuan di sepanjang sessi parlimen kali ini yang telah bermula semalam (Isnin), disamping pembentangan Badjet 2025 oleh Menteri Kewangan yang juga PM, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Jumaat nanti. 

Pembentangan RUU Mufti oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar juga menjadi tumpuan dan memberi signifikan tersendiri kepada sidang parlimen kali ini. 

RUU Mufti ini menimbulkan sedikit polemik ada suara-suara sumbang bernuansa cemburu dan irihati terhadap RUU Mufti berkenaan. Suara-suara sumbang buluh pecah itu dan rasa tidak puas hati tanpa berpijak dibumi nyata itu, sedikit sebanyak menganggu pembentangan RUU berkenaan, dan boleh menerbitkan rasa malu pula kepada orang bukan Islam. 

Situasi ini mendukacitanya, kerana sepatutnya semua pihak sepakat dan berbangga dengan apa dimaksudkan oleh RUU Mufti itu yang bertujuan untuk memartabat dan memperkasakan Institusi Mufti di Wilayah-Wilayah Persekutuan, dimana menerusi pemerkasaan ini bidang kefatwaan dan pembangunan hukum syarak akan dapat ditadbir secara teratur, telus dan berwibawa ke arah meningkat keberkesanan tadbir urus pentadbiran Islam di Malaysia. 

Pihak Jakim bertanggungjawab dalam penggubalan RUU itu yakin dengan RUU itu adalah cara terbaik dalam aspek kefatwaan dan pembangunan Hukum Syarak akan dapat ditadbirkan secara teratur, serta berwibawa ke arah meningkatkan lagi keberkesanan tadbir urus Islam di negara ini. Kita sepatutnya senada dan sepakat, bukan berbeza pandangan kerana kepentingan lain.

Tanggapan negatif mengatakan RUU Mufti itu sebagai merampas hak beragama dan pihak berkuasa lain, adalah meleset dan mengecewakan sekali, kerana ia dibuat tanpa memahami maksud dan tujuan RUU itu diperkenalkan. Mereka beranggap demikian tidak berpijak dibumi nyata dan mata tertutup dengan nur adden sebenar. Kalau baca kitab muka suratnya diletak dekat sangat dengan mata, huruf-hurufnya akan jadi kabur.

Kita tidak faham kenapa ada suara-suara sumbang bagaikan pungguk angankan bulan itu, yang seperti tidak mengerti akan maksud dan tujuan RUU itu dibawa ke parlimen untuk dibahas kemudian diluluskan. Apakah ia menyakiti atau pun menyekat perkembangan aliran agama yang berbeza yang ada dalam negara ini. Antara lain intipati RUU itu ialah untuk mensyaratkan pelantikan Mufti dalam Wilayah-Wilayah Persekutuan hendaklah mereka berpegang kepada ahli sunnah wal jemaah "akidah al-Asyairah dan al-Maturidiyah".

Bukankah menurut menteri Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar bahawa RUU itu digubal untuk memartabat dan memperkasakan martabat agama Islam di negara ini.

Yang jelasnya penggubal RUU Mufti itu bukan dibuat secara tergesa-gesa atau tanpa mengambil kira pandangan pihak-pihak lain, jauh sekali bersifat keakuan dan pandangan peribadi baik Mufti Wilayah Persekutan dan sebagainya.

Proses penggubalan RUU melalui tatakerja panjang dan penuh tertib ilmu dan adat setelah terbentuknya suatu Jawatankuasa Penggubalan RUU Mufti yang telah ditubuhkan tahun 2021. Seperti mana dihuraikan tujuan Jawatankuasa itu jelas bertujuan mengkaji dan menggubal satu akta khusus untuk Mufti Wilayah-Wilayah Persekutuan dimana Jawatankuasa itu turut dianggotai oleh wakil Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Jakim, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kehakiman Malaysia, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Jabatan Mufti Selangor.

Ertinya ada tujuh institusi atau badan terbabit dalam penggubalan RUU itu bukannya dibuat secara bersendirian berhad, dan ia dibawa untuk bacaan pertama, kedua dan ketiga adalah dengan perkenan Yang diPertuan Agong dan pengetahuan Majlis Raja-Raja. 

