Thursday, September 28, 2017

Saman tidak tutup aurat - hormati hak Kelantan

ISI HATI

Notis (saman) yang dikemukakan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) terhadap beberapa orang Islam yang tidak berpakaian sopan termasuk berseluar pendek di tempat tidak sepatutnya telah menjadi isu dan perbualan hangat.

Tindakan itu cepat pula diambil sebagai isu politik di kalangan orang politik. Inilah kecekapan orang kita dalam berpolitik. Ia jadi macam ikan lapam bawah jamban, pantang nampak najis jatuh terus disambar. (Dulu jamban atau tandas dibuat di atas atau tepi sungai, bila berak saja tahi akan mengalir ke dalam sungai, dan ikan lapam yang sudah bergeliwatan terus menyambarnya).

Sepatutnya sebagai orang Islam kita semua berhati-hati dengan isu-isu berkaitan dengan Islam yang menyentuh maruah agama kita. Kita wajar membuat seleksi isu untuk dijadikan modal politik. Menjadi tanggungjawab semua umat Islam menjaga kesucian Islam, mengenai peraturan-peraturan yang ditetapkan demi menunjukkan syumulnya agama Islam. Ia juga perlu berwaspada menyentuh mengenainya untuk tidak menjatuhkan maruahnya. Jika pun tidak sedia untuk melaksanakannya jangan mengejek.



Bataslah dalam menggunakan sesuatu sebagai isu politik, jangan sama kata orang meludah ke langit.


Isu itu bermula apabila seorang lelaki diberikan notis oleh JEHAIK telah mendedahkan kepada media massa, melahirkan rasa kecewanya atas notis berkenaan. Lelaki itu memberi alasan dia tidak tahu bahawa di Kelantan ada peruntukan undang-undang kecil begitu. Penjelasan lelaki yang kena saman itu menunjukkan bahawa dia telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 5, Kanun Jenayah Syariah Kelantan (1985).

Sama ada kesalahan itu wajar atau tidak dikenakan notis, tetapi yang nyatanya lelaki berusia 30an itu telah melakukan kesalahan menurut kanun berkenaan. Perkara ini tidak boleh dipertikaikan lagi kerana notis itu mengikut kehendak peraturan berkenaan. Ertinya tindakan itu bukan suka-suka tetapi mengikut kapasiti peraturan yang sedia ada.

Cuma di sini apa yang boleh dipersoalkan apakah penghebahan mengenai undang-undang itu sempurna atau pun cacat. Sekiranya perwartaaan umum mengenai penguatkuasan peraturan berkenaan tidak meluas, ia merupakan satu kecacatan yang boleh diperbaiki. Seharusnya penghebatan itu dibuat lebih luas kepada masyarakat kerana itu kehendak dan peraturan.

Pihak berkuasa seperti MPKB Bandaraya Islam (MPKBI) boleh memasangkan singboard gergasi untuk memaklumkan kepada orang ramai. Singboard yang memaparkan wajah Exco dengan projeknya perlu diturunkan dan diganti dengan singboard perwartawaan itu. 

Adapun soal peruntukan itu tidak perlu dipersoalkan. Ada mengatakan tindakan saman itu sebagai double standard, dan lebih teruk lagi ada menganggap peraturan itu sebagai ekstrim dan sempit. Seorang ahli jawatankuasa MCA Kelantan bernama Ti Lian Ker, dilaporkan ketika mengulas isu saman itu membidas kerajaan Kelantan dengan mengatakan ia suatu tindakan ekstrimis dan menghancurkan keharmonian budaya serta tidak mengikut semangat perlembagaan.

Saya tidak faham dari sudut manakah ia menghancurkan kehormonis budaya. Larangan berseluar pendek bukan terkena kepada semua orang di Kelantan tetapi ia terhad (berlaku) kepada orang muslim sahaja. Dari sudut mana ianya boleh beranggapan demikian? Apakah selama ini keharmonian budaya seperti makan di Kelantan telah hancur apabila orang Cina (bukan Islam) bebas memakan babi dan minum arak sambil berdiri? Rasanya tidak.

Jelas ulasan daripada ahli jawatankuasa MCA itu dan orang-orang sewaktu dengannya mereka bersifat penuh kebencian kepada Islam?

Di sinilah yang saya katakan isu berkenaan dengan mudah diambil kesempatan untuk jadi isu politik. Semua orang Islam Kelantan seharus mengecam pendapat sedemikian kerana ia jelas cuba memperlekeh dan memberi gambaran Islam sebagai agama yang sempit dan tidak bertamadun.

Sekiranya mengambil penjelasan daripada pihak jabatan itu, notis itu tidak menjadi isu pun. Ia bukan mengeluarkan notis pertama kali kepada lelaki berseluar pendek yang dikatakan hendak main futsal itu, tetapi sudah 70 notis juga telah dikeluarkan. Ini bermakna peraturan kecil itu sudah pun berkuat kuasa.

