Tuesday, July 31, 2007

Berita Semasa

Ketua PKR Tumpat Letak Jawatan

TUMPAT: Ketua Bahagian Parti Keadilan Rakyat (PKR) bahagian ini Abdul Razak atau Mohamad Samad, 54 (foto) telah meletakan jawatan berkuasa semalam 30 Julai.

Menurut Razak, beliau bertindak demikian kerana kecewa dengan tindak tanduk Pengerusi Perhubungan PKR Kelantan Nik Mahmood Nik Hassan yang dianggapnya sebagai tidak menghormati keputusan yang diambil berhubung kunjungan Penasihat PKR Anwar Ibrahim ke Kelantan minggu hadapan.

Surat perletakan itu telah diserahkan ke pejabat Pengerusi Badan Perhubungan PKR negeri di Kota Bharu semalam.

Katanya, pihaknya telah membuat persiapan untuk menyambut kunjungan Anwar ke Tumpat sejak berbulan dulu tiba-tiba kunjungan itu dibatalkan dan dipindahkan ke Tanah Merah.

Menurut program awal, katanya, Anwar dijangkan merasmikan pejabat PKR Tumpat, menghadiri majlis ramah mesra bersama masyarakat Thai dan megadakan ceramah umum pada malamnya.

“Program ini sudah dijanjikan awal dan PKR bahagian ini telah membuat persiapan sewajarnya, tetapi tiba-tiba Nik Mahmood menggunakan kuasanya selaku Pengerusi membawa Anwar ke Tanah Merah, ini benar-benar mengecewakan saya,” katanya.

Katanya kesemua majlis di Tumpat itu adalah penting terutamanya majlis ramah mesra dengan masyarakt Thai dan juga ceramah bagi membangkitkan semangat penyokong PKR untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Ceramah itu adalah sebagai mengenang kebamli majlis Selamat Tinggal Umno oleh ahli-ahli Umno sewaktu mereka menyertai PKR beberapa tahun dulu,” katanya.

Ekoran perletakan jawatan itu, Ketua PKR Bahagian akan dipangku oleh Timbalannya, Muhamad Hassan.

Bagaimana pun Razak berkata beliau tetap bersama PKR dan terus akan membantu parti mengikut kemampuannya. [kl 31/07/07 jk]

Isu Semasa

Persidangan Dinar Emas
Mengapa Belakangkan Tengku Razaleigh Hamzah?

MSO

"Seorang pemimpin tertinggi Pas semasa berkomunikasi (telefon) dengan saya, melahirkan rasa canggung ketika berada di dalam dewan itu mendengar ucaptama yang diberikan bekas Presiden Umno, Mahathir Mohamad."

SUDAH lama saya mendoakan untuk melihat wujud kerjasama politik atau sekurang-kurangnya persefahaman minda (political understanding) antara dua parti terbesar orang Melayu iaitu Umno dan Pas. Seharusnya kedua parti ini duduk semeja untuk masa depan demi nusa dan bangsa. Pas dan Umno patut berhentikan bercakaran dan mendakwa masing-masing akulah yang benar!

Seharusnya cita-cita ini menjadi lebih mudah lagi apabila Umno kini dipimpin oleh seorang tokoh yang berlatar berlakangkan keluarga ulama dan begitu tinggi cita-cita Islamnya! Namun harapan dan mimpi itu masih belum terwujud menjadi sebuah kenyataan.

Sebaliknya Umno di bawah pimpinan Abdullah Ahmad Badawi seolah tidak pun memikir dan meletakkan kepentingan Islam dan perpaduan Melayu sebagai satu mauduk atau agenda yang perlu diberikan keutamaan. Abdullah seolah-olah tidak terbuka pintu hati untuk menyatukan orang Melayu dalam sebuah wadah dan cita-cita bersama yang global.

Sehingga kini tidak ada usaha ke arah itu yang dicetuskan oleh Abdullah atau oleh anak buahnya.

Umno dan Pas masing-masing sudah berusia 61 dan 56 tahun, di mana para pemimpin parti berkenaan sudah matang dan mengambil pendekatan berpolitik untuk kebaikan bersama dan mengenepikan idealogi sempit maing-masing.

Persidangan dinar emas

Baru-baru ini ada peristiwa kecil yang mampu menghilangkan dahaga mata untuk melihat cita-cita itu apabila Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat secara tidak sengaja sudah melangkah masuk ke bangunan Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC) kerana menghadiri Persidangan Ekonomi Antarabangsa mengenai Dinar Emas yang diadakan di Dewan Tun Hussein Onn di bangunan itu selama dua hari 24 – 25 Julai. Seingat saya itulah pertama kali Tok Guru memasuki ke dalam rumah Umno.

Apakah persidangan itu sengaja diadakan di situ untuk mencipta satu legasi buat Mursyidul Am Pas itu sebelum berundur dari menjadi MB?

(Sebelum ini saya pernah mencadangkan kepada Umno – Abdullah Ahmad Badawi agar turut mengundang Pas semasa perasmian persidangan agung parti itu. Alasannya kalau semua parti-parti politik diantero dunia boleh diundang kenapa tidak dengan parti sejiran Pas?)

Persidangan itu dianjurkan sebuah NGO bernama Kris bagi pihak Kerajaan Kelantan. Mungkin Kerajaan Kelantan berselindung di sebalik Kriss semata-mata mahu dapatkan tempat itu. Mungkin kalau permohonan dibuat atas nama Kerajaan Negeri, pengurus bangunan itu sukar untuk melepaskannya.

Nawaitu dan muslihat

Apapun itu tidak penting. Yang penting dan harus dilihat ialah nawaitu dan muslihat Pas mengadakan persidangan itu di situ. Apakah ianya strategi untuk melihat kekuatan Umno ataupun Pas ingin melihat jalan untuk terus masuk dan menguasai bangunan tersebut?

Biarlah apa maksudnya persidangan itu menunjukkan kejayaan Pas (Kerajaan Kelantan). Sekaligus kejayaan itu juga menggambarkan Pas kini sudah terbuka dan kaya raya. Calang-calang parti politik yang mampu menyewa mana-mana dewan persidangan di PWTC yang harganya mencecahkan ratusan ribuan ringgit hanya untuk beberapa jam sahaja.

Bisa dan bijak orang yang memberi idea menguruskan persidangan tersebut dengan susunatur serta para jemputannya. Apakah ia memilih salah satu Dewan Persidangan di PWTC tempat rasmi Umno bersidang itu sebagai tujuan untuk memperlikan Umno dan mengajar Umno mengenai ekonomi dan kepentingan dinar emas?

Mungkin? Sebab dalam apa juga urusan agama dan kepentingan Islam, Pas nampaknya ke hadapan dan mendahului Umno. Pas menjurai Islam di Malaysia! Islam Hadhari yang menjadi konsep pentadbiran Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi ketinggalan jauh di belakang. Orang Pas mempunyai iltizam tinggi dan kreatif dalam usaha memenuhi tuntutan kifayah dalam bidang ekonomi ini. Mudah-mudahan usaha ini juga mendapat keberkatan dan akan dijadikan nilai tambah kepada pahala ke syurga besok.

Kalau hendak dikira masih banyak tempat lain yang tidak ada hubungkait dengan Umno untuk dipilih diadakan persidangan demikian. Hotel bersebelahan dan seberang jalan bangunan PWTC juga ada. Justeru bila ia diadakan di situ dan pihak pengurusan PWTC juga membenarkan, mungkin ada sesuatu yang umpama ‘tempua bersarang rendah’ dengan program itu. Ataupun kewangan bangunan itu sekarang tenat sehingga bersedia menerima dinar emas Pas!

Rumah Umno

Persoalannya apakah semua orang Pas senang dengan keadaan itu? Walaupun program itu tajaan Kerajaan Kelantan namun ia tidak dapat lari daripada ianya turut dilihat sebagai program Pas Pusat. Nampaknya tidak semua pemimpin tertinggi Pas khasnya dari golongan agama/ulama hadir. Mungkin mereka tidak dijemput ataupun tidak relevan untuk mendengar syarahan mengenai dinar emas, kerana kebanyakan mereka bukan ahli iktisad? Atau pun mereka enggan hadir kerana merasa kurang selesa berada dalam rumah Umno?

Pemimpin Pas Terengganu juga tidak hadir. Walhal wajar bagi pemimpin Pas Terengganu hadir setidak-tidaknya untuk mempelajari bagaimana cara-cara hendak membuat dinar emas apabila Pas berjaya merampas balik Terengganu kelak.

Seorang pemimpin tertinggi Pas semasa berkomunikasi (telefon) dengan saya, melahirkan rasa canggung ketika berada di dalam dewan itu mendengar ucaptama yang diberikan bekas Presiden Umno, Mahathir Mohamad.

“Kalau saya tahu ianya dibuat di situ mungkin saya tidak akan mencemarkan kaki memijak lantai bekas kasut orang Umno,” begitulah kata pemimpin itu dengan suara serak-serak basahnya.

