Tuesday, April 17, 2007

BN Sabah Bakal Bergolak?

PETIKAN DARI

MSO

KEJUTAN terbaru yang berlaku sehari dua ini di dalam komponen Barisan Nasional (BN) ialah perletakan jawatan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Chong Kah Kiat. Tanpa angin yang membisikan khabar tiba-tiba bekas Ketua Menteri Sabah (mengikut pengiliran) itu menghantar surat kepada Yang Dipertua Sabah, Tun Ahmadshah Abdullah dan akan berhenti berkuasa kuasa Isnin ini.

Beliau mengambil masa baik untuk melepaskan jawatan itu, iaini selepas selesai pengundian di Machap, Melaka. Beliau berbuat demikian tentulah untuk mengelakkan perletakan jawatannya itu memberi impak kepada calon MCA di Machap. Langkah itu juga menunjukkan sikap bijak Kah Kiat dan pandangan jauhnya dalam menjaga wibawa BN.

Cuma alasan kuat untuk menjadi sebab Kah Kiat letak jawatan ialah kerana hubungan tidak baik beliau dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman. Kah Kiat juga menyebut tentang hal ini, yang mengakui ada krisis dengan Ketua Menteri. Namun butiran krisis yang jelas tidak dinyatakan oleh kedua pihak.

Musa pula ketika memberi reaksi kepada perletakan jawatan Kah Kiat itu yang dibuat kerana prinsip itu, hanya berkata, ia adalah perkara biasa. Semua orang ada prinsip katanya.
Soalnya apakah prinsip yang dipertahankan oleh bekas presiden Liberal Demokratik Parti itu (LDP) itu?

Inilah yang harus dicari dan dianalisa. Tentulah prinsip itu sesuatu yang boleh mencabar peribadi dan kewibawaanya selaku pemimpin. Sebab ada kalanya sesuatu prinsip yang dipertahankan seseorang, relevan atau pun tidak munasabah sama sekali. Atau ia membawa kepentingan umum dan sebaliknya bersifat peribadi.

Dalam konteks Kah Kiat apakah prinsip itu membawa kepada kepentingan umum?

Di luar pula ada menyebut, perletakan Kah Kiat itu kerana kecewa dengan tindakan Musa Aman yang tidak meluluskan permintaanya untuk membina tokong Budha, di Kudat Sabah. Beliau dikatakan sudah lama mencari dana untuk membina tokong berkenaan, tetapi Musa tidak membenarkan kerana bantahan umat Islam di sana. Jadi mungkin kerana kecewa dengan keadaan itu beliau berudur?

Namun, semua itu adalah persepsi di sebalik tirai umum. Apa sebenar yang berlaklu ia menjadi milik atau rahsia Kah Kiat dan Musa Aman sendiri.

Walaupun keduanya cuba mengelakkan kontroversi, untuk tidak menjejaskan BN Sabah menjelang pilihan raya akan datang, namun apa yang berlaku kepada Kah Kiat itu tetap menarik dan membawa senario baru dalam BN di Sabah. Sedikit sebanyak perletakan jawatan itu akan dieksploitasikan oleh para musuh politiknya.

Sebelum ini sudah kedengaran berbagai isu mengenai politik di Sabah. Dan apa yang berkaku itu semacam tidak ada penyelesaian tuntas, atau semacam sengaja dibangkitkan untuk menjadi umpan lazat pada pilihan raya akan datang.

Antara apa yang kedengaran dari Semenanjung ialah mengenai projek “IC Palsu” yang membuak-buak dan berleluasa di sana menyebabkan rakyat asing dengan senang menjadi ‘warganegara’ Malaysia. Selepas itu kedengaran pula mengenai segugus laporan polis berhubung dakwaan rasuah ke atas Ketua Menteri. Laporan polis mengenai rasuah Musa Aman itu kini sudah menjelajahi ke segenap laman web di internet.

Walaupun ada pihak cuba menimbuskan laporan internet itu sebagai palsu, namun momokan itu tidak mudah untuk dihapuskan. Orang tetap membacanya dan ada yang mempercayainya. Selagi tidak ada penjelasan baik dari Musa, pihak polis dan BPR, cerita mengenai rasuah itu ianya akan terus menjadi isu yang menarik.

Itu antara dua isu. Namun ada isu yang lebih menarik dan perlu dibimbangi oleh BN mengenai apa-apa yang sedang berlaku di Sabah ketika ini. Ada cerita mengatakan angin perubahan akan sekali lagi melanda negeri di Bawah Bayu itu. Umno yang kini menjadi teras pemerintah Sabah dikatakan akan berhadapan dengan satu pergolakan baru.

Sabah yang terkenal dengan negeri di Bawah Bayu yang disering dilanda tufan politik yang maha dahsyat. Dan kini Sabah dikatakan bakal berhadapan dengan fenomena ini sekali lagi menjelang pilihan raya umum akan datang. Kononnya tampuk pemerintahan Sabah akan bertukar tangan sekali lagi.

Sesungguhnya taufan politik yang pernah berlaku di Sabah, ianya ada pembawa atau sumber dan sebab musababnya. Kalau semasa kejatuhan Usno pimpinan Tun Datuk Mustafa Harun dulu kerana Parti Bersatu Sabah (PBS) selaku taufan, dan kejatuhan PBS pimpinan Pairin Ketingan kerana Umno selaku taufan, maka hal yang sama juga akan melanda Umno kali ini. Akan ada satu parti politik yang bakal bertindak menjadi taufan bakal meranap Umno Sabah!

Apakah fenomena itu? Penyertaan beberapa orang tokoh politik Sabah ke dalam Parti Keadilan Nasional (PKR) dikatakan telah membawa semangat baru kepada parti berkenaan. Mereka sedang giat menyusun strategi untuk menumbangkan Umno Sabah.

Melihat kepada senerio ini, apa yang boleh dipersoalkan, apakah perletakan jawatan Kah Kiat itu antara lain akan memperkuatkan usaha mereka dan PKR Sabah itu? Apakah ada ura-ura bahawa parti bekas pimpinan Kah Kiat itu – LDP akan bersama PKR untuk menentang BN di Sabah? Kalau kemungkinan itu ada, maka yang bakal menjadi taufan politik di Sabah kali ini ialah PKR dan LDP!

No comments: