Tuesday, October 15, 2024

Dr Na'im tidak perlu lemah semangat..

SUSUPAN MALAM

Dr Mohd Na'im
PEMBENTANGAN untuk bacaan kedua dan ketiga RUU Mufti Wilayah-Wilayah Persekutuan 2024 yang dikenali dengan RUU Mufti antara perkara menjadi tumpuan di sepanjang sessi parlimen kali ini yang telah bermula semalam (Isnin), disamping pembentangan Badjet 2025 oleh Menteri Kewangan yang juga PM, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Jumaat nanti. 

Pembentangan RUU Mufti oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar juga menjadi tumpuan dan memberi signifikan tersendiri kepada sidang parlimen kali ini. 

RUU Mufti ini menimbulkan sedikit polemik ada suara-suara sumbang bernuansa cemburu dan irihati terhadap RUU Mufti berkenaan. Suara-suara sumbang buluh pecah itu dan rasa tidak puas hati tanpa berpijak dibumi nyata itu, sedikit sebanyak menganggu pembentangan RUU berkenaan, dan boleh menerbitkan rasa malu pula kepada orang bukan Islam. 

Situasi ini mendukacitanya, kerana sepatutnya semua pihak sepakat dan berbangga dengan apa dimaksudkan oleh RUU Mufti itu yang bertujuan untuk memartabat dan memperkasakan Institusi Mufti di Wilayah-Wilayah Persekutuan, dimana menerusi pemerkasaan ini bidang kefatwaan dan pembangunan hukum syarak akan dapat ditadbir secara teratur, telus dan berwibawa ke arah meningkat keberkesanan tadbir urus pentadbiran Islam di Malaysia. 

Pihak Jakim bertanggungjawab dalam penggubalan RUU itu yakin dengan RUU itu adalah cara terbaik dalam aspek kefatwaan dan pembangunan Hukum Syarak akan dapat ditadbirkan secara teratur, serta berwibawa ke arah meningkatkan lagi keberkesanan tadbir urus Islam di negara ini. Kita sepatutnya senada dan sepakat, bukan berbeza pandangan kerana kepentingan lain.

Tanggapan negatif mengatakan RUU Mufti itu sebagai merampas hak beragama dan pihak berkuasa lain, adalah meleset dan mengecewakan sekali, kerana ia dibuat tanpa memahami maksud dan tujuan RUU itu diperkenalkan. Mereka beranggap demikian tidak berpijak dibumi nyata dan mata tertutup dengan nur adden sebenar. Kalau baca kitab muka suratnya diletak dekat sangat dengan mata, huruf-hurufnya akan jadi kabur.

Kita tidak faham kenapa ada suara-suara sumbang bagaikan pungguk angankan bulan itu, yang seperti tidak mengerti akan maksud dan tujuan RUU itu dibawa ke parlimen untuk dibahas kemudian diluluskan. Apakah ia menyakiti atau pun menyekat perkembangan aliran agama yang berbeza yang ada dalam negara ini. Antara lain intipati RUU itu ialah untuk mensyaratkan pelantikan Mufti dalam Wilayah-Wilayah Persekutuan hendaklah mereka berpegang kepada ahli sunnah wal jemaah "akidah al-Asyairah dan al-Maturidiyah".

Bukankah menurut menteri Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar bahawa RUU itu digubal untuk memartabat dan memperkasakan martabat agama Islam di negara ini.

Yang jelasnya penggubal RUU Mufti itu bukan dibuat secara tergesa-gesa atau tanpa mengambil kira pandangan pihak-pihak lain, jauh sekali bersifat keakuan dan pandangan peribadi baik Mufti Wilayah Persekutan dan sebagainya.

Proses penggubalan RUU melalui tatakerja panjang dan penuh tertib ilmu dan adat setelah terbentuknya suatu Jawatankuasa Penggubalan RUU Mufti yang telah ditubuhkan tahun 2021. Seperti mana dihuraikan tujuan Jawatankuasa itu jelas bertujuan mengkaji dan menggubal satu akta khusus untuk Mufti Wilayah-Wilayah Persekutuan dimana Jawatankuasa itu turut dianggotai oleh wakil Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Jakim, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kehakiman Malaysia, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Jabatan Mufti Selangor.

Ertinya ada tujuh institusi atau badan terbabit dalam penggubalan RUU itu bukannya dibuat secara bersendirian berhad, dan ia dibawa untuk bacaan pertama, kedua dan ketiga adalah dengan perkenan Yang diPertuan Agong dan pengetahuan Majlis Raja-Raja. 

Komposisi berbagai pihak dalam jawatankuasa penggubal itu menunjukkan RUU itu digubal dengan kerjasama berbagai pihak dan bukan sepihak sahaja seperti tohmahan sesetengah individu yang cemburu. Menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO) penggubalan RUU Mufti itu juga melalui proses yang teliti dan panjang, bagi memastikan RUU yang komprehensif selaras dengan perlembagaan negara.

Justeru adalah sesuatu yang malang kalau ada pihak atau indvidu yang mempertikaikan RUU berkenaan apa lagi kalau ia sengaja ditimbulkan kerana perbezaan aliran dan fahaman agama tertentu yang boleh dilendikkan.

Berbicara tentang RUU ini lebih mendukacitakan lagi apabila ada individu yang dianggap faqih dalam agama mencabar dengan meminta media massa memberi ruang kepadanya untuk berdebat dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Mohd Na'im bagi menguji sejauh mana ketinggian ilmunya.

Lebih mengejutkan lagi individu itu juga menyifatkan RUU Mufti itu sebagai cuba membawa negara  ini ke kancah kafir mengkafir dan sesat menyesat serta menyifatkan langkah itu sebagai kontras dengan Madani.

Tanggapan dan sikap individu demikian jelas tidak mencerminkan saksyiah seorang ulama atau agamaan yang zuhud dan bersifat tasamuh dengan ilmunya dimana ia seolah-olah mahu mendabik dada kononnya dia memiliki ilmu yang tinggi dan luas, dan menjadikan ilmunya sebagai pedang untuk memancung leher orang lain.

Adalah diharap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Mohd Na'im tidak gentar dan merasa kecewa dengan aksi dan sikap demikian, jangan jadikan ia pelemah semangat. Sebaliknya beliau perlu menjadi semakin bersemangat dan yakin bahawa RUU itu kebaikan demi memeprkasakan Islam di negara ini. Manakala tindakan yang diambil itu sebagai tanggungjawab dan amanah selaku menteri dipikulnya. Kejayaan RUU itu diluluskan nanti di parlimen merupakan kejayaan manis peribadi buat Senator tersebut.

Umat Islam yang cintakan damai dan ingin melihat martabat Islam berada dimakamnya dalam negara ini perlu mengangkat tabik dua belah tangan kepada Dr Mohd Na'im dan seluruh teamnya atas iltizam dan kebertanggungjawaban mereka semua. Tidak sia-sia Perdana Menteri mendapat seorang menteri agama seperti Dr Mohd Na'im.  [wm.kl. 8:07pm 15/10/24]


2 comments:

Anonymous said...

Sabar dulu. Dengar juga Komen Mufti Perlis. Perlis tidak subscribe kepada fahaman As Syairah Maturidiah.

Apa jadi apabila agong dari Perlis

Anonymous said...

RUU NI NK SESATKN UMAT ISLAM KEšŸ¤£