Tetapi katanya apa boleh buat kerana beliau sudah tersasau hendak tidak hendak beliau terpaksa juga duduk dan mendengar ucapan Mahathir. Bagaimana pun sebaik ucaptama itu selesai beliau beredar dengan rasa sebu tanpa mendengar satu pun daripada 11 kertas kerja yang dibentangkan.

Apakah motif lain yang tertusuk oleh pihak yang menguruskan persidangan diadakan di tempat itu? Apakah ia juga antara usaha untuk medekatkan jurang perbezaan Pas dengan Umno kini? Ataupun Kerajaan Kelantan ingin menunjukkan mereka mempunyai wang lebih sehingga mampu kalau ingin membeli Umno?

Perlu berbaik

Kalau itulah tujuan dan maksudnya, maka sayalah orang yang suka kerana dapat melihat usaha perpaduan itu. Pas dan Umno perlu berbaik. Sejak sehari dua ini ada tanda-tanda sedang mengorak ke arah itu.

Jika dilihat kepada pendekatan, fikrah pemimpin pelapis Pas hari ini cuba memecahkan ruang ke arah itu. Sudah ada beberapa persamaan dari segi tektikal antara Pas dengan Umno. Tanggapan negatif dan ekstrim kepada Umno yang didoktrinkan selama ini sudah mula berkurang dan natural. Mungkin perundingan antara pemimpin Pas dan Umno dalam menyelesaikan masalah petisyen pilihan raya umum lalu sebagai permulaannya!

Hal ini juga dapat dilihat kepada perpindahan pejabat agung Pas dari Taman Melewar ke Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur yang jaraknya tidak sampai 2 km dari ibu pejabat Umno menjadi indikator ke arah itu. Kedudukan pejabat Pas itu membolehkan para pemimpin Pas bermain mata dengan bangunan Umno yang terjolor dari arah hadapannya!

Persamaan ini membibitkan harapan itu. Jadi kalau Pas sudah sama dengan Umno maka tidak akan ada perbalahan lagi. Apakah ada orang yang sedang giat mengatur ke arah itu? Tidak mengapa kalau ia benar berlaku kerana ia bertujuan membawa kebaikan kepada negara, semua pihak kena sokong.

Sangat malang

Bagaimana pun sesuatu yang sangat malang kalau peristiwa itu diatur demikian rupa kerana ingin memenuhi cita-cita peribadi seseorang. Harapan dengan ada persidangan dinar emas itu bagi menonjolkan kehebatan idea individu tertentu di Kelantan yang kononnya penampilan bertaraf nasional. Jika itu tujuannya maka persidangan itu tidak memberi apa-apa makna kepada Kerajaan Kelantan dan Pas melainkan menghabiskan wang saja.

Bagi saya persidangan itu yang mengundangkan bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad sebagai pengucaputamanya ada sedikit cacatcelanya. Ada setengah orang musykil kenapa dalam persidangan sehebat itu dihadiri oleh beberapa bapak Arab, namun tokoh ekonomi Malayaisa berasal dari KelantanTengku Razaleigh Hamzah tidak ada?

Apakah bekas Menteri Kewangan itu tidak dijemput kerana beliau tidak bercakap (minat) mengenai dinar emas seperti mana Mahathir? Kalau pun begitu, bagi saya wajar kalau beliau dijemput dan kehadirannya lebih afdal daripada Mahathir memandangkan Tengku Razaleigh lebih mengenali budu berbanding Mahathir.

Adalah elok kalau Tengku Razaleigh diberi peluang menyampaikan ucaptama atau sekurang-kurang menyampaikan kertas kerja.

Kalaulah orang yang menganjur program itu – memanggil Mahathir dengan harapan Mahathir boleh memberi benefit kepada politik Pas Kelantan, ia juga silap. Lainlah kalau persidangan itu ikhlas dan jujur tidak mengharapkan apa-apa benefit. Rakyat Kelantan tidak begitu mempunyai sentuhan batin dengan Mahathir seperti mana Tengku Razaleigh Hamzah.

Saya yakin kalau Tengku Razaleigh hadir dan ianya akan turut merapatkan hubungan Pas dengan Tengku Razaleigh dan para penyokongnya di Gua Musang setidak-tidaknya.

Menumpang tuah

Ataupun panggilan itu juga sebagai satu penanaman budi kepada Tengku Rzakeigh yang bakal disemai pada pilihan raya akan datang. Manalah tahu kalau Tengku Razaleigh Hamzah digugurkan bertanding di Gua Musang pada pilihan raya umum akan datang, Pas sekali lagi boleh menumpang tuah dan keramat anak raja berkenaan untuk mengekalkan Kelantan pilihan raya akan datang.

Jadi keistimewaan yang diberikan kepada Mahathir dan sikap membelakangkan Tengku Razaleigh Hamzah anak Kelantan itu satu kesilapan yang tidak boleh diulang sekali lagi. Individu yang digambarkan sebagai hebat dan menjadi pemacu ekonomi Kelantan sepatutnya tidak terlupa kepada Tengku Razaleigh.

Pada saya juga kalau Kerajaan Kelantan merasa Tengku Razaleigh tidak penting atau jahil mengenai dinar emas, Pas boleh memangil seorang lagi bekas Menteri Kewangan, iaitu Anwar Ibrahim. Rasanya Anwar lebih arif mengenai dinar emas ini berbanding Mahathir memandangkan beliau sering ke negara-negara Arab.

Ataupun pihak penganjur persidangan itu mengambil kira tidak bersedia untuk mengundangkan penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu kerana beliau mungkin tidak bersedia untuk memasuki semula ke rumah bekas partinya – Umno. [perdana, kb 29/07/07]

Monday, July 30, 2007

Papan Tagah Robek

Jangan Menulis Kerana Seseorang!

MSO

SAYA kurang pasti untuk siapa pesanan (catatan) ini saya lontarkan. Cuma saya membuat catatan ini mengambil semangat surah al-Ashr untuk memulakan ruangan khas di blog ini yang dinamakan “Papan Tagah Robek” yang akan di sambung dari masa ke semasa. Penulisan di kolam ini berbeza dengan ruangan atau laporan lain!

"Demi masa sesungguhnya manusia benar-benar berada dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaat kebenaran dan nasihat menasihati menetapi kesabaran!" - al 'Ashr.

Firman itu menunjukkan Allah begitu tegas memesan dan mengingatkan manusia supaya saling pesan dan ingat mengingati antara satu sama lain. Ia juga bermaksud, manusia hendaklah terus mengadakan hubungan batin dan fizikal semasa sendiri sebagai satu komponen mahkluk Allah demi kebaikan!

Sebelum Allah menyuruh manusia berpesan dan ingat mengingati sesama sendiri terhadap perkara-perkara yang baik, Allah terlebih dahulu menegaskan manusia ini didalam kerugian (batil).

Disepanjang masa

Diawal-awal firman itu Allah menyebut “Sesungguhnya manusia benar-benar berada dalam kerugian”. Bahawa kita disepanjang masa berada dalam keadaan rugi, tidak baik dan tidak benar, dan melakukan segala perbuatan tercela kecualilah kita melakukan kebaikan dan kebenaran. Selama kita melakukan itu maka kita tidak akan rugi dan akan sentiasa untung.

Apabila sebut rugi, bermakna ia tidak menguntungkan. Dalam hubungan ini rugi apabila manusia yang seharusnya menjadi khalifah tetapi alpa kepada tanggungjawab dan amanahnya - untuk saling pesan dan ingat mengingati hal-hal yang baik – menegakkan kebenaran dan mencegahkan kemungkaran.

Tentunya akibat lupa kerana kesibukan, dengki khianti, gila dunia, mabuk kuasa, mabuk projek (termasuk mabuk wanita) maka kita semua akan rugi dan semuanya dalam musibah. Peranan dan fungsi kita selaku khalifah atas muka bumi ini juga tidak berguna langsung.

Demikian juga dengan kemuliaan kita sebagai mahluk Allah seperti mana disebutnya dalam surah al-Tin ayat 4; "Sungguh Kami menciptakan manusia dalam sebaik-baik bentuk", juga tidak ada guna langsung. Jadilah kita seperti tunggul kayu mati atau pun najis-najis bintangan (monyet) yang berlerakan di jalanan.

Manusia yang sedar akan kedudukan (martabat)nya, perlu mengelakkan diri daripada menanggung kerugian. Sebagai makhluk dilantik menjadi Khalifah, kita perlu bertangungjawab melaksanakan sumpah dan janjinya seperti mana yang terkanun.

Sesuai dengan manusia itu sebagai sebaik-baik kejadian kita dituntut menjaga dan merealisasikan kemuliaan kita. Tidak ada gunankan kita digezetkan sebagai mulia kalau kita tidak menjaga dan menjujung kemuliaan itu.

Kita tahu bagaimana hendak menjaga kemuliaan itu. Ia bukan berdasarkan citarasa kita sendiri peribadi, namun menerusi petunjuk dan kebaikan secara maufakat (majmuk) seperti mana dianjurkan oleh sunnah-sunnah Rasulullah atau agama.

Kebenaran atau kebaikan menurut amarah kita bukan kebenaran dan kebaikan universal di mana sifatnya subjektif dan adalah bertentangan dengan kebenaran hakikin (haq).

Antara tanggungjawab kita selaku khalifah ialah mematuhi perintah dan taati kepada Allah. Melaksanakan segala suruhan dan tuntutanNya baik sesama manusia atau denganNya. Kita kena merealisasikan hublumminalah dan habluminas, hubungan dengan Allah bersifat peribadi dan hubungan sesama manusia bersifat fizikal.

Kalau kita terabai segala itu dan tidak menyedari dan menginsafinya maka hilanglah kemuliaan yang kita agung-agungkan itu. Bila kemuliaan kita hilang maka jadilah kita seperti haiwan (monyet), bercakaran sesama sendiri, mencerobohi dan berbuat khinati sehingga rugi dan semuanya menjadi abu dan debu.

Berdaulat

Peranan kita selaku khalifah dalam konteks sisasah, kita kena jaga kemurniaan agama kita, dan daulatkannya selari dengan kehendak Allah seperti diterjemahkan al-Quran dan al-Hadith. Kita kena pertahankan bangsa kita dan tanahair kita. Ini penting kerana selepas bangsa dan negara berdauluat barulah kita dapat mendualatkan agama sebagai undang-undang atau peraturan hidup sejagat.

Selagi bangsa dan negara tidak berdaulat maka selama itulah hukum agama dan ajaran Tuhan tidak boleh dimartabatkan secara sejagat.

Tanggungjawab ini ini bukan main-main, sebab kita menerima sendiri daripada Allah. Ia bukannya semata-mata diperolehi kerana mewarisi daripada datuk nenek kita, (kebetulan beragama Islam) sebaliknya ia adalah tanggungjawab kita secara peribadi. Tiap seorang daripada kita menerima sendiri tanggungjawab ini (sir) dari tangan Tuhan.

Tanggungjawab itu yang terkandung dalam rahsiaNya, diberikan kepada kita setelah bukit-bukau, gunung ganang dan bumi menolaknya. Kita manusia yang celaka menerima tanggungjawab berkenaan. Manusia ‘celaka’ ialah yang tidak melaksanakan tangungjawab atau menjaga kerahsiaan Allah itu.

“Sesungguhnya pernah Aku tawarkan rahsia diriKu ini, kepada langit, bumi dan gunung ganang, tetapi semua mereka tidak menerimanya kerana takut mengabaikan lalu yang sanggup menerimanya adalah manusia.”

Dalam suasana politik kita yang rencam dan kabur; kedudukan orang Melayu, agama dan negara terancam dari dalam dan luar, elok kalau kita sesama menyedari tanggungjawab dan peranan masing-masing. Ingat mengintai ke arah kebaikan dengan penuh kebenaran dan kesabaran sebelum kita semua ghuyub!

Bagi pemimpin pula ingatlah kritikan daripada rakyat, atau sesiapa saja sebagai penawar laksana jadam! Kritikan yang dilemparkan kepada kita terimalah sebagai teguran membina dan bukan bersifat dengki dan khinat. Lihatlah patah-patah dan 'maknawi' kritikan itu dengan akal yang luas dan jiwa yang tenang (Rodhiah).

Terima teguran

Misalnya kalau penulis menasihati pemimpin (Exco misalnya), pemimpin berkenaan kena sedar dan sedia untuk berubah. Terimalah teguran itu dan mengakuilah kesalahan dan kesilapan kita bak ular menyusur banir tidak akan hilang bisanya. Anjuran Saidina Abu Bakar As-Siddiq didalam khutabahnya sebaik dilantik menjadi Khalifah adalah sebaik-baik falsafah dan prinsip yang harus ada kepada setiap pemimpin atau Exco.

“Perhatian.. aku telah dipertanggungjawab memimpin Kerajaan. Aku bukan orang terbaik antara kamu, aku perlulah nasihat dan pertolongan kamu sekalian. Jika aku melakukan yang baik sokonglah aku, jika aku melakukan kesalahan nasihatlah aku, kerana aku menurut perintah Allah dan RasulNya, ikutlah aku, jika aku mengabaikan undang-undang Tuhan dan RasulNya aku tidak berhak menuntut kesetiaan kamu.”

Berdasarkan amanat dan pesanan Saidina Abu Bakar itu, apabila sudah ada tanda-tanda orang tidak menyokong kita ini bermakna kita sudah pun melakukan kesalahan ataupun kekhilifan.

Menusia penulis menjalankan peranan mengikut seruan Allah tadi agar berpesan dan ingat mengingati ke arah kebaikan dan kebenaran. Sebaliknya penulis yang berbuat bertentangan dengan prinisp itu ia adalah penulis yang engkar dan menentang penciptanya sendiri atau dalam bahasa ‘rambunya’ penulisa upahan!

Dan penulis juga selaku pewaris kepada kerja-kerja kenabian, penyampai risalah Tuhan haruslah sedari kita hanya berhak memberi maklumat yang betul atau tepat demi kebaikan agama, bangsa dan negara kita. Maka soal-soal yang berbentuk peribadi atau mengancam tanahair hendaklah dijauhi agar kita tidak termasuk dalam manusia yang rugi. Tidak ada guna kita mencari populariti kalau populari itu menrosakan agama, bangsa dan tanahair.

Sebagai manusia yang anggap intelektual dan menjadi panduan umum kita hendaklah mengelakkan kita bergaduh dan bertelingkah sesama sendiri apa lagi disebabkan hal-hal yang bersifat peribadi.

Papan Tagah: Ialah tupai-tupai atau rak yang digantungkan ditiang seri rumah. Ia dijadikan tempat meletak dokumen-dokumen penting, Helaian kitab kuning ataupun botol minyak angin atau bekasan ubat-ubatan..

Saturday, July 28, 2007

Sajak

Mohd Sayuti Omar

MEREKA JUGA MERDEKA!
(Buat setinggan)

Kolong itu negeri pemerintahannya

dialah si ayah perdana menteri

sedozen anak dan seorang isteri adalah warga

marheannya

yang setia di sebuah negara kehidupannya.

Bumi hanyir itulah nyanwa merdeka mereka

yang berdaulat

kedhaifan adalah pembangunan

kesangsaraan adalah piala perjuangan.

Meskipun kolongnya dilanda keaiban rasa

manusia tamadun merdeka

tapi tidak siapa mengetahui usul perjuangannya

negara itu direbut dari penjajah perasaanya sendiri

Ketidakpedulian orang

adalah musuh rasmi hidupnya

kebencian adalah cabaran mencemaskan jatungnya,

selaku Perdana Menteri

dia tidak pernah berhelah panjang

dari malam ke siang

memikirkan pembangunan sebuah kebebasan

perut anak-anak dan isterinya.

Sebagai pencinta kepada watan,

dia dan ‘rakyatnya’ tidak

pernah menyesal dan berdemonstrasi

meskipun tarif eletriknya kosong, namun nilai

pelita ayamnya sama dengan lempu bervoltan tinggi

aliran air dari gunung adalah pipa emas

membawa rahmat kemerdekaan dari Ilahi

gunung sampah adalah Putrajaya kemegahannya,

hari-hari dia membayangkan

setiap mobil besarkecil lalulalang adalah

miliknya dalam sebuah fantasia.

Padanya laungan kemedekaan adalah untuk dirinya

kalimah yang memagari kehidupan diri dan rakyat

sedang penjara tidak pernah tertutup

menantinya, anak-anak dan isteri!


Wangsa Melawati, KL.
25 Feb 2007.

Friday, July 27, 2007

Tokoh dan Peristiwa

Tengku Razaleigh Tokoh Syarahan Za’ba 2007

MSO

TENGKU Razaleigh Hamzah diberi penghormatan oleh Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya apabila dipilih sebagai tokoh Syarahan Za’ba 2007. Beliau merupakan tokoh Syarahan Za’ba ke lima.

Sebelum ini Akademi itu telah memilih empat tokoh untuk menerima penghormatan bertaraf akademi itu.

Mereka ialah bekas Ketua Menteri Sarawak, Tun Patinggi Abdul Rahman Ya’kub, (1986) Profesor Kuliah Undang-Undang UIA, Tan Sri Prof Ahmad Mohamed Ibrahim, (1997) bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr Hassan Ahmad, (1999) dan Bapak Tenas Affendy (2005).

Kenang jasa

Pemilihan itu adalah sebagai mengenang jasa dan bakti bekas Menteri Kewangan itu kepada nusa dan bangsa sejak lebih 30 tahun lalu khususnya dalam bidang pembangunan ekonomi.

Tokoh Syarahan Za’ba diperkenalkan oleh Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya untuk menjadi wadah melontarkan fikiran berkenaan keilmuan Melayu oleh tokoh-tokoh utama di dalam dan luar negara.

Pagi tadi (Khamis 26 Julai) bertempat di Akademi Pengajian Melayu UM, Tengku Razaleigh Hamzah telah menyampaikan pidatonya yang bertemakan ‘Pembangunan Ekonomi Dan Kemelayuan’. Kira-kira 1000 hadir mendengar ucapan beliau termasuk pejuang dan pencinta bahasa, sasterawan, ahli politik, ahli perdagangan, kakitangan Universiti Malaya dan mahasiswa.

Antara tokoh dan orang kenamaan turut hadir, Naib Canselor UM Datuk Rafiah Salim, bekas Pengarah ITM Tan Sri Arshad Ayub, bekas Naib Censelor UTM Tan Sri Prof Ainuddin Wahid, Profesor Ismail Hussein, Presiden Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) Datuk Ibrahim Ali, Presiden Rakyat Prihatin Malaysia (Prima) Datuk Kamal Amir Kamal Hijaz, bekas Ketua Anngkatan Muda Keadilan, Mohd Ezam Mohd Noor dan lain-lain.

Antara lain dalam ucapannya Tengku Razaleigh turut menyentuh soal kedudukan Bahasa Melayu, mutu pendidikan di IPTA, masalah ekonomi Melayu dan perpaduan nasional.

Mengenai bahasa Melayu Tengku Razaleigh melahirkan rasa kesal dan bimbangnya mengenai nasibnya yang kabur dewasa ini.

Berhubung kedudukan ekonomi orang Melayu, beliau menyeru orang Melayu supaya terus berusaha membaiki kedudukan ekonomi dan jangan terlalu bergantung kepada bantuan atau subsidi.

Melayu perlu sedar
“Melayu yang mendapat sedikit kemudahan perlu sedar yang ada kepada mereka hanya hanya jaring perlindungan keselamatan agar jangan tersembam dalam perjalanan kehidupan ini,” katanya.

Justeru katanya orang Melayu perlu berusaha dan bersedia menyahut cabaran globalisasi.

Mengenai masalah ekonomi orang Melayu Tengku Razaleigh yang juga ahli Parlimen Gua Musang meminta orang bukan Melayu jangan memandang perlindungan yang sedikit dimiliki orang Melayu itu sebagai alasan untuk tidak membantu orang Melayu.

“Orang bukan Melayu perlu membantu orang Melayu agar mencapai kedudukan ekonomi setaraf dengan mereka,” uajarnya sambil menekan kalau kedudukan itu dicapai barulah keharmonian negara yang dikecapi kini akan berkekalan.

Beliau menaruh kebimbangan sekiranya orang bukan Melayu tidak menghormati kepada orang Melayu, keharmonian yang ada kini akan hancur.

Beliau juga menjelaskan, orang Melayu yang bersikap akomondatif tidak membuat tuntutan-tuntutan yang melampau walaupun mereka merasakan hak mereka berbuat demikian terbuka. [wm.kl 11:05]

Wednesday, July 25, 2007

Dari Kantin IPD Dang Wangi

Horrey... Petra bebaskan Malaysia!

Dalam perjalanan saya terhimbau kepada kata-kata dan janji Raja Petra sewaktu diinterviu oleh Siasah tidak lama dulu; selepas saya membebaskan Anwar Ibrahim dari penjara kini saya akan membebaskan Malaysia pula. Malaysia akan bebas apabila kebebasan media terlaksana sepenuhnya.

SORE tadi - satu panggilan masuk ke dalam telefon bimbit saya. Tidak angkat, selesema yang menyerang sehari dua ini menjadi malas untuk bergerak. Sebelum tidur sekejap tadi cuba sudahkan sebuah tulisan, mengenai seseorang tapi tidak ada selera. Insya-Allah akan disambung esok atau lusa.

Panggilan itu terbiar tanpa dilayani. Sehinggalah satu lagi panggilan masuk, baru mata terbuka untuk melihat pamaggilan daripada siapa. Misscall daripada, Kamal Amir (Datuk Kamal Amir Kamal Hijaz). Ah... itu pasti suruh datang ke The Mall sembang merapu dan mengecam Abdullah Ahmad Badawi lagi. Atau pun menganalisa teori Tengku Razaleigh yang nak jadi PM tetapi tidak jadi! Atau pun nak tanya fasal apa tiba-tiba saya jadi naik minyak sehari dua ini

Lepas itu skrin telefon memaparkan satu sms tidak dijawab, daripada (Pak Ya) Yahaya Ismail. “R Petra ditahan polis sedang disoal 5 pegawai di Balai Polis dekat stadium merdeka now. Sebar pada kawan-kawan..”. (3:50 pm) Mata terbeliak dan terbangun dari baringan dan jari jemari terus menekan nombor telefon Kamal.

“Ti... aku kat stadium, you kat mana? Tanya Kamal dia sudah pun berada di Balai Polis.

“Rumah...!” Fikiran terus melayang ke Balai Polis IPD Dang Wangi, tempat biasa. Balai Polis ini suda terhafal dalam kepala. Di sinilah tempat berhimpun menanti pembebasan tahanan penunjuk perasaan sekitar tahun 1998 dulu.

Melarikan diri

Mana-mana penunjuk perasaan yang berani ataupun bodoh kerana tidak sempat melarikan diri daripada kejaran FRU akan diangkut dan disimpan di lokap Balai Polis ini. Masih terbayang di ruangan mata kelibat bekas-bekas demonstran yang kena tahan, terkulat-kulat macam ayam diragakan untuk dijual di pasar. Masing-masing menanti sesiapa yang hendak menjadi penjamin ataupun letakkan wang RM2,000 sebagai jaminan sementara menunggu hari disebut kes di mahkamah.

Dalam hujan rintik-rintik memandu kereta bersendirian ke stadium, malas untuk mengajak atau memaklumkan kepada kawan-kawan lain. Di pertengahan jalan masuk satu sms, bertanya apa khabar? Tidak tergerak untuk mengajak orang ini ke balai polis. Lagipun maksud kawan itu ialah bagaimana dengan Jamnapari. Selalunya balai polis jadi tempat yang menakutkan dan ramai yang enggan ke sana.

Urusan di balai polis lambat, leceh dan melelahkan.

Sampai di balai polis Dang Wangi kelihatan sekelompok orang, wartawan berhimpun di kantin. Atas meja penuh dengan lambakan cawan dan gelas menggambarkan sudah lama mereka berwakaf di situ. Wajah Kamal dan Marina Lee Abdullah (isteri Petra) terus dicari. Itu dia...

Setelah bertanya khabar dan bersalaman, episod seterusnya menunggu dan mengira-ngira apa yang berlaku. Muka-muka yang ada hanya beberapa orang bloger sahaja. “Mana lagi..?” Mereka dah pulang dah, dan ada yang on the way..” Balas Kamal memberi penjelasan dan semangat. Kamal seorang ahli politik dan perniagaan yang penuh diplomasi dan pandai mengambil hati sesiapa. Cuma sayang sedikit kawan yang satu ini macam chipsmore.

Dalam keadaan begitu kena faham. Sesiapa pun kurang berminat untuk datang kecuali bagi mereka yang sudah biasa, macam Tian Chua. Mereka yang sanggup datang adalah mereka yang benar-benar merasai dan kenal erti persahabatan. Dalam keadaan seperti itu Petra dan isterinya harus diberi dokongan dan semangat. Ada juga yang sibuk hanya mengirim sms bertanya khabar dari jauh?

Tadi Rahman Othman datang, dah balik...” (Rahman Othman bekas Bendahari Agung Keadilan yang baru menyertai Pas) cerita Kamal tanpa ditanya sesiapa yang hadir lagi. Wajah-wajah yang diada dihitung satu persatu; Rosli Ismail (Agendadaily), Tian Chua, Tajuddin, Nurina Samad dan G.. isteri Jak Teoritis, G mungkin mewakli suaminya serta yang lain.

“Dia (Jak) dah datang tadi..,” sekali lagi Kamal menjelaskan tanpa dipinta.

“Zaharin Sang Kelembai dalam perjalanan...” sambung Kamal lagi.

Jadi cemas

Jam sudah 6.15 petang tidak ada apa-apa desas desus mengenai Petra. Tian Chua sekejap tadi meninjau ke bilik soal siasat, katanya Petra tidak kelihatan. Beberapa telinga yang mendengarnya menjadi cemas, apakah Petra sudah dihantar ke lokap?

“Kalau lama biasnaya akan ditahan,?" saya melontarkan sesuatu andaian yang tidak diminat oleh Marina dan rakan-rakan blog semua.

Kamal mengangguk dan seorang lagi yang duduk berhampiran juga menaggguk. Kami terus menunggu. Bilangan wartawan dan blogger makin bertambah. Wartawan dari Malaysia-kini dan wartawan akhbar China paling ramai. Tidak nampak wartawan dari Utusan Malaysia atau Berita Harian.

Selalu berita-berita membabitkan polis begitu surat khabar Cina memang minat dan terkedepan. Tengok masa Annuar dulu, mereka mendahului akhbar lain. Ada kalanya akhbar berkenaan dicetak awal dan ada yang mengadakan dua edisi petang dan edisi malam.

Cara mereka berkerja juga gigih dan tekun. Semuanya muda-muda (lawa macam Altantuya) dan nampak agresif, bukan seperti wartawan Melayu lembik dan rendah diri. Wartawan Melayu yang ada hanya Harakah. “Mana Siasah?” saya bertanya wartawan Siasah. "Itu...!" wartawan perempuan Harakah menunjukkan kepada saya. Hamlau...

Tiba-tiba muncul seorang pemimpin tertinggi pembangkang. Dia bukan dari DAP atau PKR tetapi parti Melayu. Dari jauh sudah saya kenali siapa tokoh ini. Sosok tubuhnya menyebabkan saya tidak mudah untuk melupainya. Memang dia agak prihatin dengan hal dan kejadian demikian. Begitu terperasan pemimpin itu muncul seorang kawan membisikan kepada saya....'itu dia datang'. Saya biasa saja. Mungkin kawan ini mahu mengusik dan menguji saya. Dia fikir saya akan menyebunyikan diri.

Tidak! Saya sudah tahu tentang kehadirannya. Sekejap tadi isteri Petra, Marina beritahu tanpa diminta yang dia itu akan datang. Orang politik katakan. Pemimpin ini masuk dan bersalaman dengan setiap yang ada, termasuk saya. Saya menyambutnya seperti biasa. Tidak terdengar jelas apakah dia bertanya saya, apa khabar ataupun tidak? Rasanya ada...

Kamal yang menjadi penghulu dalam perhimpunan kecil itu juga mahu menguji saya. Dia mahu melihat reaksi saya apabila berhadapan dengan pemimpin berkenaan. Kamal menarik kerusi dan memangil saya duduk semeja dengan pemimpin pembangkang ini dan saya duduk dan memotret gambar pemimpin itu. Seorang kawan yang hadir bersama pemimpin itu sedikit teruja dan merasakan saya tidak mempedulikannya! Dia menjauhkan diri dan melepaskan kata-kata begulung kesal kerana saya mengecam bos! Bos siapa?

Masuk Kuil Buddha

Lama dia ini menunggu dan bersembang dengan Kamal. Kamal sempat membangkitkan soal gambar pemimpin itu yang masuk ke Kuil Buddha dan meletakkan tangan didada sebagai tanda menghormati Buddha. Bagi Kamal cara tokoh itu buat tidak elok dan tidak manis. Nampaknya pemimpin itu cuba mempertahankan tindakannya dan ujarnya ia tidak salah kerana ia sekadar menghormati budaya Buddha, itu saja.

Selang beberapa minit selepas tokoh pembangkang berkemeja lengan pendek berpetak warna merah beredar, episod soal siasat Petra pun selesai. Wartawan dan rakan blog yang menanti begitu melihat wajah Petra terus berlari bersalaman dan jurugambar berebut mengambil gambar. Raja Petra mengambil masa 20 minit melayani wartawan.

“Kita ke Seri Hartamas, di Damansara makan mee di sana..,” pelawa dan ajak Kamal sambil mengiringi Petra yang sudah dijengetkan oleh Abdul Rahman Othman. Ditangan Petra terbimbit dua buah al-Quran. Beliau membawa Quran itu untuk berdebat dengan polis. Itu yang terlucut dari mulutnya. Namun menurut Petra empat orang pegawai polis yang menjalani soal siasatnnya tidak mahu berdebat.

Dengan mengekor kereta Zaharin Yassin bersama 'handbegnya' menuju ke Seri Hartamas di Damansara. Di sana sudah menunju Jak Jedawi dan beberapa yang lain. Mereka datang untuk menyambut dan mendengar cerita Petra selama lapan jam disoal siasat dan dicatat atas 40 muka kertas kajang. Sekejap sahaja, dua meja yang mampu menampung sepuloh orang tiap satu penuh.

Sambil bercerita Petra menjawab telefon. Dari ceritanya soalsiasat itu dan mimik mukanya sidikitpun tidak memberi bekas kepadanya. Malah anak Raja Bugis itu jadi semakin lebih bersemangat lagi. Tentunya web Malaysia-today.net yang kini selalu sendak dan menyebabkan beliau kena tambah enjinnya akan pasti menjadi semakin sendak dan kena tambah enjen lagi.

Laporan polis terhadap “Raja Web Malaysia” itu bukan saja menunjukkan pemimpin Umno khsusnya yang terkena 'webPetra' itu, tetapi ia memberi promosi dan menambahkan lagi bilangan pengunjung kepada web berkenaan.

Tanpa menunggu rapat mini itu selesai saya pulang untuk menulis catatan ini. Dalam perjalanan saya terhimbau kepada kata-kata dan janji Raja Petra sewaktu diinterviu oleh Siasah tidak lama dulu; selepas saya membebaskan Anwar Ibrahim dari penjara kini saya akan membebaskan Malaysia pula. Malaysia akan bebas apabila kebebasan media terlaksana sepenuhnya."

Dan Petra kini sedang berjuang membebaskan Malaysia bersama beberapa rakan blogernya. Apakah para blogger sanggup menjejaki langkahnya? [wm.kl: 11:12]

Tuesday, July 24, 2007

Isu Semasa

Siapa bakal MB Kelantan di kalangan Umno?
(Bhg 2 dan akhir)

MSO


"Kesimpulannya kini ada dua nama bakal menjadi MB Kelantan dari Umno. Pertama Awang Adek Hussein dan kedua Alwi Che Ahmat. Sekiraya Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan tidak ditukar sehingga pilihan raya umum akan datang dan ditakdirkan BN menang, pasti Alwi yang menjadi pilihan Annuar akan dilantik menjadi MB Kelantan."

SELEPAS kerajaan BN berusia kira-kira 12 tahun tumbang di Kelantan tahun 1990, parti itu telah menonjolkan sekurang-kurangnya tiga orang untuk menjadi MB Kelantan. Mereka itu dikira akan dapat menyambungkan tugas Muhamad Yaacob selaku MB Kelantan terakhir dari BN.

Antara mereka itu ialah Zainal Abidin Abdul Kadir, bekas Pengarah Pusat Islam, Ahmad Shahibuddin Mohd Noor, bekas Timbalan Pengarah Pendidikan Kelantan dan Mustafa Mohamed bekas Menteri Pembangunan Usahawan. Inilah tiga orang tokoh dari Umno yang diharap dapat berbuat sesuatu kepada Umno Kelantan. Mereka diberikan tanggungjawab untuk meneruskan cita-cita Umno bagi memerintah Kelantan sekaligus menumbangkan Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Mereka dijadikan umpan untuk dinilai dan dihidu oleh rakyat Kelantan. Ketokohan dan kepakaran mereka di dalam bidang masing-masing diketengahkan untuk dinilai dan diuji. Tetapi sayangnya mereka tidak mampu dan berkeupayaan untuk berhadapan dengan Nik Abdul Aziz Nik Mat. Ternyata kail mereka terlalu pendek untuk menduga lautan ilmu, politik dan jihad Nik Aziz yang luas dan dalam.

Zainal Abidin Kadir walaupun seorang lepasan lulusan di Mesir ternyata beliau kerdil bila berhadapan dengan Nik Aziz. Sebanyak tiga kali beliau bertanding di DUN Kelantan, 1990, 1995 dan 1999. Walaupun beliau menang dua daripada pertandingan itu namun bahtera Umno yang diharapkan untuknya layari karam di tengah lautan.

Selepas kekalahan tahun 1999 riwayat politik Zainal Abidin pun turut berakhir.

Bersama Zainal, nama Ahmad Shahibuddin Mohd Noor juga disebut-sebut bakal mengganti MB sekiranya Umno berjaya merampas Kelantan ketika itu. Namun Shahibuddin hanya disebut saja tetapi tidak pun pernah menghampiri untuk menduduki kerusi MB Kelantan.

Apabila kedua mereka itu gagal untuk memberi cabaran kepada Nik Aziz, Umno cuba menggilap pula Mustapa Mohamed sebagai Menteri Besar. Kegagalan Tengku Razaleigh Hamzah (foto) untuk membuat come back dalam Umno memberi kesempatan kepada Mustapa Mohamed. Apabila Tengku Razaleigh melepaskan jawatan pengerusi Perhubungan Kelantan selepas pilihan raya umum 1999 ia diambil alih oleh Mustapa Mohamed.

Walaupun Mustapa sendiri tidak yakin beliau dapat memberi tentangan kepada Nik Aziz, tetapi beliau menerima jawatan itu dengan satu harapan dan ia merupakan proses naik pangkat baginya dalam Umno. Kalangan Umno juga menaruh harapan kepada Mustapa kerana semua general yang diberikan peluang sebelum ini kecundang ataupun gagal membawa apa-apa perubahan.

Tanding dua kerusi

Kesungguhan Umno bagi meletakakan Mustapa sebagai calon MB jelas apabila pada pilihan raya 2004 beliau bertanding di dua kerusi; Parlimen Jeli dan DUN Air Lanas. Umno dibawa tangan Mustapa hampir-hampir berjaya menewaskan Pas. Pada pilihan raya 2004 ternyata BN Kelantan membuat kejutan di luar jangkanya kepada Pas.

Bagaimana pun dalam saat Mustapa asyik maksyuk dengan jawatan itu tiba-tiba beliau telah dipecat dan digantikan dengan Annuar Musa. Ramai yang tidak tahu apakah sebab musababnya maka beliau digugurkan. Cuma apa yang didengari pertukaran itu ekoran kegagalan Umno memerintah Kelantan dan juga kegagalan Mustapa dalam pertandingan merebut jawatan Naib Presiden tahun 2004.

Sebenarnya kegagalan Mustapa itu dieksploitasikan sedemikian rupa. Begitu juga kegagalan Mustapa (foto) meletakkan Umno sebagai sebuah kerajaan negeri dalam pilihan raya umum 2004 seharusnya dipikul bersama oleh semua 14 ketua bahagian dan bukannya dihumbankan bahunya saja.

Tetapi kerana ada orang yang cuba mencari kesempatan untuk mendapatkan kedudukan dan memulihkan reputasi politiknya yang semakin kelabu, maka Mustapa dijadikan kambing hitam. Mustapa terpaksa dikorbankan gara-gara permainan politik balik tabir oleh orang tertentu di Kelantan yang dengki kepadanya.

Annuar Musa yang sebelum ini adalah Timbalan Ketua Perhubungan Umno Kelantan (selama lebih 10 tahun) telah diberikan tanggungjawab. Perlantikan Annuar itu dilihat sesuatu yang tidak betul dan munasabah dilakukan Umno memandangkan Annuar tidak berapa bersih dan suci bulu politiknya di Kelantan. Kerana itu orang terfikir entah Abdullah terkena cenduai apa sehingga beliau sanggup mengenepikan Mustapa dan mengambil Annuar. Ada juga maklumat mengatakan isteri Annuar telah turut memainkan untuk mengembalikan status suaminya di barisan hadapan Umno Kelantan?

Kerana itu ada setengah mengatakan, ada usaha yang terancang untuk menjatuhkan Mustapa Mohamad. Dalam hal ini Annuar yang dikatakan terdesak dengan masa depan politiknya turut memainkan peranan secara halus dan penuh simbolik!

Bagi Annuar pula perlantikan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan itu suatu hadiah paling besar. Beliau menerimanya bagaikan orang mengantuk disorong bantal. Annuar terus bergerak menyusun dan mengemaskan jentera Umno. Konvensyen Kemajuan Kelantan (KKM) ajuran Majlis Kemajuan Kelantan (MKK) dikira projek raksasa Annuar dalam menonjolkan diri sebagai bakal peneraju dan MB Kelantan.

Menerusi konvensyen ini beliau telah menggariskan beberapa agenda untuk masa depan Kelantan dan juga usaha mengukuhkan perpaduan di kalangan pemimpin dan ahli Umno.

Terlalu laju

Sebagai seorang yang berwawasan dan berkelulusan Town Planning dan bekas menteri Annuar memang bijak dan pantas mengatur segala rancangan. Beliau dilihat terlalu laju dan serius dalam tugas dan tanggungjawabnya. Beliau bekerja 25 jam sehari! Beliau sanggup berada di dalam kawasannya di Kok Lanas dan meninggalkan rumah besarnya di Bukit Damansara Kuala Lumpur kerana mahu mempastikan kejayaan BN di Kelantan.

Di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pula beliau menjadi hero mengkritik dan mendedah segala kepincangan kerajaan Pas pimpinan Nik Aziz. Setiap kali Dewan bersidang Annuar dan rakan-rakannya seramai 21 orang akan menggegar dan ada kalanya beliau memimpin rakan-rakan meninggalkan Dewan. Annuar mampu menganggui mental dan kesihatan Nik Aziz semasa di dalam Dewan. Nik Aziz dan para Exconya akan keresahan dan kegelisahan bila setiap kali menjelang sidang DUN menanti apakah bentuk serangan atau pembongkaran dari BN.

Saking hendak menunjukkan kehebatannya, Annuar kadang kala bertindak di luar batas-batas rasional selaku ketua pembangkang dan orang lama dalam politik dengan mengeluarkan kata-kata kesat dan kasar terhadap Nik Aziz. Tindakan ini menggambarkan beliau terdesak dan hilang taktik untuk berhadapan dengan Nik Aziz.

Pendeknya Annuar memang bijak dan berkerja keras untuk meletakkan dirinya setanding bahkan mampu di dalam menyusun pembangunan negeri berbanding Nik Aziz. Walaupun ada ketua bahagian yang tidak senang dengannya, namun mereka sanggup mendiamkan diri dan memberi peluang kepada Annuar melakukan sesutau kejutan untuk Kelantan.

Bagaimana pun usaha dan impian Annuar itu terhalang juga bila mana ada sesuatu yang beliau tidak dapat mengatasinya. Keadaan ini menyebabkan Annuar semacam terbantut dan tawar hati untuk terus berlagak sebagai bakal MB Kelantan. Mungkin beliau beranggapan segala usaha dan kerjanya itu sia-sia saja apabila akhirnya beliau tidak akan diterima untuk menjadi MB kalau BN menang.

Apa yang dimaksdukan itu ialah masalah hubungan beliau dengan pihak istana. Sejarah lama peristiwa ‘menabalkan’ Tengku Ibrahim Tengku Indraputra di Ketereh tahun 1993 menyebabkan hubungan Annuar dengan istana masih belum lendek sampai kini.

Titik-titik hitam

Walaupun ada usaha untuk menyelesaikan peristiwa hitam itu, namun ianya masih gagal. Pihak istana dikatakan masih belum dapat melupai segala titik-titik hitam ciptaan Annuar itu. Pihak istana Kelantan dikatakan tidak dapat memaafi apa yang dilakukan Annuar itu. Apa lagi kejadian memalu dan mengaibkan sering kali diulang-ulangi oleh Pas dan musuhnya. Bagi ahli dan penyokong Pas menyifatkan perbuatan Annuar itu sebagai satu 'penderhakaan'.

Menyedari realiti itu menyebabkan Annuar akhirnya mengaku kalah. Beliau insaf betapa pun beliau berpeluh pelai untuk memenangkan BN di Kelantan namun beliau pasti tidak akan dapat menjadi Menteri Besar. Beliau kini dikatakan sudah tidak menaruh harapan besar kepada cita-cita itu. Justeru Adun Kok Lanas itu buat masa ini sedang memuhasabahkan semula posisi politiknya di Kelantan.

Tersebar berita kononnya beliau akan beralih ke kerusi parlimen pada pilihan raya akan datang. Kerusi yang menjadi idaman Annuar ialah Parlimen Ketereh yang kini diwakili oleh rakan baiknya Mohd Alwi Che Ahmat (foto).

Dalam pada itu apabila hakikat politik Umno dan Annuar mengesahkan bahawa peluang Annuar untuk jadi MB tidak dapat kerana bermasalah dengan istana, muncul nama Awang Adek Hussein. Nama Timbalan Menteri Kewangan itu disebut bakal dinobatkan sebagai MB Kelantan sekiranya BN menang.

Sehubungan itu Awang Adek disebut akan mengambil alih jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan daripada Annuar. Satu ketika pertukaran ini dikatakan sudah hampir berlaku. Peristiwa pertukaran ini kelak sangat menakut dan mencemaskan Annuar.

Di pihak Annuar pula sesudah menyedari dirinya sukar untuk menembusi istana Kelantan, menyebabkan beliau segera mencari jalan dan helah lain dengan menyalinkan calon MB Kelantan kepada sahabatnya, Alwi Che Ahmat. Memang patut kalau Annuar berusaha untuk meletakakan Alwi ditempat itu. Budi dan jasa Alwi dalam politik khususnya dalam memberi 'oksigen politik' kepada Annuar amatlah besar sekali dan tidak ternilai.

Kedudukan Annuar Musa sebagai Ketua Bahagian Ketereh hari ini pun dikatakan adalah atas ehsan Alwi. Mulanya jawatan itu Presiden Umno, Abdullah Ahmad Badawi mahu serahkan kepada Alwi. Tetapi atas kesetiaan dan persahabatan lamanya dengan Annuar, Alwi tidak sanggup dan minta Abdullah Ahmad Badawi serahkan kepada Annuar.

Mungkin sekiranya tidak ada bantuan oksigen politik oleh Alwi itu Annuar kini sedang berada dalam ICU politik Umno.

Kini ada dua nama bakal menjadi MB Kelantan dari Umno. Pertama Awang Adek Hussein dan kedua Alwi Che Ahmat. Sekiraya Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan tidak ditukar sehingga pilihan raya umum akan datang dan ditakdirkan BN menang, pasti Alwi yang menjadi pilihan Annuar akan dilantik menjadi MB Kelantan.

Sebaliknya kalau Pengerusi Badan Perhubungan Umno ditukar kepada Awang Adek dalam tempoh terdekat, maka harapan Annuar untuk meletakkan sahabatnya atas kerusi MB akan kecundang. Bukan itu saja apabila Awang Adek sudah menjadi nakhoda beliau juga akan turut dilambungkan Awang Adek ke dalam laut.

Kesimpulannya perebutan kerusi MB Kelantan sebenarnya adalah antara Alwi Che Ahmat (BN) dengan Nik Amar Nik Abdullah (Pas) bukannya Annuar Musa dengan seorang lagi anak Musa. [shah alam: 5:30]

Sunday, July 22, 2007

Isu Semasa

Siapa bakal MB Kelantan?

(Bhg 1)

MSO

"Secara tidak langsung juga hari ini kedua mereka ini menjadi pesaing sama sendiri dengan salah seorang daripada mereka tidak pernah pun berfikir untuk menjadi MB. Dalam erti kata lain tokoh yang satu ini tidak berdoa atau menjalankan kerja politik bagi meletakkan diri mereka di tempat itu seperti mana yang seorang lagi."

SELEPAS pilihan raya umum ke-12 nanti Kelantan diramal akan mendapat Menteri Besar baru. Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang kini berusia, 76, dijangka tidak lagi akan terus memegang jawatan itu kalaupun Pas berjaya menawan Kelantan. Kesihatan menjadi faktor utama kenapa beliau berhasrat untuk berundur.

Lagi pun sudah memadai baginya menerajui pentadbiran negeri Kelantan selama 17 tahun, di mana tempoh itu merupakan rekod peribadi untuknya.

Sebenarnya hasrat untuk berundur sudah lama terbuku di hati Nik Aziz. Bahkan semacam sudah menjadi janjinya akan berundur sebaik saja selesai pilihan raya ke-11 lalu. Tetapi disebabkan pilihan raya itu meninggalkan trauma teruk kepada Pas menyebabkan beliau menarik balik hasratnya.

Katanya perkara untuk berundur sudah dibincang di satu mesyuarat Pas beberapa ketika selepas pilihan raya. Bagaimana pun ia tidak jadi memandangkan keadaan Pas yang dalam keadaan cemas. Situasi ini ditambahkan lagi dengan kehilangan kerusi Pengkalan Pasir, Pasir Mas dalam satu pilihan raya selepas kematian Wan Aziz Wan Omar.

Kedudukan Pas 23 – BN 22, menyebabkan Nik Aziz tidak tergamak untuk meninggalkan Pas. Pemerhati dan penasihat beliau juga menghalang agar beliau tidak mengundurkan diri. Dikhuatiri kalau beliau berundur ia boleh menjadikan Pas akan hilang semangat sedang tokoh pelapis dilihat masih belum berkeupayaan untuk mengendalikan Pas.

Justeru walaupun beliau sering kali uzur, keletihan dan diminta oleh doktor agar banyak berihat namun digagahi juga semata-mata untuk mempertahankan Pas terus memerintah Kelantan dan kerajaan Pas tidak diganggu gugat oleh pihak BN.

Walaupun Nik Aziz sudah benar-benar ingin bersara dari politik – melepaskan jawatan MB, namun beliau diramalkan terus mengambil bahagian dalam pilihan raya akan datang. Beliau dijangka akan terus bertanding sekali lagi di kerusinya di DUN Chempaka, Pengkalan Chepa.

Pengaruh Nik Aziz

Sekiranya beliau bertanding lagi pada pilihan raya ini, ianya bukan atas kehendaknya tetapi atas permintaan dan rayuan parti. Pas sangat memerlukan pengaruh Nik Aziz untuk menghadapi BN pada pilihan raya akan datang. Pas tidak mampu untuk berhadapan dengan BN menerusi beberapa tokoh pelapis yang ada pada masa ini.

Hakikat bahawa tokoh pelapis Pas Kelantan hari ini masih belum mampu untuk menandingi Nik Aziz jelas apabila setelah 17 tahun Nik Aziz menerajui Kelantan, namun tidak ada seorang pun yang ditunjukkan oleh beliau sebagai layak menggantinya. Meskipun Nik Aziz pernah menyebut bahawa penggantinya sudah ada namun beliau tidak menyebut siapakah orang itu. Apa yang disebut Nik Aziz penggantinya ialah bukan ulama sepertinya!

Sikap berteka teki MB Kelantan ini menunjukkan beliau tidak yakin ataupun belum sampai masanya untuk beliau mengumumkan siapa yang perlu mewarisi peneraju Pas dan sekaligus peneraju Kerajaan Negeri. Sudah pasti sekiranya Pas Kelantan sudah ada tokoh yang setanding atau pun kiri-kirinya, beliau sudah dilepaskan untuk mengendarai Pas Kelantan kalaupun tidak untuk menduduki kerusi MB.

Hari ini tidak boleh dinafikan Pas begitu takut untuk kehilangan Nik Aziz. Hari ini pun tokoh-tokoh pelapis Pas masih menempelkan diri dengan Nik Aziz kerana tidak berani untuk muncul sendiri. Lihatlah kepada kain rentang atau banting kempen/promosi yang dipasang sekitar Kota Bharu, semuanya bergandingan dengan Nik Aziz. Ini menunjukkan tokoh pelapis tidak mempunyai kekuatan dan pengaruh peribadi yang kuat.

Kesimpulannya penyertaan Nik Aziz dalam pilihan raya kali ini bukan kesinambungan untuk beliau terus menjadi MB tetapi sekadar untuk memastikan Pas mampu mempertahankan Kelantan, atau membantu tokoh-tokoh pelapis.

Antara nama yang disebut

Sehubungan itu, teka teki terus menganggui kepala orang ramai untuk menebak dan mencari siapakah bakal mengganti Nik Aziz sebagai MB sekiranya Pas berjaya dalam pilihan raya kelak. Disebabkan tidak ada nama khusus yang disebut menyebabkan ahli Pas dan penyokongnya kini sedang membuat pemerhatian dan penilaian awal mengenali calon-calonnya. Orang ramai kini sedang menyelami siapakah bakal MB yang terdampar di hari Nik Aziz.

Sebelum pilihan raya umum ke-10 orang melihat Timbalan Menteri Besar ketika itu, Datuk Paduka Abdul Halim Abhdul Rahman sebagai bakal mengganti Nik Aziz. Memang pun kedudukan itu melayakkan Abdul Halim mengambil alih kerusi itu. Tetapi selepas pilihan raya umum ke-11 calon itu tidak ada lagi apabila Abdul Halim ditolak bertanding di kerusi Parlimen Pengkalan Chepa. Peralihan Abdul Halim itu sebagai upacara menyembelihkan bekas TMB Kelantan tersebut!

Selepas ketiadaan Abdul Halim yang dilihat berpotensi serta layak memandangkan senioriti di dalam parti, maka jawatan untuk mengganti Nik Aziz dilihat kosong. Walaupun pada masa ini, Datuk Ahmad Yaacob adalah timbalannya, namun Ahmad tidak dilihat sebagai material untuk menjadi MB.

Walaupun disegi kedudukan dan sinioriti Ahmad ke hadapan namun tidak ada usaha untuk meletak beliau di tempat itu. Masing-masing seperti membiarkan Ahmad mengayuh masa depan politiknya selaku TMB bersendirian. Semacam ada usaha halus untuk memperlekeh dan memperlihatkan Ahmad Yaaciob sebagai tidak layak untuk mengambil alih tempat Nik Aziz.

Jarang majlis-majlis besar baik atas nama Kerajaan Negeri atau parti melibatkan Ahmad. Anak Tuan Guru Haji Yaacob Berangan itu seperti dilupa dan tidak dihormati langusng dengan kedudukannya itu.

Disebabkan Ahmad semacam dinafikan sebagai TMB oleh orang tertentu, maka munculah beberapa nama lain yang dikira layak untuk menahtai di tempat Ahmad itu atau terus mengambil alih jawatan sebagai MB apabila Nik Aziz berundur. Mereka ini juga antaranya yang sedang berdoa dan berkerja kuat untuk menduduki tempat itu dan seterusnya sebagai MB Kelantan.

Hari ini sekurang-kurangnya ada dua nama yang disebut ataupun telah meletakkan atau diletakkan namanya (mereka) sebagai calon MB Kelantan. Kedua mereka ini berkebetulan adalah orang yang berada di barisan ketiga dalam hierarki kepimpinan Pas Kelantan dan menjadi Exco Kerajaan Negeri.

Kerja politik

Secara tidak langsung juga hari ini kedua mereka ini menjadi pesaing sama sendiri dengan salah seorang daripada mereka tidak pernah pun berfikir untuk menjadi MB. Dalam erti kata lain tokoh yang satu ini tidak berdoa atau menjalankan kerja politik bagi meletakkan dirinya di tempat itu seperti mana yang seorang lagi.


Tokoh yang dimaksudkan itu ialah Mohd Amar Nik Abdullah, (foto) yang juga merupakan Exco Kerajaan Negeri Kelantan. Berbanding dengan Mohd Amar, seorang lagi Exco itu begitu menonjol dan bekerja keras menjual nama kepada publik untuk dilihat kononnya beliaulah paling kanan dan layak menjadi MB Kelantan. Kadangkala orang ini seperti masuk lif tekan sendiri!

Sehubungan itu berbagai idea, pendekatan dan juga strategi dilakukan memajukan parti serentak itu bagi menunjukkan beliau berkemampuan untuk memimpin Pas Kelantan. Bagaimana pun sayang seribu kali sayang, pendekatan, sikap profesional dan berfikiran jauh yang diambil itu nampaknya tidak begitu termakan oleh rakyat Kelantan dan juga ahli Pas bawahan yang rata-rata masih bersikap konservetif terhadap Pas.

Diperingkat nasional memang tokoh ini terkenal dan dilihat sudah lebih daripada layak. Bahkan ada usaha-usaha secara halus bagi mempercepatkan proses persalinan jawatan MB kepada orang ini. Sedangkan diperingkat nasional nama Mohd Amar langsung tidak disebut malah tidak pun dilihat sebagai material MB Kelantan walaupun dari segi ratingnya beliau adalah salah seorang calonnya.

Berbeza sekali dengan Mohd Amar yang bersikap pasif dan terlalu merendahkan diri. Sebaliknya nama Mohd Amar dijual oleh kalangan veteran dan golongan yang obses dengan Islam yang melihat perjuangan anak bekas Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan ini lebih ikhlas dan serasi dengan pendekatan Pas Kelantan selama ini. Kesimpulan ringkas jika Mohd Amar dibandingkan dengan seorang lagi, orang itu diterima di Kuala Lumpur manakala Mohd Amar diterima di Kelantan!

Perwatakan, tutur kata dan pergaulan Mohd Amar sesuai dan menjadi pilihan dan ia dilihat lebih tepat dengan semangat dan wajah Pas Kelantan yang tidak suka kepada glamour berlebihan ataupun begerak terlalu kencang dan ego. Perkara paling penting yang dilihat oleh Pas Kelantan ialah, mereka mahukan Pas kekal sebagai Pas Kelantan yang berbeza dengan Pas di negeri-negeri lain. Mereka mahu keunikan Pas Kelantan dikekalkan.

Mengubah prinsip

Dan perkara paling penting dan menjadi penilian orang Pas Kelantan ialah mereka mahukan seorang pengganti Niik Aziz yang dapat mempertahankan prinsip dan idealisme perjuangan Pas, dan bukannya orang yang hendak mengubah prinsip Pas sehingga memungkinkan Pas jadi seperti Umno. Mereka bimbang kalau Pas disamakan dan diklon dengan Umno menyebabkan rakyat akan keliru mana satu yang mereka harus pilih!

Kesimpulannya hari ini, dua tokoh ini, Mohd Amar dan seorang lagi itu adalah yang popular disebut bakal dan boleh mengganti Nik Aziz. Perbezaannya Mohd Amar disokong oleh Pas marhean sementara yang seorang lagi oleh segelintir Pas 'belacak'. Masalah yang seorang lagi itu juga beliau tidak begitu disenangi oleh sebilangan besar pemimpin parti baik peringkat negeri maupun kawasan di Kelantan!

Apapun tidaklah mustahil kalau Nik Aziz merasa kekok untuk membuat pilihan ke atas kedua orang ini, Ahmad Yaaob akan diangkat menjadi MB dengan salah seorang sebagai timbalannya. [wm.kl]

Catatan: Bahagian kedua: Siapa bakal MB dari kalangan Umno.

Nota dan Album

Sejarah dan cerita Masjid Baiturrahman, Aceh

MSO

MASJID Raya Baiturrahman yang terletak di Jalan Balaikota, Banda Aceh merupakan merutanda utama bagi Nangore Aceh Darussalam. Kewujudannya yang tersergam indah di bumi Tanah Rencong itu juga melambangkan bahawa negeri itu adalah negeri yang mengamalkan Islam seratus peratus.

Kehadirannya sejak ratusan tahun cukup membanggakan bukan saja bagi rakyat Aceh dan Indonesia tetapi juga bagi kira-kira 300 juta umat Islam di Nusantara.

Masjid yang penuh bersejarah itu bukan saja berfungsi sebagai rumah ibadat, tetapi ia juga bertindak menjadi pusat segala aktiviti kehidupan di Aceh sesuai dengan kedudukan ataupun peranan masjid itu sebagai Rumah Allah.

Medan mayat

Semasa taufan tsunami melanda Aceh penghujung 26 Disember 2004 lampau perkarangan masjid itu telah menjadi medan himpunan mayat-mayat mangsa ribut berkenaan. Ribuan mayat bergelempangan di laman masjid berkenaan.

Kehebatan dan keteguhan seni binanya teruji ketika tsunami melanda Banda Aceh. Masjid yang boleh mengugahkan hati sesiapa saja (yang beriman) tatkala menyilaunya itu tidak mengalami apa-apa kerosakan dan terus teguh tegap berdiri ditapak asalnya tanpa mengeserkan diri seinci pun kepada bencana berkenaan.

Kalau pun ada kerosakan hanya pada bahagian atas menara tinjauannya saja itu pun ia sebagai tanda bahawa komponen masjid berkenaan berhiba dengan kejadian yang mengguriskan hati seluruh dunia itu.

Sejarah masjid ini sungguh panjang dan menyayukan. Rentetan itu semua sejajar dan pantas dengan kedudukannya sebagai sebuah Masjid Raya di Aceh. Keagungannya bukan saja terletak kepada keindahan dan keunikan seni bina bangunanya, tetapi juga kepada perjalanan sejarah hidupnya.

Nama Masjid Raya Baiturrahman ini diambil sempena dengan nama Masjid Raya yang dibangunkan oleh Sultan Iskandar Muda pada tahun 1022 H bersamaan 1612 M.

Berusia hampir 400 tahun

Manakala dari catatan lain pula menyebut orang bertanggungjawab membangunkan masjid ini ialah Sultan Alaidin Mahmudsyah pada tahun 1292. Menyimpulkan dari dua tarikh tertera itu masjid itu kini berusia kira-kira hampir 400 tahun.

Masjid ini pernah musanah dalam satu kebakaran ketika serangan Belanda durjana ke Aceh pada tahun 1290 H atau 1873 M. Seluruh bangunan atau struktur awalnya hancur. Peristiwa ini sungguh menyayukan dan menghiri hati umat Islam Aceh.

Bagaimana pun atas nekad dan cintakan agama rakyat Aceh telah membinanya semula selepas empat tahun kemudian tepatnya pada Safar 1294 atau Mac 1877. Pihak Belanda sendiri yang menyedari bahawa api Islam di Aceh sukar dipadamkan terpaksa akur atas kehendak umat Islam di negeri itu.

Pembinaan masjid ini siap pada tahun 1299 H bersamaan 1881 M dengan kubahnya hanya sebuah sahaja. Pada tahun 1935 M masjid ini diperluaskan bahagian kanan dan kirinya dengan tambahan dua kubah pada bahagian kanan dan kiri. Kerja-kerja memperbesarkan masjid ini dilakukan oleh jawatankuasa umum (BOW) dengan peruntukan sebanyak F35,000 (Gulden), ianya dipimpin oleh Ir M Tahir. Kerja terakhirnya siap pada 1936 M.

Kemudian pembinana tambahan seterusnya dilakukan pada 1 Safar 1387 bersamaan 16 Ogos 1958 di mana Menteri Agama Rupblik Indonesia K.H. M. Ilyas telah meletakkan batu asas. Projek pembesaran kedua ini melibatkan pembinaan dua buah kubah menara di sebalah utara dan selatan.

Projek pembesaran

Pembesaran itu menjadikan masjid ini mempuyai limah buah kubah kesemuanya dan kerja-kerja menyiapkan kubah itu siap pada 1967 M.

Keluasan masjid itu ialah 56 x 34 meter dengan tambahan serambi seluas 12.5 x 10.5 meter. Masjid ini mempunyai 136 buah tiang bersegi bulat dengan 32 buah pilar bersegi empat sebagai teras sokongan bangunan masjid.

Bahagian dalam masjid ini sangat menarik dengan ukiran dan perhiasan kaligrafi ayat-ayat Quran dan dipenuhi candaley – lampu-lampu bergantungan. Sementara pintunya dihiasai dengan kerawang yang untik dan menyetuh naluri jiwa apabila memandangnya.

Berbagai aktiviti keagamaan, pendidikan dan sosial dijalankan di masjid ini. Antaranya sebuah sekolah agama (Madrasah Darusyariah) yang mempunyai enam kelas serta sebuah aula imam dan khatib yang bersambung dengan bangunan masjid di bahagian belakang.

Aktiviti-aktiviti agama yang dijalankan di masjid ini ialah kuliah Subuh, halaqa Maghrib, yang disiarkan secara langsung oleh radio Aceh, majlis soal jawab agama, dan sebagainya disamping kuliah agama pada setiap hari di waktu Subuh dan Maghrib. Salah satu majlis besar yang pernah diadakan di masjid ini ialah Musabaqah Tilawah membaca al Quran peringkat Nasional. Majlis itu secara tidak langsung menjadikan ia sebuah masjid diutamakan di Indonesia. [wm.kl]