Komposisi berbagai pihak dalam jawatankuasa penggubal itu menunjukkan RUU itu digubal dengan kerjasama berbagai pihak dan bukan sepihak sahaja seperti tohmahan sesetengah individu yang cemburu. Menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO) penggubalan RUU Mufti itu juga melalui proses yang teliti dan panjang, bagi memastikan RUU yang komprehensif selaras dengan perlembagaan negara.

Justeru adalah sesuatu yang malang kalau ada pihak atau indvidu yang mempertikaikan RUU berkenaan apa lagi kalau ia sengaja ditimbulkan kerana perbezaan aliran dan fahaman agama tertentu yang boleh dilendikkan.

Berbicara tentang RUU ini lebih mendukacitakan lagi apabila ada individu yang dianggap faqih dalam agama mencabar dengan meminta media massa memberi ruang kepadanya untuk berdebat dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Mohd Na'im bagi menguji sejauh mana ketinggian ilmunya.

Lebih mengejutkan lagi individu itu juga menyifatkan RUU Mufti itu sebagai cuba membawa negara  ini ke kancah kafir mengkafir dan sesat menyesat serta menyifatkan langkah itu sebagai kontras dengan Madani.

Tanggapan dan sikap individu demikian jelas tidak mencerminkan saksyiah seorang ulama atau agamaan yang zuhud dan bersifat tasamuh dengan ilmunya dimana ia seolah-olah mahu mendabik dada kononnya dia memiliki ilmu yang tinggi dan luas, dan menjadikan ilmunya sebagai pedang untuk memancung leher orang lain.

Adalah diharap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Mohd Na'im tidak gentar dan merasa kecewa dengan aksi dan sikap demikian, jangan jadikan ia pelemah semangat. Sebaliknya beliau perlu menjadi semakin bersemangat dan yakin bahawa RUU itu kebaikan demi memeprkasakan Islam di negara ini. Manakala tindakan yang diambil itu sebagai tanggungjawab dan amanah selaku menteri dipikulnya. Kejayaan RUU itu diluluskan nanti di parlimen merupakan kejayaan manis peribadi buat Senator tersebut.

Umat Islam yang cintakan damai dan ingin melihat martabat Islam berada dimakamnya dalam negara ini perlu mengangkat tabik dua belah tangan kepada Dr Mohd Na'im dan seluruh teamnya atas iltizam dan kebertanggungjawaban mereka semua. Tidak sia-sia Perdana Menteri mendapat seorang menteri agama seperti Dr Mohd Na'im.  [wm.kl. 8:07pm 15/10/24]


Friday, October 4, 2024

Penganugerahan SPMK membawa signifikan tersendiri

PENGAMATAN

Anwar menerima anugerah darjah SPMK
daripada Sultan Muhammad V.
SEMPENA hari keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, yang ke 55 pada hujung bulan lalu, Tuanku Sultan Muhammad V telah berkenan  menganugerahkan Darjah Kebesaran Ahli Kehormat Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SPMK) kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Anugerah itu merupakan darjah tertinggi dalam hierarki kedudukan darjah-darjah kebesaran dianugerahkan oleh Sultan Kelantan.

Penganugerahan itu tentulah ada sebab-sebab dan pertimbangan wajar sekali. Bukan kaling-kaling penerima darjah tersebut yang penganugerahan sangat terhad. 

Apabila baginda Sultan Muhammad V berkenan menganugerahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tentu ia memberi singnifikan tersendiri dengan pertimbangan tepat. 

Anwar menerima anugerah itu dalam satu adat istiadat khas yang berlangsung istana negeri  di Kubang Kerian tanggal 1 Oktober apabila pada hari penganugerahan dan penyampaian darjah kebesaran dan pingat berlangsung di Balai Besar beliau berhalangan datang kerana menjalankan kerja dan tugasan di Bumi Kenyalang. 

Ikut sama bersama Anwar menerima anugerah itu, isterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail. 

Sebenarnya hubungan dan kemesraaan di antara Anwar suami isteri dengan Sultan Muhammad V bukan baru dan pelik. Mereka sangat intim dan saling menghormati di antara satu sama lain.

Suatu chemistry mereka berdua yang tidak akan dilupakan dan dikenang oleh seluruh rakyat nagera ini, apabila Anwar diberi pengampunan penuh oleh Sultan Muhammad V tanggal 16 Mei 2018 sewaktu baginda menjadi Yang diPertuan Agong ke 15.

Dari sisi lain Sultan Muhammad V menghormati dan mengasihi kepada perdana menteri ke 10.

Disini apa yang boleh ditafsir dan dipelajari, akan kemurahan dan keramahan baginda Sultan Muhammad ke-V dengan perdana menteri ke 10. 

Boleh ditafsirkan anugerah dan darjah kebesaran itu sebagai pengikhtirafan Sultan Muhammad V terhadap Anwar sebagai perdana menteri.  

Dan sudah tentu dengan anugerah itu baginda memberi "isyarat perintah" agar hubungan di antara kerajaan Kelantan dengan Persekutuan menerusi semangat federalisme diperkukuhkan, berjalan dengan baik demi memberi erti besar kepada negeri Kelantan.

Justeru anugerah darjah tertinggi itu boleh dianggap sebagai satu isyarat kerjasama dan persefahaman tinggi di antara kerajaan Kelantan yang dinaungi baginda dengan kerajaan Persekutuan. Keadaan dan realiti ini sudah pun berlaku apabila Anwar Ibrahim selaku perdana menteri tidak mengasingkan Kelantan, bahkan memberi peruntukan bagi Kelantan tertinggi berbanding dengan peruntukan yang diumumkan perdana menteri sebelum ini.

Sultan Muhammad dan Anwar menandah 
doa untuk kesejahtraan bersama.
Seharusnya suasana ini difahami dan dihormati oleh kerajaan negeri walaupun berbeza dari segi fahaman politik kepartian dengan  kerajaan Persekutuan. Bahawa perbezaan kerajaan di antara Kelantan dengan Persekutuan bukan menjadi penghalang untuk kemajuan Kelantan sama seperti negeri-negeri lain yang berada dalam Malaysia.

Politik dendam mendendami, diskriminasi dan mencabuli semangat federalisme yang pernah diamalkan beberapa PM sebelum ini terhadap Kelantan kerana terlampau berpolitiking, tidak akan berulang di era Anwar. Dengan apa yang berlaku semua harus faham dan insaf serta mengambil kesempatan untuk mengeratkan lagi hubungan Persekutuan dengan negeri disamping membawa politik dimensi baru.

Maka sebaik-baiknya, kerajaan Pas Kelantan tanpa mengambil kira sentimen dan mendengar jerit pekik dan maki hamun sesetengah individu dalam Pas termasuk beberapa orang ahli Parlimen yang dangkal dan cetek ilmu siasah, untuk menjalinkan hubungan mahhabah dan persefahaman politik dengan kerajaan Persekutuan.

Menteri Besar Kelantan Nassaruddin Daud sewajarnya menjadi pelopor kepada politik baru ini dengan mengambil semangat penganugerahan darjah kebesaran kepada perdana menteri itu.

Penganugerahan darjah tertinggi oleh Sultan Muhammad V kepada Perdana Menteri itu, selain ia adalah suatu penghormatan khusus, ia juga menjadi simbolik dan keazaman Sultan Muhammad V untuk memaju dan membawa Kelantan setanding dengan negeri-negeri lain. [wm.kl. 8:48 04/102024] Foto: Dari Facebook Anwar Ibrahm.



Tuesday, October 1, 2024

Teladani Dr Na'im yang humble..

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar bukan orang politik dan beliau tidak menyertai atau menjadi ahli mana-mana parti politik. Beliau seorang no partisan.

Untuk membawanya masuk ke dalam kabinet, beliau dilantik sebagai Senator tahun 2022. Dr Na'im adalah antara teknokrat yang dibawa oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membantu kerajaan Madani. 

Pelantikan beliau berdasar professional dimilikinya selaku seorang pengamal undang-undang dan juga tokoh agamawan kentemporari.

Sebelum ini beliau adalah Ketua Hakim Syarie, penjawat tertinggi dalam Jabatan Kehakiman Syarie dalam negara ini.

Pemilihan Dr Na'im suatu pemilihan yang tepat dalam usaha merealisasikan cita-cita dan aspirasi Perdana Menteri Anwar Ibrahim mewujudkan sebuah pemerintahan Madani yang mementingkan tatakelola yang tinggi. Dengan iktisad dimilik Dr Na'im perdana menteri percaya beliau dapat berkhdimat dan membantu kerajaan.

Kerana beliau bukan ahli politik, maka beliau tidak perlu beraksi seperti politis yang perlu menampilkan diri sebagai humble, prihatin rakyat dan juga mahukan populis sebagai modal politik. Hal-hal sebegitu tidak ada kepada anak jati kelahiran Kampung Baru Kuala Lumpur ini. Apa yang terserlah adalah originalitinya sebagai hamba Allah.

Cikgu Besar Sek Telekong Ariffin
tidak terkata begitu melihat ketibaan Dr Na'im.
Sepanjang pemerhatian saya di beberapa majlis dihadirinya, apa yang terserlah itu merupakan sifat semulajadi kesahsiahannya, bukan dibuat-buat seperti mana kebanyakan orang politik suka "melakon layarkan" diri seperti mengasihi kanak-kanak, prihatin kepada golongan asnaf, merendah diri dan bersikap tawaduk dengan jawatan.

Situasi ini saya temui setelah beberapa kali hadir ke majlis membabitnya di sekitar Kuala Lumpur. Pertama kali saya menyaksikan wajah dan cara penampilan Mentega ini dari dekat ketika beliau turun menyatuni golongan gelandangan di Lembah Pengharapan Kuala Lumpur sempena hari raya Aidifitri lampau. 

Beliau sedia datang walaupun hari sudah jauh malam seusai majlis dengan PM di Putrajaya dan sanggup pula berjalanan mendenai lorong-lorong hanyir dalam hujan rintik-rintik. Paling merujakan isterinya Datin Roslini Raja Haji Ismail juga ikut sama.

Kehambaan Dr Na'im terpamer apabila beliau benar-benar menjadikan jawatan itu sebagai amanah yang disangkutkan ke atas dirinya, dan bukan eksesori diri untuk dimegahi. Jawatan itu bukan sesuatu yang dibangga-banggakan. Perdana Menteri Anwar Ibrahim bertuah mendapat seorang jemaah menteri sepertinya.

Mungkin pengalaman politiknya sedikit, tetapi Dr Na'im tahu menempatkan dirinya sebagai jemaah menteri dan memenuhi kehendak dan aspirasi perdana menteri. Beliau mendasar harapan dan iltizam perdana menteri. Baginya memenuhi impian perdana menteri lebih auliyat daripada dia bergaya dengan jawatan itu.

Barang kali tidak salah kalau dikatakan sikap humble, keprihatinan dan kebertanggungjawab Dr Na'im dalam melaksanakan amanah sebagai menteri kabinet patut dicontohi oleh mereka yang lain, khasnya yang berada dalam kloni politik dan bercita-cita untuk jadi menteri dan sebagainya. Orang-orang muda khususnya yang baru merasai jawatan, berglamour dengannya sangat wajar mencontohi dan mengambil Dr Na'im sebagai suri teladan. Melihat kepada PRnya dengan orang ramai, ramah, mudah mesra ia cukup menarik dan tidak pelik kalau beliau disenangi.
Dr Na'im digendung dengan motorsikal.

Misalnya setiap kali menghadiri majlis beliau akan bersalaman dengan hadiran satu persatu. Beliau tidak menanti untuk orang ramai datang ke arahnya untuk bersalam, sebaliknya beliau akan berjalan mendekati khalayak. Keadaan ini sama dengan apa dilakukan Anwar selama ini sangat menghormati hadirin yang kadang-kadang menjadi musuhnya berbulu dengan ramah tamahnya itu. 

Begitu juga misalnya untuk memenuhi undangan, beliau tidak memilih bulu. Sebagai menteri yang senantiasa sibuk, beliau boleh saja skip atau mengelak tidak hadir pada majlis-majlis "kampungan", namun tidak baginya, beliau akan cuba memenuhinya seberapa yang boleh.

Sebagai contoh, jemputan untuk menjenguk sebuah rumah amal yang menempat anak-anak yatim dan golongan asnaf di Lembah Keramat suatu hari, apabila tidak kesempatan waktu siang, beliau mencuri masa untuk datang waktu malam. Beliau akan berusaha juga memenuhi jemputan dan untuk menejenguk sendiri masalah anak-anak yatim. Melihat sendiri dengan mata kepala segala pemasalahan yang ada. Baginya melawat anak-anak yatim diutamakan berbanding majlis-majlis lain bersifat kayangan dan penuh glamour.

Apa yang menariknya setiap kunjungannya tidak dengan tangan kosong. Ada-ada sahaja sumbangan yang dibawa sebagai buah tangan atau cenderamata, atau bantuan disampaikan kepada mereka disantuni itu.

Dua hari lepas beliau ke Kelantan, untuk menghadiri beberapa majlis Santuni Madani yang diaturkan di sana. Antaranya ke Sekolah Kebangsaan Telkong Kuala Krai. Disekolah itu beliau beramah mesra dengan 431 orang murid dalam program motivasi bersama Mentega. 

Di majlis itu beliau menyampaikan beg sekolah yang disumbangkan oleh sebuah Ngo PEKERTI kepada semua murid dan turut memberi sumbangan sebanyak RM20,000 bagi menyiapkan pembinaan surau di sekolah berkenaan.

Kesudian beliau hadir ke sekolah itu sangat bererti, bukan kerana sumbangan disampaikan, tetapi Dr Na'im merupakan menteri pertama yang menjejaki kaki ke sekolah berkenaan yang merupakan sekolah tertua di Kuala Krai. Setelah lebih 79 tahun sekolah itu wujud, itulah buat pertama kalinya seorang berstatus menteri jejak kaki ke sekolah berkenaan, bahkan tiada seorang pun Menteri dan Timbalan Menteri Pendidikan menjejak kaki ke sekolah tersebut.

Sebahagian warga Telekong yang
hadir di majlis Sanutni Madani.
Betapa kehadiran Dr Na'im sangat bererti buat warga sekolah berkenaan, pasti ianya akan menjadi suntikan semangat dan kehadiran itu sebagai azimat buat warga sekolah khasnya murid-murid untuk berusaha mencapai kejayaan hidup. Ia pasti akan menjadi kenangan terindah disepanjang zaman.

Bukan itu sahaja kunjungan Dr Na'im ke Telekong turut sama dihargai masyarakat Telekong selurunya, juga yang ikut mendapat manfaat lebih bermakna lagi apabila Dr Na'im mengumumkan peruntukan sebanyak RM1.2 juta daripada Yayasan Taqwa bagi menyiapkan masjid baru Telekong.

Pengumuman itu mengejutkan penduduk Telekong kerana ia diluar jangka dan tidak pernah menduganya. Itulah Dr Na'im, setelah ia menyedari sebuah masjid dalam pembinaan yang memerlukan kewangan untuk menyiapkannya, beliau bermurah hati untuk menyalurkan sumbangan sebanyak itu demi menyegerakan pembinaan masjid berkenaan bagi kemudahan ummah.

Dr Na'im menyampaikan 
surat penghargaan kepada 
Dr Basit.
Pembinaan masjid baru itu sebagai mengganti masjid Telekong yang sedia ada yang sudah tidak dapat menampung jemaah yang kian bertambah. Individu yang memulakan usaha membina masjid tersebut dan berusaha mendapatkan bantuan adalah Dr Basit Abdul Rahman yang juga merupakan Mudir Pondok Sungai Durian.

Sebagai mengharga jasa usaha Dr Basit, pada hari itu Dr Na'im menyampaikan watikah anugerah kepadanya.  

Kunjungan separuh hari Dr Na'im ke Telekong benar-benar membawa erti kepada penduduk kampung berkenaan dan ia akan menjadi kenangan indah buat seluruh penduduk Telekong kerana kunjungan Menteri Agama kerajaan Madani itu mencatat sejarah menteri pertama menjejaki ke kampung mereka. Dan sikap mahhabah masyarakat Telekong menyambut Mentega hendaklah diteladani penduduk lain. [wm.kl. 7:03 am 01/10/2024]