Tuesday, September 30, 2014

Saya sedang mengerjakan Haji.

Asalamualaikum. . dimaklumkan beberapa hari ini blog saya tidak dapat diisi seperti biasa kerana saya waktu ini sedang berada di Makkah dalam rangka mengerjakan haji.
Saya berangkat 26 September.

Doakan saya semoga diberikan kesejahtraan dan dipermudahkan Allah dalam segala hal selama bermukim di tanah haram ini. Wassalam. (Makkah.7.00 am 29/09/14)

Thursday, September 25, 2014

BN menang besar di Pengkalan Kubur

RENGKAS                                                                                                        

Barisan Nasional menerusi calonnya Mat Razi Mat Ail berjaya mempertahankan kerusi Pengkalan Kubur dalam pilihan raya kecil hari ini dengan majoriti lebih besar berbanding majoriti diraih calon BN dalam pilihan raya umum lalu 1,736.

Keputusan tidak rasmi menunjukkan BN mendapat 9,948 undi berbanding calon Pas Wan Rosdi Wan Ibrahim yang memunggut sebanyak 7,322. Majoriti ialah sebanyak 2,626. Calon bebas hanya mengutik 38 undi dan mampos deposit.

Daripada 12 peti undi Pas hanya menang di tiga peti undi sahaja, iaitu Kampung Tebing, Kampung Genting dan Kedai Genting. Kekalahan Pas ini memberi pengertian besar buat Pas untuk menilai kekuatan dan keupayaan parti itu bagi mempertahankan Kelantan pada pilihan raya akan datang.

Walaupun kekalahan itu sudah dijangka, tetapi ia mengejutkan kerana majoriti besar dipunggut calon BN. Keputusan pilihan raya itu juga memberi kemenangan moral buat Mustapa Mohamed selaku ketua Umno Kelantan, manakala ia seakan memulakan momentum kemuraman zaman kehebatan
Pas Kelantan. [*** 8:46 pm 25/09/14]

PRK: Pengkalan Kubur Pas hanya mampu kurangkan majoriti BN

SUSUPAN PAGI                                                                                               

Siapa antara mereka dipilih rakyat?
Sekejap lagi proses pengudian pilihan raya kecil N01 Pengkalan Kubur akan bermula. Seramai 24,000 pengundi akan membuat keputusan untuk memilih wakil baharu mereka. Walaupun ada tiga calon, tetapi pertandingan sebenar adalah antara calon Pas, Wan Rosdi Wan Ibrahim dengan calon BN Mat Razi Mat Ail. Seorang lagi calon bebas, besar kemungkinan akan hilang wang pertaruhan.

Kebiasaanya selepas menjelang tengah hari sudah dapat diramalkan siapa yang akan menang. Para pengecam pilihan raya dapat membuat telahan dan agakan berdasarkan kepada aliran keluar mengundi. Perkiraan di bangsal panas memberi indikator jelas. Bagaimana pun pihak parti yang bertanding sudah dapat merasakan kekalahan dan kemenangan masing-masing.

Tuesday, September 23, 2014

Jalan jauh dan masa lama ditunggui Azmin

CATATAN RASA                                                                                             

Benarlah kata orang kalau jodoh tidak ke mana dan manusia boleh merancang, tetapi yang menentukan adalah Allah taala jua. Dan perancangan Allah itu ternyata lebih baik dan sempurna daripada perancangan manusia, kerana Dialah zat maha qadim yang menentu dan berkuasa ke atas segala-galanya.

Azmin diberi ucap tahniah oleh bosnya, Anwar Ibrahim.
Takdir hari ini yang meletakkan Mohamed Azmin Ali, 50 sebagai MB Selangor ke-15 adalah sesuatu peristiwa penting dan amat bersejarah bagi diri Adun Bukit Antarabangsa itu sendiri.

Perlantikannya hari ini merupakan detik gemerlapan dan kemuncaknya dalam dunia politik. Jawatan MB adalah mahkota kejayaan bagi seorang ahli politik. Dan jawatan itu adalah kedudukan tertinggi bagi seseorang bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

Monday, September 22, 2014

Azmin angkat sumpah sebagai MB Selangor esok

PERKHABARAN                                                                                             

Sudah hampir sahih Adun Bukit Antarabangsa Mohamed Amin Ali akan dilantik menjadi MB Selangor yang baru bagi menggantikan Abdul Khalid Ibrahim yang mengakhiri jawatan selaku MB petang ini.

Surat memaklumkan perkenan Sultan untuk melantik Azmin sudah dihantar kepada Azmin, dan Azmin yang juga ahli Parlimen Gombak diminta hadir untuk mengangkat sumpah dan melafaz ikrar memegang jawatan MB Selangor ke-15 di Balairong Seri Istana Shah Alam di Kelang esok.

Perkenan Sultan itu nemamatkan teka teki beberapa bulan lalu dan memuncak sehari dua ini mengenai siapa yang akan mengisi jawatan yang dikosongkan secara paksa oleh Khalid Ibrahim itu. Perlantikan Azmin ini seperti mana dikhabarkan kepada saya dua tiga hari lepas oleh batang tubuh berkenaan.

MB Selangor: Apakah Azmin bernasib baik?

PENANTIAN PANAS                                                                                       

Sekiranya Sultan Selangor memberi perkenan kepada Mohamed Azmin Ali menjadi MB baru menggantikan Abdul Khalid Ibrahim semua pihak hendaklah memberi sokongan tidak berbelah bahagi.

Azmin tetap berdoa untuk sesuatu yang baik bagi dirinya.
Sesiapa pun tidak perlu mempertikaikan pilihan itu. Pemilihan Azmin bukan sesuatu yang janggal, sebaliknya tepat apabila Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak dapat dipenuhi untuk mengganti Khalid.

Perlantikan Azmin sebagai MB, sudah tentu dapat meredakan suasana politik di Selangor yang berkemelutan sejak beberapa bulan lalu. Baik PKR, Pas dan DAP perlu menamatkan segera kemelut itu sekiranya Pakatan Rakyat ingin terus diharap menjadi alternatif kepada Barisan Nasional.

Anggaplah perlantikkan MB nanti bagaikan "biduk yang lalu dan mempertautkan semula biambang" yang retak dan pecah.

Maklumat terbaru menunjukkan bahawa besar kemungkinan Adun Bukit Antarabangsa itu, bakal dilantik menjadi MB dan mengangkat sumpah memegang jawatan esok sekiranya ianya tidak dilintas biawak. Tunggulah hari keranat dan bukannya hari kiamat. [wm.kl.12:27 pm 22/09/14]

Sunday, September 21, 2014

Kenangan muktamar dan MB Selangor baru

BINGKAI MALAM                                                                                          

Selamat berjumpa, saya tidak memberi sorotan khas terhadap muktamar Pas ke-60 yang berlangsung buat pertama kali di negeri yang dianggap kubu Umno, Johor dua tiga hari lepas. Liputan dalam ruang lain dan juga celehan atau singgungan saya dalam Facebook, sedikit sebanyak memberi gambaran akan bagaimana mood saya kepada muktamar berkenaan.

Jarang saya mis untuk hadir memerhati muktamar Pas. Tetapi kali ini saya kurang minat untuk ikut sama memerhati. Entah macam mana jadi tidak ada angin pula. Perkembangan muasir dalam Pas, terutamanya pertelagahan mengenai hala tuju Pas, tentang hubungan Pakatan Rakyat menjadi saya tidak ada angin. Jadi putus nafsu.

Kehangatan dalam muktamar sudah diagakkan sejak awal. Cuma ia tidak sangka jadi seperti apa yang sudah terjadi. Ada beberapa kejadian dalam muktamar itu agak luar biasa, dan apakah ini menandakan Pas sudah semakin hebat, dinamaik atau sebaliknya. Atau pun parti agama itu membuang tabiat?

Friday, September 19, 2014

Bakal MB sudah dipanggil menghadap Sultan

BERITA TENGAH MALAM                                                                           

Bakal MB Selangor baru yang dijadualkan akan mengangkat sumpah memegang jawatan pada 23 September 2014 (Selesa) khabarnya sudah menghadap Sultan Selangor untuk diinterview semalam. Berdasarkan maklumat ini Adun berkenaan berada dalam senarai teratas daripada dua nama lain.

Hal ini disahkan sendiri kepada saya oleh orang rapat Adun berkenaan. Bagaimana pun tidak elok kalau disebut namanya dan biarlah ianya diumumkan sendiri oleh Sultan Selangor.

Sekali lagi ditegaskan tidak kira siapa yang akan dilantik menjadi MB menggantikan Abdul Khalid Ibrahim, semua pihak kena menerimanya demi kesejahtraan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor. [wm.kl.12:22 am 19/09/14]

Thursday, September 18, 2014

Selangor dapat MB baru 23 September?

PERNYATAAN                                                                                                 

Perkembangan terbaru kemelut politik di Selangor menunjukkan tanda-tanda bakal menggembirakan semua orang kerana pihak istana sudah bersetuju untuk menerima menghadap MB baru bagi mengganti Abdul Khalid Ibrahim.

Hari ini pejabat Sultan Selangor telah mengutus kad jemputan kepada pembesar negeri untuk hadir ke Balai Rongseri Istana Shah Alam untuk upacara angkat sumpah.

Sehingga kini masih belum diketahui siapakah bakal mengangkat sumpah sebagai MB untuk mengganti Khalid Ibrahim. Bagi rakyat yang resah dengan kemelut yang memakan masa berbulan-bulan itu tidak kisah siapa yang akan dilantik menjadi MB.

Haron Din tidak peru berdiplomasi, baik berterus terang...

SEKITAR MUKTAMAR                                                                               

Haron Din, perlu berterus terang.
Timbalan Musyidul Am Pas yang sebelum ini diusaha keras untuk dinobatkan sebagai Mursyidul Am sebagai mengganti Nik Abdul Aziz Nik Mat apabila bekas MB itu tegas enggan merestui kerajsama dengan Umno, yakni Haron Din, menyarankan agar Dewan Ulamak Pas mengkaji balik kerjasama dengan Pakatan Rakyat dan sekiranya perlu Pas boleh keluar dari Pakatan Rakyat.

Beliau tidak menyebut apakah Pas perlu bersendirian atau membuat projek politik baru, tetapi boleh difahamkan, cadangan itu untuk membawa Pas bekerjasama dengan Umno. Dalam waktu ke belakangan ini saya melihat Haron adalah arkitek membina kerjasama Pas dengan Umno.

Wednesday, September 17, 2014

Segelintir Pemuda Pas main politik Pasar Payang

ULAS KEJADIAN                                                                                             

Bercerita perihal parti politik Malaysia khasnya apa yang berlaku dalam parti agama, (Pas) ada sedikit keterbalikan. Sebagai satu-satunya parti agama yang dapat melangsungkan hayatnya, Pas seharusnya berusaha mengukuhkan jati diri dan meningkatkan martabat dirinya untuk diyakini oleh umum.
Vest dibanggakan tetapi ia satu tindakan bodoh.

Sehubungan itu Pas perlu menampilkan kebijaksanaan dalam berpolitik bukan merendahkan nilai siasahnya kepada tahap longkang apa lagi menyebabkan orang terkeliru apakah begitu agama (Islam) itu. Janganlah hendaknya Pas menggunakan agama untuk mencemarkan kemurnian agama.

Semacam berlaku kontradik dalam hal ini kerana parti-parti lain yang tidak menganggap mereka parti agama lebih dilihat berwibawa, punyai sistemetik yang kemas dalam parti. Disiplin ahlinya juga terpuji dan sekaligus mampu menjadi peraih kepada sokongan.

Tuesday, September 16, 2014

Jiwa wanita Azizah terus teruji

MENYELAM RASA                                                                                         

Dia berjalan seperti biasa tanpa sedikit pun kekok atau tertekan dengan apa-apa perasaan. Sambil berjalan membela hadirin di kiri kanan dalam dewan utama di Dewan Perhimpunan China, dia bersalam dengan setiap tangan yang dihulurkan kepadanya. Sennyuman tidak pernah lekang dari bibirnya. Kelincahannya menyenangkan sesiapa yang melihatnya.

Kak Wan menerima buku baru saya.
Dalam temaran cahaya dewan yang boleh memuat sekitar 1,500 itu beliau kelihatan muda 10 tahun dari usianya. Keceriaan dan kesumringahannya sebagai seorang ibu, nenek dan isteri masih terpelihara seutuhnya. Di belakang puteri sulungnya Nurul Izzah Anwar mengiring dan sekaligus ikut menjadi perhatian ramai.

Itulah gambaran yang dapat saya nyatakan hasil dari "pencurian pandang" terhadap karektor Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail (Kak Wan) di Dewan Himpunan China malam tadi. Beliau hadir menyatakan solidariti kepada acara memansuhkan Akta Hasutan 1948 yang dianjurkan oleh sebuah Ngo bernama AGAH.

Beberapa orang bekas tahanan ISA dan menjadi mangsa Akta Hasutan dn ISA tampil, menyata dan meluahkan rasa isi hati kenapa akta dekronian berkenaan harus dihapuskan. Mengejutkan turut hadir sama malam tadi memberi sokongan agar akta itu dihapuskan ialah bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Saifuddin Abdullah.

Monday, September 15, 2014

Hadi Awang terus sakiti hati PKR

ULASAN ISU                                                                                                    

Cadangan Abdul Hadi Awang supaya Abdul Khalid Ibrahim dikekalkan sebagai MB Selangor kononnya untuk menyelesaikan krisis perebutan jawatan MB Selangor dilihat cadangan bukan meredakan keadaan tetapi menambah-sakitkan hari pihak PKR.

Jika orang melihat Abdul Hasi sebagai seorang berwajah agama, tentu orang akan pertikaikan mengenai kecerdikan presiden Pas itu. Kenapa beliau bertindak songsang dan menentang arus dalam Pakatan Rakyat. Adalah baik kalau beliau berterus terang dan tidak membuat tindakan sedemikian yang menunjukkan akan kelemahan beliau sebagai seorang ahli politik.

Sekiranya Abdul Hadi tiada idea untuk menyelesaikan kemelut di Selangor lebih baik beliau mendiamkan diri daripada bercakap menyakitkan hati orang lain. Tanpa disedari cadangan Abdul Hadi itu juga mengesahkan akan agenda kedatangannya ke rumah Abdul Khalid bersama Mustafa Ali pada bulan Ramadhan lalu.

Sunday, September 14, 2014

Kurang berangin untuk tengok PRK Pengkalan Kubur

PERNYATAAN                                                                                                 

Kepada penjenguk budiman maaflah kerana tak berblog beberapa hari ini. Sibuk sikit kebetulan buku baru dah siap dicetak perlu diuruskan. Pilihan raya kecil Pengkalan Kubur pula datang menjengok. Kerana sudah hidup dalam dunia politik sebagai pemerhati, walaupun keletihan sempat jengok melihat perkembangan di Pangkalan Kubur.

Pada hari penamaan calon hanya muncul sekejap sahaja, tidak sampai selesai seperti selalu. Entah macam tak ada angin pula untuk mengikuti perkembangan pilihan raya berkenaan. Kebetulan pula kena bergegas ke Ipoh untuk menghadiri mesyuarat Waris yang telah ditetapkan lebih awal.

Kalau ada kesempatan sehari sebelum hari mengundi, (25 September) terasa juga untuk turun sekali lagi ke Pengkalan Kubur. Pilihan raya kecil itu tidaklah semenarik beberapa pilihan raya kecil yang lalu. Tidak ada apa-apa signifiken pada pilihan raya berkenaan.

Wednesday, September 10, 2014

Buku: "Inside Story Kejatuhan Kerajaan PAS Kedah" relevan dengan isu di Selangor

IKLAN                                                                                                               

Salam penjeguk budiman:

Siapa untuk diedar.
Saya menyiapkan buku baru saya yang ke 46 dalam suasana kemelut politik di Selangor sedang hangat. Penulisan buku berjudul "Inside Story: Kejatuhan Kerajaan PAS Kedah" ini mengambil masa paling panjang untuk menyiapkannya. Dalam menulis buku ini saya tidak mengejar deadline seperti selalunya. Buku ini adalah satu dokumen sejarah yang merekodkan faktor ataupun hambatan yang menyebabkan kerajaan PAS kalah tumbang. Justeru ianya perlu ditulis dengan teliiti dan jimat sekali.

Tuesday, September 9, 2014

Jangan prejudis kepada PasMa

ULSAN PERISTIWA                                                                                         

Kehangatan dan sambutan membanggakan terhadap forum "Pas Campur Umno: Ke mana halatuju", anjuran Pertubuhan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) memberi gambaran satu gelombang atau kebangkitan baru dalam dunia politik negara ini akan berlaku. Walaupun jumlah kehadiran malam tadi sekitar 1,000 orang, tetapi ia sudah mencukupi untuk memberi isyarat penting kepada Pas terutamanya mereka yang cuba menjatuhkan Pas dari landasan yang sedang bergerak kini, Pakatan Rakyat.

Ahli panel, Mujahid, Aziz Bari dan Phahrolrazi terlindung.
Kalau forum itu tidak diriuhkan dengan pembatalan dan sabotaj pihak tertentu, saya yakin jumlah yang hadirnya lebih ramai. Begitu juga kalau lokasi forum itu diadakan ditempat lebih kondusif dan lebih luas, pasti jumlahnya melebhi 1,000 orang.

Satu gambaran yang tampak mereka yang hadir terdiri dari pelbagai kaum, peringkat usia dan juga latar belakang. Minat orang ramai itu juga memberi petanda kemunculan PasMa itu dinanti-nanti dan ditunggu-tunggu.

Monday, September 8, 2014

Azizah ucap terima kasih kepada Hadi dan tidak lupa budi Pas

KENYATAAN                                                                                                    

Dr Wan Azizah cukuplah memalukannya.
Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail menyatakan sedikit terguris hati dengan kenyataan Presiden Pas Abdul Hadi Awang yang membuat komen tentangnya tidak layak menjadi MB Selangor disebabkan kurang berkebolehan sepertinya.

Azizah dalam memberi reaksi kepada komen Abdul Hadi itu mengakui akan kelemahan dirinya dan akan berusaha untuk memperbaiki.

"Saya sedikit terguris dengan serangan peribadi yang dibuat terhadap saya walaupun saya menghormati pendapat Dato' Seri Abdul Hadi Awang mengenai kebolehan dan kemampuan saya.

PKR dan DAP tidak belajar daripada P Ramlee

SENJAHAN PETANG                                                                                      

Kenyataan dikeluarkan Setiausaha Sulit Sultan Selangor Mohamad Banir Munir hari ini membolehkan mereka yang mengharapkan Pakatan Rakyat Selangor ranap tersenyum puas sendirian sambil mengelus-eluskan dada dengan penuh kelegaan. Kenyataan Banir Munir itu sangat dinanti-nantikan oleh mereka yang mahu melihat kerajaan Selangor "berkucar wak yah".

Atas kebijaksanaan Raja boleh dijadikan kuda.
Umpama buaya yang menanti bangkai hanyut, musuh Pakatan Rakyat menyambut baik kenyataan yang negatif buat Pakatan Rakyat, khasnya PKR dan DAP oleh Mohamad Banir itu.

Hari ini pejabat Sultan Selangor telah mengeluarkan satu kenyataan yang pedih terhadap PKR dan DAP, berhubung dengan tindakan kedua-dua parti berkenaan yang menghantar hanya satu nama sahaja untuk diangkat menjadi MB menggantikan Khalid Ibrahim.

Sunday, September 7, 2014

Formula bodoh untuk PKR dan Pas

SUSUPAN MALAM                                                                                          

Sebelum melelapkan mata, saya ingin mengemukakan formula bodoh saya untuk mengatasi kemelut MB Selangor yang belum ada kesudahan dan menyerabutkan fikiran itu. Formula ini mungkin tidak mudah untuk dilaksanakan, namun sekurang-kurangnya ia sebagai mencari jalan penyelesaian bagi menyelamatkan keadaan Pakatan Rakyat, terutamanya Pas dan PKR daripada merana dalam pilihan raya umum ke-14 kelak.

Formula ini juga dicadang memandangkan kepada keluhan dan keresahan rakyat yang menjadi pengundi di Selangor yang kesal dan marah atas apa yang berlaku. Tidak dapat siapa nafikan bahawa rakyat Selangor khasnya pendokong Pakatan Rakyat sedih, kesal dan geram dengan apa yang berlaku. Mereka hadir dari berbagai lapisan masyarakat dan etnik di Selangor. Bahkan masalah di Selangoir turut menyakitkan jiwa orang di luar Selangor juga.

Setiap individu yang berjumpa dengan saya, atau yang menghubungi saya, baik kakitangan kerajaan, pensyarah, profesor, pekerja boroh, pelajar, pemandu teksi maupun ahli politik semuanya menyatakan kekesalan atas apa yang berlaku. Semuanya bertanya apakah tidak ada jalan penyelesaian, dan sudah habiskan ikhtiar bagi menyelamatkan keadaan.

Saturday, September 6, 2014

Abdul Hadi yang kurang diplomasi

KEROPOK LEKOR                                                                                            

Abdul Hadi Awang.
Sejak kelmarin berkicauan berita kononnya akan wujud sebuah parti baru yang akan menjadi alternatif kepada Pas. Siapa empunya cerita dan menjadi tukang bari walahualam. Tetapi kemunculan berita wujud parti baru itu bertunas apabila apa dinamakan satu pertemuan di Kota Bharu pada 31 Ogos lalu. Pertemuan itu bertujuan menubuhkan, atau mengistyharkan penubuhan sebuah NGO bernama PasMa. Sedap juga namanya.

Tujuan penubuhan PasMa adalah sebagai menjadi penghalang kepada usaha pihak-pihak tertentu daripada membawa Pas bekerjasama dengan Umno. PasMa dikatakan akan jadi benteng kepada usaha itu. Kenapa sampai perlu ada PasMa dan kenapakah perlu dihalang?

Apabila diwujudkan sebuah Ngo menjadi penghalang ertinya ada usaha gigih tanpa jemu dan penat lelah untuk membawa Pas berkerjasama dengan Umno. Penubuhan PasMa itu mendedahkan bahawa Pas dalam berkucah dan berbalah dan mengesahkan Pas sedang dievolusikan.

Kemelut MB Selangor ganggu PKR di Pengkalan Kubur

PENGKALAN KUBUR 4                                                                

Walaupun masih belum dimuktamadkan, tetapi Pas semacam sudah pasti akan meletakkan calon dalam pilihan raya kecil Pengkalan Kubur. Kempunan Pas untuk mengambil alih kerusi Pengkalan Kubur daripada PKR nampaknya akan menjadi kenyataan kali ini. Pas berhajat untuk mengambil kerusi berkenaan pada pilihan raya umum ke-13 lalu. Penyelia DUN Kuala Balah yang sebelum ini diberikan kepada PKR sudah pun disambar apabila ianya ditekan oleh Yang Dipertua Pas Jeli.

Kamaruddin Jaafar
Usaha untuk menafikan PKR di Pengkalan Kubur telah dilakukan, dan PKR menerusi calonnya Shahrun Ibrahim hampir-hampir tidak tercapai. Kegagalan untuk "mengehel" PKR itu menyebabkan Pas Tumpat kecewa. Gara-gara itu juga calon PKR yang sudah "miskin" dan kurang berpengaruh di Pengkalan Kubur disabotaj dan akhirnya kalah teruk.

Shahrun gagal mengekalkan majoriti diperolehi calon BN Noor Zahidi Omar dalam pilihan raya tahun 2008 yang hanya sebanyak 150, apabila Noor Zahidi menambah majoriti sebanyak 1,736 undi.

Friday, September 5, 2014

Mustafa dan Saifuddin elok berundur

SUSUPAN PAGI                                                                                    

Kenyataan-kenyataan yang diberikan oleh Setiausaha Agung Pas Mustafa Ali dan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berhubung kemelut dalam politik di Selangor sungguh tidak menggambarkan profesional mereka sebagai jurucakap parti. Kebusukan kemelut di Selangor menjadi bertambah hanyir dengan kenyataan-kenyataan mereka yang tidak konsisten, mengelirukan dan penuh dengan sifat "belut menjadi keli, keli menjadi belut" atas berkepentingan sendiri.

Mustafa Ali
Saifuddin Nasution Ismail
Saya tidak mahu merujuk kepada kenyataan atau sikap mereka sebelum ini yang saya rasa sudah dirasai oleh semua orang, tetapi mengambil dengan apa yang terbaru mereka lalukan. Kenyataan dan sikap mereka menjelaskan atau memberi gambaran siapa mereka sebenarnya.

Misalnya kenyataan Saifuddin Nasution Ismail mengenai surat daripada Istana Selangor sangat memalu dan mencurigakan.

Thursday, September 4, 2014

Dr Wan Azziah harus surrender...

MENJOLAK MENTARI                                                                    

Masa untuk menyelamatkan DUN Selangor dibubarkan ekoran kegagalan menyelesaikan kemelut pengganti Khalid Ibrahim masih ada sedikit sahaja lagi. Di pihak Sultan Selangor dikira sudah begitu melegakan apabila baginda telah memberi ruang meminta parti-parti Pakatan, PKR, Pas dan DAP menghantar lebih dua nama.

Sedikit sebanyak sultan telah bermurah hati dan sedia melayan demokrasi di Selangor. Atas budibicara baginda boleh sahaja meminta Khalid "menasihatinya" agar membubarkan DUN Selangor. Tetapi nampaknya tidak begitu. Semangat Perlembagaan dan Undang-undang tampaknya dipedulikan oleh sultan. Baginda juga peka dengan implikasi yang bakal menimpa batang tubuhnya sekiranya tindakan membubar dewan dilakukan. Baguslah.

Wednesday, September 3, 2014

DUN Selangor akan dibubar setelah semuanya siap sedia

RENUNGAN PETANG                                                                          

Selepas Sultan Selangor memberi tempoh yang tamat hari ini kepada parti-parti Pakatan Rakyat mengemukakan sekurang-kurang dua nama sebagai pengganti Khalid Ibrahim, kini semua orang sedang menanti apakah tindakan selanjutnya. Parti Pakatan Rakyat tidak mempunyai kuasa untuk menentukan siapa jadi MB walaupun mereka mempunyai sokongan majoriti dalam Dun Selangor.

Keadaan ini agak anih dan berbeza, kalau Umno yang mendapat majoriti sudah pasti siapa pengganti Khalid awal-awal lagi sudah diketahui. Biasanya orang yang akan diberikan nama untuk diperkenan menjadi MB dibuat oleh presiden parti dan bukan pihak lain.

Inilah nasib pembangkang dalam negara demokrasi bernama Malayisa yang bersimbolkan abjabkan "tigatujuhkosong".

Tuesday, September 2, 2014

Calon Umno: Mengapa tidak Asyraf Wajdi?

PENGKALAN KUBUR 4                                                                       

Sebelum apa-apa saya hendak bagi definisi sedikit mengenai Pengkalan Kubur, gelanggang yang mulai dibuka dengan rasmi pada 13 September nanti. Mulai tarikh itu akan berlangsunglah peperangan politik. Pengkalan Kubur dalam jujutan dibuat oleh SPR merupakan N1. Bermaksudnya kawasan Dun nombor satu di Kelantan.

Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Sebagai nombor satu ia sangat penting dan sesiapa yang kalah atau menang memberi signifiken penting di situ. Selain itu namanya juga membawa pengertian tersendiri, Pengkalan, bermaksud tempat singgah atau pun tempat mula untuk memulakan perjalanan seperti di lautan dan sebagainya dan juga sebagai tempat persinggahan. Pengkalan juga sebagai tempat untuk menerima ketibaan.

Pengkalan dalam konotasi pilihan raya dan politik, adalah tempat seseorang sampai atau singgah untuk memulakan perjuangan dan hidup jaya dalam politik lebih jauh, mencapai cita-cita peribadi dan juga parti yang diperjuangkan.

Monday, September 1, 2014

Usul tidak cerminkan Islam daripada Dewan Ulamak Selangor

LIDAH ISNIN                                                                                     

Tindakan Dewan Ulamak Pas Negeri Selangor meluluskan usul mengutuk dan mengecam tindakan dua Adun Pas, Saari Sungip dan Hasnul Baharuddin kerana kedua mereka menanda tangani akur janji menyokong Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai pengganti Abdul Khalid Ibrahim sebagai MB Selangor dilihat tidak berapa cantik dan relevan.

Anggota Dewan Ulamak Selangor bersidang.
Sebagai sebuah dewan (sayap parti) yang dianggap mulia dengan namanya "al ulamak", golongan yang senantiasa bertaaruh diri kepada Allah, menyeru kebaikan dan memberi nasihat demi maslahat ummah, tidak sepatutnya mengambil jalan politik menghentam wakil rakyatnya sendiri yang merupakan darah dagingnya juga.

Ayat atau bahasa yang digunakan dalam usul berkenaan juga (mengutuk dan mengecam) kurang sopan dan tidak menandakan ianya lahir dari sebagai sebuah dewan ulamak yang diharap penuh berakhlak.