Tuesday, April 24, 2007

Catatan Dari Ijok

Altantuya mengekori Najib di Ijok
MSO

Nama Altantunya Shaariibuu tidak mudah untuk dikikiskan daripada minda orang ramai. Selamanya ia akan dikenang. Ingatan itu bukan kerana lain, melainkan kerana bentuk kematiannya yang sungguh tragis. Lagipun modeling itu cantik dan tidak sepatutnya bani Hawa yang cantik sepertinya mati dalam keadaan menyayukan yang penuh misterius!

Mengapa beliau diingat dan dikenang ialah kerana kematiannya dikaitkan dengan bukan calang-calang orang. Abdul Razak Baginda seorang yang mempunyai profil dan reputasi yang tinggi didakwa sebagai turut terlibat dengan pembunuhan ke atas modeling itu.

Mungkin kalau setakat membabitkan Razak dan dua orang anggota UTK, ia tidak melebar begitu luas. Gemparnya sekejap saja kemudian hilang di angin lalu. Bukan tidak ada gadis-gadis atau perempuan cantik yang kematian mereka penuh tanda tanya sebelum ini. Nama-nama seperti Norita, Mutakizah adalah beberapa contoh klasik.

Tetapi kenapa ia terheret ke Ijok walaupun ianya tidak relevan di dalam pilihan raya itu?

Jawabnya ialah kerana kematian dan pembunuhannya turut dikaitkan dengan orang nombor dua negara, Najib Razak maka ia turut sama disebut. Hari ini ke mana Najib pergi (berkempen) di Ijok bukan saja Rosmah mengikutinya tetapi “Altantuya” juga mendampinginya.

Untuk beberapa malam, nama Altantuya sudah tidak disebut. Selepas Najib menzahirkan kekesalan dan kemarahan di atas pembabitan namanya dengan modeling Mongolia itu, Anwar yang menjadi juara mempelopori mengheretkan Najib dalam kancah itu memgambil sikap menghentikannya. Nama Altantuya mula diheret di Ijok pada malam Keadilan mengumumkan calonnya.

Sebelum ini di dalam beberapa siri ceramahnya Anwar telah menyebut dan mempersoalkan beberapa elemen berhubung Altantuya dengan Timbalan Perdana Menteri itu. Kerana kerancakan dan kesungguhan itu, ia menampakan Anwar menyerang Najib untuk kepentingan politik dengan menggunakan roh perempuan itu.

Hari kedua kempen pilihan raya Ijok Najib telah mula bertindak dan menjawab apa yang dibangkitkan oleh Anwar itu. Mungkin kerana telinganya sudah tidak tahan dikaitkan dengan Altantuya menyebabkan beliau bangkit untuk membendungkan Altantuya daripada menjadi hantu di Ijok.

Menurut Najib soal Altantuya tidak timbul lagi kerana ia sudah diketahui oleh Peguam Negara, Polis dan Perdana Menteri.

Beliau juga berkata apa yang dibangkitkan tidak perlu dijawab kerana proses undang-undang akan menjawab segala dakwaan dan tuduhan ke atasnya. Apa yang dimaksudkan Najib perbicaraan ke atas Abdul Razak Baginda, pemikir politiknya dan dua anggota UTK kelak akan memutihkan dirinya daripada persepsi itu.

Najib nampaknya yakin bahawa beliau tidak terbabit dan namanya tidak akan disebut di sepanjang perbicaraan itu? Itulah yang diharap dan didoakan.

Jawaban dan penjelasan Najib ternyata meresahkan dirinya sendiri. Jawaban itu tidak mendamaikannya sehinggalah beliau sekali lagi cuba membersihkan diri daripada tuduhan itu dengan bersumpah atas nama Allah. (Nama Allah yang mana satu tidak dinyatakan, untuk pengetahuan Allah ada 99 nama). Kebangkitan dan penerusan Najib menjawab isu ini secara tidak langsung bahawa anak perdana menteri kedua itu tidak lena tidur.

Dalam sistem perundangan atau mahkamah yang diamalkan, sumpah atau apa-apa kenyataan dan bukti yang tidak berupa fizikal tidak akan diterima oleh mahkamah. Anwar Ibrahim disepanjang perbicaraannya selama kira-kira lima tahun lalu beberapa kali cuba membaca ayat Quran untuk menyokong hujah dan juga sebagai pandangan tetapi ditolak oleh Hakim dengan mengatakan ianya tidak relevan. Maknanya dalam kes pembunuhan sumpah alias junjung Quran sebagai menafikan tidak boleh dipakai.

Tidak cukup dengan sumpah atas nama Allah, Najib juga dibantu oleh isterinya, Rosmah Mansor yang memberi cop mohor (perakui) bahawa suaminya (Najib) difitnah. Katanya dia tahu yang suaminya seorang yang baik dan senantiasa menjaga maruah keluarganya sebagai orang baik-baik. Jadi apabila isteri turut sama campur tangan membela suami, bererti kes yang dipikul suami sangatlah berat!

Malam tadi (23 April 2007) isu dan nama Altantuya bergema sekali lagi yang ditimbul oleh Anwar ketika berceramah di Bukit Badong. Kali ini isu tersbut timbul kerana Anwar cuba menjelaskan bahawa beliau sesekali tidak menuduh Najib terlibat dengan kes pembunuhan Altantuya.

Apa yang dibangkitkan oleh Penasihat Keadilan itu, menurutnya beliau hanya bertanya dan memimta polis menyiasat beberapa perkara disebalik kejadian itu sebagai penjelasan. Itu saja.

Katanya kalau polis boleh menanyai seorang penduduk kampung berapa yang Anwar berikan kepadanya kerana mengadakan kenduri dan menjemputnya (Anwar), beliau mahu polis juga bertanya kepada Najib berapa banyak komisyen yang TPM itu dapat hasil pembelian kapal selem dan peralatan perang.

Tiga perkara yang didedask oleh Anwar berhubung kes Altantuya ialah:

  1. Menyiasat Najib selaku Menteri Pertahanan bagaimana alat peledak (bom) C4 boleh digunakan oleh dua anggota UTK yang didakwa meledakkan mayat Altantuya.
  2. Menyiasat dan menanyakan Najib berkaitan dengan komisyen sebanyak RM520 juta dan RM400 juga hasil pembelian kapal selam dari Perancis dan kapal perang Sukhoi dari Russia.
  3. Siapa yang mengarahkan melupuskan rekod kemasukan Altantuya ke Malaysia?

Itulah tiga persoalan dan desakan dibangkit oleh Anwar malam tadi dan ianya menangihkan jawaban konkrit daripada Najib. Apakah soalan itu akan dijawab baik secara objektif atau subjektif oleh Najib? Jawab tidak jawab apa yang boleh disimpulkan bahawa isu dan roh Altantuya tetap akan menerawang di Ijok sehingga pada 28 April nanti dan menganggu sesiapa yang membuat jahat ke atasnya!

No comments: