Saturday, December 30, 2017

Syarat dikenakan kepada Dr Mahathir perlu dimansuhkan

PANDANGAN MALAM

Jumpa dengan Anwar suatu pengorbanan besar Dr Mahathir.
Langkah Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengenakan syarat kepada Dr Mahathir Mohamad untuk menjadi perdana menteri dilihat sebagai lelucon dan dalam masa sama menggambarkan syarat itu dikemukakan mereka yang tidak begitu mantap dan geliga akal politiknya.

Dari satu segi pula syarat itu semacam mahu sengaja menimbulkan keributan dalam Pakatan Harapan menjelang pilihan raya. Keraguan kepada Dr Mahathir memancarkan busuk hati mereka yang mempunyai idea berkenaan. Jauh dari itu mereka yang tidak bijaksana dalam berpolitik serta mempunyai layer politik selepas.

Monday, December 25, 2017

Siapa tokoh pilihan saya untuk jadi perdana menteri?

PANDANGAN 

Siapa yang akan jadi Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan (PH) menang terus menjadi polemik. Melainkan DAP, ketiga-tiga parti komponen PH telah mengangan-angankan pemimpin mereka sebagai PM. PKR terus mahu Anwar Ibrahim sebagai PM, menakala PBBM pula mahu menobatkan Dr Mahathir Mohamad sebagai PM sekali lagi. Itulah nama tunggal bagi kedua-dua parti itu di samping ada nama penduanya.

Saturday, December 23, 2017

Himpunan solidariti Palestin: Kenapa Hadi tidak hadir?

MENAKSIR PERISTIWA

Najib dan Zahid kurang bersemangat. 
Himpunan solidariti menyelamatkan Palestin yang diadakan di perkarangan masjid Putrajaya semalam akan jadi selonggok lagi kenangan yang berlalu seperti himpunan-himpunan seumpamanya sebelum ini. Ia akan menjadi kenangan serta lambang kepada dunia yang rakyat negara ini juga peduli dengan permasalahan dan nasib bumi Palestin yang merana sudah setengah abad itu.

Thursday, December 21, 2017

Jangan politikan nasib rakyat Palestin...

MENCAMPAK RASA

Besok akan berlangsung himpunan solidariti untuk menyelamatkan Baitulmuqdis di Putrajaya. Media massa kerajaan memwara-warakan agar orang ramai hadir memberi sokongan. Majlis itu seperti digerakan sendiri oleh kerajaan. Sekali lagi Najib Razak akan berganding dengan Hadi Awang memberi pidato utama kemanusiaan Palestin dalam masa sama mengutuk Amerika Syarikat. Seberani manakah Najib mengecam US esok?

Himpunan esok juga merupakan sambungan kepada solidariti untuk Rohingya yang pernah diadakan sebelum ini. Seperti mana diketahui solidariti Rohingya tidak pun dapat mengatasi masalah yang ada sebaliknya himpunan di Taman Tasik Titiwangsa tempoh hari lebih untuk mengutip laba politik oleh Najib dan UBN. Setidak-tidak himpunan Rohingya itu Umno berjaya menyandingkan Hadi Awang dengan Najib.

Saturday, December 16, 2017

Kementerian patut ringankan beban bukan tambah beban

SUSUPAN SORE


Kejadian jemaah tidur di lobby hotel disebabkan
ketiadaan bilik gara-gara travel agen biasa berlaku.
Pelaksanaan apa dinamakan sistem Pemantauan Manasik Bersepadu (IMAMS) yang akan mengendalikan urusan pengeluaran visa umrah dan ziarah di negara ini telah menimbulkan pro-kontra dan menjadi polemik di dalam media sosial. Menerusi sistem itu semua visa umrah dan ziarah akan diuruskan secara tunggal oleh badan berkenaan menerusi sistem itu.

Rasional yang diberikan oleh Kementerian Pelancongan (KPK) yang bertanggungjawab membenarkan sistem ini wujud, ialah untuk menambah-baikan urusan pengeluaran visa juga kebajikan jemaah mengerjakan umrah dan ziarah. Namun awal-awal sudah ada kecurigaan sejauh mana alasan dan hujah itu benar dan boleh dipercayai?

Thursday, December 14, 2017

Isu Bugis tidak ubah pendirian rakyat

ULAS ISU

Dr Mahathir dan Siti Hasmah serah darjah kebesaran.
Pertengkisan antara Dr Mahathir Mohamad dengan Sultan Selangor berkaitan isu Bugis bukan isu politik sebenar, bahkan isu itu meluas kerana salah anggap oleh satu pihak kepada satu pihak. Ia pula dilihat panas apabila dihangatkan dengan “heater” politik.

"Pemerangatan" isu itu menunjukkan ada pihak yang sudah kehabisan isu atau pun kebasian isu untuk dicampak kepada rakyat.

Isu itu tidak pun menjadi penentu masa depan negara apa lagi memberi impak sampai boleh mengubah minda rakyat yang sudah disetkan untuk menghadapi Piraum ke 14 nanti. Isu Bugis itu adalah isu tidur yang dipaksa jaga.

Selamat pulang dari mengerjakan umrah

Selama dua minggu saya tidak mengaktifkan blog ini disebabkan saya bermusafir mengerjakan umrah. Seperti biasa selama mendiami dua tanah haram saya cuba untuk tidak berfikir masalah rutin biasa di tanah air, dengan tidak melakukan apa-apa coretan. 

Pagi semalam, tepat pukul 6:30 pagi waktu Malaysia saya bersama rombongan selamat sampai ke tanah air. Perjalanan mengerjakan umrah kali ini sangat mencabar sekali, namun tetap bersyukur kerana akhirnya dapat pulang mengikut jadual dengan selamatnya. 

InsyaAlah suka duka dan kenangan umrah berkenaan akan saya kongsikan dalam blog ini untuk diambil tauladan oleh semua, khasnya mereka yang berhajat untuk mengerjakan umrah.  

Sehubungan itu tidak pernah terlupa terima kasih banyak kepada pihak yang membantu saya dan anggota di sepanjang musafir kali ini. [wm.kl.11:13 am 14/12/17] 

Thursday, November 30, 2017

Bila Tengku Razaleigh berubah sikap, wajar Pas juga mengubah haluan...

ULAS ISU

Kelihatan Najib bergerak untuk meninggalkan rumah
Tengku Razaleigh?
Mesyuarat badan perhubungan Umno Kelantan yang diadakan di Langgak Golf semalam memberi satu moment terbaik buat Umno negeri itu. Kunjungan para pemimpin Umno Kelantan kepada Tengku Razaleigh Hamzah perkara biasa, kerana menghormati beliau sebagai pemimpin veteran dan tokoh banyak jasa di Kelantan.

Tetapi apabila mesyuarat pun diadakan di rumah beliau apa lagi presiden Umno Najib Razak ikut sama hadir tentu ia istimewa.

Monday, November 27, 2017

Wujudkan akta halang gunakan agama untuk jadi alat politik

NOTA PETANG

Pandangan yang dilontarkan oleh Menteri Komunikasi dan Multi Media Salleh Said Kruak (foto) yang mengatakan sesetengah ahli politik menggunakan agama sebagai momokan politik tujuan menakut-nakut dan memecahkan rakyat adalah tepat.

Tegasnya juga tindakan itu boleh mengagalkan usaha pembentukan perpaduan rakyat.

Beliau juga mengatakan ahli politik bersikap begitu sebagai orang yang bankrup idea yang secara tidak langsung juga menjadi pemecah  perpaduan yang berselindung di sebalik doktrin agama.

Pas Kedah terus diserang "bena perang"

SESUDAH SUBUH

Amiruddin serah borang keahlian PPBM.
Berita besar dalam jelumu politik negara dan sedikit memeranjatkan semalam ialah tindakan Ketua Pembangkang Pas di DUN Kedah, Ir Amiruddin Hamzah yang keluar meninggalkan parti itu dan menyertai Parti Bersatu Pribumi Malaysia (PPBM).

Keterkejutan besar ialah bagi Pas, manakala terkejut kecil ialah bagi orang-orang Amanah. Penyertaan Amiruddin itu memberi pukulan buat Pas Kedah. Walaupun kata seorang pemimpin Pas Kedah tindakan Ir Amiruddin itu sudah dijangkakan kerana beliau sudah lama berada dalam majlis-majlis Pakatan Harapan tetapi ia tetap sesuatu mengejutkan.

Thursday, November 23, 2017

Ulasan ringkas sidang Dun Kelantan

ULASAN

Bermula awal tengah hari tadi hingga ke petang Dewan Undangan Negeri Kelantan mendengar penggulungan perbahasan ucapan Bajet 2018. Saya berkesempatan mengikutinya dari jauh penggulungan oleh beberapa Exco, TMB dan juga MB sendiri itu dari dalam kenderaan.

Tampaknya persidangan kali ini berjalan lancar dan tidak riuh randah seperti sebelum ini. Perbahasan dan penggulungan juga aman dan sedikit berisi. Apakah kerana disepanjang penggulungan itu, disebabkan kesemua 12 orang wakil BN dan wakil tunggal Amanah tidak ada dalam dewan? Jadi pencelahan dan gangguan-gangguan bertubi-tubi tidak berlaku maka keadaan ini memberikan peluang baik kepada wakil kerajaan menjawab dengan lenang?

Tuesday, November 21, 2017

Ketidaklulusan permohonan PH tanda Najib takut?

RESPONS

Najib Razak dan para pembantu serta panglimanya sering kali bermadah dengan penuh keberanian kononnya kerajaan pimpinannya masih diyakini rakyat. Pelbagai fakta mengenai kehebatan kerajaanya dikemukakan kepada umum, sampai setengahnya diulang baca berkali-kali.

Seorang pembaca berita di stesen televisyen memberi tahu dia sendiri sudah muak membaca skrip sama di depan tv berulang kali sehingga rasa mukanya dah kematu kerana dicemuhi oleh penonton. Tetapi katanya apakah daya kerana kerja, terpaksa juga menahan muka diludah orang di skrin tv.

Saturday, November 18, 2017

Syabas Anwar, Zahid dan Najib mengajar seni politik yang jilah

ULASAN PERISTIWA

Najib dan Zahid bersama isteri masing-masing menziarahi Anwar.
Kita senang dan gembira apabila perdana menteri Najib Razak bersama isteri Rosmah Mansor dan Zahid Hamidi bersama Hamidah Khamis datang menziarahi Anwar Ibrahim di hospital. Gambar kunjungan mereka tular di media sosial disaksikan puluh ribu pasang mata. Ramai orang seronok melihat gambar itu termasuk juga saya.

Friday, November 17, 2017

Wisma Tokguru jadi rebutan adik beradik

TAZKIRAH PAGI

Solat hajat di Wisma Tokguru. Foto: Hairie Harun.
Ahli dan penyokong Pas Kelantan semalam dan malam tadi bersorak dan bertakbir besar kerana meraikan kemenangan atas penolakan injuksi dibuat Husam Musa. Husam membuat injuksi terhadap orang bernama Yassin Yusuff daripada membawa Pas memasuki ke premis Wisma Tokguru di Salor.

Dua hari mahkamah mendengar perdebatan terhadap injuksi dibuat Husam itu dan semalam memutuskan bahawa injuksi itu ditolak, serentak itu membenarkan Pas memasuki premis berkenaan untuk melakukan upacara solat syukur dan hajat yang sudah dirancangkan sebelum ini. 

Tuesday, November 14, 2017

Wisma Tokguru, dendam Pas yang menguntungkan Amanah

DALAM "BEREKAN" HUJAN

Husam menasihat orang Amanah bertenang hadapi
kerenah Pas.
Tanggal 16 November, lusa adalah tarikh akhir yang ditetapkan oleh Pas Kelantan untuk memasuki Wisma Tokguru di Salor itu sebagai menandakan parti itu memiliki premis itu secara rasmi. Pada hari itu juga Pas akan mengadakan solat hajat dan syukur; dikerahkan para penyokongnya beramai-ramai. Khabarnya untuk menjayakan majlis itu dan bagi menarikan kehadiran disediakan makanan (upah) untuk 5,000 orang.

Ertinya Pas mensasarkan majlis itu nanti dihadiri 5,000 orang. 5,000 orang kalau mengikut kapasiti batalion dalam askar sebanyak lima batalion.

Sunday, November 12, 2017

Zahid gambarkan BN sangat terdesak di Penang

NOTA PETANG

Kesian Zahid Hamidi sampai terpaksa menggunakan ilmu "paranormal" dan hukum karma alam untuk mempengaruhi orang Cina di Pulau Pinang untuk membolehkan partinya BN merampas negeri itu apabila mengaitkan kejadian banjir kilat yang berlaku beberapa hari lalu sebagai petanda daripada Tuhan bahawa negeri itu akan dapat dirampas oleh BN.

Cara Zahid itu lebih kurang sahaja cara budak-budak parti agama (Pas) di negeri itu yang membuat andaian banjir yang berlaku di Pulau Pinang sebelum ini akan memberi kemenangan besar kepada parti itu.

Sampai ke situ sekali terdesaknya Zahid dan BN sampai terpaksa menggunakan hukum karma alam untuk menarik sokongan.

Thursday, November 9, 2017

Tidak perlu serah memorandum hina Bugis kepada Sultan

NOTA PETANG

Umno Selangor menghantar memorandum kepada Sultan negeri itu ekoran DUN Selangor enggan menerima usul berhubung cemuhan Dr Mahathir Mohamd kepada Najib yang dikaitkan dengan ethnik Bugis.

Jika difikir secara logik untuk apa Umno hantar memorandum kepada Sultan? Apakah perlu senda gurau hatta penghinaan dilakukan di pentas politik dibawa kepada Istana. Apakah Istana hendak dijadikan macam rumah Ketua Cawangan Umno menerima atau dibawa apa sahaja isu termasuk masalah longkang tersumbat, tikus mati untuk didengarnya. Begitukah?

Bagi saya yang tidak pernah berasa malu pun kalau orang mempertikaikan ethik saya yang mana ia hanya sebagai kulit sahaja, maka tindakan Umno itu tidak pun perlu. Katalah apa kepada kulit dimaafkan asalkan ia tidak menyentuh hati nurani dan maruah. Dan pihak Sultan juga tidak perlu bertindak jauh daripada hanya memberi ingatan lisan agar ia tidak diulangi lagi.

Bagi saya perbuatan Umno Selangor itu cuba mengheret Istana ke kanca politik untuk kepentingan Umno. Dan tindakan itu juga menggambarkan Umno Selangor makin dan makin terdesak, apa lagi setelah Azmin Ali umumkan tiga bulan bonos untuk kakitangan kerajaan Selangor. Sultan tentu lebih arif dan bijaksana melayani kerenah Umno itu.

Konotasi Dr Mahathir mengaitkan Najib sebagai Bugis itu samalah dengan persendaan Zahid kepada Mahathir sebagai Kutty. Sama. Malangnya kalau ada orang menyokong Dr Mahathir sama denganorang Umno itu kepada siapakah mereka hendak hantar memorandum membantahnya. Trims. [wm.kl.2:07 pm 09/11/17] Ubah suai dari Fb Mso.

Monday, November 6, 2017

PPWS maufakat demi keselamatan & kesejahtraan bersama

CATATAN SEKITAR

"United Siagans" bergambar sebelum mesyuarat.
Kesejahteraan hidup dalam sebuah taman perumahan di tengah-tengah ibukota kosmopolitan seperti Kuala Lumpur ini bergantung erat kepada kerjasama di kalangan penduduknya. Walaupun kerajaan atau pihak berkuasa (PBT) seperti DBKL, pasukan keselamatan (Polis)  bertanggungjawab dalam mengadakan prasarana dan mengawal keselamatan, namun nadi utama menjamin tercapainya matlamat bersama itu adalah para penduduknya.

Saturday, November 4, 2017

Pas Kelantan tunjuk berani di Salor dan Pasir Puteh

ULASAN PETANG

Para peniaga membantah perobohan pasar.
Ada dua isu yang heboh diperkatakan oleh orang ramai di Kelantan dewasa ini khasnya di kalangan pemain dan pemerhati politik di mana kedua-dua perkara atau isu itu tidak pun patut jadi isu panas.

Perkara itu ialah pembelian secara senyap tanah menempatkan Wisma Tokguru di Jalan Pendek, Salor dan kedua isu keengganan peniaga di pasar lama Pasir Puteh berpindah ke pasar baru, Siti Hajar.

Sunday, October 29, 2017

Dikeko membahayakan Pas Kelantan

Dikeko di Lakloh yang mendapat sambutan hangat.
SESUDAH SUBUH

Belum ada kajian secara imperikal dibuat menunjukkan apakah kerajaan Pas Kelantan tidak sedikit pun bimbang dengan kemunculan parti Parti Amanah Negara (Amanah) yang kini telah menyatukan diri dan membentuk kekuatan bersama tiga parti lain; PKR, DAP dan PPBM menerusi Pakatan Harapan.

Saturday, October 28, 2017

Untuk apa Najib puji Zahid?

NOTA PAGI

Di hujung pembentangan Bajet 2018 semalam Najib Razak mengalungkan karangan manik kepujian buat Zahid Hamidi. Katanya dia bertuah mempunyai Zahid dalam pasukannya, Zahid bukan sahaja seorang timbalan tetapi seorang sahabat.

Pujian itu tentu mengejutkan Zahid kerana itu beliau menyifatkan ia lebih baik daripada bajet. Zahid menerima ia adalah satu bonus bejat buatnya yang sama sekali tidak terfikir kerana kalau untuk meletakkan Zahid sebagai pemancu utama menyegarkan ekonomi negara bukan Zahid, tetapi orang lain. Misalnya Mustapa Mohamed salah seorang yang patut diangkat pujian oleh Najib.

Orang dengar Zahid menyatakan kegembiraaan, tetapi hakikatnya tidak begitu. Pujian itu menakut dan membimbangkan Zahid. Dengan memahami pujian dalam dunia politik adalah isyarat pembunuhan ia menakutkan Zahid. Pujian itu adalah untuk melenakan Zahid sebelum dihulur pisau pembunuhan oleh Najib.

Najib tidak akan membuat pujian sebegitu kalau bukan ada maksudnya. Demikian tempua tidak akan bersarang rendah kalau tidak ada mengada. Kucing juga tidak akan menjadi mangsa dengan kita, kalau kita tidak ada ikan tawar? Bajet untuk kementerian dipegang Zahid ternyata lebih rendah daripada bajet untuk seorang lagi Naib Presiden.

Untuk Zahid jangan terpesona dengan pujian itu kerana ia adalah isyarat yang berwarna hitam. [wm.kl.9:22 am 28/10/17]

Thursday, October 26, 2017

Menanti bajet Najib esok

ULASAN PETANG

Semua rakyat Malaysia yang "mukalaf", (baca yang tahu berfikir dan peka) kini sedang menunggu pembentangan Bajet 2018 oleh Najib Razak petang esok.

Dalam penantian itu semua orang berharap semoga bajet tahun depan akan memberi kebaikan dan keuntungan kepada diri masing-masing.

Diharap akan adalah baksi dan inisiatif diumumkan Najib nanti. Al maklumlah dewasa ini rakyat tertekan dengan bebanan kos sara hidup yang berat. Tekanan ini bukan lagi khayalan, tetapi suatu realiti. Semua barang naik mencanak, ikan kembung pun sudah mencecah RM20 sekilo. Ikan selayang yang dahulu sesuai untuk dijadikan makanan "tompok" kini dimakan sendiri oleh tuannya.

Monday, October 23, 2017

Pemuda Pas belajarlah berhemah seperti Tokguru Nik Aziz

SESUDAH SUBUH

Doa dibaca selepas berjaya pacak bendera.
Petang semalam segerombolan anak-anak muda parti Pas Kelantan telah "menyerang" kompleks Amanah yang terletak di Jalan Pendek Kota Bharu.

Tujuan mereka ialah untuk menaikkan bendera di sekitar bangunan berkenaan yang diistyharkan sebagai menjadi milik Pas. Tindakan itu sebagai simbolik mereka sudah berjaya merampas kubu Amanah.

Bangunan itu selama ini menjadi Pusat Khidmat Adun Pas kawasan Salor Husam Musa kemudian bertukar warna menjadi kompleks Amanah apabila Husam disingkir secara kejam daripada Pas.

Saturday, October 21, 2017

Keunikan konvensyen Amanah kali kedua di Alor Setar

ULASAN RINGKAS

Berpegang tangan tanda maufakat terikat.
Segmen ini kecil sahaja terutamanya di mata mereka yang cemburu dan tidak senang dengan kewujudan Parti Amanah Negara (Amanah). Ia mungkin dianggap sampah sahaja. Namun bagi mereka yang rasional dan suka melihat kelainan serta perubahan, konvensyen ke dua itu memberi signifikan dan makna yang besar.

Keunikan ini juga secara tidak langsung menyerlahkan keistimewaan yang ada kepada parti Islam progresif ini. Inilah bunga-bunga keindahan yang ada kepada parti satu ini.

Sunday, October 15, 2017

Himpunan Kleptokrasi kurang memberangsangkan

ULASAN LEWAT

Pemandangan dari satu sudut himpunan Kleptokrasi.
Boleh dikatakan ketiga gabungan politik terbesar negara ini sudah mengadakan himpunan bagi menunjukkan kekuatan (strength) masing-masing. Semalam bertempat di Padang Timur Petaling Jaya, Selangor giliran Pakatan Harapan (PH) berhimpun menunjukkan kekuatan.

Beberapa minggu sebelum ini Gagasan Sejahtera yang dikepalai parti agama telah selesai mengadakan himpunan Fastaqim di Terengganu.

Friday, October 13, 2017

Himpunan esok penting, ujian pertama bagi PH

NOTA PAGI

Esok akan berlangsung himpunan kemuncak "Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi" bertempat di Padang Utara, Petaling Jaya. Himpunan esok bolehlah dianggap sebagai himpunan untuk menunjukkan kekuatan dan ledakan semangat di kalangan parti pembangkang yang bergabung dalam Pakatan Harapan (PH).

Himpunan esok adalah pertama kali setelah wujud dengan rasminya PH menggantikan Pakatan Rakyat (PR). Sebelum ini jelajah kempen "Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi" sudah menjenguk ke seluruh negara. Seperti mana acara-acara himpunan anjuran Bersih sebelum ini, sebelum himpunan kemuncak diadakan, ia terlebih dahulu dibuat diperingkat daerah dan negeri.

Rakyat dan orang ramai sudah diajak untuk turun ke Ibu Kota esok untuk sama-sama menunjukkan semangat dan komitmen bagi mempertahankan negara yang kini dirintah oleh kerajaan Kleptokrasi, pimpinan Najib Razak. Apakah rakyat terpanggil dengan himpunan esok, atau rakyat sudah bosan dengan acara-acara seperti itu?

Thursday, October 5, 2017

Wajarkah Ahmad Yakob berada dalam majlis buka aurat?

ULAS ISU

Dua atau tiga minggu lepas saya rasa boleh bangga dengan tindakan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHAIK) yang telah mengeluarkan notis saman kepada seorang lelaki kerana berseluar pendek. Lelaki itu dicadangkan denda RM1,000 dan diminta menjalani kauseling wajib.

Ini sahih bukan budaya Melayu. pakai skirt. 
Walaupun tindakan itu dicemuhi oleh ramai orang kerana ia dianggap tindakan ekstrimis, tetapi secara peribadi saya bangga dengan tindakan tegas itu. Bagi saya apa yang berlaku itu, perwujudan peraturan itu adalah sebahagian keunikan dan keistimewaan negeri Kelantan.

Perobohan rumah di Subang airport ada unsur sabotaj kerajaan?

Keriuhan diupacara perobohan rumah di Subang Airport.
MENJOLOK MENTARI

Rata-rata pemain media sosial marah dengan apa yang berlaku di perkarangan masjid Subang Airport semalam, upacara perobohan dua buah rumah di perkarangan masjid itu yang dibangunkan atas tanah bukan hak milik sendiri oleh pihak berkuasa kerajaan Selangor.

Kejadian itu diterjemah dengan pelbagai rasa dan perasaan, dicelah-celahnya ada yang meletakkan kesalahan kepada kerajaan Selangor khasnya Menteri Besar Mohamed Azmin Ali.

Wednesday, October 4, 2017

Menafsir kenyataan Annuar Musa

SUSUPAN MALAM

Annuar Musa meramalkan akan ada titik pertemuan membawa kerjasama di antara Umno dengan Pas. Bagi mereka yang celit politik faham benar dengan kenyataan Annuar itu. Kenyataan itu memberi isyarat awal untuk tidak memeranjatkan penyokong bawahan Pas apabila kerjasama kedua parti itu terjalin nanti.

Kenyataan Annuar itu mengesahkan segala ramalan sebelum ini berlandaskan kepada pendekatan politik terkini dan cara Pas bermain mata dengan Umno, bahawa kedua parti itu ada niat untuk bersama, ijab kabul.

Justeru dengan penjelasan Annuar itu semua pihak kena faham. Ia bukan pandangan peribadi tetapi pandangan Ketua Penerangan Umno, di mana ia membawa pandangan parti. Ertinya Annuar sudah mendapat penjelasan terang daripada presiden parti Najib Razak mengenai kedudukan parti itu dengan Pas. Tugas Annuar membuat ranalan itu kepada umum agar ia tidak mengejutkan ahli bawahan Pas.

Monday, October 2, 2017

Syed Saddiq si Hang Nadim negara

SUSUPAN PETANG

Sidang akhbar Ketua Pemuda PBBM (Armada) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (foto) hari ini yang mendedahkan macam mana beliau disogok RM5 juta serta ancaman agar meninggalkan parti PPBM suatu peristiwa yang membanggakan kita.

Penolakan Syed Saddiq dengan sogokan itu serta tidak gentar dengan ancaman memberi tahu kepada kita bahawa masih ada anak muda berintegriti sepertinya.

Selain disogok wang Syed Saddiq juga mendedahkan ada ugutan oleh pihak tertentu untuk mendedahkan masalah peribadi keluarganya. Beliau mendakwakan perkara itu dilakukan oleh suatu konspirator bersistemetik.

Saturday, September 30, 2017

Pelancaran PH Johor dan Fastaqim di Terengganu

ULAS KEGIATAN

Sebahagian hadirin di pelancaran PH Johor.
Malam tadi dua acara politik berlangsung serentak. Satu di Pantai Timur di Terengganu, Fastaqim 2.0 anjuran Pas, manakala satu lagi di Selatan Johor, pelancaran rasmi Pakatan Harapan (PH) di Johor.

Kedua-dua acara itu membawa signifikan tersendiri. Di Teluk Jembal, Terengganu Pas mahu menunjukkan kekuatannya serta semangat menjelang Piraum ke-14 tidak lama lagi. Parti itu mahu menzahirkan kekuatan fizikal, kesepaduan ahli dan menggerak semangat istiqamah para ahlinya.

Thursday, September 28, 2017

Saman tidak tutup aurat - hormati hak Kelantan

ISI HATI

Notis (saman) yang dikemukakan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) terhadap beberapa orang Islam yang tidak berpakaian sopan termasuk berseluar pendek di tempat tidak sepatutnya telah menjadi isu dan perbualan hangat.

Tindakan itu cepat pula diambil sebagai isu politik di kalangan orang politik. Inilah kecekapan orang kita dalam berpolitik. Ia jadi macam ikan lapam bawah jamban, pantang nampak najis jatuh terus disambar. (Dulu jamban atau tandas dibuat di atas atau tepi sungai, bila berak saja tahi akan mengalir ke dalam sungai, dan ikan lapam yang sudah bergeliwatan terus menyambarnya).

Sepatutnya sebagai orang Islam kita semua berhati-hati dengan isu-isu berkaitan dengan Islam yang menyentuh maruah agama kita. Kita wajar membuat seleksi isu untuk dijadikan modal politik. Menjadi tanggungjawab semua umat Islam menjaga kesucian Islam, mengenai peraturan-peraturan yang ditetapkan demi menunjukkan syumulnya agama Islam. Ia juga perlu berwaspada menyentuh mengenainya untuk tidak menjatuhkan maruahnya. Jika pun tidak sedia untuk melaksanakannya jangan mengejek.

Tuesday, September 26, 2017

Pilihan raya akhir tahun ini?

SUSUPAN MALAM

Bila Piraum ke 14 akan diadakan. Bila Najib akan menghadap Yang Dipertua Agong memohon untuk membubarkan parlimen? Orang berteka teki mengenai tarikh pilihan raya umum ke 14. Mereka yang jeluak dengan Najib sudah tidak sabar lagi untuk memangkah. Dalam kepala masing-masing sudah buat ketetapan siapa atau simbol mana yang mereka ingin pangkah kali ini.

Dr Mahathir Mohamad meramalkan Najib tidak berani untuk mengadakan pilihan raya pada tahun ini. Alasannya kerana pengaruh BN menurun, sementara pengaruh PH semakin meningkat. Beliau lantas meramalkan Najib akan mengadakan pilihan raya pada tahun hadapan.

Apakah tahun depan kedudukan BN lebih baik daripada hari ini? Tidakkah kedudukan BN di masa mendatang menjadi tambah buruk lagi yang menyebabkan Najib perlu merampas keadaan yang baik ini demi penerusan kekuasaanya?

Sunday, September 24, 2017

BN Sarawak mulai menggeruni Dr Mahathir?

ISU

Kerajaan BN Sarawak pimpinan Abang Johari Openg meneruskan amalan kepimpinan sebelum ini mengharamkan pemimpin pembangkang dari memasuki negeri berkenaan. Terbaharu Adun Kuala Sepetang dari DAP, Chua Yee Ling diusir keluar dari negeri itu ketika wakil rakyat itu sedang menghadiri majlis malam malam di Miri.

Sebelum itu dua orang pemimpin pembangkang, Zuraidah Kamaruddin ahli parlimen Ampang yang juga Ketua Wanita Pakatan Harapan dilarang masuk ke Sarawak ketika sampai di lapangan terbang Kuching.

Begitu juga dengan Hee Leong Sean ahli parlimen Petaling Jaya Selatan turut sama di halang memasuki Sarawak.

Tuesday, September 19, 2017

Gagalnya "Projek Habiburahman" terima kasih Mat Taib

ANALISA

Sidang media yang tidak gembirakan Najib.
Wong masih bingung mengenai sidang ahkbar Najib Razak yang hanya mengumumkan kemasukan semula bekas ahli Umno Muhammad Mohd Taib (Mat Taib) ke dalam parti itu tanpa ada episod sampingan yang lebih dramatik. Wong musykil dan pelik kenapa kalau hanya itu tujuan Najib, tanpa ada perkara lain lebih menggemparkan.

Monday, September 18, 2017

Tuan Ibrahim dan Pas kena jawab 8 soalan Dr Mahathir

NADA SENJA

Kerana geram dengan kritikan dan sindiran Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyuruhnya mencerminkan diri, Dr Mahathir Mohamad telah mengemukakan lapan soalan "cepumas" untuk dijawab oleh timbalan presiden Pas itu. Lapan soalan itu ialah;

1. Apakah Tuan Ibrahim percaya bahawa sesiapa yang tidak menyertai PAS tidak Islam?
2. Apakah orang Melayu kafir sebelum adanya PAS?
3. Apakah ibu bapa orang PAS kafir kerana dilahir sebelum adanya PAS?
4. Apakah PAS tidak kafir apabila bekerjasama politik dengan DAP?
5. Mengikut PAS, Umno kafir. Jika PAS bekerjasama dengan Umno apakah PAS menjadi kafir?
6. Amanat Hadi dakwa pemerintah Malaysia kafir dan melawan dengannya adalah jihad, dan kematian dalam perlawanan ini menjadikan si mati syahid. Apakah Tuan Ibrahim terima dakwaan dalam amanat Hadi?
7. Jika pemerintahan yang didirikan oleh Umno dahulu kafir, apakah pegawai-pegawainya, termasuk mufti dan orang-orang yang dipimpin dan dinasihat oleh mereka kafir?
8. Apakah Tuan Ibrahim percaya 14 pengikut Ibrahim Libya mati syahid dah empat orang polis mati sebagai orang kafir yang bekerja dengan kerajaan kafir?

Sunday, September 17, 2017

Pengembalian Muhammad ke dalam Umno: Hanya mengarakkan kiambang ke tepian

ULASAN

Seluruh pemimpin Umno mengalu-alukan Muhammad.
Kalau kelmarin dan semalam warga negara ini marah-marah dan kesal dengan kejadian menimpa Maahad Tahfiz Ittifaqiyah yang terbakar menyebabkan 21 pelajar maut, hari ini giliran warga politik pula marah-marah dan kesal dengan peristiwa hari ini; pengumuman kemasukan semula Muhammad Mohd Taib ke dalam Umno oleh Najib Razak.

Friday, September 15, 2017

Musibah yang berlaku kerana kealpaan diri kita sendiri

ULASAN 

Topik yang mewarna dan meriuhkan media sosial dan juga media arus perdana waktu ini ialah mengenai tragedi menimpa Pusat Tahfiz Darul Quran Ittiqayyiah di Keramat Hujung semalam. Dalam kejadian itu seramai 23 orang pelajar dilaporkan terkorban. Sehingga catatan ini dibuat pengesahan mayat-mayat yang hangus dan rentung masih belum dikenal pasti.


Kepimpinan Pakatan Harapan Kelantan dibentuk

ULASAN

Pengumuman pembentukan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) Kelantan hari ini memberi gambaran bahawa PH Kelantan padu dan sudah siap siaga untuk menghadapi pilihan raya akan datang tanpa mempedulikan acohan daripada Pas. Pengumuman barisan kepimpinan PH Kelantan diumumkan oleh Pengerusinya, Husam Musa, selepas mengadakan mesyuarat khas petang tadi.

Mohd Sobre Shafei
Abd Aziz Kadir
Kesemua pengerusi parti gabungan dalam PH hadir, ini menolak spekulasi mengatakan ada pemimpin kemungkinan menguzurkan diri menghadir mesyuarat berkenaan kerana sebab-sebab personal.

Kesemua pengerusi empat buah parti hadir, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah (Amanah), Abd Aziz Kadir (Keadilan), Kamaruddin Md Noor (PPBM) dan Chua Chin Shui (DAP).

Thursday, September 14, 2017

Menjejaki bumi Khurasan, Uzbekistan selepas 24 tahun..

CATATAN MUSAFIR
(Muqadimah)

Bergambar kenangan di kompleks makam Imam Bukhari.
Alhamdulilah petang semalam saya bersama enam rombongan sahabat telah selamat tiba ke tanah air dari bermusafir selama lapan hari ke Uzbekistan, dari 6hb hingga 13hb September.

Selama enam hari kami disana dipenuhi dengan lawatan dan kunjungan ketat ke beberapa kawasan terpilih. Untuk meratai seluruh Uzbekistan mencatat segala-gala mengenainya memerlukan masa panjang, tidak mungkin dalam tempoh terhad."

Wednesday, September 6, 2017

Lagu itu akan kunyanyikan di sepanjang hidup ini...

BELASUNGKAWA

Memeluk jenazah Rusmini untuk ke liang lahad. 
Salam, hari-hari tasyrid sudah pun berlalu. Apatah lagi Aidiadha lebih awal mendahuluinya. Hari-hari disunatkan untuk melakukan korban juga sudah pun berakhir. Manakala para tetamu Allah tahun ini sudah pun bersiap sedia untuk pulang ke tanah air masing-masing. Semoga semuanya pulang membawa haji mabrur.

Saya percaya semua daripada kita bergembira dan bersyukur kerana dapat menyambut raya Haji kemudian melakukan korban mengikut kemampuan masing-masing.

Tuesday, August 29, 2017

Pendirian Majlis Presiden selamatkan Azmin dan Rafizi

KENYATAAN

Kenyataan dua perenggan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang dikeluarkan semalam sungguh bermakna sekali. Kenyataan itu menamatkan kemelut dan polimek dalam PH gara-gara sikap Timbalan Presiden Keadilan Azmin Ali yang tidak sejalur dengan aspirasi majlis presiden dan majoriti ahli parti PH.

Azmin sebelum ini cuba menyihirkan PH dengan mengemukakan agenda peribadi beliau untuk terus berusaha untuk membawa PAS. Walaupun usaha Azmin itu dilihat sebagai politik tahap tinggi, namun maknawinya ia lebih kepada kepentingan dirinya di Selangor dapat dihidu oleh khalayak politik.

Monday, August 28, 2017

PKR celaru kerana amal politik munafik

PADANGAN SUBUH

Anwar perlu bendung politik munafik dalam PKR
Rakyat yang benci dan muak dengan kerenah Najib Razak dan kesal dengan kezaliman polisi dan dasar pemerintahannya yang menyeksakan rakyat, lalu nekad mahu melihat kerajaan kleptokrasi ini tumbang tentu kecewa apabila membaca catatan dan ulasan mengenai perkembangan parti PKR nan kini sedang dilanda krisis.

Kenyataan terbaharu Rafizi Ramli yang mendedahkan senario dalam parti cap Mata itu sungguh membimbangkan. Ia bukan sahaja mengelisahkan ahli dan penyokong parti itu sahaja, tetapi terbias kepada parti Pakatan Harapan, kerana PKR masih lagi sebahagian Pakatan Harapan. 

Sunday, August 27, 2017

Mempelajari sihir Azmin Ali

ULAS ISU

Azmin Ali kata rundingan PKR dengan Pas tidak membabitkan Pakatan Harapan. Dia juga kata rundingan itu bukan atas inisiatif dia secara peribadi, tetapi atas arahan parti. Beliau meletakkan jawatan sebagai ahli Biro Politik sebagai "belakang" untuk dipanjatnya.

Jawaban itu mempamerkan timbalan presiden Keadilan itu sudah semacam terdesak atau tidak tahan dengan bingkitan apabila berbagai bicara berhubung tindakannya bertemu dengan Abdul Hadi Awang baru-baru ini. Jelas pertemuan beliau dengan Abdul Hadi menimbulkan keraguan dan kemarahan sesetengah pihak.

Dua perkara dapat difikir dan dinilai sendiri dengan jawaban terbaru Azmin itu. Pertama, kalau pertemuan (rundingan itu) bukan ada kaitan dengan Pakatan Harapan macam mana pula hubungan Keadilan dengan Pakatan Harapan? Apakah Keadilan bercadang atau ada niat hendak meninggalkan Pakatan Harapan untuk bersama Pas? Apakah memang ada rancangan sulit di sebalik pertemuan itu? Hidde projek.

Saturday, August 26, 2017

Pakatan Harapan Kelantan siap sedia untuk tawan Kelantan

SELEPAS SUBUH

Bersama mengibar Jalung Gemilang. 
Peristiwa permulaan yang bakal melakarkan satu lagi sejarah besar dalam politik di Kelantan telah berlaku di Machang Kelantan pagi Jumaat semalam.

Peristiwa itu ialah peluncuran Pakatan Harapan Kelantan (PHK) yang membentuk satu entiti politik baru mengandungi empat buah parti, Keadilan (PKR), DAP, Parti Amanah Negara Malaysia (Amanah) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bagi dinilai oleh rakyat Kelantan.


Sunday, August 20, 2017

Isu Memali kenapa Tuan Ibrahim beriya cadangkan tubuh RIC?

STOP PRESS

Kalau dilihat secara literal cadangan Tuan Ibrahim Tuan Man agar ditubuhkan siasatan di raja (RCI) untuk siasat tragedi Memali wajar untuk menghuraikan sesuatu yang kabur dan belum tuntas di kepala rakyat. RCI itu bagai mana pun tidak menjamin isu seperti Memali itu tidak akan timbul dan terus dijadikan modal politik golongan terdesak selagi ada politik ala Malaysia.

Tetapi dari sudut lain ia boleh diterjemahkan dan membawa berbagai erti lain di sebalik cadangan pemangku presiden Pas itu. Kita tahu RCI akan mendedahkan apa-apa yang tersembunyi dan menjadi misteri selama ini. Walaupun matlamat agar ditubuhkan RCI itu untuk mengenakan Dr Mahathir Mohamad yang dianggap terlibat  dengan tragedi itu ia memberi beberapa implikasi politik kepada pihak lain juga.

Azmin cukuplah jangan letihkan rakyat

SUSUPAN PETANG

Bila PKR tidak serit dan seakan mengalpakan apa yang berlaku dan terus memujuk Pas untuk bersama dalam satu ketumbukan bagi menentang BN, orang yang masak politik bersetuju dengan usaha berkenaan. Itulah politik matang, dan mengesahkan bahawa politik adalah sebuah games.

Sebab itu, bila ada orang menolak Dr Mahathir Mohamad untuk bersama Pakatan Rakyat (kini Harapan) saya merasakan tindakan itu kurang cerdik dan mereka bukan berada dalam sebuah games politik. Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anaknya Nurul Izzah Anwar pada mulanya juga menolak huluran tangan Dr Mahathir.

Tetapi setelah diberi pencerahan dan jaminan Dr Wan Azizah akur dengan huluran salam Dr Mahathir. Tetapi sebahagian kumpulan Orai masih marah dan tidak mahu memaafkan Dr Mahathir atas kesalahan lampau. Tidak mengapa kerana mereka bukan berada dalam games, tetapi di luar pentas politik yang menuntut kebijaksanaan. Orang yang berada di luar politik memang begitu.

Friday, August 18, 2017

Lama tak tabik Pas, tabik sekali

SUARA JUMAAT

Suka saya untuk mengangkat tabik tinggi-tinggi kepada Pas yang tegas dan konsisten dalam keputusan yang diambilnya. Ini dirujuk kepada kenyataan dikeluarkan oleh Pengarah Pusat Penyelidikan Pas, Zuhdi Marzuki (foto) yang mengatakan Pas sukar untuk menerima ajakan PKR supaya parti itu berkolaborasi dengan PKR (Pakatan Harapan) untuk mengelakkan berlaku pertandingan tinggi penjuru.

Kata Zuhdi seperti dilaporkan, jentera Pas sudah bersiap sedia untuk berhadapan tiga penjuru dalam Piraum akan datang. Kerjasama itu menyukarkan Pas dan tidak mungkin kerana Pas sudah mengatur strateginya. "Kalau Pas menerima pelawaan itu Pas kena pusing 180 darjah," begitu katanya membayangkan pelawaan PKR itu mustahil dipenuhi.

Wednesday, August 16, 2017

Keadilan di Kelantan macam Kokiok yang terpisah kepala dengan tubuh

STOP PRESS

Dengan mengambil perhatian kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Keadilan Kelantan Ab Aziz Kadir hari ini yang menerima keputusan Biro Politik parti itu agar beliau dan anggota Keadilan kekal dengan jawatan dalam kerajaan Kelantan, saya mengira elok kalau Pakatan Harapan (PH) mengambil ketetapan tegas sama ada untuk meneruskan kerjasama dengan parti itu atau pun membuat satu sikap tegas.

Bagi PH tidak fasal-fasal lagi untuk terus bersama dengan Keadilan kerana parti itu sudah tidak menunjukkan semangat untuk bersama. Kenyataan yang dibuat oleh Aziz itu jelas bahawa parti itu dan ahlinya di Kelantan lebih mementingkan kepuasan mereka daripada kepuasan rakan komponen PH. Mereka sudah hilang nilai setiakawan.

Tuesday, August 15, 2017

Azmin jangan berperahu dalam gelombang

SUSUPAN SUBUH

Azmin teramat rapat dengan Hadi, kenapa?
1. Azmin Ali mengakui ada rundingan tidak rasmi antara beliau dengan parti agama (Pas). Beliau tidak menjelaskan bila rundingan itu berlangsung dan melibatkan sesiapa. Katanya dia akan memberi tahu apa-apa perkembangan mengenai rundingan berkenaan kepada rakan dalam Pakatan Harapan (PH).

2. Usaha itu katanya untuk mengelakkan berlaku pertandingan tiga penjuru. Azmin menginsafi kalau berlaku pertandingan tiga penjuru (di Selangor) ia boleh mengugat stabiliti kerajaan dipimpiannya kini.

Monday, August 14, 2017

Pertemuan pemimpin PKR dengan Hadi cemaskan Najib?

IKTISAR PETANG

Gambar kunjungan Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail bersama timbalannya Azmin Ali dan naib presiden Dr Shahruddin Badaruddin ke atas presiden Pas Abdul Hadi Awang sebagai menziarahi pemimpin nombor satu Pas itu tampak ringkas sahaja. Sekali pandang ia tidak ada apa-apa yang menarik untuk diperkatakan. Suasana gambar itu dipukul dalam sebuah bilik rehat Abdul Hadi yang agak eksklusif.

Lawatan itu hanya budaya dan tradisi biasa orang Melayu sesuai dengan ajaran Islam menggalakkan sesama Islam mengadakan ziarah dan kunjung mengunjungi ke atas saudaranya yang uzur atau sakit bagi memberi semangat kepadanya. Kunjungan tiga orang pemimpin PKR itu juga atas maksud sama.

Abdul Hadi masih dalam perihatan selepas menjalani pembedahan jantung sebulan lalu. Beliau masih dinasihatkan bercuti dan tugasnya sebagai presiden Pas dipangku oleh timbalannya Tuan Ibrahim Tuan Man.

Sunday, August 13, 2017

Junjung Amanah Rakyat prinsip perjuangan Amanah

KONVENSYEN AMANAH

Husam merasmi konvensyen Amanah ke II. 
Semalam Parti Amanah Negara(Amanah) Kelantan telah mengadakan konvensyen ke II, yang berlangsung di Wisma Tokguru Nik Aziz di Salor. Tema konvensyen yang dipilih ialah "Menjunjung Amanah Rakyat". Tema itu cukup signifikan dengan suasana politik yang berlaku di Kelantan waktu ini.

Tema itu, mendukung satu tanggungjawab yang perlu dipikulkan oleh semua orang bernama pemimpin dan mereka yang ingin menjadi pemimpin.

Saturday, August 12, 2017

Pola politik Melayu tentukan kerusi Wangsa Melayu

PARLIMEN WANGSA MAJU

Shafei Abdullah, kalah.
Saya terbaca hasrat dan harapan diluahkan oleh Pengerusi Umno Wilayah Persekutuan Teuku Adnan Teuku Mansor untuk menawan sekurang-kurang dua lagi kerusi parlimen dalam Wilayah Persekutuan pada pilihan raya mendatang.
Dua kerusi yang menjadi idaman dan sasaran utama untuk dirampas itu ialah Lembah Pantai dan Wangsa Maju.


Yew Teong Look, pernah menang.
Hari ini Umno Wilayah Persekutuan boleh berbangga dengan memiliki dua kerusi sahaja, Setiawangsa dan Titiwangsa, disamping Puterajaya yang dimenangi oleh Tengku Adnan. Selebihnya kerusi dalam Wilayah; Kepong, Batu, Segambut, Bukit Bintang, Seputeh, Cheras dan Bandar Tun Razak dimiliki oleh pembangkang, Pakatan Rakyat/Harapan.

Friday, August 11, 2017

Pengerusi SPRM jangan bazirkan air liur

NOTA SENJA

Kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad suruhanjaya itu boleh menyiasat Zahid Hamidi yang didakwa memiliki kekayaan melampau, RM230 juta sekiranya ada asas. Asas itu dijadikan syarat untuk SPRM menyiasat, tegasnya.

Sebenarnya kalau Dzulkifli tidak bercakap lagi bagus mengenai hal ini kerana orang sudah tahu apakah tindakan dan sikap SPRM terhadap Zahid sebagai seorang penjawat jawatan kedua negara ini. Suruhanjaya itu sama sekali tidak berani untuk menyiasat mana-mana individu berkedudukan setinggi Zahid itu.

Bila beliau bercakap menyebabkan orang ramai naik darah kerana sudah maklum macam mana sikap badan-badan penguasat kuasa yang dibawah kawalan pihak berkuasa, seperti SPRM, Polis Di Raja, Kehakiman, SPR dan lain-lain.

Wednesday, August 9, 2017

Lepas jumpa Arul Kanda Pas bagi cop mohon kepada Najib?

ULASAN SUBUH

Tuan Ibrahim kata Pas berpuas hati dengan 1MDB.
Secara umumnya kita mengalu-alukan mana-mana pihak, baik kerajaan, parti pembangkang atau orang perseorangan (profesionalis) mengambil bahagian dan berusaha untuk menyelamatkan harta benda negara, seperti kerugian dialami syarikat perlaburan strategi 1MBD yang sudah diketahui umum dan menjadi penyakit kronik buat Najib Razak dan kerajaan UBN.

Saturday, August 5, 2017

Zahid tak ubah seperti Aphodius Marginellus..

ENEKDOK PETANG

Keadaan Zahid Hamidi hari ini tidak ubah seperti kumbang tahi kerbau (aphodius marginellus) yang menggolekkan tahinya untuk membina sarang baharu. Baginya dia berasakan perbuatan itu sudah bisa dan terror, kerana dapat mengumpulkan tahi kemudian dijadikan kloni untuk bersarang. Walhal kerja menggolek tahi untuk buat sarang itu mencemarkan punggungnya.

Thursday, August 3, 2017

HARAPAN hantar warkah kepada Agong untuk murnikan perlembagaan

KENYATAAN

Dr Mahathir menunjukkan warkah kepada media.
Para pemimpin Pakatan Harapan (Harapan) tidak pernah berhenti dari terus melakukan aksi dan tindakan untuk menjaga maruah dan kedaulatan negara dari kerakusan penguasa hari ini terutamanya perdana menteri Najib Razak yang banyak bertindak di luar kehuluran perlembagaan untuk kepentingan politiknya. 

Wednesday, August 2, 2017

Blog Merah Tinta meneruskan misi amal makruf, korban di Sabah

SESUDAH SUBUH

Sebagai partisifasi blog ini dalam mempedulikan insan seagama serta peneruskan kepada amal makhruf saya berhasrat untuk meneruskan misi Kebajikan dan Kemanusiaan sebagai penerusan usaha sebelum ini.

Tahun lalu atas persepakatan dan prihatin penjengok blog ini kita mengada korban dua ekor lembu di perkampungan Islam Pattani di utara Bangkok. Alhamduliah sambutan dan majlis ibadah berkenaan berjalan lancar dan meriah. Ratusan penduduk setempat ikut menyertai majlis berkenaan.

Monday, July 31, 2017

Dr Mahathir ikhtiraf Zahid pembohong

CUPLIKAN DARI FB

Wah Dr Mahathir sudah ulas dan jawaban dakwaan Zahid Hamidi terhadapnya. Video jawaban Dr Mahathir ada diviralkan. Walaupun wajahnya tenang tetapi ia terbayang galang sedih dan kecewa bekas PM itu kepada apa yang Zahid lakukan.

Dr Mahathir juga minta Zahid membuktikan apa yang dituduh itu, yang kad pengenalannya mencatat beliau anak lelaki (A/L) Iskandar Kutty. Kalau Zahid gagal membuktikan dakwaan itu, Dr Mahathir anggap ia sebagai pembohong.

Sehubungan itu Dr Mahathir juga mendedahkan macam mana Zahid datang berjumpanya minta simpati dan sokongan untuk jatuhkan Najib Razak sebagai PM. Tujuannya tentu Zahid nak cepat jadi PM. Tetapi katanya, dia nasihat Zahid cara itu tidak boleh. Kalau pun Najib tumbang Zahid kena dengar apa keputusan Umno. Parti yang akan menentukan siapa pengganti Najib.

Apakah Melayu haprak itu Zahid Hamidi?

SESUDAH SUBUH

Tindakan Zahid kepada Dr Mahathir keterlaluan?
Dalam hati saya selama ini masih mengharapkan Ahmad Zahid Hamidi menjadi pengganti kepada Najib Razak. Alasan utama saya ialah kerana beliau berasal dari orang kampung, di masa kecilnya dia pernah melalui hidup susah pernah menjual aiskrim dan kupas kelapa. Latar hidup itulah menarik hati saya. Seboleh-bolehnya saya tidak mahu melihat lagi anak bangsawan meneruskan legasi kebangsawanan sebelum ini menjadi perdana menteri Malaysia.

Friday, July 28, 2017

Ikrar Zahid sokong Najib tidak jamin dia kekal jadi TPM?

STOP PRESS

Apa sudah tertekan sangatkah Zahid Hamidi sampai melafazkan ikrar taat setia kepada Najib Razak di hadapan para ulama termasuk ulama dari luar negara. Apakah Zahid mengira pelafazan ikrar itu di hadapan ulama menunjukkan dia mengambil saksi manusia yang berdarjat tinggi dalam agama?

Hishamuddin dan Zahid sedang berebut uri dalam Umno.
Mungkin itu yang sedang dirasakan oleh Zahid, dia tertekan dan mindanya berbalam-balam memikirkan nasib dan masa depan politiknya sekarang.

Beliau sedang dikejar bayangan ketakutan kepada apa-apa tindakan lanjut Najib yang sukar diramalkan. Zahid jadi hilang kompas keyakinan kepada Najib apabila perdana menteri itu melantik Hishamuddin Hussein sebagai menteri dengan tugas-tugas khas yang dilihat sebagai persediaan Najib kepada Hishmuddin untuk menjadi penggantinya.

Rusli seorang setiakawan yang sejati

BELASUNGKAWA

Allahyarham Ahmad Rusli Ibrahim.
Generasi muda hari ini mungkin tidak berapa mengenali Ahmad Rusli Ibrahim bekas Adun Salor selama dua penggal (1990 - 2004) dan juga bekas Senator yang meninggal dunia selepas Asar hari ini (27 Julai 2017). Penglibatannya dalam politik bervariasi dan menarik juga. Sebelum menceburi diri dalam politik Allahyarham merupakan Pegawai Tadbir Negeri Kelantan (PTN), yang berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Jajahan (ADO), di Kota Bharu, bahagian pembangunan dan tanah.

Saya mengenali Allahyarham sekitar awal tahun 80an, budi beliau kepada saya, beliau pernah mengesahkan beberapa dokumen saya untuk memohon belajar di luar negeri. Dalam politik kami berkawan dan ada beberapa insiden yang cukup meninggalkan nostalgia.

Thursday, July 27, 2017

Bantu Rafizi seperti bantu rakyat dan negara

SUSUPAN PETANG

Semalam Naib Presiden PKR Mohd Rafizi Ramli (foto) membuat rayuan awam untuk mendapatkan derma bagi membantunya menyelesaikan bayaran ganti rugi dan kos berkaitan satu kes saman dihadapinya dengan syarikat "Lembu Gemuk" (NFC). Ahli parlimen Pandan itu memerlukan RM300,000 untuk melunasinya bagi mengelakkan dia diistyharkan muflis.

Beliau sudah mendapat surat perintah dari mahkamah agar melunasinya, walaupun kes itu masih dalam peringkat rayuan. Doakan semoga rayuan berjaya dan wang RM300 ribu itu tidak melayang.