Cuma mungkin saman sebelum ini tidak diesksplotasikan oleh orang politik sedemikian maka ia tidak "geger gegak".

Saya sudah membuat catatan kecil dalam Facebook mengenai polemik mengenai notis berkenaan. Bagi saya tindakan itu bukan satu penganiayaan seperti mana sesetengah pihak lemparkan. Ia juga bukan double standard, apabila ada yang membangkitkan pemain bola sepak yang berseluar pendek tidak disaman.

Seperti mana dijelaskan oleh pihak JHEAIK, bahawa mereka yang memakai seluar pendek dianggap bersalah apabila mengenakannya di tempat-tempat tidak sepatutnya. Peraturan itu sudah pun mengariskan sedemikian rupa. Rasanya mereka yang menggubalkan peraturan itu 30 tahun lalu tidaklah jahil sangat mengenai peraturan agama.

Mungkin bagai tafsir peraturan kecil itu pemain bola sepak atau sukan lain tidak dikategorikan sebagai pesalah jenayah aurat, kerana mereka bermain ditempat tertutup atau pun khusus. Pun disini bukan alasan untuk dikatakan peraturan itu kurang tepat, menghancurkan keharminian kaum, tetapi ia perlu adakan pentafsiran lebih jelas dan menyeluruh lagi.

Dan mengenai peraturan itu yang dianggap sebagai melampau dan tindakan ala-ala Taliban, kalau pun benar, ia tidak boleh dilayan begitu. Sekiranya peraturan itu atau mana-mana peraturan tidak adil dan bersifat menganiaya ia boleh dipinda. Dewan Undangan Negeri (Dun), adalah tempat meminda dan membuat undang-undang. Bahas, bincang, debatlah di situ kemudian kemukakan cadangan untuk memindanya. Apa yang perlu diketahui hasrat dan aspirasi peraturan itu bertujuan baik dan memenuhi tuntutan agama.

Ada lebih baik kalau kita memberi cadangan terperinci untuk meminda peraturan kecil itu supaya ia menjadi lebih comel dan kemas, bukannya dengan mengkritik sehingga menampakkan kecacatan peraturan Islam yang telah digubal itu. Peraturan-peraturan kecil itu boleh dipindah kerana ia bukan merupakan peraturan atau hukum asas termaktub dalam al Quran.

Peraturan itu khabarnya wujud sejak tahun 1985 (Pindaan 2002?) lagi, semasa kerajaan Kelantan dibawah Barisan Nasional. Ertinya ia sudah 30 tahun. Kenapa mengambil masa terlalu lama untuk mengkaji, menegur kerana kecacatannya kemudian memindanya. Apakah kerana undang-undan itu tidak pernah dikuatkuasakan maka ia terlepas pandangan demikian?

Jadi tepat juga tindakan JEHAIK itu mengemukakan notis itu sekurang-kurang mereka yang terlepas pandang mengenai kewujudannya atau selalu cemburu dengan Islam mengetahuinya. Dan pihak kerajaan juga boleh menyemak balik dari segi ketepatan dan berkeberkesanan untuk dilakukan pindaan atau pengemaskinian. Makanya Exco agama kena perhati perkara ini jangan asyik membebel sahaja.

Nah, hari ini orang semua sudah tahu akan kewujudan peraturan kecil itu. Masing-masing boleh mengemukakan cadangan bagi memperkemaskan peraturan itu. Biar ia relevan dan menggambarkan peraturan sebenarnya. Jangan kita hanya tahu mengkritik tetapi "babil" untuk memperbaikinya. Biarlah setakat tikus-tikus malam sahaja membaiki labu, dan kita pula janganlah jadi si burung tukang menukang siang malam tetapi tidak pernah siap.

Bagi mereka yang skeptikal dengan kerajaan Kelantan, jangan jadikan peraturan itu sebagai mangsa dan batu loncatan untuk menghentam kerajaan peninggalan Tokguru itu.

Dalam hal ini semua pihak perlu menutup mata politik dan melihat apa yang hendak dilaksanakan itu dengan mata keIslaman, ad-den, baru ia akan menjadi indah dan cantik. Dan apa-apa peraturan hatta bertentangan dengan naluri dan amarah biasa manusia yang hendak dilaksanakan di Kelantan, perlu disokong.

Jangan sesekali cuba menyentuh hak atau right yang ada kepada negeri Kelantan. Keistimewaan dan keunikan Kelantan bukan sahaja terletak pada soal permainan tradisi, rebana, kertuk atau wau tetapi keunikan itu juga terletak kepada cara mengamalkan Islam. Kena faham ini.  [wm.kl.8:57 am 28/09/17]

No comments: