Sunday, April 29, 2007

Pilihan Raya Ijok

Ijok Kenangan dan Kebimbangan.

MSO
PILIHAN RAYA kecil Ijok kelmarin (Sabtu, 28 April) bukan saja mencatat sejarah sebagai pilihan raya yang tertinggi peratus keluar mengundi, sebanyak 83.3%, tetapi ia juga turut mempamirkan beberapa elemen yang membimbangkan dan bakal menghitamkan politik dan demorkasi negara ini.

Memang sebelum ini tidak ada pilihan raya kecil sejak tahun 1959 peratus keluar mengundinya sampai 80%. Paling tinggi pun ialah antara 70% - 80% saja. Selalunya pengundi yang berada di luar kawasan enggan atau berat untuk pulang memangkah. Misalnya di pilihan raya kecil Batu Talam 67.32% manakala di Pengkalan Pasir 77.6% dan Machap 74.35% saja.

Apabila peratus di Ijok tertinggi, malahan lebih tinggi daripada peratus pilihan raya umum 2004, sebanyak 71% ia menimbulkan berbagai pertanyaan dan tanda tanya.

Timbul rasa tidak munasabah dan logik di sebalik angka itu. Retentan itu maka wujudlah persepsi buruk, bahawa berlaku sesuatu yang tidak elok – penyelewengan dan penipuan secara hidup-hidup!

Sebelum ini pun pihak pembangkang (BA) telah menaruh kebimbangan mengenai fenomena yang tidak baik itu. Hantu... ya, pengundi hantu telah dibimbangi akan menjadi perosak kepada kemurnian demokrasi di Ijok. Pihak BA awal-awal lagi telah mengenal pasti sebanyak lebih 1,000 orang yang diklasifikasikan sebagai pengundi hantu.

Berdasarkan itu juga penasihat Keadilan, Anwar Ibrahim sudah mengarahkan agar petugas-petugas pilihan raya BA menangkap mana-mana hantu yang cuba menyusup masuk ke bilik pengudian.

Apakah ketinggian peratus keluar mengundi itu disebabkan ramainya hantu? Dari satu maklumat pihak polis (SB) seperti mana dibisikkan oleh seseorang kepada saya; katanya pengundi hantu telah dibawa masuk dua malam sebelum mengundi. Tektik dan cara pengundi hantu ini dibawa masuk bukan dengan bas, tetapi dengan kereta pacuan empat roda dan kereta persendirian.

Maklumat itu boleh dipercayai. Pembawa pengundi hantu nampaknya telah menukar tektiknya kerana modul operandinya sebelum ini sudah dikesan!

Menurut beliau (pemberitahu maklumat) yang ke Ijok pada malam terakhir itu merusi lebuh raya Rawang, ratusan buah kereta (pacuan empat roda dan kereta persendirian) di lebuh raya itu yang masuk ke Ijok sehinggakan lebuh raya berkenaan jadi sesak dan jam.

Jika diamat dan dipadankan dengan apa yang diberi tahu, termasuk pesanan Anwar, maklumat polis tadi dan juga kenyataan Khir Toyo@Erdikrono yang mengatakan BN ada 2,000 pengundi luar, ada kebenarannya sejarah peratus tinggi itu disebabkan oleh pengundi hantu.

Bagaimana pun persoalan hantu itu kita tinggal di situ. Biarlah ianya diselesaikan oleh pihak parti politik dan juga SPR yang beriya menegakkan tidak ada pengundi digolongkan hantu dalam senarai pemilihnya.

Masa depan demokrasi yang membimbangkan

Apa yang hendak dicatatkan di sini mengenai senario pilihan raya Ijok yang penuh bersejarah itu. Seperti dikatakan tadi, ia bukan saja mencatat sejarah peratus keluar mengundi tertinggi, tetapi beberapa fenomena dan elemen lain yang berlaku pada sepanjang pilihan raya berkenaan.

Dalam pengamatan saya, apa yang berlaku di Ijok mengejutkan. Tidak pernah aksi-aksi dan gelagat yang berlaku di pilihan raya kecil itu saya saksikan dalam pilihan raya kecil lain. Rasanya hampir 20 pilihan raya kecil yang saya hadiri dan terlibat menjadi pemantau, suasana yang wujud di Ijok tidak berlaku dalam mana-mana pilihan raya kecil.

Apa yang dimaksudkan ialah mengenai aksi, tindak tanduk dan juga kerenah penyokong kedua-kedua parti politik yang agresif dan bertindak di luar batas kesopanan adat dan agama. Bentuk tekanan dan torture psikologi sudah melampau di Ijok. Ada unsur-unsur pilihan raya di Ijok itu dimonitorkan oleh para samseng dan mafia?

Suasana tidak menyenangkan dan mendukacitakan berlaku sejak hari penamaan calon lagi. Pada hari penamaan calon 19 April, sudah terjadi perang mulut yang memalukan dan lontar melontar botol, kayu dan sebagainya antara kedua penyokong BN dan BA. Belaum pernah berlaku keributan seperti itu pada hari penamaan calon. Biasanya pada hari penamaan calon masing-masing boleh kontrol perasaan dan bersikap profesional.

Perasaan penyokong masing-masing menjadi meledak terus di sepanjang sembilan hari kempen. Ia membawa kepada hari mengundi. Sejak awal-awal lagi sudah ada berita dilaporkan seorang penyokong BA kena pukul dan cermin keretanya dipecahkan. Bermakna bumi Ijok pagi-pagi lagi sudah disirami darah.

Kejadian itu tentulah telah memanaskan hati para penyokong BA. Tentunya para penyokong BA secara diam-diam menyimpan dendam dan mencuri peluang untuk membalasnya! Memang benar... selepas kejadian itu beberapa kejadian lain berlaku. Cubaan untuk menghalang kenderaan para pemimpin juga berlaku. Penyokong menjadi semakin liar, berani dan emosi.

Apa yang yang sempat saya saksikan sendiri ialah di dua pusat pembuang undi, di Sekolah Agama Ijok, dan Sekolah Kebangsaan Bukit Badong.

Di kampung Ijok saya tidak sanggup untuk berlamaan di situ kerana tidak tegal melihat gelagat penyokong BN yang mencaci, memaki hamun dan memperli para penyokong BA. Bahasa dan gelagat para penyokong BN terdiri daripada anak-anak muda – Putera Umno dan Puteri Umno sungguh memalu dan mengaibkan.

Mereka sudah hilang maruah diri sebagai bangsa Melayu beradat. Gelagat dan aksi mereka lebih buruk daripada gelagat kera dan beruk di dahan pokok. Kempen cintailah bahasa dan bersopan santun langsung tidak menyerap ke dalam diri mereka. Mereka tidak ada perasaan segan silu lagi untuk mencaci calon BA, Khalid Ibrahim dan Anwar Ibrahim. Antara kata-kata yang sempat didengar ialah, Khalid bodoh, tidak pandai cakap, rasuah... dan cacian kepada Anwar pula termasuk apa yang berlaku di Sanggang dulu.

Nasib baik penyokong dan perayu undi BA yang berdiri tidak sampai 50 meter dari tempat penyokong BN tidak mengikut retak dan bersikap dewasa. Mereka hanya memerahati dan lihat sahaja gelagat haiwan para penyokong BN itu. Kalaulah penyokong BA mengikut retak, mungkin pertumpahan darah akan berlaku.

Suasan hangat demikian juga berlaku di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Bukit Badong. Kata mengata, laung melaung kata-kata kesat berlaku antara satu sama lain. Kalau di Sekolah Agama Ijok penyokong BN agresif, di Bukit Badong, penyokong BA yang lebih agresif. Ketika Menteri Besar Perlis Shahidan Kassim keluar dari pusat pengundian itu para penyokong BA melaungkan Norita...Norita ke atah Shahidan.

Di Bukit Badong inilah juga berlaku penahanan dua buah bas berplat Penang yang disyaki membawa pengundi hantu. Para penyokong BA telah bertindak menghalang bas-bas berkenaan. Kekecohan dan ketegangan bermula apabila kereta penyokong BA yang berada di hadapan bas berkenaan dipecak dan dikemekkan.

Beberapa orang penyokong BA hilang kawalan dan terpaksa dikawal oleh pihak polis apabila mereka terlalu emosi dengan apa yang berlaku. Sikap polis yang seolah-olah menunjukkan berlembut daripada menghalang bas itu menyebabkan penyokong BA naik angin. Setelah kedatangan Ezam Mohammad Nor, barulah keadaan reda.

Kejadian itu menyebakan keadaan menjadi riuh randah, dan laluan terkandas kira-kira hampir setengah jam. Selepas bas berkenaan diiring dan dibawa ke balai polis oleh Ezam dan penyokong BA baru keadaan kembali tenang.

Demikianlah panorama mengenai apa yang berlaku di Ijok semalam. Merenungi kepada apa yang berlaku ia sungguh membimbangkan. Ada tanda-tanda menunjukkan pilihan raya dan demokrasi negara ini semakin tidak sihat. Ada petanda bahawa di masa akan datang, pilihan raya yang sentiasa panas itu akan diwarnai dengan noda-noda yang memalu dan menggerunkan.

Antara unsur-unsur yang dapat dikesan pada pilihan kecil Ijol selain daripada elemen biasa; sogokan, rasuah pengundi dengan projek, sekat dan ugutan, ialah elemen gansterism. Kalau diperhatikan kepada gelagat anak-anak muda yang menjadi penyokong politik khsusnya BN itu, politik dan pilihan raya kita di masa akan datang bakal hitam.

Fenomena negatif ini perlu ditangani segera. Dalam hal ini para tokoh politik dan pemimpin perlu memantaunya. Mereka perlu mendidik penyokong masing-masing supaya bersikap profesional dan rasional sesuai dengan kehendak Perdana Menteri Malaysia dan bangsanya menjadi cemerlang, gemilang dan terbilang!

Pihak SPR dan polis yang sekaligus bertanggungjawab mengendali dan menjaga keselamatan juga seharusnya memperbetulkan tindak tanduk mereka. Kita percaya kalau pilihan raya telus, jujur dan mengikut garis-garis yang ditetapkan kekcohan dan emosi meluap begitu tidak akan berlaku.

Friday, April 27, 2007

Catatan Dari Ijok, Akhir

Ada Fenomena Lunas dan Pengkalan Pasir di Ijok
MSO

KURANG 12 jam lagi tempoh berkempen pilihan raya kecil Ijok akan berakhir. Tepat jam 12.00 tengah malam ini (00.00) semua parti politik dan agennya tidak dibenarkan berkempen lagi. Kini parti politik bertanding – BN dan Keadilan sedang menghabiskan sisa-sisa masa kecederaan untuk menghabiskan kempen masing-masing.

Selama lapan hari kempen berlalu. Rasanya hampir kesemua 12,272 pengundi di Ijok termasuk yang berusia sembilan tahun dan 30 orang yang berusia lebih 100 tahun telah pun memakukan keputusan masing-masing. Siapa dan parti mana mereka pilih sudah pun ada di kepalanya.

Apa yang diharapkan keputusan itu mereka buat selepas menimbang segala isu-isu yang ditaburkan kepada mereka. Membandingkan dari segi keupayaan calon-calon yang bertanding dan misi dan visi perjuangan (pemimpin) parti-parti berkenaan.

Hendaknya jangan ada pengundi yang turun mengundi esok membuat pilihan mengikut kadar berapa mereka dibayar ataupun diupah.Dalam suasana pilihan raya kini fenomena upah, sogok dan sebagainya tidak dapat dielakkan. Pengundi dinasihati ambil segala pemberian itu, tetapi jangan membuat penentuan mengikut kadarnya. Gunakan akal yang bijak dan waras!

BN dan Keadilan sama-sama berkeyakinan.

Kedua parti meletakkan harapan dan keyakinan tinggi. BN sebagai parti yang mempertahankan kerusi Ijok berada dalam keadaan terdesak mereka mahu kekalkan kerusi berkenaan begitu yakin akan meraih kemenangan. Dengan sokongan padu komponen BN, menlacurkan makna dan erti keadilan dan mempamirkan perpaduan antara kaum dalam BN, parti itu yakin kerusi itu akan dimenangi dengan majoriti yang tidak sampai memalukan!

Begitu juga Keadilan, ia yakin akan membuat kejutan. Ijok digambarkan sebagai Lunas kedua akan dikejutkan oleh Keadilan. Keyakinan ini berpandukan kepda sambutan dan juga selera orang ramai di dalam pilihan raya itu memihak kepada Keadilan.

Memanglah jika diperhatikan sejak awal lagi, dari segi semangat dan kesungguhan Keadilan mengatasi BN. Walaupun ditekan dan dihalang dengan pelbagai kerenah birokrasi dan kesadisan politik amalan parti pemerintah namun ia tidak mematahkan semangat pekerjanya dan jentera pilihan raya Keadilan.

Sikap yang ditujukkan oleh penasihatnya, Anwar Ibrahim juga menunjukkan Keadilan mempunyai keazaman tinggi untuk menang. Ceramah Anwar yang penuh dengan variasi, isu dan serangan peribadi ke atas Timbalan Presiden Umno, Najib Razak menarik dan mendapat sambutan hangat.

Pun begitu jangan lupa BN ada kekuatan lain? Pengalaman, tenaga – man power dan kewangan yang banyak serta seribu helah yang pernah diamalkan berpihak kepada BN. BN boleh membuat lonjakan pada saat-saat akhir dan juga tindakan yang tidak termampu dicapai parti lawan.

Mengembalikan ingatan.

Melihat kepada pilihan raya Ijok menarik perhatian saya dan mengembalikan kenangan kepada dua pilihan raya kecil sebelum ini. Ada persamaan yang kontras antara satu sama lain pada pilihan raya Ijok. Dua pilihan raya itu ialah Lunas, Kedah dan Pengkalan Pasir, Kelantan. Ada fenomena Lunas dan Pengkalan Pasir di Ijok.

Apa yang dimaksudkan dengan fenomena di Lunas ialah kebangkitan pengundi Cina. Sementara apa yang dimaksudkan fenomena Pengkalan Pasir ialah, mengenai keyakinan umum kepada pembangkang.

Persoalan sekarang ini fenomena manakah bakal mezahirkan realitinya. Apakah soal kencenderungan masyarakat Cina memberi sokongan kepada pembangkang ataupun mengenai fenomena Pengkalan Pasir itu, di mana pembangkang nampak tertekan kemudian bangkit di saat-saat akhir yang bakal berlaku?

Perkiraan ringkas yang boleh dibuat di sini, sekiranya 80 peratus daripada 12,272 pengundi yang keluar, dan sekiranya dakwaan situasi hari ini mengatakan 60 peratus pengundi Melayu, 70 peratus pengundi Cina dan 10 peratus pengundi India berpihak kepada Keadilan benar, ini bermakna Keadilan akan memperolehi kira-kira 4,614 undi berbanding dengan BN sebanyak 4,186 undi. Angka ini menunjukkan Keadilan akan menang dengan majoriti 428 undi.

Bagaimana pun harus diingat ada kira-kira 1,000 pengundi lagi yang dianggarkan tidak dapat ditentukan sikap dan identiti mereka. Sekiranya 60 peratus daripada jumlah itu berpihak kepada BN ini bermakna BN akan menang dengan majoriti sekitar 500 undi.

Petunjuk paling jelas untuk meramalkan parti mana bakal menang ialah berdasarkan kepada jumlah peratusan mengundi. Sekiranya peratus keluar mengundi besok melebihi 85 peratus secara automatik BN akan menang selesa, sebaliknya sekiranya peratusan mengundi di bawah 70 peratus Keadilan mempunyai harapan besar untuk memiliki kerusi Ijok berkenaan.

Selalunya di dalam pilihan raya kecil peratusan tinggi yang mengeluar mengundi ia akan memberi advantage kepada parti Kerajaan!

Catatan Dari Ijok 3

Pak Lah Tak Mampu Selamat Ijok, Masyarakat Tionghua
Sokong Keadilan!

MSO
BARISAN NASIONAL (BN) akhirnya terpaksa juga meminta bantuan tali hayat daripada Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi untuk menyelamatkan keadaan BN yang hampir karam di Ijok sekarang ini. Lewat petang semalam (26 April) Abdullah Ahmad Badawi telah
mengadakan kunjungan ke Ijok untuk memberi semangat kepada para jentera pilihan raya BN yang sudah merasa lemah dengan perkembangan di Ijok pada masa ini apabila lebih 70 peratus pengundi Melayu cenderung untuk memilih calon Keadilan, Khalid Ibrahim.

Sekaligus pemergian Perdana Menteri itu juga menunjukkan BN di dalam keadaan tertekan dan cemas. Bagaimana pun pemergian Perdana Menteri itu dikira tidak banyak merubah suasana, apa lagi untuk membantu calon BN, melainkan sekadar untuk memenuhi permintaan para petugas jentersa BN, yang sudah panik.

Kedatangan Abdullah ke Ijok dikira satu kesilapan kerana ia boleh menjejaskan pengaruhnya sendiri. Sekiranya BN kalah pada 28 April kelak, orang boleh merumuskan, pengaruh dan pamurnya sudah merosot dan rakyat tidak lagi mempedulikannya.

Sebaliknya kalau beliau tidak hadir, sekiranya calon BN kalah orang boleh menjadikan alasan kerana Perdana Menteri tidak turun ke Ijok.

Kunjungan Abdullah ke Ijok itu sebenarnya dikatakan tidak ada dalam jadual. Abdullah berkenan untuk mencemar duli di Ijok apabila bekas Timbalan Perdana Menteri, Mahathir Mohamad turut sama campur tangan di Ijok dengan menghantar mesej supaya pengundi Ijok memilih, Khliad Ibrahim sebagai menghantar mesej kepada kerajaan.

“Abdullah sungguh bimbang dengan mesej berkenaan yang boleh menyebabkan BN kalah dengan teruk, dan kalau BN kalah teruk ia boleh menjejas dan memalukan Abdullah,” begitulah tanggapan pemerhati politik di Ijok.

Selain itu pemergian itu juga setelah BN merasa kekuatan dan pengaruh Najib Razak yang mengepalai kempen berkenaan tidak begitu mengesankan. Masalah dan isu yang dicampakkan kepadanya, seperti isu Altantuya, komisen kapal selam RM520 juta dan sebagainya menjadi Najib sendiri mati langkah dan mempunyai masalah sendiri di Ijok sehinggakan tidak boleh untuk fokus kepada pilihan raya Ijok.

Seperti dikatakan tadi kedatangan Abdullah ke Ijok tidak sampai tiga jam itu tidak dapat mengubah suasana dan juga merombak simpulan pengundi di Ijok yang mereka sudah lakukan. Baik Melayu, Cina dan India masing-masing sudah membuat keputusan siapa yang bakal mereka pilih.

Sementara itu pemandangan zahir menunjukkan rata-rata pengundi terbingkas dengan seruan yang dibawa Keadilan "undi untuk perubahan". Hurungan orang ramai di ceramah-ceramah Keadilan menjelaskan kehangatan sokongan orang ramai kepada parti berkenaan.

Bukan saja pada ceramah dihadiri Anwar, Ezam Muhammad Nor, Saifuddin Nasation Ismail tetapi ceramah yang diungguli pemimpin PAS, Abdul Hadi Awang, Nasharuddin Mat Isa dan lain-lain juga turut mendapat sambutan memberangsangkan.

Misalnya ceramah Anwar di pekan Ijok malam tadi dihadiri kira-kira lebih 2,000 masyarakat Tionghua dan ini sesuatu yang mengharukan dan menjelaskan bahawa hampir 80 peratus pengundi Cina seramai 20 peratus bersedia memberi sokongan kepada calon Keadilan.

Dalam pilihan raya sebelum ini masyarakat Tionghua di Ijok dikatakan tidak pernah menunjukkan sikap terbuka menyokong pembangkang seperti itu.

Sorakan demi sorokan dan tepukkan demi tepukan pada setiap kali Anwar melafazkan hujah-hujahnya menggambarkan sikap masyarakat Cina Ijok sedia untuk memberikan undi mereka. Apa yang berlaku di Pekan Ijok malam tadi sama dengan apa yang berlaku di Lunas lima empat tahun lepas.

Kalau hakikat ini benar, ini bermakna Ijok akan menjadi "Lunas" kedua!

Ucapan Anwar yang penuh bervariasi, humor, guruan dan sesekali serius memukau masyarakat Tionghua dan hadirin. Anwar juga seperti konfiden bahawa sokongan yang dipamirkan itu ikhlas dan jujur, bahawa masyarakat Ijok mahukan perubahan berterima kasih dan terharu dengan sokongan itu.

Ceramah di Pekan Ijok itu dikira adalah yang terakhir dan Keadilan tidak perlu merasa bimbang kepada sokongan yang diberikan kerana ia menampakkan benar bahawa undi orang-orang Cina akan dimasukkan ke dalam peti undi Keadilan.

Wednesday, April 25, 2007

Catatan Dari Ijok 2

Ada Puak Nak ‘Botolkan’ Khir Toyo di Ijok!
MSO

SELAIN Timbalan Perdana Menteri, Najib Razak, Menteri Besar Selangor, Khir Toyo@Erodikrono adalah antara orang yang paling kuat berkerja untuk memastikan calon BN, Parthiban di pilihan raya kecil Ijok menang.

Kesungguhan mereka ini nampak dengan jelas. Semangat perpaduan yang ditunjukkan oleh mereka sungguh luar biasa dan ini menjadikan mereka layak untuk dinobatkan sebagai bapa perpaduan Malaysia baru.

Sebagai kerabat MIC dalam BN, Khir dan Najib sememangnya perlu bekerja kuat. Itulah semangat perpaduan dan konsep Islam Hadhari yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi. Berkawan, membantu dan berkerja untuk sesiapa saja, tanpa mengira sempandan, warna kulit dan bersedia melupai hak-hak asasi bangsa sendiri.

Dalam melihat Khir Toyo@Erodikrono bekerja ia menampakkan semacam ada sesuatu yang menghambat menteri besar bermuka putih itu. Semacam ada sebab yang mendesak beliau. Khir semacam terdesak benar dalam menghadapi pilihan raya kecil Ijok itu sehingga beliau rela dan sanggup mengeluar dan melakukan sesuatu yang teralat kalau kita menilainya.

Begitu juga, cara Khir bekerja semacam kerajaan Selangor akan jatuh, sekiranya DUN Ijok kalah pada 28 April nanti. Seolah beliau tidak akan menjadi MB lagi selepas ini.

Misalnya dalam satu kempennya beliau menjelaskan manding, K Sivalingam sering kali memohon peruntukan untuk membina masjid. Orang faham kenapa Khir sanggup dan tergamak mendedahkan budi baik manding itu bagi menggambarkan wakil rakyat India itu mengambil mengenai nasib dan keperluan orang Melayu Islam.

Tetapi soalnya apakah dakwaan Khir itu benar? Atau sekadar dijadikan modal kempen saja. Begitu juga beliau tergesa-gesa membuka pejabat khidmat Menteri Besar di Ijok, untuk membantu dan memberi khdimat kepada rakyat dan penduduk Ijok. Kenapa dalam keadaan sekarang baru teringin hendak membuka pusat khidmat? Apa yang Khir lakukan untuk Ijok 10 tahun lalu?

Sebenarnya tidak banyak yang mengetahui sebab musabab kenapa Khir gila-gila berkempen untuk memastikan calon kerabatnya, Parthiban menang. Ada udang disebalik kerja kerasnya itu. Sebagai MB dan Pengerusi BN, Khir harus memastikan Ijok akan menang, sebab Ijok adalah penentu nasibnya.

Kekalahan di Ijok akan membawa implikasi dan padah kepadanya. Sekiranya pilihan raya itu dimenangi Khalid Ibrahim dari Keadilan, ia menjejaskan maruah dan kehebatan Khir di Selangor. Pemerhati akan melihat kekalahan itu ialah kelemahan kepimpinan Khir di Selangor yang akhirnya bakal memalapkan sinar politiknya.

Mungkin lonjokan kerja keras Khir itu kerana beliau sudah menyedari apa yang sedang berlaku dan bergerak di belakang tabir pada masa ini. Khir sudah dapat menghidu bau bahawa ada usaha dari dalam untuk memalukannya pada pilihan raya berkenaan.

Cakap-cakap dan bisik-bisik kedengaran kononnya ada pihak-pihak tertentu sedang berusaha untuk mengagal dan mengalahkan Parthiban di dalam pilihan raya itu. Mereka ini bukan benci kepada calon BN dari koponen MIC itu, apa lagi bersikap perkauman tetapi kerana tidak senang dengan Khir Toyo.

Mereka mahu mengajar Khir dalam pilihan raya itu yang pada mereka sikap dan feel Khir sudah keterlaluan. Pilihan raya kecil itu ada kesempatan terbaik bagi golongan ini untuk ‘membotolkan’ Khir kemudian menghanyutkan (politiknya) di Pelabuhan Kelang.

Siapakah golongan ini? Khir sendiri sudah dapat mengagaknya. Sebenarnya puak ini lama mengatur strategi secara senyap untuk memusnahkan politik Khir. Usaha puak-puak ini bermula sejak tahun lepas lagi.

Pendedahan mengenai kelemahan pentadbiran Khir Toyo, masalah setinggan, penyelewengan, pemberian tanah dan pendedahan masalah gejala sosial yang berantaian adalah usaha puak-puak ini.

Pendedahan mengenai pemberian tanah untuk tujuan pembangunan kepada beberapa syarikat yang berhampiran Taman Pertanian Bukit Cahaya Seri Alam tahun lepas adalah usaha terbesar puak ini. Tetapi Khir masih bernasib baik, isu itu tidak sampai mengugatkan kedudukannya apabila Abdullah Badawi dikatakan masih memberi peluang kepadanya.

Pun begitu, ia tidak bermakna usaha dan kerja-kerja menjatuhkan Khir itu terhenti setakat itu saja. Golongan atau puak berkenaan masih meneruskan serangan demi serangan secara senyap.Pilihan raya Ijok ini dikatakan kesempatan terbaik untuk mereka memalukan Khir dan menghantar mesej kepada PM bahawa Khir sudah tidak popular.

Apakah usaha ini berjaya? Yang jelas golongan yang merupakan musang berbulu ayam dan menjadi duri dalam daging kepada Khir itu sangat mengharap keputusan pilihan raya kecil Ijok 28 April ini suatu tragedi yang akan memalukan dan menamatkan riwayat politik Khir Toyo@Erodikrono.

Tuesday, April 24, 2007

Catatan Dari Ijok

Altantuya mengekori Najib di Ijok
MSO

Nama Altantunya Shaariibuu tidak mudah untuk dikikiskan daripada minda orang ramai. Selamanya ia akan dikenang. Ingatan itu bukan kerana lain, melainkan kerana bentuk kematiannya yang sungguh tragis. Lagipun modeling itu cantik dan tidak sepatutnya bani Hawa yang cantik sepertinya mati dalam keadaan menyayukan yang penuh misterius!

Mengapa beliau diingat dan dikenang ialah kerana kematiannya dikaitkan dengan bukan calang-calang orang. Abdul Razak Baginda seorang yang mempunyai profil dan reputasi yang tinggi didakwa sebagai turut terlibat dengan pembunuhan ke atas modeling itu.

Mungkin kalau setakat membabitkan Razak dan dua orang anggota UTK, ia tidak melebar begitu luas. Gemparnya sekejap saja kemudian hilang di angin lalu. Bukan tidak ada gadis-gadis atau perempuan cantik yang kematian mereka penuh tanda tanya sebelum ini. Nama-nama seperti Norita, Mutakizah adalah beberapa contoh klasik.

Tetapi kenapa ia terheret ke Ijok walaupun ianya tidak relevan di dalam pilihan raya itu?

Jawabnya ialah kerana kematian dan pembunuhannya turut dikaitkan dengan orang nombor dua negara, Najib Razak maka ia turut sama disebut. Hari ini ke mana Najib pergi (berkempen) di Ijok bukan saja Rosmah mengikutinya tetapi “Altantuya” juga mendampinginya.

Untuk beberapa malam, nama Altantuya sudah tidak disebut. Selepas Najib menzahirkan kekesalan dan kemarahan di atas pembabitan namanya dengan modeling Mongolia itu, Anwar yang menjadi juara mempelopori mengheretkan Najib dalam kancah itu memgambil sikap menghentikannya. Nama Altantuya mula diheret di Ijok pada malam Keadilan mengumumkan calonnya.

Sebelum ini di dalam beberapa siri ceramahnya Anwar telah menyebut dan mempersoalkan beberapa elemen berhubung Altantuya dengan Timbalan Perdana Menteri itu. Kerana kerancakan dan kesungguhan itu, ia menampakan Anwar menyerang Najib untuk kepentingan politik dengan menggunakan roh perempuan itu.

Hari kedua kempen pilihan raya Ijok Najib telah mula bertindak dan menjawab apa yang dibangkitkan oleh Anwar itu. Mungkin kerana telinganya sudah tidak tahan dikaitkan dengan Altantuya menyebabkan beliau bangkit untuk membendungkan Altantuya daripada menjadi hantu di Ijok.

Menurut Najib soal Altantuya tidak timbul lagi kerana ia sudah diketahui oleh Peguam Negara, Polis dan Perdana Menteri.

Beliau juga berkata apa yang dibangkitkan tidak perlu dijawab kerana proses undang-undang akan menjawab segala dakwaan dan tuduhan ke atasnya. Apa yang dimaksudkan Najib perbicaraan ke atas Abdul Razak Baginda, pemikir politiknya dan dua anggota UTK kelak akan memutihkan dirinya daripada persepsi itu.

Najib nampaknya yakin bahawa beliau tidak terbabit dan namanya tidak akan disebut di sepanjang perbicaraan itu? Itulah yang diharap dan didoakan.

Jawaban dan penjelasan Najib ternyata meresahkan dirinya sendiri. Jawaban itu tidak mendamaikannya sehinggalah beliau sekali lagi cuba membersihkan diri daripada tuduhan itu dengan bersumpah atas nama Allah. (Nama Allah yang mana satu tidak dinyatakan, untuk pengetahuan Allah ada 99 nama). Kebangkitan dan penerusan Najib menjawab isu ini secara tidak langsung bahawa anak perdana menteri kedua itu tidak lena tidur.

Dalam sistem perundangan atau mahkamah yang diamalkan, sumpah atau apa-apa kenyataan dan bukti yang tidak berupa fizikal tidak akan diterima oleh mahkamah. Anwar Ibrahim disepanjang perbicaraannya selama kira-kira lima tahun lalu beberapa kali cuba membaca ayat Quran untuk menyokong hujah dan juga sebagai pandangan tetapi ditolak oleh Hakim dengan mengatakan ianya tidak relevan. Maknanya dalam kes pembunuhan sumpah alias junjung Quran sebagai menafikan tidak boleh dipakai.

Tidak cukup dengan sumpah atas nama Allah, Najib juga dibantu oleh isterinya, Rosmah Mansor yang memberi cop mohor (perakui) bahawa suaminya (Najib) difitnah. Katanya dia tahu yang suaminya seorang yang baik dan senantiasa menjaga maruah keluarganya sebagai orang baik-baik. Jadi apabila isteri turut sama campur tangan membela suami, bererti kes yang dipikul suami sangatlah berat!

Malam tadi (23 April 2007) isu dan nama Altantuya bergema sekali lagi yang ditimbul oleh Anwar ketika berceramah di Bukit Badong. Kali ini isu tersbut timbul kerana Anwar cuba menjelaskan bahawa beliau sesekali tidak menuduh Najib terlibat dengan kes pembunuhan Altantuya.

Apa yang dibangkitkan oleh Penasihat Keadilan itu, menurutnya beliau hanya bertanya dan memimta polis menyiasat beberapa perkara disebalik kejadian itu sebagai penjelasan. Itu saja.

Katanya kalau polis boleh menanyai seorang penduduk kampung berapa yang Anwar berikan kepadanya kerana mengadakan kenduri dan menjemputnya (Anwar), beliau mahu polis juga bertanya kepada Najib berapa banyak komisyen yang TPM itu dapat hasil pembelian kapal selem dan peralatan perang.

Tiga perkara yang didedask oleh Anwar berhubung kes Altantuya ialah:

  1. Menyiasat Najib selaku Menteri Pertahanan bagaimana alat peledak (bom) C4 boleh digunakan oleh dua anggota UTK yang didakwa meledakkan mayat Altantuya.
  2. Menyiasat dan menanyakan Najib berkaitan dengan komisyen sebanyak RM520 juta dan RM400 juga hasil pembelian kapal selam dari Perancis dan kapal perang Sukhoi dari Russia.
  3. Siapa yang mengarahkan melupuskan rekod kemasukan Altantuya ke Malaysia?

Itulah tiga persoalan dan desakan dibangkit oleh Anwar malam tadi dan ianya menangihkan jawaban konkrit daripada Najib. Apakah soalan itu akan dijawab baik secara objektif atau subjektif oleh Najib? Jawab tidak jawab apa yang boleh disimpulkan bahawa isu dan roh Altantuya tetap akan menerawang di Ijok sehingga pada 28 April nanti dan menganggu sesiapa yang membuat jahat ke atasnya!

Sunday, April 22, 2007

Tersalah langkah ke majlis Mahathir

Mahathir Mahukan Khalid Menang di Ijok.
MSO

PETANG semalam (Sabtu, 21 April) selepas menghadiri majlis perkahwinan anak adik Anwar Ibrahim, Rusli Ibrahim di Ampang Jaya bersama Ibrahim Ali, saya tersesat memasuki majlis “Sepetang Bersama Mahathir” di Kelab Darul Ehsan. Kehadiran saya itu adalah pertama kali dalam majlis atau program membabitkan Dr Mahathir Mohamad.

Sebelum ini sudah lebih 10 majlis membabitkan Mahathir dalam rangka menyerang dan mendedahkan tembelang dan kelemahan Abdullah Ahmad Badawi diadakan yang bermula di Kelab Melawati, namun semuanya saya tidak hadir.

Hatta majlis itu diadakan di Kelantan anjuran Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK), saya tidak sudi untuk pulang kerana sebab-sebab dan prinsip yang saya pegang. Ramai teman penulis bertanya, dan merasa hairan kenapa saya tidak hadir ke majlis melibatkan Mahathir dan menganggap sikap itu tidak profesional.

Rosli Ismail, (Agenddadilay) secara berseloroh menyebut sikap saya itu sebagai anti Mahathir. Katanya cara saya itu tidak profesional kerana selaku penulis/wartawan kita kena pergi ke semua tempat untuk mendapat maklumat.

Saya akui dan bersetuju dengan kata-kata Rusli, penulis yang profesional harus berada di mana-mana saja dan bersedia membuang sentimen puak dan idelogi. Tetapi di sini saya ingin menambah sedikit, kita juga harus menulis apa saja yang kita dengar, pandang dan tahu secara peofesional dan penuh keadilan juga tanpa mengira ianya datang dari kem mana; apakah kita suka atau tidak. Saya harap Rusli bersetuju dengan saya?

Saya menerima itu, tetapi dalam konteks Mahathir saya tidak mudah menerima amalan itu kerana prinsip yang saya pegang.

Ibrahim Ali bekas Ketua Umno Pasir Mas yang dilihat orang yang rapat dan baik dengan saya juga beberapa kali mempelawa saya menghadiri majlis Mahathir. Beliau juga menyuruh saya bertindak seperti Raja Petra Kamaruddian (Pet), yang kini begitu mesra dengan majlis Mahathir walaupun suatu masa dulu Mahathir dikatakan kurang senang dengan tuan punya protal berita internet – Malaysia-today itu.

Tetapi petang itu saya melanggar prinsip saya.

Walaupun itulah pertama kali saya hadir pada majlis Mahathir, tidaklah canggung sangat saya berada selama kira-kira 2 jam setengah dalam majlis itu. Saya menjalankan tugas dan tangungjawab seperti biasa, selaku penulis yang profesional dan melupai sekejap soal prinsip.

Majlis itu memberi pengalaman dan maklumat yang jelas kepada saya. Apa yang dapat diperhatikan, tentang orang-orang yang hadir ianya adalah orang yang sama kelihatan (menerusi video) pada majlis-majlis Mahathir sebelum ini. Kebanyakan mereka adalah orang yang ada masalah dan tidak menyenangi Abdullah secara peribadi.

Sementara sebahagian wajah yang ada, adalah wajah yang sama kelihatan pada majlis yang dihadiri oleh Tengku Razaleigh Hamzah. Dalam erti kata lain, mereka yang hadir itu tidak lebih darpada ahli club Mahathir atau penyayang Mahathir kerana didorong dua sebab. Pertama, kerana mengenang budi Mahathir sebagai pejuang, dan kedua kerana tidak menyenangi Abdullah.

Majlis anjran Umno Cawangan Pusat Bandar Taman Cempaka, Bahagian Pandan itu seperti biasa diisi dengan ucapan oleh Mahathir kemudian disusuli dengan dialog dan sesi kenyataan akhbar. Sebelum Mahathir berucap beliau diberikan cenderama replika pedang zulfakar yang disampaikan Syed Saifuddin Harman dan memotong kek Merdeka bersama isterinya, Siti Hasmah Ali.

Setiap kali ada majlis seperti itu apa yang diharapkan Mahathir akan menyerang Abdulah ataupun menantunya. Atau pun Mahathir akan mendedahkan isu ataupun tembelang baru kerajaan atau pun mengisahkan secara jenaka mengenai kelemahan dan kedayusan Abdullah. Tetapi petang semalam tidak banyak sinikal Mahathir tentang Abdullah.

Cuma apabila Mahathir ada sentuh sedikit soal Abdullah dan memperli Khairy Jamaluddin, bukan main lagi dentumuman meja dan tepukan gemuruh diberikan. Saya percaya suasana itulah juga yang berlaku pada setiap kali majlis-majlis Mahathir sebelum ini.

Sayang petang itu (mungkin kerana kehadiran saya!), tidak banyak serangan Mahathir kepada Abdullah. Malahan tidak ada isu baru sebaliknya ulangan isu-isu lama. Beliau bercakap soal ketidakadilan dan kehilagan demokrasi dalam Umno akhir-akhri ini dan juga mengenai usaha untuk menyingkirkan beliau dari Umno.

Walaupun Mahathir percaya dan yakin Umno tidak akan berbuat begitu, namun beliau cuba menceritakan bahawa Umno pimpinan Abdullah hari ini begitu parah sehinggakan sudah hilang pedoman dan bersedia bertindak secara tidak demokratik lagi termasuk menyalah gunakan kuasa.

Isu rumah di Perth berharga RM60 juta yang dikaitkan dengan Abdullah sebelum ini yang menimbulkan kekeliruan fakta sehingga Mahathir memohon maaf juga tidak dijelaskan. Cuma bekas PM itu menegaskan beliau tidak meminta maaf kepada Abdullah berhubung rumah itu cuma meminta maaf kerana mendedahkan maklumat mengenai rumah itu yang tidak tepat.

Apa yang yang menyeronok majlis petang semalam ialah berhubung pilihan raya kecil Ijok yang sedang berlangsung sekarang ini, di mana Mahathir telah memberi mesej agar calon Keadilan , Tan Sri Khlid Ibrahim diberikan kemenangan.

Tegasnya kemenangan BN tidak akan menjejaskan Kerajaan Selangor, sebaliknya kemenangan itu kelak akan dieksploitasikan sebagai betapa besar dan kuat pengaruh Mr Celan.

Kesimpulannya majlis petang semalam tidak menyerang sangat Abdullah tetapi mahukan orang ramai melaksanakan mesejnya agar jangan berikan Abdullah kuasa terlalu besar!

Thursday, April 19, 2007

Bingkasan Semasa

Najib Mula Menjawab Dakwaan Anwar
MSO

AKHIRNYA Najib Razak bersuara juga dan memberi reaksi ke atas kritikan dan dakwaan yang dilemparkan kepadanya khusus yang dibuat oleh bekas TPM Anwar Ibrahim. Semalam ketika melancarkan jentera pilihan raya kecil BN Ijok, Najib menjelaskan beliau tidak takut dengan segala dakwaan itu.

Katanya, beliau tidak takut mengenai tuduhan pembabitannya berhubung pembunuhan modeling Mongolia Altantuya Sharribbu. Alasan Najib senang saja kerana semua orang tahu mengenai pembunuhan itu termasuk Perdana Menteri, Peguam Negara dan Polis.

"Jangan hendak main tipu, jangan main politik kotor. Peguam Negara, Polis dan Perdana Menteri pun tahu," katanya dipetik.

Soalnya, apakah yang PM, Peguam Negara dan Polis tahu mengenai hal itu dan betulkah ketiga mereka tahu? Logiknya seharusnya ketiga mereka tahu seperti mana kata Najib, cuma tahu itu bagaiamana dan apakah mereka telah bertindak sekiranya mereka tahu?

Najib tidak menjelaskan. Tetapi dari konotasi Najib itu ia memberi gambaran, bahawa mereka itu – PM, Peguam Negara dan Polis tahu yang beliau tidak terlibat dalam pembunuhan berkenaan?

Biarpun begitu itu kenyataan Najib, umum sudah mendengar dakwaan dan tuduhan yang dibuat ke atasnya berhubung perkara itu. Sebenarnya Anwar atau sesiapa tidak mengaitkan hal itu dengan Najib secara langsung cuma mempertikaikan bagaimana dua orang anggota UTK yang berada di bawah jagaan (kerajaan) Najib boleh menjadi alat kepada pembunuhan itu!

Sekiranya perkara itu dapat diuraikan dengan baik dan munasabah oleh Najib, isu itu tidak perlu timbuldan ia tidak sedikit pun membekaskan kepada batang tubuhnya.

Apapun mengenai dakwaan itu akan selesai dan terjawab apabila perbicaraan orang yang dituduh membunuh Altantuya, Razak Baginda yang juga pemikir politik (think tank) Najib berlangsung nanti.

Mengenai reaksi TPM itu mungkin ada orang merasakan Najib mula menunjukkan keberanian dan rasa rileksnya dalam menghadapi tuduhan dibuat Anwar. Tetapi penjelasan Najib itu sebetulnya tidak menuntaskan segalanya.

Mungkin soal pembunhan Altantuya, Najib berjaya melepaskan dirinya. Setakat ini dan selagi namanya tidak dibabit dan dikaitkan dengan pembunuhan itu orang melihat Najib selamat dan tidak terlibat. Tetapi bagaimana kalau di dalam perbicaraan nanti tiba-tiba nama Najib atau isteri Rosmah terkait?

Najib setakat ini hanya menjawab isu itu (Altantuya) saja. Dua isu lagi yang dibangkitkan Anwar beliau masih belum menjawabnya. Isu itu ialah mengenai komisen pembelian kapal selam Peranchis sebanyak RM520 juta dan pembelian kapal perang Sukhoi Russia sebanyak RM400 juta.

Dua isu yang membabitkan Najib secara langsung ini juga perlu dijawab dan dibalas oleh Najib. Sudah lama Anwar menjaja isu ini bukan saja dalam negeri bahkan di seantero dunia.

Menjawab dan hanya menjelaskan tidak terbabit dengan pembunuhan Altantuya atau pun mempunyai apa-apa hubungan dengan Altantuya tidak akan turut menjawab kedua isu berkenaan. Isu Altantuya dan komisen itu berlainan antara satu sama lain.

Malahan isu komisen itu dilihat lebih besar dan boleh menjejaskan kredibiliti negara dan kredibiliti Najib sendiri selaku pemimpin memandangkan Najib adalah Menteri Pertahanan. Najib harus mendedahkan kertas putih mengenai perkara itu dan jika beliau tetap mengambil sikap mendiamkan diri, pemerhatian serong ke atasnya tidak boleh dipadamkan.

Tanggungjawab menjawab segala isu yang dilemparkan oleh Anwar itu adaah wajib bagi Najib untuk meletakkan dirinya sebagai berwibawa untuk menjadi Perdana Menteri. Kalau Najib gagal menjawab dan menjelaskan ia boleh mengelabukan masa depannya untuk menjadi Perdana Menteri.



Wednesday, April 18, 2007

Pilihan Raya Kecil (DUN) Ijok

Sekitar majlis pengumuman calon PKR, 17 April 2008.
MSO





PARTI Keadilan Rakyat (PKR) dan Barisan Nasional (BN) masing-masing telah mengesahkan akan bertarung di dalam pilihan raya kecil DUN Ijok pada 29 April kelak. Tidak sampai 24 jam BN mengumumkan calonnya, K Parthiban, 38, PKR turut berbuat demikian dengan mengumumkan Bendahari Agungnya yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif PNB Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai calonnya.

Pengumuman itu dibuat oleh Presiden PKR Dr Wan Aizah Ismail di hadapan kira-kira 4,000 para penyokong PKR dan penduduk Ijok di suatu majlis di pekan Batang Berjuntai kira-mira jam 10.35 malam tadi.


Turut sama hadir pada majlis itu, Penasihat PKR Datuk Sri Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa serta beberapa pemimpin tertinggi PKR dan PAS lain.

Bagaimana pun pemimpin tertinggi DAP tidak kelihatan pada majlis berkenaan.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian wakil BN (MIC), Datuk K Sivalingam di Chennai, India pada 4 April lalu.

Penamaan calon akan diadakan pada Khmis ini, 19 April dan hari mengundi 28 April.

DUN Ijok mempunyai 12,272 pengundi berdaftar, dengan komposisi Melayu 50.4%, India 28.6%, China 20.8% dan lain-lain 0.1%.

Tuesday, April 17, 2007

BN Sabah Bakal Bergolak?

PETIKAN DARI

MSO

KEJUTAN terbaru yang berlaku sehari dua ini di dalam komponen Barisan Nasional (BN) ialah perletakan jawatan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Chong Kah Kiat. Tanpa angin yang membisikan khabar tiba-tiba bekas Ketua Menteri Sabah (mengikut pengiliran) itu menghantar surat kepada Yang Dipertua Sabah, Tun Ahmadshah Abdullah dan akan berhenti berkuasa kuasa Isnin ini.

Beliau mengambil masa baik untuk melepaskan jawatan itu, iaini selepas selesai pengundian di Machap, Melaka. Beliau berbuat demikian tentulah untuk mengelakkan perletakan jawatannya itu memberi impak kepada calon MCA di Machap. Langkah itu juga menunjukkan sikap bijak Kah Kiat dan pandangan jauhnya dalam menjaga wibawa BN.

Cuma alasan kuat untuk menjadi sebab Kah Kiat letak jawatan ialah kerana hubungan tidak baik beliau dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman. Kah Kiat juga menyebut tentang hal ini, yang mengakui ada krisis dengan Ketua Menteri. Namun butiran krisis yang jelas tidak dinyatakan oleh kedua pihak.

Musa pula ketika memberi reaksi kepada perletakan jawatan Kah Kiat itu yang dibuat kerana prinsip itu, hanya berkata, ia adalah perkara biasa. Semua orang ada prinsip katanya.
Soalnya apakah prinsip yang dipertahankan oleh bekas presiden Liberal Demokratik Parti itu (LDP) itu?

Inilah yang harus dicari dan dianalisa. Tentulah prinsip itu sesuatu yang boleh mencabar peribadi dan kewibawaanya selaku pemimpin. Sebab ada kalanya sesuatu prinsip yang dipertahankan seseorang, relevan atau pun tidak munasabah sama sekali. Atau ia membawa kepentingan umum dan sebaliknya bersifat peribadi.

Dalam konteks Kah Kiat apakah prinsip itu membawa kepada kepentingan umum?

Di luar pula ada menyebut, perletakan Kah Kiat itu kerana kecewa dengan tindakan Musa Aman yang tidak meluluskan permintaanya untuk membina tokong Budha, di Kudat Sabah. Beliau dikatakan sudah lama mencari dana untuk membina tokong berkenaan, tetapi Musa tidak membenarkan kerana bantahan umat Islam di sana. Jadi mungkin kerana kecewa dengan keadaan itu beliau berudur?

Namun, semua itu adalah persepsi di sebalik tirai umum. Apa sebenar yang berlaklu ia menjadi milik atau rahsia Kah Kiat dan Musa Aman sendiri.

Walaupun keduanya cuba mengelakkan kontroversi, untuk tidak menjejaskan BN Sabah menjelang pilihan raya akan datang, namun apa yang berlaku kepada Kah Kiat itu tetap menarik dan membawa senario baru dalam BN di Sabah. Sedikit sebanyak perletakan jawatan itu akan dieksploitasikan oleh para musuh politiknya.

Sebelum ini sudah kedengaran berbagai isu mengenai politik di Sabah. Dan apa yang berkaku itu semacam tidak ada penyelesaian tuntas, atau semacam sengaja dibangkitkan untuk menjadi umpan lazat pada pilihan raya akan datang.

Antara apa yang kedengaran dari Semenanjung ialah mengenai projek “IC Palsu” yang membuak-buak dan berleluasa di sana menyebabkan rakyat asing dengan senang menjadi ‘warganegara’ Malaysia. Selepas itu kedengaran pula mengenai segugus laporan polis berhubung dakwaan rasuah ke atas Ketua Menteri. Laporan polis mengenai rasuah Musa Aman itu kini sudah menjelajahi ke segenap laman web di internet.

Walaupun ada pihak cuba menimbuskan laporan internet itu sebagai palsu, namun momokan itu tidak mudah untuk dihapuskan. Orang tetap membacanya dan ada yang mempercayainya. Selagi tidak ada penjelasan baik dari Musa, pihak polis dan BPR, cerita mengenai rasuah itu ianya akan terus menjadi isu yang menarik.

Itu antara dua isu. Namun ada isu yang lebih menarik dan perlu dibimbangi oleh BN mengenai apa-apa yang sedang berlaku di Sabah ketika ini. Ada cerita mengatakan angin perubahan akan sekali lagi melanda negeri di Bawah Bayu itu. Umno yang kini menjadi teras pemerintah Sabah dikatakan akan berhadapan dengan satu pergolakan baru.

Sabah yang terkenal dengan negeri di Bawah Bayu yang disering dilanda tufan politik yang maha dahsyat. Dan kini Sabah dikatakan bakal berhadapan dengan fenomena ini sekali lagi menjelang pilihan raya umum akan datang. Kononnya tampuk pemerintahan Sabah akan bertukar tangan sekali lagi.

Sesungguhnya taufan politik yang pernah berlaku di Sabah, ianya ada pembawa atau sumber dan sebab musababnya. Kalau semasa kejatuhan Usno pimpinan Tun Datuk Mustafa Harun dulu kerana Parti Bersatu Sabah (PBS) selaku taufan, dan kejatuhan PBS pimpinan Pairin Ketingan kerana Umno selaku taufan, maka hal yang sama juga akan melanda Umno kali ini. Akan ada satu parti politik yang bakal bertindak menjadi taufan bakal meranap Umno Sabah!

Apakah fenomena itu? Penyertaan beberapa orang tokoh politik Sabah ke dalam Parti Keadilan Nasional (PKR) dikatakan telah membawa semangat baru kepada parti berkenaan. Mereka sedang giat menyusun strategi untuk menumbangkan Umno Sabah.

Melihat kepada senerio ini, apa yang boleh dipersoalkan, apakah perletakan jawatan Kah Kiat itu antara lain akan memperkuatkan usaha mereka dan PKR Sabah itu? Apakah ada ura-ura bahawa parti bekas pimpinan Kah Kiat itu – LDP akan bersama PKR untuk menentang BN di Sabah? Kalau kemungkinan itu ada, maka yang bakal menjadi taufan politik di Sabah kali ini ialah PKR dan LDP!

Pemula Bicara


TIDAK siapa yang dapat memastikan di manakah kita memulakan hidup atau perjalanan ini. Mana dan apakah titik yang memulakan hidup kita. Juga ke mana destinasi perjalanan kita ini. Yang sering kita dengar, kita hidup adalah untuk mati! Betulkah begitu; apakah tidak kita mati kerana untuk hidup? Terserah.

Tetapi destinasi perjalanan atau hidup kita yang benar ialah ke 'rumah' kita sendiri. Kita harus sampai ke halaman kehidupan kita sebenarnya. Destinasi perjalanan kita bukan jauh beribu batu, tetapi sebaliknya kita harus kembali kepada tapak dan jejak asal kita.

Dalam erti kata lain destinasi kita ialah rumah kita sendiri. Kita harus kembali ke dalam rumah kita sendiri, ke dalam diri kita sendiri. Mengenali rumpun kita, mengenal tanah air kita dan mengenali pegangan (agama) kita. Perjalanan sebenarnya tidak bermula jauh dan begitu juga destinasi tidak jauh.

Cuma bagi mereka yang sesat akal, sesat fikiran dan sesat di dalam diri sendiri meronta-ronta dan mencari-cari destinasi hidup dan perjalanannya. Mereka itu sebenarnya sudah tersasau jauh sehingga mereka tidak tahu rupa dan warna diri lagi. Mereka sudah kabur mengenai jati diri dan kabur mengenai pegangan jiwanya.

Nah sesudah kita sampai ke destinasi hidup dan perjalanan kita - iaini di laman diri kita sendiri, maka kita beristirehatlah di sana. Duduklah dengan tenang dan harmonis. Kita tidak perlu lagi kalut-kalut atau berfikir sesuatu yang jauh di sebalik hakikat kehidupan kita. Cubalah berusaha untuk mengindah laman kehidupan kita dengan segala wangian bunga-bunga dan segala gemersikan bunyian yang mengasyikkan kita.

Jauh dari itu cubalah mengenal diri sendiri sebenar-benar kenal. Kenal dalam erti kata 'marifat' dengan diri sendiri. Mengenal asal usul segala zat atau komponen yang mewujudkan diri kita ini.
Sekian.